KESUMA

Assalamualaikum warga FS. Salam Ramadan buat saudara muslim sekalian. Di atas kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada FS yang telah memberi peluang karya-karya penulis sebelum ini iaitu; Alai Bubu, Awang Basar, Kekasihku Aswang, dan yang terbaru disiarkan ialah Dendam. Setiap kritikan, penulis terima dengan hati yang terbuka dan setiap pujian penulis kembalikan kepada Allah swt.

Seterusnya ialah kisah baru. Sekadar kisah fiksyen hiburan jiwa untuk semua. Mohon maaf sekiranya penyampaian agak kurang baik.

November 1511

Seakan putus tangkai jantung. Jeritan wanita-wanita penenun kain dan wanita bangsawan Melaka yang terperangkap di bawah geladak kapal tenggelam oleh bunyi guruh berdentum yang bergabung dengan pekikan ombak laut yang mengganas. Mereka ribut, seribut badai yang tengah melambung kapal Flor De La Mor itu dan kemudiannya menghempas ia kembali ke lantai lautan. Air laut mula menderu masuk. Terasa makin hampir nyawa bakal melayang.

“Wahai wanita perkasa Melaka!”
“Kita wanita perkasa kota Melaka!”

Laungan keras di tengah keributan itu menggema. Seakan ada kuasa ghaib menyeru mereka agar diam seketika. Cuma tubuh-tubuh mereka saja yang terumbang-ambing mengikut pergerakan kapal. Fatimah berdiri tegak, berpaut di dinding kapal. Dia, wanita bangsawan yang turut ditawan oleh Feringgi kelihatan bersemangat sekalipun bakal bertemu ajal sebentar lagi.

“Seandainya kita bakal terkorban di lautan ini, maka bersedialah kita. Bersedia mengadap Ilahi dengan iman di dada. Andai ajal kita di sini, tiada apa yang dikesalkan. Ketulahan orang-orang Feringgi! Daulat bumi Melaka! Kami rela kapal ini terpuruk di dasar lautan selat Melaka daripada mengangkut segala harta kita ke Feringgi! Daripada kita menjadi hamba orang Feringgi! Allahuakhbar!”

Seakan disuntik dengan semangat juang yang tinggi, para wanita yang ditawan itu bertakbir dengan lantang. Cempaka dan saudara perempuannya, Kesuma tidak ketinggalan. Takbir! Dari kejauhan, kelihatan kapal Flor De La Mor tenggelam dikambus ombak laut. Namun, takbir yang bergema seolah kekal sehingga kedengaran di dasar laut lalu tembus menuju langit ke tujuh.

November 2016

Kesuma tersentak. Apa yang telah berlaku? Baru sebentar tadi dia melihat Fatimah melaungkan kata semangat kepada wanita-wanita tawanan Portugis. Malah dia sendiri seakan telah menemui ajal bersama tenggelamnya kapal Portugis itu. Tercungap-cungap nafasnya sehinggakan terpaksa bersandar di dinding.

“Cik, cik tak apa-apakah?” Tegur seorang pemuda. Kesuma memandang pemuda Cina itu dengan pandangan kosong. Bagaimana dia berada di sini? Beberapa orang yang prihatin membimbing Kesuma duduk di bangku.

“Saya ok. Saya ok..” Kesuma cepat-cepat menjelaskan situasinya walaupun agak kurang pasti. Dia memerhatikan risalah di tangannya.

“Engkau kenapa?” Azzie bertanya. Kesuma memandang Azzie. Perlahan-lahan otaknya mengimbas kembali beberapa detik sebelum itu.

Kesuma dan Azzie sedang leka memerhatikan isi di dalam muzium Samudera bila Kesuma seolah-olah terhumban ke dalam situasi detik kapal Portugis itu tenggelam bersama rampasan perang yang diiktiraf paling mahal di dunia. Kesuma menggelengkan kepala. Gila betul, fikirnya. Akhirnya, Kesuma mengajak Azzie kembali ke homestay untuk berehat sebelum kembali ke Kuala Lumpur esoknya. Kesuma tidak menceritakan apa-apa kepada Azzie.

Malam itu, Kesuma tidak dapat melelapkan mata. Hatinya berdebar-debar, entah kenapa. Mungkin teringatkan peristiwa siang tadinya. Namun oleh kerana memikirkan perjalanan pulang esok, dia memaksa dirinya tidur. Tiba-tiba kedengaran bunyi esakan. Dahi Kesuma berkerut. Bermula dengan perlahan, lama-lama semakin kuat. Bulu roma Kesuma merinding. Pintu bilik terbanting dengan kuat. Kesuma menjerit terkejut. Kelihatan sosok tubuh mendekati Kesuma. Kesuma tidak sedarkan diri.

Ogos 1511

Terasa pipinya ditepuk beberapa kali. “Bangun. Kita kesuntukan masa.”
Kesuma membuka mata dengan perlahan. Di depannya, seorang wanita lingkuangan akhir belasan tahun berwajah cemas diterangi api jamung. Dia dapat merasakan tempat pembaringannya adalah di atas tanah. Kesuma diserang panik. Manakala wanita yang mengejutkannya menunjukkan riak tidak sabar.

“Kita kena berangkat sekarang. Nanti kesiangan.”

Kesuma bingung. “Aku di mana? Mana Azzie? Engkau siapa?”

Wanita berkenaan mengerutkan dahi. “Sudah. Usah buang masa.” Wanita itu lalu menggenggam lengan Kesuma dan memaksanya bangun. “Apa engkau kerasukankah?” Tanya wanita itu tanpa mengharapkan jawapan. Wanita itu lalu mengorak langkah.

Mahu tidak mahu, Kesuma mengikuti jejak wanita tersebut. Dia tidak mahu ditinggalkan keseorangan di situ. Lebih lagi malam di dalam hutan. Dia berada di hutan bersama wanita yang pelik. Kesuma memerhatikan wanita di hadapannya. Dalam Kesuma leka, dia terlanggar wanita itu yang tiba-tiba berhenti.

“Syhh..” Wanita itu memberi isyarat. Kesuma diam. Dalam keheningan suasana malam kedengaran seseorang mendendangkan gurindam. Nada gurindam itu, sayu dan menyeramkan. Tanpa isyarat, tiba-tiba satu susuk tubuh berpakaian putih melayang di depan mereka.

“Cempaka…..” Mahkluk itu menyeru lalu mengekek.

“Nyi…” Cempaka menyahut. Wajahnya tegang. “Mundur, atau engkau akan menyesal.”

Makhluk itu tidak tergugat dengan ancaman itu malah tersenyum mempamerkan wajahnya yang menyeramkan. Kesuma pula serasa lemah sendi lututnya. Mata Nyi, hamba syaitan itu melirik kepada Kesuma. “Baik, Nyi pergi. Bersama dia.” Nyi menunjuk ke arah Kesuma.

“Engkau akan mundur tanpa syarat.” Cempaka bertegas. Cempaka mula membaca surah lazim. Kesuma pula menurut perlakuan Cempaka, namun ayat-ayat yang dibacanya berteraburan akibat diselubungi rasa takut. “Usah takut, Kesuma. Dia cuma mahkluk Allah, seperti kita hanya dia itu terkutuk dan dimurkai Allah.” Cempaka sengaja menguatkan suaranya.

Mahkluk itu berang lalu terbang meluru ke arah Cempaka namun tergencat pergerakannya bila Cempaka membidik isi terakol tepat ke dadanya.

“Panas!” Mahkluk itu menjerit kesakitan lalu terbang melayang lesap di kegelapan hutan malam.

Terasa letih dan lenguh kaki Kesuma berjalan meredah hutan bersama Cempaka. Baru sebentar tadi mereka berdua berhenti untuk solat subuh. Tidak lama kemudian sinar dinihari pula mula menampakkan diri. Cempaka memutuskan untuk berehat sebentar sebelum menyambung perjalanan. Kesuma mengambil kesempatan itu untuk mendapatkan penjelasan daripada Cempaka.

“Engkau sebenarnya, siapa?” Tanpa disedari Kesuma mengajuk slanga Cempaka. Cempaka merenung Kesuma.

“Apa kamu hilang ingatan selepas terhantuk semalam, Kesuma?” Melihatkan Kesuma tidak menjawab, Cempaka mengeluh sambil menyebut nama Allah. “Kita saudara sebapa berlainan ibu, Kesuma. Kamu dan aku membesar bersama. Kita waris susur galur pahlawan lalu ayah menetapkan kamu dan aku menimba ilmu pertahanan.” Cempaka berhenti sebentar menanti reaksi dari Kesuma. Tiada respon dari Kesuma.

“Sudah dua hari kita memulakan perjalanan. Kamu, aku, dititip oleh ayah agar mengkhabarkan berita Feringgi kepada orang-orang Laksamana. Sepatutnya kelmarin sudah kita sampai jika tidak kerana diganggu oleh Nyi. Sehari suntuk kita berjalan di tempat yang sama.”

Tidak semena Kesuma berasa sakit kepala. Tidak masuk akal semua itu. “Aku bukan saudaramu, Cempaka.”

Cempaka menghela nafas. “Semoga Allah menyembuhkan kamu, Kesuma. Saat ini, aku amat memerlukan kamu, begitu juga ayah. Begitu juga Melaka, tanah berdaulat ini. Kita di ambang peperangan, Kesuma. Orang-orang Feringgi itu, mereka ingin menjarah bumi bertuah ini. Sudah 10 hari Benggali putih itu mengepung kota Melaka. Nah, ini kerismu yang terjatuh kelmarin.”

Maka, fahamlah Kesuma di mana dia berada, dan di zaman mana. Sungguh.. di luar kewarasan perjalanan waktu.

“Namaku, Puteri Kesuma Zahra. Ayahku, Ismail Mahadi. Ibuku, Aisyah Clara. Aku seorang penulis sambilan, mempunyai sebuah kedai buku di Kuala Lumpur. Dua hari, aku dan Azzie berada di Melaka dan akan pulang ke Kuala Lumpur pada hari ini.” Kesuma terdiam. Dia seolah lebih kepada menyakinkan diri sendiri daripada menyakinkan Cempaka.

“Cempaka, demi Allah.. aku berkata benar.”

“Usah bersumpah dengan nama Allah, Kesuma.”

Kesuma menyentuh tangan Cempaka lalu berkata perlahan. “Melaka akan jatuh hari ini, Cempaka.”

Nyi Endang mengerang kelemahan di dalam sebuah gua yang kusam dan gelap. Walaupun serbuk bedil terakol Cempaka tidak dapat membunuhnya namun ia tetap melukakannya. Nyi Endang, asal muasalnya manusia namun terjerumus ke jalan gelap akibat nafsu. Dendamnya kepada susur galur Cempaka dan Kesuma tidak pernah padam. Datuk mereka, telah membunuh seluruh ahli keluarganya. Akibat itu, dia sanggup memenuhi kehendak syaitan asal dendamnya lunas. Bila lukanya sembuh, dia akan tetap memburu Cempaka dan Kesuma. Itu janji nafsu serakahnya. Biar keturunan Umarruddin tamat di situ.

Perjalanan Kesuma dan Cempaka semakin menghampiri kota Melaka. Kesuma gagal menyakinkan Cempaka malah Cempaka menjadi rimas dan berang dengan desakan Kesuma. 10 hari selepas pengepungan Portugis, Melaka akan jatuh ke tangan Portugis. Berulang kali Kesuma menyatakannya kepada Cempaka. Namun, akhirnya Kesuma beralah dengan Cempaka bila mendengar penjelasan Cempaka.

“Kesuma, jika benar sekalipun kamu adalah Kesuma yang datang dari masa hadapan, jika benar sekalipun dakwaan kamu bahawa Melaka akan roboh, aku tidak akan lari. Darahku darah pahlawan, Kesuma. Pantang berundur biarlah ajal mendatang.”

Dari kejauhan, kelihatan asap berkepul dari kota Melaka. Gegak gempita dengan bunyi Rentaka memuntahkan isi. Dari jarak Cempaka dan Kesuma berdiri, kedengaran riuh suara manusia bertelingkah. Golongan manusia yang dahagakan darah musuhnya bertemu dengan golongan manusia yang mempertahankan darahnya.

Kesuma menelan air liurnya. Cempaka sudah berlari anak menuju ke kota Melaka. Mahu tidak mahu, Kesuma menurutnya. Namun, pergerakan Kesuma terencat bila ditarik dari belakang. Tubuhnya melayang terhentak di tanah. Kesuma mengerang kesakitan. Dia mencari Cempaka. Malang baginya, Cempaka sudah tidak kelihatan. Cempaka tidak sedar apa yang berlaku kepada Kesuma kerana tumpuannya hanyalah kepada kota Melaka.

“Engkau, milikku.” Kelihatan Nyi berdiri membelakangkan Kesuma.

Kesuma menarik nafas dan memejamkan mata bila Nyi mendekatkan wajahnya. Kesuma terhidu bau nafas Nyi yang busuk. “Lain sungguh ulah engkau. Mana pergi gagahmu?” Nyi mengekek senang hati melihat Kesuma terdampar ketakutan. Nyi Endang, yang tidak terganggu dengan keributan pertelingkahan antara orang Melaka dan Portugis mengelus leher Kesuma yang terdedah. Kelihatan urat leher warna hijau yang jelas di kulit Kesuma yang cerah. Nyi sudah tidak sabar. Dia membenamkan taringnya ke leher Kesuma.

Tangan Kesuma terketar-ketar. Tubuh Nyi Endang yang menimpanya ditolak ke tepi. Nyi Endang mengelepar kesakitan. Kelihatan keris terpacak di dada Nyi Endang. Kesuma pengsan.

Kedengaran esakan Aisyah Clara di telinga Kesuma. Kesuma membuka matanya. Kelihatan tiub berjela dari kantung ke lengannya. Dia memandang sekeliling.

“Doktor, doktor.. kawan saya sudah sedarkan diri.” Aisyah Clara memanggil doktor bertugas dengan tanpa berlengah.

Setengah jam doktor memantau keadaan Kesuma. Ahli keluarganya termasuk Azzie menunggu di luar bilik. Jelas di wajah mereka ada riak lega dan risau bercampur baur. Dua hari Kesuma tidak sedarkan diri tanpa sebab. Malah doktor mengishtihar bahawa kondisi Kesuma adalah sebagai pesakit koma.

Hari ke tiga, Kesuma dibenarkan keluar dari hospital. Taraf kesihatannya yang amat baik malah seperti tiada apa pun yang berlaku membingungkan para doktor. Namun, dia dinasihatkan untuk mengikuti rawatan susulan serta kaunseling di minggu hadapan. Kesuma pula lebih banyak termenung selepas kejadian itu. Namun, Kesuma mengakui kepada diri sendiri bahawa dia pernah terdampar di dalam lipatan sejarah.

Tanpa sesiapa sedari, ada mata yang mengintai. Nyi Endang, menyerigai mencari peluang seterusnya.

—————————————————————————————————————————-

Tamat.

02.01 am
Penulis

Nota kaki:
1. Kapal Flor De La Mar adalah kapal Portugis yang mengangkut harta rampasan semasa kejatuhan Melaka. Harta rampasan adalah berbentuk emas, tembikar, manuskrip termasuk wanita bangsawan dan wanita penenun kain. Namun, kapal itu tenggelam di selat Melaka dan sehingga kini kedudukan kapal itu masih lagi misteri.

2. Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 24 Ogos 1511 selepas pengepungan Portugis selama 10 hari. Kejatuhan Melaka dipercayai disebabkan perbuatan khianat.

3. Terakol dan Rentaka adalah senjata orang Melayu di Nusantara. Terakol berupa pistol dan jika pernah menonton filem Pirates of Carribean, Kapten Jack Sparrow menggunakan sejenis terakol kancing batu api. Rentaka ialah sejenis meriam mudah alih yang pertama di dunia. Meriam ciptaan Melayu yang ditakuti oleh barat ketika itu.

7 thoughts on “KESUMA”

  1. ambil cerita dari novel ke? seriusly pernah baca cerita nih but ta ingt tajuk apa.. novrl ramli awang murshid kot asenye..

    Reply

Leave a Comment