Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca FS. Ya, aku Azim Dressar yang berkongsi cerita di salah sebuah klinik kesihatan di selatan daerah Tampin. Ramai yang menyangka Hospital Tampin atau Klinik Kesihatan Tampin. Cukup aku berikan klu, klinik tersebut berada di penghujung selatan daerah Tampin, bersempadan dengan Negeri Johor.
Izinkan kali ini aku menceritakan satu lagi kisah yang agak pelik tapi benar sepanjang bertugas di klinik tersebut. Sesungguhnya banyak kenangan manis sepanjang berkhidmat di sana, tidak kurang juga kenangan seram. Aku bukanlah seorang yang berani mana, tetapi itu semua aku anggap sebagai satu ujian dalam tugas aku sebagai seorang dressar cabuk, dan akan menjadi kenangan hari tua nanti. Semua yang aku kongsikan adalah kisah benar, pengalaman sendiri dan bukan rekaan. Nama-nama di dalam penulisan aku pun merupakan watak sebenar. Al-Fatihah kepada bekas-bekas staf aku yang telah pergi menghadap Illahi.
Baiklah, kali ini kisah ini terjadi pada pertengahan tahun 2014, hujung minggu, sewaktu bertugas atas panggilan, dan yang paling pelik, waktu ketika siang menghampiri waktu Asar. Aku menerima panggilan daripada Uncle Krishnan, pengawal keselamatan klinik aku sekitar jam 3.30 petang. Seperti biasa aku respon kes tersebut. Seorang lelaki India dalam lingkungan umur 30-an, merupakan seorang ‘regular patient’ yang selalu datang mendapatkan rawatan asma ketika aku bertugas atas panggilan (on-call).
Meja untuk aku menulis dan melakukan dokumentasi pada ‘clerking card’ membelakangi katil (stretcher) zon resus.
Zon resus merupakan zon untuk pesakit kritikal diberikan rawatan. Sebelah kanan meja menulis aku itu, ade sebuah peti sejuk yang menyimpan ubatan serta sedikit peralatan kecemasan, di belakang peti sejuk itu pula terdapat 1 pintu ‘shutter’ yang menghubungkan bilik kecemasan aku dengan laluan ke bilik x-ray (seakan-akan ‘shortcut’). Tetapi sepanjang aku berkhidmat di sana, pintu itu tak pernah dibuka kerana jika ada pesakit hendak ke bilik x-ray, akan melalui pintu laluan utama klinik.
Berbalik kepada cerita pesakit aku lelaki India tadi, seperti biasa selepas melakukan pemeriksaan, mengambil tanda-tanda vital, mendengar bunyi paru-paru pesakit, aku memberikan rawatan awal ‘nebulising’ kepada lelaki itu (dalam bahasa mudah, ambil gas). Rawatan aku berikan kepada lelaki tersebut berlarutan sehingga 1 jam kerana terpaksa mengulang rawatan ‘nebulising’ serta memasukkan ubat ke dalam salur d***h untuk membantu pembukaan laluan pernafasan. Setelah aku berpuas hati dengan bunyi paru-paru yang sudah ‘clear’, udara masuk seimbang paru-paru kiri dan kanan, aku membenarkan lelaki itu pulang berserta dengan peringatan cara menggunakan ‘inhaler’ dengan betul.
Kisah bermula ketika lelaki India itu pulang. Aku nampak Uncle Krishnan menaiki motor menaiki bukit menuju kuarters apartment jururawat. Mungkin melakukan rondaan dan ‘clocking’. Jadi aku duduk kembali di meja menulis aku untuk menyelesaikan dokumentasi di kad pesakit. Sedang aku menulis, pintu ‘shutter’ di sebelah kanan aku digegar sekali. Digegar ya, bukan diketuk. Aku terhenti serta merta dan terus memandang ke arah pintu tersebut. Aku berfikir siang-siang hari macam tak kena nak ‘kacau’ aku, angin kot. Dengan aku agak letih dah bertugas atas panggilan hampir seminggu, aku buat tak tahu. Lalu aku meneruskan penulisan aku. Tak sampai 10 saat, pintu tersebut digegar sekali lagi, kali ini lebih kuat dari tadi.
Dengan perasaan agak takut bercampur dengan keletihan bertugas, kes pula banyak sepanjang minggu itu, aku bentak dengan sekuat hati, ‘Jangan kacaulah! Aku dah cukup penat dah ni! Main tempat lainlah!’. Berani tak bertempat, pintu itu digegar lagi, lagi kuat bergoyang-goyang pintu tersebut. Aku memandang terus ke pintu itu dengan hati berdebar-debar, berlarutan hampir 10 saat di mana fikiranku tak boleh nak ‘brain’ apa yang terjadi.
Dalam pada yang sama, katil ‘stretcher’ zon resus yang berada di belakang aku tiba-tiba beralih arah, seperti ada sesuatu yang menolak dari tegak menjadi senget kedudukannya. Yang bertambah pelik, roda katil itu memang sentiasa berkunci! MasyaAllah, apa benda pula kali ini yang menguji. Aku pasrah, aku dengan pantas kemas semua barang-barang meja, aku terus meluru keluar dari bilik kecemasan tanpa menutup lampu, ‘aircond’ dan pintu, dalam keadaan pintu ‘shutter’ itu masih digegar! Betul-betul ‘dia’ naik gila. Mungkin ‘dia’ marah aku bentak dia tadi. Maaflah, aku tak sengaja. Badan dengan otak dah teramat letih.
Sampai di kuarters, aku terus mandi dan tak lama kemudian, azan Asar kedengaran. Sewaktu solat, jantung aku masih lagi berdegup laju. Memang tak khusyuklah senang cerita. Selesai solat, aku duduk di dalam bilik memikirkan semula apa berlaku. Tak mungkin Uncle Krishnan yang kenakan aku sebab aku nampak sendiri dia naik motor menuju apartment kuarters atas. Tak kan selaju itu dia dah sampai klinik. Kalau dia sampai pun mesti dia akan masuk melalui bilik kecemasan aku sebab kalau waktu bercuti, hanya pintu kecemasan sahaja dibuka untuk akses ke dalam bangunan klinik aku. Dan aku tersangat-sangat yakin tiada orang lain dalam klinik aku pada waktu hujung minggu. Akhirnya aku buat keputusan start enjin kereta lalu aku pergi ke warung berdekatan stesen kereta api lama untuk menenangkan sedikit fikiran.
Kisah yang berlaku hampir 10 tahun lepas tetapi tetap menjadi kenangan yang tidak dapat aku lupakan. Setiap pekerjaan mesti ada kisah tersendiri, ada risiko serta ganjaran tersendiri. Kita hidup di dunia ini ‘berkongsi’ dengan semua makhluk Allah. Apa yang berlaku kekal menjadi misteri hingga ke hari ini. Hanya Allah S.W.T jua yang Maha Mengetahui kerana setiap apa yang berlaku semua atas Izin-Nya.
Baiklah, cukup dulu sampai di sini. Ada lagi kisah-kisah pelik dan misteri yang akan aku kongsikan sepanjang lebih 10 tahun aku bertugas sebagai ‘medical frontliner’. Jika diberikan kesihatan dan keizinan, aku akan menceritakan pengalaman arwah abah aku, juga seorang ‘dressar’, kisah beliau diganggu ‘tongkat’ sewaktu 1st posting dia sebagai seorang ‘dressar’ di Kampung Bantal, Ulu Tembeling. Semoga berjumpa lagi di waktu yang lain. Assalamualaikum. Terima kasih FS😉
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit