Kisah Si Rabun: Siapakah Mereka Itu?

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera kepada admin dan para pembaca FS. Berikut aku kongsikan #KisahSiRabun siri kedua. Terima kasih kepada admin kerana sudi menyiarkan perkongsian ini. Kali ini, draf kusimpan di dalam PC dan cloud, untuk mengelakkan kejadian dahulu berulang kembali.

Kali ini, aku ingin berkongsikan pengalaman di rumah yang dibeli ibu, masih di negeri dan daerah yang sama. Rumah kami merupakan sebahagian daripada sebuah perumahan kecil yang terletak dalam sebuah kampung, lebih kurang 2 kilometer daripada hospital tempat ibu bekerja. Kampung ini pula mengelilingi sebuah bukit yang puncak dan lerengnya didirikan banglo kolonial British dan kawasan perumahan kecil yang kami duduki.

Aku memang menggemari suasana kampung ini, terutamanya selepas hujan. Konon-konon bagaikan di Eropah. Sekeliling lereng bukit ini juga menempatkan kawasan perkuburan Islam, sekolah, sebuah masjid lama yang berumur hampir 300 tahun dan beberapa jirat Cina lama yang tidak diketahui tuannya. Menurut ibu, kawasan bukit ini dahulu merupakan antara kawasan tentera Jepun menjalankan operasi memenggal kepala orang, terutamanya yang berbangsa Cina. Akan tetapi, tidak pasti di mana lokasi sebenar tempat pemenggalan tersebut.

Rumah ini telah terbengkalai lebih kurang 5 tahun sebelum mendapat perakuan kelayakan (CF) untuk diduduki pada tahun 1995. Kebetulan pula, kami memang harus keluar daripada rumah kuarters hospital. Memang tepat pada masanya. Ketika ini aku sudah berada dalam tingkatan 1 di sebuah sekolah berasrama penuh. Aku akan balik ke rumah pada waktu cuti sekolah. Memandangkan sekolahku pun tidak jauh daripada rumah, kalau boleh, hujung minggu pun aku akan usahakan balik ke rumah juga. Homesick. Tambahan pula, adikku yang bongsu, Murni baru menjangkau umur setahun. Aku selalu rindu mahu melihat keletahnya. Ayah pula masih lagi balik di hujung minggu. Kali ini, kerana dia bekerja di Kuala Lumpur pula dan keadaan ini berterusan sehingga umurku 17 tahun.

ADIKKU MURNI

Pada waktu ini, adik-adikku Ben, 11 tahun dan Amy, 10 tahun suka berbasikal bersama ke sana ke mari. Maka, ibuku memberi tugasan kepada mereka untuk menjemput Murni daripada rumah pengasuh sekiranya ibu bekerja syif petang. Madu, ketika itu berumur 5 tahun bersekolah tadika dan pergi bersama-sama anak jiran. Rumah pengasuh Murni, terletak di seberang jalan besar dan berdekatan dengan sungai.

Ada dua jalan untuk ke sana — satu jalan kereta yang agak jauh, satu lagi jalan pintas yang boleh dilalui pejalan kaki atau dengan basikal. Ben dan Amy selalu memilih jalan pintas. Masalahnya, jalan ini menempuhi semak samun, pokok-pokok besar dan rendang serta sebuah jirat Cina lama yang berlumut. Jadi, ibu selalu memesan kepada mereka berdua untuk mengambil adik sebelum pukul 7 petang, sekiranya mereka ingin melalui jalan pintas tersebut.

Musim cuti sekolah baru bermula. Oleh itu, pada petang Jumaat selepas sekolah, aku terus pulang ke rumah dengan menaiki bas. Ben dan Amy juga sudah berada di rumah dan sibuk mahu keluar bermain. Hari itu, ibu sedang bekerja syif petang dan masih di tempat kerja. Sedang aku berehat-rehat, telefon rumah berdering. Ibu memberitahu yang besar kemungkinan dia terpaksa menyambung ke syif malam pula. “Kes terlampau banyak dan wad tidak cukup kakitangan,” kata ibu.

Jadi, aku perlu menjaga adik-adikku malam itu dan ibu juga meminta supaya aku mengingatkan Ben dan Amy untuk mengambil Murni sebelum pukul 7 petang. Aku menjeling jam di dinding, ‘Alamak, sudah 6.30!’. Setelah mengucapkan salam kepada ibu, aku terus mencari Ben dan Amy yang tadinya bermain-main diluar rumah.

Melilau aku mencari mereka berdua. Akhirnya, aku terperasan mereka sedang cuba menyeberang jalan dengan basikal, menuju ke arah gelanggang sepak takraw yang ketika itu penuh dengan budak-budak kampung. Cepat-cepat aku berlari ke pinggir bukit dan menjerit ke arah mereka untuk mengingatkan mereka tentang Murni. Terpaksalah aku menjerit, nak berlari takut tak sempat sampai. Mereka mengangguk dan terus menukar arah ke arah rumah pengasuh Murni. Terbantut hasrat mereka untuk menyibuk di gelanggang dek jeritanku, kakak mereka yang garang.

Ibu juga selalu mengingatkan kami untuk masuk rumah sebelum Maghrib, lebih-lebih lagi jika bersama dengan adik Madu atau Murni. Maka tidak hairanlah jika Ben dan Amy memilih jalan pintas untuk pulang ke rumah. Apa-apa pun aku lega melihatkan mereka bertiga tiba di pintu pagar sebelum Maghrib. Madu pun telah kujemput daripada rumah jiran yang tinggal dalam kawasan perumahan kami. Selepas makan malam, kami semua menonton TV sebentar sehingga waktu tidur, lebih kurang 12 malam. Setelah menidurkan Madu dan memastikan Ben dan Amy betul-betul tidur, aku pun mendukung Murni masuk ke bilik ibubapa kami. Ayah akan balik esok paginya. Jadi, malam itu aku akan tidur dengan Murni.

Aku letakkan Murni di atas katil dan baring disebelahnya. Selalunya, jika aku menidurkan Murni, akan kutepuk punggungnya sambil menyanyi perlahan-lahan — zikir, nasyid, lagu pop, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu — apa-apa saja asalkan dia tidur. Siap ada buku lirik. Tetapi, malam itu tidak seperti selalu. Murni asyik menangis sambil memandang ke atas almari ibu.

Tangisannya semakin lama semakin kuat. Matanya buntang, mukanya merah kadang-kadang berona ungu. Aku jadi kelam-kabut dan cuba membaca Ayatul Kursi, tapi tunggang-langgang. ‘Tolonglah jangan nampak,’ doaku dalam hati. Macam-macam imej terlintas dalam fikiranku ketika itu. Kau orang ingat filem The Conjuring yang pertama? Ada makhluk atas almari, kan? Waktu itu, The Conjuring belum wujud. Tetapi, lebih kurang macam itulah aku terbayang pada waktu itu. Otakku cuba menakutkan diri sendiri.

Setelah beberapa kali cuba membaca Ayatul Kursi, barulah teratur bacaanku. Tangisan Murni pun semakin perlahan. Aku alihkan kedudukannya supaya tidak lagi memandang almari dan memeluk tubuh kecilnya.

Sangkaku, semuanya sudah kembali normal. Namun, aku silap. Hampir sahaja aku terlena, tangisan Murni memuncak kembali. Hatiku berdegup kencang bila melihatkan Murni sudah terpusing sekali lagi menghadap almari dan matanya kembali melihat ke atas almari. Kurenung atas almari, tetapi tidak nampak apa-apa. Tiba-tiba, hatiku jadi marah dengan apa-apa pun yang mengganggu Murni malam itu, melebihi rasa takut. Tidak pernah aku lihat anak kecil menangis hingga begini. Aku takut rosak kotak suaranya. Tambahan pula, aku sebenarnya terlampau letih dan sangat mahu tidur.

Bila aku membaca ayat-ayat suci, Murni akan diam dan akan kembali menangis setelah aku berhenti membaca. Jadinya, aku membaca segala ayat-ayat Qur’an yang aku hafal, hingga ke Subuh. Apabila azan Subuh berkumandang masuk ke serata rumah, barulah Murni betul-betul senyap dan boleh tidur nyenyak. Aku sendiri sudah rasa hendak pengsan. Pagi itu, apabila ayah balik, aku mengadu kepadanya. Kata ayah, “Memang kita belum buat kenduri doa selamat. Kita buat minggu ni.” Ben dan Amy pun berjanji tidak akan melalui jalan pintas sekiranya mereka membawa Murni.
Selepas kenduri doa selamat, tiada lagi gangguan terjadi kepada Murni. Tetapi, masih ada gangguan lain.

JOM TENGOK TV

Kadang kala, aku suka membawa balik rakan-rakan sekolahku semasa cuti sekolah. Maklumlah, sekolah asrama, pasti ada yang duduk berjauhan dengan keluarga. Kasihan pula kalau dibiarkan duduk di asrama yang sunyi sepi. Waktu itu, Didi dan Seri mengikutku balik ke rumah. Didi orang Sabah, manakala Seri orang Johor. Biasalah budak-budak asrama, kalau dah berkumpul tu mulalah bergosip, bersembang sampai lupa waktu tidur.

Malam itu, semua ahli keluargaku sudah masuk tidur. Kami yang terakhir sekali masuk ke bilikku, yang terletak di tengah rumah, bersebelahan dengan bilik ibubapaku. Bunyi daripada ruang tamu memang boleh didengari dalam bilikku ini, melalui pintu atau tingkap bilik. Memang sengaja ayah membuatkan tingkap untuk bilikku walaupun menghadap ke dalam rumah kerana tanpa tingkap tersebut bilikku akan jadi gelap seperti dalam gua.

Sedang kami berborak di atas katil, tiba-tiba aku terdengar bunyi TV dibuka. Macam cerita koboi, ada bunyi tembak-tembak. Aku biarkan sahaja dan teruskan berborak. Tidak lama kemudian, Didi bersuara,

“Dari tadi aku dengar bunyi TV. Siapa yang tengok TV tu, adik kau ka? Mari kita join dia.”
“Tak payah. Kita borak dalam bilik ni lagi best,” ujarku, tidak mahu mengambil endah cadangan Didi.
“Alaa…macam cerita koboi ja tu. Aku mau tinguk. Marilah…,” Didi menarik tangan Seri, mengajaknya keluar bersama.
“Tak payahlah, degil,” tegasku lagi.
“Aku nak tengok jugak!” kata Seri, “Jomlah Cahaya, kau taknak join ke?”
‘Hish, lantak koranglah,’ fikirku. “Takpe, korang pergilah, aku nak lepak dalam bilik,” kataku.
Mereka pun keluar dalam keadaan teruja. TV je pun. Tapi, fahamilah penghuni asrama selalunya memang jarang benar dapat tengok TV.

Tidak sampai beberapa saat mereka keluar daripada bilik, Didi dan Seri bertempiaran lari masuk ke bilik. Pintu dibiar terbuka. Jadi, aku pergi untuk menutup pintu sambil menjenguk ke ruang tamu. Gelap gelita. Pekat.

“Kenapa lari masuk dalam ni?” tanyaku kepada Didi dan Seri, sambil mengunci pintu.
Didi sudah pucat tak terkata, Seri berbisik, “Takde orang pun…”

Ya, memang aku sudah agak tiada sesiapa di ruang tamu, sebab aku sudah kena banyak kali. Tetapi, kalau orang degil sangat kita biar dia kena sekali.

Kejamkah aku?

MAIN TIUP-TIUP

Sedikit latar belakang tentang ibuku. Ibuku ini, kalau dilihat secara luaran mungkin nampak macam jenis tak melawan sebab dia tak banyak cakap. Tetapi, sebenarnya pada aku, dia wanita hati besi. Kalau tidak, masakan dia boleh membesarkan kami seorang diri berjauhan dengan ayah. Dalam perjuangan seorang ibu untuk anak-anak, akan ditempuhnya perkara yang selama ini takut ditempuhi.

Dalam kes ibuku, apabila kami berpindah ke rumah sendiri yang agak jauh daripada hospital, agak sukar untuk dia pergi bekerja. Pengunaan bas awam tidak sesuai untuk jadual waktu syifnya, manakala kereta lama ayah pula selalu rosak. Jadi, ibu memilih untuk berjalan kaki pergi dan balik daripada tempat kerja.

Maksudnya, ibu perlu menempuh jalan terletaknya banglo-banglo lama, kawasan perkuburan Islam dan jirat Cina, tidak kira sama ada untuk syif pagi, petang atau malam. Walaupun ada cerita orang kampung ternampak ‘amoi’ berbaju merah bertenggek atas tiang lampu, ibu jalan juga.
“Jalanlah cepat-cepat, jangan pandang atas,” kata ibu. Nampak tak hati kering ibuku macam mana

Pada suatu hujung minggu, ketika aku dalam tingkatan 3, ibu mengajakku untuk menolong persiapan kenduri salah seorang orang kampung kami. Rumahnya terletak berdekatan dengan rumah pengasuh Murni. “Apa kata Cahaya duduk rumah jaga adik je, bu. Nanti mesti ayah nak pergi jugak. Siapa nak jaga adik,” cadangku.

Sebenarnya, aku malas nak bercampur orang. Waktu ini, aku memang seorang yang agak antisosial. Ibubapaku bersetuju. Maka, bermaharajalelalah kami adik beradik di rumah malam itu. Lebih kurang pukul 11 malam, ayah balik seorang diri. “Ibu awak masih nak teruskan kerjanya,” kata ayah. Ayah menyertai kami menonton TV. Pintu gelangsar dibiarkan terbuka luas. Malam itu terasa damai.

Pum! Pang!

Hampir pukul 1 pagi, terdengar pagar dibuka dan dihempas keras. Kemudian, gril dan pintu gelangsar ditutup kasar. Bergegar. Ibu terkocoh-kocoh masuk ke rumah, mukanya pucat lesi. Kami tercengang beramai-ramai melihat ibu. Mata ibu bulat memandang kami, kemudian laju melangkah ke dapur. Aku dan ayah berpandangan sesama sendiri lalu menurut ibu ke dapur. Ibu sedang membancuh Nescafe — minuman ketenangan dan ketika berfikir untuk ibu.

Ibu menghirup Nescafe panas tersebut, lalu memandang ayah. “Tadi, kite tengah tolong potong-potong bawang depan rumah Midah. Ramai orang ade situ masa tu. Tiba-tiba, pokok besar seberang jalan tu bergoncang. Kuat. Mula-mula, semua orang buat tak tahu, ingatkan beruk. Lepas tu, pokok tu bergoncang lagi, siap ada bunyik mengilai. Berterabur semua lari. Heh…” Terang ibu, tangannya masih menggigil ketika memegang koleh kopi.

Jauh juga ibu berlari sampai ke rumah, kenapa tak duduk saja di rumah makcik Midah sampai siang, atau telefon ayah untuk jemput? Kalau dah terlampau terkejut, memang tak boleh nak fikir panjang lagi.

Rupa-rupanya, sepanjang ketiadaanku, sudah beberapa lama kampungku ini semacam ada gangguan kak Lang. Jiran di belakang rumahku, makcik Juli pernah mendengar suara perempuan menangis sendu, di antara rumah kami. Belakang rumah kami saling berhadapan. Lebih spesifik lagi, bunyi tersebut datang daripada kawasan luar tingkap bilik Ben dan Amy yang juga berada di belakang. Patutlah, budak dua orang tu tidak mahu tidur di bilik sendiri. Aku yang kena tidur di bilik mereka. Kacau betul.

Sebenarnya, boleh saja kalau mahu tidur berlonggok malam itu. Tapi, macam aku katakan tadi waktu itu aku antisosial. Tidur pun mahu seorang diri. Maka, tidurlah aku di bilik belakang, dengan lampu yang terang-benderang, sebab aku takut juga sebenarnya. Tetapi, kupujuk hati dengan logik bahawa tangisan tersebut di luar rumah. Asal tak kacau aku, sudah. Sanggupkan aku?

Pintu bilik telah kukunci seperti lazimnya. Katil terletak betul-betul sebalik dinding sebelah pintu. Dalam keadaan seriau dan silau itu, akhirnya aku tertidur juga. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi hembusan “Fuuuuuuhhhh,” betul-betul lubang telinga. Cuping telingaku terasa panas. Aku yang sedang mamai cuba tidur kembali.

“Fuuuuuhhhh. Bangun Subuh!” suara seorang lelaki dewasa, mengejutkanku. Aku terus terduduk. Pening rasanya bangun tersedar sebegitu.

Perkara pertama yang aku fikir, ‘Nak kena sekeh adik aku ni. Cuba nak takutkan aku. Tapi, pintukan berkunci. Macam mana pulak dia masuk. Tak dengar apa-apa pun.’
Perkara kedua, ‘Kenapa suara lelaki? Kak Lang tu bukan betina ke?’
Perkara ketiga, ‘Subuh ape macam ni baru pukul 3 lebih.’
Perkara keempat, ‘Aku bukannya boleh solat pun. Kak Bulan datang.’

Heh, aku celaru. “Aku tak boleh solatla weh,” ujarku dengan suara yang agak tinggi. ‘Kenapalah pulak aku mesti cakap macam ni,’ fikirku, ‘Nasib takde yang menyahut.’

Esok paginya, aku bertanya kepada ahli keluargaku jika adanya yang mengejutku pagi-pagi tadi. Tiada siapa yang mengaku. “Tak kuasa nak kejut kau pagi buta macam tu. Baik tido,” ujar ibuku tanpa rasa simpati.

Sekarang, kampungku ini sudah agak maju. Kawasan-kawasan yang dahulunya semak, berhutan dan gelap sudah banyak dibersihkan. Penempatan manusia semakin banyak dibina. Anjing liar, beruk, waima buaya sekalipun yang dulunya wujud di kampungku juga sudah jarang kedengaran kemunculannya. Mungkin impak daripada urbanisasi kawasan sekeliling.

Nota: Terima kasih sekali lagi kepada para pembaca terutamanya yang sudi memberikan komen. ‘Aku Sebatang Pen’ ya…tergelak aku baca. Cerita Pen tu selalunya berakhir dengan ‘Maka, berakhirlah riwayat hidupku sebagai sebatang pen.’ Sedih sungguh. Melankolik gamaknya bunyi penulisanku. Aku memang teringin nak mengeluarkan novel, tapi novel macam mana yang pembaca suka ya, suara orang pertama atau ketiga? Buku fizikal atau eBook? Sempatkan aku?

.

Cahaya
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

7 comments

  1. kalo nk tulis novel dgn gabungan first person dgn 3rd person pun ok..cer baca novel “rosmoh perempuan puaka” sbg reference..citer psl hantu kum2.best jgk

  2. Kalau aku jd si cahaya ni.. Idak lerrr nak menjawab bagai.. Terus lari keluar bilik.. Kang kalau aku kena balun dlm blik dgn pintu kunci tak ke naya ekk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.