Aku minta maaf ambil masa yang lama untuk sambung bahagian kedua. Sebenarnya aku dah taip hampir habis dah cerita. Bila aku bukak laptop untuk sambung sedikit saja lagi kisah tu, cerita tu tiba-tiba hilang. Aku menyusun sepuluh jari di atas kesilapan aku dan jangan risau, cerita kat bawah ni tak mengubah jalan cerita pun. Hanya saja cara penceritaanku yang berubah. Sepatutnya lagi panjang, tapi aku ringkaskan saja sebab takut korang tertunggu.
Apapun, aku galakkan korang untuk baca kesemua karya aku yang lepas dulu sebelum baca yang ni bagi memudahkan korang faham apa yang aku ceritakan.
“OKAY macamni, kita cari Fiqri dulu sebab sekurang-kurangnya dia pandai sikit nak baca-baca ni. Lepastu kita round je kawasan ni sebab aku yakin kita semua kena benda sama. So, kita round je dan inshaa Allah kita boleh jumpa yang lain tu. Macam mana? Kau setuju?”
Amanda diam seketika mendengar plan aku. Tidak lama kemudian, dia pun anggukkan kepalanya tanda setuju. “Boleh jugak. Jom ah”.
Tanpa membuang masa, kitorang pun mula berjalan. Sepanjang perjalanan memang meremang habis bulu roma. Kau bayangkan, kau kat mana entah sekarang, kiri kanan memanglah bangunan, tapi betul-betul ke semua bangunan yang kitorang tengok sekarang?
Ah, betul tak betul, kisah pulak. Sekarang ni apa yang penting, kena cari budak berempat tu. Dan dalam pada masa yang sama, kena berhati-hati dengan Amanda. Sebab boleh jadi makhluk tu menyamar jadi budak Amanda tu sekarang.
Bunyi-bunyi anjing, burung hantu, serangga semuanya bergabung memecahkan kesunyian malam. Memang aku meremanglah. Dengan angin malam yang sejuk, ditambah pulak dengan benda-benda yang jadi daripada tadi, lagilah tak keruan.
“Kasy, kau rasa kita jadi macam ni sebab tak ikut apa yang Pak Lat bagitau ke?” Amanda mula membuka mulut.
Aku memandangnya seketika sebelum lepaskan keluhan kecil. “Mungkin, boleh jadi”. Jawabku yang enggan menyesali apa yang dah berlaku.
“Tapi, kau tak terfikir sesuatu ke?”
Dahi aku berkerut. “Terfikir apa?”
“Kenapa kira berenam?”
“Maksud kau?” soalan dia aku balas dengan soalan.
“Yelah, sekarangni aku yakin yang mengantuk tu memang hanya kita berenam je. Lepas apa yang kita dah lalui selama ni, takkan kau tak perasan. Kenapa semua yang extreme, semua libatkan kita berenam? Kau tak perasan?”
Aku terdiam, mula mencerna apa yang cuba Amanda sampaikan. “Maksud kau, kita mengantuk serentak ni sebab memang ada yang aim kita ke macam mana?”
Amanda anggukkan kepala perlahan. “Aku rasa macamtu. Aku rasa, kita berenam dah sinonim dalam dunia ni. Kalau nak dikatakan kebetulan, kenapa bukan kau sorang? Kenapa bukan aku, kenapa bukan yang lain-lain? Kenapa perlu kita berenam? Kau nampak tak?”
“Entahlah, Manda. Aku pun tak boleh nak fikir apa-apa sekarang ni. Kita ikut je apa yang jadi. Andai kata aku mati dan tewas dalam dunia ni, kau bawak keluar semua kawan-kawan kita dengan selamat”. Ayat itu spontan keluar dari mulutku ketika itu. Sebab, aku dah penat. Aku nak hidup macam orang normal. Tapi, semakin menjadi-jadi pula apa yang jadi.
Amanda tanpa membuang masa terus tumbuk lengan aku. “Kau dah kenapa? Bodoh ke? Lepas kau dah buat dosa dekat kitorang semua, senang-senang kau nak mati gitu je?” bebel Amanda dan aku hanya balas dengan gelak kecil.
Tidak lama kemudian, Amanda tiba-tiba pulak nak terkucil. Aduhmak, masalah betul lah perempuan ni.
“Kau jangan tinggalkan aku tau. Memang bangsat kalau kau tinggalkan aku macam tu je”. Pesannya sebelum menghilang di sebalik dinding tandas. Harap Si Amanda ni perempuan je. Kalau tak, aku dah ikut dah dia masuk ke dalam. Seram sangat kat luar ni.
Melilau mata aku memandang kiri dan kanan. Kesemua blok ini gelap. Aku pun tak pasti blok ini blok apa. Belum sempat teroka dah kena yang bukan-bukan.
Sambil tunggu Amanda, aku pun mula mengimbas apa yang baru sahaja terjadi. Sebenarnya apa yang berlaku? Betul ke sebab mulut aku celupar? Kalau sebab celupar, kenapa yang lain pun kena sekali? Sebab aku sorang je yang main cakap lepas.
Dan kesemua yang terjadi dekat aku, kesemuanya berkaitan dengan cerita-cerita kliche zaman sekolah yang aku perlekehkan sebelum ini.
Aku bersandar pada dinding dan kemudian labuhkan punggung di atas lantai. Perut tiba-tiba berbunyi. Bila dah banyak gunakan tenaga ni memang cepatlah perut aku lapar.
Amanda ni pun bapak lama siak dalam toilet. Sampai jelas kedengaran perut aku berbunyi. “Weh Manda, lambat lagi ke?” soalanku tidak berjawab. Aku dah tak sedap hati, firasat aku kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang akan terjadi selepas ini.
Tapi tak boleh dibiarkan, takut nanti apa yang aku fikirkan salah sama sekali. Jadi, aku pun masuk ke dalam tandas. “Manda, aku masuk tau ni. Kalau kau ada kat dalam, kau bagitau”.
Sunyi. Asudah, aku rasa macam dah dapat agak dah apa akan jadi lepasni. Tapi aku tetap beranikan diri, manatahu Amanda terpengsan ke kat dalam, sebabtu tak dapat nak jawab. Andaian, walaupun aku dah boleh agak apa yang akan berlaku sekejap lagi.
Masuk sahaja ke dalam tandas, seperti yang dijangkakan, aku ternampak ada satu makhluk hitam di dalam salah sebuah tandas sedang duduk mencangkung sambil menjilat…. tuala wanita yang masih berdarah. Panjang lidahnya menjilat setitis demi setitis darah yang mengalir sebelum tuala wanita itu diperah dan mengeluarkan lebih banyak darah.
Sumpah masatu tekak aku rasa kembang sangat, tapi aku tak nak makhluk tu sedar akan kehadiranku kat situ. Jadi, tanpa membuang masa aku pun berniat untuk berlalu dari situ. Sebaik sahaja aku berpusing menghadap pintu keluar, tiba-tiba Amanda berada betul-betul di depanku. Sekali tengok pun memang tahu orang kat depan aku ni bukan Amanda sebab orang cakap, kalau nak tahu jin tu menyamar jadi manusia ataupun itu memang manusia, tengok je garisan antara bibir dengan hidung.
Kalau takde garisan, maknanya benda tu adalah jin. Dulu, aku anggap benda tu karut dan sekadar urban legend yang sengaja dicipta untuk mewujudkan suasana seram di alam persekolahan terutamanya asrama. Tetapi bila dah nampak depan mata, okay. Aku iyakan.
“Weh, kau kat sini rupanya. Terkejut aku. Aku masuk sebab kau tak keluar lagi. Kau dah ke?” aku buat-buat macam tak tahu yang kat depan aku ni bukan Amanda, walaupun dalam hati dah kecut macam nak mati.
Amanda tunduk sambil gelengkan kepala. Asudah, pishang. Aku pun ambil peluang ni untuk toleh ke belakang, nak tengok apa makhluk tadi buat. Tapi dah takde. Ni mesti makhluk tu yang menyamar jadi Amanda sekarang.
“Oh, kalau macam tu, aku tunggu kau kat luarlah macamtu”. Aku rasa ini je cara untuk aku larikan diri daripada kena cekik sebab pintu kat belakang minah ni je. Tandas ni ada dua pintu. Yang lagi satu tu agak jauh, entah makhluk macam mana pulak yang tunggu kat situ, aku pun tak pasti.
Alang-alang dia dalam wujud Amanda, bolehlah aku berani sikit walaupun dia setakat menyamar. Daripada pintu yang lagi satu, ada yang tunjuk wujud yang lebih dahsyat, lagi pishang aku nanti. Nak tak nak, kena beranilah jugak walaupun keberanianku betul-betul di hujung tanduk sekarang ni.
Tanpa menunggu kata balas, aku pun mula mengatur langkah menuju ke arah pintu. Belum sempat aku mendekati pintu, tiba-tiba klon Amanda mula bersuara. “Tunggu kat luar ke, dah tahu?”
Dengar je ayat tu, aku apalagi. Berdesup berlari keluar. Sempat aku menoleh ke belakang, memang sah makhluk hitam yang aku jumpa tengah hisap darah tadi menyamar jadi Amanda. Kurang ajar, rupa-rupanya dari tadi aku bersembang dengan Amanda palsu!
Lari punya lari, sekali lagi aku terlanggar seseorang. Kali ini bukan aku yang jatuh, tapi orang tersebut. Dan sekali lagi, aku dengar suara yang sedang mengaduh kesakitan tu adalah suara Amanda.
Apabila mata kitorang bertentangan, kedua-dua kami menjerit sebab terkejut. “Kau kalau nak menyamar jadi kawan aku, tak payah eh. Aku dah penat!” marah makhluk yang serupa Amanda tu.
Aku blur. Eh, eh. Pandai eh berlakon. “Kau tak payahlah nak acah-acah macam kau tu manusia. Aku dah tahu taktik kau. Baik kau bagitau, mana semua kawan-kawan aku?!” marahku pulak.
“Aku menyamar? Eh, kau yang tak payah acah. Kau ingat aku takt ahu kau ni siapa?”
Mendengar kata-kata makhluk tu, aku pun mula memerhati wajah klon Amanda itu. Kelihatan dia ketakutan sebelum aku pegang kepala dia dan mula membacakan ayat suci Al-Quran. Dia tidak meronta sebaliknya menyepak kakiku membuatkan aku mengaduh kesakitan.
“Sakit, bodo. Haa, kau Amanda betul-betul kan? Tak payahlah tendang aku, aku Kasyaf!”
Aku yakin itu Amanda melalui garisan antara hidung dan mulutnya. Wajahnya juga tidak sepucat tadi.
Amanda terdiam. “Betul, betul? Tadi pun dia mengaku dia Kasyaf”.
“Iya, aku Kasyaf. Kalau bukan, takkanlah aku baca ayat Quran”.
“Masalahnya, sebelum aku masuk toilet tadi pun, makhluk tu pun baca ayat Quran nak buktikan dia tu Kasyaf. Lepas je aku keluar dari toilet, eh, rupa-rupanya makhluk lain. Aku taknak kena tipu untuk kali yang seterusnya. Aku penat!” suara Amanda seakan-akan hendak menangis.
Kejap.. “Maksudnya, kau memang betul-betul pergi jamban ke tadi?”
Amanda perlahan-lahan anggukkan kepalanya. “Haa laa. Asal?”
“Kiranya, aku temankan Amanda yang betul-betul dan kau memang ditemani Kasyaf yang betul-betul. Cumanya bila aku masuk jamban, aku jumpa Amanda palsu. Masalahnya, bila masa kau keluar jamban?”
“Ye ke? Kiranya memang kaulah yang temankan aku pergi toilet tadi? Tapi, bila aku keluar je toilet kau terus tak bercakap”.
“Haa, aku pulak tak nampak kau keluar bila. Betul lah tu. Benda tu nak pisahkan kita lagi sekali dengan menyamar jadi kita,” aku mengemukakan pula pendapatku.
Amanda senyap seketika sebelum dia kembali membuka mulut. “Maksudnya kau ni memang Kasyaf?”
Aku anggukkan kepala. “Dan kau memang Amanda kan?”
Amanda iyakan. Setelah confirm masing-masing adalah manusia yang sebenar, kitorang pun bersandar pada dinding yang berdebu.
“Apa sebenarnya yang jadi ni?” keluh Amanda. Kedengaran dia sudah mulai menangis. Aku pulak buntu, aduhmak. Perempuan ni menangis-menangis pulak masa-masa macamni.
“Kau menangis dah kenapa? Bukan boleh settlekan masalah”.
“Diamlah. Suka hati akulah nak menangis ke, nak melalak ke,” marahnya.
Pulak dah. Aku pulak yang kena marah. Setelah keadaan agak reda, Amanda akhirnya bersuara semula.
“Weh, aku rasa macam nilah”.
Dahi aku berkerut. Aku pandang Amanda yang sememangnya sudah tidak terurus. “Macam ni, macam apa? Bagitau direct boleh?”
“Sabarlah. Aku nak explain ni,” Amanda jeling aku dan aku angkat tangan tanda mengalah.
“Haa, teruskan”.
“Kau terfikir tak yang situasi kita ni dah macam dalam situasi explorace. Ataupun apa-apa game yang memerlukan kita menang untuk naik ke level seterusnya?”
“Maksud kau?”
“Macam ni, kau main kan apa-apa game yang memerlukan level. Lagi tinggi level, lagi banyak kau kena buat. Untuk naik ke level seterusnya, kau kena fikir betul-betul apa strategi nak kena buat supaya kau tak terus stuck dekat level yang sama. Kau faham tak?”
Aku cuba hadam apa yang Amanda cuba sampaikan dan perlahan-lahan aku anggukkan kepala apabila aku sudah mulai menangkap apa yang dia cuba sampaikan.
“Okay faham. Tapi kenapa kau boleh terfikir pasal benda ni?”
“Kau pun tahu kan, sejak kes kita kena dekat asrama dulu, kita selalu kena benda-benda pelik. Dahlah masa kena tu, mesti kita berenam jugak. Tak pernah salah seorang je yang kena. So, aku dapat rasa ada antara diorang yang mungkin berdendam dengan kita,” jelas Amanda bersungguh-sungguh.
Aku terdiam dan cuba menghadam. Benda ni sangat rumit untuk aku cari di mana letaknya logik akal. Ya faham, memanglah semua yang jadi akan melibatkan kitorang berenam. Tapi, kalau betul ada dalangnya, siapa? Sedangkan semua yang kitorang lalui semuanya aku anggap sebagai kebetulan.
“Kau rasa aku mengarut ke Kasy?” persoal Amanda. Aku cepat-cepat menoleh ke sebelah memandangnya.
“Entahlah, mungkin aku lelaki dan kau perempuan. So, aku malas nak fikir apa sangat sebab bagi aku mungkin semua ni kebetulan. Kau pulak perempuan, sifat semulajadi perempuan adalah overthinking. So, aku tak nafikan cumanya otak aku perlukan masa untuk nampak kaitan yang kau cakap tu,” aku berkata jujur sebab memang aku tak nampak apa perkaitannya sekarang.
“Ini bukan soal perempuan lelaki, Kasy. Ini soal kita dengan makhluk alam ghaib. Aku bagi konsep mudahlah kat kau. Ustaz-ustaz yang mengubat, dukun-dukun yang membela, sekali diorang terlibat dalam dunia ni, akan banyak benda yang akan aim diorang. Kalau bukan untuk menghancurkan, diorang akan sesatkan. Kau kena tahu, dunia ghaib ni penuh dengan tipu muslihat, penuh dengan misteri.
So, tak mustahil antara banyak-banyak yang kita lalui selama ni, ada satu yang berdendam dan bercadang untuk hancurkan kita berenam,” ketika itu, otak aku baru terasa celik. Bijak jugak Amanda ni rupanya. Bila dia dah jelaskan macamni, barulah aku faham apa yang dia cuba sampaikan.
“Oh, faham. Explainlah macamni dari awal. Ni, bagi ayat separuh-separuh, memang aku faham pun apa yang kau nak cakap,” bebelku membuatkan aku menerima jelingan tajam daripada Amanda.
Ah sudah, perempuan ni dia hantu ke?
“Okay, aku salah. So sekarang ni, kau cuba nak bagitau aku yang sebenarnya kita dekat sini sebab ada seseorang ataupun sesuatu dah perangkap kita dan suspek dia adalah makhluk-makhluk yang mungkin pernah kita kacau dulu. Macam tu?”
Pada awalnya Amanda macam tak nak layan aku, tapi lepastu dia pun iyakan.
Keadaan kembali sunyi. Masing-masing cuba untuk memahami situasi yang berlaku. Dan tidak lama kemudian, aku terus memandang Amanda. “Kau ingat tak, Hairi Sihir?”
Amanda pandang aku dan perlahan-lahan dia anggukkan kepalanya. “Dia ke?”
“Aku dapat rasa tu dia. Cumanya kita tak tahu siapa sebenarnya seorang Hairi Sihir tu. Dia ingat dia gempak ke bahasakan diri sebagai Hairi Sihir. Acah-acah Harry Potter,” aku bersuara sinis. Sakit hati membayangkan kalau betul-betul dalang itu adalah Hairi Sihir.
Amanda tertawa kecil. “Bodoh ke Harry Potter”.
“Jadi, apa kita nak kena buat sekarang?” soalku.
Amanda gelengkan kepala tanda tak tahu dan masatu tiba-tiba otak aku macam berfungsi.
“Kau perasan tak, semua yang jadi dekat kita tadi adalah benda-benda kliche yang jadi kat sekolah? Yang kita selalu dengar setiap kali nak masuk asrama.”
Amanda anggukkan kepala berkali-kali. “Haah kan. Mula-mula penari lama, lepastu kena dengan makhluk menyamar jadi kawan kita, lepastu aku kena dengan hantu yang menyamar jadi kau. Kau pulak?”
“Lebih kurang je. Aku yang first sama, penari. Lepastu nenek kira katil, pastu kisah seram toilet yang selalu bagi ayat ‘Nak balik ke dah tahu?’. So, sekarang ni, yang aku perasan, aku start jumpa kau balik bila aku larikan diri je daripada diorang. Aku rasa kita kena lebih cool lepasni, jangan nampak sangat kita ni tengah ingat tentang apa yang orang dah ceritakan. Kita anggap je diorang ni macam manusia b…” belum sempat ayatku habis, tiba-tiba ada suara menyapa kitorang dan kebetulan perutku ketika itu sangat kuat berbunyi.
“Lapar dik? Mak cik ada jual karipap ni,” suara itu betul-betul kat depan kitorang masetu. Dan masalahnya sekarang, aku dengan Amanda sekarang ni dekat beranda. Tapi pemilik suara tu berada dekat luar beranda. Tak payah nak tak perasan sangat, memang kalau ikut secara logik fizik dan akal pun, kitab oleh tahu yang orang biasa takkan mampu berdiri terapung dekat udara.
Aku dan Amanda berpandangan antara satu sama lain. “Jual karipap pulak dah…..” meleret suara Amanda sebelum dia memandang ke depan sambil tersengih.
“Dia senyum kat aku balik, Kasy…..” mendengar kata-kata Amanda, automatik kepala aku menoleh ke arah pemilik suara.
Orang cakap, hantu ni takde muka. Tapi yang kat depan kitorang sekarang ni memanglah ada muka, cuma masalahnya buruk yakmat. Muka dia macam muka perempuan tua, cuma sebelah mata dia terjojol sikit. Biasalah tu, anak buah dajjal. Cuma aku puji sebab dia pakai kain untuk tutup kepala. Alhamdulillah, pandai jaga aurat.
“Nak beli karipap dik? Akak dengar kuat tu bunyi perut,” lemah lembut je suara. Halah halah.
Aku ajak Amanda untuk berdiri. “Mana karipap tu nak tengok. Selalu orang cakap makcik karipap malam-malam ni sedap,” aku pandang wajah seram itu sambil tersenyum gatal. Amanda kat sebelah sudah menyiku aku.
Manakala makhluk di hadapan kitorang sekarang mula memandang aku pelik. “Apa maksud kamu?”
“Laaa, nak tengok karipap akak jual pun kena ada maksud ke? Ke otak akak ni kotor fikir yang bukan-bukan? Tu, yang akak jual. Akak jual karipap kan?” tegasku pula.
Takut tolak tepi. Nak tahu jugak apa jadi kalau kita melayan.
“Kamu pernah dengar, kisah misteri akak karipap?”
“Pernah. By the way, berapa harga ni kak?” soalku sambil menahan rasa nak muntah. Bukak sahaja bakul yang akak tu bawak, memang aku bagitau korang, penuh dengan bangkai kepala tikus. Ada yang menghitam, ada yang masih berdarah lagi.
“Apa kamu berdua tidak takut dengan kisah itu? Yalah, orangnya bukan berada di beranda, tetapi terapung di udara,” akak tu mula bergerak ke depan. Mungkin nak bagi kitorang faham kot yang dia tu hantu.
“Biasalah tu kak. Sekarang zaman macam-macam boleh jadi. Besi pun boleh terbang, inikan pulak kita ni kak yang ringan tak sampai satu tan….” Jawabku meleret sambil menahan muntah dek kuatnya busuk bangkai kepala tikus itu.
Akak karipap tu senyap. Tiba-tiba dia jatuhkan bakul karipap dia tu dan matanya mula merenung mata aku sebelum beralih pada Amanda. Sempat aku bagitau Amanda untuk layankan saja walaupun sekarang kencing aku betul-betul di hujung pundi kencing. Kena jentik sikit memang basah lecun seluar aku.
Daripada wujud seorang wanita, tiba-tiba kulit wajahnya mulai mengelupas. Ni kalau aku cerita depan-depan, memang korang tak percaya. Tapi itulah apa yang jadi depan mata. Mata dia tu melotot jatuh ke pipi dan bau badan dia dah sama naik dengan bau bangkai tikus tadi. Ikutkan perasaan takut, memang lari lintang-pukang. Tapi apa yang aku dan Amanda fikir sekarang tak lain tak bukan, kena ikut je apa yang diorang buat. Jangan lari, sebaliknya melayan.
Manatau lepasni akan wujud urban legend terbaru, TIPS HADAP HANTU ASRAMA, LAYAN JE. Nama pun eksperimen kan, diri sendiri jadi tikus makmal pulak tu.
Dia perangkap kita, kita ikut permainan dia. Jumpa boss dia, baru tahu macam mana cara nak ajar. Kot.
“Uiyooo, jadi transformer. Dahlah kak, bosanlah akak ni. Orang nak beli karipap kot. Bukannya nak tengok aku tukar-tukar costume,” aku cuba untuk bertenang lalu menarik lengan baju Amanda untuk berlalu dari situ.
Tiba-tiba akak tu tergelak. Entah apa yang kelakar sangat aku cakap tadi pun aku tak tahu. “Buat-buat berani ke? Usah sembunyikan rasa takutmu. Hatimu itu penuh dengan riak dan munafik. Kau fikir kau saja yang berani, padahal jauh di sudut hati itu ragu dengan kekuasaan Tuhanmu!” dia tertawa lagi. Alamak, deep pulak ayat dia.
Aku menoleh ke belakang. Sikit lagi aku nak menjerit sebab terkejut tengok muka dia yang menakutkan. Aku tak boleh nak explain macam mana sebab walaupun dia berjasad manusia, tapi muka dia tu sumpah seram. Pucat lesi dengan mata dah takde sebelah kiri. Dah cakap kan, anak buah dajjal.
“Bukan buat-buat berani kak. Masalahnya sekarang ni, saya sendiri pun tak tahu saya kat mana. Saya minta maaf sebab masuk dalam dunia akak tanpa izin. Demi Allah saya tak sengaja. Sekarang ni saya nak cari kawan-kawan saya je. Saya janji lepas saya jumpa kawan-kawan saya, saya akan cari jalan keluar dari sini. Akak hiduplah dalam dunia akak ni dengan tenang,” balasku, bercakap macam tengah berunding dengan manusia.
Akak tu tergelak dengan kaki berkudisnya itu terapung tak jejak lantai. “Apa kau yakin, kau bisa keluar dari sini semudah yang kau sangka? Dendam pait ora bakal diilangi kaya ngono wae. Sampeyan ngganggu, sampeyan bakal mati”.
Asudah, mengarut apa pulak dia last-last. Aku rasa tulah kot dia cakap. Kepada orang Jawa yang membaca, aku betul-betul minta maaf kalau apa yang aku taip ni salah. Aku cuma bagitau apa aku dengar je.
“Aku tahu korang memang takkan lepaskan kitorang dengan mudah. Tapi, kun fa ya kun. Aku lebih percaya kalimat itu berbanding dengan apa yang kau dah lafazkan. Kita makhluk Tuhan, Tuhan kita sama. Melainkan cara kita pilih perjalanan hidup je berbeza. You wanna kill me, I don’t care. Because my… my nyawa, God hold”.
Sebaik aku cakap macam tu, terus aku ajak Amanda berlalu dari situ. Kedengaran orang kat belakang menjerit, sumpah seram dan merindingkan bulu roma. Bingit, busuk, dan banyak lagi penjelasan negatif yang aku boleh bagitau untuk korang bayangkan.
“Kau kalau tak pandai speaking, tak payah acah. Merepek apa?” bebel Amanda membuatkan aku menjeling ke arahnya dengan perasaan tak puas hati.
“Apa? Betul dah aku cakap. Dia kalau nak bunuh aku, aku tak kisah sebab nyawa aku Allah pegang. Dia ingat dia cakap dalam bahasa Jawa dia tu, habis gempak ah? Aku tak boleh cakap bahasa yang kita faham, macam tu?”
Amanda lepaskan keluhan. “Bukan masalah gempak tak gempak. Aku cakap je. Bernanah telinga aku dengar kau speaking tah apa-apa”.
Aku malas nak membalas, aku senyap je. Ini bukan masa nak tasmik bahasa orang puteh. Ini masa untuk mengetahui apa pula yang akan terjadi selepas ini.
Jalan punya jalan, tiba-tiba kedengaran ada bunyi banyak tapak kaki kat bawah. Di hadapan blok ni ada satu tapak dan setiap blok asrama ni berhadapan antara satu sama lain. Jadi, dari tempat aku dan Amanda sekarang, memang boleh nampak apa yang terjadi kat bawah.
Dan terkejut aku, tiba-tiba kawasan yang tadinya hanya bunyi tapak kaki, kini berubah menjadi bunyi orang berkawad. “Hantu Jepun”. Ujarku dan Amanda serentak.
Kisah hantu Jepun ni pun antara kisah legend yang terkenal di asrama khususnya. Urban legend setiap sekolah mesti akan claim sekolah diorang tu dulu tapak perkuburan askar Jepun, sebabtu kalau malam-malam mesti akan dengar ada orang berkawad. Bila diintai, mesti berpakaian uniform askar Jepun dulu-dulu. Selama aku duduk kat asrama, tak pernahlah pulak kena macamni.
Semua yang aku dengar selamani, aku alami sendiri malam ini. Tengoklah bawah tu, sakan diorang berkawad dan memandang ke arah aku dan Amanda. Memang kecut perutlah, dari tingkat dua ni memang clearlah muka diorang macam mana. Muka masing-masing macam hancur sebelah, nak menggambarkan yang diorang tu dulu mati kena bomlah tu kot.
Diorang mula berkawad dengan wajah serius. Ni aku cerita, mesti korang tak rasa apa-apa kan. Tapi tulah, bila korang duduk dekat tempat aku dan Amanda masetu memang korang boleh rasa yang jantung korang tu takde function dah. Berlagak tenang tapi jantung rasa mcam nak tercabut bila tengok muka masing-masing.
Sebab kau tahu yang berkawad kat bawah tu bukan manusia, dalam keadaan gelap tetapi wajah diorang tu jelas sebab disimbah cahaya bulan mengambang. Sekeliling bangunan ni ada pokok ara, subur dan besar-besar. Dalam suasana macam ni, korang ternampak orang berkawad dalam keadaan jasad tak sempurna, boleh ke korang nak hidup tenang?
Ya, memang tak boleh. Jadi sekarang ni memang kitorang buntu nak buat apa. Sebab macam tiada jalan keluar dan kitorang pun tak tahu sama ada aku dengan Amanda je ke kat sini ataupun ada kawan-kawan yang lain sebab sepanjang perjalanan memang tak jumpa langsung diorang.
Jadi sekarang aku assume, mungkin kitorang berdua agaknya dan segala ramalan kitorang tadi, aku cancelkan sebab sekarang ni mungkin dunia ini nak culik aku dan Manda jelah agaknya.
Sedang ralit melihat ‘persembahan kawad kaki’ itu, tiba-tiba kawasan ini menjadi cerah. Cerah dengan cahaya obor yang entah bila munculnya. Bila aku toleh belakang, ada satu obor yang digantungkan pada dinding betul-betul di belakang aku dan Amanda membuatkan kawasan ini kelihatan terang dengan cahaya api.
Aku pandang semula ke kawasan lapang tersebut. Tentera Jepun itu kelihatan masih berkawad, cumanya diorang mula menyusun kedudukan mengelilingi di bahagian tepi tapak sahaja. Kawad punya kawad, tiba-tiba dari salah satu bangunan muncul pula 7 orang wanita yang aku nampak dekat pantai tadi berjalan menuju ke kawasan tengah. Dekat tengah tu pulak, entah bila masanya tiba-tiba pulak ada muncul lelaki tua duduk bersila dengan kain kuning dililit di kepala sambil tangan bersedia untuk memukul gong-gong kecil.
Sebaik sahaja gong dipukul, automatik alunan muzik Ulek Mayang bergema di kawasan ini. Apalagi, perempuan-perempuan berpakaian tradisional itu pun mulai mengatur Langkah tarian sambil mata diorang memandang tepat ke arah aku dan Amanda.
“Weh, Kasy. Apa jadi sebenarnya ni?” soal Amanda kepadaku.
“Tak tahu, kita sama-sama baru hadap harini”. Rungutku. Amanda punya soalan macam aku pernah lalu je semua benda sebelumni.
“Kasy, aku rasa meremang gilalah. Semua diorang pandang kita. Muzik tu makin lama makin mendayu, tarian diorang tu kau tengok, makin longlai. Tapi mata tak lepas-lepas tengok kita,” Amanda mengutarakan rasa hati. Aku tergelak, tergelak bukan sebab lucu. Tetapi buntu. Sebenarnya apa yang terjadi. Lama-lama aku boleh jadi gila kalau setakat nak menyaksikan semua benda ni.
Kawad semakin kuat, tarian semakin rancak, bunyi gong semakin seriau terasa menusuk ke gegendang telinga. Gelang kaki juga tidak ketinggalan berbunyi membuatkan seluruh kawasan ini dipenuhi dengan bunyi-bunyi aneh.
“Tahlah, aku tak faham. Apa sebenarnya diorang nak buktikan? Jom, kita hadap diorang. Selagi kita tunggu, selagi tu kita takkan tahu apa yang jadi,” aku dah tak boleh sabar masatu sebab macam melampau sangat. Sekarang ni perasaan takut aku tolak tepi, yang aku nak, aku nak tahu apa sebenarnya dia nak daripada aku dan Manda.
Amanda cepat-cepat tahan aku. “Kau gila ke hah? Sekarang ni kita bukan berhadapan dengan manusia tau. Kita berhadapan dengan Jin. Kalau kau baran macamni, benda ni takkan selesai!”
Aku bila dengar Manda membantah, perasaan amarahku semakin meluap-luap. “Habistu, kau nak buat apa? Tunggu je kat sini sampai diorang bunuh kita?”
Amanda tumbuk bahu aku dengan kuat. “Kau dah lupa ke apa yang terjadi selama ni. Dari awal kita kena sampai yang ke haritu, majoriti diorang kalah dengan permainan hati. Pengetua, terjerumus dalam dunia ni sebab tak puas hati cinta dia ditolak, Bella sihir kau sebab dia jealous kau rapat dengan Nana, Nana mati sebab kerakusan ayah dia sendiri, kampung Pak Juna hancur disebabkan kerakusan Indera.
Dalam banyak-banyak yang jadi ni, kau nampak tak semua ni jadi bermula daripada sini…” Amanda tepuk dada kiri aku.
“Hati. Bila hati dah hitam, tak mampu nak kawal apa yang jadi, orang lain jadi mangsa. Sekarang ni, kita tak tahu Rizman, Helmi, Fiqri dan Ameen tu semua kat mana. Kalau diorang takde sekali dengan kita tak apa. Macam mana kalau diorang ada kat sini? Kau nak ke diorang terseksa sebab kau asyik ikut kata hati yang tengah marah sekarang ni?”
Kali ini aku senyap. Aku iyakan kata-kata Amanda lalu aku pun terduduk bersandar pada dinding. Bunyi rancak kat bawah aku abaikan, sebaliknya otak aku terasa sangat serabut. “Aku penat, Manda. Apa lagi silap aku buat sampai-sampai banyak benda kita kena hadap? Kalau aku ada silap, kenapa bukan aku je yang kena? Kenapa nak kena heret korang sekali?”
Amanda duduk kat sebelah aku. “Paham. Tapi sekarang bukan masa untuk salahkan diri sendiri. Dari awal kita hadap sama-sama, jadi kita kena akhirkan sama-sama. Doakan semoga ini last kita lalui benda ni”.
“Boleh jadi last, sebab mungkin kita keluar tak bernyawa dari sini lepasni”. Aku tersengih sinis. Bukan memperlekehkan Manda, cuma aku penat.
“Tak payah fikir yang bukan-bukan. Kau pun cakap tadi, Allah yang pegang nyawa kita”. Kata-kata Amanda seringkali membuatkan aku terkedu buat masa sekarang.
Keadaan senyap antara kitorang berdua. Yang kedengaran hanyalah bunyi kawad kaki, gong, gelang kaki dan tarian yang semakin lama semakin rancak. Dalam bunyi yang bising itu, tiba-tiba kedengaran suara orang menjerit membuatkan aku dan Amanda automatik berdiri.
Pandang sahaja kat bawah, terus kitorang ternampak Rizman, Helmi, Fiqri dan Ameen diikat tangan dan ditutup mata menggunakan kain kuning sambil ditolak kasar oleh makhluk seakan-akan manusia tetapi dari jauh dah nampak muka diorang takde. Kabur je macam tangkap video menggunakan CCTV.
Pitung sirih urat ketemu
Wis udud wis diobong
Saiki aku neng kene
Menehi hadiah
Aku menehi sampeyan
Getih manis papat
Kanggo roh sing daksembah
Supaya kowe sabar karo aku
Supaya aku sugih lan kowe marem
Ora cukup papat
Loro isih ana….
Asudah, bahasa apa pulaklah yang dia guna tu? Apa yang dia cuba cakap tu? Yang penting, ayat terakhir tu dia pandang aku dan Amanda dengan sengihan sinis dan jelingan yang tajam.
“Kau nak buat apa dekat kawan-kawan aku?” jeritku dari tempat aku berdiri.
Mungkin mendengar suara aku, keempat-empat budak tu menjerit memanggil namaku. “Kasyaf, jangan datang!”
Mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut budak berempat tu, semakin kuat badan diorang didorong oleh makhluk berjasad manusia tu. Sampai terjatuh member aku dibuatnya.
“Kasyaf Mahmud. Amanda Sulaiman”. Nama aku dan Amanda disebut oleh lelaki tua berjubah hitam tu. Sebab agak jauh, jadi aku tak nampak sangat muka dia.
“Kau nak apa daripada kitorang?” soalku.
“Kasy, kita turun”. Arah Amanda.
“Takpe ke?”
“Dia memang sengaja tak tangkap kita, dia nak psiko kita tu. Kita tunggu sini, dia akan buat macam-macam kat diorang berempat. Dan bila kita turun, dia akan tangkap kita dua sekali”. Jelas Amanda pula.
Belum sempat menyusun langkah, aku terus tarik lengan baju Amanda. “Kau ingat lagi tak pesan Pak Juna?”
Dahi Amanda berkerut. “Pasal apa?”
Kitorang pun berbincang tentang apa yang perlu dilakukan. Berkerut-kerut dahi Amanda mendengar strategiku sebelum akhirnya dia bersetuju.
“Kau berdua buat apa di sana? Mari turun atau kau mahu aku siat-siat kulit kawan-kawan kau untuk menjadi santapan pendampingku?” suara garau itu sangat kuat dan jelas. Bahkan bunyi bising kawad, gelang kaki, tarian, gong boleh tenggelam disebabkan suara dia. Habis hebatlah tu?
Tanpa membuang masa, aku dan Amanda pun turun. Sebaik sampai di depan tempat makhluk ini berkumpul, lelaki tadi tergelak kuat.
“Akhirnya kau datang bertemu denganku, anak muda. Ingatkan hebat sangat, umpan kawan saja dah boleh buat kau ketar”. Suara itu seakan-akan mencabarku.
“Aku bukan takut, tapi aku ada kawan. Aku tahu kau memang mengincar kitorang dan kau adalah musuh lama kitorang. Kalau tak, takkan kau boleh libatkan kitorang semua sekali, kan. Hairi Sihir?” mataku memandang tepat pada orang tua yang berjubah hitam yang menutup kepala sehingga tak nampak muka.
Mendengar namanya kusebut, terus dia tergelak besar. “Kau memang musuh yang bagus. Tahu-tahu saja apa nama gelaranku”.
“Tak payah acah sangatlah. Ingat gempak ke letak nama Hairi Sihir? Sekarang, aku nak kau lepaskan kawan aku. Musuh kau adalah aku, yang bercakap besar adalah aku, yang libatkan kawan-kawan dalam dunia ni adalah aku. Jadi, kau hadap aku sorang. Bukan diorang,” suaraku mendatar tetapi tegas. Kecut jugak sebenarnya, tapi tulah. Orang cakap berani buat berani tanggung.
Semakin kuat tawa orang tua tu, kalini siap bertepuk tangan. “Wah, wah, wah. Kau yakin ke dengan kata-kata kau? Kau yakin nak korbankan diri untuk celaka-celaka ni? Berbaloi ke?”
“Jangan dengar hasutan dia, Kasy. Aku ada kat sini”. Bisik Amanda dan aku anggukkan kepala.
“Perempuan tu kau yakin ke boleh kalahkan aku? Silap hari bulan, dua-dua menjadi santapan kami di sini”.
“Aku takt ahu apa niat kau, tapi aku tahu kau musuh lama kitorang. Jadi, aku nak kau lawan aku. Bukan libatkan diorang!”
“Aku dah cakap, manusia ni bodoh. Benarlah apa Indera pernah pesan dekat aku dulu. Manusia ni bodoh. Rela diperbodoh untuk orang yang bodoh,” mendengar sahaja apa yang Hairi katakan, terus aku memandangnya yang sedang terhinjut-hinjut bahu dek tertawa.
“Apa maksud kau dengan Indera?”
Dia tertawa dengan lebih kuat. Kemudian, dia pun membuka penutup kepalanya membuatkan aku dan Amanda sangat terkejut.
“Pak Lat?” aku dan Amanda bersuara serentak membuatkan orang tua itu tersenyum sinis.
Memang kitorang masetu terkejutlah mat. Orang tua tu kot yang beria cakap pasal pantang larang apa bagai. Tiba-tiba sekarang berada di hadapan kitorang menjadi ketua kepada semua makhluk dekat sini.
“Ya saya?” jawabnya seolah-olah memperlekehkan kitorang.
“Kasyaf, kuatkan iman. Jangan pernah tinggal ayatul qursi dan sebut kalimat kun fa ya kun tiga kali!” jerit Fiqri membuatkan badannya dilibas dengan buluh panjang dan nipis. Sampai tersungkur Fiqri menahan sakit dengan jeritan memenuhi segenap ruang.
Melihat aku yang ingin meluru ke depan, Amanda cepat-cepat tahan aku. “Ingat plan kita”. Ayat itu membuatkan aku berhenti dan menarik nafas panjang sebelum kulepaskan dengan tenang.
“Apa niat kau sebenar, Pak Lat. Eh, Hairi Sihir?” suaraku tidak kurang sinisnya dengan suara Pak Lat aka Hairi Sihir itu.
Kelihatan Pak Lat mula berjalan ke arah kitorang. “Kau pun tahu bukan, tiada lain selain dendam. Aku tak pernah alu-alukan kehadiran kau, kau, kau semua. Tetapi kalian yang datang mencari aku”.
Pandangan kosong kulemparkan pada orang tua durjana tu. “Kenal kau pun tak, inikan nak cari kau? Heh, perasan!”
Merah dan tajam pandangan Pak Lat lemparkan sebelum dia kembali tersengih. “Yakin?”
“Siapa kau sebenarnya? Apa yang kau nak?”
“Apa yang aku mahukan? Setelah kau mengganggu segala urusan aku, bisa-bisanya kau bertanya apa aku mahukan? Indera itu kekuatan aku, kau bunuh begitu saja seolah-olah kau bangga nama kau disebut-sebut di desa keparat itu. Disebabkan kau, hidup aku yang sepatutnya tenang di dalam harta, musnah begitu saja!” marahnya sambil berlari dengan memegang sesuatu yang berkilau daripada kocek jubahnya.
Sempat aku amati, benda itu adalah taji ayam. Hujung sedikit bercangkuk dan bersilau. Seperti yang telah dirancang, aku dan Amanda berpecah.
Silat? Silat apa? Aku yakin pasti korang tertanya-tanya. Sebenarnya, kitorang berdua sedang mempertaruhkan nyawa mencuba silat yang diajarkan oleh Pak Juna masa kitorang tersesat dalam dunia diorang dulu. Sebab teringat yang Pak Juna pernah pesan yang silat ni takkan berguna kalau digunakan dalam dunia manusia, jadi tak salah lah kan kalau guna dekat dunia jin?
Setelah Al-Fatihah dan sedikit doa pembuka dibaca, kitorang pun mula membuka langkah. “Satu lawan satulah, apa barang lawan perempuan?” perliku membuatkan langkah Pak Lat tiba-tiba menuju ke arahku.
Aku tanpa membuang masa, aku bawa pertarungan ini ke berdekatan dengan kawan-kawanku yang masih ditahan oleh pengawal tak berwajah itu. Dan yang ajaibnya, kesemua makhluk di sekeliling kami membuka ruang sehingga membentuk satu bulatan besar seolah-olah sekarang aku berada di dalam sebuah gelanggang. Di tengah-tengah bulatan ini ada unggun api yang agak besar dikelilingi oleh member aku yang ditahan oleh makhluk tanpa wajah tersebut.
“Pintar juga ya kamu Kasyaf. Patutlah kamu berani-beraninya mengganggu urusanku. Pengawal, bunuh kawan-kawan dia”.
“Manda!” sebaik mendengar namanya disebut, terus Amanda berlari masuk ke dalam gelanggang.
“Kasyaf, fokus. Serahkan dekat aku,” ujar Amanda sambil merampas salah sebuah buluh nipis daripada salah seekor makhluk tersebut sebelum dia mula berlari dan mencucuk setiap leher makhluk tak berwajah itu. Dan aku terkejut apabila leher makhluk itu memercikkan darah dan kedengaran suara diorang menjerit seperti babi yang disembelih sebelum menghilang dan meninggalkan bau yang sangat busuk.
Dalam pada masa Amanda mencucuk leher makhluk tu tadi, Rizman sempat ditolak ke dalam unggun api sehingga rambutnya terbakar saat ini. Namun tidak terlalu teruk sebab Amanda sempat menariknya dan sebab tulah rambut dia je terbakar dan sekarang dah terpadam sebab kena tepuk dengan Amanda berkali-kali.
Kelihatan wajah Pak Lat agak terkejut sebelum dia kembali tenangkan diri walaupun nampak jelas dia tengah ketap bibir sehingga timbul urat di dahi.
“Lain kali, kalau nak balas dendam tu, rancang betul-betul. Jangan ikut perasaan marah tu sangat. Tak pasal-pasal plan nampak bodoh,” ejekku membuatkan Pak Lat berlari lalu mengenakan taji pada Amanda yang tengah menyelamatkan budak berempat tu.
Aku terkejut sebab langkahnya terlalu laju, tambahan pulak aku masetu memang kurang fokus sebab bau busuk tadi memualkan aku. Amanda menjerit sebab sisi perutnya dihiris menggunakan taji sehingga mengeluarkan banyak darah manakala aku pula cepat-cepat menendang Pak Lat sehingga dia jatuh agak jauh daripada kitorang.
“Manda, okay tak?”
“Jangan risaukan aku. Fokus!” kata Amanda sambil membuka ikatan pada Rizman.
“Kau permainkan aku. Kau ingat kau boleh menang?” Pak Lat Kembali bangun lalu mengacukan tajinya pada wajahku. Aku cepat-cepat mengelak dan badanku secara automatik bergerak seperti seorang pesilat handal.
Namun cepat-cepat aku sedarkan diri. Aku yakin perasaanku tengah dihayun sesuatu supaya berasa selesa dan pada ketika aku khayal, aku akan ditusuk oleh Pak Lat. Aku kembali fokus sebelum aku mendengar kesemua member aku mula mengambil tempat.
Pak Lat kelihatan agak cuak. “Apa kalian lihat? Seranglah budak-budak ni!” marah Pak Lat apabila melihat tidak ada seekor makhluk pun yang membantunya. Sebaliknya menghentikan gangguan. Diorang berhenti berkawad, menari malah hantu-hantu asrama yang kitorang jumpa tadi sudah mulai menghilang sebelum kedengaran setiap pintu di bangunan asrama tertutup sendiri.
“Kau berjanji untuk memberikan kami darah orang muda ini. Tetapi bahkan kau yang dikepung. Hiriskan setitis darah mereka, pasti kami membantu kau,” suara garau dan kasar yang entah milik siapa tiba-tiba kedengaran bergema di kawasan ini.
Pak Lat kelihatan terdesak. Matanya merah dan wajahnya tegang. Jubah di tubuhnya dibuka sebelum dia mula berlari tidak tentu arah dengan taji di tangan. Pada awalnya dia menyerang Ameen, mungkin baginya Ameen kelihatan belum sedia. Namun yang kagumnya, Ameen mengelak dengan tangkas sebelum Helmi datang dan menendang Pak Lat dari belakang.
Tendangan itu justeru membuatkan Pak Lat tersungkur tetapi orang tua itu cepat-cepat bangun dan mula menyerang Rizman. Ketika ini, Rizman sedikit leka sehingga lengannya terkena hujung taji yang membuatkan darahnya mulai menitis.
Menitis sahaja darah Rizman, banyak bayang-bayang hitam mengerumuni darah tersebut. “Berkumpul!” jerit Fiqri lalu kitorang pun membuat satu bulatan kecil dan saling membelakangi antara satu sama lain.
Agak dalam juga luka pada lengan Rizman memaksanya membuka baju dan terus membalut luka tersebut atas arahan Fiqri. Risau menjadi penyebab Rizman kerasukan kerana menitisnya darah Rizman membangkitkan semangat jin untuk menyerang kitorang pada masatu.
Kali ini baru kelihatan Pak Lat bersemangat dengan tawa jahatnya bergema di kawasan ini. Sisa darah Rizman di atas lantai dicalit pada kain kuning sebelum dia duduk di hadapan benda-benda yang biasa digunakan oleh bomoh-bomoh. Ada asap, daun sirih, kain kuning yang bercalit darah, taji yang tersisa darah dan banyak lagi alatan-alatan bomoh di hadapannya.
Kemudian, Pak Lat mulai membaca mantera yang tidak dapat aku tangkap langsung setiap bait manteranya. Yang pasti, dia mulai menutup mata sambil tangannya seolah-olah macam scan udara.
Kitorang pula ketika itu tak henti-henti membaca Ayatul Qursi sekali dengan terjemahannya. Dan masetu detik yang sangat cemas bagi aku sebab angin mulai bertiup dengan kencang dengan guruh yang tiba-tiba berdentum. Langit menjadi saksi ketika tu yang bacaan ayat suci Al-Quran sedang berlawan dengan mantera. Semakin kuat mantera dibaca, semakin kuat kitorang lantunkan ayat kursi.
“Apa kata kita baca sekali terjemahan dia, untuk tingkatkan lagi iman kita pada ayat Allah,” aku memberi cadangan dan diterima baik oleh member aku. Jadi, sebaik ayat kursi dibaca, kitorang pun bacakan sekali dengan terjemahannya.
“Sudahlah, kalian manusia munafik. Detik-detik ini saja kalian ingat tuhan! Kelak, seusai nyawa terselamat, kalian pasti lupakan DIA!” Pak Lat mulai menghasut.
“Usah dikenang Tuhanmu. Sedangkan tadi tuan hamba yang meminta beta hadir ke sini, kenapa sekarang baru tuan hamba mengenang sang Tuhan?” bunyi suara halus yang semestinya berasal daripada penari ulek mayang itu.
Kitorang abaikan bahkan semakin kuat ayat kursi diselikan dengan terjemahannya kitorang bacakan. Masetu memang feeling dia macam dalam movie. Tak pernah aku terdetik akan lalui lagi benda macam ni dalam keadaan yang seperti dalam movie Harry Potter. Kenapa aku cakap Harry Potter? Sebab sekarang kitorang memang berada dalam dunia jin! Yang betul-betul manusia sekarang ni hanyalah kitorang berkawan dengan Pak Lat, itu pun hati dia sudah terpaut pada dunia ini.
“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).”
“Hati kalian ragu, usah munafik! Kalian ragu pada Tuhanmu!” suara Pak Lat sangat keras kedengaran. Berusaha betul dia nak hasut kitorang. Namun kitorang abaikan saja, malah semakin kuat lantunan terjemahan kursi dibacakan.
“Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).”
“Berhentilah anak muda. Kalian membaca hanya karena ingin selamatkan diri. Kalian tangkalkan ayat Tuhan! Bagi kalian, ayat Tuhan itu sekadar penyelamat di kala ketakutan sedangkan hati kalian tidak sebenar-benar menghayati apa yang kalian bacakan! Ikutlah aku, nescaya kau akan bahagia di dunia ini!” lagi dan lagi Pak Lat cuba untuk menghasut. Namun aku yakin ketika itu sikit pun perasaan kitorang tak pernah ragu dengan apa yang kitorang bacakan.
“Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya). ALLAHU AKHBAR!” Serentak kitorang menepuk lantai dan serentak itulah kilat sambar menyambar bahkan memanah sekeliling kitorang termasuk Pak Lat.
Depan mata, kitorang nampak Pak Lat kena panah petir. Manakala yang lain tinggal asap. Sekeliling kitorang mulai terbakar dan cepat-cepat kitorang berlari dari situ. Cuma masetu sumpah tak tahu nak lari mana, dalam keadaan yang masih terkejut, takut, pastu angin kencang membuatkan api dekat kawasan penghambaan Pak Lat terhadap makhluk-makhluk tu semakin marak.
“Fiqri, kau ada idea tak macam mana cara nak keluar dari sini?” soalku setelah agak jauh kitorang larikan diri. Tapi memang aku cakap kat koranglah, walaupun jauh dah lari, tapi bahang tempat tadi tu rasa sampai kat tempat kitorang berdiri.
Fiqri gelengkan kepala. Tiba-tiba Ameen memberikan idea. “Apa kata kalau kita azan? Amanda, kau tak period kan? Kau baca Al-Fatihah. Kita try je sampai matahari terbit. Sebab pak cik aku dulu pun pernah hilang dekat tempat bunian, cara dia, dia azan dan tekadkan dalam hati untuk keluar dari dunia ni”.
Cadangan Ameen diterima dengan baik. Jadi, kitorang pun start azan manakala Amanda tak putus-putus baca Al-Fatihah. Selain itu, dia juga membaca Ayat Kursi sebab dalam terjemahan ayat tersebut ada kebergantungan kita sebagai hamba meminta bantuan hanya daripada Allah SWT.
Aku taktahu berapa kali kitorang ulang azan, sehinggalah cahaya matahari mulai menembusi celahan-celahan dahan dan dedaun pohon. Kitorang pun ikut jelah cahaya matahari tu sampailah kaki aku mulai terasa lembik dan pandanganku tiba-tiba menggelap. Aku sempat merasa badan aku menghempas tanah sebelum aku tak sedar apa yang terjadi seterusnya.
***
“Kasyaf, bangun”. Mendengar sahaja namaku dipanggil, aku terus terjaga. Bangun sahaja, terus aku pandang sekeliling. Dalam bas?
Aku pandang pula orang yang panggil aku. Cikgu Arif sedang mengejutkan kawan-kawan aku yang lain pula. “Dah sampai ni. Turun, turun”.
Terus aku pandang ke luar tingkap dan tengok, sekarang kitorang sampai kat satu sekolah yang aku sangat kenal, iaitu sekolah di daerah sebelah. Terus aku angkat tangan tanya dekat Cikgu Arif. “Cikgu, sumpah saya lupa pasal pantang larang. Saya rasa saya kena baliklah, takut jadi apa-apa”.
Ketika tu jujur aku cakap, aku tengah blur apa yang jadi. Tadi tu aku mimpi ke? Tapi kalau betul-betul, kenapa sekarang aku boleh ada dalam bas?
“Ya cikgu, saya pun sama!” member aku yang lain pun cakap benda sama.
Muka Cikgu Arif kelihatan pelik. “Pantang larang apa?”
Aku segera pandang member-member aku. “Bukan ke sebelum berangkat tadi Pak Lat ada cakap pasal pantang larang ke?”
“Pak Lat? Siapa Pak Lat? Kamu semua ni dua tiga hari ni pelik-pelik eh perangai? Macam-macam cikgu lain cakap, ingatkan pelik yang biasa-biasa je. Rupanya macam yang cikgu lain bagitau. Haihlah, yang bukan-bukan jelah kamu semua ni,” kedengaran Cikgu Arif mengeluh sambil gelengkan kepala.
“Eh? Habis tu yang pantang larang sebelum datang sini tu?” aku bertanya lagi dan disokong oleh kawan-kawan aku.
“Pantang larang apanya Kasyaf? Ni sekolah biasa jadi tuan rumah kan? Bukan selalu ke datang sini? Dah, turun. Makin pelik-pelik pulak soalan kamu ni,” ujar Cikgu Arif lantas berlalu dari situ.
Kitorang berpandangan antara satu sama lain sebelum memandang ke luar tingkap bas. Yang lain dah kat bawah, tinggal kitorang berenam. Dan ya, sekarang kitorang berada kat sekolah yang biasa kitorang pergi. Bukannya sekolah seram tu.
“Kita mimpi benda sama ke?” soalku.
“Korang mimpi apa?” soal Amanda dan kitorang pun cerita apa yang kitorang mimpikan dan sememangnya kesemua cerita kitorang adalah sama.
“Apa yang jadi do? Kita mimpi betul-betul ke?” Helmi pula menyoal sebelum dia menarik lengan Rizman. Dan semestinya kitorang terkejut sebab ada kesan torehan pada lengan dia.
“Kenapa ni?” tanya Ameen pulak.
“Tah weh. Yang aku ingat, dalam mimpi tu aku kena taji Pak Lat,” cerita Rizman ringkas dan kitorang pun menjerit dengar nama tu.
“Haa! Bukan aku seorang kan? Maknanya kita memang betul-betul kena. Tapi macam mana sekarang ni kita boleh ada dalam bas ni?” soal aku pula.
Semua orang tiada jawapan. Namun begitu, kitorang pun tetap turun dari bas sambil masing-masing bercerita tentang apa yang jadi.
“Kiranya kita memang lalui benda tulah kan? Tapi macam mana?” soal Helmi.
“Itulah yang pelik tu. Dan macam mana korang boleh kena tangkap?” tanya aku dekat budak berempat tu pulak.
“Kena tangkap tu masa aku teman Mi pergi tandas. Mula-mula tu aku dengar macam ada bunyi kat luar tandas, aku pun pergilah intai. Tapi takde orang. Pastu aku masuk balik dalam tandas sebab rasa seram gila masatu, eh tup-tup aku nampak ada benda hitam tengah jilat pad berdarah. Masetu baru aku ingat yang lepas pukul 10, jangan berjaga. Aku apalagi masatu, aku bagitaulah Mi yang aku nak balik bilik. Kau tahu dia jawab apa? Dia cakap, nak balik ke dah tahu?
Dengar je soalan macam tu, aku terus lari dan sampai je kat luar tiba-tiba pulak aku terlanggar askar Jepun tu dan belakang kepala aku kena pukul dengan senapang diorang,” bersungguh-sungguh Rizman bercerita dan kitorang pun angguk faham. Ni kalau orang lain dengar, memang takkan ada yang percaya. Kalau aku jadi orang lain pun memang aku tak percaya. Apakan daya, harap aku yang lalui semua benda tu, memang percayalah mat.
“Maksudnya, bukan Mi lah yang kau teman tu?” tanya Amanda. Rizman menggeleng.
“Bukan aku. Tapi masalahnya, aku pun kena benda yang sama jugak macam Man. Duk temankan dia, last-last benda lain. Sampai kat luar, kena dengan askar Jepun. Waknat betul. Tahu-tahu kena ikat. Sikit lagi kena humban dalam api,” bebel Helmi pula.
“Fiqri dengan Ameen pun sama?” Amanda memandang dua orang tu dan Fiqri mengangguk manakala Ameen pula menggeleng
“Aku lain. Aku pengsan lepas makan karipap mak cik karipap tu bagi,” cerita Ameen selamba membuatkan kitorang semua pandang dia pelik.
Aku dah rasa kembang tekak terbayangkan bangkai tikus yang akak tu bawak. Macam mana dia boleh makan? “Macam mana kau boleh makan do?”
“Aku masetu kan mula-mula dengar macam bunyi orang menari. Aku lupa yang lepas pukul 10 tak boleh gerakkan badan, aku pun bangunlah. Bangun je, aku tengok kat koridor ada ramai budak tengah kerumun mak cik ni. Aku tak cek jam masetu, aku terus keluar sebab memang aku cakap, masetu memang tiba-tiba rasa lapar gila. Sampai je aku, semua orang macam marah aku lepastu cau. Aku macam, kesah pulak kan? Perut lapar, pastu ada orang jual makanan. Aku pun beli aa. Baru kunyah sikit, tiba-tiba suasana sunyi gila. Aku pandang kiri kanan depan belakang, semua orang takde termasuk akak tadi. Aku dah rasa tak sedap hati dah, pastu baru nak kunyah kali kedua, aku tengok kat tangan aku bangkai tikus mat! Yang aku gigit tu muncung tikus tu. Sial, memang aku pengsanlah. Makan bangkai kot,” cerita Ameen membuatkan kesemua kitorang bagi reaksi yang sama, mual dan nak muntah.
Ameen lagilah, dia menggeliat lepas bercerita dengan muka tahan muntah.
“Siapa dia sebenarnya eh? Hairi Sihir aka Pak Lat. Kenapa dia nak berdendam sangat?” persoalan Amanda membuatkan kitorang semua pun turut tertanya-tanya.
“Aku rasa dia tu pemuja Indera. Mungkin dia taksub dengan harta, so dia pun start memuja. Kalau daripada segi cerita dia, dia tu memuja Indera. Sebab kita, Indera mati dan dia pun dah tak dapat nak kumpul harta. Mungkinlah,” ulas Fiqri ringkas.
Aku mencebik sambil menganggukkan kepala tanda setuju. “Dahlah tak kenal dia, tiba-tiba pulaklah dia pergi serang kita. Ingatkan kebal sangat. Last-last mati sebab kena panah petir je,” aku rasa nak tergelak, tapi tulah. Tak baik gelakkan orang yang dah mati hmm.
Cuma terkilan sikit sebab macam, senang gila mat cara dia mati. Patutnya dia kena makan dengan hantu-hantu tu dulu.
Sampai sahaja ke barisan, kitorang pun masuk ke dalam barisan masing-masing untuk mendengar taklimat pertandingan. Aku sumpah tak tahu dah apa tentative pertandingan tu. So, ikut jelah apa yang taklimat ni cakap nanti.
“Okay semua, saya dapat khabar yang ayah arwah Nana telah pun meninggal dunia semalam. Untuk pengetahuan, Nana adalah pelajar baru sekolah kita yang meninggal tahun lepas akibat kanser dan arwah juga merupakan bekas pelajar sekolah ni. Dan semalam, ayah dia pula kembali dijemput illahi. Jadi, sama-samalah kita menyedekahkan Al-Fatihah kepada arwah Hairi Lat bin Sudin supaya tenang di alam baru. Al-Fatihah…” berita yang disampaikan oleh Cikgu Arif membuatkan aku sangat terkejut dan aku yakin member aku pun rasa benda yang sama.
Sedang melayan perasaan terkejut lepas dengar berita dan nama ayah arwah Nana, orang kat depan aku tiba-tiba bercerita. “Kasyaf, kau dengar tak yang bapak arwah Nana tu mati macam mana?”
Aku gelengkan kepala. “Macam mana?”
“Aku kan sekampung dengan arwah ayah Nana tu. Kan dulu lepas dia dah korbankan anak dia, dia lari pergi laut kat hujung kampung aku. Laut yang korang pergi dua tiga hari lepas, tahu kan?”
“Hah? Bila masa?”
“Aik, bukan korang pergi laut ke? Orang kampung nampak korang main kat sana. Nak panggil, korang cakap kejap lagi nak balik. Nasib baik okay je, kalau tak, naya korang tahu tak,” cerita budak tu lagi. Aku apalagi, makin peliklah dengar cerita dia.
“Apa maksud kau?”
“Pantai tu sebenarnya tempat pemujaan. Biasanya orang-orang nak memuja roh laut, puja jin ni semua kat laut tu. Bapak Nana ni pun antara yang paling kuat main benda ni, sebab tulah dia kaya kat kampung kitorang. Tapi sebab dia, kampung kitorang kena kacau. Tu aku pelik korang boleh datang sana nak main bola. Gilalah,” ujar budak tu lagi.
Aku taknaklah nafikan pasal kitorang ke sana tu kat budak tu, sebab memang akan peningkan kepala. Yang pasti sekarang, kitorang ke sana bukan kerelaan, melainkan memang dah diperangkap Pak Lat. “Oh, sebab kitorang tak tahu. Pastu, bapak Nana mati macam mana?”
Budak tu dekatkan diri dengan aku sambil pandang kiri kanan. “Orang kampung jumpa dia terbakar dekat pantai tu. Tak tahu bila dah, yang pasti dah membusuk dah mayat dia. Mayat dia rentung. Takde rupa orang dah,” cerita dia lagi sambil berbisik.
Aku pun anggukkan kepala tanda faham. Pergh, sampai tahap macam tu dia kena. Dia yang perangkap kitorang, dia yang kena.
***
Sambil makan, kitorang pun mula bercerita. Rancak meja ni dengan suara kitorang je. Terlalu banyak info yang tak masuk akal kitorang terima.
“Tulah, macam mana tah orang boleh jump akita. Tak nak pulak tu diorang panggil kita,” ujar Helmi.
“Ituler pasal. Tapi tulah, macam mana orang boleh nampak kita tapi kita tak nampak pun orang lain? Dan macam mana kita boleh ada balik dalam bas tu?” kali ini Ameen pulak menimbulkan persoalan.
“Takde benda lain, ni semua angkara Jin dan syaitan. Kita sebenarnya terperangkap dalam dunia diorang, cuma nasib kita selamat je,” jawab Fiqri tenang.
“Lagipun, benda ni memang aku yakin, Pak Lat yang rancang sebab nak balas dendam kita kacau dia dari masa Nana hidup sampailah Indera mati. Tak tahu pulak dia jadi dalang semua ni,” sambung Amanda pulak.
“Bila hati dah hitam, dikaburi dengan duit, setakat gadaikan nyawa orang apalah sangat. Janji diri sendiri selamat dan kaya,” aku sambung lalu menyisip kopi panas.
Tapi memang tak sangka. Dalam banyak-banyak benda yang kitorang lalui, kalini aku dapat rasa sangat tak masuk akal. Bayangkan, daripada elok-elok kau nak bertanding, tiba-tiba pulak ada hantu kacau. Last-last, hampir kena bunuh mat dengan pentaksub harta dan orang tu pulak bapak Nana, orang yang memang aku hampir lupa.
Dia punya taksub tu, pergggh. Sampai berdendam. Tapi tulah, harta kan? Nabi pun dah pesan, di akhir zaman, manusia memang akan kejar dunia. Tengoklah Sungai Furat nanti, semakin mengering, semakin timbul emas setinggi gunung. Nabi dah pesan jangan sesekali pergi sana sebab dalam nisbah 1000 orang, hanya seorang je yang terselamat sebab manusia akan berbunuhan sesama sendiri untuk dapatkan harta.
Tak payah tunggu Sungai Furat kering pun sekarang dah nampak bapak si Nana ni jenis macam mana. Tu nasib baik dah mati, kalau hidup, dial ah kut yang paling sakan berebut emas dekat Sungai Furat nanti. Semoga kita semua terselamat daripada fitnah akhir zaman.
Sekian sahaja cerita kalini. Dan ya, cerita ni memang fiksyen. Mungkin ada pembaca baru, daripada segi jalan cerita pun aku yakin korang tahu cerita ni cerita fiksyen semata-mata dan kepada pembaca lama, ya, aku memang seorang penulis fiksyen. Jangan risau semua, aku tak claim cerita aku cerita sebenar melainkan aku hanya mengambil idea daripada kisah sebenar dan diolah menjadi satu cerita yang bukan sahaja menjadi urban legend yang tiada hujung pangkal, sebaliknya menjadi satu cerita yang mempunyai jalan ceritanya tersendiri.
Mungkin inilah kali terakhir aku hadir dalam penulisan ini, terima kasih sebab korang masih sudi support aku. Kalau ada rezeki idea, inshaa Allah adalah untuk karya yang seterusnya. Tetapi untuk masa terdekat, mungkin tidak melainkan Allah berkehendak lain. Terima kasih dan assalamualaikum.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
jangan la pencen dulu kasyaf. tulis la lagi
Wahh ..mantap la…awak buat cite…sampai meremang sya yang baca ni…ape ii pun… tahniah sbb berjaya buat story dalam (fs) ni… penulisan awak sangat ii nice❤️😇
Waalaikumsalam En Kasyaf ….semoga sentiasa di beri kesihatan yang baik , sukses dan dilimpahi rezeki yg melimpah ruah… Aaamiinn.
Best..da lama tak baca cerita macam ni kat fiksyen syasya