Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin ucapakan ribuan terima kasih kepada Fiksyen Shasha kerana menyiarkan penulisan saya ini. Sebelum saya memulakan cerita ini, ingin saya mengingatkan bahawa cerita ini tidaklah seseram kisah hantu yang lain, hanyalah insiden yang saya dan rakan benar-benar alami.
Kisah ini terjadi pada saya dan juga rakan pada tahun 2017. Saya merupakan seorang pelajar yang menuntut di universiti swasta yang terletak jauh dipendalaman negeri Pahang. Kawasan universiti saya betul-betul terletak tengah-tengah antara Segamat-Kuantan.
Seperti rakan-rakan universiti yang lain, saya dan 3 lagi orang rakan membuat keputusan untuk berjalan atau ‘Overnight’ di Teluk Cempedak Kuantan. Kami memulakan perjalanan pada 11:00 malam bagi mengelakkan kenderaan lain. Kereta yang dipandu oleh rakan saya dipancu laju di Lebuhraya Tun Razak. Untuk makluman pembaca sekali, walaupun Lebuhraya Tun Razak dikategorikan sebagai lebuhraya, akan tetapi ia lebih seperti jalan kampung dimana hanya ada jalan satu laluan bagi setiap hala. Laluan dikiri dan kanan merupakan kebun sawit dan juga hutan, sesekali bersisih dengan kawasan kampung.
Pada permulaan perjalanan kami bermula dengan lancar. Namun jangan disangka air yang tenang tak ada buaya. Sedangkan kami sedang asyik bersembang kosong bagi menghilangkan rasa sunyi, dengan tiba-tiba,
“Weh ular !” kata Man kepada rakan kami Joe yang sedang memandu. Terdapat seekor ular melintas jalan lebuhraya tersebut. Oleh kerana kerata yang dipandu dalan had yang laju, rakan kami Joe tidak dapat mengelak dan hanya melanggar sahaja ular tersebut.
“Joe, langgar ke ?!” tanya saya yang duduk dibahagian belakang.
“Langgar, tak sempat aku nak mengelak” jawab Joe
Pada ketika ini, perasaan kami berempat di dalam kereta tersebut bercampur-baur, resah, cemas, bimbang. Dengan tiba-tiba,
“Gedebukkk” Bunyi seperti sesuatu terjatuh ke atas bumbung kereta kami. Terkesima kami berempat, tiada satu ungkapan pun yang dizahirkan dari kami berempat. Tidak lama kemudian
“Tarkkkk” Pintu belakang sebelah kanan seperti dibuka, lampu didalam kereta mennyala serta merta menandakan pintu terbuka. Mujurlah ketika itu kereta pintu terkunci. Jika tidak, kami tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi kepada rakan kami Kai yang duduk disebelah pintu tersebut.
“Weh Joe, pasang surah cepat ! Cepat ! Allahhh !” jerit rakan kami Man, suaranya jelas ketakutan dengan insiden yang berlaku
“Pernah kau tengok kereta cina ada surah? Aku mana ada surah” Jawab Joe
Kami hampir tergelak dengan perbualan rakan kami Joe dan Man walaupun bukan disengajakan. Mungkin kerana terkejut dengan apa yang berlaku, rakan kami dengan secara spontan meminta rakan pemilik kereta kami yang berbangsa cina untuk memainkan surah suci Al-Quran. Oleh kerana tiada surah suci AlQuran dapat dimainkan diradio kereta, dan hanya ‘E’ pada line telefon bimbit kami yang beragama islam hanya mampu untuk membaca surah-surah ringkas yang dihafal.
Joe, rakan kami membuat keputusan untuk tidak memberhentikan kereta kerana khuatir dengan keselamatan kami, Hanya mengurangkan kelajuan kereta dah rakan kami Kai cuba merentap kuat pada pintu yang hampir terbuka tadi. Setelah kami pastikan pintu telah ditutup kemas, dengan segera rakan kami memecut laju ke destinasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak baik berlaku.
Kami selamat tiba ke destinasi kami Teluk Cempedak hampir pukul 1 pagi. Perjalanan terasa amatlah panjang kerana insiden tersebut. Mujur tiada apa perkara apa yang lebih buruk terjadi kepada kami berempat. Setibanya kami terus ke restoran berhampiran untuk minum bagi meredakan perasaan takut dan terkejut yang kami alami. Kami hanya bertolak pulang semula ke universiti pada sebelah petang. Sejak itu, kami berfikir panjang untuk membuat perjalanan di tengah-tengah malam.
Dengan ini, berakhirkan kisah saya. Terima kasih
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit