Kisah Adik yang Menyeramkan

Assalamu’alaikum

Aku nak ceritakan pengalaman adik aku yang dengan izin Allah mengalami kejadian ternampak makhluk yang menyeramkan . Sebenarnya ini rangkuman cerita-cerita yang adik aku ceritakan kepada kami bila kami gatal-gatal mulut tanya dia. Pada dia tak seram, tapi kalau pada aku, ‘tak payah lah aku dibuka hijab segala bagai ni’.

Adik aku ni dulu masa SPM pernah didatangi jin yang nak berdamping dengan dia. Masa tu dia mengamuk tak sedarkan diri di asrama. Aku waktu tu dah di universiti. Bila aku dengar dari abang aku pasal dia, aku call dia. Aku tanya macam mana, boleh ke jawab paper SPM? Dia kata, macam mana dia nak jawab, ada lembaga hitam duduk sebelah dia masa dia dalam dewan exam. Kalau tolong bagi jawapan tak pe lah jugak. Ni duduk goyang kaki buat bodoh. Aku kesian kat adik aku. Dia memang teruk kena pada waktu tu, dan keputusan SPM dia pun walaupun tak begitu teruk, tapi kurang memuaskan untuk dia.
Rupa-rupanya itu permulaan dia nak dibukakan hijab dan akhirnya dapat kelebihan merawat.

Kisah 1

Satu petang adik aku ke kebun arwah ayah yang terletak tak jauh dari rumah kami. Risaukan serangga-serangga dan haiwan-haiwan kecil merosakkan tanaman, adik aku pasang pancang, dan ‘kepung’ kawasan tersebut dengan doa-doa dan bacaan-bacaan ayat Al-Quran.
Malam tu lebih kurang pukul 1 pagi, adik aku tengah syok-syok tengok TV, tiba-tiba dia terdengar orang menjerit di halaman rumah. Suara yang ramai. Dia kehairanan, apa jadahnya tengah tengah malam ada pesta kat luar pulak. Dah lama rumah kampung. Dia jengah ke luar tingkap, terkujat dia tengok kat halaman rumah penuh segerombolan ‘tentera’. Lengkap dengan rajanya. Adik aku kata tentera-tentera tu pegang pedang, lembing dan perisai. Mereka hentak hentak pedang dan lembing tu pada perisai. Dah macam cerita Troy katanya. Tentera tu sangat ramai. Macam satu batalion pun ada.

Adik aku dah cuak masa tu, apa pasal pulak dia diserang tentera ni. Dia tau ini bukan tentera manusia. Ini tentera jin. Masa tu dia masih belum cukup ilmu, dan yang datang bukan calang-calang, raja sekali ada. Jadi dia ambik keputusan untuk contact mentor dia, dan ceritakan apa yang berlaku. Apa kisah raja tu dengan mentor dia aku pun tak ingat, tapi akhirnya raja jin tu beralah, dan setuju berdamai. Rupa-rupanya masa adik aku buat pancang tu, terkena pada rakyat dia sekali. Itu yang dia isytiharkan perang. Padahal mana la nak tau ko ada kat situ, bukannya nampak.
Sekarang ni adik aku ada hubungan baik dengan raja jin tersebut. Kadang-kadang siap datang rumah lagi, beraya. Ok, aku tak sure dia beraya ke apa, tapi adik aku kata dia datang rumah.

Kisah 2

Ini terjadi dalam 2-3 tahun lepas. Adik aku masa tu tengah duk berwirid lepas solat malam. Tiba-tiba dia terasa meremang bulu roma, dan seperti ada hembusan angin dari depan. Adik aku tengok keliling. Bayangkan almari, segala perabot dalam bilik tu tiba-tiba terangkat lebih kurang sejengkal dari lantai. Terapung-apung tanpa ada sokongan. Ah, sudah, apa pulak nak datang ni, fikirnya.

Tiba-tiba dari depan dia muncul satu makhluk berkelubung. Meresap aje masuk kat dinding macam Kitty Pride team X-Men. Adik aku kata dia punya fesyen tu lebih kurang macam Darth Sidious Star Wars (ko Google jap). Serba hitam dan tak nampak muka. Tapi makhluk tu memeluk satu buku atau kitab lama yang besar. Tanpa berkata apa-apa, makhluk tu menghulurkan kitab tersebut kepada adik aku.

Adik aku terkejut tapi dia tak menyambut kitab yang dihulurkan tu. Perlahan-lahan dia letakkan tangan kanannya ke dada kiri, tanda dia menolak pemberian makhluk apa kenama tah tu. Makluk tu menarik balik kitab tu dan berundur lalu menghilang di sebalik dinding. Angin sejuk tadi hilang, dan perabot-perabot yang terapung tu terus jatuh perlahan ke lantai.

Tak tau lah apa bangsa jin yang datang tu, tapi Alhamdulillah adik aku tak terima pemberian dia. Kalau tak, tah jadi bomoh apa adik aku sekarang ni. Sebenarnya ini bukan kali pertama jin datang untuk bagi ilmu pada dia. Masa dia kena sampuk time SPM dulu tu pun ada jin yang datang ajar dia macam-macam, ajar bersilat pun ada. Tetiba adik aku siap boleh bukak jurus, siap tulis dalam buku lagi. Pelik-pelik ilmu jin nak bagi, takde pulak nak bagi adik aku dapat PhD ke apa ke.

Kisah 3
Kisah ni terjadi masa adik aku duduk kampung beberapa bulan. Kampung aku kat Muar. Masa tu dia lepas SPM, tengah terumbang ambing lepas kena sampuk jin yang nak berdamping dengan dia.

Lebih kurang pukul 10.30 malam, adik aku balik berjalan kaki dari kedai. Time ni dia duduk dengan maklong aku. Jarak kedai dengan rumah maklong lebih kurang 300 meter je. Tengah berjalan kaki seorang diri ni tiba-tiba dia terasa bulu roma dia meremang, rambut dia tercacak. Betul-betul terasa macam tercacak rambut dia masa tu. Dia tengok ke atas, nampak satu bola api macam meteor berpusing-pusing menuju ke arah rumah maklong. Siap berbunyi bunyi lagi.

Apa lagi, adik aku terus berlari laju-laju menuju rumah maklong, takut jadi apa-apa kat ahli keluarga maklong masa tu. Tapi dari jauh dia nampak bola api tadi jatuh ke halaman rumah dan bersepai sebelum jejak ke tanah. Adik aku terus lari ke pintu tapi pintu dah kunci. Dia pusing ke bahagian tepi rumah, kat bilik pakcik, adik ibu aku yang tinggal dengan maklong. Pakcik aku ni jenis telinga kucing. Dengar bunyi sikit pun dia dah terjaga. Tapi malam tu puas adik aku ketuk-ketuk tingkap, jerit jerit panggil pakcik aku tapi pakcik aku tak terjaga. Beberapa minit lepas tu baru pakcik aku terpisat-pisat bangun dan bukak pintu rumah.

Memang semua dalam rumah tu tak terjaga, macam tidur mati pulak masing-masing. Adik aku tak tau dari mana datangnya bola api tu tapi memang betul-betul dituju ke rumah maklong aku. Alhamdulillah tak sempat sampai dan bersepai tengah laman. Sampai sekarang kami tak tau apa yang dah berlaku sebenarnya. Adakah itu yang digelar tuju tuju?

Kisah 4

Sebenarnya banyak lagi kisah adik aku yang dia ceritakan pada kami. Tapi details pun aku dah banyak lupa. Dalam 16-17 tahun lepas, dia pernah ternampak makhluk mana tah kat laman rumah kami, masa dia ngan geng-geng dia duk melepak pukul 1 pagi. Masa tu dia tengah pegang kamera digital, jadi dia acah-acah nak ambik gambar ramai-ramai. So muka masing-masing happy je la masa tu. Rupanya dia nak test, kalau ambik gambar boleh nampak ke. Masuk jugak rupanya. Cuma nampak macam kabus sikit. Lepas dah ambik gambar tu, baru dia bagitau kat semua. Pucat muka masing-masing, haha. Tapi diorang beria kata tu asap rokok, nak nak mamat yang betul-betul ada kat depan makhluk tu. Padahal masa tu takde satu pun rokok yang keluarkan asap. So langkah seterusnya masing-masing hisap rokok hembus seketul dua dan adik aku ambik gambar. Memang langsung tak sama.

Adik aku kan boleh bercakap dengan jin segala bagai. Dia tanya makhluk tu, apa jadah ko duk sini rumah ibu aku ni. Benda tu kata, memang dah lama duk sini, nak pindah tapi tak tau nak ke mana. Adik aku pun ok je, asalkan ko tak kacau orang. Gambar tu masih ada lagi dalam simpanan aku, adik aku bagi kat aku untuk copy.

Kisah 5

Ni bukan kisah seram. Tapi kisah misteri. Adik aku pernah terjatuh motor masa mengelakkan budak sekolah rendah yang tiba-tiba kayuh basikal masuk jalan raya. Adik aku kat belakang masa tu, budak tu pulak haram tak tengok ada kereta ke motor ke terus masuk jalan, jadi adik aku terlanggar dia dan dua-dua terjatuh masa tu. Adik aku terseret sikit, dan budak tu pun terluka. Jatuh pulak betul-betul depan warung.

Masa tu orang kampung terus nak serang adik aku, sebab ingatkan adik aku yang langgar budak tu. Tapi tiba-tiba terdengar satu jeritan, “Kau jangan sentuh dia! Jangan sentuh! Bukan dia yang langgar budak tu! Bukan salah dia!”. Terkejut masing-masing bila kena jerkah. Adik aku cari arah suara tu, rupa-rupanya ada seorang lelaki yang pakaian compang camping, macam pengemis yang tengah makan kat warung tu jerit. Semua orang kampung yang baru nak belasah adik aku tu terhenti, dan ikut kata lelaki tu. Adik aku pun tak tau siapa dia, dan kenapa orang kampung tiba-tiba ikut cakap dia.

Satu hari lepas kejadian tu adik aku memancing dengan kawan dia di pantai berhampiran kampung tu. Tengah syok syok mancing, tiba-tiba kawan adik aku cuit cuit tangan dia. Adik aku angkat muka, tengok kawan dia tengah pandang ke arah laut tak jauh dari kawasan mereka memancing. Ternganga adik aku nampak pengemis hari tu jalan atas air. Serius, jalan atas air. Kemudian bila sampai kat pantai, dia menuju ke adik aku dan kawan dia. “Banyak dapat ikan?” tegurnya. “Ada la sikit,” balas adik aku. Dan pengemis tu pun berlalu.

Sampai sekarang adik aku tak tau siapa pengemis tu, dan siapa sebenarnya dia. Kisah ni terjadi hampir 20 tahun lepas, dan aku pun tak tau lelaki tu masih hidup lagi atau tak. Kampung ni selang beberapa kampung daripada kampung kami. Di sebelah kampung tempal asal usul filem Pulang lakonan Remy Ishak.

Sekarang ni adik aku dah jadi imam. Dia masih lagi boleh merawat tapi dia jarang-jarang buat dah. Adik aku jenis tak suka kalau ada apa-apa berlaku semuanya nak salahkan jin dan syaitan. Sedangkan kadang-kadang sakit fizikal. Kalau doktor sahkan takde sakit fizikal baru dia akan tengok. Macam ada sorang tok sedara kami ni, anaknya panggil adik aku sebab dia duk meracau-racau tak sedarkan diri. Adik aku pergi la rumah dia. Tapi sampai laman rumah takde rasa apa, kat pintu pun takde kesan apa-apa entiti, kat tok sedara pun takde rasa apa-apa. Masa tu tok sedara kami dah tak sedarkan diri. Bila tanya tanya, rupanya tok sedara kencing manis. Terus adik aku kata, “Ni hypo dah ni! Panggil ambulans!” Cek gula dia rupanya dah sampai 1.0. Patut le meracau, dah hypo teruk.

Oh ye, dia kata jin ni menyerupai apa yang kita bayangkan. Sebab tu setiap bangsa rupa paras hantunya lain-lain. Semuanya ikut budaya kita, perspektif kita. Adik aku bayangkan jin sama macam manusia, jadi dia nampak macam manusia. Cuma auranya lain, dan rupanya tak berapa nampak. Macam orang pakai cap, dan tundukkan kepala, jadi tak berapa nampak rupanya. Jadi kalau dalam kumpulan orang ramai-ramai dia tau mana satu jin mana satu manusia biasa.

Anak buah pun dah terbuka hijab. Sekarang dia Form 5. Sejak dia sekolah rendah dah biasa nampak. Bila aku tanya, selalu ke dia nampak benda-benda ni? Katanya, takde la selalu sangat makngah, seminggu 2-3 kali je. Oh, ok, makngah taknak nampak langsung walaupun seumur hidup 2-3 kali. Makngah ko penakut.

Setakat ni je kisah adik aku. Adik aku banyak cerita, tapi aku yang dah tak berapa ingat. Banyak termakan semut. Beberapa minggu lepas anak aku yang umur 4 tahun ternampak hantu katanya. Dia kata hantu tu lompat-lompat, ada ikat atas kepala, warna putih, muka coklat. Lepas seminggu dua anak aku jadi penakut sangat. Sampai nak ke tandas pun ajak teman. Adik aku tengokkan, dia kata benda kecik je (pada dia – pada akak dia besau yang amat), dia dah tolong tutup dan pantau. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, anak aku dah ok balik.

Cuma adik aku kalau anak masih takut, suruh ayah baca 3 Qul, dan hembus tapak tangan, sapu seluruh anggota badan anak. Pembaca semua pun boleh buat. Yang penting, jangan takut melebihi kita takut Allah s.w.t. Benda tu semua makhluk Allah jugak. Terima kasih kerana membaca. Assalamu’alaikum.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

5 thoughts on “Kisah Adik yang Menyeramkan”

  1. pelik lah sy.. kenapa orang kampung nak belasah adik awak pula sedangkan adik awak pun jatuh sekali.. dah salah budak tu juga sebab tak tengok dulu semasa melintas..ishh pelik la saya orang kampung macam tu..bukan budak tu cedera parah pun, kalau adik awak kena pukul lagi lah parah.. kejam sungguh…

    Reply
    • Sebab diorang ingat adik yang langgar budak tu. Diorang tak nampak yang budak tu tiba2 ke tengah jalan. Bila dah jatuh, automatik semua ingat adik saya yang langgar. Tu yang laju aje nak belasah. Ye la, budak kampung diorang kan… Tapi Alhamdulillah lelaki tu ada. Menurut cerita orang kampung, lelaki tu kemungkinan seorang wali Allah. Wallahu’alam.

      Reply

Leave a Comment