KOLEKSI PENGALAMAN MAD PI DI TEMPAT KERJA

KOLEKSI PENGALAMAN SERAM MAD PI DI TEMPAT KERJA

1. PINTU EXIT

Seperti biasa bila aku bekerja pada shif malam, aku hanya berseorangan. Tanpa rakan sekerja. Bukan tiada tapi berlainan aras bangunan. Hanya bertemankan sepi bersulamkan rasa seram.

Masing-masing berada di bahagian mereka sendiri. Kami hanya kebetulan berjumpa ketika turun ke aras bawah untuk merokok. Bercakap sepatah dua, bila rokok habis kami berpisah.

Tidak pernah berkesempatan untuk berbual lama, hatta nama tidak aku ketahui. Masing- masing sibuk dengan kerja tanpa berkesempatan bertegur sapa mahupun bersembang.

Apabila tugasan sudah berkurang dan tidak mendapat sebarang arahan daripada ibu pejabat, aku megambil kesempatan itu untuk melelapkan mata. Tipu kalau aku mengatakan yang aku tidak mengantuk.

Peluang keemasan jangan dilepaskan. Aku lalu turun ke aras sembilan. Suasana sunyi dan pencahayaan juga terhad. Namun ku langkahkan jua kaki menuju ke sofa untuk tidur sejenak.

Krekkkkkk!

Dukkk!

Kedengaran seperti bunyi pintu dibuka. Bukan bunyi dari depan. Setahu aku pintu di belakang hanya digunakan semasa kecemasan sahaja. Pintu itu juga turut dipasang penggera jika dibuka.

Aku ke sana untuk memeriksa. Tapi dia sesiapa yang aku jumpa. Memang mustahil jika pintu itu dibuka tanpa penggera berbunyi dan tiada sesiapa dibenarkan untuk membukanya. Aku kembali ke sofa.

Doom!

Terdengar pintu seakan dihempas. Aku mengambil kesempatan untuk memeriksa sekali lagi. Mana mungkin aku dapat abaikan akan hal tersebut. Aku juga takut. Setidaknya aku harus mencari kepastian.

Langkah demi langkah ku atur. Setibanya aku disana, ada satu lembaga hitam sedang berdiri di depan pintu. Bentuk badannya tinggi dan besar. Namun dia seakan tidak menyedari aku disitu.

“Siapa tu?”

“Siapa tu?”

Lalu dia menoleh. Tiba-tiba bulu romaku meremang. Entah kenapa aku berasa takut dan seram. Dia memerhatikan aku tanpa sebarang pergerakan. Walaupun suasana agak gelap, sepatutnya aku dapat melihat raut wajahnya.

Tapi ini tidak. Mukanya kosong. Hitam. Kelam. Aku tidak menunggu lagi. Aku berundur selangkah lalu berlari keluar dan turun ke bawah. Aku laporkan pada sekuriti namun setelah diperiksa tiada sebarang tanda pencerobohon berlaku.

2. KUBURAN

Tugasanku sudah disiapkan. E-mail dari ibupejabat juga sudah kubalas dan telah mengambil tindakan susulan. Ku pandang kanan kiri, sunyi sepi. Sebagaimana kebiasaannya, aku hanya sendirian.

Masa senggang sebegini tidak ku sia-siakan. Aku turun ke bawah untuk mencari makanan. Perutku sudah berkeroncong. Biasanya aku mengisi perut di kedai mamak depan bangunan tempat aku bekerja.

Tapi malam itu, aku tukar selera. Aku ke gerai burger berhampiran. Jam menunjukkan pukul satu pagi jadi suasana agak lengang. Dari jauh aku melihat abang burger duduk tercongok menunggu pelanggan.

“Assalamualaikum.”

“Burger daging double special satu bang.” Pintaku.

Lalu sambil menunggu burger siap aku berbual dengan abang burger tersebut. Sudah terbiasa dengan dia sebab aku agak kerap juga menjadi pelanggannya. Setelah siap, aku lepak makan di situ sahaja.

Sebelum naik ke pejabat, aku ke ruangan merokok. Alang-alang sudah turun ke bawah, aku merokok. Kebetulan salah seorang sekuriti bangunan turut berada di sana.

“Sorang bang?” aku menyapa.

“Iya, baru siap meronda” balasnya.

“Bang, selama abang kerja takda ke jumpa hantu kat sini” aku cuba mengorek rahsia.

Bagi aku sekuriti bangunan tersebut pasti lebih banyak pengalaman seram. Aku yakin pasti ada ceritanya sebab aku juga turut mengalaminya. Pada mulanya dia seakan enggan bercerita namun setelah didesak dia lalu membuka cerita.

Pada suatu malam, dia sedang meronda di dalam bangunan dari tingkat bawah sampai ke tingkat 34 melalui tangga kecemasan. Pada mulanya tiada hal yang aneh terjadi.

Apabila tiba di tingkat 34, dia ternampak kelibat manusia berlari. Jadi selaku sekuriti di bangunan tersebut, sudah semestinya dia perlu memastikan hal tersebut. Dia cuba mengekori kelibat tersebut.

Dia terdengar pintu untuk ke bahagian bumbung seakan dibuka lalu dia menuju ke sana. Setibanya di bumbung dia ternampak satu wanita berambut panjang bergaun putih sedang membelakanginya.

Wanita tersebut berdiri tepat di sudut tepi bangunan seolah-olah ingin terjun. Dia berteriak lalu wanita tersebut menoleh ke arahnya. Jantungnya bagai disentap apabila mendapati wanita tersebut tidak berwajah.

Langkahnya terhenti, dan secara tiba-tiba wanita tersebut terjun dari sana. Setelah dia mengumpulkan keberanian dia cuba untuk memeriksa lalu dia menjengah ke bawah. Sekali lagi dia terkejut. Kawasan yang asalnya tempat parkir kereta bertukar menjadi tanah perkuburan kristian.

Dia mengucap panjang. Bagai tiada percaya apa yang dia lihat. Tubuhnya kaku. Setelah seketika dia mendongak sekali lagi dan keadaan telah bertukar seperti sediakala.

Setelah mendengar dia berkongsi cerita, aku naik ke atas untuk menyambung kerja. Hatiku mula goyah. Seram pula rasanya. Tapi apakan daya, kerja harus dilaksanakan. Apa jadi nanti belakang cerita. Perut perlu diisi.

3. SUARA MISTERI

“Bau telur rebus bang, hahahaha.”Aku ketawa menceritakan detik aku ketika berada dalam lif semalam.

” Aduh abang tak boleh nak bayangkanlah, rasa nak tergelak je, hahahahaha. ” Abang Zahari tergelak sakan.

Ketika itu sudah menghampiri waktu maghrib. Jadi aku berbual dengan senior di tempat aku bekerja. Setelah solat baru aku pulang.

Aku menceritakan kejadian yang aku alami semalam semasa aku berada dalam lif. Apabila aku masuk ke dalam lif aku dapati sudah ada seseorang dalam lif.

Aku tidak berapa cam wajahnya kerana dia membelakangiku dan menghadap dinding lif. Tapi yang pasti dia lelaki.

Aku menekan butang ke aras bawah lalu pintu tertutup.Suasana sunyi sepi. Berasa seram pula dengan keadaan tersebut.

Memandangkan lelaki tersebut bertingkah aneh. Pelik. Tidak pernah dibuat orang. Entah apa yang hendak di sorokkan.

Tiba-tiba hidungku tercium bau yang menusuk hidung. Aku cuba mengenal pasti bau tersebut. Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku pejamkan mata.

“Bau apalah ni ya?” Aku berteka-teki di dalam hati.

Aku tarik nafas sekali lagi. Dalam pada masa yang sama aku mendengar lelaki misteri itu berdehem. Terkejut juga aku dibuatnya.

Setelah mengamati bau tersebut maka aku putuskan yang bau tersebut adalah bau orang buang angin. Aku menahan ketawa.

“Patutlah lelaki tadi sorokkan muka, malu la tu.” Aku bermonolog di dalam hati.

Sampai je aras bawah pintu lif terbuka dan aku dengan pantas keluar dari lif tersebut. Aku tidak dapat menahan lagi baunya yg menusuk.

“Ishhh, bau telur rebus.”

Abang Zahari hanya mampu tergelak di saat aku menceritakan hal tersebut. Aku juga turut tergelak. Masih tidak dapat melupakan kejadian kelmarin.

“Hahahahahahaha.”

“Hahahahahaa.”

Tiba-tiba kedengaran suara orang ketawa dari bilik mesyuarat dimana bilik tersebut terletak berdekatan meja Abang Zahari.

Kami terdiam seketika. Aku cuba memeriksa bilik tersebut. Kosong langsung tiada orang. Aku memberitahu Abang Zahari akan hal tersebut.

Dia yang sememangnya seorang yang penakut terus bergegas meninggalkan pejabat menuju ke surau untuk bersiap memunaikan solat maghrib.

Aku kembali ke meja dan mengemaskan barang – barang aku sebelum turun ke surau. Setelah siap daftar keluar aku bergegas keluar.

“Hahahahah.”

Suara ketawa itu kedengaran sekali lagi dari arah bilik mesyuarat tersebut. Dari jauh aku memandang ke arah pintu tersebut dan aku dapati aku lupa untuk menutup pintu tersebut.

Aku menuju ke sana namun langkahku terhenti. Apabila aku ternampak satu lembaga sedang memerhatikanku dari dalam.

Wajahnya hitam dan berambut pandang lurus ke paras pinggang. Aku pura-pura tidak melihatnya lalu keluar dari pejabat.

Aku berlari menuju surau lalu menceritakan pada Abang Zahari. Rupa-rupanya dia sudah merasakan sesuatu. Sebab itu dia meninggalkan pejabat.

“Kurang asam betul tinggal aku sorang-sorang.” Aku mengomel di dalam hati.

Bilik mesyuarat tersebut memang ada penghuninya. Sebelum itu aku sudah mengalami kejadian seram di sana. Kedengaran suara orang berbual-bual namun setelah diperiksa, langsung tiada orang.

4. LEMBAGA MENARI

Jam menunjukkan pukul dua pagi. Tugasanku selesai buat sementara waktu. Mata mula terasa berat seakan merayu untuk lena. Aku bertugas sendirian di malam itu.Hanya bertemankan sepi yang mengcengkam perasaan seram yang aku cuba selindungkan.

Hanya kawasan mejaku sahaja disinari cahaya. Sekelilingku gelap memandangkan syarikat menetapkan lampu hanya boleh di pasang diruangan kerja sahaja jika pada waktu malam. Syarikat besar yang kaya raya namun sayang cukup berkira.

Aku ke lantai bawah untuk merokok. Sambil mengambil udara segar di luar bangunan. Tubuhku yang kelemasan terasa sedikit segar. Ku pandang sekeliling. Suasana di luar juga turut sunyi. Seakan tiada penghuni.

Seusai merokok kulangkahkan kaki menuju ke tingkat atas. Aku mengambil keputusan untuk ke tingkat sembilan memandangkan di situ ruangan rehat untuk staf. Keadaan samar-samar namun tidak kuhiraukan kerana niatku ingin melelapkan mata sejenak.

Aku rebahkan tubuhku di sofa yang terletak di sudut paling hujung. Perasaan takut tenggelam oleh rasa mengantuk yang merajai diri. Aku terus terlena. Lema dibuai mimpi. Sungguh selesa sekali tidur tanpa gangguan dan sebarang bunyi.

Tiba-tiba lenaku terganggu kerana bunyi pintu seakan dibuka seseorang. Dalam keadaan mamai aku pandang ke arah pintu depan yang jaraknya kira-kira tiga pulih meter. Memang ruangan rehat itu agak luas kerana disitu ditempatkan ruang untuk beriadah juga.

Aku mengamati gerangan yang membuka pintu. Aku nampak seseorang sedang masuk namun berhenti didepan pintu. Pelik. Hatiku tertanya-tanya siapakah gerangan orang tersebut. Aku bingkas bangun untuk melihat dengan lebih jelas.

Namun aku tidak berani untuk mendekat kerana perasaan takut mula menyelubungi. Terasa cukup merinding. Aku amati dari jauh. Hanya terlihat seperti lembaga hitam kerana cahaya disitu agak samar-samar. Suis lampu pula tepat di tepi lembaga tersebut.

“Siapa tu?”

“Siapa tu?”

Aku mula mendekat kerana berasa ingin tahu. Pelik dengan keadaan tersebut. Namun langkah kaki kuhentikan apabila aku melihat lembaga hitam itu mendepakan tangan dan melentikkn jari-jarinya lalu menari.Seakan tarian tradisional Indonesia.

Tertunduk-tunduk sambil menggoyangkan badan. Mendepa-depakan tangan. Berpusing-pusing seakat membuat bulatan. Aku mengambil keputusan untuk menerjah ke sana namun bila aku makin mendekat. Mataku seakan menjadi gelap dan lembaga itu menghilang.

Aku mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat tersebut kerana hatiku sudah tidak senang dengan kejadian itu tadi. Aku turun ke lantai bawah untuk meredakan rasa takut buat seketika lalu menyambung kerjaku seperti biasa.

5. JELMAAN KAWAN

Sudah sebulan lebih aku tidak ditugaskan untuk bekerja shif malam. Namun setelah aku memeriksa jadual bertugas, aku ditugaskan untuk bekerja pada shif malam untuk esok.

Hati ini sedikit riang kerana aku ada lebih masa untuk berehat di rumah. Tapi bila teringat akan pengalaman-pengalaman yang aku lalui selama ini, hati ini sedikit berbelah bahagi.

Namun apakan daya, arahan daripada pihak atasan hendaklah dipatuhi. Sudah tiba giliran aku jadi aku tidak dapat menolak. Aku suka sebenarnya bekerja pada waktu malam.

Tidak stress, suasana tenang dan pihak atasan juga tiada. Tugasan juga tidak banyak. Jadi aku dapat bekerja dengan tenang dan selesa. Namun rasa selesa itu dirampas apabila perasaan takut timbul.

Esoknya, pada jam lapan malam aku mendaftar masuk untuk shif malam. Seperti biasa, aku berseorangan di sana. Sesekali kelihatan kakak ‘cleaner’ sedang mengemas. Mereka pulang jam sepuluh.

Setelah itu, suasana bertukar sepi. Hanya ditemani bunyi pintu lif terbuka tanpa ada sesiapa yang keluar dari perut lif tersebut. Pada awal dulu, aku berasa seram juga namun sekarang aku sudah terbiasa.

Mata sudah mulai mengantuk, tetapi ada sedikit pagi tugasan yang tersisa. Aku berniat setelah selesai, aku akan ke tingkat sembilan untuk lena buat seketika. Memang di sana disediakan tempat untuk berehat.

Tidak itu sahaja, di sana juga tempat beriadah kalau di siang hari. Pihak majikan telah menyediakan peralatan riadah seperti set pingpong dan juga ‘pool’. Bilik sakit juga berada di sana.

Jam menunjukkan pukul dua pagi. Tugasanku telah selesai buat seketika lalu aku menuju ke tingkat sembilan. Dalam suasana suram dengan perlahan aku melangkah menuju ke sofa.

Tak! Tuk!

Baru sahaja terlelap, aku dikejutkan oleh bunyi. Seperti ada yang datang aku lalu menjengah ke pintu dari jauh. Aku lihat ada seseorang di depan pintu. Aku amati dari jauh.

“Oh kau rupanya Hafiz, ” aku menegur.

“Kau kerja malam jugak ke?” soalku.

Namun pertanyaanku tidak berbalas. Dia hanya diam seribu bahasa. Tubuhnya kaku berdiri di sana dan tidak berganjak walaupun sedikit. Aku mula berasa pelik lalu aku bingkas bangun.

“Nak main pingpong ke Fiz, aku mengantuk lah,”ujarku lagi.

Aku menekan skrin telefon bimbit untuk menyalakan lampu suluh lalu kuhalakan kearahnya. Tapi tiba-tiba dia hilang dari pandangan. Aneh. Memandangkan rasa mengantok aku hanya menyambung tidur.

Hafiz rakan sekerjaku tetapi berlainan bahagian dan tingkat. Dia bertugas di tingkat 25. Setelah sejam aku tidur, aku bangun lalu menuju ke tandas untuk cuci muka.

Aku ke ‘pantry’ untuk membuat kopi lalu turun ke aras bawah untuk merokok. Seusai merokok, aku singgah ke tingkat 25 untuk menyapa Hafiz namun tiada. Keadaan di situ gelap sahaja. Tiada tanda-tanda ada orang.

Malam itu aku meneruskan kerja seperti biasa sehinggalah jam lapan pagi. Semasa hendak pulang aku terserempak dengan seorang kawan di mana dia bekerja satu bahagian dengan Hafiz.

Alangkah terkejutnya aku apabila dia memaklumkan yang Hafiz sudah dua bulan berhenti kerja. Persoalan mulai timbul di benakku. Setelah sampai di rumah aku membuat keputusan untuk menghubungi Hafiz.

“Hello, assalamualaikum Hafiz.”

Waalaikumussalam, ni siapa ya? ” salamku dijawab.

” Ni siapa ya? “dia menyoal.

” Ni Mad Pi.”

“Oh ni abang kepada Hafiz, kamu tak tahu lagi ke?” soalnya.

“Apa dia bang?” soalku.

“Hafiz dah takda,dia meninggal dua minggu lepas.”

“Innalillahiwainnailaihiroojiuun.”

Air mataku mengalir. Aku terdiam. Rupanya Hafiz telah meninggal kerana serangan jantung. Jadi siapakah gerangan yang aku lihat di tingkat sembilan malam tadi?

Semoga kau tenang di sana.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

MAD PI

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 17 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.