Leluhur Mama
Assalamualaikum pembaca FS yang setia. Kisah aku agak panjang dan kisah benar tentang seorang wanita yang paling aku sayang. Mama….
Aku bukan nak cerita tentang aku. Tapi tentang mama dan sesuatu yang kadang logik akal kita tak boleh terima. Tapi untuk aku yang selalu menjadi saksi kejadian ni aku percaya ilmu Allah ni sangat luas.
Aku mula dengar kisah pelik2 tentang mama sejak usia aku 10 tahun. Itupun dari cerita makcik2 dan pakcik2 (adik beradik mama). Antaranya kisah saka yg memilih mama untuk meneruskan warisan. Tp untuk pengetahuan pembaca, tidak semua saka itu jahat. Ada yang seperti leluhur, keturunan orang-orang soleh dan pendekar alam melayu dahulu kala. Dan boleh aku katakan mama seorang yang alim juga kerana itu aku percaya yang mendampingi mama juga tentu makhluk yang baik. Jika kita biasa dengar tentang sixth sense, mama ni entah berapa sense yang dia ada. Deria dia sangat sensitif dan peka terhadap keadaan keliling dan kami adik beradik sudah tersangat biasa bila mana melihat mama berjuang melawan sesuatu yang kami tak nampak.
Aku pendekkan cerita. Kisah mama ini semakin menggerunkan hingga bulan mei 2025. Waktu ini dalam bulan puasa. Nenek (ibu mama) sedang sakit kuat kerana kanser. Keluarga kami menetap jauh di pantai timur. Nenek pula di negeri selatan. Antara kejadian yang berlaku dalam bulan puasa ialah, rumah kami sentiasa berbau harum. Seperti bauan limau nipis yang manis dan menenangkan. Adik aku pernah bertanya kan kepada mama tentang bauan itu tapi mama hanya kata tiada apa. Pernah sekali ketika aku dan adik-adik pulang dari masjid, mama masih di atas sejadahnya. Diam. Sunyi. Papa memberi isyarat kepada kami agar tidak mendekati mama waktu itu. Tiba-tiba mama menepuk lantai dengan kuat dan tangannya seperti menggenggam sesuatu kemudian di lempar ke arah tingkap nako. Serentak itu juga kami mendengar seperti ada sesuatu yang besar jatuh berguling diatas bumbung rumah lalu terpelanting jauh dan masuk ke dalam tali air di hadapan rumah kami. Adik-adik kecil yang bising bermain di ruang tamu serta merta diam.
Tak semena-mena mama menggeliat seperti ditusuk sesuatu dan mama melempar tasbihnya ke dinding. Serentak juga kami dengar lolongan seperti bunyi anjing tetapi lebih parau lagi. Adik-adik sudah berlari aku juga ketakutan dan masuk ke bilik mama. Hidung aku terbau seakan bau asap terbakar, tetapi sangat la busuk… Sekejap saja kemudian baunya hilang dibawa angin.
Seingat aku, kisah itu berlaku dalam penghujung puasa. Kemudian tiada lagi kejadian pelik berlaku untuk sementara waktu. Cuma mama lebih banyak berdiam diri. Aku fikir mungkin mama risaukan nenek. Selain itu, mama juga selalu keletihan. Bila aku tanya kenapa dia nampak letih? Mama hanya menjawab dia kurang tidur. Benar, mama hanya tidur 4-5jam saja sehari. Jadi, aku xfikir itu perkara pelik hingga lah sebulan selepas raya. Keadaan nenek sudah makin teruk. Telefon mama selalu saja berbunyi bilamana adik beradik mama saling berhubung memberi tahu keadaan nenek setiap masa.
Aku terdengar perbualan telefon mama, mereka sedang berusaha mencari seorang ustaz untuk memudahkan nenek. Tetapi ustaz itu tidak dapat dihubungi dan mama menawarkan diri untuk bantu dari jauh.
Aku masih ingat hari itu hari khamis malam jumaat. Mama suruh kami semua tidur awal. Tidaklah aku tahu apa yg berlaku pada hari itu cuma tidur aku terganggu dengan bunyi2 yang menakutkan. Tapi aku tidak merasa takut sedikit pun kerana bauan limau itu sangat menenangkan hati. Lagi pula, telinga aku sentiasa mendengar suara mama mengaji dan seperti ada orang berzikir kuat dan bergema satu rumah. Cuma aku tak tahu siapa yang berzikir malam itu. Esoknya, hari jumaat. Subuh2 lagi mama suruh kami bersiap. Kami akan pulang ke kampung. Tetapi sepanjang perjalanan kami di ganggu. Kereta tiba-tiba mati, tayar bengkak,adik kecil kami menangis tak berhenti, papa tiba2 sakit tangan. Perjalanan yang sepatutnya bole sampai cepat jadi lambat. Dan akhirnya mama tidak sempat melihat nenek untuk kali terakhir. Kami sampai malam, ketika jenazahnya sedang dimandikan. Aku lihat mama terduduk di satu sudut. Mama sedang menyesali sesuatu. Nenek di semadikan malam itu juga. Di solatkan dengan jemaah isyak yang agak ramai malam itu.. alhamdulillah nenek pergi dalam khusnul khotimah.
Mama? Aku curi2 dengar perbualan mama adik beradik malam selepas pengebumian nenek dan baru aku tahu selepas nenek bercerai dengan atuk, nenek berkahwin dengan seorang perawat tradisional (bomoh). Aku memang rapat dengan atuk baru tu cuma tak tahu dia seorang bomoh. Oleh kerana nenek berkahwin dengannya, maka nenek di perturunkan juga pelbagai ilmu. Ilmu yang nenek ambil tu pula ada ‘khadamnya’. Aku tak ingat berapa usia perkahwinan nenek kerana akhirnya nenek bercerai juga dengan suami barunya dan kemudian hidup sendiri. Selepas bercerai itulah sakit nenek bermula. Jadi baru lah aku faham mengapa mereka memerlukan khidmat ustaz semasa akhir hayat nenek.
Aku juga dengar mama cerita kan pada paklong tentang malam sebelum nenek pergi. Cerita mama, setelah mama bersetuju untuk membantu nenek, rumah terasa penuh dan sesak. Mama bersiap sedia dari waktu asar dengan amalan penguat diri dan pendinding untuk seluruh ahli keluarga kami. Macam bersiap nak berperang. Ye memang mama berperang secara batin malam itu. Bunyi2 yang aku dengar itulah perangnya. Malam tu memang hujan lebat, tapi lebatnya sangat bingit seperti bunyi besi berlaga2. Kata mama, dia dibantu oleh leluhurnya itu. Aku pernah melihatnya sekilas. Seorang perempuan tinggi lampai dan tubuhnya tegap. Aku melihat ‘kawan’ mama itu ketika majlis penutup silat mama. Mama aku seorang pencinta warisan. Entah berapa ilmu silat yang dia ada pun aku tak tahu. Suara zikir yang bergema itu adalah ‘kawan-kawan’ mama juga. Mereka sama2 datang membantu mama pada malam itu.
Mama cerita lagi. Yang berdamping dengan nenek bukan sikit-sikit. Tapi banyak berbondong-bondong. Makhluk2 itu semua mengintai-intai semua adik-beradik mama untuk menipu helah. Sesiapa yang lalai akan menjadi tuan baru. Sebelum sempat perkara itu berlaku,mama perangi mereka sehingga tersisa seekor saja iatu ketuanya. Tujuan mama agar nenek dapat bertahan untuk sementara supaya mama sempat sampai sebelum nenek hembuskan nafas terakhir. Tapi malangnya perjalanan kami di ganggu dan nenek pergi 10minit selepas azan asar. Itulah yang mama kesalkan. Kemudian aku sudah tertidur penat. Dah tak dengar lagi cerita seterusnya.
Pada hari ahad, mama bagitahu aku bahawa bekas suami nenek itu juga telah meninggal dunia. Tepat 36jam setelah nenek pergi. Aku sangat yakin kematiannya itu mesti bersangkut-paut dengan cerita mama malam kelmarin. Cuma aku tak pernah tanyakan pada mama. Mama pula kalau dia tidak bercerita tu maknanya benda tu memang dia tak mahu anak-anak tahu. Sebelum pulang semula ke pantai timur, mama menziarahi rumah adik-beradiknya. Dan aku perasan setiap kali kami nak mulakan perjalanan,mama akan kutip 1 batu dari halaman rumah mereka dan dikumpulkan dalam 1botol. Sampai la destinasi rumah terakhir, rumah Pak ngah yang berada di sempadan johor & pahang. Dalam beberapa km sebelum sampai rumah pak ngah, kami berhenti di satu kawasan tasik. Pemandangannya cantik tapi bagi aku agak seram sikit kerana dalam tasik itu banyak pokok-pokok mati, airnya hitam gelap dan diam tidak berarus. Di belakang tasik itu hutan tebal dan mama pernah cakap hutan itu bersambung dengan hutan simpan Pahang. Sebelum turun dari kereta, mama pesan untuk diam dan jangan ikut. Aku turut saja kerana memang adik aku tidur di riba aku. Mama turun berdua dengan papa sambil memegang botol yang berisi batu tadi.
Aku hanya melihat dari dalam kereta. Waktu ni dah petang sangat, tambah pula hari nak hujan. Aku agak angin diluar agak kencang kerana niqab yang mama pakai terangkat ditiup angin.
Seketika aku ternampak 2 bayangan kuning datang dari hujung tasik. Air tasik juga seperti berkocak perlahan seperti diranduk sesuatu yang besar. Bayang kuning itu semakin jelas dan bayang sebaliknya juga jelas di mata aku. Itu HARIMAU PUTIH! tersentak aku terkejut dengan apa yang aku lihat. Tapi benda tu hanya sekilas mata sahaja. Aku melihat mama seperti bercakap dengan sesuatu. Papa berdiri beberapa meter di belakang mama. Kemudian papa mencampakkan botol tadi jauh ke tengah tasik. Aku melihat mama mengangkat tangan berdoa sekejap sebelum berjalan ke arah kereta. Dan kami meneruskan perjalanan dalam cuaca hujan, angin kencang serta kilat sabung menyabung. Kami sampai dirumah pakngah waktu maghrib dan selepas makan malam teruskan perjalanan pulang ke rumah kami. Alhamdulillah sepanjang perjalanan balik tiada gangguan apa-apa cuma cuaca hujan sepanjang jalan serta kilat dan guruh yang kuat.
Ada lagi kisah mama dengan sahabat lautnya. Tentang segerombolan makhluk yang sering bermuzakarah dengan mama di sepertiga malam. Dan ‘mereka’ datang rumah setiap hari untuk belajar mengaji kerana mama aku seorang guru mengaji di kampung. Serta kisah seseorang yang merayu mama untuk ubati santau siam yang dihadapi. Yang ini agak menarik. Walaupun mama sangat mahir dengan ilmu ghaib begini tetapi dia tidak mahu mengubati orang. Kata mama dia takut niatnya tersasar kerana ramainya perawat2 Islam yang akhirnya menjadi tamak setelah viral. Dan mama pernah berkata, hanya orang yang benar-benar perlukan bantuannya sahaja akan dapat mencari dia. Dan seseorang itu salah seorang yang Allah lorongkan untuk berikhtiar membuang santau asbab pertolongan mama.
Nanti aku ceritakan lagi kisah-kisah ini. Sememangnya sangat menarik dan semoga dapat merubah persepsi kita tentang keberadaan makhluk ini bukan untuk kita takuti. Tetapi untuk kita takhlukkan kerana kita lah khalifah di bumi ini dan kita adalah sebaik-baik ciptaan.