Tajuk: Kisah Dusun
Penulis: Nora Zain
—————————————–
Bila tengok buah durian di Facebook, teringat kejadian di dusun buah milik datuk dan nenek (sebelah ibu) pada tahun 2005-2006 dahulu….
Siang itu nenek membawa saya dan ibu masuk ke kebun untuk memetik sedikit buah. Saya jadi rambang mata apabila melihat buah jentik. Kenapa namanya buah jentik? Kita hanya perlu menjentik kulitnya sahaja untuk mendapatkan isi dalam. Apabila dijentik, kulitnya akan terlerai. Senang hehe.
Saya mengambil buah jentik di dalam bekas sambil makan. Saya lihat ibu dan nenek sedang mengutip buah manggis. Saya meninggalkan mereka untuk melihat-lihat dusun sambil membawa beberapa tangkai buah jentik.
Ketika sedang ralit, saya terpandang seorang budak perempuan berdiri tidak jauh dari saya. Sepertinya budak perempuan itu sedikit tua dari saya. Mungkin setahun atau dua begitu. Bentuk wajahnya bujur sireh. Kulitnya putih. Rambutnya panjang melepasi bahu. Berbaju putih seperti baju kurung. Saya menghampirinya…
Matanya tidak berkelip memandang saya. Saya menghulurkan setangkai buah jentik kepadanya. Tetapi dia menggeleng.
“Itu hak awak. Bukan hak saya.” Dia bersuara, cuba menolak.
“Takpe. Ini saya punya. Saya bagi awak. Jadi hak awak.” Saya tetap menghulurkan buah kepadanya.
Dia berfikir sejenak, lalu menyambut pemberian saya.
“Terima kasih, Nora.” Dia tersenyum….
Belum sempat saya bertanya lebih lanjut, ibu memanggil saya.
“Penjaga awak sudah panggil. Pergilah. Jangan buat mereka risau.” Dia memandang ke arah tempat ibu memanggil saya.
Saya mengangguk sambil mengundurkan diri.
“Nanti kita jumpa lagi ya? Datang lah rumah atok. Boleh kita makan buah sama-sama.” Saya melambai sambil meninggalkan kawasan itu.
Dia sekadar tersenyum sahaja.
“Oh, siapa nama awak?” Saya berhenti melangkah.
“Nama saya, Amina.” Senyuman masih lagi terukir di bibirnya.
“Okay Amina. Nanti kita jumpa lagi ya.”
Apabila saya berpaling semula ke arah tadi, dia sudah hilang. Tetapi pada usia muda seperti itu, saya langsung tidak terfikir apa-apa. Saya kembali kepada ibu dan nenek.
Saya bercerita tentang Amina kepada mereka berdua. Kelihatan dahi nenek berkerut.
“Mana ada budak nama Amina kat kampung ni.” Nenek bersuara.
“Dah. Jom balik.” Ibu segera memimpin tangan saya pulang ke rumah. Nenek mengikut dari belakang.
Malam seterusnya, saya mengikut ayah dan datuk bermalam di dusun. Mereka ingin menunggu buah durian gugur. Walaupun pada awalnya ibu melarang saya ikut, tetapi ayah dan datuk memujuk ibu. Akhirnya ibu benarkan.
Suasana di dusun sangat gelap. Hanya ada sedikit cahaya bulan yang menyimbah di celahan pokok-pokok. Kami menunggu di pondok. Bekalan yang datuk bawa disusun di satu sudut.
Kopi panas dan sebungkus biskut kering menjadi alas perut kami. Waktu itu sepupu sebaya saya, Furqan juga ikut.
Ketika sedang mengisi perut, kami dikejutkan dengan bunyi buah gugur ke tanah. Berbekalkan lampu suluh, datuk segera bergerak ke arah bunyi itu.
Tidak lama kemudian, kami terdengar lagi bunyi buah gugur. Ayah memesan kepada Furqan supaya menjaga saya.
Tinggallah kami berdua di dalam pondok. Bermacam topik kami bualkan untuk hilangkan kesunyian. Ketika sedang berbual, kami merasakan suasana seakan sepi. Tiada bunyi cengkerik.
Hidung kami berdua menghidu satu bau. Seperti bau bangkai yang dibawa angin. Kami saling berpandangan.
Tiba-tiba dinding dan bumbung pondok seperti dicakar sesuatu. Furqan mengambil keputusan untuk keluar dari pondok. Mencari punca.
“Jangan duduk dekat dengan tingkap.” Furqan memberi pesan sebelum turun dari pondok.
Tidak sampai lima minit, Furqan kembali ke pondok dengan wajah yang pucat.
“Bantal peluk.” Katanya ringkas. Faham lah saya.
Di celahan dinding pondok, ekor mata saya terpandang sesuatu berbungkus kain putih lusuh sedang bergerak perlahan-lahan menuju ke depan pondok.
Tidak salah lagi. Memang pocong. Pocong itu bergerak mengelilingi pondok beberapa kali sebelum berdiri di depan pondok. Furqan bergerak ke hadapan sedikit, cuba melindungi saya.
Setelah agak lama pocong itu berdiri, dia kembali mengelilingi pondok. Kali ini pergerakannya sedikit laju. Mulut kami berdua seakan terkunci.
Semasa pocong itu mengelilingi pondok, dia mengeluarkan suara yang agak garau. Saya menutup telinga kerana gerun mendengar. Begitu juga mata saya.
Tetapi apabila saya menutup telinga, suara itu semakin kuat. Pada waktu itu kami berharap agar datuk dan ayah segera pulang.
“BERAMBUS!”
Kami mendengar suara datuk memekik dari jauh disertai dengan lontaran beberapa ketulan tanah. Pocong itu ghaib. Tiada lagi suara garau yang menakutkan. Tiada lagi bau bangkai yang menusuk hidung.
Ayah segera memeluk saya dan Furqan. Datuk mengemas bekalan yang dibawa tadi dengan cepat. Kami berempat meninggalkan dusun tanpa sebarang hasil.
“Kena main malam ni.” Datuk bersuara ketika di rumah.
Selesai mandi, saya disuruh tidur. Ibu menemani saya di dalam bilik. Saya berpura-pura tidur.
Saya terdengar mereka berbincang di ruang tamu.
“Belaan Samad (bukan nama sebenar) buat hal lagi. Tadi budak-budak ni kena kacau.” Datuk memulakan bicara.
“Samad? Dia bela pocong?” Ayah seperti tidak percaya. Pada masa yang sama dia cuba mengawal suaranya.
“Dia bela untuk jaga dusun dia. Tapi jin tu kacau habis orang sekitar. Bila aku bagitahu dia, dia tak percaya.” Datuk mengeluh.
“Siapa lagi yang tahu dia bela pocong?” Ibu menyoal.
“Takda siapa. Aku sorang saja yang tahu. Dusun kami sebelah menyebelah. Cuma aku tak sangka benda tu akan muncul malam ni.” Datuk menghela nafas.
“Habis, macam mana?” Ayah bertanya.
“Samad sendiri yang kena buang benda tu. Kalau orang lain yang buang, dia sakit nanti.” Datuk menjawab.
“Tengoklah nanti. Aku cakap dengan Samad lagi.” Datuk menambah.
Saya mencuri dengar perbualan mereka dari dalam bilik. Bila diingat kembali, wajah pocong itu gelap. Seperti rentung terbakar. Sungguh menyeramkan.
Saya memejamkan mata serapat-rapatnya sehinggalah saya tertidur.
Keesokan petang, kami sekeluarga berkemas-kemas untuk pulang ke Perak. Selepas bersalaman, kereta ayah bergerak perlahan meninggalkan halaman rumah datuk dan nenek.
Saya menoleh ke arah dusun datuk yang terletak berhampiran rumahnya. Kelihatan seorang budak perempuan berpakaian seperti baju kurung putih melambai. Walaupun jaraknya jauh, tapi saya dapat mendengar suaranya. Seakan berbisik di telinga.
“Selamat tinggal Nora. Semoga bertemu lagi ya.”
-TAMAT-
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit