Kisah Yunus & Aku – Pengawal Keselamatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebenarnya kisah Yunus bersama aku banyak semasa kami masih di kampung. Tahulah Yunus ni macam mana, degil yang tiada ubatnya. Melarang macam di suruh. Cuma nak ingat balik tu mengambil masa. Dah aku tak banyak kerja, apa salahnya aku share pengalaman kami yang bagi aku boleh menjadi peringatan yang makhluk Allah ini berbilang jenis. Terima kasih aku ucapkan kepada para pembaca yang suka dengan kisah Yunus ni.

Kisah ni terjadi masa kami belasan tahun. Masa tu hampir kepada tarikh salah satu pilihanraya besar Malaysia. Yunus dan aku cari duit poket, nak masuk universiti. Kami bekerja sementara menjaga pejabat DUN, bilik mesyuarat dan sebuah rumah kayu lama yang cantik dan berseni. Kerja malam, dari pukul 7.00 malam hingga 7.00 pagi. Semua bangunan tidak berpagar dan bangunannya asing-asing, tidak bersambung. Di depannya ada sungai . Pendek kata, memang tempatnya cantik…

Dekat dapur rumah lama tu, ada taman yang semua pokoknya wangi berbunga putih. Tamannya tidak berjaga tapi semua pokok bunga dan limaunya subur. Bunga melur, bunga cina, bunga melati, harum sundal malam, kemboja putih dan beberapa pokok kenanga yang amat harum baunya. Di situ juga, ditanam beberapa jenis limau. Kasturi, limau nipis dan limau purut. Semuanya wangi bila disaput angin, tambah2 di tengah malam. Bunga limau-limau tu juga sangat harum baunya.

Rumah kayu tu indah binaannya, semuanya dari kayu. Tiang, dinding, beranda hinggalah ke tangga. Tentu pemiliknya dulu orang berada. Ada beranda yang luas, penuh ukiran kerawang dan berseni. Kalau tak salah aku rumah Kedah. Dari pejabat DUN, hanya sepelaung saja rumah itu, dipisahkan dengan jalan berturap. Kawasan itu diterangi dengan lampu sorot yang tinggi. Mudahlah kerja kami dan tidaklah menakutkan kerana cerah. Depan bilik mesyuarat juga ada lampu sorot, juga 2 di belakang. Ada tanah kosong dengan pokok2 beraneka dan pokok2 kelapa. Kami tidak diberi kunci untuk pejabat DUN, hanya bilik mesyuarat. Kalau hujan bolehlah berteduh dan dibenarkan masuk ke bilik mesyuarat. Ada sebuah bilik berkunci di dalam bangunan itu.

Tempat ini di dalam kampung, tidak terlalu jauh dari jalan besar. Nak sampai kena masuk sikit ke dalam melepasi sungai dengan jambatan simen, muat satu kereta. Aku tak tahu yang tempat ni ada walau dah beberapa lama tinggal di situ. Tugas kami mudah, menghalang penceroboh jikalau ada. Di belakang bangunan bilik mesyuarat, ada hutan getah. Aku rasa tiada penoreh kerana hutannya tidak berjaga dan tiada kesan batang getah ditoreh. Pokok pun sudah tua2 semuanya. Kami hanya dibekalkan t-shirt, bukan pakaian pengawal keselamatan kerana tugasnya hanya 2 atau 3 minggu. Bayarannya juga bagus tapi tiada cuti selama bekerja.

Minggu pertama kerja tiada masalah. Cuma nyamuk saja yang mengganggu. Kalau tidak di bilik mesyuarat, kami lebih suka berjaga di pejabat DUN kerana dekat dengan jalan masuk dan ada tempat letak kereta berbumbung. Boleh dengar radio kecil yang kami bawa. Aku selalu ditinggalkan Yunus yang akan menawarkan diri membeli makanan. Yunus kalau beli makanan, boleh makan sampai 5 orang. Itu sebabnya dia yang selalu volunteer nak pergi. Tidaklah lama perginya, jadi aku lebih suka melintasi jambatan. Dapat menghidu bau bunga yang wangi.

Hari itu, mungkin kerana hujan di waktu subuh, petugas yang akan mengambil kunci dari kami datang lewat. Selalunya akan nampak bayangnya selepas solat subuh. Selalulah kami dapat kuih dan minuman. Masa tu, manalah ada telefon pintar bagai, jadi terpaksalah kami tunggu. Yunus yang bosan menunggu, bawa payung dan pergi ke taman dan membelek bunga dan buah limau yang besar-besar subur. Aku tidak mengikut kerana payungnya satu. Walaupun hujan tidak lebat, aku malas hendak basah. Dari jauh, aku dengar seperti Yunus sedang bersembang dengan seseorang. Aku mengintai-ngintai, hanya Yunus seorang di situ. Dengan siapa pula Yunus bercakap?

Walaupun sudah seminggu bekerja, aku dan Yunus tak pernah pergi ke taman tu. Jangankan petik buah atau bunga. Sentuh pun tidak. Itulah pertama kali Yunus ke situ. Naik ke rumah atau berteduh di bawah rumah tinggi tiangnya itu pun jauh sekali. Malamnya, seperti biasa dalam pukul 9 selepas solat Isyak, Yunus akan bergerak membeli makanan. Tinggalah aku seorang. Seperti biasa, aku akan berjalan melepasi rumah kayu tu untuk berdiri di atas jambatan. Dari dalam rumah kayu tu, aku dengar suara perempuan menyanyi-nyanyi lagu berentak Melayu deli. Aku pujuk diri, mungkin radio dari rumah jiran yang tak jauh dari situ. Tapi lagunya lagu yang sama, sayup-sayup kedengaran. Bau bunga-bungaan yang wangi menusuk hidung. Bau wangi bunga yang luar biasa. Malam itu, lama pula si Yunus beli makanan.

Tidak habis di situ, aku dengar seperti lantai beranda dipijak orang. Tak berani aku nak pandang, hanya tercegat berdiri di tepi jambatan. Dalam hati berdoa semoga Yunus cepat balik. Dalam hati juga, aku memujuk diri, dalam kubur lagi takut dan gelap. Di tepi telinga aku, aku dengar orang berbisik “Betul…” suara perempuan. Terasa melompat jantung aku, cepat-cepat aku menyeberang jambatan. Di ekor mata, aku nampak seperti seseorang sedang mandi di dalam sungai. Tidak jelas rupanya, yang jelas adalah bunyi air yang dijirus ke badan. Sungai tu gelap, tak mungkin ada yang berani mandi waktu tu.

Usikan tidak habis di situ. Semasa aku berlari-lari anak, memang aku dengar bunyi ketawa dari dalam sungai. Bukan mengilai, tapi seperti ketawa mengusik. Apalah malang nasib aku. Aku cuma nak cari duit untuk masuk sambung belajar. Sebolehnya aku tak mahu susahkan ibu aku, seorang balu yang berhempas pulas bekerja mencari rezeki. Aku dan kakak, dan ibu aku membela 4 orang sepupu aku yang yatim piatu. 7 mulut untuk disuap oleh wanita kecil molek tu.

Masa tu, tak terfikir nak baca apa. Hanya ketakutan dan kaki terasa berat, terasa lembik. Di situ, kenderaan tak banyak, siang atau malam. Aku sampai ke jalan besar dan berdiri di bawah lampu jalan. Tak pasti kedai mana yang Yunus pergi. Pergi beli ke pergi masak, lama sungguh. Terteleng-teleng kepala aku dan dari jauh, aku nampak Yunus dengan seorang lagi kawan kami, membonceng motor Yunus. Budak sejati kampung tu, Amran, sekelas dengan aku di tingkatan 6. Amran jumpa Yunus di kedai Malam tu, dia ada tugas menggantung bendera pukul 12 nanti.

Yunus berhenti dan tanya kenapa aku di situ. Aku terpaksa berbohong. “Nyamuk banyak” kataku melarikan pandangan dari mata Yunus. “Hang pi lama sangat” kataku. Yunus hanya ketawa kecil. Silaplah nak bohong Yunus. Aku dan Amran berjalan beriring, Yunus dengan makanan yang banyak pergi dahulu. Amran bercerita tentang kampung tu. Kampung tu dulunya laut, penuh pokok bakau. Rumah kayu cantik tu dah beratus tahun usianya. Dulu rumah itu di tempat lain, dipindahkan beramai-ramai ke situ oleh pemiliknya yang membuka kampung itu. Melepasi rumah tu, aku rasa seram sejuk tapi tak berani nak pandang.

Kami makan di dalam bilik mesyuarat. Bersembang semahunya sementara menunggu Amran pergi menggantung bendera. Selepas selesai makan, aku tinggal seorang mengemas meja. Terdengar suara orang berdehem di dalam bilik berkunci tu. Amran dan Yunus di luar membuang sampah. Cepat-cepat aku lari keluar. Sebelum sampai ke pintu, kalendar yang tergantung bergerak seolah ada tangan yang menyelak helaiannya. Tak habiskah lagi gangguan ini? Salah aku di mana? Aku sentiasa menjaga perilaku semasa bekerja. Aku hanyacari rezeki halal lagi berkat, tiada niat yang jahat.

Sampai di luar, Yunus ketawa. Mengusik, aku diikut hantu. Aku malas nak layan, pura-pura tak mendengar. Kami tutup pintu dan pergi ke tempat letak kereta berbumbung tu. Sembang lagi dan minum. Entah kenapa mata aku terpandang ke arah hutan getah. Terpandang tangan di belakang pokok melambai-lambai padaku. Tangan itu pucat dan kurus. Melambai-lambai di balik pokok getah tua yang paling dekat dengan bangunan bilik mesyuarat. Aku berdehem untuk menyingkirkan keresahan hati. Cepat-cepat aku alihkan pandangan.

Sampai masa Amran meminta diri kerana sudah hampir jam 12. Dia minta Yunus menghantarnya. Cepat je aku mencelah “Takpa, kami hantaq hang kat jalan”.“ Tak pa Ku, hang ja hantaq Meran naik motor, aku nak kunci bilik mesyuarat” kata Yunus penuh makna. Serba salah aku, kenapalah kau datang, Amran. Aku beranikan diri dan hantar Amran ke jalan besar sampai lori yang penuh bendera sampai. Masa nak balik, aku pujuk diri sendiri, lelaki kena berani.

Nak sampai di jambatan, dari ekor mata aku nampak seperti cahaya pelita dari tingkap yang bertutup. Cahaya itu berjalan dan berpusing2 di dalam rumah, nampak dari ukiran-ukiran kerawang di atas tingkap. Dari serambi ke anak rumah, dan ke dapur. Yunus dah tercegat berdiri tak jauh dari rumah tu, tersengih-sengih melihat aku sampai. Bangku getah panjang tu dah siap ada selimut dan bantal menanti aku. Ubat nyamuk dipasang sampai 5. “Baik dak aku?” usiknya tersengih-sengih. Aku senyum kelat dan letakkan motor.

Kami duduk sambil mendengar lagu. Masing-masing macam dibuai angan sendiri. Ada lagi 5 jam di situ. Lamanya aku rasa. Terfikir nak berhenti tapi bila terbayang muka emak aku, aku kuatkan semangat. Tiba-tiba Yunus bersuara “Dia berani kacau hang noh, Ku. Aku dah pesan kat dia. Jangan kacau hang” kata Yunus tanpa memandang aku. “Lama dah dia dok perhati hang. Dia suka kat hang” kata Yunus sambil membelek kukunya. Serius mukanya kali ni. Terkedu aku mendengar kata Yunus. Tak payah aku nak mengadu domba, Yunus dah tahu. “Tak pa, kita tengok malam ni. Dia melampau, dia kena. Hang nak tidoq ka Ku? Tidoqlah, biaq aku yang jaga” katanya yang tahu apa isi hati aku.

Mana boleh tidur dalam perasaan yang macam tu? “Kita sama berjagalah, Yunuih. Kita sembang ka, sambung minum ka. Kita jangan tidoq sampai pagi” kata aku beralas, memberi isyarat kepada Yunus. Habis saja perkataan tu, kami dengar suara orang menangis dari dalam rumah tu. Hiba sangat bunyinya. Serentak dengan itu, kami nampak seekor kucing melompat dari atas bumbung dan hilang di sebalik pokok-pokok bunga. Dalam hati aku, kucing saja tu. Tapi sangkaan aku salah, bunyi tangisan mendayu tu datang dari pepohon bunga kenanga. Hanya pokok bunga kenanga tu bergerak seperti ditiup angin. Mendayu-dayu dan sayu, tapi menyeramkan. Makin lama tangisan tu makin hilang dibawa angin.

Yunus diam membisu, mulutnya kumat kamit membaca doa sambil matanya terpejam. “Aku dah suruh dia pi jauh2. Tapi dia tak mau. Ketegaq” kata Yunus. Lagilah takut aku dibuatnya. Apa salah aku? Apa perbuatan melampau aku? Aku congak-congak dalam kepala memikirkan apa yang aku buat dalam seminggu lepas di situ. Aku nak kencing pun tahan, sanggup ke masjid seberang jalan. Bukan tak ada tandas, tapi aku sangatlah tak selesa, entah mengapa. Tandasnya bukan kotor, bersih. Tapi setiap kali lalu atau masuk sebab nak mengambil wuduk, aku rasa lain macam. Seperti diperhatikan.

“Hang bacalah ayat Qursi, selawat dan zikir banyak-banyak Ku. Kalau dia ketegaq, sat lagi dia teriak tak berlagu” kata Yunus, kali ni duduk dan mencapai beg doraemonnya. Entah apa dicarinya dalam beg tu, diletakkannya balik di atas meja. Yunus tepuk bahu aku. “Hang berani, Ku. Hang hero. Sabaq sat na” kata Yunus sambil bangun merenung ke arah hutan getah, kemudian ke rumah. “Dia ada dalam hutan getah, takut kat aku. Dia selalu kacau hang. Dua malam lepaih aku nampak dia belai-belai rambut hang masa hang tidoq. Selalu masa kita tengah makan, dia berdiri di belakang hang. Masa hang tengah semayang, dia tak jauh, Asyik dok tengok hang. Aku perati saja, kalau dia buat bukan-bukan baru aku bagi dia makan penampaq” kata Yunus memandang aku. Aku rasa nafas tersekat di kerongkong. Takut dan terkejut. Melopong tak terkata apa.

“Aku dah bagi amaran pagi tadi masa hujan. Melampau sungguh. Dia kata hang sombong, Ku, tapi bau hang wangi macam bunga. Dia suka” kata Yunus. Padanlah pagi semalam aku nampak Yunus seperti sedang bersembang di taman dalam hujan. “Hang toksah takutlah, aku buleh setel. Tak susah pun”. Lega sedikit aku mendengarnya. “Kita tak kacau dia, kita cari rezeki sini walau sat saja. Kacau pokok dia atau rumah dia pun dak” kata Yunus sambil bangun mengeliat. Dalam hati, kau nak ke mana Yunus? Jangan tinggalkan aku.. aku takut.

“Dia dah lama dalam rumah tu. Ya lah, sapa pun tak kacau dia kan. Rumah tu dah lama kosong. Cuma aku tak tau siapa yang tanam dan jaga pokok bunga dan limau2 tu. Sapa pun tak berani duduk rumah tu” kata Yunus sambil berdiri mengambil beg doraemonnya. “Hang dok sini, Ku, aku nak pi sembang ngan dia sat” kata Yunus mengeluarkan lilin dan mancis. Adoi adoi Yunus… sampai hati kau nak tinggalkan aku sorang2. Suka tak suka, aku yakin dengan keberanian Yunus. Dengan lafaz bismillah dan membaca beberapa ayat Quran, Yunus melangkah masuk ke dalam hutan getah. Lampu suluh pun tak dibawa.

Tinggallah aku seorang menahan takut. Serba salah, nak bangun aku takut. Takut aku nak pandang rumah tu. Walaupun sangat cantik, rumah itu seram di pandangan aku. Aku baca ayat Qursi berulang kali, selimut satu badan. Tiba-tiba aku dengar bunyi tapak kaki berlari-lari dalam rumah tu. Macam orang main kejar2. Apa pula kali ni.., fikir aku. Kerana terlalu takut, aku bingkas bangun dan lari untuk mencari Yunus. Aku tak tahu arah mana Yunus masuk kerana semaknya tebal. Tercari-cari aku jalan masuk dan bunyi orang main kejar-kejar dalam rumah kayu tu tetap berterusan.

Dari dalam hutan getah, aku nampak cahaya lilin. Yunuslah tu. Aku cuba melangkah tapi kaki aku rasa sangat berat, mana ada yang menahan. Serba salah, nak masuk hutan getah atau mengadap bunyi orang berlari dalam rumah tu. Mujurlah aku boleh fikir, berdasarkan pengalaman. Jangan ganggu Yunus kalau dia tak panggil. Tapi aku dah takut setengah m**i. Dengar suara menangis, dengar nama aku dipanggil, dengar hentakan kaki di lantai kayu. Aku tarik nafas panjang, ingat muka mak aku yang aku sayang dan membaca surah-surah lazim dan ayat Qursi.
Kerana takut, aku beranikan diri juga mendekati belukar. Aku nampak Yunus bersila dengan 3 batang lilin di depannya, membaca surah2 Quran. Kepalanya tunduk dan membaca surah yang panjang. Sekonyong-konyong, tanah di antara 3 batang lilin tu berasap, dan meletup macam mercun. Meletup tu bukan macam bom, tapi macam mercun di bakar. Lepas tu Yunus bangun dan buka langkah silat. Tiba-tiba aku terasa macam ada hembusan nafas di telinga.

Tercegat aku berdiri memandang hutan getah. Kaki rasa seperti dipasung. Bunyi-bunyian yang berterusan aku tidak hiraukan. Namaku dipanggil berulang, sekejap dari dalam bilik DUN, sekejap dari bilik mesyuarat, sekejap dari taman dan sekejap hanya di belakang aku saja. Berpusing-pusing bunyinya, sayup-sayup namaku dipanggil. Aku kuatkan semangat, beranikan diri dan berkata “Aku tak kacau hang pun. Aku mai sini kerja. Kami mai cari duit, bukan cari hang!!” kuat juga aku bentak. Habis saja aku bentak, sekali lagi aku dengar tangisan mendayu-dayu, hiba sangat bunyinya. Aku berpaling dan pandang rumah tu. Apa nak jadi, jadilah.

Di atas beranda, aku nampak samar-samar sosok seorang perempuan. Berdiri memeluk tiang beranda, menangis sambil menundukkan muka. Terhinggut-hinggut badannya seperti menahan kesedihan. Syaitan, begitulah. Menggoda dengan menyamar. Minta belas kasihan. Janganlah percaya. Dari mana datang keberanian, aku pun tak tahu. Aku tercegat berdiri pandang beranda tu. Lama-lama sosok perempuan menangis tu makin lama makin pudar dan tangisan pun sudah tidak aku dengar.

Tak lama lepas tu aku dengar langkah Yunus keluar dari hutan getah. Aku berpaling memandang sahabatku tu. Yunus tergaru-garu. Tentu nyamuk banyak dalam hutan tu. Tersengih-sengih dia berjalan ke arah sambil menunjukkan tanda bagus pada aku. “Jom sambung minum” kata Yunus ringkas menepuk bahu aku. Itulah Yunus yang aku kenal. Tidak hiraukan apa pun. Tidak pernah meninggi diri. Tidak pernah mendabik dada. Aku ikut Yunus berjalan ke kerusi panjang. Kami duduk bersembang dan langsung tak bercakap tentang apa yang terjadi tadi. Sembang sampai pagi. Aku tengok rumah tu suram saja, tapi sudah tak takut. Menikmati keindahan senibina rumah lama tu dari limpahan lampu sorot sampailah ke pagi. Berkilat-kilat kayunya terkena pancaran matahari pagi.

Hari-hari mendatang bekerja di situ, tiada lagi gangguan. Rumah itu aku lihat seperti rumah lain, tiada rasa seram, kecuali rasa kagum dengan keindahan senibina rumah tu. Tak lama kami kerja di situ. Khidmat kami pun sudah tidak diperlukan kerana pilihanraya sudah selesai. Janji ada imbuhan. Kami tak cerita apa pun pada siapa-siapa. Yunus agak keberatan bercerita apa yang dia nampak dan buat dalam hutan getah malam tu. Katanya, walau dia itu iblis, Yunus kasihan dengan nasib yang menimpanya semasa dia masih hidup. Semasa hayatnya, perawan itu rajin menanam bunga putih yang harum baunya. Dia seorang perawan cantik yang menemui ajal dengan cara yang kejam. Aku pun tak tanya lebih2. Jaga hati kawan baik aku nan seorang ni. Aku kalau balik kampung pun tidak akan masuk lagi ke situ.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 24 Average: 4.8]

12 thoughts on “Kisah Yunus & Aku – Pengawal Keselamatan”

  1. Sentiasa ternanti nanti cerita dari anda dan selalunya tidak menghampakan. Tulisan anda membuat pembaca terhumban dan berada di dalam dunia penceritaan anda.

    Reply
  2. Salah satu penulis kegemaran.. walaupun cerita panjang tp x merapu.. penuh suspen, bnyk pengajaran, semangat setia kawan yg ditonjolkan, ending yg x tergantung menjadi sebab mengapa sy suka penulisan anda.. jika ada lg pengalaman bersama Yunus, kongsi lah dgn kami para peminatmu.. 😊

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.