#KomandoArshad – KISAH SERAM SEORANG ANGGOTA KOMANDO REGIMEN GERAK KHAS

Assalamualaikum WBT semua. Rasanya tak perlulah aku nak berintro panjang sangat kerana tujuan aku menulis di sini adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman-pengalaman misteri sewaktu aku berkhidmat di dalam perkhidmatan tentera dahulu (Regimen Gerak Khas). Aku perkenalkan diri dahulu. Aku Arshad dan rasanya lebih mesra sekiranya dipanggil dengan nama #KomandoArshad ataupun #CDOArshad. Telah berkhidmat, berjuang, dan berbakti demi negara yang berdaulat lagi tercinta ini selama lebih 20 tahun.

Banyak masa yang telah aku luangkan di hutan batu, bangunan pencakar langit, dalam hutan rimba, bukit, dan gunung sepanjang karierku sebagai seorang anggota tentera. Tidak ketinggalan juga dengan misi-misi khas ke luar negara seperti di Bosnia, Pakistan, Somalia, Timor Leste, Indonesia, Kemboja, Balkan, Singapura, dan juga Afghanistan. Banyak peristiwa misteri, seram, dan ganas yang menjadi asam garam dalam kehidupan kami selaku barisan pertahanan pertama negara. Aku ingin tekankan di sini bahawa gaya penulisan dan bahasa yang aku gunakan mungkin agak kasar dek pembawakan diri yang sudah terbiasa dengan gaya hidup yang BRUTAL lagi GANAS. Seperkara lagi adalah tidak semua operasi dan misi yang boleh aku ceritakan di sini kerana faktor keselamatan negara.

Aku hanya akan bercerita mengenai operasi umum. Aku bukanlah seorang penulis yang setaraf dengan Datuk A. SAMAD SAID ataupun penulis-penulis lain yang sememangnya penuh dengan ilmu kesusasteraan di dada kerana aku adalah seorang anggota Tentera; Komando – HIDUP M**I DEMI SEBUAH KEAMANAN.

PAHANG WARFARE TRAINING – TAHUN 199*

Ketika itu aku dan unit Regimen Gerak Khas (RGK) yang telah berjaya melepasi sesi rekrut telah ditugaskan untuk menjalankan misi latihan tempur jarak jauh bersama-sama dengan unit Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di dalam hutan tebal Pahang. Operasi yang memakan masa selama lebih kurang 4 minggu itu adalah bertujuan untuk mengasah dan meningkatkan lagi kecekapan kami di dalam menangani anasir-anasir buruk yang sentiasa muncul mengganggu ketenteraman dan keharmonian negara Malaysia yang tercinta ini. Unit kami terbahagi kepada 20 anggota RGK, 70 anggota RAMD, 5 orang Sarjan, 2 orang Korporal dan 3 orang Leftenan yang bertindak sebagai ketua platun. Situasi latihan adalah sama seperti di medan perang yang sebenar. Fizikal dan mental setiap anggota diuji sehabis mungkin selari dengan moto RGK – CEPAT & CERGAS.

Kami telah dipecahkan kepada 3 platun. Platun kami dinamakan Charlie Bravo 33 dan berkekuatan 30 anggota dengan 3 orang pegawai.

Sesi taklimat ringkas sesama ahli platun telah dijalankan. Masing-masing telah diberikan tugas dan aku telah ditugaskan untuk membuat lakaran perimeter bagi kawasan-kawasan yang akan kami terokai sepanjang tempoh misi latihan tersebut berlangsung. Sepanjang misi latihan ini berlangsung, aku telah dibantu oleh 2 anggota RGK yang juga merupakan sahabat baik ketika menjalani latihan asas sebelum bergelar komando dahulu. Mereka adalah prebet Eddy Kapir dan prebet Samsul.

Tepat jam 8 malam kami bertiga mula bergerak keluar dari kawasan kem untuk melakukan ‘scouting & tracking” bagi memudahkan pergerakan platun kami pada keesokan harinya. Ketika sedang sibuk melakukan ‘tracking’, aku terasa seperti diperhatikan oleh seseorang lalu aku mengarahkan Eddy Kapir dan Samsul untuk memerhatikan kawasan di sekeliling kami dengan lebih cekap dan teliti. Tiada musuh yang kelihatan di situ. Apa yang ada hanyalah 2 ekor anak b**i hutan yang seakan-akan mabuk ketum sedang berlari melintasi kami pada waktu itu. Ketika kami ralit menyaksikan keletah manja anak-anak b**i hutan itu bermain, Eddy Kapir telah ternampak beberapa kesan tapak kaki yang masih segar muncul di trek laluan kami. Kami mula menjejaki kesan tapak kaki berkenaan namun kesan tapak kaki berkenaan hilang tanpa kesan di sebatang pokok balak tua yang agak besar. Aneh kerana tiada sesiapa pun yang berada di atas pokok itu. Kawasan tersebut juga agak lapang. Tiada kesan pencemaran ataupun sebarang tinggalan bukti untuk mensahihkan bahawa kawasan tersebut pernah dijejaki oleh manusia. Oleh kerana waktu sudah menginjak ke jam 11 malam, kami bertiga terpaksa pulang semula ke kem untuk melaporkan dan menyerahkan laporan kepada ketua platun kami iaitu Leftenan Huzairi.

Tepat jam 9 pagi keesokan harinya, platun kami mula berangkat ke destinasi seterusnya iaitu menghala ke arah utara hutan Pahang. Aku tercium aroma bau masakan seakan-akan bau ikan panggang serta masakan gulai daging kahwin di setiap trek laluan tersebut. Aku merasakan mungkin musuh sedang berada di kawasan berdekatan dengan laluan kami. Aku memanggil Eddy Kapir dan Samsul untuk bertanyakan tentang bau masakan itu tetapi mereka berdua menafikan sekerasnya akan perihal bauan itu. Hidungku makin kuat mencium bau masakan itu. Aku menghampiri Leftenan Huzairi lalu memaklumkan tentang bau itu.

“Tuan, saya tercium bau orang masak gulai. Saya rasa kita dah dekat dengan kawasan musuh.” Jelasku kepadanya sambil memerhatikan seluruh kawasan laluan kami dengan seteliti mungkin.

“Kau ni skot, aku taulah yang perut kita semua kosong, sampai ke situ imaginasi kau. Itu perasaan kau je.” Jawabnya selamba.

“Back into your position skot.” Arahan yang cukup pendek tetapi tegas daripadanya.

Aku mengiakan sahaja katanya. Mungkin ada betulnya kerana dari sudut sains reseptor-reseptor rasa akan mudah terangsang apabila salah satu komponen penting tubuh badan berada di dalam keadaan tidak sempurna ataupun tidak berfungsi dengan baik. Aku mengandaikan bahawa aku mungkin dipermainkan oleh psikologi minda akibat kelaparan dan keletihan. Bau-bauan tersebut hilang apabila kami semua berehat seketika di sebuah lagun kecil di kawasan laluan trek tersebut. Perjalanan diteruskan semula kerana kami semua harus tiba di lokasi seterusnya sebelum malam menjengah.

Kami semua tiba di lokasi yang ditetapkan ketika hari sudah lewat petang. Lokasi baru kem didirikan lalu aku memasang pangkin tidurku bersebelahan dengan Samsul dan Eddy Kapir. Lokasi kawasan istirehat kami agak terlindung daripada anggota-anggota lain. Oleh kerana begitu lapar, kami mula memasak pek rangsum bersama-sama.
Sedang kami khusyuk berbual dan memasak, aku ternampak seekor ular tedung selar berwarna hitam yang panjangnya lebih kurang 15 kaki sedang berdiri menegak betul-betul di hadapan kami. Daripada pengalaman lepas, aku tahu bahawa ular tersebut berada di dalam posisi menyerang. Sebarang pergerakan ataupun getaran kecil mampu menyebabkan nyawa kami melayang dalam tempoh masa yang singkat sahaja.

Ilmu yang ditimba ketika dalam proses latihan dahulu mula dipraktikkan. Kami bertiga mendiamkan diri, tidak bergerak daripada posisi walau seinci, bertenang serta berdoa kepada Allah supaya ia beredar daripada situ dengan secepat mungkin. Lebih kurang 18-20 minit kemudian ia perlahan-lahan merendahkan badannya lalu menyusur mendekati menghampiri kami. Bunyi desiran srrr srrr srrr ditambah pula dengan saiz badannya yang sebesar pangkal betis orang dewasa cukup menggerunkan. Aku berada di dalam postur bercanggung, Samsul di dalam postur berdiri, manakala Eddy Kapir pula dalam keadaan berbongkok. Sudah lebih setengah jam kami terpaksa menahan lenguh kerana berada di dalam posisi tersebut.

Srrrr…srrr…srrr

Ular itu mula melingkar membelit kaki Samsul. Muka Samsul merah padam akibat ketakutan. Belitannya begitu kuat, badannya kembali berdiri menegak manakala kepalanya dikembangkan betul-betul berhadapan dengan muka Samsul. Aku melihat kaki Samsul terketar-ketar akibat menahan kesakitan. Sebelum berlakunya kejadian yang lebih buruk, aku merancang untuk m******h sahaja ular itu tanpa sebarang prejudis. Pisau rambo yang terselit di sisi kiri pinggangku dikeluarkan dari sarungnya secara perlahan-lahan dan cermat. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya, berdiri lalu berjalan dengan perlahan-perlahan menghampiri Samsul. Tangan kiriku yang menggenggam pisau itu diangkat separas dada. Entah macam mana ular itu dapat menghidu rancanganku. Kepalanya tiba-tiba sahaja berpusing ke belakang. Kini ia mengadap mukaku pula. Kepalanya kembang kecut sambil lidahnya terjelir-jelir hampir menyentuh kulitku. Jaraknya dengan diriku hanya dalam sekitar 2 inci sahaja. Perancanganku telah gagal. Aku sudah berada di ambang maut. Sakaratulmautku telah menjengah tiba. Aku hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah di samping berdoa di dalam hati supaya terselamat daripada diserang olehnya.

PANG!

D***h pekat berwarna merah gelap memercik mengenai seluruh wajahku. Ular itu maut akibat terkena sedas tembakan yang dilepaskan daripada salah seorang pegawai RAMD yang kebetulan melalui kawasan rehat kami iaitu Sarjan Ali.

“Fuh…Alhamdulillah. Aku dah nak arwah tadi. Syukur!” Spontan aku memberi reaksi berkenaan. Bau d***h ular itu begitu hamis dan kuat.

“Terima kasih tuan. Kalau tuan takde tadi rasanya saya dah arwah kot. Headshot tu tuan! Salute dan terima kasih tuan!”

“Yang hampa bertiga bahalol sangat duk lepak jauh-jauh pasaipa? Nasib baik aku lalu kat sini. Kalau aku tak mai sampai ka sudahlah hampa duk lagu tu. Silap haribulan mampuih kena patuk, bukan mampuih sebab peluru!” Tutur Sarjan Ali panjang lebar dalam loghat pekat Kedahnya.

Kejadian tersebut cukup menginsafkan kami. Apa yang penting adalah kami sepatutnya berada berdekatan dengan anggota lain, bukannya menjauhkan diri semata-mata privasi. Bergerak di dalam satu pasukan, melindungi satu pasukan, dan yang paling penting, jangan pentingkan diri sendiri.

Pada malam terakhir misi latihan itu berlangsung, aku telah diganggu dengan hebatnya oleh makhluk puaka yang mendiami hutan tersebut.

“Kau rasa diorang semua menyorok kat mana Shad?” Soal Samsul tatkala melirikkan pandangannya ke arah semak samun di hadapan kami.

“Aku tak tau. Aku rasa samada diorang semua dah bergerak ke selatan ataupun diorang dah lari keluar ke Jerantut.” Jawabku pantas sambil menghembus asap rokok Marlboro yang sempat dirembat daripada seorang anggota RGK pada sebelah petangnya.

“Jerantut?” Soalnya lagi.

“Ya.”

“Kenapa Jerantut?”

“Itu teori aku je. Kau ingat aku ni expert sangat ke?”

Sedang kami berdua berkawal di situ, kami dikejutkan dengan kehadiran sekujur jasad yang lengkap berkafan muncul berdiri di hadapan kami (Hantu Pocong). Pada mulanya aku menyangkakan bahawa mungkin ia adalah sebahagian daripada mod latihan ketenteraan di mana tentera terlatih dihantar untuk melakukan risikan dalam bentuk penyamaran di samping bertujuan untuk melemahkan semangat kami, namun setelah diperhatikan dengan teliti aku cukup yakin bahawa ianya bukan seorang manusia. Ia sememangnya seekor hantu pocong. Mana mungkin seorang manusia boleh berdiri di dalam keadaan terapung tanpa berpijak pada tanah. Aku yang kali pertama berhadapan dengan insiden berkenaan begitu takut dan seram. Bohonglah sekiranya seseorang itu tidak takut ataupun seram ketika kali pertama berhadapan dengan entiti ghaib. Aku sendiri menggigil dan hampir pitam.

“Shad…” Samsul memegang bahuku dan menghalakan tangannya ke arah hantu pocong itu.

Di dalam keadaan yang serba kalut itu aku telah mengsuakan pistol beretta yang sememangnya telah tergenggam kemas di tangan kiriku ke dahi hantu pocong itu. Aku di antara logik dan tidak. Aku hampir melepaskan tembakan tetapi mindaku mengatakan bahawa mana mungkin seekor hantu boleh d*****h dengan sebutir peluru hidup. Hanya doa dan tawakal pada Allah sahaja yang mampu menewaskan mereka. Aku menoleh ke arah Samsul. Dia hanya mampu untuk menutup matanya. Ternyata dia juga mempunyai perasaan yang sama sepertiku. Aku semakin menggigil ketakutan, kepala terasa kembang, manakala kakiku seperti dipaku terus ke bumi. Hantu pocong itu merenung terus ke dalam mataku seolah-olah dia sedang cuba untuk berinteraksi denganku. Aku cuba untuk membaca ayat Qursi namun tunggang-langgang jadinya. Samsul pula seperti ingin melaungkan azan namun ia langsung tidak kedengaran seperti laungan azan. Bunyinya lebih kepada seperti orang yang baru sahaja belajar Muqaddam. Haru-biru serta jahanam jadinya.

“Sul, aaaku rasa…”

“Kau tak payah rasalah Shad…”

Aku seperti seekor lipas kudung berlari meredah semak-samun untuk pulang ke kem. Apa yang aku fikirkan ketika itu adalah untuk sampai ke kem dengan selamat. Sesampainya di kem aku hanya mendiamkan diri dan menyertai beberapa anggota lain yang sedang bersembang di hadapan unggun api. Aku tidak dapat melupakan kejadian ngeri tersebut. Mukaku pucat lesi seperti mayat akibat ketakutan. Aku hanya berzikir dan berdoa semoga tidak diganggu lagi oleh hantu pocong itu.

“Shad, Samsul mana?” Eddy Kapir datang menepukku dari belakang secara mengejut dan bertanyakan soalan itu ketika aku sedang ralit berzikir.

Pada detik itu, aku baru teringatkan akan Samsul. Terasa bersalah dan bodoh kerana lari meninggalkannya di situ berseorangan. Aku mencari-cari kelibat Samsul di kawasan kem itu tetapi dia tiada di situ. Aku mengesyaki mungkin dia masih berada di lokasi kami terjumpa hantu pocong itu. Aku tidak menceritakan kepadanya ataupun sesiapa tentang gangguan tersebut kerana bimbang ditertawakan dan digelar penakut oleh seluruh penghuni di kem itu. Aku mengajak Eddy Kapir untuk menemaniku ke lokasi itu semula.

Baru sahaja kami hendak melangkah keluar dari kawasan kem, Samsul pula berjalan masuk dengan selamba seolah-olah gangguan itu tidak memberinya sebarang impak ketakutan kepadanya. Dia hanya mendiamkan diri tanpa bertegur sapa dengan kami lalu terus menuju ke kawasan rehatnya. Mungkin dia merajuk kerana aku meninggalkannya berseorangan di situ. Tidak berapa lama kemudian mataku terasa begitu berat, bahu terasa lenguh lalu aku mengambil keputusan untuk tidur.

Aku melihat Samsul sedang nyenyak tidur di atas pangkin yang dibina bersebelahan pangkinku. Aku terus merebahkan diri di situ. Aku terjaga dari tidur pada jam 3 pagi. Aku melihat masih ada lagi anggota lain yang belum tidur dan sedang rancak bersembang sesama mereka pada waktu itu. Pangkin tidur Samsul kelihatan kosong. Pada tanggapanku mungkin dia keluar melepaskan hajat ataupun turut sama dengan anggota lain menghabiskan masa dengan melepak. Aku cuba melelapkan semula mata namun tidak berhasil. Aku masih teringatkan tentang peristiwa gangguan hantu pocong yang baru sahaja beberapa jam mengganggu kami itu.

Aku mencapai kole besi yang tergantung di hujung pangkin lalu membancuh sekole teh o panas. Fikiranku masih ligat memikirkan wajah buruk hantu pocong itu. Mukanya buruk dipenuhi cacing, kulitnya berwarna hitam, mata merah menyala bak buah strawberi yang sedang masak ranum, d***h meleleh keluar dari hidung, mata, serta mulutnya. Kain kafannya pula dipenuhi dengan kotoran lumpur kering dan d***h kering. Aku kembali berbaring. Mata dan otakku masih segar. Seluruh penghuni kem sudah melelapkan mata kecuali beberapa orang anggota yang sedang berkawal menjaga keselamatan penghuni di kem itu. Pangkin Samsul masih lagi kosong. Ke manakah dia? Aku berasa tidak sedap hati lalu aku mencarinya di segenap ruang rehat yang terdapat di dalam kem itu. Ternyata dia belum pulang lagi daripada aktiviti melepaskan hajatnya. Akan tetapi, mengapakah begitu lama masa yang diambil olehnya untuk melepaskan hajat? Adakah dia mengalami kesukaran untuk berak? Ataupun kes yang lebih berat adakah dia telah diculik oleh pihak musuh? Pelbagai persoalan mula bermain di minda. Aku mendekati seorang anggota RGK yang sedang meronda di situ dan bertanyakan tentang Samsul namun dia mengatakan bahawa tiada sesiapa pun yang masuk dan keluar dari kawasan kem sejak dari tengah malam lagi. Perkara tersebut cukup merunsingkanku. Aku melihat jam sudah menghampiri 4:30 pagi. Aku mengambil keputusan untuk mencarinya.

Aku hanya membawa lampu gasolin dan mula melakukan pencarian. Aku membaca segala surah yang terlintas di kepalaku. Aku memberanikan diri untuk kembali semula ke kawasan gangguan hantu pocong itu. Jantungku berdegup kencang. Dup dap dup dap dup dap dup dap. Bulu romaku merinding. Aku melihat Samsul terbaring di bawah sebatang pokok berhampiran dengan tempat kemunculan hantu pocong itu.

“Sul, bangun Sul. Bangun, kau buat apa kat sini?” Dia terpinga-pinga membuka matanya. Kelihatan dia begitu lemah sekali.

Persoalan demi persoalan mula membelenggu benak fikiranku. Mengapakah dia terbaring lemah di situ? Mengapakah begitu jauh lokasi untuk membuang hajat yang diambil olehnya dan yang paling penting mengapakah di kawasan gangguan hantu pocong itu yang menjadi pilihannya untuk melepaskan hajat? Melihatkan keadaannya yang begitu lemah dan tidak mampu untuk berkata-kata, aku terpaksa menggendongnya di belakangku untuk pulang ke kem.

“Kau punya berat ni macam berat dosa bro.” Jelasku padanya ketika berjalan pulang ke kem.

“Tak faham aku. Sul Sul…”

Akhirnya kami selamat sampai ke kem. Belum sempat aku masuk ke kawasan kem aku ditahan dan ditegur oleh 2 orang anggota RGK yang berkawal di situ.

“Skot, kalau lapar pun agak-agaklah…” Teguran sinis daripada prebet komando 1.

“Ye daa, kita ni bukan taraf darurat lagi. Banyak lagi stok makanan yang ada. Astafighullahalazim.” Celah prebet komando 2.

“Korang cakap pasal apa benda ni?” Soalku dalam nada sedikit marah akibat keletihan dan disoal dengan persoalan seolah-olah memerliku.

“Dah yang skot kendong cik Bi tu dah kenapa? Kebulur nak makan b**i panggang salut madu ke? Hahahahaha…Hahahaha…” Kedua-dua anggota komando itu galak mentertawakanku. Beberapa orang anggota RGK dan RAMD yang juga kebetulan berada di situ menghampiriku lalu mentertawakan dan memerliku.

Di saat itu, pada ketika itu, aku melepaskan genggaman tanganku terhadap ‘SAMSUL’. ‘SAMSUL’ sedang lentok berdengkur dengan kuatnya di belakangku. Krohhh krohhh krohhh. Bahang kepanasan daripada tubuh badannya terasa begitu hangat sekali.

BEDEBUP

Seekor b**i hutan dewasa jatuh menyembah ke bumi. Rupa-rupanya bukan Samsul yang aku kendong bawa pulang tetapi seekor b**i hutan jantan yang masih bernyawa. Suasana bertambah kecoh apabila b**i itu tersedar dari lamunan mimpinya lalu ia berlari masuk ke dalam kawasan kem dan merempuh segala benda yang terdapat di dalam kem itu. Aku kini di ambang bala kerana aku telah menyebabkan kekacauan dan kesusahan kepada semua penghuni kem itu. Pada sebelah paginya aku telah dihukum untuk mengemas segala kelengkapan dan peralatan yang bersepah lagi bertaburan akibat kecuaian b**i itu mengawal pemanduannya.

“Kau ke mana semalam dogol?” Soalku kepanasan kepada Samsul yang sedang melakukan kerja pembersihan di tapak kawasan rehatnya.

“Weh, aku dengan Eddy keluar baselah. Tracking and reccee. Yang kau macam marah-marah ni kenapa bang?”

“Yelah tu. Kau ingat aku tak bimbang kat kau ke? Semalam kau dah balik pastu terus tidur jadi aku ingat kau oklah. Tahu-tahu kau takde. Aku terus cari kau sampailah jadi kes bawak balik b**i tu.” Jelasku panjang lebar.

“Berapa kali aku nak cakap? Aku dengan Eddy buat recceelah. Kitorang tidur kat luar base. Bila masa pulak aku balik tidur kat sini? Kau tanya sendiri si Eddy nanti.”

“Ha? Habis tu yang pocong tu? Kau dengan aku?” Soalku yang mula panik dan hampir terkena serangan jantung.

“Aku dengan kau apa? Pocong apa pulak ni? Kau pekena cik Husin (Ganja) ke bang?”

“Allahuakbar!” Barulah aku tahu bahawa sebenarnya hanya aku seorang sahaja yang menjadi mangsa gangguan itu.

Leftenan Huzairi mengesahkan bahawa memang Eddy Kapir dan Samsul ditugaskan untuk membuat pemantauan dan risikan bersama-sama. Persoalan yang membelenggu jiwaku ketika itu adalah:

  1. Siapakah sebenarnya ‘Samsul’ yang menemaniku berkawal dan bersama-sama diganggu oleh hantu pocong itu?
  2. Siapakah sebenarnya ‘Eddy Kapir’ yang menegur dan bertanyakan tentang kehilangan Samsul ketika itu?
  3. Siapakah sebenarnya ‘Samsul’ yang telah pulang ke kem dan tidur bersebelahan denganku ketika itu?
  4. Bagaimanakah aku mampu untuk mengangkat dan menggengdong seekor b**i hutan dewasa dengan selambanya di belakangku tanpa diserang olehnya? Adakah b**i itu sememangnya tidur m**i ataupun ia berpura-pura tidur untuk merasai suasana dikendong oleh seorang manusia?

Permainan jin dan iblis adalah sangat licik. Mereka boleh berubah bentuk dalam sekelip mata sahaja. Kisah seram di atas adalah salah satu daripada 1001 peristiwa seram yang pernah hadir di dalam hidupku. Andai ada umur panjang akan aku ceritakan lagi kisah seram yang lain. Insya-Allah. Assalamualaikum WBT.

#KomandoArshad #CDOArshad

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 9 Average: 4.9]
komandoarshad

67 thoughts on “#KomandoArshad – KISAH SERAM SEORANG ANGGOTA KOMANDO REGIMEN GERAK KHAS”

  1. Ayat adakah b**i berpura2 tdo utk merasai dikendong manusia tu mmg lawak …adoii pelik plak b**i x sedar erk…ntah2 dia pn kena kacau ngan antu(jin) tu huhu

    Reply
  2. Bagaimanakah aku mampu untuk mengangkat dan menggengdong seekor b**i hutan dewasa dengan selambanya di belakangku tanpa diserang olehnya? Adakah b**i itu sememangnya tidur m**i ataupun ia berpura-pura tidur untuk merasai suasana dikendong oleh seorang manusia?

    Bro CDO Arshad, akak xthn part ni..😂😂😂🤣lama dah xon fs ni.cerita CDO Arshad ni akak bc yg first terus jatuh hati. Haha. Xnk intro..tp bole 3 perenggan akak bc.xpe2…sesi suai knl yg membantu akak n para pembaca lebih knl bidang tugas CDO Arshad n khususnya bidang pengaskaran ni..

    Cerita best. Tulisan cantik. Xpeelu terlalu sastera sgt utk mnulis.kadang2 penulisan yang simple, gaya bahasa yang mudah itu lebih menarik kami nak baca. Teruskan next episod komando. Akak folo cerita komando pasni..😌😌.tq

    Reply
  3. Lama xmasuk sini.
    Byk iklan sgt.dah la xleh tutup.
    Selama ni mkcik kagum n respek sbb ingt klu askar, tahap takut kt makhluk tu kurang la sket dr rakyat mahein.rupanya 2x lima.
    Patut klu xd dlm modul adakanlh latihn jiwa mcm ni.ni taf kt badan je..jiwa tak…tringt cerita sorg askar ke polis y pegi pukui cik ponti gan dayung.

    Reply
  4. best la cerita ni. mohon komandoarshad sambung cerita lagi. cara penulisan pun bagus. senang faham dan yang penting tiada typo dan short forms 🙂

    Reply
  5. Terima kasih perwira negara di atas tugas murni anda.
    Syabas kerana cerita sangat menarik dan realistik.
    Ceritalah lagi ye….susah nak dapat cerita2 mistik dari perajurit!

    Reply
  6. Adakah b**i itu sememangnya tidur m**i ataupun ia berpura-pura tidur untuk merasai suasana dikendong oleh seorang manusia?
    *hahahaha x gune punya b**i

    Reply
    • Mmg best giler baca cara penulisan en komando kita.bagi sy dia nk tipu identiti ke APA ke janji kita suka baca cerita dia..x semua org blh olah cita yg best mcmgini.teruskan menulis En komando walopon cita rekaan ke cita panglaman sendiri..mmg 10/10

      Reply
    • “…tujuan aku menulis di sini adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman-pengalaman misteri sewaktu aku berkhidmat di dalam perkhidmatan tentera dahulu (Regimen Gerak Khas).”

      Penipu dimana mana.

      Ada beberapa point yang menunjukkan penulis ni bukan tentera, apatahlagi komando:

      Lepas kursus rekrut, bukan terus jadi komando. Kena lulus Kursus Asas Komando, baru boleh jadi Komando Gerup Gerak Khas (GGK).

      Rakan rakan sejawatan Prebet dibahasakan “Prebet” dalam artikel ini. Walhal Prebet Komando dipanggil “Trooper”.

      Sarjan RAMD dibahasakan dipanggil “Tuan”, walhal dalam tentera Sarjan dipanggil “Sarjan” atau singkatan “Jen”. “Tuan” adalah panggilan untuk Pegawai (Lt Muda ke atas).

      Reply
  7. ok cite ni kelakar..kalau ikot kiraan da level pakcik2 juga komando nih..tapi..terima kasih kerana berkongsi cerita..tak semua orang dapat rasa..=)

    Reply
    • “…tujuan aku menulis di sini adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman-pengalaman misteri sewaktu aku berkhidmat di dalam perkhidmatan tentera dahulu (Regimen Gerak Khas).”

      Penipu dimana mana.

      Ada beberapa point yang menunjukkan penulis ni bukan tentera, apatahlagi komando:

      Lepas kursus rekrut, bukan terus jadi komando. Kena lulus Kursus Asas Komando, baru boleh jadi Komando Gerup Gerak Khas (GGK).
      Rakan rakan sejawatan Prebet dibahasakan “Prebet” dalam artikel ini. Walhal Prebet Komando dipanggil “Trooper”.
      Sarjan RAMD dibahasakan dipanggil “Tuan”, walhal dalam tentera Sarjan dipanggil “Sarjan” atau singkatan “Jen”. “Tuan” adalah panggilan untuk Pegawai (Lt Muda ke atas).

      Tengok kat ruangan komen, ramai kena lebong 🙂

      Reply
  8. oh terima kasih kt cik peah komen kt cerita yg ni.kalo x kita mencari2 cerita ni x jumpe2. repeat baca lg sekali.best giler! ayah sy pun tentera tp dia x byk cerita bab2 ni.. tak tau lah dia x penah kene kacau ke or dia mmg sendiri yg x mau cerita.

    Reply
  9. Taun 90an mesti 1 geng dgn Tun Mamat dgn Sniper Gunung..salute otai RGK…cerita ayah ku pulak dlm PPH masa darurat dlu memang kna usik dlm hutan tp hanya asap putih ja..

    Reply
    • “…tujuan aku menulis di sini adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman-pengalaman misteri sewaktu aku berkhidmat di dalam perkhidmatan tentera dahulu (Regimen Gerak Khas).”

      Penipu dimana mana.

      Ada beberapa point yang menunjukkan penulis ni bukan tentera, apatahlagi komando:

      Lepas kursus rekrut, bukan terus jadi komando. Kena lulus Kursus Asas Komando, baru boleh jadi Komando Gerup Gerak Khas (GGK).

      Rakan rakan sejawatan Prebet dibahasakan “Prebet” dalam artikel ini. Walhal Prebet Komando dipanggil “Trooper”.

      Sarjan RAMD dibahasakan dipanggil “Tuan”, walhal dalam tentera Sarjan dipanggil “Sarjan” atau singkatan “Jen”. “Tuan” adalah panggilan untuk Pegawai (Lt Muda ke atas).

      Reply
  10. Adakah b**i itu sememangnya tidur m**i ataupun ia berpura-pura tidur untuk merasai suasana dikendong oleh seorang manusia?

    hahahhaha x tahan gelak ak weyh

    Reply
  11. Syukur Alhamdulilah…sepanjang saya berkhidmat didalam RGK dari tahun 1971 sehingga bersara pada tahun 1993 dan hampir 3/4 dari tempoh perkhidmatan terlibat dengan operasi dihampir setiap negeri yang terancam dengan Penganas Komunis tidak pernah mengalami perkara ganjil sebegini.

    Reply
  12. “…tujuan aku menulis di sini adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman-pengalaman misteri sewaktu aku berkhidmat di dalam perkhidmatan tentera dahulu (Regimen Gerak Khas).”

    Penipu dimana mana.

    Ada beberapa point yang menunjukkan penulis ni bukan tentera, apatahlagi komando.

    Lepas kursus rekrut, bukan jadi komando.

    Kena lulus Kursus Asas Komando, baru boleh jadi Komando Gerup Gerak Khas (GGK).

    Rakan rakan sejawatan Prebet dibahasakan “Prebet” dalam artikel ini.

    Walhal Prebet Komando dipanggil “Trooper”.

    Sarjan RAMD dibahasakan dipanggil “Tuan”, walhal dalam tentera Sarjan dipanggil “Sarjan” atau singkatan “Jan”.

    “Tuan” adalah panggilan untuk Pegawai (Lt Muda ke atas).

    Tengok kat ruangan komen, ramai kena lebong 😉

    Reply
    • Itu namanya sesi penjiwaan, wlpn dgn fakta yg x betul. Dalam kata mudahnya .. byk berangan nk jd spt watak yg di gambarkan😁

      Tp ada jg yg rajin, cedok pengalaman org than di olah semula jd cerita yg best.

      Jgn pelik, ramai je penulis yg sering bertukar2 watak. Ada yg suka jd polis, askar, cikgu, stewardess, jaga, split identiti( laki jd pompuan .. pompuan jd laki)😁

      Tapi yg plg sadis so far pasal sorang engineer tipu sorang ni, yg dh bertahun2 cite x de penamat .. hahahaa. Sendiri create sndiri pening x taw camane nk habiskan😂

      Reply
  13. Nampaknya banyak yg dah kena tipu dgn cerita mamat yg mengaku komando ni…

    Nak tipu budak2 dan perempuan bolih la Hahahaha

    Reply
  14. Best la. Walaupun pada awalnya dikatakan penulisan brutal tapi bagi saya penceritaannya sangat best dan teratur. Tulislah lagi pengalaman tuan. Saya ternanti-nanti.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.