Lelaki Sebalik Kabus Bab 1

Tajuk: Lelaki Sebalik Kabus
Bab Pertama

Cerita ini cuma fiksyen, tiada kena mengena dengan yang hidup atau m**i.

Terima kasih Admin andai admin siarkan cerita ni, jika tak siar tak apa aku faham. Cerita ni ada sambungan, jangan risau aku dah post ke semua sambungannya ke Fiksyen Shasha. Nanti tunggu je Admin post.

IMBAS MUKA

Telinga terasa bingit dengan suara hujan yang menimpa atap. Sesekali terdengar juga suara haiwan liar mendayu-dayu di dalam hutan. Tiada siapa dapat meneka suara itu milik haiwan apa. Bangunan kuarters tinggalan sudah usang di mamah anai-anai. Bumbungnya ada yang sudah robek. Manakala dindingnya pula ada yang sudah hilang dan runtuh. Namun masih lagi mampu melindungi sesiapa yang mahu menumpang teduh buat seketika. Mereka berada di dalam sebuah kuarters tinggalan. Susuk tubuh yang berada dalam kegelapan, masih setia di situ. Diana tidak dapat melihat wajahnya. Tapi Diana tahu, dialah lelaki di sebalik kabus. Dia berdiri jauh di sudut bilik yang gelap tanpa sebarang cahaya. Cuma sesekali cahaya kilat yang sambung-menyambung menerangi ruang bilik dapat membantu Diana melihat dengan sedikit jelas di mana kedudukan lelaki itu.

Siapakah dia? Mengapa dia memburu gadis itu? Apa yang dia mahu? Sebahagian dari jiwa Diana seolah-olah mengenali lelaki misteri itu dan sebahagian dari akal warasnya masih menolak. Diana cuba menyelak semua memori di yang ada dalam kotak fikiran tapi hampa. Seumur hidup ini belum lagi berjumpa dengannya. Hanya dalam mimpi mereka pernah bersua. Sering kali lelaki itu menyapanya dalam lena.

Gadis itu mula memeluk tubuh. Makin lama makin erat pelukannya. Bajunya yang basah menambahkan lagi rasa dingin. Suhu di dalam bilik pula makin lama makin sejuk, seolah-olah suhu berada di bawah 16 darjah Celsius. Hawa kedinginan makin mencengkam tubuh Diana yang sudah terketar-ketar. Perlahan-lahan lelaki cuba mendekati membuatkan Diana kaget, kerana mata lelaki itu mampu bercahaya di dalam gelap. Seolah-olah sepasang cahaya milik kunang-kunang.

Tanpa sedar jaraknya dengan Diana hanya satu meter. Jantung gadis itu pula kian kuat berdegup. Nafas Diana seolah-olah tersekat, tubuh gadis itu kaku kerana kesejukan dan ketakutan. Makin lelaki itu dekat, makin dingin suhu di sekitar. Kelihatan kabus mulai menyelubungi mereka berdua di dalam bilik. Mungkin ini penghujung hayat Diana. Tenaganya sudah banyak habis berlari sebentar tadi, Diana tahu andai dia melawan sekali pun dia tak mampu menang. Dia pasrah menanti nyawanya di ambil pergi, sambil memejam mata.

BAB 1

Baru sahaja seminggu Diana menjadi mahasiswa di Universiti Teknologi Antarabangsa (UTA), sebuah universiti yang terletak di Tanah Tinggi Green Highlands. UTA adalah sebuah Universiti yang sangat cantik. Kediaman Para Pelajar (KPP) dihias dengan pokok-pokok hijau dan penuh dengan bunga yang membuatkan suasana sekitar KPP kelihatan sejuk dan mendamaikan, seakan-akan Gardens Of Babylon. Sesuailah dengan tema UTA iaitu universiti dalam taman.

Hujung mingu begini ramai pelajar keluar ke pekan terdekat. Ada yang mahu membeli barang keperluan dan ada juga yang tidak mahu melepaskan peluang untuk melawat ke tempat-tempat menarik yang terdapat di Tanah Tinggi Green Highlands. Bagi Diana pula, dia lebih gemar menghabiskan masa lapangnya di dalam bilik dengan membaca novel.

Diana melirik ke arah katil kosong di sebelahnya. Siapakah gerangan rakan sebiliknya ini menjadi tanda tanya. Sepanjang minggu ini dia masih belum bersua dengan orangnya. Serba serbi barang milik gadis itu adalah barang mewah dan berjenama. Beberapa pasang kasut tumit tinggi yang tersusun di atas rak sebelah pintu sangat cantik dan bergaya. Dari situ Diana membuat kesimpulan rakan sebiliknya ini datang daripada keluarga berada.

Dia sebenarnya tidak sabar untuk bertemu rakan sebiliknya. Dari maklumat yang dia peroleh, rakan sebiliknya itu adalah senior tahun 2. Tapi bukan itu yang membuatkan Diana ingin sekali mahu berjumpa dengan gadis itu. Tetapi sebab utamanya kerana cerita-cerita aneh yang bermain di bibir para senior dan juga pelajar-pelajar baru. Benarkah apa yang di katakan oleh mereka itu?

Deringan dari smartphone mengejutnya dari lamunan.

“Helo..Walaikumussalam, nenek..”
Diana terjerit kerana teruja.

“Cucu bertuah nenek ni, bukannya nak bagi tahu. Pergi macam itu saja. Sampai hati.” Ada nada rajuk.

“Nek, maafkan Diana. Bukan tak nak jumpa nek. Tapi..”

Teringat kejadian malam itu, bukan kali pertama dia bergaduh dengan ayah. Tetapi malam itu ayah betul-betul marah dengannya sehingga menamparnya di hadapan makcik Shima. Sakit tamparan sudah lama hilang namun sakit hatinya masih terasa pedih.

“Nenek rindu angah. Nanti cuti pulang jumpa nenek ya.” Suara tua itu mengharap.

“Insya Allah nek, mana lagi angah nak tuju, angah hanya ada nenek saja.” Diana tersenyum kecil. Baru sahaja seminggu lebih dia tiada di rumah nenek sudah mula merinduinya bagai sudah bertahun tidak berjumpa.

Suaranya mula terketar-ketar. Air mata mula bertakung.

“Jaga diri ya, nenek selalu doakan angah bahagia dan sihat selalu. Jangan lupa ziarah atuk untuk nenek.”

“Baik..”

Mereka bertiga menapak ke luar dari dewan kuliah. Masing-masing sudah berkenalan ketika program orientasi pelajar baru seminggu yang lalu. Kerana ketiga-tiganya mengambil jurusan yang sama, mereka semakin rapat dan sentiasa bersama-sama ke kuliah.
“Aduh! hari pertama dah dapat tugasan dan aku langsung tak faham apa Dr Hasbullah ajar.”

Donat mengelap peluh di dahi. Badannya montel tetapi kulitnya putih dan cantik membuatkan dia kelihatan comel. Donat juga pandai bergaya, dia sendiri menggelar dirinya Donat.

“Cik Donat.. ini universiti bukan lagi sekolah. Tugasan pensyarah dengan tugasan guru mana boleh lawan.”

Divya tersenyum menampakkan lesung pipitnya. Gadis india itu sangat fasih berbahasa melayu. Orangnya tinggi dan manis. Kulitnya tidak begitu gelap. Mendengar kata-kata Divya, Donat mencebik bersama keluhan sambil menongkat dagunya yang tidak runcing.

“Hah.. Diana roommate kau dah datang ke?” Donat mula menukar topik. Biarkan stress tugasan terbang pergi buat sementara.

“Belum, cuma ada barang-barang dia ja.”

“Aku dengar dia anak salah seorang professor di sini.” Ujar Donat

“Ini roommate kau, Aurora. Senior kita tahun 2” Divya menunjuk gambar dari smartphone dalam halaman facebook pelajar UTA.

Terpapar seorang gadis sederhana tinggi, tubuhnya langsing dengan rambut hitam ikal mayang.

“Nampak macam budak bijak. Aku suka cara dia berpakaian. Cantik.” Donat kagum.

Diana cuma diam. Hatinya turut kagum.

“Aku dengar cerita dari senior tahun 2 yang satu kursus dengan Aurora ni. Diorang cakap Aurora ni pelik sikit perangai dia, diorang pernah Nampak Aurora ni berada di dua tempat dalam masa yang sama. Ramai yang cerita, dia mungkin ada membela, erm atau saka ke kan. Macam-macamlah cerita diorang.”

Donat membulat mata sambil bercerita. Suka benar dia dengan cerita mistik begini.

“Satu lagi, senior semua hairan macam mana kau boleh masuk jadi penghuni bilik tu. Sebabnya budak ni tak suka kongsi bilik dengan orang. Dia selalu bayar double supaya pihak pengurusan tak masukkan penghuni lain dalam bilik dia. Jadi kali ni dia benarkan kau jadi roommate dia. Itu yang pelik.”

“Gosip je, mungkin ada salah faham. Kita tak kenal orang tu tak boleh nak judge dia lagi macam mana.”

Diana bersuara, dia kurang gemar judge seseorang sebelum mengenali orang itu terlebih dahulu. Namun hatinya makin teringin mahu berjumpa dengan roommate nya itu. Benarkah?

“Tapi kalau tak ada angin tak akan pokok nak bergoncang.”

“Alah Donat, angin mungkin sebab orang sendiri yang tiup.” Divya ketawa terkekeh.

“Ish kau ni falsafah apa benda ni?”

“Maksud aku benda ni salah faham je, tapi manusia sendiri yang tokok tambah, menambah perisa. Tapi apa salahnya kalau dia pelik pun, asalkan baik hati”

Divya mengeyit mata apabila Donat memuncungkan mulutnya. Diana cuma ketawa kecil. Baru beberapa mingu kenal tapi dia selesa berkawan dengan mereka. Donat memang suka bergosip terutama cerita mistik dan seram, Divya pula bijak dan matang orangnya pandai dalam bidang teknologi maklumat. Ke mana sahaja dia pergi pasti bersama dengan teman akrabnya iaitu laptop.

Jam 7 pagi lagi Donat mengetuk pintu Diana. Dia berpakaian kasual sahaja. Gadis itu sentiasa kelihatan bersemangat dan cergas. Sentiasa ceria. Mata Donat memandang Diana dari atas ke bawah dengan wajah tidak puas hati.

“Cepat-cepat Divya dah siap dah. Tunggu kau je.”

“Yeye..tapi nak ke mana? Hari ni kan kelas kimia tak ada, kelas matematik pula online.”

“Aku tahu.. matematik due date kan sampai pagi esok. Kan aku ajak kat group whatsapp pergi jalan-jalan. Ish kau ni kes tak buka whatsapp la ni” Donat mencekak pinggang geram dengan Diana.

“Oh! Ya maaf, aku tidur awal semalam. Okey kejap aku tukar pakaian. Nasib aku dah mandi.”

Donat ketawa kecil. Mata bersinar-sinar. Ada sahaja kerenahnya.

Tenang sahaja melihat pemandangan hijau di waktu pagi. Jalur-jalur cahaya jingga masih lagi lembut di celah bukit. Luas pemandangan, segar sahaja mata dan fikiran melihat kehijauan ladang Tea Boh. Idea Donat boleh diberi lima bintang. Menikmati sarapan pagi sambil menjamu mata dengan pemandangan yang cantik. Aroma roti bakar bersama jem atau madu membangkit selera dengan air teh yang panas menghilangkan dingin pagi yang mencengkam tubuh.

“Wah! Aku kasi ‘A’ kat kau Donat.”

Diana teruja sambil menghirup air tea yang masih berasap.

“Hahah.. ‘A’ je? Belanja la sebiji dua donat kat aku. Baru puas.”

“Hehehe..kau ni memang hantu donat la. Memang tepat la dengan gelaran kau ni.” Divya ketawa kecil sambil menggeleng kepala.

Donat tersenyum mengiakan kata-kata Divya.

“Diana kau nampak macam tak cukup tidur. Tapi kau cakap kau dah tidur awal.”

Donat merenung wajahnya Diana. Ada lingkaran hitam di bawah mata Diana.

“Kadang-kadang aku ada masalah nak lelapkan mata.” Balas Diana sambil menutup mulutnya yang menguap.

Dia teringat mimpi. Mimpi yang pernah bertandang dalam tidurnya kini mula kembali menghantui sejak dia mula menjejak kaki di Green Highland.

Selepas bersarapan di Café Teh Boh, mereka melawat di ladang strawberi pula. Nasib mereka baik. Buah strawberi sudah mula masak dan masih belum lagi dipetik. Jadi mereka berpeluang menikmati strawberi segar, petik sahaja yang mana mereka mahu. Diana pula leka mengambil gambar, mujurlah dia tidak terlupa membawa kemera jenama Nikon pemberian mak su.

Di dalam bilik yang agak luas, di hadapan meja kerja ada beberapa buah sofa dan satu meja. Barang-barang di susun dengan kemas. Seorang lelaki lewat 40 an sedang duduk sambil merenung sekeping gambar 12 tahun lalu. Di dalam gambar ada seorang gadis yang berumur lingkungan awal 20 an dan seorang budak perempuan berumur 10 tahun serta dirinya. Terbit rasa bersalah bersama rasa rindu. Kerana sikapnya, dia kehilangan dua orang anak perempuan hasil perkahwinan dengan arwah isteri pertamanya.

Ketukan di pintu menariknya semula ke alam realiti. Rasa bersalah dan rindu sebentar tadi dibungkus semula, tersemat simpan di dalam hati. Wajahnya yang sayu tadi kembali hilang.

“Ya Siti?” Apabila pembantunya masuk.

“Encik Nazri, ada Encik Khairul sudah tiba.”

“Panggil dia masuk.” Arah Nazri.

Selepas 2 minit Siti keluar. Seorang lelaki sederhana tinggi lingkungan awal 20 an dengan jaket kulit dan bercermin mata gelap masuk ke dalam bilik Encik Nazri.

“Kamu cuti ke hari ni Khai?” Nazri melemparkan senyuman, sudah lama dia kenal dengan Khairul. Teringat lagi bagaimana Khairul menyelamatkannya daripada di rompak pada suatu malam beberapa tahun yang lalu.

“Dah seminggu cuti. Nak rehatkan minda.” Khairul duduk di kerusi yang menghadap Encik Nazri.

“Kalau macam tu, kau boleh la bercuti di Tanah Tinggi Green Highlands. Sambil tu tolong tengokkan anak perempuan aku yang sorang tu.”

“Diana ke?”

Khairul mula berminat. Sudah lama dia tidak berjumpa Diana. Gadis itu pernah bertakhta di dalam hatinya dulu, sejak bangku sekolah. Kemudian dia hilang khabar tentang gadis itu. Sehinggalah takdir menemukan dia dengan Encik Nazri ayah iaitu ayah kepada Diana. Melalui Encik Nazri dapatlah dia tahu serba sedikit tentang Diana dan keluarganya.

“Ya.. tolong tengokkan dia. Aku tak suka dia kembali ke sana.” Encik Nazri menyerah sekeping gambar.

“Dia masih tak boleh terima kematian Dalila lagi?” Wajah Khairul berkerut.

“Dia ingat Dalila m**i bukan kerana kemalangan tanah runtuh. Ha, jangan sampai dia tahu aku hantar kau pula.”

Khairul mengangguk faham sambil merenung gambar Diana yang berada di tangannya. Rindu masih ada rupanya.

Selesai menjawab soalan matematik yang diberikan secara online, Diana melihat semula gambar-gambar yang di ambilnya pagi tadi. Kejap-kejap dia ketawa melihat gelagat Divya dan Donat. Ada sahaja gaya mereka yang lucu dan bersahaja.

Beberapa minit kemudian kedengaran pintu dibuka dari luar. Mata Diana memandang pintu, menunggu penuh debaran. Dia tahu inilah masa dia bersua dengan teman biliknya nya. Suara lembut membeli salam dari balik pintu. Wajahnya tersenyum manis menampakkan lesung pipit. Lebih cantik berbanding gambar yang pernah ditunjukkan oleh Divya. Gadis bermata hazel itu memandangnya dengan riak wajah gembira.

“Assalamualaikum..Hai.. Diana. Saya Aurora tapi rasanya awak mesti dah tahu.” Aurora menghulur tangan kearah Diana lalu menggenggam tangan gadis itu.

“Walaikumusalam…” Diana menghadiahkan senyuman pertemuan.
Terpukau seketika. Cantik seperti model.

“Saya yakin kita akan jadi sahabat baik nanti. Ni saya buatkan kek coklat untuk awak. Harap awak suka.” Nadanya teruja

“Terima kasih Aurora.” Diana sedikit janggal namun senang hati melihat sikap teman biliknya yang mesra.

“Panggil saya Ora.”

“Awak asal mana, Ora?”

“Saya memang menetap di Green Highland. Nanti bila-bila saya bawa awak jumpa keluarga saya. Oh terlupa! Maaf saya ada urusan keluarga sebab itu masuk lambat untuk semester ni. Mesti awak tunggu saya kan.”

“Tak lah, cuma tertanya-tanya je.”

“Tentu dah macam-macam versi cerita yang awak dengar pasal saya. Jangan risau bila awak dah kenal saya, awak akan faham.”

Ora mengenyit mata lalu menuju ke almari miliknya. Sebuah permulaan yang baik. Aurora kelihatan sangat baik dan mesra. Tidak pula kelihatan mana-mana keanehan daripada gadis itu. Diana rasa selesa dengan teman biliknya. Gerak hatinya yakin Ora gadis yang baik mungkin pelik sahaja di mata orang lain.

Gelap dan pekat. Entah di mana dia berada kini. Kabus tebal menyelubungi segenap ruang. Di hujung jalan ada seorang lelaki sedang berdiri. Wajahnya menunduk tidak kelihatan. Diana berkira-kira sama ada mahu pergi mendekati lelaki itu atau menjauhi adalah cara terbaik untuk dirinya. Namun Diana tersentak, tatkala lelaki itu mula mengangkat wajahnya kelihatan sepasang matanya bercahaya.

“Astaqfirullahalzim..Diana menarik selimut. Rasa sejuk hingga tubuhnya mula menggigil.” Dia kembali ke alam realiti.

Teringat pesan nenek, andai bermimpi perkara buruk. Jangan lupa untuk membaca ayatul kursi dan Al-ikhlas lalu ludah sebagai isyarat di kiri, kanan , depan dan belakang. Kemudian tepuk bantal sebelum tidur. Habis membaca doa Diana sempat memandang ke arah katil Ora yang kosong. Entah bila gadis itu keluar. Mungkin bermalam di rumahnya. Itulah salah satu keanehan Ora, suka menghilang tiba-tiba.

Suasana dewan kuliah dengan pelajar seramai hampir 50 orang memang meriah. Masing-masing dengan cerita tersendiri. Semuanya menunggu kedatangan pensyarah yang masuk agak lewat pada hari ini.

“Oh! Diana, kau okey ke. Aku tengok kau tak bermaya je.” Divya memegang bahu Diana.

Donat pula hanya mendengar sesekali turut memerhati keadaan Diana. Leka menikmati donat di tangan.

“Tak ada apa, saya cuma tak boleh tidur semalam. Biasa la tu.”

“Awak fikir banyak kot. Tak apa nanti kita sama-sama fikir cara nak selesai masalah awak ni.”

Donut kelihatan terpegun tatkala memandang ke arah pintu masuk. Ada yang melihat kemudian berbisik antara satu sama lain. Entah gosip apa pula yang mereka bicara apabila melihat pemuda itu masuk ke dalam kelas. Tubuhnya sederhana tinggi. Kulitnya putih namun pucat. Rambutnya sedikit panjang diikat kemas ke belakang. Dia kelihatan mesra memberi senyuman kepada pelajar yang menegurnya. Pemuda itu akhirnya duduk di baris terakhir jauh dari pelajar lain.

“Itu kalau tak silap itu Rayyan adik roommate awak. Budak course programming.” Ujar Donat seolah serba tahu perihal pelajar UTA.

Divya turut memandang ke arah pemuda yang dipanggil Rayyan itu. Dia tidaklah terlalu kacak namun gaya dan pakaiannya yang agak smart membuatkan dia kelihatan lebih menarik. Tidak seperti Ora, matanya berwarna hitam pekat sama seperti rambutnya.

“Boleh tahan kacak. Tapi nampak macam kurang sihat.” Divya berbisik

Diana cuma tersenyum. Dia tidak berminat dengan cerita lelaki itu. Rasa mengantuknya lebih menguasai diri. Nampaknya selesai kelas ini dia harus minum secawan kopi agar mata kembali segar dan mampu bertahan untuk sesi kulih seterusnya.

Kuliah pada setiap hari khamis hanya berlangsung sehingga jam 1 petang sahaja. Hari itu pada waktu petang pula diadakan aktiviti kokurikulum. Setiap pelajar wajib melibatkan diri dengan aktiviti kelab dan persatuan. Diana duduk mendengar kata-kata ucapan daripada senior yang mengalu-alukan kedatangan ahli baru bagi kelab fotografi. Donat dan Divya pula tidak bersamanya kerana dua rakannya itu menyertai kelab kembara.

“Hai Diana..” Suara pemuda menyapa.

Diana sedikit kaget melihat Rayyan menyapanya mesra.

“Oh! Lupa, saya Rayyan adik Ora.”

“Hai Rayyan.” Diana sedikit janggal.

“Herm, nampaknya kita ada hobi yang sama.” Rayyan tersenyum manis.

“Ya nampaknya begitulah. Erm mana Ora?” Ujar Diana dengan senyuman.

“Ora kelab memanah, erm.. kami berempat punya hobi berlainan. Nama je adik-beradik.” Rayyan ketawa kecil

“Awak ada empat beradik?”

“Ya. Semuanya belajar di sini. Cuma lagi dua orang, tangguh penggajian untuk semester ni.”

Rayyan senyum lalu melempar pandangannya ke depan. Lelaki itu seperti kakaknya yang mesra dengan sesiapa sahaja dan tidak lokek senyuman.

Malam minggu seperti biasa, ada sahaja idea Donat. Selepas Maghrib dia sudah tercegat di depan bilik. Rajin pula dia mendaki tangga naik ke bilik Diana di tingkat empat.

“Jom kita pergi pasar malam.”

“Sekarang?”

“Jom la. Jangan risau pukul 11 baru tutup. Jom aku lapar ni. Divya dah tunggu dalam kereta.”

“Ya la, ya la..kejap.” Diana menuju ke arah almari.

Pasar malam pada jam 10 masih lagi riuh dengan orang ramai. Cahaya lampu masih cerah menggamit kedatangan pengunjung yang kebanyakannya pelancong dari negeri dan Negara lain, bunyi bising generator menambahkan lagi kebisingannya. Divya dan Donat pula masih galak membeli. Sedangkan di tangan mereka sudah sarat dengan beg plastik. Diana pula membelek keychain di salah sebuah gerai. Sengaja menghabiskan masa menunggu rakan-rakannya itu. Pelbagai jenis keychain tergantung dengan harga yang berlainan.

“Oops..Maafkan saya.”

Diana terlanggar seseorang.

“Tak mengapa.”

Bau lembut haruman mawar menusuk hidung tatkala lelaki itu mendekati.

“Air awak dah jatuh. Maafkan saya.” Diana serba salah.

“Tak mengapa.” Lelaki itu tersenyum. Namun sebahagiannya wajahnya terlindung dengan topi hitam yang dipakainya.

“Saya bayar semula, atau saya beli semula minuman tu kat awak.”

“Hari lain saja awak belanja saya. Dah lewat malam. Jaga diri Diana.”

Lelaki itu meninggalkan Diana yang terpinga-pinga. Bauan aroma mawar masih tersisa di hujung deria bau.

“Diana..”

Tubuhnya dipeluk dari belakang.

“Aurora..?”

“Diana sorang je ke. Bahaya la dah lewat ni.”

“Tak lah, Diana datang dengan Donat dan Divya. Diaorang ada dalam kedai sana tu.”

“Jom kita duduk sana.” Ora menarik tangan Diana.

“Ora sorang juga ke?”

“Ora datang dengan Rayyan. Entah mana dia pergi.”

“Dah besar pun sesat juga Ora ni.”
Ora hanya ketawa mendengar gurauan Diana.

“Boleh Ora balik dengan korang?” Dengan riak wajah meminta simpati.

“Boleh je.”

“Okey, kejap Ora bagi tahu Rayyan dulu.”
Dari jauh ada sepasang mata setia memerhati gerak-geri mereka dengan senyuman kecil dari dalam kereta.

Diana menurunkan tingkap kereta. Pagi-pagi lagi dia memandu kereta menuju ke pekan Pasak. Jauh sedikit dari tanah rata. Hujung minggu kali ini dia mahu melawat rumah lama peninggalan keluarga. Kata ayah masih ada orang yang di upah untuk menjaga dan membersihkan rumah itu. Diana sempat memandang di sebelah dan belakang. Kedua-dua sahabatnya itu nyenyak tidur.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Bau hutan dan dahan reput, inilah bau alam yang dia rindu. Kedengaran bunyi sungai mengalir deras sebaik sahaja kereta yang dipandu Diana menghampiri simpang di sebelah kiri. Tidak jauh dari situ kelihatan rumah beratap biru bercat putih menggamit nostalgia. Rindunya.

Sudah lebih 10 tahun dia tidak menjejak kaki ke situ. Sejak peristiwa itu berlaku dan sejak kedua orang kesayangannya pergi. Diana menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba mencari kekuatan. Adakalanya dia sendiri menyoal dirinya, mengapa dia mahu kembali? Kerja gila apakah yang sedang dia cuba lakukan. Ayah menegah keras dengan keputusannya pulang ke sini. Tapi dia ada sesuatu yang memanggilnya pulang.

Benarlah rumah itu sangat bersih. Segala tersusun seperti 10 tahun dahulu. Sedikit pun tidak diubah. Cuma pokok bunga matahari yang ditanam oleh arwah kaklong, nenek dan Diana kian tumbuh subur. Merebak luas. Itulah kenangan terakhir yang dia ada bersama kaklong.

“Comel la rumah ni, ala-ala inggeris.” Divya sempat ber swafoto.

“Rumah siapa ni Diana? Macam tak ada orang je. Tuan rumah keluar kot.” Donat menutup mulut kerana menguap.

“Rumah nenek dan arwah atuk. Memang tak ada orang. Selepas mak su sakit nenek pindah duduk dengan saya di Perak.”

“Jom masuk.” Ajak Diana mendahului langkahnya.

“Cantiknya, kakak kau ke Diana?” Donat membelek gambar kecil di atas meja.

“Ya, kaklong aku.” Diana menatap lama gambar itu. Riak wajahnya berubah. Senyumnya tawar.

“Diana, kau okey?” Divya memegang tangan Diana.

“Tak ada apa, Cuma rindu dengan arwah.”

“Maaf Diana..aku tak tahu.” Donat turut bersimpati. Hampir sahaja dia mahu menangis. Mudah benar emosinya terusik.

“Tak apa lah Donat, aku okey ja. Biasa lah.” Diana ketawa kecil. Cuba untuk kuat. Tidak mahu kawannya serba salah.

Donat beria-ria mahu masak mee segera yang dibawanya. Divya pula membaca buku milik atuk Diana di ruang tamu. Manakala Diana berada dalam biliknya di tingkat atas. Dia membelek barang-barang di dalam kotak kecil yang tertulis namanya. Ada seutas rantai dengan batu biru berbentuk hati dan sebentuk cincin yang mempunyai batu berwarna putih. Tapi, dia tidak ingat bila dan bagaimana dia memiliki barang-barang itu. Mungkin milik kaklong.

Di dalam bilik itu ada dua katil, satu lagi katil milik kaklong. Mereka berdualah yang menghuni bilik bercat biru itu sewaktu dulu. Di atas meja kaklong ada sebuah kotak bersaiz 20 cm. Di dalamnya terdapat baju yang dikait dengan benang tetapi masih belum siap. Ada abjad yang terdapat pada baju itu ‘R&D’ . Huruf D mungkin mewakili Dalila, nama kaklong. Manakala huruf R menjadi tanda tanya, siapa pemiliknya. Kaklong tidak pernah bercerita dengan siapa dia berkawan. Tapi malam itu..

“Diana, jom makan. Makanan dah siap. Special aku buat untuk kau.”

Diana sedikit terkejut. Panggilan Donat meleraikan kenangan yang mula disusun oleh memorinya tadi.

“Okey jom..” Diana bingkas bangun meninggalkan barang-barang yang penuh dengan memori lama.

Keadaan kian kelam. Selepas pulang dari rumah nenek Diana, mereka singgah pula di pusat penternakan lebah dan restoran steamboat. Kerana terlalu leka, akhirnya masa sudah lewat senja.

“Kau la Donat, macam-macam tempat kau nak pergi. Kalau aku tak halang silap-silap sampai esok pagi tak balik lagi.” Divya berleter di belakang kereta.

“Kau pun sama juga Divya, kalau jumpa baju tu dah lupa habis benda lain. Aku ajak pergi dua tempat je. Kau yang leka dengan butik tu. Puas aku tunggu kau. Tapi hempeh satu pun kau tak beli.” Donat memulang paku buah keras.

“Ala biar lah, aku cuci mata aje.”

Divya mencebik mulut. Namun tidaklah dia menyimpan kata-kata Donat di dalam hati. Memang mereka begitu. Sementara Diana menjadi pendengar, sesekali tersenyum dengan gelagat rakannya. Mereka terdiam dengan wajah sugul, masing-masing melihat ke luar. Jalan raya yang sunyi hanya ditemani cahaya lampu jalan. Sesekali hanya sebuah kereta yang lalu di situ.

“Buruknya nasib kita, sudah malam. Kereta pula buat hal.” Divya mengeluh.

“ Line tak ada la, ingat nak hubungi Pak cik Ishak datang tengokkan kereta dia ni.”

Diana turut risau, berkali-kali dia cuba menghubungi namun gagal.

“Aduh! Pak cik Ishak ni tak servis ke kereta sewa dia ni?” Donat mengeluh.

Selepas hampir sejam tersadai di tepi jalan, kedengaran ketukan dari luar mengejutkan mereka dari tidur.

“Diana.. Buat apa kat sini?”

Suara riang Ora memberi sinar harapan kepada mereka bertiga. Divya dan Donut menjerit suka. Walaupun fikiran mereka mempunyai tanda tanya dengan kehadiran Ora yang secara tiba-tiba. Bagaimana gadis itu berada di situ? Tidak pula kelihatan ada kereta lain di parkir berhampiran mereka. Tak mungkin dia berjalan kaki seorang diri dalam keadaan gelap dengan hutan di sebelah kiri dan gaung di sebelah kanan.

“Kereta rosak, sebab tu kitaorang tersadai kat sini. Ora pula buat apa, malam-malam macam ni, mana kereta?”

“Sebelum tu, ni abang Ora, Rafael, yang ni memang Diana kenal kan Rayyan.”

“Tak apa, hal kereta serahkan kepada Rafael. Dia tahu apa nak buat.” Ora menepuk bahu abangnya.

Mujurlah ada Rafael yang pandai membaiki kereta. Ora setia menemani mereka sehingga segalanya selesai dan mereka selamat pulang. Ora dan keluarga lain dari yang lain. Sama-sama suka berburu di tengah malam, seronok juga melihat Ora yang sangat rapat dengan adik dan abangnya. Dah lama Diana tidak merasai memiliki sebuah keluarga sejak perginya kak long dan atuk.

Petang itu selepas habis sahaja kuliah. Diana kelihatan sibuk mengemas barang dan pakaian ke dalam beg.

“Betul ke ni Diana? Yakin ke nak pergi ni?”

Aurora memerhati gerak geri Diana yang sibuk memasukkan pakaiannya ke dalam beg.

“Yakin..Diana dah janji dengan Divya. Teman dia join camping dengan kelab kembara gantikan tempat Donut yang tengah demam sekarang ni.”

Kedengaran Aurora mengeluh.

“Bahaya Diana, hutan lumut tu bahaya.”

“Ora jangan la risau, Diana okey. Kitaorang pergi ramai. Hampir 30 orang.”

Aurora mengangguk dengan wajah bimbang. Mahu di tegah, Diana sudah besar. Apa pula katanya nanti. Hati Ora tidak sedap sebaik sahaja tahu perancangan Diana. Dia Cuma mengekori gerak-geri Diana dengan ekor mata sambil meramas tangannya.

Hari yang di nanti sudah tiba. Divya seronok bukan kepalang lagi apabila melihat Diana yang tiba membawa beg travel. Lega rasanya ada seorang kawan yang dikenali menemaninya. Sementara menunggu kedatangan peserta lain, Diana sempat memaklumkan aktivitinya kepada nenek. Seperti dijangka wanita tua itu sangat bimbang.

“Ingat angah, baca ayatul kursi. Beringat selalu. Hutan bukan tempat bersuka ria.”

“Ya nek, angah ingat. Insya Allah.”

Memang jelas mengapa Hutan ini di gelar Hutan Lumut, lihat sahaja pohon besar dan batu-batu yang ada, semuanya dilitupi dengan lumut yang tebal. Ianya sebahagian daripada hutan simpan Gunung Pasak di Green Highland.
Pemandangannya lain dari yang lain. Sesuai bagi sesiapa yang ingin menghabiskan masa bersama alam semula jadi.
Beberapa peserta membulat mata, itulah kali pertama mereka melihat tumbuhan eksotik seperti periuk kera. Ada juga orkid liar yang turut menghiasi landskap alam semula jadi. Suhu kian dingin dan kabus nipis memenuhi ruang hutan manakala suasana sudah mula gelap. Tepat jam 6 petang mereka sudah sampai di tapak perkhemahan. Masing-masing menjalankan tugas yang telah di berikan oleh ketua kumpulan.


Kabus bersama kedinginan mula menyelubungi Diana. Kali ini keadaan tidak gelap tidak juga cerah. Tapi kosong, tertutup dengan kabus. Tidak lagi kelihatan pokok-pokok yang dilitupi lumut dan permukaan tanah. Diana terus berjalan mencari rakan-rakan. Sehingga dia bertemu seseorang yang berdiri tidak jauh darinya. Pemuda itu seolah-olah menanti Diana.
Sebaik sahaja tiba dihadapan, wajah pemuda itu tertutup dengan kabus. Cuma kelihatan bayangnya masih berdiri di hadapan. Diana memaut tangan pemuda itu, Diana ketakutan. Divya juga hilang. Moga rakannya itu berada di tempat selamat.

“Pulang.. bahaya disini. Diana pulang Diana.”

Pemuda itu menggenggam tangan Diana lalu hilang selepas meninggalkan pesan.

“Awak tunggu saya, jangan pergi.”

Diana tersedar dari mimpi, peluh membasahi dahi walaupun sebenarnya suhu sekeliling dingin. Diana memandang Divya yang nyenyak tidur di sebelahnya lalu memandang jam di tangan. Baru jam 3 pagi. Pemuda sebalik kabus sering sahaja muncul di dalam mimpi. Entah apa maksudnya. Mungkin cuma mainan otak ketika tidur. Ada sahaja cerita yang direka sendiri lalu menjadi mimpi.

“Hari ini lepas sarapan, kita akan pulang. Jadi korang makan la puas-puas, bersiap sedia. Supaya bertenaga dan perjalanan pulang dimudahkan.”

Farid merangkap ketua kumpulan memberi arahan.
“Alang-alang dah sampai baik mandi puas-puas. Kita bertanding siapa menyelam paling lama. Jom Zarif ajak kawan-kawan kita join sekali.”

Joe pemuda yang agak riuh dan kadangkala nakal di dalam kumpulan itu. Ada sahaja ideanya. Sudah adat manusia. Ada yang bekerja keras menyiapkan makanan untuk sarapan. Ada juga cuma menjadi datuk dan datin. Yang perempuan berkipas-kipas kononnya panas, geli dan tak tahu memasak. Itu alasan yang diberi. Yang lelaki pula ada mengambil kesempatan menjadi mamat bunga, mengurat gadis-gadis dengan ayat-ayat puaka, ada juga bermain-main dan mandi-manda. Bergelak ketawa seolah-olah hutan itu milik mereka.

“Kau tengok si Joe tu, tak malu ke. Nak mandi pun paling kurang pakai la seluar pendek. Ini dah macam perenang sukan olimpik. Geli aku.”

Nina muncung mulut dengan riak wajah menyampah.

“Biar la, bukan dia kacau kau pun. Jaga lah mata kau tu sudah la” Yuhanis yang berada tidak jauh dari mereka turut menyampuk.

Divya dan Diana cuma diam memasang telinga sambil tangan membuat kerja. Perbualan dan kata mesti di jaga. Tambah-tambah dengan orang yang kurang dikenali. Andai salah bicara silap hari bulan menjadi buah mulut orang. Diri sendiri pula yang terkena.

“Datin Yuhanis, kita ni berada di hutan. Kena la jaga adab dan percakapan. Kelak buruk akibatnya.” Fatty membela kata-kata Nina.

“Korang ni, berfikiran macam nenek nenek, percaya benda karut macam tu.”

Yuhanis ketawa lalu meninggalkan Jemaah itu.

“Bela sungguh boyfriend dia tu. Kalau perkara betul tak apa juga” Nina mencebik.

“Akmal, kau tegur si mamat Joe tu boleh? Biar la dia jaga adab sikit.”

Dora yang berkelakuan pelik sejak tadi mula bersuara. Wajahnya pucat seperti tidak sihat. Gadis itu sangat pendiam. Jarang berinteraksi dengan orang kecuali Akmal sepupunya sahaja.

Akmal cuma mengangguk sementara pandangannya dilemparkan kearah Joe dan rakan-rakannya.

“Boleh ke Dora? Joe tu tak makan saman.” Suara sumbang dari beberapa orang rakan.

Lauk sardin dengan telur dadar bersama roti adalah menu sarapan mereka. Para peserta di bahagi dalam beberapa kumpulan. Satu kumpulan enam orang yang akan bersarapan bersama. Keadaan riuh rendah tadinya menjadi sunyi tatkala Farid mula membaca doa makan.
Habis sahaja mengemas dan membersih kawasan perkhemahan mereka memulakan perjalanan pulang. Joe pula adalah orang terakhir berada di barisan belakang. Dia kelihatan begitu payah mengangkat kedua kakinya. Seolah-olah kakinya diikat dengan beban yang berat. Peluh mulai membasahi dahinya. Tiba-tiba sahaja.

“Joe, cepat sikit jalan. Nanti tertinggal.” Salah seorang rakannya memanggil.

“Kejap. Kaki aku.”
Joe duduk di tunggul kayu sambil memegang kakinya yang mula rasa lenguh.

“Kaki aku, berat semacam je.”

“Dah kenapa kau ni, jangan buat lawak Joe.” Rakannya mula mendekati Joe.

“Kali ni aku serius, kaki aku lenguh. Nak gerak pun rasa berat macam batu.”

Joe memandang wajah rakannya.
“Kejap, aku pergi panggil Farid. Kau tunggu sini.”

Sekelip mata rakannya meninggalkan Joe. Beberapa peserta yang berada di barisan belakang termasuk Yuhanis mendekati Joe cuba melihat keadaan pemuda itu. Takut juga kalau Joe pengsan. Pemuda itu kelihatan tidak bermaya. Walhal tadi dia lah orang paling kecoh dan bersemangat.
Selepas beberapa minit Farid, Akmal dan Dora muncul.

“Mari sini aku tenggok kaki kau, mana tahu terkena patukan ular atau sengatan kala jengking.” Farid menghampiri Joe.

“Aduh sakit, aku tak yakin boleh jalan. Nak gerakan ibu jari pun tak mampu. Macam tak ada kaki. Kebas, tak rasa apa-apa.”

Wajahnya pucat.

“Tak ada kesan gigitan atau patukan pun. Kau ada elergik apa-apa tak?”

“Tak, tak ada.” Balas Joe dengan wajah berkerut.

Kelihatan Dora membisik sesuatu kepada Akmal. Pemuda itu hanya mengangguk sambil merenung ke arah Joe. Kemudian tersenyum.

“Farid, sini kejap. Aku nak bincang.” Akmal menarik sahabat karibnya.

Diana memerhati tindak tanduk Dora yang aneh. Gadis itu kelihatan dalam ketakutan. Sekejap menunduk dan kemudian melihat pula kearah kaki Joe. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu.

“Joe, aku dah pesan kat kau tadi. Beradab, jaga kelakuan kau. Tapi kau degil.” Farid duduk dihadapan Joe.

“Apa kena mengena adab dengan keadaan Joe sekarang, korang ni tak habis-habis dengan kepercayaan karut tu.”

Yuhanis menempelak. Geram dengan kata-kata Farid.

“Dunia ni dan termasuklah hutan ini bukan hanya ada manusia sahaja yang menghuni dan bukan cuma haiwan yang berkongsi habitat nya dengan kita, tapi ada lagi makhluk Allah yang lain. Dalam Al-quran juga menyebut tentang jin dan syaitan serta alam ghaib. Aku tak cakap sembarangan Cik Yuhanis. Kalau orang masuk rumah kau, buat kelakuan tak senonoh, agak-agak kau marah tak?” Akmal mula membebel, hatinya panas.

“Macam mana kau yakin sangat kalau semua ni kerja benda-benda macam tu?” Yuhanis pantang ada orang yang cuba melawan kata-katanya.

“Dah.. dah.. Yuhanis dan lain-lain sila teruskan perjalanan. Ikut Amran yang berjalan di depan. Minta dua orang budak lelaki membantu kami. Selebihnya teruskan perjalanan. Tak usah menyulitkan keadaan.” Farid memberi arahan.
Cuma Dora sahaja yang tinggal bersama Akmal dan budak lelaki lain yang akan membantu Joe.

“Dora jom..” Diana mengajak.

“Tak apa, Dora dengan saya.” Akmal bersuara dengan senyuman. Sementara Dora masih malu-malu.
Diana dan Divya mengangguk sebelum meneruskan perjalanan bersama yang lain.

Hari itu perjalanan pulang mereka diuji. Laluan sedikit lincin dengan lumut yang lembab kerana hujan pada jam 7 pagi tadi. Mujurlah hujan itu cuma seketika.

“Hati-hati semua, takut tergelincir. Jalan sekarang sangat lincin. Pegang kuat-kuat. Jangan gopoh gapah.” Amran bersuara dari depan.

Kedengaran air sungai yang mengalir di bawah. Jalan pula sedikit curam. Diana memandang ke bawah. Matanya tepat melihat ke arah rimbunan pokok yang berada ditepi sungai. Ada seseorang sedang berdiri disitu melihat rombongan mereka turun.

“Diana..”

Divya menjerit tatkala melihat rakannya itu terjatuh. Dia tidak sempat mencapai tubuh Diana yang melungsur laju ke bawah. Keadaan mula kecoh. Divya sudah menangis bimbang. Gadis itu terkapai menjerit minta tolong dan kemudian sekelip mata Diana menghilang dalam air sungai yang deras.

Kedengaran bunyi unggas hutan sayup-sayup. Seorang gadis terbaring di bawah pohon besar yang dipenuhi lumut. Dia mula membuka mata. Keadaan sekelilingnya sudah gelap. Dia memandang ke atas. Tapi yang kelihatan pohon-pohon besar yang menutup hamparan langit malam. Dia yakin, dia masih di hutan. Tapi mana pergi rakan-rakanya. Dia berharap ada Divya di sisinya. Teringat arus deras yang membawa dirinya sebentar tadi membuatkan Diana takut.
Rasa dirinya diangkat dan di bawa oleh seseorang. Namun pandangannya kabur. Tubuhnya yang basah dengan suhu yang mula dingin membuatkan dia menggeletar kesejukan. Orang yang membawanya kini seolah-olah sedang berlari. Tapi begitu laju. Dunia bagai berputar songsang. Akhirnya Diana menutup mata tidak sedarkan diri.

………….

Beberapa tahun lalu

Malam itu hujan sangat lebat. Dari petang hingga ke malam masih belum menunjukkan tanda mahu berhenti. Diana berehat di atas katilnya sambil mendengar lagu. Nenek dan atuk pula berada di bawah. Kak long pula sama sepertinya. Deringan handphone kak long mengejutkan mereka berdua. Diana mengekori gerak geri kak long yang kelihatan cemas sebaik sahaja menerima panggilan. Kak long kemudian hilang dari pandangan sebaik sahaja dia turun ke bawah.
Selepas beberapa minit kemudian kak long naik semula dan kali ini dia menyuruh Diana cepat-cepat berkemas dan ambil apa yang penting sahaja. Nenek dan atuk juga begitu. Masing-masing nampak sedikit gelisah seolah-olah gempa bumi atau tsunami bakal melanda.

“Cepat Diana.. Kita tak ada masa.”

“Kenapa ni? Ayah sakit ke?”

“Ikut aja cakap kak long. Cepat.”

Diana diam ketika itu berumur 12 tahun akur dengan arahan kak long. Kemudian turut mula mengemas barangnya.
Kereta atuk yang uzur meredah hujan. Diana dalam kebingungan. Tidak faham dengan keadaan. Mereka berempat diam sahaja di dalam kereta. Kak long kelihatan cemas walau dia cuba menyembunyikan perasaannya pada ketika itu. Kejap-kejap melihat handphone.

Hujan masih lagi lebat. Tiba-tiba kereta atuk berhenti mengejut. Ada pokok tumbang di tengah jalan.

“Nampaknya kita kena guna jalan lain.” Atuk melihat ke belakang.

“Harap-harap kita selamat sampai ke sana. Diorang dalam perjalanan.” Suara kak long bergetar.
Kereta atuk mula undur perlahan-lahan. Kedengaran seolah-olah bunyi bangunan runtuh. Di sebelah kiri mula kelihatan air dan tanah merah meredah turun dari puncak bukit membawa bersama pokok-pokok yang tidak kuat cengkaman akarnya.

“Allahuakbar..” Atuk melaung.

“Atukkk…” Diana menjerit

Diana terjaga dalam keadaan cemas.

“Diana..Diana..” Serentak suara Divya, Donat dan Aurora memanggilnya.

Divya memegang tangan Diana.

“Diana..awak dah selamat. Awak dah selamat.”

Divya memeluk Diana. Aurora dan Donat turut mendekati Diana. Rasa bersyukur Diana selamat dari lemas.

Tapi siapa yang menyelamatkan Diana?

Bersambung Bab 2..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

4 thoughts on “Lelaki Sebalik Kabus Bab 1”

    • Saya dah tulis sampai tamat. Dah hantar semua bab kat admin. Tgu je mpga admin pos. Sebenarnya tahun lepas saya hantar cerita ni, ingat admin tak nak pos dah. Baru tahun ni keluar.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.