Kisah Seram Fasilitator Minggu Haluan Siswa

Kisah Seram Minggu Haluan Siswa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, terima kasih diucapkan pada admin sekiranya kisah aku ini disiarkan.

Kisah ini merupakan pengalaman aku sendiri semasa jadi student di Universiti di utara tanahair ( mesti korang tahu di mana kan). Semasa belajar dulu aku aktif juga dengan pelbagai kegiatan dan program di kampus termasuk menjadi fasilitator program dengan student baharu di sepanjang Minggu Haluan Siswa anjuran Universiti.

Kebetulan waktu ni, aku terpilih jadi fasilitator bersama dengan roomate aku sendiri (selain berpuluh-puluh orang student senior lain yang mohon secara sukarela). Seronoklah, sebab ada kawan baik sama-sama kendalikan program, lagipun untuk exposure dan pengalaman.

Bila jadi fasi ni, kami kena balik ke kampus lebih awal semasa tempoh student lain masih cuti sem panjang. Ini bertujuan hadir ke kursus menjadi fasilitator ( training for trainers lah mcm tu). Kursus ini dibuat, kiranya beberapa hari sebelum student freshies lain datang untuk mendaftar di Universiti.

Jadi, bayangkan kolej memang sunyi sepi dan yang ada beberapa orang kawan sesama fasi sahaja di setiap blok.
Kolej yang meriah, terang-benderang, kecoh dengan suara hiruk-pikuk waktu biasa, kini suram dan sangat hening.

Nak cerita, kampus kami ni pula memang terletak di kawasan terpencil. Tapi landskap kampus ni sangat indah dengan pokok-pokok besar, rendang, sungai mengalir di tengah-tengah kampus, burung berkicauan sangat mendamaikan. Tapi, sebaliknya bila matahari terbenam, suasana seram tu tetap akan terasa.

Satu hari lepas habis sesi kursus yang agak lewat, lebih kurang pukul 11 malam, beberapa orang fasi termasuk aku dan roomate balik lah berjalan kaki dari dewan untuk balik ke blok kediaman. Kolej kediaman aku ni agak luas, jadi nak balik tu perlu lalu blok-blok kosong sebab dewan ke blok aku tu lokasi paling hujung.

Bila sampai ke bilik, mandi, solat Isyak dan aku berbaring atas katil. Roomate aku pula pergi ke tandas, dia ni memang jenis lama, cuci muka depan cermin lah, shaving lah, melabur lagi huhu..

Tengah-tengah aku nak baring tu, aku rasa macam ada orang berdiri tepi katil aku. Waktu tu aku mengiring ke dinding, jadi aku tak nmpk lah siapa. Cuma waktu tu aku rasa sangat seram-sejuk, macam badan aku kaku dan kelu. Kalau korang penah experience dihimpit sesuatu ketika tengah tidur (bukan lucah ya, betul-betul hahaha). Macam itu lah lebih kurang situasinya.
Rasa tidak keruan tapi nak menggerakkan badan langsung tak boleh walau seinci. Tangan pun kaku!

Di tengah-tengah aku dalam keadaan tak menentu ini, tiba-tiba “sesuatu” yang berdiri katil aku tu pegang kepala aku. Disebabkan aku mengiring dan tak boleh bergerak dan tak boleh menoleh ke sebelah.

Tapi sampai sekarang aku memang ingat perasaan tu, tangan makhluk yang pegang kepala aku tu terasa berkuku tajam, sejuk dan runcing. Dia cengkam kepala aku sampai terasa di kulit kepala. Suasana dan aura kegelapan seolah-olah menyelubungi bilik aku. Macam aku dipindahkan ke alam lain, walaupun hakikatnya aku masih di dalam bilik kolej (lampu masih terpasang). Sukar nak cakap tapi itulah keadaannya. Macam kau bermimpi tapi sebenarnya dalam kau dalam sedar.

Aku rasa ketakutan dan helpless sangat waktu tu, lagipun roomate aku pun masih belum balik ke bilik. Aku cuba melawan untuk gerak sedikit badan. Masih gagal. Kaku seluruh badan aku. Rasa seram, panik bercampur-baur. Aku harap agar makhluk tu tak pusingkan badan aku, untuk menghadap dia. Tak mampu hadapi wajah dia yang entah macam mana rupanya.

Cengkaman kuku dia pun dah terasa pedih kepala aku. Lidah aku pun jadi kelu, nak sebut bismillah atau Allahuakhbar pun rasa lemah-lesu. Memang durjana sungguh makhluk ni! Entah berapa lama aku “bergelut” macam tu, tak tahulah. Masa pun macam freeze bagi aku.

Tiba-tiba, aku macam dapat kekuatan, dalam hati aku sebut, ” ko makhluk langsung tiada apa kuasa beri mudarat tanpa izin Allah swt”. Bila aku tetap kan dalam hati macam tu, lidah aku boleh menyebut sekuat hati Allahuakbar!!

Sejenak, aku kembali hadir dalam keadaan bilik yang normal. Lampu terpasang, tiada sesiapa dalam bilik selain aku. Makhluk tu ghaib. Aku terus berdiri tepi katil.

Berpeluh-peluh jantan badan aku waktu tu. Kebetulan, tiba-tiba roomate aku yang dari bilik air tu masuk, tanya, ” Kau kenapa ni? mengigau ke? Pucat lesi aku tengok muka. Bukan
ke tadi aku perasan kau tengah baring di katil. Kau belum tidur kan?”

Aku cakap dengan dia, ” Faizal, ada benda dalam bilik kita tadi”. Aku pun slowly cerita pada dia apa aku alami tadi.

Muka dia berubah, terus dan cakap pada aku, ” Zam, kita baca ayat Al Quran ya, lepas tu kita tidur pun bagi terang dan pasang MP3 bacaan Ayat Suci Al-Quran sampai pagi”. Aku akur, memang lampu menyala sampai ke subuh. Alhamdulilah tiada gangguan lain malam tu, cuma di waktu pagi, kulit kepala aku masih terasa pedih kesan cengkaman malam tu. Aku minta roomate aku tengok, kalau ada kesan cakaran atau luka di kepala aku. Tapi tiada. Hanya rasa pedih tu hilang lepas beberapa hari.

Alhamdulilah, tiada gangguan lagi aku pernah alami sepanjang 3 tahun belajar di Universiti itu. Itulah satu-satunya pengalaman seram yang aku sendiri alami dan bukan direka-reka. Adakah aku bermimpi? Mustahil.

Tapi bagi aku, mungkin kerohanian agak lemah waktu tu. Solat Isyak pun dah lewat malam, sebab sibuk dengan program. Bacaan Al Quran dan zikir sebelum berbaring pun lalai. Mungkin itu peringatan bagi aku untuk menjaga amal ibadah dengan lebih baik. Wallahualam…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

1 thought on “Kisah Seram Fasilitator Minggu Haluan Siswa”

  1. aku penah kena sekali kat kolej proton.dpt bilik sorang masa dftr funal sem.bilik dh lama tinggal. masa mula2 masuk pun bulu tengkuk aku dh mremang.mlm tu tgh tido, dengar pmpuan mngilai n bgendang dr dlm lemari baju.aku dgn mamai n ngantuk, sambung tido.hahaaa

    Reply

Leave a Comment