KISAH WAD BERSALIN

Salam sejahtera…

Kisah ini berlaku pada akhir November 2009. Waktu itu, saya baru sahaja bangkit daripada satu kehilangan besar keguguran anak pertama. Luka tu belum sempat sembuh sepenuhnya, tapi saya disahkan mengandung lagi untuk kali kedua.

Masa dapat tahu berita itu… saya tak tahu nak rasa apa. Gembira? Takut? Sedih? Sunyi? Mungkin semuanya sekali.

Tapi yang paling saya tak sangka… berita kehamilan tu disambut dengan wajah kosong. Bisu. Dingin. Dari keluarga mentua. Dari suami sendiri. Bukan pelukan, bukan kata-kata semangat… saya cuma diberi satu amaran:

“Jangan bagitahu family kau kat Melaka.”

Saya telan saja semua tu. Diam. Sebab saya dah letih. Letih nak melawan. Letih nak pujuk hati sendiri. Tapi saya nekad satu benda kandungan ni saya akan jaga sebaik mungkin. Sebab dialah satu-satunya harapan dan pengikat antara aku dan dia.

Tapi hanya Tuhan saja tahu betapa susahnya perjalanan tu.

Morning sickness kali ni jauh lebih teruk dari yang pertama. Saya muntah sampai lembik. Tapi suami… makin hari makin jauh. Dia pandang saya macam saya ni beban. Bila saya pandang mata dia, saya rasa kosong. Dingin tu bukan sejuk biasa… tapi sejuk yang buat hati saya beku.

Bapa mentua pula tiba-tiba naik angin bila nampak saya guna mesin basuh. Katanya saya malas. Dia suruh mak mentua sampaikan pesanan:

“Basuh baju cara lama. Guna tangan. Cuci, bilas, perah, sidai.”

Saya ikut. Walaupun perut makin membesar. Lutut dah longgar. Tapi saya buat juga… satu sebab je demi keluarga saya di Melaka.

Satu malam, saya balik dari kerja syif petang. Badan dah penat sangat. Sampai depan rumah, saya tengok gate berkunci dari dalam. Saya call suami. Tak angkat. Berkali-kali cuba. Masih tak dijawab.

Setelah berkali-kali aku cuba hubungi dia, akhirnya suami aku jawab juga panggilan. Tapi suaranya dingin dan menyakitkan.

“Kalau sekali dua kali aku tak jawab, maksudnya aku sibuk la, bebal!”

Aku telan kata-kata itu perlahan. Aku jawab dengan suara yang hampir tak kedengaran,

“Abang… saya dah sampai… tapi gate kunci…”

Waktu tu, hanya aku yang tahu betapa luluhnya hati. Pedih. Sakit. Jawapan dari seorang yang bergelar suami langsung tak ada belas kasihan

“Awak duduk kat luar tu pun bukannya hantu nak datang!”

Dan tiba-tiba… klik. Talian diputuskan.

Beberapa minit kemudian, mak mentua buka pintu. Wajahnya manis, senyuman penuh keramahan.

“Dah balik? Maafkan mak ya, tadi mak tengah menjahit. Tak dengar awak sampai.”

Aku hanya mampu senyum hambar. Hati terlalu letih nak jawab apa-apa. Aku melangkah masuk, menahan segala rasa yang bercampur baur.
Suami aku duduk di ruang tamu bersama bapa dia. Aku harap sangat dia akan pandang aku… walau sekejap. Tapi tidak. Wajahnya masam. Matanya tak beralih dari skrin TV. Aku beransur nak naik ke bilik… tapi mak mentua panggil,

“Renu, makan la dulu. Awak mesti penat. Mak masak sambal ayam, kegemaran awak kan?”

Mulanya aku memang tak lalu. Perut mual. Tapi… sambal ayam tu pernah jadi makanan kegemaran aku.

Aku duduk juga. Dia ambilkan pinggan, suapkan nasi, cedokkan sambal ayam. Duduk teman aku makan. Berbual lembut, seolah-olah tiada apa-apa yang pernah berlaku.

Tapi hanya beberapa minit selepas aku habis makan dan bangun cuci pinggan, aku rasa ada cecair hangat mengalir dari celah paha.

Aku kaku.

Risau.

Terus aku naik ke bilik dan masuk ke tandas. Bila periksa… darah. Ya Tuhanku… darah.

Aku mula menangis. Teresak. Hati aku menjerit ketakutan. Apa lagi dugaan yang Tuhan turunkan pada aku kali ini?

Aku turun semula ke bawah, suara aku bergetar,
“Abang… ikut saya pergi hospital. Saya tak tahu kenapa ada darah. Tolong…”
Tapi dia diam. Kaku. Seolah-olah tak dengar apa-apa.
Aku ulang sekali lagi, kali ini suara lebih tegas.
“Abang, please… saya risau…”

Dan masa tu… mak mentua aku yang tadi baik, bertukar wajah.
“You boleh naik atas tak? Anak I tengah berehat pun you nak susahkan? Ke laknat??!”
Aku terkedu. Terlalu pantas semuanya berubah. Tadi dia yang suapkan nasi ke pinggan aku.
Aku dah hilang sabar.
“Abang… you tak nak ikut takpe. Saya boleh drive sendiri ke hospital. Tapi esok, you jawab kat parents saya.”
Saat tu, bapa mentua aku bersuara sinis, tapi ada sedikit tanggungjawab yang aku tak nampak dari anak dia.

“Dev, pergi lah. Nanti dia mati tengah jalan, siapa yang susah? Bawa dia.”
Kami bergegas ke hospital berdekatan untuk jumpa pakar sakit puan. Selepas imbasan dibuat, doktor sahkan…
Saya mengalami keguguran untuk kali kedua. Doktor kata, nasib baik datang awal. Kandungan dah gugur dua minggu, kalau lambat… mungkin boleh jadi jangkitan dalaman.

Kemudian, suami bawa saya ke hospital kerajaan. Semua proses pendaftaran diselesaikan. Akhirnya, saya dibawa ke bilik bersalin.
Tapi bukan untuk melahirkan bayi yang dinanti. Tapi untuk melepaskan anak yang tak sempat merasa dunia.

Wad bersalin itu… sunyinya luar biasa.
Cahaya malap dari siling jatuh lemah ke lantai, memantul samar pada jubin putih yang sudah kusam. Dalam bilik itu, lebih kurang tiga puluh katil berderet tapi hanya beberapa yang dihuni.

Saya ditempatkan di katil nombor dua. Kakak di katil pertama diam saja sejak tadi. Mungkin dah tidur, atau mungkin juga… hanya diam, seperti saya.

Langsir putih memisahkan setiap katil. Lampu hanya menyala di katil yang ada pesakit. Bermula dari katil ketiga dan ke belakang semuanya gelap.
Hitam, sunyi, seperti tiada sesiapa pernah wujud di sana.

Saya baring memandang siling. Mata terbuka, tapi fikiran entah ke mana. Cahaya lampu di atas saya berkelip perlahan. Sejuknya malam menembus selimut nipis. Suara nurse di kaunter sudah hilang entah bila. Cuma tinggal satu suara… seorang jururawat yang sedang bercakap di telefon. Itu saja bunyi dunia malam itu.

Tiba-tiba…

Langsir di sebelah saya mula bergerak.

Perlahan. Seolah-olah disentuh dari bawah.
Saya pandang tanpa berkelip. Nafas saya mula berat.
Langsir itu terangkat sedikit.
Bukan sepenuhnya cukup untuk saya nampak ruang kosong di bawahnya
Jantung saya berdegup makin laju.
Saya tunggu tanpa tahu apa yang saya tunggu. Mungkin nurse. Mungkin angin. Tapi udara malam itu terlalu berat untuk angin. Terlalu senyap untuk manusia.
Dan kemudian… saya dengar bisikan.
Lembut. Sangat halus. Seolah datang dari arah tirai.

“Nak I masuk… keh…”
Bisikan itu tak jelas. Tapi cukup dekat. Terlalu dekat.
Dada saya makin sesak. Saya cuba gerakkan tangan — tapi jari saya tak mahu bangun. Badan saya seolah terperangkap antara sedar dan tidak.
Saya takut. Tapi saya juga letih. Terlalu letih.
Saya pejam mata. Dalam hati saya ulang ayat-ayat suci yang saya hafal sejak kecil. Berulang. Dan berulang. Menahan air mata yang mula tumpah.

Bila saya buka mata semula…

Langsir itu tak bergerak lagi.
Tiada suara. Tiada bayang. Tiada apa-apa.
Tapi saya tahu perasaan itu masih ada.
Rasa diperhati. Rasa tak selamat. Rasa seperti malam itu… bukan hanya tentang keguguran anak. Tapi kehilangan diri saya sendiri.

Prosedur mengeluarkan janin yang digugur berjalan seperti biasa. Apa yang i sedar selepas itu, antara i dan Tuhan.
Sekian terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

JOTHI

3 thoughts on “KISAH WAD BERSALIN”

  1. Walaupun tak de cerita hantu, Tapi saya sedih baca cerita ni.
    Kuat semangat ya awak!!
    Please bagi tahu keluarga awak..jangan sebab nak jaga muka suami dn keluarga dia awak merana…

    Reply
  2. assalamualaikum, ni kisah benar ke kak? kalau benar, Allahu 🙁 akak macam mana sekarang? jaga diri, kuatkan iman, moga akak dikurniakan Syurga tanpa hisab aamiin

    Reply
  3. tak nak cerai ke kalau dah begitu diperlakukan. kenapa tak pulang kepada keluarga. kenapa nak ikut ckp klrga lelaki. sayangilah diri kak, pulang la ke pangkuan keluarga. lagi pn hairan juga kenapa ada darah lepas makan mknn mentua. lpsu tiba2 muka manis. pelik la kak

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.