Kultus Sesat

Terima kasih Mat ucapkan kepada Admin FS kalau menyiarkan karya Mat yang panjang lebar. Mat memohon maaf andainya karya ini tidak sehorror seperti harapan pembaca. Mat juga memohon maaf andaikata menimbulkan rasa tidak puas hati pembaca yang Mat menciplak, copy paste, plagiat penulisan arwah Tamar Jalis (Al-Fatihah) dan Tok Awang Ngah. Ampun maaf Mat pinta, Mat akan sedaya upaya menyingkirkan gaya bahasa berkenaan. Without Flower-Flower:

“ Dialah Yang menguasai di Hari Pembalasan, Maha Mengetahui tipu daya dan muslihat,” Pak Long tenang berhadapan dengan Hakim. Aku lihat renungan mata Pak Long kosong. Kosong yakni didalam dimensi dia dan Hakim. Bibir Hakim mengukir senyuman. Senyuman yang penuh helah. Pertuturan Hakim jelas dan lancar namun butir-butir percakapan seperti dialek asing. Pak Long aku kira sudah menemui jalan buntu dalam perbualannya bersama Hakim. “Bersabarlah,” ayah merapati Murad iaitu ayah Hakim yang duduk berteleku di jendela balkoni. “Aku betul-betul hilang punca Mat Den, semenjak dia berhenti kerja dan pulang ke rumah, semuanya serba tidak kena, semuanya salah didepan matanya,” Murad binggung dengan keadaan anak bujangnya Hakim yang tiba-tiba mudah meradang seperti dirasuk terutama ketika bulan penuh.

Ketika aku mundar-mandir dilaman rumah, “Abang Mat, duduklah sini, pening aku tengok abang Mat kehulu kehilir dalam luar rumah,” sapa Hakim di meja makan. “Hemm, aku tengah cari tangkal kalau-kalau ada dalam rumah ini, hahaha,” aku merapati Hakim. “Hish, merepek, mana ada benda mengarut tu sekarang ni,” Hakim menyangkal jawapan aku. “Huh, manalah tahu, hang tak marah aku kan?,” aku berseloroh. “Abang Mat sindir aku ya, mari kita ke bilik aku,” Hakim menyambar tanganku. Dari jauh sorotan anak mata ayah mengekoriku dan Hakim menaiki anak tangga. “Duduklah abang Mat, aku nak tunjukkan sesuatu,” sambil Hakim ke almari kayu mendapatkan “sesuatu”. “Hakim, hang ini kerja apa dekat Kuala Lumpur?, banyak betul gambar atas meja dan dinding bilik,” aku berdiri meneliti setiap gambar yang tertampal didinding. “Aku kerja cameraman,” ringkas jawapan yang diberi. “Hah, mari abang Mat,” Hakim tersenyum sambil meletakkan beg kanvas diatas lantai seramik.

Dikeluarkan segala kepingan polaroid dan filem dibiarkan berselerak.
“Aku tahu semua orang tuduh aku gila, tapi aku tak gila abang Mat, cuma aku kadangkala gagal mengawal diri dan emosi aku sahaja,nah! tengoklah, mana ada orang gila buat kerja macam aku ni,” Hakim mengeluh sambil membelek kepingan Polaroid. “Ini gambar apa Hakim?,” aku meneliti gambar Polaroid didalam sampul putih yang tertera lokasi dan tarikh diambil. “Oh, ini gambar perkahwinan orang kaya di Bangsar, cantikkan gambarnya?,” ujar Hakim. Aku tidak mengendahkan Hakim yang berterusan bercerita akan keseronokkan kerjayanya. “Wahhhh…Hakim, gambar hang dengan Mat Salleh pun ada! Hebat betul hang, dimana ni? tempat apa ni?,” aku menunjukkan Hakim beberapa keping gambar Polaroid. Hakim terdiam. Anak matanya berlari-lari. Seolah-olah bekerja keras untuk mengingatinya kembali.

“Aku ingat-ingat lupa abang Mat, dimana ya? Aduh!,” ujar Hakim kebingungan. Tiba-tiba pintu dikuak perlahan,“ Mari makan tengah hari dahulu,” mak Esah mengejutkan kami didalam bilik. Sewaktu di meja makan, Hakim membatu. Aku rasa Hakim masih lagi mencari jawapan pada gambar tadi. Aku pula dihambat perasaan bersalah kerana mengganggu fikirannya. “Hah, kenapa tak makan?,” Murad menegur anak bujangnya yang masih tidak menjamah hidangan. “Hah!! Aku sudah ingat abang Amin, aku sudah ingat! Old Town! Old Town!,” Hakim menepuk meja sambil memandang aku dengan matanya yang bersinar. Ayah memandang aku. Aku hanya tersenyuman kambing.

Seminggu kemudian, Murad menghubungi ayahku berkaitan Hakim. Lewat petang, “Amin, aku dan Pak Long akan ke Kuala Lumpur bersama Murad dan anaknya, kalau hang ada kelapangan kita berjumpa disana,” ayah mematikan perbualan dihujung talian. Mujurlah ketika itu aku pun berniat hendak ke Kinrara atas sedikit urusan kerja, jadi aku tidaklah berkeberatan.

Dicelah hiruk-pikuk kota raya, aku memandu tenang menuju ke destinasi yang ditetapkan ayah. Fikiranku dibawa melayang jauh mengenangkan penyakit Hakim yang semakin melarat. Hampir sahaja keluarganya memutuskan untuk mendapatkan rawatan dan kaunseling di Hospital Bahagia apabila Hakim tiba-tiba sahaja mengamuk di kawasan perumahan dengan menghayun parang. Salah orang juga mengejeknya gila. Aku menemui ayah di perkarangan Masjid Kampung Melayu Dato’ Harun sewaktu azan Zohor berkumandang. Usai berjemaah, aku membawa ayah dan Hakim menaiki keretaku, manakala Murad dan Pak Long mengekori kami dari belakang. Hakim girang berjumpa aku, banyak perkara yang dibualkan didalam kereta, tidak seperti orang yang sakit.

Suasana diam seketika, “Hah, abang Amin masuk sini, selekoh kiri terus ke atas bukit,” Hakim memberi arahan. “Betulkah jalan ini Hakim?, hang jangan main-main, atas bukit ini kawasan elite,” aku sedikit goyah apabila kereta menyusuri deretan rumah agam berkelas mewah. Bukan calang-calang pangkat dan status untuk mendiami kawasan seperti ini fikirku. Tetapi apa yang aku lebih musykil ialah jarak kedudukan rumah-rumah disini terlalu jauh diantara satu dan yang lain. Mereka disini seolah-olah mendambakan kehidupan peribadi atau privasi. Entahlah.

Setibanya kami di perkarangan sebuah rumah agam yang dibina daripada kayu, ayah ku lihat berkumat kamit didalam kereta tidak berhenti-henti. Apabila aku dan Hakim cuba hendak turun, ayah sedaya upaya mengelak. Begitu juga dengan Murad dan Pak Long dibelakang. Aku buntu kenapa ayah dan Pak Long tidak mahu turun daripada kereta. Tidak lama, kami bersama-sama meninggalkan perkarangan rumah agam tersebut. Rumah agam putih biru yang terbiar kosong, ada rajah diatas loteng. Lamannya dihiasi rumput hijau seperti permaidani. Cukup terpelihara dan terjaga dengan dikelilingi pagar besi. Lokasinya pula jauh terperosok di pinggir bukit.

“Huh, tempat apa yang hang dah pergi ni Hakim?,” ulang ayah berkali-kali kepada Hakim di sebuah warung anak Kelantan di Kampung Dato’ Harun. “Seingat saya, saya ada tugasan bagi acara keramaian di rumah tu Pak Ngah,” jujur Hakim tanpa berselindung. “ Huh, jangan sembarang keramaian hang masuk, keramaian apa disitu Hakim?, belum pernah lagi aku lihat sebegini,” ayah menggelengkan kepala. Aku pula menyulam nasi kerabu sambil mendengar perbualan antara Hakim dan ayah. Pak Long? Pak Long berada di masjid tidak jauh daripada warung. “Entahlah Pak Ngah, seingat saya, sewaktu saya bertugas sebagai cameraman, rumah agam itu cukup meriah dengan para jemputan, dewannya luas disimbahi pancaran lampu limpah, di luar laman tersusun kereta mewah,” ujar Hakim dengan jelas. “Apa yang mereka buat?,” ayah cuba untuk mengetahui lebih lanjut. “Saya tak ingat Pak Ngah, saya cuma menangkap gambar sahaja,” wajah Hakim menjadi cemas apabila ayah memaksanya untuk mengingati semula perkara yang terjadi. “Semua yang datang itu bukan sembarang jemputan,” ayah mendengus. “Soalan yang terakhir, apa yang hang dapati disana?,” ayah mengulung daun nipah bersama tembakau basah. Dihembus kepulan asap nipis di wajah Hakim yang gundah-gulana. Bagai tersentak daripada khayalan, “Mereka mengeliling para lilin sambil membaca isim-isim daripada helaian kertas,” tersentak Hakim menyambut soalan ayah. “ Hemm..sudahlah, mari kita pulang sahaja,” sambil ayah menghirup teh o suam nipis.

Usai berjemaah Isyak di rumah sewa Murad di Kerinchi, Pak Long membuka segala cerita dan persoalan mengapa kami ditegah daripada turun daripada kereta. “Rumah agam yang terletak diatas bukit itu bukan sembarang rumah untuk orang luar keluar masuk”, Pak Long tersenyum memandang aku dan Hakim. Kata ayahku pula, rumah itu dipeluk siang dan malam. Cuma satu-satu masa sahaja rumah itu dibuka, khusus kepada penyembahnya yang setia. “Hang silap besar Hakim, tapi tak apalah, benda sudah terjadi,” keluh Pak Long. Diantara percaya atau tidak, wallahualam.
“Keramaian diwaktu bulan penuh, dijurang antara bukit, mereka menyembah sesuatu yang besar dan kuat, dengan mengulang bait-bait sumpah dan memperkuat isim-isim mantera, dan mereka itu golongan yang dibiarkan sesat,” Pak Long menggelengkan kepala. “Aku percaya Hakim tersilap langkah, bukan sekadar menangkap gambar tetapi telah menyertai mereka,”Pak Long menambah sambil menatap wajah Hakim. Hakim menundukkan kepala seolah-olah binggung. “Kebanyakkan mereka bukan penduduk tempatan, mereka orang asing Pak Long, tetapi cukup ramah. Aku pula tidaklah mensyaki sesuatu yang tidak baik, “. Ujar Hakim membela diri. “Ya, dan sebab itulah aku tidak menyalahkan hang, mereka ini orang asing yang datang ke sini membawa dakyah yang kita sendiri tidak pernah tahu, tapi dakyah itu sudah lama wujud,” tokok Pak Long menjawab dengan tenang. “Hemm, hang ada ambil sesuatukah disana Hakim?,” Murad mengajukan soalan kepada anak bujangnya. “Ada, abang simpan dirumah sebagai koleksi,” jawab Hakim pantas. “Esok, usai Subuh kita pulang ke kampung,” Pak Long menyimpulkan perbualan di ruang tamu lalu meminta diri untuk kebilik.

Ketika aku hendak tidur, Hakim perlahan-lahan bersila disebelah tilamku berbaring. “Abang Amin..kalau aku beritahu abang rahsia, abang mesti rahsiakan daripada ayah dan Pak Long ya, tapi Pak Long macam tahu,” rungut Hakim sambil tersengeh. Aku pula menjadi serba tidak kena. Budak ini menakutkan aku malam-malam begini. “Janganlah hang rahsiakan, Pak Long tu niat hendak membantu hang, hish budak ni,” aku menyelar sikap Hakim. “Seingat aku abang Amin, malam itu selepas lampu limpah dipadamkan, suatu bayang yang amat besar berlegar-legar diantara cahaya samar lilin. Kesemua jemputan menggoyangkan kepala sambil memegang tangan diantara satu dan yang lain, sambil mengulang-ulang sesuatu bacaan yang aku tak ingat” ujar Hakim yang seboleh-bolehnya mahukan perhatian daripadaku. “Kemudian?,” ujarku pendek. “Setelah itu, suatu suara keras meminta kami menghentikan bacaan, lalu muncul ketua kumpulan berjalan dihadapan sambil membawa kitab besar, lalu membacanya sambil menjulang tangan. Bayang didinding itu seolah-olah bergerak, seperti bayang kuda tua,” ujar Hakim. “Sudahlah Hakim!, marilah kita tidur, hang ni mengarut,” lalu aku menarik selimut bungkam diam. Hakim hanya ketawa kecil sambil bersiul-siul di sebelahku.

Selang 2 minggu, aku pulang ke kampung pada hujung minggu. Biasalah, hidup bujang. Tibanya dirumah, ayah dan emak pula tiada kerana menolong kendarat di darat, jadi aku mengambil keputusan untuk bermalam dirumah arwah nenek dan meluangkan masa dengan Pak Long. Usai menjamah sedikit hidangan kuih-muih pada petang itu, aku sengaja mengajukan perkara Hakim dihadapan Pak Long. Pak Long tersengeh seolah-olah tahu apa muslihatku. “Selesai,” jawab Pak Long. “Apa yang selesai?,” ujarku terpingga-pingga. Pak Long bangun dan berjalan ke bilik arwah atok. “Nah baca ini,” Pak Long memberikan aku sehelai lembaran kertas. Seketika,“Apa nih Pak Long, aku tak faham tulisannya,” ujarku. “Hahaha, inilah tulisan Aramaik bercampur Hebrew, tu bintang tu, jelas” Pak Long ketawa melihat kebodohanku. “Pak Long tahu ke baca tulisan ni?,” aku memandang Pak Long tepat. “Hang patut ikut aku keluar berdakwah, bukan sahaja menguatkan iman tetapi mengetahui apa yang sedang terjadi,” Pak Long mencuit pinggangku. “Hemm.. bagaimana Hakim boleh baca?,” ujarku.

“Huh, kalau dah khayal, satu buku pun boleh habis baca, habis muntah, penuh 2 besen air haram yang diteguk,” tiba-tiba ayah muncul di ruang tamu. “Huh, hang ni, kalau balik rumah, jendela tu tutup balik lepas buka, ini dibiarkan terkuak, masuk dek jebon macam mana?,” emak membebel dibelakang ayah. Oh, aku terlupa menutup jendela sewaktu aku memanggil emak dirumah tengah hari tadi. Hahaha. “Hakim lalai, dihidangkan air arak, apabila sudah mabuk mudahlah terjebak dengan perkara-perkara sesat, mulalah syaitan mengambil alih” Ayah menambah. “Itu, yang hang pegang tu, cebisan mantera yang dibaca untuk pemujaan, bakarkan,” ayah meminta aku agar cebisan kertas itu dinyahkan. “Hahaha, aku sengaja simpan untuk ditunjukkan kepada Mat Amin, biar dia tahu bahawa ada dakyah luar sana yang sesat, jadikan iktibar dan berwaspada,” sambil Pak Long menghulurkan ayah secangkir kopi pekat.

“Fikiran Hakim terganggu apabila dia sudah mengikat janji dan sumpah setia, walhal dia sendiri tidak tahu apa yang diucapkannya ketika itu,” Pak Long mengeluh. “Kumpulan ini licik dan kejahatan yang tenggelam timbul, bersembunyi diantara masyarakat, mengejar kemewahan duniawi dan sudah lama wujud,” Pak Long melarikan matanya ke luar laman rumah. “Hakim baik-baik sahaja, dan aku bercadang membawanya ke Selatan Thailand bulan hadapan,” ujar Pak Long.

“Eloklah tu Mat Noh, bawalah dia pergi jauh sementara waktu ini, tenangkan fikirannya dahulu, dah betul-betul baik pulanglah” tambah ayah. “Hang tau tak, Murad tu dicekik Hakim ketika tengah tidur? Mujur Mak Esah sedar, cepat-cepat memukul anaknya dengan kerusi, kalau tidak, habislah,” ujar emak disisiku. “Dah kena ikat budak tu dekat tiang rumah, macam orang gila jadinya,” Pak Long mendengus akan sikap orang kampung yang bertindak keterlaluan ke atas Hakim. “Hang pun jangan begitu Amin, selidiki dulu sesuatu perkara itu baik dan buruk, jangan sebab imbuhan hang ikut,” bebel emak. Aku tersenyum sambil menghabiskan baki air kopi o pekat. Fuhhhhh

7 thoughts on “Kultus Sesat”

  1. Confuse baca, lokasi melompat2 dan tak coherent. Flashback dengan current time tak ada pemisah untuk bagi pembaca faham. Less is more.

    Reply
  2. Ni mcm agenda Freemason & Iluminati jer jln citernyer….kt Bukit Tunku ada lodge Freemason…mmg kawasan org2 elit & kenamaan…

    Reply
  3. ” Rumah agam putih biru yang terbiar kosong, ada rajah diatas loteng. Lamannya dihiasi rumput hijau seperti permaidani. Cukup terpelihara dan terjaga dengan dikelilingi pagar besi. Lokasinya pula jauh terperosok di pinggir bukit.”……macam kenal je rumah ni.ni puak-puak sesat Untuk memudaratkan umat islam.moga-moga kita dilindungi allah swt

    Reply

Leave a Comment