Kelik Ngaji

Assalamualaikum. Terima kasih sekali lagi kepada Admin FS kerana menyiarkan lagi nukilan aku.

Kisah di bawah ini diinspirasikan oleh kisah benar yang dialami kawan rapatku semasa sekolah asrama dulu dan aku olah sedikit untuk dijadikan cerita. Harap kalian terhibur.

___________________________________________________________________

2009.
Kg. Tal Tujuh, Pasir Mas, Kelantan.

Khamis malam Jumaat. Bulan purnama mengambang penuh di dada langit yang terbentang luas dan cahaya menyinari jalan kecil kampung yang hanya ada satu; lampu jalan itu pun letaknya nun jauh di hujung simpang, dekat pokok jambu batu rumah Tok Chik Jehe yang selalu orang kampung cerita ada penunggu.

Suasana senyap dan sunyi. Semacam dunia sudah separuh lena. Angin malam lembut sekali sekala menghembus muka. Pokok-pokok nyior di tepi sawah melambai perlahan. Bunyi cengkerik dan katak di longkang berselang-seli bersahut sahutan macam orkestra kampung yang tak cukup alat muzik. Bau rumput dan tanah lembap lepas hujan petang tadi masih melekat di udara.

Namaku Amir. Budak darjah enam yang macho dan gedebe sebab dah sunat dua bulan lepas. Aku baru balik mengaji dari rumah Ustaz Ali. Kelas mengaji malam ni agak lewat habis. Biasanya lepas Isyak dah habis, tapi malam ni hampir pukul sepuluh setengah baru selesai. Ini lain tak bukan disebabkan budak-budak si Ijat dan Mail yang sibuk menyakat dan buat lawak pasal suara Azman yang pecah tengah baca surah Yasin. Terus satu kelas tergelak macam orang kena rasuk.

Kesian dekat Azman. Orangnya lembut dan sensitive sedikit. Muka dia sangat merah padam tahan malu. Mula mula dia nak menangis tetapi lepas tu dia turut gelak besar sama, sebab Mail tertelan chewing gum dek kerana galak mentertawakan Azman. Dia hampir hampir tercekik gula gula getah itu. Ustaz Ali pucat mukanya melihat Mail begitu dan mujurlah ada Mek Na, isteri baru Ustaz Ali yang masih pekat inainya di jari pantas menepuk kuat di belakang badan Azman lantas menyelamatkannya. Tak sia sia Ustaz Ali kahwin dengan seorang jururawat muda yang berkaliber.

Ustaz Ali sebenarnya bukan main bekeng. Mukanya jarang menguntum senyum. Dengan hanya menjegilkan mata sahaja, budak budak boleh menangis ketakutan. Tapi malam tu dia sabar sungguh, mungkin sebab malam Jumaat. Katanya dengan muka penuh serius, sambil jari telunjuk dia tegak macam nak cucuk hidung siapa-siapa yang main-main;

“Ilmu isle, ilmu ngaji Qur’e, ni jange buak main deh, esok kalu gi hute, tok rimau buke tanyo bapo UPSR demo,”
(“Ilmu islam, ilmu ngaji Quran, ni jangan buat main ya, esok kalau pergi hutan, tok rimau bukan tanya berapa UPSR kamu,”)

Aku senyum kecil bila teringat ayat Ustaz Ali tadi.

“Dok sabik tok rimau denge Yasin,”bisik hatiku.
(“Takde kaitan tok rimau dengan Yasin,”)

Malam ni aku tak balik dengan saing-saing macam kebiasaan. Ijat dan Mail dah kena jemput naik motor Yamaha RXZ baru oleh abang Ijat. Aku pula entah kenapa malam ni ayah tak dapat datang jemput. Emak awal-awal dah pesan masa aku keluar,

“Abe Mer doh besa panje. Kelik jale kaki deh. Hantu Bakpo? Hantu dok tubik doh zame paka WIFI ni. Relax jah deh,”
(“Abang Amir dah besar panjang. Balik jalan kaki ya. Hantu apa? Hantu tak keluar dah zaman pakai WIFI ni. Relax je ye,”)

Rileklah sangat~~~~

__________________________________________________________________

Langkah kaki aku berbunyi agak deras atas jalan tar yang masih lembap dek hujan petang takdi. Bunyi tapak selipar Jepun berlaga dengan tumit kaki kedengaran jelas. Setiap langkah seakan berbisik,

“Mu soreee, mu soreee, mu soreee…”
(“Kau sorang, kau sorang, kau sorang…”)

Suasana kampung sangat sunyi. Rumah-rumah di kiri kanan jalan macam tidur berdiri. Ada yang dapurnya terpasang lampu mentol mini bulb kekuningan yang samar-samar menampakkan pinggan kotor yang belum berbasuh, dan ada juga rumah yang gelap gelita, macam dah lama tak dihuni. Tingkap tertutup rapat. Daun pintu berkeriuk ditiup angin, dan bau hapak kayu lama sesekali menusuk ke hidung.

Aku baru je lepas keluar dari pagar rumah Ustaz Ali. Tangan masih pegang naskhah Yasin, belum sempat masuk dalam beg plastik putih Tesco yang koyak di tepi. Langkah aku sedikit perlahan sebab malam tu terasa macam lain sikit. Angin malam sejuk semacam, merayap masuk ke celah tengkuk, dan bulan mengambang bulat macam kena pam angin terlebih. Kadang kadang bulu tengkuk meremang. Bulu tangan juga. Sesekali aku jeling belakang. Tak ada apa-apa. Tapi hati aku mula rasa tak sedap masa aku lalu depan rumah Ayoh Chu Napi – rumah paling seram di Kampung Tal Tujuh.

Rumah tu dah lama kosong sejak Ayoh Chu Napi pindah ke Kuala Lumpur ikut anak dia yang kerja gomen. Tapi cerita-cerita seram pasal rumah tu masih berlegar kedengaran. Ada orang nampak kelibat perempuan duduk di tingkap, dan ada yang dengar bunyi ketuk periuk keletang keletung tengah malam; padahal dapur dah reput sangat.

Aku lajukan langkah. Dalam hati baca ayat Kursi tiga kali, campur dengan doa makan; mana tahu ada tok rimau lapar suka baham budak yang tak baca doa.

Sampai dekat kawasan pokok buluh rumah Mek Ta taukeh nasi kerabu, angin tiba-tiba bertiup kuat. Bunyi daun buluh gemersik kuat sangat, seakan akan bunyi orang berbisik. Aku terus teringat cerita Mail minggu lepas . Dia kata dia nampak ada pontianak rambut panjang lepak atas pokok buluh.

“Bakpo la demo duk mikir buke-buke sokmo ni. Maine otok demo belako jah!”
(“Buat apa la kau selalu fikir bukan bukan ni. Ni mainan otak kau je!”)

Aku cuba tenangkan diri lagi. Tetapi masa aku dongak ke atas, aku nampak ada benda putih terawang-awang di beranda rumah Mek Ta.

Jantung aku terus terjun ke perut. Aku pejam mata. Tatkala tangan dah nak cabut selipar Jepun di kaki buat senjata, dan apabila aku buka mata balik;

Benda putih tu kain baju sekolah, tersangkut dekat tali ampaian beranda rumah Mek Ta yang memang suka jemur baju waktu malam.

Aku ketawa sendiri. “Alaaaa. Nate bodo laaaa! Beghona pulok doh Mek Ta ni!”
(“Ala. Binatang bodoh la! Buat hal pulak dah Mek Ta ni”)

Kemudian, setelah hampir 5 minit berjalan, tiba-tiba, dari kejauhan, betul-betul bawah cahaya bulan yang terpacak atas simpang tiga; aku nampak sesuatu. Eh, silap. Seseorang. Seseorang sedang berjalan.

Aku kecilkan mata. Cuba fokus.

“Eh? Oghe ttino koh?” bisik aku perlahan.
(“Eh? Orang Perempuan ke?”)

Ya, Perempuan. Tapi agak aneh dan pelik. Bayangnya putih samar, macam lukisan watercolour yang belum kering. Lenggok tubuhnya lembut macam daun pisang digoyang angin yang aku nampak tadi. Bajunya macam berkibar. Baju kebaya songket siam lama jenis kain lembut.

Kaki aku automatik melambatkan langkah. Rasa ingin tahu mula menjalar. Lagi aku jalan ke depan, lagi jelas susuk tubuhnya. Aku baru perasan sesuatu yang sangat sangat pelik. Aku dah jalan hampir lima belas meter ke depan, tapi kedudukan dia tak berubah langsung. Kakinya jelas melangkah, langkah yang teratur dan perlahan, tapi dia tetap berdiri di tempat yang sama.

Macam… Macam tengah jalan atas treadmill. Macam tengah exercise. Tapi kat simpang tu mana ada gym?!

Aku berhenti. Nafas aku jadi berat, dan degup jantung mula macam alunan kompang masa bekwah Ustaz Ali tempoh hari. Aku pandang bawah; tengok kaki dia. Betul. Langkah perlahan. Tapi badan tak bergerak. Seram sejuk menjalar dari tapak kaki sampai ke tengkuk.

Dengan perlahan aku angkat kepala semula, cuba tenung wajah dia dan masa tu jantung aku hampir gugur. Aku perasan sesuatu lagi dan kali ini aku hampir terkencing terkejut ketakutan.

Allahuakbar!

Tak ada kepala.

TAK.

ADA.

KEPALA.

Lehernya, lehernya rata. Licin macam batang pisang yang dah dikupas. Serta merta aku terdongak ke langit, menngharapkan aku tersilap tengok, atau bulan buat bayang-bayang aneh dan kelakar. Tapi tak, memang tak ada kepala. Tak ada sanggul, tak ada tudung, tak ada pun topi keledar Shoei.

“Guano oghe ttino tu bulih jale kaki takdok pala???”hatiku terdetik.
(“Macam mana orang Perempuan itu jalan kaki tiada kepala?”)

Aku pandang lama. Terlalu lama. Sampai lutut aku ni seolah olah rasa macam baru keluar dari peti ais; menggigil tahap nak rebah. Hampir sahaja aku merasakan aku tiada lagi kaki. Lalu, dalam kepala otak aku menjerit;

“Oii Mer! Lari ge! Lari bodo! Lari! Mu dok tengok gapo lagi? Bakpo pulok dok cegak sini!!”
(“Oii Mer! LariII! Lari bodoh! Lari! Kau tengok apa lagi? Buat apa pulak dok cegat sini!!”)

Sejenak badan aku kaku. Macam kaki dipaku kat atas jalan. Mulut terkunci. Mata terkebil-kebil. Bibir menggeletar.

Akhirnya, dengan sekuat tenaga dan segala kudrat yang aku ada, aku pusingkan badan dan lari sekuat hati. Tak cukup tanah. Tapi entah kenapa, bukan ke arah rumah aku. Aku patah balik ke rumah Ustaz Ali. Mungkin sebab dalam hati aku rasa rumah ustaz ada ‘aura selamat’. Macam ada ‘anti-hantu’ disebabkan bacaan surah-surah dan ayat suci setiap malam. Ataupun lebih tepat aku mengharapkan Mek Na, bini muda Ustaz Ali dapat menenangkan ketakutan aku yang dasyat ini.

Sampai je depan pagar rumah ustaz, aku cuba ketuk pintu. Tetapi tangan aku menggeletar macam daun nyior kena ribut. Tak mampu. Lutut aku lembik. Aku tercungap cungap bagaikan gila. Aku hanya mampu bercangkung di balik pagar kayu di beranda, di sebelah pasu bunga kertas yang daun dia dah separuh mati.

Mulut aku kumat-kamit baca ayat ayat suci. Tapi semua keluar bercampur-campur.

“Bismillahirrahmanirrahim… Bismillah… Bismillah… Eh, Al-Ikhlas koh, Al-Fatihah koh? Hok mano so dulu? Astaghfirullah… eh Ya Latif… Ya Allah… A’uzubillahi minasy syaitonirrojim… Allahula ila ha illa…”
(“Bismillahirrahmanirrahim… Bismillah… Bismillah… Eh, Al-Ikhlas ke, Al-Fatihah ke? Mana satu dulu? Astaghfirullah… eh Ya Latif… Ya Allah… A’uzubillahi minasy syaitonirrojim… Allahula ila ha illa…”)

Satu ayat pun tak habis. Semuanya tersangkut macam radio rosak.

Aku rasa aku bercangkung duduk situ sejam. Tapi mungkin baru sepuluh minit. Telinga aku menangkap lagu dangdut sayup-sayup dari rumah sebelah. Mek Bedah pasang radio kuat. Lagu “Goyang Inul” berkumandang lembut tapi cukup jelas. Ironi betul. Tengah takut hantu separuh mati, tapi latar muzik macam dekat funfair kampung.

“Kalu ttino tu oghe sungguh, lamo doh jale lintah aku,” lalu aku bisik sendiri.
(“Kalau orang perempuan tu manusia, lama dah jalan melintasi aku,”)
Aku beranikan diri dan jenguk semula ke arah simpang. Tak ada siapa dan tiada bayang.

Aku telan air liur kelat. Mata aku melilau. Masih rasa tak sedap hati. Tetapi kalau aku tak balik sekarang, emak mesti tertunggu tunggu. Kalau lambat nanti kena rotan pula. Silap silap kena tuduh pergi rumah saing-saing aku.

Aku cekalkan hati. Bangun perlahan-lahan. Sapu lutut.

“Bismillah… Bismillah… Kalu oghe ttino tu kejar, aku nok jeghit sapa ko ujung jale. Biar satu kapung jago blako,” aku bermotivasi kepada diri sendiri.
(“Bismillah… Bismillah… Kalau orang perempuan tu kejar, aku nak jerit sampai ke hujung jalan. Biar satu kampung terjaga,”)

Dan bermulalah larian paling dramatik dalam sejarah hidup aku.

Aku lari sambil menjerit dengan sekuat kuat hati:

“ALLAHUAKBAR!! ADO HANTU!!! HANTU TAKDOK PALA!!!!!!”

Satu kampung gegar. Rumah Pok Eei Pendek yang dekat simpang tu lampu terus menyala. Pak Eei tengah minum kopi, terus tersembur air kopinya.

“La ilaha illallah! Ni anok sapo pulok doh ni?” jerit Pok Eei pendek, bangun sambil pegang cawan.
(“La ilaha illallah! Anak siapa pulak ni?”)

Rumah sebelah pula, Cikgu Khairul yang tengah marking buku latihan anak muridnya, terjenguk dari tingkap sambil pakai cermin mata rabun dekat hujung hidung.

“Amir? Bakpo mu ni?!!!!”teriaknya sedikit marah.
(“Amir. Kenapa kau ni?”)

Aku tak jawab. Aku lari terus. Macam pelari pecut 100 meter, tapi dengan gaya macam ayam kena sembelih takde kepala.

Sampai je depan rumah, emak buka pintu dengan muka panik dan terpinga .

“Astaghfirullah! Mu ni bakpo jeghit supo gilo?!”marah emak.
(“Astaghfirullah! Kamu ni kenapa jerit macam orang gila?!”)

Aku tak cakap apa. Terus peluk emak kuat kuat. Air mata jantan pun meleleh sikit; antara takut, lega, dan malu. Hilanglah macho aku.

“Abe Mer cu ghoyak , bakpo jeghit takdi?”nada emak mulai lembut sedikit.
(“Abang Amir cuba cerita, kenapa jerit tadi?”)

“Ambo jupo oghe ttino takdok palo, Maaaaa…”jawabku tersedu sedan.
(“Saya jumpa orang perempuan takde kepala, mak,”)

Emak terdiam. Emak pandang aku. Lama. Kemudian dia tutup pintu perlahan-lahan.

“Mu tunggu situ. Ma gi ambik air Yasin.”

Malam tu aku tidur peluk botol air Yasin dan letakkan naskhah Yassin kiri dan kanan bantal.

Dan sebelum aku tidur, ayah pula tak habis-habis ketawa.

“Orang kepala tak ada naik treadmill? Tu mungkin hantu ‘fit’. Hantu zaman moden. Kau tunggu je, esok dia buka kelas Zumba,”

Tak kelakar la ayah. Aku tarik selimut sampai ke hidung. Dalam hati, aku sendiri pun tak tahu – betul ke hantu?

SEKIAN.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Fathi Othman

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.