Kisah Lalu Yang Pilu

Cerita² yang nak aku sampaikan berlaku sekitar tahun 1995-2000. Kisah pertama, masa tu kami PJJ dengan ayah, dirumah ada aku, mak, adik lelaki aku namakan Badol, kakak tiri aku namakan Sya dan anak buah ayah, merangkap pengasuh aku namakan Kak Liza. Tapi tak lama, dalam setahun macam tu dia minta balik kampung, so tinggallah kami berempat.

Ada 1 malam, masa Sya lepak depan rumah, Badol yang berusia 3 tahun keluar pintu depan, main² kat beranda rumah. Tengah dorang seronok ketawa terbahak-bahak, Badol selamba tegur, “Eh, siapa kakak atas pokok tu? Dia lambai² ajak kita main lah.” Auto semua senyap dan fokus dengan Badol. Sya pun kata,” Tengok kat mana? Macam mana rupa kakak tu?” Badol jawap, “Tuuuu atas pokok(pokok pisang dalam halaman rumah jiran depan), baju warna putih, rambut kembang panjang!” Member Sya lintang pukang lari masuk rumah, sampai kena marah ngan mak sebab bising².

Part paling best, boleh² dorang tinggal je adik kat luar, masih lagi tengok² ‘akak’ atas pokok tu. Tak lama tu kak Liza keluar bawa air dalam botol mineral, simbah² kat pagar rumah pastu sapu sikit kat muka Badol sambil kumat kamit baca surah² pelindung(kak Liza ni orang nya tak pernah tinggal solat, rajin mengaji. Lepas dia tinggalkan kami, baru dak² syaitonirajim ni berani kacau². Yelah kat rumah dah takda siapa yang rajin solat dan mengaji, eh uppsss!) Aku kecil lagi, dalam darjah 2,mak aku mualaf, jadi banyak benda dia tak belajar lagi. Setakat bismillah dan al-fatihah tu boleh lah.

Cerita kedua ni berlaku masa kami masih duduk rumah kuarters, rumah kami paling hujung, seingat aku ada dalam 9 buah rumah, rumah kami je single, yang lain tu double, eh 2 buah rumah yang kongsi 1 dinding tu, panggil apa eh?😅 Kuarters tu didalam kawasan berpagar, setiap 1 rumah ada pegang kunci pagar dan siapa² yang keluar kena kunci pagar sebab taknak orang luar masuk, safety la. Pagar tu berhadapan rumah double yang ke 2 hujung sebelah kanan, rumah kami paling hujung sebelah kiri.

1 maghrib tu, si Sya baru balik sekolah sesi petang. Dia memang macam tu, balik sekolah dating dulu, balik naik bas paling lewat, sebab tu maghrib baru sampai rumah. Ok sambung. Masa depan pagar, dia nampak Uncle Ben(bukan nama sebenar) tengah tunduk² macam mengemas bonet kereta. “Uncle Ben, tolong buka pagar.” Dia jerit² padahal jarak antara pagar dengan rumah Uncle Ben dalam 10 meter saja tapi dia tak dengar atau macam buat² tak dengar. Si Sya dah bengang, dia masuk dalam semak tepi pagar untuk sampai depan rumah kami. Masatu mak dan ayah keluar rumah, tinggal aku, Badol dan Kak Liza. Dah sampai betul² depan rumah, Sya pun jerit² panggil kak Liza. Tapi ambil masa lama gak baru dia g buka pintu. Rupanya baru siap solat. “OK², jap ambil kunci.” Dia pun turun rumah masih lagi bertelekung, berlari-lari g buka kunci pagar.

Masatu Sya perasan rumah Uncle Ben yg terang benderang tadi tu dah gelap gelita, skali Uncle Ben pun tak ada dah kat bawah rumahnya. Mulut takda insuran si Sya pun kata, “Eh, tadi terang sekarang dah gelap, orang panggil² buat² tak tahu pula.” Kak Liza pun tanya, “Ko cakap pasal apa ni?” “Uncle Ben lah, tadi aku panggil dia tapi tak respon pun. Mesti esok dia komplen kat mak pasal aku balik lewat lagi, aduhhh!” Muka kak Liza dah cuak, cepat² dia tarik tangan Sya naik ke rumah, masatu mulut takde insuran dia tak henti² membebel. “Cuba ko diam, tak pasal² nanti ‘dia’ ikut kita naik rumah.”

Sampai atas kak Liza terus tolak si Sya masuk dalam rumah. Dengan tergesa-gesa dia ambil secawan air, baca² dan bawa ke luar, dapat dengar bunyi air disimbah ke bawah tangga sambil dia cakap macam ni, “Hah, jangan berani ko naik kalau taknak badan ko habis hangus. Kalini aku guna air, lain kali aku tabur muka ko ngan garam, baru ko rasa!” Sempat gak terdengar bunyi menangis sendu kat bawah tapi tak berani jenguk. Dah siap, kak Liza suruh Sya buka baju sekolah dia, campak kat luar rumah dan dia kena terus masuk mandi. Tak cakap banyak, dia akur dan ikut. Aku pulak terkulat-kulat depan tv, tau tapi pura² tak tau akan kejadian tu. Nasib baik si Badol yang masa tu umur setahun lebih dah tidur lena.

Esok nya baru kak Liza cerita, malam tu rupanya rumah kami je ada orang, rumah lain semua kosong sebab ada dinner (mak ayah aku pun join dinner tu), manakala Uncle Ben pulak pulang kampung urgent sebab orang tua nya sakit. Jadi siapa yang Sya panggil malam tu?😨Pastu ada benda ikut Sya masa Sya masuk semak dan benda tu try nak nait ke rumah, nasib baik kak Liza pandai, kalau tak, tak tau la nak jadi apa. Mesti korang fikir selepas tu Sya tak berani dah balik lewat kannnn…taidak sama skali! Dia langsung tak serik ok😑

Kisah ni pulak mak aku yang ceritakan. Malam tu dia tak dapat tidur sebab ayah balik lewat dari jam biasa dia balik. Badol dah nyenyak tidur bilik sebelah, so mak aku lepak dalam bilik tidur aku, Sya dan kak Liza sebab bilik kami menghadap ke jalan luar. Boleh mak aku jenguk² dari tingkap kalau² ayah dah balik. Aku masa tu belum dapat tidur sebab pertama kali tidur berasingan dari mak ayah😅 Mak aku balik² cakap suruh tidur tapi mata aku still taknak lelap. Tengah mak usap² rambut aku, kami terdengar bunyi orang menangis mendayu-dayu kat tangga bawah. Mak aku beri isyarat tutup mulut. Perlahan dia bergerak ke arah tingkap nak tengok siapa ada kat bawah. Terkejut mak aku sebab fikirkan manusia rupanya hantu kepala besar tanpa badan! Dia menangis sebab tak dapat naik ke rumah. Setiap kali dia cuba naik, jelas nampak asap yang keluar dari badannya sebab kpanasan. Kak Liza yang tersedar dari tidur terus menghampiri mak aku dan sama² tengok makhluk tu.

Kak Liza bisik kat mak, kata dia dah ‘pagar’ rumah kami sebab semenjak 2 menjak masa tu banyak benda berkeliaran kawasan kuarters. Untuk langkah berjaga maka dia pagarkan keliling rumah. Kalau tak silap, masa tu juga orang Sarawak kecoh dengan hantu purdah. Bukan hantu tapi manusia yang menuntut ilmu hitam. Sasarannya adalah 99 orang gadis yang masih suci, kalau dapat tangkap, dia akan minum darah gadis² suci ni untuk kekebalan ilmu. Masih ingat lagi, mak aku mohon cuti sekolah untuk Sya sebab nak bawa dia lari ke Kuching. Hantu purdah masa tu baru sampai ke Miri. Yang lucu nya, 2-3 hari selepas kami tiba di Kuching, heboh dengar cerita yang hantu purdah tu dah sampai Kuching. Terkocoh-kocoh lagi mak aku nak balik semula ke Miri😂😂

Kisah ni pula jadi masa mak aku balik kerja. Kerja mak aku memang kena balik lewat, paling awal jam 11 malam dah ada kat rumah, tapi jarang sangat la, selalu jam 1 pagi baru mak aku ada. Mak ayah dah cerai, so mak kena la keluar kerja kan. Kami dah pindah dari rumah kuarters, pindah ke rumah yang ayah aku belikan, alaaa rumah masa Badol tengok akak lambai² atas pokok tu. Duduk situ dalam 7 tahun, janji nak bayarkan rumah sebab tak mampu bagi nafkah tiap² bulan tapi last² bank kasi lelong sebab ayah aku tak bayar 2 tahun (sedih sekejap terkenang kisah lama hihi).

Ok sambung. Jadi yg ada kat rumah, aku, Badol dan Sya. Sya tidur bilik dia sendiri. Aku dan Badol kongsi bilik ngan mak. Masa mak balik kami dah tidur, sedar² je hari dah siang dan mak dah ada kat sebelah. 1 malam tu, aku yg dah lena tidur terkejut sebab mak aku masuk bilik tergesa-gesa sambil hempas pintu dan baldi berisi air. Dalam mamai tu aku ingat lagi mak aku suruh aku tidur balik, tak tunggu lama aku pun tertidur semula.

Kebetulan esok nya weekend, tak sekolah, jadi bangun lewat la. Mak dah awal bangun sebab siapkan sarapan pagi. Tanpa menunggu lama, aku lajukan langkah kaki ke dapur, ambil pinggan terus cedok nasi goreng, ambil cawan tuang air teh O, waahhhh😋Sambil makan² tu aku pasang telinga je perbualan mak dan Sya. Cerita nya, semalam masa mak aku keluar kereta nak buka pagar, tiba² mak disapa oleh nenek tua berbaju serba hitam, tutup dari kepala sampai kaki. Yang pelik nya dia duduk tepi longkang depan rumah sambil memancing. Pelikkan bunyi nya? Dia cakap, “Nak, tak baik selalu balik lewat, lagi² jam macam ni(jam 1pagi), banyak benda tak elok berkeliaran. Aku selalu lalu sini dan aku tau ada saja benda nak mengacau kau. Tapi aku tak dapat selalu disini, kalini aku ada ‘jaga’ kau, lepas ni pandai² la kau jaga diri”. Lebih kurang macam tu la.

Masalah nya, walaupun dia cakap macam tu, manusia mana yg berani kan? Walau ketakutan, mak aku boleh gi jawap nenek tu, “Eh, sibuk lah kau!” Dalam keadaan menggeletar nak buka kunci pagar, mak aku ternampak 1 sosok berjubah hitam(tapi tak sama macam nenek tua tu), macam hantu cerita Harry Potter(demento). Part ni aku gelak sakan tau, sampai kena jeling dengan mak aku🤣 Sosok tu melayang atas bumbung rumah, macam melompat pun iya juga. Tak fikir panjang, mak aku masuk kereta dan cabut kunci, kereta tinggal ja kat luar rumah, terus berlari ke pagar rumah. Part ni pun aku gelak sebab mak aku ni secure dia lain macam, sampai pagar pintu ada 2 mangga besar, kau rasa?🤣

Jadi bila dah jadi macam tu, payah la buka pagar, kunci asyik² jatuh sebab tangan dah bergegar. Nasib baik hantu tu tak datang dekat, elok je main lompat² atas bumbung, “Bum…bum…” Bila dh masuk rumah fikir kan dah selamat, rupanya ada lagi yang menunggu di tingkap dapur dan bilik mandi(diluar rumah tau, dia jengok² ke dalam rumah dengan mata putihnya terjojol keluar takda mata hitam😨)Sebab tula malam tu mak aku angkut skali baldi berisi air ke dalam bilik sebab tak berani lama² dalam bilik air. Sempat kencing ja, cuci muka semua dalam bilik. Tengah kencing tu pun dorang dok gelakkan mak aku, kuang aja! Kesian mak aku😅

Next story, pasal rumah yang sama. 1 malam tu aku tinggal berseorangan, aku baru darjah 4@10 tahun. Si Badol umur 4 tahun, dah kena angkut oleh mak sedara, jaga kat rumah dia. Kalau dia malas tunggu aku balik sekolah, dia jalan terus tinggalkan aku sorang² dirumah(part ni bikin geram😤). Jadi bila dah selalu ditinggalkan, aku macam dah lali dengan gangguan dalam rumah tu. Korang bayangkan, kalau aku duduk kat ruang tamu, hantu² tu akan aktif kat dapur. Bunyi nya macam famili kau ada dalam rumah. Bunyi masak², pinggan berlaga sudu, orang cuci barang dalam singki, siap mandi² pun ada.

Jam 9 malam memang aku akan ke dapur, nak minum dan kencing dulu sebab nak masuk tidur. Auto hantu² tu semua senyap. Meremang jangan kata la, sebelum tu akan cakap perlahan, “Aku nak masuk dapur ni, jangan kacau aku tau sebab aku tak kacau kamu semua”. Kalau aku masuk bilik tidur, haaaa dorang berpesta pulak kat ruang tamu. Aku memang jenis tidur guna lampu meja, kalau biar lampu terbuka tak boleh tidur pula. Jadi dalam kegelapan, boleh nampak bayang² dorang berpeleseran di ruang tamu. Macam buat rumah sendiri!😒 Bunyi ketawa, pasang tv dan budak² bermain berkejaran memang sangat jelas.

Pertama kali aku dibiar keseorangan dirumah, memang aku nak pengsan menahan ketakutan. Pernah 1 malam tu, sebab dah tak sanggup dengar macam² bunyi tu, aku berlari keluar pergi ke rumah cousin mak aku. Pintu rumah aku tutup tanpa dikunci. Iya, ada saudara cuma kurang rapat, so mesti la segan. Sampai depan rumah dorang aku panggil “Aunty²”, agak lambat juga dia sedar nak bukakan pintu. Yelah, dah tengah malam mesti la dorang dah nyenyak tidur. Terkocoh-kocoh dia bukakan pagar nak bagi aku masuk. Aku minta izin nak guna telefon call mak aku. Mak aku pun terkejut kenapa kakak dia tinggalkan aku sorang² dirumah. Tak tunggu lama mak aku pecut balik. Ah, mesti korang tertanya mana si Sya. Sya dah lari ikut jantan, tak nak sekolah, menyusahkan mak je! Dahla kes cerai tak settle, dia pulak buat hal. Kalau perempuan lain, silap² boleh depresi dan g*la kalau berada ditempat mak aku. Dugaan datang bertimpa-timpa😔

Out of topic kejap tadi, sorry semua. Cerita ni jadi malam terakhir kami di rumah tu(macam yg aku cerita kat atas, rumah kena lelong). Masa tu aku baru masuk tingkatan 2. Rumah dah kosong, tinggal 2 keping tilam yang nipis untuk alas tidur kami bertiga. Tidur pulak kat ruang tamu. Ruang tamu rumah tu ada 2 pintu keluar. Aku tidur menghadap pintu keluar beranda tengah. Beranda tengah ada ayunan, kalau ada orang duduk ayunan tu ada bunyi krek-krek sebab dah berkarat.

Tengah syok aku dengan mak bercerita, tiba² bunyi buaian tu bergema kuat sampai dalam rumah. Yelah rumah dah kosong, kalau ada bunyi sikit pun macam bunyi kuat. Serentak kami berdua senyap. Mak beri isyarat tutup mata, maksud nya tidur sekarang. Aku cuba tutup mata tapi susah, mata aku asyik tertumpu pada bayangan ‘orang’ di luar rumah. Memang nampak buaian tu bergerak seperti ada orang yang sedang berbuai. Aku mula ketakutan, bergegar badan. Makin aku ketakutan dan cuba pejam mata, makin laju ‘dia’ berbuai.

Sampai satu tahap aku dapat rasakan dia melompat turun dari buaian dan menjenguk melalui tingkap yang ada dihadapan aku. Nak tercabut rasa jantung bila aku nampak ada lembaga hitam seperti asap ditingkap. Oh ya, langsir tingkap pun dah diturunkan so boleh bayangkanlah tingkap tu ‘open air’, kau boleh lihat aku, aku boleh lihat kau! Aku tutup muka dengan selimut sambil berabis baca surah alfatihah dan 3 qul. Surah qursi tak hafal lagi😅Sampai la betul² tertidur.

Lupa pula nak cerita yang satu ni dulu. Terjadi kat si Sya sebelum dia lari tinggalkan kami. Malam tu dia tidur lewat sebab bergayut dengan boifren dalam telefon diruang tamu. Dalam jam lebih kurang 11 malam, tiba² dia dengar bunyi pagar luar diseret. Cepat² dia tamatkan talian sebab fikir mak dah balik. Terus dia berlari masuk bilik. Dalam bilik dia tertunggu-tunggu bunyi mak buka pintu tapi tak ada. Lebih kurang 10 minit menunggu, dia jenguk ke ruang tamu. Sunyi. Dia pun pelik sebab memang jelas dia dengar bunyi pagar diseret seperti ada yang buka pagar. Perlahan dia buka pintu depan, memang sah pagar masih bertutup.

Tak lama lepas tu, kepala dia auto menoleh ke arah tingkap sebab ada orang berjalan diluar. Tak fikir panjang dia selak langsir nak tengok siapa yang ada kat luar. Takut² ada orang cuba pecah masuk rumah. Apa yang mengejutkan dia nampak ada budak perempuan sedang duduk dibuaian. Bergaun putih paras lutut, kepala tunduk melihat kakinya. Sya macam terpukau memerhatikan budak tu. Tak tau berapa lama memerhati, tiba² budak tu berhenti berbuai. Masa tu baru Sya kembali ke alam nyata. Berdegup laju jantung sebab dalam fikirannya takkan ada budak berani main rumah orang malam² buta. Sah² bukan anak manusia lah!

Budak tu angkat kepala dengan laju tapi muka nya tak jelas, nampak gelap ja padahal lampu luar sangat terang. Kedua tangan nya didepa kehadapan, rupa macam orang nak mencekik, terus dia meluru ke arah Sya yang masih memerhati disebalik langsir tingkap. Menjerit Sya terus berlari masuk bilik tidur aku dan Badol. Sempat dia dengar bunyi tingkap dilanggar. Aku terkejut sebab dengar bunyi pintu dihempas. “Kau pahal?”, aku tanya Sya. “Eh, takda apalah. Tidur balik!”, jawap Sya. Malas nak layan Sya, aku pun tidur semula.

Tak lama tu dengar bunyi telefon berdering. Selepas kejadian mak aku kena tegur dengan nenek tu, dia dah tak berani keluar kereta sorang². Jadi kalau dia dah nak sampai rumah dia akan call suruh Sya bukakan pagar. Sempat juga Sya merengek taknak bukakan pagar. Nak tak nak dia kena juga keluar. Itu pun dia pastikan mak aku pun keluar dari kereta dulu, baru dia berani keluar rumah. Lepas tu takda la jadi apa², cuma Sya minta tidur sama malam tu, tak berani tidur sorang².

Kisah 1 ni pula nak kata seram tak juga, tak seram tak juga. Cuma nak share untuk dijadikan pengajaran. Masa tu mak aku sakit tenat, kena ilmu hitam yang ayah hantarkan. Niat memang nak mak mati😔 Alhamdulillah mak aku selamat, Allah masih sayang. Tiap petang kami suka lepak² luar rumah. 1 petang, kami didatangi jiran yang prihatin. Dia terus terang cakap semua jiran kat situ selalu nampak ayah aku melimpas depan rumah kami cuma dia langsung tak singgah ke rumah. Dalam kereta sah² ada wanita lain bersamanya.

Kadang² ada seorang budak kecil lelaki sebaya Badol pun ada bersama. Pernah jiran tu cuba tahan kereta ayah aku, nak ajak berbual. Tapi laju ja ayah aku pecut, sikit lagi nak melanggar jiran tu. Tapi mak nafikan sebab kalau betul, takkan kami tak nampak. Jiran tu kata ayah drive kereta kancil warna maroon. Lagilah mak aku tak percaya sebab kami cuma ada kereta proton wira earna coklat. Jiran tu pun kata, tak apa kalau tak percaya, dia cuma nak bagitau tu saja.

Maksud nya ayah guna ilmu untuk butakan mata kami dari melihat dia. Tujuan dia 1, nak test ilmu. Pernah jiran sebelah rumah nampak dia panjat pagar rumah. Lepas dia habis buat sesuatu kat halaman rumah dia panjat balik pagar untuk keluar. Mula² tu jiran sebelah buat tahu saja. Tapi bila dah nampak sampai 3 kali, dia pun tegur la. Kenapa tak panggil ja budak² dalam rumah untuk bukakan pagar dan pintu, yelah kami sentiasa dalam rumah. Ayah tak jawap 1 patah pun, terus jalan. Ada 1 hari, tiba2 ayah muncul depan rumah, marah² lagi sebab lambat bukakan pagar. Kereta kancil dia sorokkan, buat² macam dia jalan kaki ke rumah naik bas. Berebut-rebut aku buka pagar masa tu. Mak aku tiap kali nampak muka ayah, mesti macam orang bod*h. Apa yang ayah cakap dia iya² kan, padahal duit belanja dah nak habis, beras tinggal sikit, hari² kami makan bubur saja. Pergi dapur dia buka tudung saji, bila tengok makanan tak ada, dia mengamuk kata macam ni ka layan suami, masak pun tidak.

Aku dan badol ketakutan terus masuk bilik. Mak aku meluru masuk dapur minta ampun tapi nak masak macam mana, mana duit untuk beli lauk. Boleh² ayah aku jawap, tu hanya alasan, yg pasti mak aku pemalas! Tak lama tu arwah abang mak aku datang melawat. Kebetulan dia dengar ayah aku tengah menjerit marah², tak tunggu lama dia lun masuk sebab nak bela mak aku. Mak aku berabis menahan abang nya dari menumbuk muka ayah. Lalu ayah pun pergi dengan meninggalkan kata² berbau ugutan. “Kau semua tunggu lah apa nasib kau semua lepas ni!”

Semenjak tu arwah abang mak rajin jenguk kami dirumah. Entah kenapa 1 hari tu tiba² ayah muncul dengan wajah yang sugul. Kononnya dia nak minta maaf dan sedar kesilapan dan kononnya juga dia terkena sihir dengan wanita yg selalu bersamanya. Sebab tu dia hilang kewarasan. Dia ada beli banyak lauk dan buah-buahan dan mengajak arwah abang mak makan bersama. Selepas dari hari itu, abang mak dah jarang jenguk kami. Kalau datang pun sekadar untik menghambur perasaan bencinya terhadap kami. Kami dapat tahu arwah abang mak jadi macam tu sebab termakan pembenci yg ayah aku masukkan dalam makanannya. Buktinya 1 hari tu, abang mak ada dirumah sedang santai², tiba² ayah muncul dan bergaduh dengan mak. Abang mak masa tu langsung peduli, aku ingat lagi kata² nya, “Ah, nak berehat pun susah, aku pergi dulu lah!”. Padahal masa tu ayah tengah belasah mak. Lepas ja abang mak pergi, ayah pun berkata, “Padan muka kau. Lepas ni tak ada lagi yang akan tolong kau. Abang kau dah makan pembenci yg aku tabur dalam makanannya. Kau semua percaya bulat² kata² aku. Dasar dayak bod*h!”. Selepas puas membelasah mak, ayah pergi begitu sahaja.

1 hari, mak aku berkenalan dengan jiran belakang rumah. Dia kata selama ni dia ada dengar kisah famili kami dan dia sangat kasihan. Jadi dia menawarkan pertolongan untuk bawa mak aku berubat. Tapi cara bomoh (syirik tau, pembaca semua jangan ikut dan percaya. Hanya Allah tempat kita bergantung!) Hari dan masa telah ditetapkan. Jiran tu aku panggil Anty Sila. Anty Sila bersama kedua ibubapanya datang ambil mak aku dirumah. Mak pesan dia akan balik lewat, jadi pastikan pintu dan pagar berkunci sebelum tidur. Keesokkan hari nya, bangun aku dari tidur, mak dah ada dirumah. Famili anty Sila pun ada skali, bersarapan sama². Aku berlari keluar bilik dan terus

peluk mak aku. Sambil minum dan makan², aku pasang telinga cerita mak.

Malam tu, malam yg sangat menyeramkan sebab bomoh perempuan tempat mak aku berubat tu, suaminya adalah hantu (iblis lah, apa lagi). Mak aku disuruh berkemban dan dibawa ke perigi dibelakang rumah. Sebelum dia bomoh tu mandikan mak aku dengan air bunga, dia pesan supaya apa pun terkadi mak aku dilarang buka mata. Benda belaan nya tak suka orang nampak muka dia. Masa mandi tu, mak dapat ada lidah yg sangat besar sedang menjilat- jilat belakang badan mak aku, skali dengan bunyi hembusan nafas yg sangat kuat. Mak yg ketakutan menjerit memanggil bomoh tu, bomoh tu suruh mak aku rileks, biarkan belaannya jalankan tugas. Lebih kurang 10 minit baru settle.

Mak aku kata lepas mandi dia dapat rasa aura yg lain macam, rasa lebih sihat dan badan jadi ringan. Bomoh tu bawa mak aku masuk ke bilik nya pula. Bau kemenyan memenuhi ruang bilik. Anty Sila serta ibubapanya disuruh tunggu diruang tamu. Kain basahan mak aku diganti dengan kain yg kering. Bomoh tu suruh mak aku baring dan berpesan lagi jangan buka mata sehingga dia sendiri yg membenarkan. Masa pejam mata tu mak dapat dengar mulut bomoh tu baca mantera. Yg lucu nya ada pulak guna bismillah dalam mantera nya. Dia mula tekan bahagian atas badan mak dengan piring yang telah diasapkan dengan kemenyan. Mula dari sebelah kiri, kemudian sebelah kanan. Kemudian beralih ke kaki pula. Makin lama mak rasa pelik sebab macam ada benda merayap kat seluruh badan mak tapi dia tak berani buka mata.

Beberapa lama selepas tu, bomoh tu suruh mak aku duduk pula. Dia mulakan langkah yang sama dibelakang mak. Terakhir adalah kepala. Masa ni lah mak aku dah geli geleman sebab ada benda merayap keluar dari rambut nya. Selesai bomoh tu suruh mak buka mata. Terkejutnya mak, rupanya ulat yg merayap keluar dari rambut mak. Sebab terlalu geli mak melompat-lompat, sikit lagi kain kemban nak tertanggal. Dalam banyak² ulat tu, ada seekor yang paling besar, besar nya tu muat dalam besen sayur. Sedaya upaya ulat tu cuba lari keluar dari bilik tu tapi bomoh tu lebih tangkas, dia berjaya menangkap ulat tu masuk dalam balang kaca.

Macam tipu ja bunyi cerita ni, mak aku kata ulat tu pandai bercakap, cuma mak aku tak faham apa bahasa ulat tu guna. Dia berdialog dengan bomoh tu. Makin lama makin kuat ulat tu meronta nak lepaskan diri. Tak lama, bomoh tu bawa balang berisi ulat tu ke belakang rumahnya. Sekejap saja belakang rumah tu terang benderang sebab api marak membakar ulat tu. Yg mak aku pelik, lepas je bomoh berjaya tangkap ulat besar tu, ulat² lain yg banyak² tu lenyap! Selepas api yg marak tu padam, bomoh tu naik ke rumah dan arahkan mak pasang semula bajunya. Dah settle tu, dorang berlima duduk bersimpuh diruang tamu rumah bomoh. Bomoh tu kasi detail la kejadian tadi. Ulat² tu dihantar oleh orang yg hendakkan mak aku mati. Tu ulat yg makan isi manusia dalam kubur.

Ulat tu ditanam dalam tubuh badan mak aku dan nadikan isi serta darah mak sebagai makanan. Sebab tu lah badan mak kurus sangat, muka cengkung. Kadang² aku dan Badol takut nak dekat dengan mak masa tu sebab muka mak macam kak ponti! Ulat tu akan tinggal dan membiak sehingga telur nya menetas, maka mak aku akan mati! Kiranya mak bernasib baik sebab belum terlambat berjumpa dengan bomoh tu. Aku tak lah claim yg mak aku sihat hasil berubat dengan iblis, tapi begitu lah mak aku sembuh dan mula sedar keadaan sekeliling.

Mak aku dah berani pertahankan diri dari dibelasah ayah. Sejak dah sihat tu barulah mak aku keluar bekerja dan kami jalani kehidupan normal balik. Kes cerai mak ayah aku makan masa dari aku darjah 3-6. Rumah yg kami duduk tu asalnya dibina atas tanah kubur zaman jepun. Penduduk situ kata mungkin ada tulang yg tertinggal sebab tu rumah tu seram. Menambahkan lagi seram bila ayah aku p tanam benda² syirik disekeliling rumah. Niat nya nak mak aku gila dan mati sebab terkejut.

Ok lah, setakat ni je cerita aku. Harap pembaca enjoi membaca dan jangan stress² ye. Cerita ni aku karang pun santai² je sebab tetiba teringat peristiwa lama. Yg baik ambil sebagai ikhtibar, yg tak baik tu datang dari aku sendiri, ampun dan maaf dipinta.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

5 thoughts on “Kisah Lalu Yang Pilu”

  1. sedih lahhh .. kehidupan yang penuh dugaan tp berjaya diharungi .. cerita pun boleh tahan seram ..sambung lah lagiiii

    Reply

Leave a Comment