Khazanah

KHAZANAH
Oleh : Gagoh Muso

Sekitar awal tahun 2018, sedang aku menyiapkan laporan data pelanggan. Salah seorang rakan sekerja, Amir.. datang ke meja aku.

“Kamal.. bos cari.. sekarang katanya..”

“aduh apa lagi orang tua tu nak..” tanyaku sambil sambil menghempas badan ke kerusi….

“mana la aku tahu, engkau kan dah jadi orang kesayangan dia sekarang.. hehe..” sindir Amir sambil berlalu.

Mungkin berkaitan hal dua hari lepas, aku tak puas hati dengan bos berkenaan bayaran bonus dan kenaikan gaji semasa mesyuarat. Tapi dah kerja makan gaji. Macam timun nak lawan durian, bergolek ke digolek tetap luka. Semasa aku masuk ke bilik bos ada seorang lelaki duduk di hadapannya. Lelaki yang belum pernah aku lihat sebelum ni.

Selepas bos memperkenalkan lelaki itu sebagai Syukri, dari Putrajaya aku terus bersalam dan duduk di kerusi sebelah. Belum sempat bertanya, bos maklumkan tujuan pertemuan hari ini kerana hajat dari saudara Syukri ingin bertemu aku. Syukri terus mengeluarkan sepucut surat dari fail yang dia bawa. Private and confidential. Perkataan yang bercetak merah itu jelas kelihatan pada fail coklat yang tertera jata negara.

“Jadi.. apa pilihan yang saya ada sekarang ?,” tanya aku setelah meneliti isi fail coklat tersebut.

“Kamu dah bacakan, pilihan yang ada.. setuju dengan rela atau setuju paksa rela..” Balas Syukri sambil tersenyum kepada bos.

Aku memandang bos untuk mendengar jawapannya.

“Awak kena faham Kamal, saya ni orang berniaga.. lagipun saya lihat perkara ni situasi menang-menang. Kita semua untung.. saya, syarikat, kamu.. dan negara.” Ucap bos selepas meneguk kopi yang sedia terhidang.

Ringkasannya aku telah dipinjamkan oleh syarikat untuk bertugas dengan ‘team’ Encik Syukri. Suatu kumpulan yang telah diberi mandat oleh pihak yang berkenaan untuk menjejak sesuatu berkaitan khazanah negara dan entah kenapa aku telah dipilih. Tanpa penjelasan. Serta dipaksa rela untuk bersetuju. Walaupun rasanya langsung tidak ada kaitan kerja aku di syarikat sebagai admin dengan benda-benda melibatkan sejarah.

“Jangan risau, kebajikan kamu sangat dijaga.. hanya tiga bulan, gaji dari syarikat tetap berjalan.. elaun daripada kami lagi.. lebih dari cukup.” Kata Syukri setelah lihat aku termenung.

“Tapi kamu kena ingat, perkara ni sulit.. sangat sulit.. kamu dah baca dan faham semua yang ada dalam fail tadi kan. Lagi dua hari saya jemput kamu di rumah. Jangan risau, semua sudah diatur.” Sambung Syukri sambil bersalam dengan aku dan bos kemudian beransur keluar.

Pada hari itu, aku dibenarkan pulang awal untuk sediakan apa yang patut. Berpandukan surat yang telah disediakan oleh Syukri, kononnya aku perlu berkursus di Indonesia selama tiga bulan. Aku jadikan modal untuk beritahu kepada keluarga dan kawan-kawan supaya tidak timbul keraguan nanti. Aku dibenarkan untuk berhubung dengan keluarga atau menggunakan media sosial setiap dua minggu sepanjang temph berkhidmat. Berkhidmat sebagai apa..? Entah.

“Berkhidmat sebagai perantara.. antara alam kita dengan alam sebelah.” Beritahu Syukri dalam sesi penerangan, setelah kami sampai di sebuah tapak perkhemahan. Terletak di kaki bukit. Sebuah negeri di utara semenanjung.

“Alam sebelah..? alam sebalik mata ke.. ni macam kerajaan langit je ?” aku cuba melawak.

“Hahaha.. bukan Kamal.. bukan. Ni suatu tempat sangat dekat dengan kita, tapi sukar untuk dilawati.”

“Kita akan ada di kem ini selama satu minggu paling minimum.. untuk persediaan fizikal dan rohani. Proses untuk tembus alam sebelah guna banyak tenaga dan perlu fokus yang tinggi”. Terang Syukri.

“Jadi ni betul-betul la ye.. bukan cubaan..?” Aku cuba dapatkan kepastian.

“Ya Kamal.. kamu tahu berapa banyak cukai digunakan untuk misi ini..? benda ni bukan main-main. Malam nanti ada jurulatih yang akan beritahu lebih detail. Kamu rehat dulu. Selesaikan apa patut.” Ujar Syukri meninggalkan ruang bilik aku yang dibina di dalam sebuah kontena. Ada tiga ruang kesemuanya. Jumlah kontena di atas tapak perkhemahan tiga buah. Jadi aku agak tapak ini hanya untuk sementara saja. Dibina hanya untuk misi yang aku terlibat.

“Kamal.. kau pernah tengok filem Doctor Strange?.” Tanya Rais, seorang lelaki lewat 40an yang baru hadir malam itu. Menurut Syukri dialah yang akan melatih aku dan memberi jawapan untuk semua persoalan yang aku fikirkan selama ni.

“Kalau kau perasan, ada satu babak Doctor Strange seperti berada di alam lain semasa dia berjumpa Ancient One yang botak tu. Bukan jasad, tapi roh dia yang pergi ke alam satu lagi.”

“Itu dipanggil astral projection, meraga sukma, atau kembara roh. Teorinya benda ni jadi hari-hari pada diri kita, sewaktu tidur. Cuma kita tidak sedar dan tidak tahu mengawalnya. Jadi untuk minggu pertama kat sini, aku akan latih cara untuk kau boleh buat astral projection. Kita akan guna semua kaedah sampai kau berjaya.” Penerangan Rais buat aku semakin pening.

Ya, sebelum ini aku memang ada terbaca pasal benda-benda macam ni. Sama ada di media sosial atau penulisan di blog. Tapi aku masih tak faham kenapa aku ke sini.

“Rais.. sebenarnya apa kaitan aku dengan semua ni. Aku tengok tempat ni dah macam kem militan, siap tempat latihan.. petang tadi aku tengok ada dua orang dok pegang senapang. Nak kata tentera tak nampak gaya langsung. Baru tadi kau cerita pasal roh bagai. Apa benda sebenarnya ni?.” Aku bertanya sambil meluah perasaan dengan nada sederhana tinggi.

“Sabar.. kau dah jadi sebahagian daripada misi ni. Jadi kau berhak untuk tahu. Aku faham, kau masih keliru. Tenang dulu Kamal.. tenang..”. Rais cuba menenangkan aku. Dia kemudian menghidupkan rokok.

“Lebih kurang tiga tahun lepas. Team kami telah dipanggil oleh pihak berkuasa. Ada laporan yang agak luar biasa daripada Orang Asal. Menurut mereka ada binaan mencurigakan telah dijumpai jauh di tengah hutan.. mulanya pihak berkuasa fikir itu kerja pencari kayu gaharu atau pelombong haram. Tapi apabila mereka pergi ke lokasi. Apa yang dilihat sangat mengejutkan.. perkara itu diluar bidang kuasa mereka. Jadi kami mula menyusun gerak kerja untuk ke sana dengan bantuan sekumpulan Orang Asal.”

“Pihak berkuasa tidak menghantar wakil, kumpulan pemantau yang jumpa benda ni tak berani pergi lagi. Mereka takut”. Rais melepaskan keluhan sambil menyalakan rokok yang entah ke berapa batang. Aku masih mendiamkan diri. Fokus.

“Aku yakin.. kau pernah dengar atau baca.. beberapa tahun lepas ada tulisan daripada seorang bekas tentera, kononnya wujud binaan besar dalam hutan negara kita. Lepas tu ada pula seorang perempuan menulis kononnya lagi telah ditunjukkan gambar lama pasal bangunan purba di tengah-tengah hutan.” Rais mula mendekatkan diri ke arah meja sambil menjentik habuk rokok.

“Apa yang kau fikir dalam kepala otak tu sekarang memang betul. Mereka menulis pasal piramid yang ada dalam hutan negara kita ni.”

“Kamal.. Kau tahu apa yang kami jumpa masa sampai di lokasi tu..?” Tanya Rais dengan matanya membulat.

“Sebuah obelisk yang sedikit condong.. hampir sepemeluk.. setinggi tiga meter. Tapi ada lagi tiga meter tertanam dalam tanah. Obelisk tu hampir tidak rosak binaannya. Kalau tempat lain diukir daripada batu. Tapi yang kami jumpa ni dibina daripada logam padu.”

Aku berkali-kali menelan air liur. Terus terbayang bentuk obelisk di Mesir yang biasa dilihat dalam internet. Aku teringat tamadun Sungai Batu. Daripada hasil jumpaan ahli arkeologi, mereka mendakwa wujud industri pemprosesan besi berskala besar di sana. Menariknya tapak di Sungai Batu tersebut berusia beberapa ratus tahun sebelum masihi, dan dijangka usia itu akan terus bertambah jika tapak-tapak baharu dibuka untuk kajian lebih dalam.

“Obelisk tu ada dua bahagian yang mempunyai lakaran. Macam tulisan hieroglif Mesir purba. Tapi ada perbezaan. Tepak manggis, bukit, padi, ikan keli, bunga melur, keris. Seolah-olah hieroglif versi tempatan.. diubah mengikut budaya setempat.” Sambung Rais sambil mengeluarkan sebuah tab dari beg galasnya.

“Tengok je.. jangan pegang..” Rais menunjukkan dua keping gambar. Seorang lelaki Orang Asal sedang berdiri di tepi obelisk yang agak berlumut. Gambar kedua pula zoom in pada salah satu bahagian tulisan.

“Aku tahu kau minat sejarah. Kami tak pilih ahli tanpa kaji latar belakang. Kau tahu kan pasal perubahan tambahan yang dibuat pada sistem tulisan Arab menjadi jawi. Batu-batu bersurat lama yang guna bahasa Melayu Kuno sampai pendeta yang pakar dari Sri Langka dan India tak boleh faham. Adaptasi dan inovasi pengaruh luar ke dalam budaya setempat. Itulah yang berlaku pada tulisan di obelisk ni.”

“Apa yang kau termenung tu Kamal.. terkejut.. ke takut. Sekarang kau nak tahu kenapa kau dipilih..?” Tanya Rais. Aku mengangguk laju.

“Sepanjang dua hari kami berada di sana. Gangguan ghaib yang datang sangat dahsyat. Baik jelmaan, bunyi-bunyi.. hujan ribut. Walaupun aku dah pagar tempat tu.. tapi kurang menjadi. Alatan kami juga banyak yang rosak.”

“Sehinggalah aku cuba berkomunikasi dengan ketua mereka.. apa yang aku dapati.. tempat tu sudah diletak beratus-ratus jin yang berusia beribu tahun untuk mengawal. Memang ditugaskan untuk elak penceroboh.. kau nak tahu siapa yang letak mereka kat situ?”

“Siapa..?” aku bertanya.

“Nenek moyang kau Kamal. Ya.. lama dulu keturunan kau yang terdahulu letak jin-jin tu kat situ. Kami yakin ada sesuatu yang sangat berharga yang dijaga. Ketua mereka hanya mengizinkan orang yang berdarah sama dengan tuan asal untuk melepasi kawalan mereka.”

“Macam mana korang tahu nenek moyang aku yang terlibat?.” aku sudah makin tidak sabar. Cerita sudah makin mengarut. Petik keturunan sebarangan. Siap jual nama jin.

“Sebelum aku keluar dari tempat tu. Ketua jin di situ ada beri petunjuk sebilah pisau kecil yang ditanam tidak jauh dari obelisk tu. Hasil scanning dengan ilmu yang aku ada dan beberapa ahli paranormal yang lain. Kami mendapat gambaran wajah kau. Menggunakan pangkalan data yang ada. Hasilnya.. hari ni kau ada kat sini. Kami yakin kau adalah kunci untuk kita tahu khazanah apa yang ada dalam hutan tu.”

“Tapi untuk permulaan kita akan latih kau dulu cara untuk buat astral projection tu.. kita tak nak bazirkan masa dan tenaga masuk ke lokasi tanpa tahu keupayaan kau. Kalau dah boleh kuasai kaedah ni.. kita test dari sini je.” Terang Rais panjang lebar.

Dipendekkan cerita pada waktu siang aku dilatih untuk kuatkan stamina secara fizikal dan diajar ikhtiar hidup dalam hutan oleh 4 orang lelaki berperwatakan seperti askar. Tidak banyak komunikasi antara kami. Tiada kemesraan. Hanya latihan fizikal.. mungkin faktor kerahsiaan identiti. Aku menganggap mereka hanyalah jurulatih aku, tidak lebih tidak kurang.

Syukri pula langsung tak nampak batang hidung. Pada waktu malam pula didedahkan dengan kefahaman dan amalan metafizik atau kebatinan. Memang satu pengalaman yang baharu buat aku. Rais menggunakan dua buah kristal jenis quartz yang perlu aku genggam kiri dan kanan. Tapi bersama kristal quartz tu ada juga kristal lain yang berwarna merah dan biru. Ada juga beberapa ayat yang perlu aku baca sepanjang proses untuk buat astral projection tu.

Rais akan menjadi pembimbing dan menampung energi aku, kristal pula jadi booster untuk memudahkan proses mengeluarkan roh atau semangat dari tubuh. Maksudnya aku tidak boleh buat benda tu sendiri. Tapi perlukan Rais sepanjang proses untuk buat astral projection. Saat kali pertama semangat aku keluar dari badan. Aku boleh melihat diri sendiri sedang bersila dan Rais yang duduk di sebelah dengan memegang bahu kanan aku.

Memang sebijik macam dalam filem Dr Strange.Takjubnya.. semangat Rais juga ada bersama aku pada masa itu. Kami terapung-apung di udara. Kami bercakap bukan dengan mulut. Tapi suara hati. Susah aku nak terangkan. Masa pula seperti sangat perlahan di alam astral. Walaupun aku rasa cukup lama berada di alam sana. Tapi alam nyata sangat sekejap. Aku memerlukan beberapa malam untuk biasakan diri dan menghadam pengalaman baharu yang sangat luar biasa. Rais hanya bawa semangat aku di sekitar kem. Paling jauh dia bawa ke pekan yang terletak lebih kurang 30km dari kem.

Semasa dalam keadaan astral projection ni aku boleh melihat pelbagai makhluk-makhluk lain di sekitar. Ada juga semangat lain. Sama ada solo atau berkumpulan. Ada yang seolah-olah berbincang.. ada juga yang seperti blur.. yang ni semangat solo. Mengikut kata Rais semangat solo boleh jadi orang yang sudah mahir, biasanya perawat atau pengkaji atau mungkin semangat orang baru belajar atau yang terjadi tanpa sengaja. Tapi Rais tidak membenarkan aku berhubung dengan semangat-semangat lain. Faktor keselamatan.

“Malam ni kita akan pergi ke lokasi.. sebelum ni aku pernah cuba banyak kali tapi tak lepas. Pelindung kat sana terlalu kuat. Energi pagaran dan jin yang mengawal memang tak bagi sesiapa masuk. Jadi harapnya dengan ada kau kat sini. Apa yang dirancang akan berjalan lancar la”. Sungguh-sungguh Rais bagi penjelasan. Nampak sangat dia berharap.

“Tapi macam mana kalau aku pun tak lepas juga?”

“Alamatnya kau boleh balik awal la.. kami terpaksa pikir cara lain.” Jawab Rais sambil mengangkat kedua belah keningnya.

Sebaik saja aku masuk ke alam astral. Rais membimbing aku ke lokasi.. sampai saja di sana aku lihat seolah-olah sebuah kubah berwarna perang campur pink. Tapi warna tu berubah-ubah, permukaan kubah bergerak seperti aliran air. Di sekeliling kubah pula ada beratus makhluk yang pelik seperti mengawal. Fizikal seperti manusia, bertanduk kecik dan bertaring, berpakaian macam orang zaman batu. Pernah tengok filem Warcraft.. makhluk orc, macam tu lah. Tapi sekali pandang ada juga iras-iras jin dalam filem Ahmad Albab.. ya.. Ahmaddd Albabbb yang punya. Makhluk ni tidak terbang. Tapi berkawal di permukaan tanah saja.

Semakin aku dekat dengan kubah, semakin terasa bahang panas. Rais meminta aku tunggu dan lihat dari jauh. Sewaktu semangatnya terbang menghampiri.. aku lihat bentuk semangat Rais semakin kabur dan bergetar.. kemudian tertolak ke belakang. Seperti ada kekuatan yang tidak kelihatan menghalang dan menolak semangat dia.

“Kamal.. sekarang giliran kau pula.. bila dah dekat dan rasa seperti ditolak. Baca bismillah dan sebut nama penuh kau..” Arah Rais secara telepati.

Aku terbang menghampiri kubah dan mengikut arahan Rais. Tanpa ada sebarang halangan aku berjaya menghampiri permukaan kubah dan dapat menyentuhnya. Secara tiba-tiba seperti ada arus elektrik yang mengalir di tapak tangan. Kemudian aku seperti melihat gambaran suasana zaman dahulu. Seperti aku berada di situ secara fizikal.. di lokasi tapak kubah itu.. lama dulu.

Apa yang aku nampak..?

Kawasan hutan tebal di sekeliling.. tapi ada tempat yang telah dibersihkan. Di kawasan bersih itu, ada sebuah lubang berbentuk segi empat dan bersaiz padang bola sepak. Dalamnya aku tidak pasti. Tapi agak dalam, aku anggar mungkin 3 atau 4 tingkat bangunan melihat kepada tangga dan takal yang ada. Lubang itu sudah siap digali. Pekerja di situ agak ramai. Ada yang sedang menguruskan batu blok bersaiz besar. Ada yang sedang menuang logam cair di dalam acuan. Dari jauh aku lihat ada sebuah batu sedang diukir berbentuk kepala manusia. Semuanya nampak tersusun dan teliti. Setiap aktiviti dibuat di tempatnya sendiri. Sebuah projek berskala sederhana besar yang diurus dengan terancang.

Sumber air datangnya dari sebuah bukit dan ada sebatang anak sungai selebar 4 meter sepanjang tapak pembinaan, aku fikir itu anak sungai sementara yang dibina khas sepanjang proses pembinaan berjalan. Manusia di situ berpakaian ringkas. Memakai pengikat kepala, bercawat labuh seperti seluar.. tapi ada juga yang seperti bersampin kemas. Majoriti tidak berbaju.. kalau berbaju pun seperti selempang yang lebar. Nampak wujud kelas sosial tersendiri. Raut wajah memang tipikal orang Nusantara. Bahasa yang digunakan tidak jelas. Sebab pada waktu itu aku hanya dengar seperti dengung dan berdesing sepanjang masa.

Tapi yang aku pasti. Mereka semua sedang membina sesuatu dalam lubang itu. Dari tempat aku berada.. apa yang aku nampak aktiviti yang dibuat lebih kepada mengukuhkan dinding lubang. Apabila aku berjalan menghampiri lubang untuk lihat isinya. Bahu aku dipegang dari belakang.

“Kamal.. Ooo Kamal.. bangun.. Subuh gajah dah ni..” sayup-sayup dengar suara Rais.
Selepas puas menggeliat, pantas aku bangun mengerjakan solat. Jam sudah pukul 7 pagi. Rupa-rupanya kami terbabas tidur.. penangan kembara roh malam tadi. Selesai bersiap dan sarapan, aku dan Rais berbincang perihal yang aku alami.

“Aku yakin malam tadi tu, kau masuk ke dalam badan nenek moyang kau yang menyelia kerja-kerja di sana.. atau mungkin kau dah akses memori alam kejadian tempat tu. Sebab DNA atau genetik yang sama. Sebab tu boleh nampak apa yang sedang berlaku zaman dulu. Tapi ni teori aku je la.” Terang Rais sambil melurut janggutnya yang tidak seberapa.

“Maksud kau.. malam tadi aku merentas masa ke..?” Aku cuba mendapat kepastian.

“Bukan.. kau hanya melihat rakaman. Alam ni sifatnya merakam. Udara yang kita sedut, batu, pasir, pokok.. semua tu boleh merakam. Tinggal nak playback je. Cuba kau fikir, kenapa anak penyu yang menetas di darat. Laju je pergi ke laut. Macam mana anak penyu tahu lokasi laut.. macam mana mereka tahu.. yang diri mereka tu penyu..?”

“Jawapannya DNA.. genetik.. atau bahasa kampung, d***h daging. Ini jugalah yang berlaku apabila melibatkan kes saka keturunan. Tapi semua ni masih di peringkat kajian kami.. belum solid. Kalau nak sembang lagi lari fokus la tujuan kau kat sini.. tapi kalau boleh kaitkan.. gambaran wajah kau yang aku dapat.. kemudian kau boleh lepasi kubah tu, apabila sentuh muncul bayangan zaman dulu. Teori yang aku cakap tadi tu sikit-sikit boleh dipakai.” Panjang lebar Rais beri penjelasan yang aku sendiri haram tak boleh nak faham.

“Kejap lagi aku nak hantar laporan kat tuan Syukri.. rasanya kalau semua ok. Kita akan bergerak ke lokasi sikit masa lagi.”

Sebaik selesai aktiviti fizikal. Rais meminta semua berkumpul. Seperti yang telah dia beritahu tadi. Lusa kami akan bergerak. Pihak atasan sudah memberi lampu hijau. Rais juga sudah pantau lokasi operasi dengan semangatnya. Kubah yang menghalang dan jin di kawasan sekitar sudah tiada, seolah-olah merestui apa saja gerak kerja kami nanti setelah kehadiran aku malam tadi. Akhirnya setelah hampir 3 minggu aku di sini. Baru boleh bergerak keluar dari kem, dah tepu rasanya. Kalau boleh biar semua selesai dengan cepat.

Esoknya baru aku tahu yang jarak perjalanan dari kem ke lokasi operasi memakan masa dua hari. Itu pun kalau cuaca baik. Menurut Rais helikopter tidak boleh menghampiri ke lokasi, seperti wujud gangguan medan tenaga elektrik. Boleh menyebabkan helikopter terhempas. Senang cerita semua alatan elektronik tidak boleh berfungsi apabila berada dekat dengan kawasan tersebut. Jadi walaupun kubah sudah hilang, risiko tidak diambil atas faktor keselamatan ahli. Sekarang baru aku tahu kenapa beria-ria mereka melatih stamina aku dan mengajar ikhtiar hidup dalam hutan.

Diringkaskan.. selepas 2 hari perjalanan kami berenam merentas hutan tanpa kehadiran Syukri.. dia hanya melambai semasa kami meninggalkan kem, akhirnya kami selamat sampai ke lokasi tujuan. Aku nampak ada sebuah pondok dari kayu yang agak usang di situ. Mungkin tempat mereka buat operasi sebelum ni. Kemudian aku lihat adalah sebuah obelisk yang Rais ceritakan tidak jauh dari pondok. Nampak kukuh dan padu. Walaupun terkena hujan panas yang mungkin selama beribu-ribu tahun.. tapi langsung tidak berkarat. Tulisan hieroglif juga masih jelas di bahagian depan dan belakang.

“Kamal.. cuba kau pegang obelisk ni.. sambil sebut nama penuh, macam kau sentuh kubah sebelum ni.” Arah Rais sambil memegang bahu kanan aku.

Sebaik saja tangan aku menyentuh permukaan logam itu. Aku terasa khayal.. seperti hendak tidur, kemudia terus nampak suatu kawasan di hadapan aku bercahaya. Aku tidak pasti berapa jauh jaraknya. Tapi cahayanya seperti keluar dari dalam tanah. Aku yakin.. di situlah tempat lubang yang aku lihat sebelum ni. Sejurus Rais menarik balik tangannya dari bahu aku, keadaan kembali normal.

“Okey aku dah nampak tempat tu. Kita dirikan khemah di sini. Baiki pondok lama.” Rais mula mengarah. Waktu sudah hampir Asar ikut perkiraan. Sebaik aku melihat jam di tangan. M**i. Telefon bimbit pun sama.. skrin gelap. Maksudnya apa yang Rais cerita pasal gangguan alatan elektronik tu masih ada. Entah kenapa aku dilanda rasa tidak sedap hati.

Pada malamnya suasana sangat tenang. Setelah habis selesai aktiviti, aku masuk ke khemah. Sedang melayan mata untuk tidur tiba-tiba terdengar suara jeritan yang sangat kuat.. sekali dengar seperti bunyi monyet.. ada jugak bunyi suara orang, seperti marah. Bukan sekali tapi banyak kali dan bukannya satu suara. Seolah-olah berpuluh suara di sekeliling tapak khemah kami. Masa ni aku sudah terbayang makhluk dalam filem Warcraft tengah mengepung kami. Rais mengarahkan kami semua berkumpul di tengah-tengah tapak.. aku lihat masih bersisa unggun api. Sedang salah seorang jurulatih aku cuba menambah kayu untuk besarkan api. Datang angin yang sangat kuat sehingga terbang segala khemah dan terpadam api. Kami kalut ketika ini.

Rais aku lihat membaca sesuatu dan menepuk tangan kanan ke tanah. Zuupp..!! Ajaib.. angin ribut terus berhenti. Dia kemudian bersila dengan tapak tangan di atas lutut.

“Ciss.. kita dah kena main.. aku tak boleh keluarkan semangat, penunggu tempat ni dah pasang balik kubah ghaib tu. Patut aku berdebar je dari tadi..”

“Kamal.. kau cuba buat astral projection, tengok apa yang ade kat luar sana, aku dah terhijab sekarang..” Arah Rais sambil mengeluarkan kristal dari beg galasnya. Ya.. aku masih perlukan bantuan batu kristal.

Sebaik saja semangat aku keluar dari jasad. Jelas aku nampak berpuluh atau mungkin beratus makhluk sebelum ni sedang mengeliling kami. Sebaik aku lihat ke atas, masih wujud kubah yang sebelum ni menutup tempat ini. Bezanya kali ini aku berada di dalam. Serentak itu, makhluk penunggu tu berpaling ke arah aku sambil membuka mulut dengan mata yang membulat. Mungkin marah sebab aku boleh melihat mereka.

Tapi mereka tidak menyerang aku, sebalik menggerumun ke arah ahli-ahli yang lain.. termasuk Rais. Menggelepar setiap sorang, bayangkan berpuluh-puluh ekor penunggu menyerang setiap sorang jurulatih aku. Tangan menepis.. kaki menendang, tapi tidak berkesan seolah-olah menendang angin. Hanya Rais yang masih bersila.. walaupun menyerang bertubi-tubi, penunggu-penunggu tersebut tidak oleh masuk dekat. Seperti ada benteng melindungi Rais.

Aku pula masih bergentayangan di dalam kubah, jika sebelum ni Rais akan membimbing aku semasa berada di luar jasad.. tapi sekarang dia tengah gigih bertahan dari serangan ghaib. Aku lihat sekarang keadaan semakin kritikal. Jurulatih-jurulatih aku ada yang sudah muntah d***h. Mata masing-masing terbeliak. Memang jin-jin penjaga tempat ni nekad nak b***h kami gayanya. Saat ini aku lihat Rais berdiri tegak sambil kedua-kedua tangan di hala ke atas. Habis tercampak penunggu yang menyerangnya.

“Naruddu bikal a’daa, a minkulli wijhah..” Dengan lantang Rais membaca ayat yang agak asing.. diulang banyak kali. Ayat ni panjang lagi, aku hanya ingat sebutan mula-mula.

“PAANGGGG..!!”

Tiba-tiba datang panahan petir secara bertubi-tubi.. silauan cahaya putih kebiruan menerangi seluruh tempat itu. Berdentum kuat bunyi guruh tak henti-henti.. walaupun berada dalam alam semangat. Tapi aku tetap merasa kesannya sedikit sebanyak. Sebaik saja keadaan kembali tenang. Aku lihat bergelimpangan jasad yang rentung seperti tunggul kayu terbakar memenuhi kawasan. Rais pun dalam keadaan terbaring dan bernafas laju. Mungkin dia membaca ayat menyeru petir untuk menyerang penunggu kawasan itu. Aku perasan kubah ghaib pun dah hilang.

Aku pula masih cuba masuk semula ke dalam jasad. Ketika inilah aku nampak pergerakan di suatu sudut. Rupa-rupanya masih ada jin penunggu yang terselamat daripada petir tadi. Hampir sepuluh ekor rasanya. Ada dua ekor tiba-tiba melompat dan terbang ke arah aku. Selebihnya menerkam ke arah Rais. Dalam situasi ini.. aku pasrah.

Aku sempat menjeling.. Rais bersusah payah untuk bangun. Sebaik berdiri dihentak kaki kanannya tiga kali ke tanah.. untuk kesekian kalinya dia mengangkat kedua belah tangan.

“Aqsamtu alaikum ya Jabroil…” Rais lagi sekali melaung.

Bunyinya seperti salam dan dibaca lagi beberapa ayat lain.. kemudian datang satu lintasan cahaya. Bukan petir. Tapi cahaya putih yang sangat terang seperti membuat pusingan U. Datang dari langit, turun melibas saki baki jin penunggu dan naik semula ke atas. Semuanya berlaku dengan pantas. Saat inilah pandangan aku menjadi sangat terang dengan bunyi nyaring bergema di tepi telinga. Gelap. Aku tak ingat apa yang jadi selepas itu.

Bunyi seperti kipas yang sangat kuat mengganggu tidur aku. Sebaik membuka mata.. aku berada di atas tilam yang selesa. Bukan lagi dalam khemah. Kontena. Ya.. aku sedang tidur di dalam bilik kontena, tempat mula-mula aku melapor diri dengan Syukri sebelum ni. Sebaik aku melangkah keluar.. bunyi kipas semakin kuat. Rupa-rupanya itu bunyi kipas helikopter yang sedang menurunkan beberapa buah kotak besar.

Aku masih di dalam hutan. Bezanya kawasan itu semakin terang. Dahan pokok d******g untuk memudahkan helikopter menurunkan barangan. Orang-orang juga semakin ramai. Banyak khemah dan pondok didirikan. Hanya ada dua buah kontena termasuk tempat aku tidur tadi. Aku keliru.
“Sedap betul ye kau tidur, mengalahkan Snow White.” Terdengar suara dari sebelah kanan tempat aku berdiri. Syukri tersenyum dengan bercermin mata hitam dan rokok putih dibibir.

Cerita diringkaskan atas faktor kerahsiaan. Rupa-rupanya aku telah tidur selama tiga hari sejak peristiwa diserang penunggu pada malam tersebut. Kesemua jurulatih aku terpaksa dibawa keluar kerana kecederaan dalaman. Tapi stabil dan akan kembali bertugas apabila pulih. Rais jadi hero malam tu.. dengan menggunakan ilmu hikmah yang aku tidak berapa faham, semua gangguan disapu habis.

Tiada lagi gangguan alat elektronik dan Rais terus menghubungi Syukri untuk mendapatkan bantuan. Aku pula lepas libasan cahaya tu terus jasad masuk ke badan dan tertidur. Sebaik saja sedar dan pulih.. aku hanya ada di sana selama tiga hari. Sempat lihat mereka menggali lubang tempat yang aku nampak dalam gambaran sebelum ini.

“Kita tak sempat dah nak gali sampai ke tapak.. mungkin tebuk terus ikut bumbung..” Aku menelan air liur bila dengar penerangan Syukri.

Masa ini mereka jumpa binaan melengkung seperti batu sebaik menggali hampir 15 meter. Mula-mula ingatkan bola gergasi. Tapi rupanya bumbung berbentuk kubah. Kubah lagi. Jadi untuk memendekkan masa, mereka menebuk bumbung dan masuk melalui situ untuk lihat kandungan dalam binaan itu. Aku hanya sempat lihat proses menebuk, tapi tidak dapat lihat atau tahu apa yang mereka jumpa.

“Ni tanggungjawab.. sebagai rakyat negara ni kau kena tunaikan, kami wakilkan dekat kau.. lagipun satu minggu je. Rehat puas-puas.” Rais menepuk-nepuk bahu aku ketika bersarapan bersama Syukri.
Seperti yang sedia maklum. Pada tahun 2018 berlaku pilihan raya besar dalam negara. Aku telah diberi pelepasan untuk pulang mengundi dan berehat selama satu minggu. Kononnya kalau ada yang bertanya pihak syarikat beri peluang untuk bersama keluarga sebelum sambung kursus lagi.. dan seperti yang kita tahu, keputusan pilihan raya yang telah menukar baju pemerintah telah membawa banyak perubahan. Aku tidak terkecuali.

“Saya dah bercakap dengan encik Syukri. Awak boleh pilih untuk terus menghabiskan baki tempoh ‘bertugas’ atau datang bekerja seperti biasa.. soal bayaran tetap berjalan seperti yang dipersetujui. Cuma rahsia tetap rahsia la.. Awak pun faham.” Suara bos aku kedengan tenang dalam telefon.
Sebenarnya selepas tamat tamat tempoh rehat seminggu, aku tidak dihubungi oleh Syukri atau Rais seperti yang diberitahu. Jadi bila rasa ‘dikencing’, aku terus telefon bos.. itu lah jawapannya.

Jadi aku memilih untuk habiskan baki cuti lagi dua bulan dengan balik ke kampung, habiskan masa yang ada dengan keluarga. Gaji jalan.. elaun pun ada. Tapi disebabkan terikat dengan perjanjian aku terpaksa ‘goreng’ cerita dekat keluarga.. kenapa aku boleh duduk lama di kampung dan gaji jalan. Nasib baik bos aku jenis boleh pakat.

Dalam tempoh yang agak lama. Aku cuba buat carian di internet tentang penglibatan aku sebelum ni. Tapi langsung tak jumpa. Yang ada hanya cerita piramid Melayu.. di Pahang la, tasik Chini la.. itupun tunjuk gambar piramid kaum Maya dengan gambar Gunung Padang di Indonesia. Aku jugak ada jumpa beberapa orang yang kononnya boleh buat astral projection. Aku nak pergi tengok tapak jumpaan dalam hutan tu. Apa yang mereka dah jumpa setakat ni sampai tak mahu libatkan aku lagi.

Tapi tiada sorang pun orang yang aku jumpa tu boleh buat seperti Rais. Semuanya beritahu aku perlu berlatih dan buat sendiri. Ada beberapa kaedah.. haram tak jadi. Sampai aku putus asa dan move on.
Sehinggalah.. masuk tahun 2020. Kerajaan lagi sekali bertukar dan dunia dilanda Covid-19. Aku bekerja seperti biasa, tapi dari rumah. Sekitar penghujung bulan April, semasa aku menuju ke kereta sebaik selesai membeli di pasar raya yang biasa aku pergi.

“Assalamualaikum Kamal”. Suatu suara yang aku masih cam pemiliknya. Syukri.

“Bila orang atas tukar baju.. sikit sebanyak yang bawah ni kena tempias. Projek pun jadi slow.. tapi nasib baik boleh teruskan bila kami berbincang elok-elok. Cuma bab kau tu, aku tak boleh buat apa la.. yang tu aku minta maaf. Oleh sebab jasa kau, aku fikir.. sikit sebanyak kau kena tahu apa perkembangan kat sana.” Syukri tersenyum dengan kening terangkat.

“Mal.. kau nak tahu, bangunan berkubah yang kita jumpa tu sebenarnya sebuah perpustakaan. Aku tak boleh cerita lebih.. tapi isi dalam tu sangat luar biasa. Buku-buku dalam tu dibuat dari kepingan besi yang nipis, ada juga dari perak dan emas tapi tak banyak. Kami masih kaji sampai hari sekarang. Sekitar kawasan tu pun ada lagi binaan lain selain obelisk tu.” Rais bercerita sambil mengeluarkan telefon pintarnya.

Sebaik diserahkan telefon, bulat mata aku melihat gambar di skrin. Sebuah tugu kepala manusia bersaiz sangat besar, dengan sedikit mendongak. Sekali tengok seperti tugu di Pulau Easter. Tapi dalam gambar ni nampak kepala saja. Aku anggar 10 meter tingginya.. Kepala inilah yang aku lihat dalam gambaran semasa menyentuh kubah ghaib sebelum ni.. Tapi yang buat aku tertarik.. di tepi kepala tersebut, berdiri beberapa orang lelaki yang aku cukup kenal. Jurulatih-jurulatih aku, sedang tersenyum.

“Kami jumpa 4 buah kepala macam ni. Semuanya mempunyai bentuk yang sama. Tapi lokasi berbeza, setiap satu memandang ke arah bintang di langit. Benda ni kau tak payah Google la.. memang tak kan jumpa. Selagi tak faham, kami tak kan hebahkan.”

“Panas ni.. aku beransur dulu, ada rezeki kita jumpa lagi. Jangan risau.. Kami sentiasa jaga ahli.” Sebaik bersalam Syukri terus pergi ke arah sebuah Hilux hitam yang parking tidak jauh dari kereta aku dan berlalu pergi.
TAMAT.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Gagoh Muso

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.