Kawan Di Kem PLKN

Hai semua, first of all, maaf kalau cerita ni panjang sangat dan tak seram. Saja nak berkongsi. Kisah ni terjadi masa aku di kem PLKN di utara tanah air. Kem ni dinamakan dengan nama roti. Yang tau dediam je. Hehe. Kem ni ada dua jenis penempatan. Dorm dan chalet. Aku ditempatkan di chalet paling hujung, sebelah kebun getah. Bukak pintu nampak kebun getah. Disebabkan paling hujung, jadi chalet aku ni ramai la sikit. Sebab luas dan besar. Boleh muatkan 10 orang. 7 melayu, 2 cina dan 1 india.

Disebabkan dikelilingi hutan getah, suasana seram la sikit. Biasa la muda remaja, mulut bising. Nak jadikan cerita, ada sorang budak bilik aku, namanya ku namakan sebagai Zira. Zira ni berasal dari pantai timur. Family nya pernah dihantar santau. Jadi ada seorang ustaz ni pernah ajarkan Zira ayat pendinding. Aku tak pasti takat mana kesahihannya. Zira ni psiko sikit. Dia suka seru benda yang pernah ganggu family dia dulu. Sebab apa dia seru, Wallahualam. Lepas ni aku cerita kenapa aku cakap Zira seru benda yang kacau family dia. Tapi bagi aku dan rakan lain, Zira ni nak menunjuk yang dia ada kelebihan untuk tengok benda tu. Pelik kan bunyi? Ya tapi bener. Zira ni selalu cakap pada kami.. “eh ada benda lalu kat tingkap”.. “wei, tadi ko kat luar, ada benda tengok ko”.. macam tu la zira selalu cakap pada kami.

Pada suatu malam, ada kejadian hysteria di kem kami. Semua pelajar diminta duduk di dorm dan chalet masing-masing. Sementara pelajar yang kena hysteria dibawa ke surau untuk diubati oleh ustaz yang diimport dari luar kem. Kami dalam chalet pun macam biasa, huha huha bersembang, gelak ketawa. Malam je la kami dapat bersuka ria sebab siang padat dengan aktiviti. Zira pulak tiba-tiba malam tu jadi pendiam lepas dapat tau ada hysteria. Kami biarkan je la. Tapi sedang kawan aku si Siti buat lawak kawad sambil pakai gayung kat kepala, zira bangun ke toilet, nak mandi katanya. Tapi kami perasan lama si Zira ni mandi. Chalet kami ni luas, jadi ada dua toilet. Chinese dua orang tu takda di bilik sebab masa kejadian tu diorang kt bilik rakan diorang. So sebab kena perintah berkurung, diorang pun tak balik la ke bilik.

Tiba-tiba, budak india bilik kitaorang tu menjerit, sebab dia ternampak si Zira terbaring kat toilet. Takda sorang pun perasan bila Zira ni pengsan sebab kami semua berkumpul depan pintu bilik, toilet agak ke belakang. Kebetulan budak india ni ke toilet, dia tolak sikit pintu toilet sebab tiba-tiba dia rasa curious nak tolak. Maybe Allah gerakkan hati india ni. Kalau tak, sorang pun tak perasan zira ni pengsan. Kelam kabut kami angkat keluar zira. Terus dua rakan aku keluar ke surau panggil warden sebab kami risau Zira pulak hysteria.

So, tak lama lepas tu Zira selamat kat surau, kami 6 orang kena tido kat surau jaga Zira yang tak sedar-sedar diri, budak india tu diarahkan tido kat bilik kawan dia. Proses pengubatan budak-budak hysteria masih berjalan. Tiba-tiba si Zira ni pun hysteria. Ustaz pun mengarahkan kami angkat si Zira ke tempat pengubatan. Sampai bersilat dan muntah-muntah ustaz tu ubatkan Zira. Menurut ustaz tu, Zira ni kena santau. Okey la. Betul la tu memang itu pun yang Zira bagitau kami. So kami 6 orang ni terkebil-kebil tengok ustaz dan Zira bersilat. Tak lama tu Zira dah okey, ustaz arahkan Zira di bawak ke belakang untuk rehat.

Tiba-tiba ustaz tu pandang aku, “Haa hang, mai sini”. Aiyok. Awat pulak ni ustaz panggil aku.. kenapa aku je, orang lain tak panggil. Ustaz tu arahkan aku baring. Ha tiba-tiba je aku rasa aku ni bukan aku. Ustaz tu suruh aku angkat kaki kanan. Aku angkat. Disuruhnya aku angkat kaki kiri. Aku angkat. Ustaz tu marah, “hang ni macam lembu, aku suruh angkat, hang angkat”. Aku nak menjawab, tapi tak boleh. Aku diam je tengok ustaz tu. Ustaz tu ubatkan aku pulak. Lepas ubatkan aku, aku pun boleh kawal diri aku macam biasa.

Ustaz tu kata kat aku, “7 ekoq dok gayut kat hang, tau dak??” haha. Mana chek tau. Patut la masa dok gelak ketawa kat bilik tu, aku rasa badan aku goyang, kiri kanan, dan aku tak dapat control pergerakan badan aku. Tapi aku masih sedar, and taktau pun benda tu tumpang aku. Esoknya, semua pelajar yang kena hysteria diberi cuti 1 minggu untuk berehat di rumah, termasuklah aku, walaupun tak histeria. Parents aku pun datang la amek aku. And malam tu kat rumah aku demam teruk. Malam tu aku dan adik beradik aku tengah layan inspector gadget. Parents aku keluar. Disebabkan aku tak larat sebab demam, aku pun masuk bilik parents aku untuk tido.

Tengah baring, aku nampak satu bayang hitam mendekati aku, dan automatic kaki aku rasa kebas dan panas. Kebas dan panas tu bergerak dari hujung jari kaki naik ke kepala. Aku masih sedar macam biasa. Tak lama lepas tu, parents aku pulang, mama aku terus jenguk aku di biliknya. Mama pegang kepala aku, masih panas kata mama. Tapi mama pelik, kenapa aku tengok mama macam nak makan dia. And lepas tu aku pandang siling tanpa berkelip. Mama memanggil abah untuk tengokkan keadaan aku. Abah aku berasa lain macam, terus abah call rakannya yang pandai mengubati. Tak lama kemudian, datang seorang brader ni masuk ke dalam bilik. Masuk je terus dipandangnya aku. Terussss, benda dalam badan aku takut. Aku merangkak-rangkak di atas katil macam harimau kerana takutkan brader tersebut. Padahal brader tu senyum je tengok aku.

Sepanjang proses pengubatan dengan brader tu, hujan lebat secara tiba-tiba siap dengan kilat dan guruh, line phone tak boleh guna. Aku sedar sepanjang proses berubat cuma yang control diri aku bukanlah aku. Banyak kali aku cuba cakap, tapi yang keluar Cuma “aaaaarrgghh”. Menurut brader tu, benda yang merasuk aku adalah ketua segala benda yang berada di kem PLKN tu, dan kat luar rumah, dalam hujan, penuh geng-geng benda tu menunggu. Taktau la dorang tunggu apa, maybe tunggu ketua dorang keluar dari badan aku kerana ingin pulang bersama-sama. Haha.

8 orang pembantu brader tu pegang aku, aku sangat kuat malam tu, semua aku tepis. Brader tu suruh aku mengucap, magiknya, benda tu boleh mengucap. Aku dengar jelas, mulut aku mengucapkan Ashaduallahilahaillallah. Kedengaran komen-komen dari pembantu brader tersebut, “ooo boleh mengucap rupanya”. Tapi, last part proses memaksa benda tu keluar dari badan aku, brader tu guna keris kecil untuk mencucuk tapak kaki aku. Kedua-dua belah tapak kaki aku dicucuk. Sakit la wei. Setelah 2 jam bertarung dengan benda tu, brader tu minta pembantu-pembantunya lepaskan aku kerana menurutnya aku dah ok. Brader tu start soal siasat aku. Sumpah aku taktau kenapa benda tu datang kacau aku. Sebab aku tak nampak apa-apa melainkan bayang hitam sebelum aku rasa kebas kaki. Elok-elok je cuti seminggu, tak pasal aku dapat cuti extra lagi seminggu sebab kaki bernanah kerana dicucuk keris.

Sepanjang seminggu tu, benda lain pulak berulang alik masuk badan aku sampai aku terpaksa berubat lagi sekali di kampong abah aku. Kali ni budak kecik pulak. Macam mana aku tau budak kecik? Sebab ustaz tu soal siasat benda dalam badan aku tu, bila ustaz tanya sama ada benda ni besar, aku geleng, bila tanya sama ada benda ni kecik, aku angguk. Tapi benda ni penakut haha. Aku ingat lagi semasa berubat dengan ustaz tu, ustaz tu suruh benda tu keluar dan balik tempat asal. Aku masih ingat yang aku mengengsot ke arah pintu lepas ustaz mengarahkan benda tu pulang ke tempat asal, tapi aku berhenti di depan pintu dan tengok je kegelapan malam, aku berasa sangat takut, dan mengengsot kembali ke depan ustaz.

“Awat hang takut gelap ka??”, tanya ustaz. Dan aku mengangguk. “Hang ni hantu, pasaipa hang takut gelap?”.  Haha lawak pulak kalau ingat yang benda dalam badan aku ni takut gelap. Sepanjang proses pengubatan, aku sedar. Aku ditemani, abah, mama dan 2 orang ibu saudaraku. Yang bestnya, benda yang merasuk aku ni memang tak mau bercakap dan berdiri. Aku hanya duduk, dan mengengsot. Bila disoal benda tu hanya diam. Daripada seram, jadi lawak, kerana ibu-ibu saudaraku turut sama menyoal benda tu..

“Hang nama apa wei?” soal ibu saudaraku yang aku panggil makndak. Benda tu diam.

“Nama dia John kot”, sampuk ibu saudaraku sorang lagi yang aku panggil Ngah.

“Wei john, hang penakut no. Masuk badan orang pandai, suruh balik takut. Hang kan hantu. Pi la terbang balik”, kata makndak.

Haha teringat lagi dorang mengusik John. John ni baik je. Diam, tak melawan. 7 hari aku berubat, John takda tanda-tanda nak tinggalkan aku. Everytime aku sampai ke rumah selepas selesai berubat, aku akan senyum bila nampak rumah aku. Hati aku terdetik, mesti John suka kan dapat balik rumah ni. Last-last disebabkan John ketegaq, ustaz suruh John masuk dalam botol untuk hantar John balik. Di lubang botol, ustaz letakkan jarum. Kata ustaz, kalau John dah masuk dalam botol, jarum akan jatuh.

Tapi John pandang je botol tu, seolah tahu, kalau dia masuk ke dalam botol, dia mungkin akan hanyut ke benua antartika. Jadi disebabkan kepandaian John ni, ustaz dan abah aku membuat keputusan untuk hantar John balik ke kem aku. Elok sampai je ke kem aku, laju aku berjalan tanpa kasut ke arah chalet aku dan aku terus ke kebun getah belakang. Lepas tu terus aku terjatuh dan jadi diri aku balik. Tapi aku langsung tak nampak, apa benda yang kacau aku. Alhamdulillah, hijab aku masih tertutup. Menurut ustaz, benda ni nak kawan dengan aku sebab dia dah jatuh sayang pada aku.

 

Disebabkan kejadian menghantar balik John, si Zira macam tak puas hati dengan aku dan ustaz tu. Katanya ustaz yang merawat aku tak pandai. Menurut rakan sebilik aku yang lain, Zira mengaku, malam kejadian hysteria terjadi, dia ada menyeru benda yang mengacau keluarganya untuk datang merasuknya, kerana bengang kami tak percaya dia boleh lihat benda-benda ghaib. Sebab tu, dia hanya diam dan muram bila dengar ada budak lain hysteria, dan bukan dirinya yang hysteria. Dah aku tak faham. Hysteria pun nak berlawan. Best sangat ke hysteria? Dan, sepanjang aku dirasuk, aku sedar dan tahu apa orang buat dan cakap pada aku, cuma aku tak boleh control percakapan aku dan badan aku. Sebab tu aku boleh ceritakan semula. Disebabkan Zira, aku pulak yang kena tempiasnya.

Minah
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

8 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.