Kisah Yunus – Tetamu

Assalamualaikum.

Sudilah kiranya baca kisah Yunus kali ini. Pak Engku mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang suka, dan yang tak suka.

Allah S.W.T adalah pencipta yang tiada tolok bandingnya.

Setelah berhenti sebagai penjawat awam, berbulan juga aku menganggur. Sudah tersurat, rezeki yang aku dapat ini, aku terpaksa berpisah sementara dengan emakku. Risau juga dia berseorang di rumah. Emakku yang faham dengan keadaan aku, bertegas menyuruh aku menerima tawaran kerja itu. Bagusnya, aku dapat kerja di tanah besar, senanglah aku balik menjenguk bila masa sahaja aku inginkan. Yunus waktu itu sudah bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Bayan Baru. Tapi, main dengan degilnya Yunus, siapa pun tidak boleh kata apa.

Sesudah mendapat jawapan dari syarikat yang aku akan bekerja, mulalah aku mencari rumah sewa. Kebetulan, sepupu aku, Amir bekerja di daerah yang sama. Amir ialah guru sekolah rendah dan masa itu, dia masih bujang. Mendengar aku akan berpindah buat sementara, masam mencuka wajah Yunus. Aku ketawakan sahaja, kerana tidaklah terlalu jauh jaraknya. Masih satu negeri, cuma terpisah dengan laut. Kalau rindu, boleh saja datang berziarah, kataku mengusik Yunus.

Amirlah yang menolong aku mendapatkan rumah sewa. Cari punya cari, sudah tertulis rezeki aku, dapat rumah yang besar. Sewanya pula tidak sebanding dengan besarnya rumah kampung itu. Tuan rumah juga telah memperbaiki dan mengecat rumah itu. Rumah kampung bertiang, separuh kayu dan separuh simen. Terletak agak jauh dari rumah orang kampung yang lain, belakang rumah ialah semak belukar yang bersambung dengan sungai tohor. Biasalah, sungai payau yang dekat dengan laut. Aku yang sangat sukakan kehidupan kampung, sangat gembira dengan apa yang Tuhan pinjamkan pada aku waktu itu.

Aku mulakan kerja sebagai salah seorang kakitangan di sumber manusia. Kilangnya ada lebih 500 pekerja. Masalahnya, kilang itu tiada kantin dan jauh dari tempat makan kerana letaknya di tepi lebuhraya. Amir juga turut berpindah dan tinggal bersama dengan aku kerana sewanya yang murah. Rumahnya ada 3 bilik, dengan dapur di bawah. Bilik mandinya besar, juga dapurnya yang luas membuatkan aku jatuh hati dengan rumah itu. Ada beranda yang comel, bersambung anjung yang agak panjang. Rumah Kedah, jenis bumbung lima. Aku sangat suka duduk melepak di rumah selang, iaitu bahagian rumah yang menyambungkan anjung dengan ibu rumah. Tingkap di rumah selang mengadap ke arah semak belukar yang banyak pokok nipah. Bila angin bertiup, bukan sahaja nyaman malah desiran daun nipah berlaga sangat menyasyikkan telinga.

Rumah itu, rumah lama, dibuat dari kayu keras yang bagus. Aku juga rajin ke sungai, kerana sebelum berjumpa sungai, banyak lopak air. Kangkung, keladi dan telipuk hidup makmur. Hutan pakis juga seluas mata memandang. Burung-burung air juga banyak di situ. Amir juga seolah terpedaya dengan kesukaan aku, dari rasa tidak faham kenapa aku suka melepak di tepi sungai, sehingga dia sanggup masak dan berkelah di situ. Amir sangat mahir memasak, jadi aku sangat beruntung. Setiap hari aku bawa bekal ke tempat kerja dari air tangan Amir.

Di tangga beranda yang ada sengkuap berukir, ada sebuah guri (tempayan), gunanya untuk membasuh kaki. Zaman dahulu, inilah yang ada di setiap rumah. Selain untuk mencuci kaki, ia juga sebagai tanda seseorang itu “melucutkan” makhluk halus yang mungkin mengikut. Guri itu kering kontang, tapi kukuh dan tidak retak atau bocor. Naik ke beranda, akan melalui anjung, barulah ke lepau atau serambi kecil dan barulah berjumpa ibu rumah, di mana bilik tidur berada. Kemudian berjumpa dengan rumah selang, yang juga ada tangga, barulah berjumpa dapur.

Setelah hampir dua bulan bekerja, pada suatu hari, aku diberitahu Amir datang ke pejabat. Kelam kabut aku turun ke bawah, dan nampak Amir di luar dengan kereta Proton Saganya. Bila Amir nampak aku menghampiri, segera dibuang rokok yang dihisapnya. “Pasai apa Met?” kataku risau. “Baaahhhh!!! Terperanjat aku bila Yunus mengusik dari dalam kereta. “Taraaaa..!” kata Yunus sambil keluar dari kereta, terkekeh-kekeh ketawa. Ketawanya disambung Amir. “Yan, hang tak kerja ka?” tanya aku sambil menyambut salamnya. “Assalamualaikum” kata Yunus, memerli aku. “Waalaikumsalam” balasku kehairanan. Makin kuat Amir ketawa terkekeh-kekeh, terhinggut-hingut badannya. “Kita jumpa kat rumah. Aku nak bawak Yan pusing-pusing dulu, makan mee udang ka, kan Yan?” kata Amir. “Ya, mee udang, aku mahu” kata Yunus. Mereka masuk ke dalam kereta dan beredar.

Habis kerja, segera aku pulang ke rumah, tapi kereta Amir tidak ada di halaman. Mujurlah warna merah keretanya tertangkap di mata. Amir membawa Yunus ke tepi sungai, tempat kegemaran aku. Mereka duduk melepak di pangkin yang dibina Amir dari sisa yang digunakan oleh tuan rumah untuk memperbaiki rumah sebelum kami menyewa. Rembang petang itu, walau terik tapi sangat indah. Terdiam kami bertiga menyaksikan sekawan bangau putih berterbangan. Memang cantik pemandangannya. Air yang mengalir membiaskan cahaya matahari petang, seperti perak dipilin.

“Aku dapat mimpi. “Kawan” aku yang suruh sangat aku mai. Dan ni” kata Yunus mengeluarkan kertas berlipat. Aku membuka, dan alangkah terkejutnya, surat itu adalah surat tawaran kerja Yunus sebagai “Plant Engineer” di kilang kira-kira dua atau tiga blok dari kilang tempat aku bekerja. Antara terkejut, gembira dan tidak percaya, aku ketawa. “Hebat hang, Yan” kataku melipat surat, tapi diambil oleh Amir dan membacanya. “Aku dapat mimpi” ulangi Yunus. “Mimpi tu suruh aku mai sini, jumpa “kawan” baru yang mungkin aku boleh belajaq lagi” kata Yunus bersungguh-sungguh. “Tu yang aku minta kerja dekat-dekat sini. Dapat juga akhirnya” katanya tersengih sambil menaikkan jempolnya. Amir menepuk-nepuk bahu Yunus, tanda dia suka. “Eh, jomlah balik” kataku.

Kami sampai di depan rumah. Aku naik dahulu untuk membuka gepuh di selak pintu. Yunus keluar dari kereta dan merenung rumah itu. Lama renungannya. Amir juga naik dan berada di tepi aku. Berpandangan kami berdua. Pelik benar perangai Yunus. Dia tunduk bertafakur. Dalam hati, jangan-jangan rumah ini berpenunggu mungkin. Ini kerana, pada malam-malam tertentu, aku dan Amir akan terbau haruman yang sangat wangi semerbak. Bila haruman itu muncul, kami akan membaca surah Yasiin, sehingga keduanya tertidur. Tapi, sampai saat ini, kami tidak pernah diganggu. Ke bilik air tengah-tengah malam juga, tidak terasa takut atau seram.

Sebelum naik, Yunus memandang guri di tangga. Diusapnya guri itu perlahan-lahan. Tuan rumah sudah berusaha untuk membuangnya, tapi tidak terdaya. Koleh yang digunakan untuk mencedok air juga berlumut dan sudah sangat buruk rupanya. Bagi aku, asalkan guri itu tidak berair, tidak mengapa. Tiada nyamuk akan bersarang dan beranak pinak dalam guri itu, sudah cukup baik bagi aku. Ini kerana, kawasan sekeliling yang semak belukar sudah banyak nyamuknya. Kami pakai kelambu untuk tidur. Kemudian, Yunus beri salam dan naik ke rumah.

Yunus naik ke anjung. Tersenyum lebar dia. Dia berjalan perlahan, lahan menyentuh dinding. Kemudian dia naik le lepau dengan perbuatan sama. Barulah kami tunjukkan Yunus bilik-bilik di rumah itu yang berderet. “Bilik hujung ni kosong. Aku selalu menyapu di sini. Biasalah kawasan kampung, selalu ada pasiaq (pasir) dalam rumah” kataku. Bilik itu sama besar dengan bilik aku dan Amir, yang duduk di tengah. Bilik dengan dua tingkap, ruang pengudaraan dari kayu berukir tebuk tembus silat sarat berbunga awan larat.

Yunus tidak masuk ke bilik itu, walaupun ia kosong. Aku suka bilik itu bila menyapunya, kerana ia terbau “bersih”. Tidak ada sebarang bau, sama ada bau cat atau hapak, baunya seperti bilik yang sudah dibersihkan dengan mesin angin pembuang bakteria. Segar sahaja baunya. Yang menghairankan aku, pasir halus-halus seperti pasir dari sungai akan ada setiap kali menyapu di dalamnya. Aku tidak pernah kisah dengan pasir itu, kerana ia tidak membebankan. Amir tidak begitu suka mengemas dan menyapu kerana dia lebih gemar mencuci dapur, tempat yang selalu akan ada mukanya di situ tidak kira siang atau malam.

“Bilik hang mana, Ku” tanya Yunus. Aku menunding jari ke bilik hujung bersebelahan rumah selang. Terus Yunus masuk dan meletakkan beg doremonnya. “Aku nak buat kerja sikit. Timba ada kan? Penggosok periuk ada lebih dak?” tanya Yunus yang tidak pun menyalin bajunya. Kami turun ke bilik mandi. Yunus yang memenuhkan timba dengan air, dibawanya juga penyental periuk dan sabun. Aku dan Amir hanya tercengang, pelik betul perangai si Yunus kali ini. Amir tidak mengikut kami ke bawah, ada kerja katanya. Bersungguh-sungguh bawa timba besar berisi air ke tangga depan.

Sampai kami di tangga beranda, dan Yunus segera mencuci guri tadi. Perkara aneh sekali lagi. Kalau tidak, guri itu sangat berat, seolah tertancap dengan tanah. Selamba Yunus angkat dan bersihkannya. Aku menolong apa yang patut. Selesai, guri itu diisi air, koleh pun sudah dicuci Yunus. Nampaklah warna asalnya, iaitu biru muda. Yunus naik, mengambil penyapu dan menyapu bahagian beranda, anjung, lepau hingga ke rumah ibu. Pelik sungguh perangai Yunus. Amir di dapur sedang menyiapkan makan malam kami. Sebelum maghrib, Yunus masuk ke bilik itu, menyapu lagi. Bilik itu kosong, yang ada hanya penyangkut sejadah serta sekeping ambal berbunga. Ambal itu Yunus gulung dan letak di tepi.

Selesai makan malam dan solat berjemaah, Amir mengajak kami keluar. “Jom lepak tepi laut. Esok tak kerja kan?” kata Amir. Kami menurut saja, sempat kami pusing-pusing kawasan pekan sampailah ke terminal feri. Puas hati, kami pun balik. Sampai di rumah, baru saja hendak naik ke beranda membuka pintu, Yunus menghentikan kami. Berderau d***h, apa pula kali ini. Yunus minta Amir tinggikan lampu keretanya. Jelas, di tangga, beranda dan mungkin di atas anjung, ada bekas tapak kaki, seperti baru sahaja orang itu mencuci kaki di tangga. Tapi, batu alas tangga itu kering.

Ada pencuri? Siap basuh kaki? Getus hatiku. Nak curi apa di rumah bujang begini? Yunus datang pada aku, mukanya gembira, memegang bahuku dan menggoyangkannya kuat-kuat. “Dia dah mai, Alhamdulillah!” katanya girang. Lagi sekali Amir dan Aku berpandangan. Amir membuka pintu dan Yunus memberi salam “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh” dan naik ke anjung dengan kaki kanan. Kami mengikut sahaja. Melepasi bilik yang gelap, terbau wanginya. Wangi yang susah hendak diungkap, lembut dan menenangkan. Tiada minyak wangi mahal mampu menandingi baunya yang sulit dihuraikan.

Yunus mengadu lapar. “Lapaq lagi? Tak pa, aku buat cucoq kentang. Sambai tomeh (sambal tumis) tadi ada lagi kan?” tanya Amir yang masuk ke biliknya dan menukar baju dan memakai pelikat. Kami bertiga turun ke dapur. Wajah Yunus ceria, asyik tersenyum, dan kalau terpandang, akan dikenyitkan matanya. “Hang ni awat?” tanya Amir yang tidak faham Yunus sebagaimana aku. Yunus pula, makin ditanya, semakin kuat usikannya. Semasa makan, di dapur (kami tidak ada televisyen masa tu), Yunus tidak berapa makan, tapi asyik memandang ke arah lepau. Amir asyik bercerita tentang gadis idamannya (menjadi isterinya pun) sehingga kami naik bosan mendengarnya.

Malam itu, berhamparkan tilam, Yunus memperbetulkan bacaan Quranku. Amir juga tidak mahu kalah, membawa naskah Qurannya sendiri dan duduk di tepi aku. Bertiga kami berkampung di dalam kelambu. Surah kegemaran aku kami baca sehingga habis. Sedang kami membaca surah Al Kahfi, seluruh rumah berbau wangi semerbak. Aku dan Amir berpandangan lagi. Dalam suara berbisik, Yunus berkata “Jangan takut, jin Islam tu selalu mai semayang (sembahyang) bilik hujung. Hang pa bertuah dok rumah ni. Dia dah lama guna bilik tu, untuk beribadat”.
Masa berganti, telah 7 bulan kami bekerja. Yunus pun sudah membeli motor sendiri, tidak lagi membonceng aku. Amir pun telah bertunang dengan gadis pujaannya. Menyampah aku, dia menjadi romantik semenjak menjadi tunangan orang. Geli geleman aku dan Yunus dibuatnya. Setiap malam Jumaat, Yunus akan masuk ke bilik itu dan bauan semerbak itu sejujurnya, menenangkan dan membuatkan tidur kami lena. Kata Yunus, banyak ilmu akhirat yang dipelajarinya dari kawannya itu. Amir juga terikut-ikut dengan kami yang selalu sembahyang tahajud. Rumah itu bagai terjaga, tidak pernah ular atau biawak masuk seperti yang selalu kami dengar, rumah si polan itu ada ular atau biawak masuk.

Suatu petang, Yunus mengajak aku ke sungai. Amir tidak ada kerana pergi berjumpa tunangnya. Petang itu redup, tidak pijar berbahang seperti selalu. Demi Tuhan, sedang aku duduk dengan Yunus di pangkin, aku ternampak kelibat seorang lelaki yang samar-samar, memakai jubah dan berserban hijau, berjalan seolah terapung di atas pokok-pokok kangkung dan berjalan di atas air sungai ke seberang, lalu hilang di balik celahan dahan nipah. Kakinya tidak menyentuh tanah atau air, dan seolah lenyap bila tiba di kawasan pokok-pokok nipah tumbuh bergugus.

“Itulah dia “tetamu” kita” kata Yunus, berbisik. Subhanallah… dapat juga aku melihat tetamu kami dengan mataku. Aku jadi kagum. Yunus pula, senyuman tidak lekang dari bibirnya. “Terima kasih, sahabat” aku dengar Yunus berbisik.

Bila kesihatan ibuku tidak begitu baik, aku berhenti kerja. Yunus pun mengikut, tanpa berfikir panjang. Aku tidak sampai hati membiarkan ibuku keseorangan. Aku sudah ada kereta sendiri masa itu, memudahkan aku membawa emakku untuk rawatan ke hospital. Dan, setiap malam tertentu, Yunus, seperti telah dikhabarkan, akan datang dan bermalam di rumah aku. Akan terbau wangi rumah emakku, dan selalunya, esoknya emakku akan segar bugar. Emakku tidak ada sakit seperti kebanyakan orang, dan dia telah ke negeri abadi 11 tahun yang lalu. Sakitnya pun tidak lama. Masa pemergiannya, juga terjadi satu keanehan yang menunjukkan Allah itu sayang pada orang yang sabar dengan dugaanNya.

Jika aku pulang ke kampung, aku selalu akan melawat tapak rumah itu. Tuan tanah telah menjual tanah itu, dan sayang sekali, rumah yang indah senibinanya itu telah dirobohkan oleh pemilik tanah yang baru. Tapi, sampai sekarang pun, tempatnya masih gondol dan kosong walau semak di belakangnya telah ditebas. Kalaulah aku ini hartawan, aku akan beli rumah itu. Sayang sekali, dulu, hanya rumah itu yang mengekalkan ciri dan senibina rumah Melayu yang mengagumkan.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 32 Average: 4.9]

5 thoughts on “Kisah Yunus – Tetamu”

  1. Best sungguh kisah-kisah Yunus ini…penuh dengan pelajaran dunia dan akhirat..Saya mohon teruskanlah penceritaan Kisah Yunus ini sebab terlalu banyak ilmu dunia dan akhirat boleh dipelajari secara tidak langsung.

    Reply
  2. Salam pak engku selain cerita yg sgt baik dan menarik penerangan ttg istilah tumah tradisional yg makin pupus pd pendengaran dan mata sgt baik

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.