“Assalaamualaikum Kak Long, semalam ayah diberi salam oleh hamba Allah jam 4.30 pagi sebelum jam loceng berbunyi. Ayah terus bangun mandi dan bersiap ke masjid. Rasa nikmat dapat mengaji Qur’an pagi-pagi. Siapa agaknya yang beri salam pagi-pagi tersebut,” ujar ayahku melalui Whatsapp.
‘Hurm…ada lagi ‘dia’ ni,’ fikirku. Si ‘dia’ pernah mengejutku bangun Subuh dalam ceritaku dalam #KisahSiRabun siri pertama. Kisah terjadi di bilik yang sama, bilik belakang rumahku, sebelah dapur. Bilik tersebut sengaja aku ubahsuai agar nampak lebih selesa dan tidak terpinggir. Alhamdulillah, walaupun aku tidak selalu menggunakan bilik tersebut ayah dan adikku selalu menggunakannya untuk solat malam dan mengaji. Tidaklah terbiar sahaja. Whatsapp daripada ayah mengingatkan aku kepada coretan kisahku untuk Fiksyen Shasha. Sudah lama aku tidak bercerita, tiba-tiba aku rasa teringin untuk berkongsi pengalaman ketika berkelana atas urusan kerja di tempat orang.
Lintasan
Aku mempunyai seorang rakan sepejabat yang kunamakan ‘Wak’, sempena dengan tabiatnya yang suka membuat lawak hambar. Aku selalu ditugaskan untuk pergi ke seluruh pelusuk Malaysia ini bersama Wak untuk menganjurkan bengkel, hampir setiap bulan.
Selalunya, aku boleh membaca orang — mahu menipu, sedang bersedih, dan sebagainya — terutamanya apabila aku sudah biasa dengan orang tersebut. Baca orang yang kumaksudkan bukan dengan ilmu ghaib, tetapi melalui bahasa badan dan mimik muka. Dan apabila aku katakan ‘selalu’ bukan bermaksud ‘mesti’ kerana kadang-kadang ada juga orang yang sukar dibaca seperti Wak.
Kadang-kadang, apabila dia serius, aku ingat dia sedang buat lawak. Apabila dia buat lawak, aku ingatkan dia serius. Mungkin kerana matanya yang kecil dan sepet serta kaca matanya yang menyukarkan aku membuat tafsiran. Jadi, apabila Wak mengatakan yang dia boleh ‘melihat’, aku malas mahu mengendahkan dakwaannya. Malahan, aku main-mainkan dia. Dalam masa yang sama, aku merasa pelik, sebab kalau mengikutkan pengalamanku, sekiranya dia cuma berlawak, tidak lama kemudian dia akan mengaku yang cuma bermain-main sahaja. Ye lah, lawaknya selalu tak jadi, sampai terpaksa mengaku. Kesian Wak. Tapi, untuk subjek ‘melihat’ ini, dia tak pernah mengaku begitu. Malahan, dipertahankan fakta tersebut sehingga kini.
Pada satu hari, aku, Wak dan Indah ditugaskan ke Terengganu untuk menganjurkan bengkel. Selalunya, Wak akan memandu, tetapi kali ini, aku yang dipaksanya memandu. Mahu tidur, katanya. Nasib baik ada rakan sepejabat kami, Indah yang menjadi teman borakku sepanjang jalan ke sana. Ketika kami melalul R&R Gambang (kalau tidak silap), senja sudah meremang dan cuma kereta kami yang masih bergerak di atas jalan. Keadaan sekeliling berwarna jingga. Aku teringat kata-kata seorang sepupu ketika kecil dahulu, ‘Sekiranya waktu senja berwarna oren, maksudnya banyak syaitan’. Wallahu’alam, tidak dapat kupastikan kebenaran kata-katanya tetapi aku tepis fikiran tersebut. ‘Tak bagus fikir bukan-bukan dalam perjalanan,’ fikirku. Aku lajukan sedikit pemanduanku di laluan paling kanan.
Sudah menjadi tabiat ketika memandu, aku akan kerap melihat sekeliling melalui cermin sisi dan cermin padang belakang, ‘defensive driving’ kata orang. Ketika aku menjeling cermin sisi belah kiri sambil membebel bersama Indah, mataku tertancap kepada sesusuk tubuh yang berdiri di bawah pokok yang agak renek yang terletak di hadapan R&R. Kelihatan seperti orang itu sedang berdiri merenung jalan. ‘Mungkin pemotong rumput, tapi takde pulak equipment dia’, fikirku.
Tiba-tiba, zuppp. Tubuh yang aku anggapkan orang itu, melintas di hadapan keretaku. Apabila aku kerlingkan mata ke sebelah kanan, susuk tubuh yang sama berdiri di bawah pokok di jalan seberang (arah barat), sedang merenung ke arah kami.
“Eh!” ujarku. Aku ni kalau terkejut memang macam tu, buat bunyi sikit-sikit sahaja.
“Hah! Kenapa? Kenapa?”, tanya Wak yang tadinya melempek di belakang. Terkejut aku dan Indah.
“Takde ape”, jawabku.
“Kau nampak makhluk, kan tadi? Kau nampak, kan?”, tanya Wak lagi dengan bersungguh-sungguh. Indah di sebelahku sudah nampak ketakutan.
Hish, aku risau kalau benda tu ikut kami. Sudahlah kami akan berada di tempat orang untuk seminggu. “Kau jangan bongok sangat boleh tak?”, ujarku agak keras.
Satu lagi fakta tentang Wak, dia memang celupar sedikit. Malahan, selalu dia ditegur oleh bos lantaran keceluparannya. “Huhu, betullah kau nampak makhluk. Aku makhluk, Indah pun makhluk,” kata Wak lagi.
‘Ceh, cover lah tu’, fikirku. Aku baca Ayatul Kursi dalam hati, sambil berdoa kami selamat pergi dan pulang. Doa orang bermusafir ni makbul, kan?
Wak, Wak. Nasib baik kami aman sahaja selepas itu. Kalau tidak, siap Wak.
Main air
Sekali lagi aku ditugaskan untuk menganjurkan bengkel. Kali ini, aku pergi hanya dengan Wak ke Pahang. Bengkel tersebut diadakan di salah sebuah resort di tepi pantai Cherating. Waktu sudah hampir masuk Maghrib. Ketibaan kami di kaunter hotel yang agak lewat di sambut dengan senyuman pekerja kaunter.
“Puan, kami daftarkan Puan ke bilik bangunan baru ya. Katil king size. Ini kuncinya,” ujar pekerja tersebut sambil menghulurkan kunci bilik. “Nanti porter tolong hantarkan beg.”
“Wah, terima kasih,” ucapku dengan senyuman hingga telinga. Dahlah katil besar, bilik baru. Siapa yang tak seronok. Selalunya, aku lebih selesa mengangkut beg sendiri. Tetapi, disebabkan ini resort, ada kemungkinan biliknya jauh, jadi aku terima pertolongan porter.
Wak yang juga mendaftar di kaunter sebelah, menjeling kepadaku dengan muka tidak puas hati. “Mana aci ni,” kata Wak. Aku sengih sahaja padanya.
Rupanya bilik Wak dekat sahaja dan sama tingkat dengan kaunter jadi, tetapi bilik lama. Aku harus melalui biliknya dahulu sebelum ke bilikku. Aku melambai kepadanya sambil tersengih. Geli hatiku melihatkan mukanya yang tidak puas hati. Macam budak-budak. Lalu, aku ikut porter.
Jauh juga perjalanan ke bilikku, rupa-rupanya di blok lain yang terletak di hujung kawasan resort. Kalau aku yang tarik beg sendiri mesti berpeluh-peluh. Bilikku di tingkat 3. Seperti biasa, bilik di resort menghadap ke luar, tidak seperti hotel yang dalam bangunan. Tetapi, sepanjang perjalanan aku rasa pelik. Tiada kicauan burung atau bunyi serangga, manusia apakan lagi. Senyap dan sunyi. ‘Maghrib kot, haiwan pun pandai balik rumah,’ fikirku. Husnudzon.
Porter membantu membukakan pintu, membuka lampu dan mengangkat begku ke dalam bilik. “Terima kasih,” ucapku kepadanya sebaik sahaja kunci kuterima. Aku melangkah masuk ke dalam bilik yang suram tersebut. Serta-merta aku menggigil tanpa dapat kupastikan sebabnya. Bukan sebab sejuk. Aku mengambil keputusan untuak buat tidak endah. Kukunci pintu dan mulakan operasi membelek bilik, seperti kebiasaanku.
Bilik tersebut agak besar tapi suram walaupun dengan lampu. Biasalah, kadang-kadang lampu bilik hotel memang agak malap. ‘Ambience lighting’ katanya. Lantainya jenis jubin terracotta. ‘Pasti sejuk pagi esok,’ fikirku. Ada kipas dan pendingin hawa. Aku tidak begitu gemar dengan pendingin hawa, jadi aku menutupnya dan membuka kipas sebelum pergi mandi dan solat Maghrib.
Seusai Isya’ solat dan makan malam ringkas (Maggi cup), aku cuba membuka TV tetapi tidak berjaya. Suis belakang TV memang terpasang, tetapi TV tidak boleh dibuka. Jadi, aku pun membuat panggilan ke kaunter hadapan untuk melaporkan kerosakan TV atau ‘remote’ TV. Kata pekerja kaunter, dalam masa 30 minit, salah seorang daripada mereka akan ke bilikku untuk memeriksa masalah TV tersebut.
Tunggu punya tunggu, jam pun sudah menunjukkan 12 lebih pagi. Bayang orang pun tak ada. Jadi, aku ambil keputusan untuk tidur sahaja. Aku boleh dikategorikan dalam golongan ‘light sleeper’. Ada sahaja perubahan dalam bilik, aku akan terbangun. Oleh itu, menurut kebiasaanku, sekiranya aku tidur di hotel seorang diri, aku akan membiarkan siaran sukan ESPN, berita BBC atau rancangan Jepun NHK terbuka hingga ke pagi dengan bunyi yang rendah. Alang-alang, biar ada pergerakan dalam TV dan bunyi bising sebelum aku tidur. Jadi, tanpa TV memang susah hendak aku lelapkan mata. Aku berbungkus dengan selimut tebal dan memaksa diri untuk tidur.
Dalam tengah-tengah pagi, aku terkejut. Selimutku tersentap ke bawah. “Lasak sangat tidur ni,’ fikirku menyalahkan diri sendiri, walaupun sebenarnya tidak logik. Aku terlampau penat untuk berfikir lebih.
Baru sahaja mataku hendak terlelap, aku terdengar bunyi tapak kaki kecil berlari-lari di atas jubin terracotta. ‘Anak siapalah berjimba malam-malam ni,’ aku menarik selimut lebih kemas ke atas kepala.
‘Hihihi,’ bunyi gelak halus, dekat. Rasa serun menjelma dalam hatiku, badan terus rasa keras.
Fuuhhhh. Rasa panas telingaku ditiup daripada dalam selimut. Rambutku terasa dikirai-kirai.
Aku terlompat dan terus duduk bersila di kepala katil sambil mataku liar memandang keliling. Tiada sesiapa. Dengan jantung bagaikan di mulut, aku baca ayat-ayat suci yang boleh aku ingat ketika itu. Malam itu aku tertidur sambil duduk. Kadang-kadang terasa bagaikan ada kain yang terkibar-kibar di telinga kananku. Tapi, aku biarkan sahaja sambil memejam mata. Separuh kerana terlampau takut, separuh kerana terlampau mengantuk.
–
Esok paginya, kulihat lantai bilikku basah lecak sehingga di bawah katil dan depan pintu bilik, macam ada yang menyimbah sebesen air. Aku cuba untuk meyimpulkan bahawa berlaku kondensasi di dalam bilikku, tetapi secara logiknya jika ada kondensasi, mengapa hanya lantai yang basah? Katil, baju, langsir semuanya kering. Solat Subuh kulangsaikan di atas katil.
Dalam perjalanan untuk sarapan pagi, aku terserempak dengan seorang makcik ‘cleaner’. Aku senyum padanya. Dia cuma merenungku dengan muka pelik. Hilang ‘mood’ baikku yang memang sudah tinggal sisa.
“Kenapa pucat? Tak cukup tidur ke?”, tanya Wak. Aku senyap sahaja. Simpan tenaga. Bengkel hari itu bagaikan angin lalu. Tiada memori yang melekat dalam otakku. Aku cuma mahu hari itu berakhir cepat, aku mahu tidur.
–
Aku beranikan diri untuk bersolat Zuhur di bilik. Alhamdulillah, semuanya nampak normal. Akan tetapi, sekembalinya aku ke bilik petang itu, aku rasa mahu menjerit. Stress!
Lantai bilik kembali basah. Hatiku kembali berdebar dan rasa mengigil seperti semalam datang lagi. Cepat-cepat aku kemaskan beg dan melefon kaunter hadapan.
“I nak tukar bilik sekarang!” Aku cuba menenangkan diri kerana terasa sudah menjadi semakin histeria.
“Baik, cik. Kami tukarkan cik ke bilik 1XXX,” ujar penyambut tetamu hotel. “Nanti porter datang tolong angkatkan beg”.
‘Cepat betul korang kerja. Semalam tunggu betulkan TV sampai sekarang macam tu jugak,’ bebel ku dalam hati. Walau bagaimanapun, aku rasa bersyukur kerana tidak perlu menerangkan panjang-panjang.
Bilik baruku (bangunan lama) memang tak serupa bilik hotel. Sedih. Tetapi, aku rasa sangat lega kerana sebaik sahaja melangkah ke bilik ini aku terus rasa tenang dan malam itu aku tidur dengan lena.
Blackout
Aku ditugaskan ke sebuah negeri di Malaysia Timur. Kali ini, aku bermalam di salah sebuah hotel yang terkenal di bandar tersebut dan tinggal sebilik bersama rakanku, Sharifah (Pah). Hotel ini agak lama bertapak di sini, kebanyakan fasilitinya agak lama. Kunci pintu bilik pun masih menggunakan anak kunci biasa.
Sedang sedap aku menggosok baju sambil berborak bersama Pah, telefonnya berbunyi. Ada SMS.
“Weh, Rania ada kat sinilah. Dia tinggal hotel ni jugak. Dia ajak kita lepak bilik dia,” beritahu Pah dengan penuh semangat. Rania dan Pah berkawan baik sejak di Universiti lagi. Aku berkenalan dengan Rania apabila dia beberapa kali makan tengah hari bersama kami. Memang ‘havoc’ orangnya.
“Takpe, kau naiklah dulu. Aku nak habiskan gosok baju lagi sehelai,” ujarku. Memang tabiatku untuk menggosok semua baju kerja pada malam pertama di hotel. Senang. Lagipun, saja aku bagi peluang dua minah ni bersembang. Jejak kasih.
Pah bersiap dan pun keluar dengan riang ke lobi lif. Bilik Rania cuma dua tingkat di atas aras kami. Seusai menggosok dan menyangkut baju di dalam almari, tiba-tiba ‘Tup’. Gelap-gelita. Aku teraba-raba dalam gelap cuba mencari telefon bimbitku di atas katil. Dengan cahaya samar telefon bimbit aku lihat keadaan sekeliling dan luar tingkap. Seluruh bandar bergelap, bukan hotel ini sahaja.
‘Hah, sudah. Ada emergency ke ape ni?’ Aku mengambil keputusan untuk menjenguk ke luar bilik. Kosong dan sepi tetapi lebih terang daripada dalam bilik kerana dilimpahi cahaya hijau menunjukkan arahan ‘KELUAR’. Baru sahaja aku menutup pintu bilik, telefonku berbunyi.
“Weh, naiklah atas. Buat apa sorang-sorang dalam gelap tu…” kata Pah, berlagu.
“Cahaya, naiklah sini. Dah lama aku tak jumpa kau. Hihihihi,” suara Rania kendengaran di latar.
“Macam mana aku nak naik, kan ke black out ni.” Apelah minah dua orang ni, semua benda pun kelakar.
“Alah, kau cubalah lif tu. Mana tau boleh,” pujuk Pah.
“Yelah, yelah.” Aku menyarung tudung ala kadar dan bergegas ke lobi lif. Terasa jauh sangat pula jarak bilik dan lif dalam keadaan gelap begini. Bilik kami terletak di hujung, tetapi boleh dilihat daripada lobi lif.
‘Kenapa kau ni lurus bendul sangatkan, dah takde elektrik macam mana lif nak gerak,’ aku mengutuk diri sendiri bila melihatkan tiada tanda-tanda lif berfungsi.
Lagu Yuna berkumandang, Pah menelefonku lagi. “Bilanya nak naik ni, cepatlah sikit,” katanya.
“Lif tak jalan la,” panas pulak rasa hati dengan orang tak faham bahasa ni.
“Naikla tangga, Cahaya,” kedengaran cadangan Rania.
“Okay, okay,” aku matikan telefon dan berlari masuk bilik. Naik tangga gelap-gelap macam ni? Tidaklah terdesak sangat aku nak melepak dengan kau, Rania. Maaflah. Aku sanggup tunggu dalam gelap sorang-sorang, main game di telefon lagi seronok.
Sedang aku ralit main game ular, bilik bercahaya semula. Alhamdulillah.
Tidak lama kemudian, Pah pun kembali ke bilik, katanya, “Nasib baik kau tak sempat naik tadi, Cahaya. Kalau tak, silap-silap tersekat dengan blackout tadi. Aku pun sipi-sipi je.”
Buntang mataku melihat Pah. Dah tu, kalau bukan kau, siapa pulak yang beria suruh aku naik tadi?
Sayu dan mendayu
Aku memang seronok kalau ditugaskan ke Kuala Lumpur. Pilihan hotelnya tentulah tip-top, terutamanya kalau di pusat bandar. Lebih seronok lagi bila ditugaskan bersama Rara yang sekepala denganku, suka tengak wayang ‘midnight’ — filem ‘Thor’.
Sekembalinya daripada menonton wayang, aku dan Rara berehat sebentar sebelum membersihkan diri. Aku sedang ‘bercuti’ jadi aku beri laluan kepada Rara untuk mandi dahulu. Rara bersolat dan kemudian tidur terus. Aku keluar daripada bilik air dan melihat dia sudah sedap berdengkur. Mataku masih segar lagi. Jadi, aku duduk bersandar di kepala katil sambil membaca novel Joe Abercrombie yang baru ku beli tadi. Katilku terletak berdekatan dengan jendela. Di bawah jendela tersebut ada ‘loveseat’ berwarna merah garang. Memang cantik penataan hotel ini. Comel.
Setelah beberapa lama membaca, mataku terasa pedih pula. Aku tertoleh ke belah kiri. ‘Eh, bila pulak Ben tidur di sini? Confirm mimpi ni’, fikirku. Ye lah, macam mana pulak adikku Ben tidur sebilik dengan kami? Tak manis betul. Lagipun, apa pula dia buat di sini.
Di hujung mata, aku ternampak langsir terbuai-buai bagai di tiup angin, memang tidak logik. Kalau bangunan tinggi macam hotel ini, memang tiada tingkap yang boleh dibuka. Bahaya.
Tiba-tiba, daripada belakang langsir, keluar seorang wanita dengan ‘dress’ merah darah tanpa lengan, menyeringai dan cuba mencekik Ben.
“Hoi, jangan kacau adik aku!” jerkahku kepada wanita itu. ‘Alamak, dia perasan…’ itu sahaja yang sempat aku fikir sebelum wanita tersebut menerpa dan mencekikku. Begitu dekat mukanya, dengan matanya yang merah dan buntang, giginya tajam, mulut menyeringai, kulit pucat kehijauan. Sungguh mengerikan. Sempat aku terfikir…’Macam vampire’.
Wanita tersebut bagaikan boleh membaca fikiranku dan mencengkamkan jemarinya lebih kuat lagi. Semakin sukar untukku bernafas. Ku jelling ke kanan, Rara masih sedap tidur, siap berkelubung dalam selimut. Aku cuba sedaya upaya menolak wanita itu daripadaku sambil membaca Ayatul Kursi berulang kali dalam hati. Akhirnya cengkamannya terasa semakin lemah dan aku tersedar dalam keadaan kedua belah tangan ku lurus ke depan ibarat menahan sesuatu.
“Allahu Akhbar!” tempikku sambil tersedak-sedak. Perit sungguh rasa tekak sehingga mengalir air mata. Aku berpeluh-peluh dalam kedinginan bilik hotel. Rara masih tidur lagi! Hampeh betul.
‘Uuuuu uuuuuu uuuu,’ terdengar suara tangisan mengongoi mendayu-dayu. ‘Bala apa pulak ni…,’ tersejat segala peluh. Sekarang aku sudah meremang-remang. Aku pandang sekeliling, tiada orang. Aku goyangkan badan Rara sambil berbisik,”Ra, bangun. Bangun”. Tangisan tersebut semain kuat, macam dalam selimut Rara. Rara ke tu?
Papp. Aku hempukkan bantal kepala ke badan Rara. Puas hatiku. Aku takut sorang-sorang, kau tidur bukan main sedap. Rara terkejut, buntang matanya merenungku. Ye lah, siapa yang tak marah kena kejut macam tu kan? Sebelum sempat dia membebel, aku membebel dulu, “Kau berhenti menangis macam tu boleh?”
Berkerut muka Rara melihatku, kemudian dia tidur kembali. Apa-apalah, yang penting bunyi tangisan itu berhenti!
#Boleh_adik_ikut?
Seronok betul aku kali ini kerana kebanyakan hotel di Kuala Lumpur penuh, jadi aku diletakkan di sebuah hotel berprestij, yang terletak di tengah-tengah KL. Hotel ini terletak dekat dengan sebuah pasaraya terkemuka. Kali ini, aku ditugaskan seorang diri, jadi, aku membuat temu janji dengan rakan lamaku yang menetap di KL. Macam biasa, kami pergi menonton wayang ‘midnight’, kali ini genre seram.
Untuk balik ke hotel, aku perlu melalui sebuah taman yang agak luas. Aku memujuk rakanku Mila untuk berjalan denganku melalui taman tersebut. Bahaya pula jalan seorang diri, lagipun aku baru terasa risau yang aku sedang ‘cuti’. Tu lah, bila nak berjimba tak fikir panjang. “Naiklah teksi daripada hotel,” pujukku. Kalau ikutkan Mila merancang untuk mengambil teksi berdekatan pasaraya tersebut sahaja. Nasib baik Mila termakan pujukanku. Maka, kami pun berjalan menyusuri taman, mengambil angin malam.
Usai bersalaman dengan Mila dan memastikan dia naik teksi dengan selamat, aku pun naik ke bilik. Aku membersihkan diri dan mengemas beg baju. Jadual penerbanganku pada waktu pagi dan aku perlu bertolak daripada hotel dalam pukul 6 pagi. Untuk mengelakkan ada barang yang tertinggal, begku aku letakkan di tepi pintu siap-siap.
Tidak begitu lama tertidur, aku tersedar dan terlihat sebentuk hitam di atas sofa yang terletak di sebelah katilku. ‘Ada beg atas sofa? Bukan ke semua aku dah letak tepi pintu? Esoklah tengok’ fikirku sambil mengubah kedudukan tidurku, mengiring ke arah bertentangan.
“Uh,” itu sahaja bunyi yang terdaya aku keluarkan bila aku terasa dua cengkaman di lengan kananku. Cengkaman tersebut kuat, tajam dan terasa berbulu. Tidak sempat aku berbuat apa-apa, tangan yang mencengkam tersebut mengoyangkan badanku. Mula-mula perlahan, tetapi makin lama makin laju, sehingga bergegar katil. Bacaanku pun semakin lama semakin berterabur. Cengkamannya semakin menyakitkan. Geram pula rasanya.
Aku cuba menenangkan diri dan mengulang bacaan Ayatul Kursi, Al-Fatihah, 3 Qul, apa sahaja yang aku teringat sehingga cengkamannya lemah dan hilang. Aku terus duduk dan menenangkan diri sehingga azan Subuh berkumandang. Dengan kaki yang lemah dan tangan yang menggigil, aku bersiap-siap dan turun ke bawah untuk menaiki teksi yang telah kutempah awal lagi.
—
“Cik, nak makan apa?”
“Mmnggg,” aku geleng kepala.
“Nak air? Oren? Epal?”
“Tak mau”
“Kacang?”
“Terima kasih. Tapi saya nak tido sangat,” ujarku dalam keadaan yang agak mamai kerana tidak cukup tidur.
Pramugari yang baik hati tu pun berlalu pergi, meninggalkanku dengan lenaku.
—
Nota: Sepanjang aku bertugas di serata Malaysia, macam pengalaman telah kutempuhi. Semua itu menjadi pengajaran. Menjadi kebiasaanku sekarang jika menginap di hotel, terutamanya jika keseorangan, jangan tinggal solat, jangan lupa mengaji, bawa mp3 Qur’an dalam computer riba dan telefon, dan bawa ‘mask’ mata untuk tidur. Tidak lupa juga, sekiranya anda jenis yang membiarkan TV terbuka, pastikan siaran yang bukan hiburan seperti HBO, Cinemax, MTV, Foxmovies, dan sebagainya. Yang paling baik, buka ESPN, BBC atau NHK. Sebabnya kurang kebarangkalian anda terbangun dan iklan atau cerita JuOn atau The Ring terpampang di depan mata.
Sekian.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
huhu stand by smua tu klu kmna2 trutama surah yasin