Lagenda Ikan Nun

SELAMAT DATANG SEKALI LAGI KE ESTODANIA. Kota manusia dan jin hidup bersama. Sebelum kita teruskan kembara, bacalah snippet penulis ni. Tak panjang.

Sedikit info tentang Estodania ini, di dalamnya saya muatkan beberapa kisah yang ada dalam Al-Quran.. dan catatan kisah nabi-nabi yang lain. Sedikit juga daripada kisah dongeng dan mitos rakyat. Sedikit lagi daripada kisah sejarah yang ada. Kadang-kadang, sumber saya akan kongsi di ruangan page saya. Jadi, berkemungkinan fakta sedikit tersasar. Kalau ada pembaca yang perasan kesilapan saya lakukan, jangan segan-segan tegur di ruang komen. After all, Estodania ini sekadar fiksyen acah-acah epik, acah-acah thriller.

Kisah Estodania setakat ini, ada tiga latar tempat utama (Estodania, Esramudra dan Ekrandia). Dua latar masa utama (2014 dan 2017). Akan datang… time jump akan berlaku. Haha. Jom sambung melancong. Kali ini kita tidak ke Estodania. Hanya dua kota ghaib yang ada di Archipelago Estodania.. Jom..

ESTODANIA (BAHAGIAN 4)

Disember 2017, Esramudra

“KAMU tahu kisah Nabi Yunus A.S.?” tanya Pengeran Badar. Kini mereka sedang bersiar-siar di sekitar Esramudra. Perkarangan istana Esramudra telah ditinggalkan. Suasana di Esramudra tampak mendamaikan hati dan masih kelihatan aman. Makhluk-makhluk Esramudra sedang sibuk melakukan kerja masing-masing. Berenang-renang menggunakan ekor masing-masing. Terkadang mereka menegur sapa dan memberi salam tatkala berselisih dengan mereka.

“Kisah yang mana satu, Pangeran? Sirah Nabi Yunus ada banyak,” jawab Ayyan. Kepalanya ditolehkan memandang Pangeran Badar yang sedang berjalan di sebelah kirinya.

“Kisah Nabi Yunung ditelan Ikan Nun. Tahu kisahnya?” ujar Pangeran Badar. Matanya dihalakan ke hadapan.

“Saya cuma tahu sedikit sahaja, Pangeran,” jawab Ayyan dengan rendah hati. Kepalanya ditundukkan memandang pasir laut yang terkuis-kuis oleh tapakan kaki mereka.

“Cuba cerita apa yang kamu tahu,” ujar Pengeran Badar. Dia memandang Ayyan sambil tersenyum.

Ayyan menghela nafas panjang. Kotak ingatannya segera dibongkar, cuba mengingat kembali pengajian sirah yang pernah dipelajari bersama datuknya.

“Nabi Yunus meninggalkan kaumnya kerana kaumnya tidak mendengar ajarannya. Nabi Yunus menumpang kapal seorang pedagang untuk merantau menenangkan hati. Apabila tiba di tengah lautan, kapal pedagang itu dilanda taufan. Undian antara anak kapal dilakukan untuk mengorbankan seorang agar muatan kapal itu berkurang. Malang menimpa nasib Nabi Yunus kerana dia terpilih untuk menjadi korban walaupun undian banyak kali dilakukan. Nabi Yunus dihumban ke laut. Saat itulah, dia ditelan oleh Ikan Nun,” panjang lebar Ayyan mencuba untuk menceritakan kembali sirah Nabi Yunus itu.

“Selepas itu? Kisah Anbiya itu bukan setakat itu sahaja kan?” tanya Pangeran Badar lagi. Dia mengajak Ayyan duduk di sebuah bangku jingga yang terletak di pinggir jalan.

“Bukan, Pangeran. Kemudiannya, di dalam perut ikan Nun, Nabi Yunus meminta bantuan Allah dan bertaubat agar dia diselamatkan. Dia menginsafi kesalahannya. Akhirnya dia dihantar ke daratan oleh Ikan Nun,” jawab Ayyan. Wajahnya sedikit cuak. Risau kalau-kalau dia tersalah cerita.

“Itu sahaja?” tanya Pangeran Badar lagi. Matanya dipicingkan memandang Ayyan.

“Dalam pengetahuan saya itu sahaja, Pangeran,” jawab Ayyan jujur. Dia mengulum senyuman sambil membalas pandangan Pangeran Badar.

“Hurmmm.. sepanjang di Kampung Pagung, apa yang kamu lakukan? Pengajian tauhid dan Al-Quran tidak ada?” ujar Pangeran Badar. Jelas ada kekecewaan pada wajahnya.

“Ada Pangeran. Cuma saya lebih banyak turun ke laut menangkap ikan. Pengajian Al-Quran hanya tempelan dalam rutin sepertinya,” jujur Ayyan menjawab. Selepas perbualan dengan Pangeran Badar subuh tadi, makin banyak kesalan yang terbit di hatinya. Mengakui kerugian yang pernah dia lakukan. Kesibukan duniawi yang menjadi fokus utamanya.

“Imam Syahriyan?” tanya Pangeran Badar lagi. Kali ini pandangannya dilemparkan ke bazaar Esramudra yang dipenuhi oleh makhluk-makhluk berekor ikan.

“Datuk selalu meminta saya menghafaz Al-Quran. Selagi belum membaza hafazan, saya tidak dibenarkan ke laut,” tersenyum Ayyan menjawab, mengimbas kembali kenangan lama di kampung halamannya bersama Faris. Disebabkan syarat itulah, Faris selalu terpaksa menunggunya lama di pinggir pantai.

“Kamu hafaz Al-Quran?” pertanyaan Pangeran Badar itu melenyapkan imbauan Ayyan.

“Alhamdulillah, boleh tahan Pangeran. Cuma tajwidnya saya masih ragu,” jawab Ayyan lagi. Lagaknya seperti murid sekolah yang sedang dalam sesi kaunseling sekolah.

“Bacakan Surah Anbiya Ayat 87, lalu cuba kamu terjemahkan,” arah Pangeran Badar mengejutkan Ayyan. Tergagap-gagap Ayyan cuba mengerahkan kotak ingatannya. Kerisauan terhadap Faris menyebabkan ayat-ayat hafazan hampir terbungkam malap di dalam minda. Ayyan terdiam seketika kerana cuba mengingat kembali ayat yang dimaksudkan oleh Pangeran Badar itu.

“Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” (QS, 21:87)

“Ayat ini tentang taubat Nabi Yunus ketika dalam perut Ikan Nun, Pangeran. Mengapa Pangeran dari tadi suka berbicara tentang kisah ini? Ada kepentingan apa?” ujar Ayyan seraya meluahkan persoalan benaknya. Pangeran Badar tersenyum mendengar soalan Ayyan itu.

“Kisah Nabi Yunus itu.. lebih kurang kamu!. Apa yang Nabi Yunus alami hampir sama dengan yang kamu alami ini!” jawab Pangeran Ayyan, sedikit keras. Jawapan yang masih mengelirukan Ayyan.
“Maksud, Pangeran?” tanya Ayyan lagi. Pangeran Badar meleretkan senyuman. Dia menghela nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan-lahan.

“Merantau dalam keadaan hati tidak tenang,” jawab Pangeran Badar.

“Nabi Yunus dahulu diutuskan Allah di Iraq, kepada kaum Ninawa. Namun, tidak mudah bagi orang asing seperti Nabi Yunus untuk diterima ajarannya. Apa lagi macam kaum Ninawa sudah lama sebati dengan wathani. Menyembah berhala sejak turun-temurun. Malah mereka galak menghina nabi Allah itu. Kerana kaum Ninawa itu terlalu keras kepala, walau sudah bertahun dakwah disebarkan, hanya ada dua orang yang percaya kepada Nabi Yunus. Akhirnya Nabi Allah itu berputus asa lalu meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah. Merancang untuk merantau menenangkan hati. Lebih kurang kamu, meninggalkan Kampung Pagung secara tergesa-gesa hanya kerana ingin menyelamatkan Faris. Terburu-buru mengikut hawa nafsu,” Pengeran Badar memulakan penerangannya. Termangu-mangu Ayyan mendengar ujaran pangeran jin itu. Hatinya mengakui kebenaran kata-kata Pangeran Badar. Dia meninggalkan Kampung Pagung kerana rasa meruap-ruap untuk menjejaki Faris. Kononnya ingin melunaskan janji keanak-anakan mereka.

“Masalahnya, Allah belum memerintahkan Nabi Yunus meninggalkan Ninawa. Nabi Allah itu membelakangkan arahan Tuhannya kerana terlalu mengikut amarah. Nabi Yunus mengira, sebagai nabi, dia akan dilindungi Allah. Ya, memang benar Allah melindunginya. Kerana itu diutuskan ujian untuknya. Supaya imannya tidak goyah. Nabi Yunus menumpang kapal pedagang, seperti yang Ayyan ujarkan sebentar tadi. Dan badai menimpa kapal sehingga nakhoda kapal mengarahkan membuang semua muatan kapal. Tetapi, kapal itu masih terasa berat dan hampir karam. Sehingga diputuskan akhirnya untuk mengurangkan seorang lagi anak kapal. Pada masa itulah tiga kali undian dilakukan. Mengapa sehingga tiga kali?” sambung Pangeran Badar.

“Kerana anak kapal tidak mahu mengorbankan Nabi Yunus?” ujar Ayyan, sedikit ragu dengan jawapannya. Pangeran Badar mengangguk.

“Anak-anak kapal menghormati Nabi Yunus sebagai nabi Allah. Tetapi apabila sudah tiga kali undian dilakukan, dan hasilnya masih sama, Nabi Yunus akhirnya sedar akan silapnya. Badai yang datang adalah hukuman Allah berikan kepadanya kerana mengabaikan amanah Allah. Lemas dalam amarah sendiri. Akhirnya, Nabi Yunus dengan rela hati terjun ke dalam laut. Ajaibnya, selepas Nabi Yunus terjun, lautan kembali tenang,” sambung Pangeran Badar. Saat itu, seekor ikan paus yang besar sedang berenang di atas mereka. Pangeran Badar dan Ayyan mendongak ke atas, memandang ikan paus yang besar itu.

“Kemudian, Allah utuskan Ikan Nun untuk menyelamatkan Nabi Yunus daripada mati lemas. Dengan izin Allah, Ikan Nun itu menelan Nabi Yunus tanpa mencalarkan sedikitpun dagingnya dan tanpa mematahkan walaupun satu tulang. Menangislah Nabi Yunus dalam perut Ikan Nun yang gelap itu tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya. Sama seperti kamu yang tidak mengetahui bagaimana nasib kamu kelak. Sempat bertemu Faris atau tidak. Nabi Yunus sendiri tidak tahu apa yang berlaku di dunia luar. Kamu juga tidak tahu bagaimana bahayanya perjalanan ke Estodania ini. Hanya mengikut darah muda kamu. Maka bermulalah kisah taubat Nabi Yunus yang terkenal sepanjang zaman sehingga jadi rujukan taubat sekarang. Nah…! Dari kisah inilah terlahir doa yang selalu digunapakai untuk bertaubat. Metanoia. Ayyan pasti tahu doa yang mana satu saya maksudkan bukan?” ujar Pangeran Badar. Ayyan yang tekun mendengar kisah sirah Nabi Yunus itu sedikit tersentak apabila namanya disebut oleh Pangeran Badar.

“Ya, ingat Pangeran. Ada dalam Ayat 87 Surah Al-Anbiya. Laa ilaaha illa anta. Subhaanaka, innii kuntu minaz zhaalimiin,” jawab Ayyan.

Pangeran Badar tersenyum lagi. Dia yakin, Ayyan adalah pilihan tepat untuk menyelamatkan Estodania. Ilmu dalaman anak muda itu bukan biasa-biasa. Cuma dia perlu dibimbing agar tidak ragu kepada Allah. Sebagai manusia yang beragama Islam, sememangnya Ayyan pasti mampu untuk menewaskan kebatilan di muka bumi ini. Tauhid Allah yang sudah sebati dengannya sejak kecil pasti ampuh jika dia terus mendekatkan diri kepada Allah.

“Doa itu Nabi Yunus baca selama 40 hari, 40 malam. Sebagai cerminan taubat dan keinsafannya. Akhirnya Allah menerima taubatnya. Keikhlasan yang Nabi Yunus tunjukkan bukan hanya sehari. 40 hari! Selama 40 hari itu, keikhlasan taubatnya tidak pernah berkurang. Malah semakin hari semakin bertambah. Kita? Baru sehari bertaubat berasa sudah cukup. Menyangka taubat itu sudah memadai. Tidak hairan mengapa kita menerima ujian tidak pernah henti. Allah sedang berbicara soal taubat dengan kita. Itu cara Allah maklumkan bahawa nilai taubat kita masih sedikit. Keyakinan kepada Allah masih kurang.,” panjang lebar Pangeran Badar menerangkan.

Hati Ayyan semakin remuk-redam mendengar bait-bait ujaran Pangeran Badar. Selama ini, dia hanya berbangga menjadi orang Islam. Malah makin bangga kerana dia merupakan cucu Imam Syahriyan. Manusia yang disegani oleh kerajaan Estodania. Sedangkan amal ibadah yang dia lakukan sekadar memenuhi syarat Islam tanpa penghayatan. Bahkan, ayat Al-Quran yang dihafaz hanya sekadar hafazan tanpa menginsafi makna ayat-ayat tersebut. Perlahan-lahan air matanya menitis lagi. Kali ini kerana malu kepada Allah. Sedangkan bangsa jin yang hanya mendengar seruan Nabi lebih beriman daripadanya. Dia, manusia yang dikurnaikan Rasulullah. Sepatutnya, iman di dada lebih tinggi berbanding makhluk yang hanya mendengar seruan manusia seperti Rasulullah. Tetapi mereka lebih kuat beramal.

“Kamu tahu apa yang berlaku kepada kaum Ninawa selepas Nabi Yunus meninggalkan mereka dalam keadaan marah?” tanya Pangeran Badar. Ayyan hanya menggeleng. Suara tertahan dek menahan sendu yang bertakung di kelopak matanya.

“Sebelum meninggalkan Ninawa, Nabi Yunus telah menyampaikan bahawa akan datang azab Allah selama tiga hari sehingga Ninawa itu musnah. Amaran itu memang benar berlaku. Menyedari kebenaran kenabian Nabi Yunus, kaum Ninawa memohon ampun kepada Tuhan Nabi Yunus dan bertaubat. Mereka meminta agar Allah kembalikan Nabi Yunus kepada mereka. Allah perkenankan doa kaum Ninawa. Akhirnya, Ikan Nun melepaskan Nabi Yunus di permukiman kaum Ninawa itu. Nabi Yunus sendiri terkejut melihat perubahan kaumnya. Akhirnya, dia membantu kaum Ninawa untuk membetulkan tauhid masing-masing. Sebagai balasan mentauhidkan Allah, dikurniakan nikmat tidak putus-putus kepada mereka.

Sedangkan kaum Ninawa yang sudah lama berpaling tadah daripada Allah, bahkan pernah menghina nabi Allah, doa mereka diperkenan, apatah lagi kamu yang masih menyembah Allah. Kuncinya usaha dan terus berdoa. Jangan berputus asa dengan Allah. Nescaya Allah akan beri bantuan.

Ingat! Allah yang bantu! Bukan kemodenan dan segala kecanggihan yang kita berjaya hasilkan. Lihat apa yang berlaku sekarang? Sekelip mata sahaja Allah hancurkan Estodania, lalu kita hidup dalam kegelapan seperti ini. Seolah-olah kiamat sudah hampir berlaku. Boleh saja petaka Estodania itu ibarat gelap perut ikan Nun yang Nabi Yunus pernah alami. Apabila dalam gelap, barulah terasa lebih dekat dengan Allah dan lebih mudah bertaubat sepenuh hati.,” simpul Pangeran Badar. Sekali lagi jin tua yang berjanggut panjat itu tersenyum.

Ayyan terkesima mendengar ujaran-ujaran pedas yang disampaikan oleh Pangeran Badar itu. Hatinya bagai disiat-siat. Tersentap berkali-kali. Pengeran Badar menyedari perubahan wajah Ayyan. Segera bahu lelaki muda itu ditepuk-tepuk.

“Sedangkan Nabi juga tersalah tingkah, apatah lagi kita manusia biasa. Jangan bersedih, anak muda. Allah itu Maha Menerima Taubat hamba yang merindui-Nya. Bezanya kita dengan para Nabi, apabila mereka melakukan salah, taubatnya disegerakan dan bersungguh. Cintanya kepada Allah makin ditebalkan. Kita? Malah makin menjauh daripada Allah. Itu silapnya,” nasihat Pangeran Badar lagi.

“Lalu apa yang saya harus lakukan, Pangeran?” ujar Ayyan akhirnya. Suaranya kedengaran sendu.

“Kamu jangan tanya dengan saya. Tanya jin buat apa? Kamu kan ada Allah. Tanya Allah. Minta petunjuk daripada-Nya., ” ujar Pangeran Badar.

“‘Subhanaka la ‘ilma lana ‘illa ma ‘allamtana “innaka ‘anta al-‘alimu al-hakim – Maha suci Engkau (Ya Allah) Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Istikarah,” sambungnya. Ayyan mula menekup wajah. Rasa insaf makin menebal dalam benaknya.

“Saya hanya boleh bantu kamu dengan cara menceritakan kembali kisah datuk dan nenek moyang kamu. Itupun setakat yang saya tahu. Pengetahuan saya juga terbatas, Ayyan. Jin juga seperti manusia. Cuma beza alam kita sahaja. Kesaktian dan keimanan itu usaha kamu sendiri. Tergantung iman kamu dan sejauhmana ikhlasnya taubat kamu. Melakukan salah dan dosa itu perkara biasa. Yang namanya manusia biasa, pasti tidak akan lepas berbuat dosa. Yang tidak biasa itu apabila berdosa tetapi masih enggan mengaku salah pada Allah. Enggan bertaubat!” sambung Pangeran Badar. Belakang Ayyan diusap-usap untuk menenangkan anak muda yang sudah bergenang air mata itu.

“Ilmu persilatan kamu bagaimana?” tanya Pangeran Badar lagi. Dia perlu mengetahui semua jenis kelebihan yang dimiliki oleh cucu Imam Syahriyan itu agar mudah dia membimbingnya kelak.

“Biasa-biasa sahaja Pangeran. Selepas Pak Guru Hafizul terkorban, tidak ada waris yang betul-betul faham ilmu silat itu bagaimana. Saya sendiri banyak terlupa,” jawab Ayyan sambil menyeka air matanya.

“Lupa lagi? Pasti kamu ini jarang bertasbih memuji Allah. Sebab tu mudah sangat terlupa,” ujar Pangeran Badar serkap jarang. Ayyan hanya tersenyum. Dia mengakui dakwaan Pangeran Badar. Puji-pujian kepada Allah hanya dilakukan saat dia dalam kesusahan dan juga dijadikan wirid dalam solatnya. Selebihnya, dia lebih senang mendengar lagu-lagu nasyid dendangan penghibur Estodania.

“Sekarang ini, kamu iktikaf dulu di sini. Kalau rasa kamu sudah sedia, kita teruskan mencari Faris,” sambung Pangeran Badar lagi. Nasihat beruntai-untai diberikan kepada Ayyan. Semoga anak muda itu dapat memahami setiap nasihat yang dia lemparkan.

“Berapa lama saya akan berdiam di sini?” tanya Ayyan, meminta kepastian.

“Sehingga kamu merasa kamu sudah siap. Sehingga kamu berasa keyakinan kamu sudah mantap. Maka sambunglah kelana,” jawab Pangeran Badar. Sebenarnya dia sendiri tidak mempunyai jawapan yang tepat untuk menjawab soalan Ayyan yang satu itu.

“Aduh, lama sangat itu pangeran!” keluh Ayyan. Pangeran Badar tertawa kecil mendengar keluhan Ayyan.

“Kalau Nabi Yunus perlukan 40 hari 40 malam, nanti kita lihat berapa lama pula Ayyan Syahriyan perlukan,” seloroh Pangeran Badar. Janggut panjangnya tergerak-gerak seiring gerakan bibirnya.

“Apa hubungan Pangeran dengan datuk saya?” tanya Ayyan. Hatinya terdetik mengajukan soalan itu selepas mendengar nama datuknya digabungkan dengan namanya. Dia mula merungkai misteri yang terpasak dibenaknya sejak kali pertama menjejakkan kaki ke Esramudra itu.

“Tiada apa-apa hubungan. Cuma datuk kamu itu orang terhormat di istana Estodania. Hampir seluruh istana mengenali siapa dia. Saya hanya juruterbang di sana,” jawab Pangeran Badar. Jawapannya sedikit mengecewakan Ayyan.

“Juruterbang? Jadi pangeran pernah berjumpa Faris?” asak Ayyan lagi.

“Sudah.. pergi bersiap sana! Mulakan iktikaf kamu. Maaf Al-Qurannya tidak ada. Gunakan apa yang ada di minda kamu. Ingat Allah lagi utama,” jawab Pangeran Badar, berdalih. Sekali lagi jawapannya mengecewakan Ayyan. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Sengaja dia tidak menjawab soalan Ayyan itu kerana baginya, lagi utama keimanan anak muda itu dimantapkan. Sedangkan kisah lalu hanya mampu mengundang riak dalam dirinya kelak.
.
.

Disember 2014, Ekrandia

AINUL Hayat menitiskan airnya tanpa henti. Punca airnya masih menjadi tanda tanya. Bentara Lukhas sendiri tidak mengetahui dari mana punca mata air Ainul Hayat ini. Hanya menitik dari batu kecil di atas kolamnya. Kolamnya yang agak kecil tidak pernah kelihatan keruh. Tetap indah dengan kilauan-kilauan bak permata. Airnya sehijau zamrud. Malangnya, makhluk sepertinya dihalang untuk merendamkan diri dalam kolam abadi itu. Bentara Lukhas menitahkan jika sesiapa daripada mereka yang ingkar perintah, kelak ajal akan menemui mereka. Dek kerana itulah, dia dan sahabat-sahabatnya menjauhkan diri daripada pulau terpencil ini. Lagipun, mereka tidak memerlukan kesaktian kolam itu kerana mereka sudah dijanjikan umur yang panjang. Hasil kebijaksanaan nenek moyang mereka terdahulu. Kunjungannya ke sini hanya untuk melaksanakan arahan kedua Bentara Lukhas yang tercatat dalam Pandora hitamnya.

“Istra… Ostra… Migamos… Kuwasa… Istra… Ostra… Migamos… Kuwasa…!”

Nilakendra memulakan jampi serapah memanggil penunggu pulau terpencil itu. Dia ditugaskan untuk menjaga Ainul Hayat selepas dia mencetuskan huru-hara di kepulauan Jawa.

“Istra… Ostra… Migamos… Kuwasa… Istra… Ostra… Migamos… Kuwasa…!” ujarnya lagi. Lalu muncullah ekor ular yang besar tergantung dari atas pokok diikuti dengan bunyi desisan ular. Nilakendra segera mendongak ke atas pokok.

“Turunlah kamu Mandalika. Ada perkhabaran Bentara utuskan,” ujar Nilakendra. Seraya susuk tubuh ular yang berkepala manusia itu menjalar turun tepat di atas kolam Ainul Hayat. Ular itu mengapungkan dirinya. Tidak menyentuh air Ainul Hayat.

“Bentara mengutuskan titah agar kamu melanggar Esramudra. Ramalnya, kota duyung itu bakal menjadi punca Estodania tidak terhapus,” beritahu Nilakendra.

“Esramudra? Sudah berkurun aku cuba ke sana. Usaha ku lebih lama sebelum Bentara meminta aku terbang ke sini. Pasti gagal lagi kali ini,” balas Mandalika. Nada kesal ada pada suaranya. Kesal dengan kegagalannya sendiri. Gagal meruntuhkan kawasan jin yang mentauhidkan Allah.

“Kamu hanya perlu mencari yang fasiq dalam kota itu. Makhluk yang kulitnya tidak serupa dengan yang lain. Dia adalah pintu untuk kamu,” ujar Nilakendra lagi.

“Lalu, apa untungnya bagi aku?” tanya Mandalika. Tandukknya yang melengkung tergerak-gerak seiring dengan keningnya yang dinaikkan.

“Menjadi raja di Esramudra! Bukankah itu yang kamu inginkan?” ujar Nilakendra. Tersenyum. Dia yakin, Mandalika akan jatuh dengan helahnya itu.

“Baiklah. Jangan sekali kamu mungkiri kata. Kalau tidak, pulau ini aku turunkan kembali ke dasar bumi!” ugut Mandalika.

“Usah durja. Bentara selayaknya sebaik-baik raja kepada rakyatnya,” pujuk Nilakendra.

“Sudah selesai? Jika sudah, aku segera ke Esramudra,” ujar Mandalika. Dia malas berbual lama dengan Nilakendra yang dianggapnya bongkak itu. Hanya kerana dia menjadi kesayangan Bentara Lukhas, dia mengganggap dirinya terlalu hebat.

“Ghaibkan aku kembali ke Estodania. Aku masih ada urusan di sana,” laju Nilakendra menuturkannya.

“Bagaimana kamu harus aku ghaibkan ke sana? Apakah kamu sudah menjadi bodoh sehingga terlupa kesaktian yang ada di kota itu?” ujar Mandalika. Mukanya sedikit membegah.

“Aku tidak bodoh, Mandalika. Malah lebih bijak daripada kamu! Jaga butir bicara kamu jika tidak mahu tanduk sakti kamu itu aku patahkan,” Nilakendra berujar marah sambil mengeluarkan kuku runcingnya. Kuku tajamnya itu dipanjangkan sehingga hampir dengan tanduk Mandalika.

“Aku telah tinggalkan sanggul sisik kamu di sana. Kamu kata, kamu mampu sampai ke mana sahaja sisik itu berada,” beritahu Nilakendra. Sanggul sakti itu telah dipasangkan di kepala Farihah sebelum dia bertemu dengan Permaisuri Isabella tadi.

Mandalika tersenyum bangga. Dia tidak menyangka akhirnya pejuang kanan Bentara Lukhas itu mengakui kesaktian yang dia miliki. Pengiktirafan ini sudah cukup membanggakannya. Apatah lagi dia diharapkan untuk menghancurkan Esramudra yang diramalkan akan mengagalkan rancangan jahat Ekrandia itu. Kehebatannya mula dipandang oleh raja Ekrandia itu.


Bersambung pula.
Kelak kita teruskan kembara.
Terima kasih sudi baca.
Jemput singgah di page saya.
#Estodania #epikthiller #fiksyensahaja #share jika bermanfaat.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Lawati laman facebook penulis: https://www.facebook.com/estodania.page/

12 thoughts on “Lagenda Ikan Nun”

  1. always follow semua cerita Estodania!!

    sampai dalam perjalanan balik keje pun terngiang-ngiang cite ni ape jadi lepas ni..ape jadi lepas tu..aisehh…nasib x ngigau..

    kalau buat buku, confirm sy beli..

    Reply

Leave a Comment