Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Perkenalkan nama aku Ina. Sebelum ini aku merupakan pembaca setia di fiksyen shasha dan ini membuatkan aku berkeinginan untuk berkongsi kisah seram di laman ini juga untuk tatapan pembaca-pembaca di luar sana. Pertama sekali, aku ingin memohon maaf sekiranya kisah yang aku bakal kongsikan ini tidak cukup menghiburkan dan menyeramkan. Tujuan aku berkongsi kisah seram ini adalah untuk hiburan semata-mata. Aku memohon maaf juga sekiranya bahasa dan ayat penulisan aku ini terlalu panjang dan tidak memuaskan. Kisah seram aku ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar rakan baik aku sewaktu di zaman persekolahan suatu ketika dahulu. Cukup la aku gelarkan rakan baik aku itu sebagai Ida.
Kami bersekolah di sebuah sekolah bertempat di negeri Perlis. Kami berkawan baik sejak di tingkatan 4 tahun 2015. Kejadian ini berlaku pada tahun yang sama. Aku merupakan pengawas perpustakaan dan Ida ialah pelajar biasa. Disebabkan aku merupakan pengawas perpustakaan senior, aku mempunyai satu kunci perpustakaan yang harus aku pegang sekiranya pelajar ingin memasuki perpustakaan semasa guru bertugas tidak bertugas di perpustakaan. Ibu Ida merupakan guru di sekolah kami dan disebabkan itu Ida terpaksa pulang lewat pada jam 5 petang pada setiap hari. Oleh itu, aku juga pulang lewat kerana ingin menemani Ida memandangkan kami kawan baik. Pada jam 3 petang, kebanyakan pelajar sudah pulang jadi perpustakaan ditutup. Aku bercadang agar kami pergi ke perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran memandangkan aku mempunyai kuncinya. Jadi, selepas solat Zohor dan makan kami terus ke perpustakaan. Hanya kami berdua di situ. Dan seluruh blok menempatkan perpustakaan dan juga kelas-kelas sudah kosong kerana pelajar-pelajar sudah pulang.
Kemudian, kami masuk ke dalam perpustakaan dan buka semua suis lampu, kipas dan aircon. Untuk pengetahuan semua, suis aircon dan kipas terletak di bahagian belakang perpustakaan. Di belakang itu juga terdapat sebuah bilik atau lebih digelar stor iaitu tempat menyimpan buku-buku lama dan barang-barang yang tidak digunakan. Kami berdua duduk di bahagian hadapan perpustakaan. Sedar tak sedar sudah hampir jam 5 petang kami berada di situ. Sepanjang kami mengulang kaji pelajaran, tiada perkara pelik yang berlaku. Akan tetapi, kejadian berlaku apabila kami berdua berjalan dari bahagian hadapan menuju ke bahagian belakang untuk menutup suis aircon dan kipas. Aku boleh dikatakan banyak mulut juga dan sepanjang berjalan aku bercakap dengan Ida. Dan apa yang peliknya Ida hanya mendiamkan diri di belakang aku tanpa memberi reaksi sedangkan dia juga seperti aku. Banyak bercakap dan suka memberi reaksi. Tapi aku hanya membiarkan saja dan terus menutup semua suis dan berjalan keluar dari perpustakaan. Ida mengikut aku dari belakang dan masih mendiamkan diri. Apabila perpustakaan sudah dikunci barulah Ida bersuara dan berbual dengan aku.
Kemudian, kami berjalan menuju ke pondok menunggu. Apabila kami sampai di pondok, pada ketika itulah Ida menceritakan segalanya pada aku. Dia mengatakan bahawa sewaktu kami berjalan menuju ke bahagian belakang perpustakaan, dia ternampak kelibat seperti budak sedang menjengukkan kepala melihat kami dari bilik stor. Hanya kepala saja dan kemudian hilang. Sangat laju sehingga dia tidak dapat mengecam ianya lelaki atau perempuan. Rupa-rupanya disebabkan itulah Ida hanya mendiamkan diri sewaktu aku bercakap dengannya. Dia seperti kaku tidak dapat bersuara sewaktu ternampak kelibat tersebut. Ya. Aku tidak nampak apa-apa kerana aku tidak dikurniakan kelebihan untuk melihat makhlus halus. Aku seperti tidak percaya juga kerana makhluk itu dekat dengan aku tetapi aku tidak merasakan kehadirannya dan tidak nampak apa-apa. Apa yang aku tahu pintu stor tersebut terbuka sewaktu kami berada di situ sedangkan sepatutnya pintu itu sentiasa tertutup.
Aku tidak tahu sejarah sekolah itu yang sebenar-benarnya tambahan lagi perpustakaan tersebut. Tetapi sekolah aku itu memang sudah lama ditubuhkan. Dan pernah sekali juga aku mengalami situasi yang agak pelik di perpustakaan tersebut. Kali ini juga aku turut bersama rakan baik aku iaitu Liya. Kami duduk di tempat yang sama iaitu di bahagian hadapan perpustakaan. Cuma kami. Waktu itu tidak ramai pelajar berada di dalam perpustakaan. Hanya segelintir sahaja pelajar dan mereka duduk di bahagian tengah perpustakaan. Sedang kami leka berbual sambil aku sedang membelek surat khabar, tiba-tiba aku terdengar bunyi guli melantun. Cukup jelas kedengaran kerana lantai perpustakaan kami adalah berasaskan lantai marmar. Aku beralih pandangan ke arah punca bunyi tersebut dan ia datang dari arah rak buku di hujung dinding. Agak lama aku memandang ke arah tersebut sebelum aku beralih pandangan kepada Liya. Liya juga sedang memandang aku.
Liya: “Hang dengaq dak apa yang aku dengaq?”Me: ‘angguk laju’Liya: “Hmm buat tak tau ja.”
Tipulah kalau aku tak meremang pada masa itu tapi aku ikutkan saja apa yang Liya katakan kerana dia agak berpengalaman dalam bidang sebegini. Yelah siapa saja yang tidak tahu jika terdengar bunyi guli melantun, tanda apakah disebaliknya. Siapa yang tahu mesti faham situasi yang aku alami ini. Mengapa aku meremang? Mana tidaknya. Dalam perpustakaan kami tidak pernah ada sekali pun kemudahan permainan yang berasaskan guli. Permainan congkak memang tidak pernah disediakan. Jadi, mana datangnya guli tersebut? Jikalau sesat ada sekali pun, dari mana ia jatuh dan mengapa ianya melantun seperti ada seseorang yang sengaja menjatuhkan guli tersebut? Apabila kami fokuskan ke arah bunyi itu semula, ia tidak lagi kedengaran. Kemudian, kami kembali berbual dan terus terlupa akan kejadian yang berlaku itu. Tetapi kejadian ini akan kami ingati selamanya. Dan kini kami sudah menyambung pelajaran di peringkat universiti. Pengalaman itu sudah pun bertukar menjadi sejarah lama.
Mungkin bagi pembaca-pembaca di luar sana cerita ini tidak begitu menyeramkan bagi anda. Terserah pada masing-masing. Saya hanya berkongsi kisah seram ini untuk hiburan anda semata-mata. Mungkin bagi anda tidak seram. Tetapi bagaimana jika anda yang mengalami pengalaman-pengalaman sebegini? Apa yang anda akan buat? Tidak takutkah? Tidak meremangkah? Persoalan-persoalan ini hanya anda sahaja yang tahu jawapannya. Renung-renungkan. Sekian.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
xdak perenggan ka…
Dh buat perenggan msa karang..bila send kat fs ni dia x selang.. dh dipost bru prasan~ maaf atas kesulitan.. trima kasih kerana mmbca walaupun x seram mna..
mungkin untuk lebih baik lagi bisa di buat dalam bentuk Per Paragraph. akan menyenangkan Pembaca juga 🙂 Semangat dan Lanjutkan terus 🙂
Dh buat perenggan, tpi bila send kat fs jadi mcm ni.. maaf atas kesulitan..trima kasih mmbca walaupun x seram mna..
usikan2 manja .. huhu