Kerana Cinta

Assalamualaikum warga FS. Ini sekadar kisah hiburan di waktu santai. Selamat membaca.
***************

“Makanlah, ya Allah.. Kenapa dibuang?”

Jamilah mendengus menahan sabar. Wajah tuanya bertambah kerut. Husin menabur nasi ke lantai tanpa memperdulikan Jamilah. Bertepuk tangan lalu ketawa berdekah-dekah.

“Abang! Janganlah dibuang nasi itu!” Jamilah membentak Husin, suaminya.

Husin mengalih pandang ke arah Jamilah lalu merenung tajam. Jamilah terbejat. Ada sesuatu dalam renungan Husin yang membuatnya terdiam.

“Durhaka! Laknat! Laknat! Laknat!”

Terburai air mata Jamilah mendengarnya. Hatinya kesal. Ya Allah… hukumlah aku di dunia. Ampunilah aku..
**********************

18 tahun yang lepas.

“Mak, Kamila mengandung mak.” Anwar tidak dapat membendung rasa bahagianya. Ternyata Kamila bunting pelamin. Rezeki yang tidak disangka-sangka.

Sarimah, ibu Anwar menyambut berita itu dengan penuh bersyukur. Dia dan suami sudah lama tidak mendengar tangisan bayi di dalam rumah semenjak Anwar dilahirkan.

Semenjak itu, mereka sekeluarga sentiasa sibuk dengan kandungan Kamila. Namun, tanpa mereka sedari, khabar gembira itu tidak disenangi oleh Jamilah, ibu tiri Kamila. Jamilah hanya bermanis muka di depan tetapi hatinya penuh dengan hasad.

Jamilah, wanita yang menjadi suri ayah Kamila setelah kematian ibunya. Jamilah bukan orang lain, malah adalah sepupu arwah ibu Kamila. Sama-sama membesar, sama-sama bersekolah, sama-sama jatuh cinta kepada lelaki yang sama. Namun lelaki itu memilih arwah ibu Kamila. Pergilah Jamilah membawa diri sehingga setahun kemudiannya, setelah arwah ibu Kamila dijemput Allah.

Wajah Kamila yang mirip sekali dengan arwah ibunya membuatkan Jamilah membenci. Walaupun pada mulanya Jamilah berjanji untuk memberi kasih sayang seorang ibu yang tulus kepada Kamila. Masih terasa pedih di hati bila cintanya ditolak. Kenapa dia harus kalah? Malah dia sememangnya cemburu dengan arwah semenjak kecil lagi. Arwah cantik, bijak, selalu dipuji-puji. Sakitnya hati Jamilah mengenangkan semua itu.

Bertambah-tambah bengkak hati Jamilah apabila Husin iaitu ayah Kamila juga berlebih-lebih menatang anaknya. Apa lagi sekarang, Kamila sedang sarat mengandungkan cucu sulungnya.

Malam itu, entah kenapa hati Jamilah bagai ditusuk dan ditoreh pisau. Melihat Kamila dilayan dengan kasih sayang oleh suami, mertua dan juga ayahnya sendiri membuatkan dada Jamilah rasa hendak meletup. Makannya tidak kenyang. Sia-sia saja Sarimah memasak bermacam juadah dan menjemput Jamilah suami isteri ke rumah untuk makan bersama. Mulutnya penat kerana harus senyum palsu sama dengan lenguhnya berpura-pura.

Kandungan Kamila memasuki 8 bulan bila dia mula berasa sakit ingin bersalin. Tidak kerap, namun berselang hari. Jamilah melihat ini sebagai peluangnya. Lantas Jamilah bertemu dengan bomoh. Hati manusia, bila sudah dibayangi hasutan tidak lagi mengira dosa. Dia ingin Kamila menderita kehilangan anak. Biar dia melunasi hutang arwah ibunya. Hutang pedih di hati dibalas dengan penderitaan.

Kamila diberi minum kononnya ubat menahan anak dilahirkan awal. Penawar dari bidan kampung kata, Jamilah. Air yang sudah dijampi dan dipuja menghidupkan semangat dunia gelap. Diminum oleh Kamila dengan penuh harapan agar anaknya selamat. Air itu, membuka pintu kepada mahkluk gelap mengisi segenap pembuluh darah Kamila dan menganggu kesihatan tubuh badannya sehinggalah membayangi minda Kamila dengan bayangan yang ngeri dan menakutkan.

Kamila dikatakan meroyan bila anak yang dikandung dilahirkan tidak cukup bulan meninggal. Anak yang ditunggu-tunggu, lahirnya berwarna kebiruan dan lebam.

“Pergi! Jangan ambil anak aku!”

Saban hari Kamila menjerit ayat yang sama. Kadang-kadang dia menangis pilu sepanjang malam. Sarimah mendesak Anwar mencari orang pandai untuk mengubat Kamila. Sudah dibawa ke hospital, ubat sudah segantang ditelan, tidak juga sakitnya sembuh. Sudah hampir setahun, darah nifasnya tidak berhenti.

Pada petang itu, Anwar tiba dengan perawat Islam. Namun, perancangan Allah tiada siapa yang mampu menahan. Kamila sudah meninggal dunia pada tengah hari tersebut. Dengan air mata bercucuran Anwar menguruskan pengebumian isterinya. Bukan tidak redha, tetapi pilu dengan keadaan Kamila yang menderita.

Malam itu juga, rumah mereka kecoh. Ayah Kamila muncul di depan pintu rumah, sekaligus menolak tubuh Jamilah ke ruang tamu. Jamilah meraung.

“Ampun abang! Ampun!” Jamilah memeluk kaki Husin tetapi tubuhnya ditendang oleh Husin.

Anwar segera mendapatkan Jamilah, ingin membantu. Namun segera dibentak oleh Husin.

“Jangan engkau tolong dia! Dia telah membunuh Kamila!”

Malam itu Husin mengamuk tidak tertahan. Hilang iman di dada kerana amarah. Nyawa-nyawa ikan Jamilah dikerjanya. Siapa yang menolong terkena tempias sekali. Kudrat Husin tidak sepadan dengan usianya. Terbongkar segala rahsia yang disemat kemas di dalam hati.

Rahsia itu keluar dari mulut Husin sendiri. Bercakap seperti tiada kawalan.

“Aku… minyak pengasih… Hayati… janji…”

Rupa-rupanya Hayati, ibu Kamila tidak pernah menerima Husin. Kerana nekad, Husin mencalit minyak pengasih yang diperoleh dari Siam ke baju Hayati. Pengerasnya, anak bunting pelamin berusia lapan bulan dalam kandungan. Tetapi janji itu tidak dapat dilunasi kerana Kamila membesar sehingga cukup bulan di dalam rahim ibunya, walaupun bermacam cara digunakan oleh Husin agar anaknya lahir pada bulan ke lapan.

“Bunting pelamin.. Kamila.. cucu…”

Husin meracau membuka aib tanpa henti malam itu. Kerana sering dituntut oleh mahkluk yang menakutkan setiap masa, Husin semakin hilang pertimbangan. Ingin mengorbankan cucu untuk diberi kepada pemuja dunia gelap.

Namun sekali lagi usaha Husin terbantut. Jamilah terlebih dahulu bertindak. Aib.. busuk pekung keluarga tersebar cepat ke seluruh kampung.

Husin menjerit nyaring selepas mengamuk dan meracau. Dia melihat susuk badan yang besar dan tinggi serta gelap datang menerpa lalu memeluknya erat. Husin meronta sehingga kelemasan, namun mahkluk itu tidak melepaskannya. Akhirnya Husin tidak sedarkan diri.

***************
Jamilah mengesat air mata. Murah sungguh air matanya jika terkenang kisah lalu. Selepas kejadian di malam itu, Jamilah dan Husin memencilkan diri. Hendak keluar dari kampung, tidak tahu hendak ke mana. Di situlah mereka menghabiskan sisa waktu berteman rasa malu yang amat sangat dengan orang-orang kampung.

Husin pula hilang akal selepas mengamuk pada malam itu. Racaunya menjadi-jadi. Kadang-kadang entah mantera jampi mana pula diulang-ulang olehnya sebelum meraung ketakutan.

Kerana cinta, Jamilah bertahan dan menjaga suaminya yang sudah tidak waras itu. Ya, kerana cinta ada satu lagi rahsia gelap yang ditutup erat oleh Jamilah. Sehingga kini, tiada yang tahu Jamilah juga pernah menghantar santau kepada Hayati.Niatnya cuma satu, ingin mendapatkan tempat di hati Husin.

Sesalnya Jamilah tidak pernah dapat dilunasi. Siang malam dia solat taubat nasuha memohon ampun kepada Allah. Mulutnya tidak berhenti memohon maaf kepada Anwar.

“Aku maafkan, mak. Tetapi bagaimana mak hendak meminta maaf dengan arwah Kamila?” Ayat yang sama ditutur oleh Anwar.

Jamilah menangis lagi. Husin meraung ketakutan.

Tamat.
Penulis.

 

 

 

 

 

Kongsi cerita anda: http://fiksyenshasha.com/submit

Penulis

Sila tinggalkan komen yang berkaitan dengan cerita :)

7 Comments on "Kerana Cinta"

avatar
Singkong & keju

8/10 ini best.. teruskan menulis ye

cikde

awat panjang mcm ulang yg bawah tu

Singkong & keju

yg bawah tu mmg d ulang balik…double paste kot haha

JuriFS 2

Cerita menarik dan best walaupun kurang elemen keseramannya.
Cuma watak yang diberi seperti Jamilah, Kamila, Sarimah mempunyai intonansi sebutan yang seakan-akan sama yang akan membuatkan pembaca konfius.
Sebolehnya nama berlainan sebutan sedikit seperti Jamilah, Zaiton, Puspawangi. Senang nak bezakan watak nanti.

Markah: 6/10

Teruskan berkarya

Ketua Juri FS

Overall menakutkan… memang seram… teruskan menakut2kn manusia yg lemah…

Azie

Eh, dah makin ramai pulak juri kat FS. Macam-macam la korang ni. Komen yang murni je key.

Mak Lang

Best cite ni..maklang suke..

wpDiscuz