Kisah Adik yang Menyeramkan 2

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Terima kasih kerana membaca kisah Adik aku sebelum ni. Sebenarnya nama panggilan aku Nana tapi maybe aku tersilap taip, jadi NAMA la pulak, haha.

Part 1 boleh baca sini
Baik, mula-mula aku jawab sikit soalan-soalan pembaca.

  1. Adakah ini fiksyen?
    Tidak. Ini memang pengalaman adik aku yang dah bertahun-tahun berurusan dengan segala jenis jin. Pada adik aku semuanya ni tak seram, sebab pada dia jin dan syaitan ni semua makhluk Allah. Kalau dia cerita, ayat yang dia akan cakap , “Nak buat apa takut? Ini semua makhluk Allah jugak.” Aku pun angguk-angguk je la walaupun dalam hati aku kalau aku jumpa perempuan rambut panjang terbang-terbang mengilai-ngilai atas pokok aku pengsan. Alhamdulillah setakat ni Allah tutup hijab aku, walaupun aku pernah ‘sakit’ selama 17 tahun. Tu nanti bila-bila aku cerita. Lagipun tak menarik sangat, haha.
  2. Adik aku jumpa pelbagai jenis jin?
    Ha, yang ni aku sure, memang ye. Macam ni lah, senang cakap. Adik aku jumpa jin ni on daily basis. Cuma takde la ramai-ramai macam kita jumpa manusia. Kadang-kadang dalam kumpulan manusia, ada la jumpa sekor dua. Dia boleh kesan sebab aura jin lain. Aura manusia lain. Sebelum ni aku ada cerita yang adik aku pernah kena serang dengan raja dan tentera jin kan? Masa tu baru dia tau rupanya ada satu kerajaan jin yang besar merentasi kampung aku dan beberapa kampung lain di sebelah dan diketuai oleh raja jin tersebut. Jin juga macam manusia, ada kerajaan, ada kampung, ada politiknya, ada mahkamah segala bagai. Cuma mereka berada dalam dimensi lain. Tak sama macam kita. Kalau kita nampak jin tu maknanya kita dah nampak melampaui dimensi, dalam erti kata lain dah terbuka hijab sama ada sekali sekala atau selalu.

Adik aku kata jin ni pembelit sikit. Kadang-kadang kalau ada orang buang air kat pokok dalam hutan, ada jin marah kata buang air kat rumah dia, padahal itu dimensi dia. Yang ko marah orang buang air kat pokok kenapa sedangkan ini dimensi kita, dan dalam dimensi kita itu pokok. Tu semua saja cari alasan nak kacau cucu cicit Nabi Adam a.s.

Kali ni aku cerita kisah adik aku dan anak buah aku. Macam aku cerita dulu, anak buah aku memang terbuka hijabnya, so dia selalu cerita kat aku bila aku tanya. Anak buah aku ni aku panggil Sha @ Kakak.

Kisah 1 – Tol Jasin

Sesiapa yang pernah lalu tol Jasin memang tau betapa seramnya exit Jasin ni dulu malam-malam. Selalunya aku takkan lalu tol Jasin lepas Isyak kalau aku memandu sorang-sorang. Walaupun sekarang ni dah kurang keseramannya sebab pertambahan bilangan kenderaan dan lampu jalan, aku rela tambah setengah jam lalu Ayer Keroh.

Malam tu adik aku kena pergi KLIA ambik ibu aku. Bukannya lewat sangat pun, tak salah aku dalam pukul 9 lebih. Adik aku memandu sendirian masa tu. Untuk tol Jasin dari jalan utama ada jalan dua lorong sehala sejauh lebih kurang 3-4 kilometer. Jalan ni yang agak menyeramkan sebab kereta jarang ada dan kiri kanan tu estet. Di tengah-tengah jalan ni ada divider yang agak besar.

Dalam beberapa ratus meter lepas masuk ke jalan ni, tiba-tiba adik aku terpandang sesuatu kat divider. Kereta lain tak ada jadi keadaan gelap sikit. Adik aku perlahankan kenderaan. Dia perasan macam ada orang duduk di tepi divider tu. Bila dekat sikit adik aku rasa macam pelik. Rupanya ‘orang’ tu tak ada kepala. Tapi duk berteleku bertongkat ‘dagu’ kekonon. Adik aku turunkan cermin kereta, sambil tanya ‘buat apa tu?’ dan teruskan memandu. Agaknya sebab kepala pun takde, tak dapat benda tu jawab. Kalau dia jawab kang pelik pulak kan, kahkahkah. Kang dia tanya mana kepala dia pulak. Ish! Aku pulak terbayang macam-macam.

Oh ye, exit Jasin ni memang banyak hal sikit. Ibu aku pernah drive waktu Maghrib di jalan yang sama. Tiba-tiba dia dengar kereta dia dipalu dengan kayu bertalu-talu kat bahagian tepi. Lama pulak tu. Memang macam nak jahanamkan kereta ibu aku gayanya. Tapi ibu aku terus berzikir dan baca 3 Qul, Alhamdulillah hilang bunyi tu. Bila dah berhenti, ibu aku tengok kereta dia takde apa-apa pun. Tapi masa tu macam nak hancur badan kereta ibu aku dipukulnya.

Kisah 2 – Lebuh AMJ

Di Melaka ada satu highway yang digelar Lebuh AMJ (Alor Gajah – Melaka – Jasin). Hiway ni baru lagi, dalam 13-14 tahun lepas rasanya. Masa awal-awal dibuka di bahagian Melaka – Jasin, hiway ni agak suram malam-malam sebab takde lampu jalan. Kereta pun kurang. Jadi aku selalunya mengelak lalu AMJ ni kalau dah lepas pukul 9.

Satu petang ni aku pergi ke bandar Melaka dengan adik aku. Kami balik dalam pukul 8 lebih dan lalu AMJ lebih kurang pukul 9. Kereta memang takde sangat sebab masa tu AMJ baru dibuka kepada umum. Aku ni sebab ada adik aku, berani ni la lalu. Kalau takde, jangan harap. Sepanjang jalan tu tak ada apa-apa yang menyeramkan pun. Tapi bila sampai kat rumah adik aku bukak cerita. Sebenarnya masa lalu kat area Serkam, dia ternampak satu restoran kat tepi jalan. Restoran tu semua pelayannya perempuan dan ramai orang / pelanggan kat situ. Dan banyak juga kereta parking tepi jalan. I was like,”What???”. Mana ada apa-apa tadi. Aku yakin sungguh la, sebab sampai sekarang pun kat area situ takde orang tinggal pun. AMJ ni banyak merentas hutan sebenarnya. Mana datang pulak restoran. Dia kata dia sengaja tak bagitau aku sebab al maklum kakaknya ini penakut. Sempat lagi ko bukak restoran kat situ. Aku rasa silap-silap ada yang nampak KFC Drive Thru kat situ.

Sorang kawan aku cerita, masa mula-mula AMJ bukak dulu, ada saudara mara dia datang dari jauh. Sampai rumah dia dalam pukul 4 pagi. Tak tau lah kenapa lewat sangat datang rumah. Mengelak jem agaknya. Dia pun ye ye je lah nak sediakan minum ringan ringan. Tapi saudara dia kata takpe, tak payah lah, tadi dah minum dan makan kat warung tepi AMJ tu. Kawan aku termangu-mangu. Kat mana pulak warung tu? Pukul 4 pagi pulak tu. Sedangkan waktu tu memang belum ada warung yang dibuka macam sekarang. Saudara dia kata, ramai orang berhenti kat situ. Dia pun makan nasi goreng. Konpius kawan aku dibuatnya, sebab dah la ada warung, ramai pulak berhenti. Sedangkan waktu tu memang tak banyak kereta lalu di AMJ. Tak tau lah apa yang saudara dia makan masa tu, haha. Tapi jangan risau, sekarang ni dah banyak warung dibuka di AMJ. Tapi kat bahagian-bahagian daripada Semabuk ke Serkam ye. Kalau Serkam ke Merlimau tu memang belum ada lagi rasanya. Kalau ko tiba-tiba berhenti kat restoran Tom Yam kat situ, ko bawak-bawak la mengucap, teruskan drive.

Kisah 3 – Kakak Muka Putih

Ok, ni kisah anak buah aku, Sha. Aku akan cerita beberapa jin yang Sha nampak. Sha ni tinggal di asrama. Al maklumlah, kat asrama ni macam-macam jenis hantu yang minat. Mungkin jin takde asrama. Waktu orientasi di Tingkatan 1 waktu Sha mula-mula disapa jin kat situ.

Lepas solat Isyak dan dah habis orientasi untuk malam tu, Sha turun kejap ke dewan makan untuk ambil air. Selalunya dia ambil air di water cooler je. Bila turun bawah tengok takde sesiapa pun di sekeliling tapi Sha teruskan juga melangkah ke water cooler di tepi dewan makan. Tengah tadah air tu tiba-tiba satu suara sergah Sha “HAH!!!”. Terkejut dia dengan ‘salam perkenalan’ dari jin tu, yang mana dia tengok berupa satu makhluk besar tinggi berbulu lebat. Betul-betul sebelah water cooler. Tak reti bagi salam, dia jerkah je. Apa lagi, berlari la Sha naik atas.

Selepas tu dia takde jumpa lagi jin gergasi tu. Tapi yang dia selalu nampak ialah yang berupa seorang perempuan berambut panjang, berbaju putih. 3/4 daripada wajahnya ditutup oleh rambut, mungkin fesyen jin waktu tu. Jadi yang nampak cuma sebahagian pipi, hidung dan mulut. Mukanya putih melepak. Sha selalu nampak kakak ni jenguk dari luar dewan makan. Kadang-kadang dia berdiri di tepi padang sambil tengok budak-budak asrama bermain bola tampar. Nak berkawan, tapi sedar diri tu jin. Kadang-kadang dia berdiri sebelah water cooler sambil tengok budak-budak perempuan ambil air. Kadang-kadang dia berdiri di blok sekolah di depan asrama. Tapi Sha kata setakat ni dia tak ada kacau-kacau orang.

Cuma ada sekali waktu Sha tengah menghafal di depan dorm (Sha ni ambik subjek agama, banyak nak kena hafal), tiba-tiba kakak tu muncul depan dia. Saja je tengok Sha menghafal. Sha pun pusing ke belakang, duk menghafal lagi. Kakak tu muncul lagi kat depan dia. Ok, dia dah nak kawan pulak. Sha pun bangun, balik ke bilik. Malas dah nak menghafal lagi kalau asyik layan kakak tu.

Ada pernah berlaku kes histeria di asrama perempuan. Warden jemput perawat-perawat dari Darussyifa’ untuk bantu pulihkan budak-budak yang kena tu. Sha kata, selepas kes tu, dia jumpa kakak tadi dah tak putih dah. Sian dia, muka dah terbakar. Jin lain punya kerja, dengan dia sekali kena rawatan muka. Sekarang kakak tu muka tak putih dah, muka dah berparut hitam.

Sha juga pernah nampak satu kejadian pelik sewaktu hujan lebat di kawasan asrama dia. Waktu tu kilat petir sabung menyabung. Dia duduk di dorm waktu tu sambil memerhati kawasan sekolah yang berdepan dengan asrama. Tiba-tiba dia nampak satu lembaga berwarna hitam berlari di atas bumbung bangunan sekolah. Lembaga tu berbentuk manusia tapi bukan manusia. Tengah berlari tu tiba-tiba kilat menyambar lembaga tu dan hancur bersepai. Tergamam Sha ketika tu. Dia pun tak tau apa benda yang berlaku dan kejadian tu berlaku dalam masa setengah minit. Siapa pulak nak berlari atas bumbung, waktu hujan lebat pulak tu, dan akhirnya bersepai bila disambar kilat.

Kisah 4 – Terowong Menora

Ini merupakan rangkuman kisah Sha bila lalu terowong Menora. Bila Sha balik kampung ibunya di utara, memang akan lalu terowng Menora ni. Macam biasa Sha akan tido je dalam kereta. Tapi setiap kali menghampiri terowong ni, Sha akan terjaga walau macam mana kuat pun dia berdengkur. Ada satu wakaf tempat budak-budak motor melepak sebelum sampai terowong tu kan. Selalunya Sha akan nampak ada satu makcik ni, duduk di wakaf tersebut tak kira pukul berapa pun mereka sekeluarga melintasi terowong. Makcik ni pakai baju yang sama, dan sentiasa duduk di tempat yang sama sambil kepalanya tertunduk ke bawah. Mulanya dia ingatkan memang ada makcik tengah melepak di situ, tapi bila lalu di lain kali dia tengok makcik yang sama dengan baju yang sama tengah buat gaya yang sama, faham-faham sajalah.

Ada satu ketika di samping makcik tu, dia nampak sekumpulan budak-budak kecik tengah bermain-main di wakaf tu. Tak tau la kot cucu-cucu makcik tu ke, atau saja nak menyinggah. Walaupun ada orang lain di tempat tu, tapi mereka semua macam tak nampak dengan entiti-entiti tersebut. Selalunya Sha tengok, dan dia sambung tido. Takde kepentingan nak buat apa-apa.

Satu masa lain pulak bila dia tersedar, dia tak nampak makcik tu, tapi bila mata Sha tertancap di lorong sebelah – yang keluar daripada terowong – dia nampak ada satu bungkusan panjang tengah bergolek-golek di atas jalan raya. Mulanya dia pelik, ada sesiapa ke yang tercicir bungkusan. Tapi bila diamati betul-betul, bungkusan tu berwarna putih, dan bila bergolek kereta seakan-akan kereta yang langgar semua menembusinya. Setelah beberapa ketika tengok Sha pun sambung tido.

Selain makcik dan ‘bungkusan misteri’ tu, Sha pernah juga ternampak satu lembaga berpakaian putih dan berambut panjang melekap macam cicak di bumbung terowong. Sha kata sebiji macam hantu dalam filem Ju’on. Rambut panjang mengurai, baju putih pulak tu, tapi tak memasal buat gaya Spiderman. Apa dia buat melekap kat atas tu pun dia tak tau. Tapi disebabkan dia tak buat apa-apa, Sha pun biarkan je, dan apa lagi, sambung tido.

Kisah 5 – Kem

Ini kisah yang baru lagi Sha alami. Lebih kurang sebulan lepas, Sha kena pergi kem Tingkatan 5. Kem ni dibuat di satu kem Majlis Sukan Negara di tengah hutan area Jasin. Orang Jasin ramai yang tahu kem apa ni. Jangan takut pulak nak benarkan anak-anak pergi pulak nanti ye. Aku pun pernah duduk situ satu malam, Alhamdulillah tak ada apa-apa jadi.

Masa tu lebih kurang pukul 7, dan dah nak menginjak Maghrib. Sha masih berada di dewan makan dengan kawan-kawan. Dewan makan kem ni seakan di basement bangunan pentadbiran. Walaupun kawan-kawan masih makan, tapi disebabkan dah menghampiri Maghrib Sha ambil keputusan naik ke bilik. Bangunan asrama berada bertentangan dengan bangunan pentadbiran, takde lah jauh sangat. Jadi Sha bersendirian menapak balik. Keadaan masa tu dah hampir gelap sebab Maghrib dah cepat.

Bangunan asrama ni mempunyai bilik-bilik macam hotel, dan ada satu lorong di tengah-tengah. Sebelum sampai tangga menuju tingkat atas, ada satu sliding door di sebelah tepi. Aku pun lupa tanya sliding door bilik ke atau sliding door menuju ke luar. Tapi keadaan masa tu dah gelap, dan sliding door tu pun gelap. Bila Sha melintasi sliding door tu, tiba-tiba dia terdengar bunyi ketukan. Tuk, tuk. Sha pun pusing belakang tengok ke sliding door. Mulanya tak ada apa-apa, tapi tiba-tiba bam!!! Satu muka melekap di sliding door tu, dengan ada dua tapak tangan di kiri kanannya, macam orang tiba-tiba melekapkan muka dan tangan di cermin. Terkejut Sha sebab katanya muka tu sangat buruk, dengan berparut, berlubang-lubang. Muka memang muka lelaki. Agaknya ketukan tadi tu sengaja nak tarik perhatian Sha. Sha pusing ke depan semula dan sambung jalan beberapa langkah sebelum lari menuju ke bilik dia. Dia tak cerita kepada kawan-kawan dia sebab taknak kawan-kawan dia takut. Cerita kat Makngah dia je, dan Makngah dia pulak dah takut. Memang takkan kubuat kem lagi kat situ, hahaha.

Kisah 6 – Hantu Bulan Puasa

Ini kisah Sha dan adik dia. Waktu ni bulan puasa tahun 2019 ni. Kami berbuka puasa di rumah abang. Rumah abang ni walaupun banglo, tapi di kelilingnya hutan dan kebun kelapa sawit. Ada dua biji rumah je kat situ, rumah abang dan jirannya. Tunggu orang lain buat rumah di tanah-tanah lot keliling baru meriah sikit. Buat masa ni kalau datang malam-malam ke rumah dia aku takde tengok tengok keliling masa memandu. Mata straight je ke depan, haha.

Malam tu lepas solat Maghrib kami berborak-borak di ruang tamu. Kemudian adik aku dan suaminya minta diri balik. So Sha dan adiknya Muhammad keluar sama-sama untuk babai. Tak lama lepas tu Muhammad masuk dalam, tapi Sha masih di luar. Aku nampak Muhammad macam cerita sesuatu kat ibu dia dengan nada perlahan, kemudian ibu dia tergelak-gelak. Aku pun sama-sama nak membawang, terus tanya, kenapa? Muhammad cakap tadi dia ada nampak lembaga kat pokok manggis sebelah rumah jiran dia. Pokok manggis tu memang ada lama sebelum mereka buat rumah kat situ. Milik tuan tanah sebelah. Aku pun sibuk nak tau lagi, macam mana rupa dia – katanya macam satu lembaga hitam yang berdiri di antara pokok manggis tu dan pokok sebelahnya. Ooo… lambat lagi la makngah kau balik nampaknya.

Kemudian Sha masuk dalam dan aku terus tanya Sha. Maklum la kalau adik dia nampak takkan la Sha tak nampak, kan. Sha kata dia memang dah nampak dulu, dan sebelum-sebelum ni pun memang ada. Selalu benda tu berdiri kat situ setiap kali Sha nak tutup pintu pagar. Kadang-kadang ada jugak benda lain yang menumpang sekali. So, untuk mengelakkan daripada ternampak, Sha akan bukak cermin mata dia, bagi rabun. Atau dia akan tundukkan kepala tak pandang area situ.

Malam tu Sha cerita pulak dengan adik dia, apa yang dia nampak masa keluar hantar makcik dia tu. Tapi Sha pesan kat Muhammad, jangan tengok kat situ, sebab adik dia ni memang tak pernah alami kejadian macam ni. Tapi dah fitrah manusia, lagi ko tak bagi buat, lagi la dia nak buat. So dengan konfidennya dia pandang ke arah pokok manggis. Ha, apa lagi, salam perkenalan la. Dengan panik dia bagitau kakak dia, dan kena marah dengan Sha, dah cakap tak payah tengok, jangan la tengok.

Rupa-rupanya adik ipar aku pun ketika tu ternampak jugak apa yang ada kat pokok manggis tu. Bila aku tanya dia apa yang dia nampak, adik ipar aku tersengih-sengih je macam berat nak cerita. Last-last bila asyik kena tanya je, dia bagitau. Yang dia nampak tu bukan kat bawah pokok, tapi kat atas pokok. Duduk senang lenang kat atas pokok dengan rambut mengurai, dan berkuku panjang. Pakaian standard warna putih. Tengok je adik ipar aku dari atas tu, haha. Tapi dia tak bagitau apa-apa kat adik aku, taknak adik aku takut pulak. Aku pun tanya adik aku – yang selalu nampak jin tu – apa benda yang ada kat situ? Adik aku kata takyah risau, benda tu memang dah lama kat situ sebelum rumah ni ada pun. Macam biasa dia kata ‘tak payah takut lah’.

Anak buah aku Sha ni berkongsi kebolehan dengan pakcik dia, boleh nampak makhluk halus sejak sekolah rendah lagi. Aku tanya gak dia, macam mana jin yang dia nampak dan macam mana dia bezakan jin atau manusia. Dia kata jin yang dia nampak selama ni walaupun macam manusia, tapi di atas bibirnya takde alur. Manusia kan ada alur kat bawah hidung tu kan, tapi jin tak ada. Satu lagi katanya setakat yang dia tengok jin kacau budak-budak asrama dia ni, jin ni suka perempuan yang dahi licin, takde jerawat, macam Makngah. Terus aku raba dahi aku sambil harap-harap ada jerawat. Sha kata dia pernah tengok ada satu jin lelaki ikut junior di asrama. Mana-mana pergi dia akan ikut dan kalau budak tu berada di tengah panas, jin tu akan payungkan budak tu dengan tangan dia. Dia angkat kedua-dua tangannya atas kepala budak tu, tak bagi panas katanya. Macam tu punya kasih. Cuma Sha tak pasti sama ada itu memang jin yang dah jatuh cinta ataupun saka budak tu sendiri. Dia pun takde tanya apa dan Sha taknak jin tu perasan yang Sha boleh nampak dia. Jadi Sha diamkan je.
Itu saja kisah adik dan anak buah aku yang aku boleh ceritakan. Sebenarnya adik aku kata, dengan izin Allah dia dah tolong rapatkan sikit hijab Sha supaya dia tak nampak lebih kerap. Kalau ikutkan Sha ni boleh nampak macam-macam lagi tapi Sha masih belajar jadi dia cuma pantau aje dulu. Mana tau nanti Allah bagi kelebihan lain pulak, terutama macam adik aku.

Anak aku yang 4 tahun tu pun dah mula la nampak macam-macam. Kadang-kadang waktu aku memandu dengan dia aje kat belakang, dia akan cakap ada hantu kat luar. Kadang-kadang dia kata ‘kawan ikut sekali’ walaupun cuma diia je ada. Pernah waktu aku memandu malam-malam, dia cakap, “Mommy, ada nenek kat luar kereta.” Kereta tengah bergerak, nenek apanya… alahai… lepas tu dia sambung, “Nenek tu hantu la Mommy.” Saja je bagi Mommy dia cuak. Tapi selalunya aku akan cakap “Biarkan je dia kat situ,” walaupun dalam hati Allah je yang tau.

Adik aku pernah pesan, jangan takut dengan jin ni sebab dia tak boleh buat apa kat kita. Jin ni sengaja nak main-main dengan cucu cicit Nabi Adam a.s. Takut hanya kepada Allah s.w.t dan kalau ini kita tanam dalam hati Insya Allah, tak ada apa-apa. Ok, ada pembaca kata kurangkan makan semut, so Insya Allah aku spray semut yang ada. Bila aku teringat cerita cerita lain, Insya Allah aku ceritakan. Terima kasih. Wassalam.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

5 thoughts on “Kisah Adik yang Menyeramkan 2”

  1. Pe hal le ko pi spray semut2 yg ko jumpa tu. Mereka pun ada hak hidup didunia ni. Dah rumah ko tu x dibersihkan tentulah semut2 tu masuk bila makanannya berselerak kat lantai tu.

    Reply

Leave a Comment