Lupa Tuhan

Assalamualaikum para pembaca FS. Pertama sekali, terima kasih kepada admin sekiranya sudi approve cerita aku ni. Terlebih dahulu biar aku perkenalkan diri aku. Nama aku Ana dan aku merupakan penuntut tahun kedua di sebuah ipt terletak di utara tanah air.
Selama aku menuntut disini, aku dengan kawan-kawan tinggal di asrama tapi untuk semester ini kami membuat keputusan untuk tinggal di rumah sewa. Sebelum berpindah ke rumah sewa ini, kami tiada pula mendengar apa-apa cerita kurang enak tentang rumah ini daripada penyewa sebelumnya. Kejadian-kejadian aneh bermula pada pertengahan semester.
Kami tinggal di rumah ini seramai 9 orang. Rumah ini ada 2 tingkat dimana di tingkat atas terdapat 1 bilik iaitu master bedroom dan bilik air manakala di tingkat bawah terdapat 2 bilik, stor dan bilik air. Aku bersama 4 orang lagi kawan aku duduk di tingkat atas. Selama kami duduk di tingkat atas, memang keadaan sangat tenang dan langsung tiada apa-apa gangguan. Hal ini amat berbeza sekali dengan suasana di tingkat bawah.
Bilik-bilik di tingkat bawah dihuni oleh 4 orang lagi sahabat kami. Kejadian-kejadian pelik sering terjadi di bahagian dapur dan bilik air bahagian hujung rumah. Disini aku nak bermula dengan kisah yang terjadi pada diri aku sendiri. Untuk pengetahuan semua, kami dirumah ini bukanlah dari kelas yang sama. Jadi, waktu kuliah kami memang berbeza. Namun aku beruntung kerana seorang daripada kami merupakan classmate aku. Memang 24 jam lah aku berkepit dengan dia. Kebiasaannya kalau kami pulang ke rumah pada waktu pejabat, memang rumah ini kosong tak berpenghuni.
Setiap kali sampai di rumah, kami berdua memang akan terus naik ke tingkat atas. Kami hanya akan turun kebawah untuk makan dan buat kerja-kerja laundry. Pada hari kejadian, aku turun ke tingkat bawah untuk memasak dan membasuh baju. Aku cukup tak suka sekiranya terpaksa tunggu turn kerana aku bukanlah seorang yang penyabar. Aku akan settle kan kerja-kerja aku sewaktu ketiadaan orang. Sebaik sahaja aku memasukkan baju-baju kotor ke dalam mesin, aku akan salurkan air dan tunggu sehingga air penuh. Kemudian barulah aku akan beredar. Mesin basuh kami mesin separa auto ye jadi terpaksalah tunggu sehingga air penuh barulah mesin akan berfungsi. Sedang aku menunggu, aku terasa seolah-olah ada ‘manusia’ yang sedang mengintai aku. Sebaik sahaja aku menoleh, ianya hilang. Disebabkan ia perkara biasa bagi aku jadi aku abaikan sahaja.
Setelah siap menjemur baju, aku mula memasak untuk makan tenghari. Sewaktu aku sedang sibuk mengacau lauk, aku terdengar bunyi tapak kaki dibelakang aku dan aku betul-betul dapat rasa ada ‘manusia’ berdiri di belakang aku. Tanpa berfikir apa-apa aku segera menoleh kerana aku sangkakan itu adalah kawan aku dari tingkat atas. Namun tekaanku meleset sama sekali kerana langsung tiada siapa-siapa di tingkat bawah dan kawan aku itu sedang tidur di bilik kami. Pada waktu itu, bulu roma dah mula meremang kerana aku rasa suasana agak berbeza dari biasa. Cepat-cepat aku selesaikan masakan dan naik ke tingkat atas.
Beberapa hari kemudian, masih kami berdua sahaja yang berada di rumah pagi itu kerana housemates yang lain semua sudah ke kuliah. Aku masih dengan agenda memasak seorang diri di dapur. Namun kali ini aku tiada merasa terdapat apa-apa kelibat cuma kali ini aku terdengar bunyi-bunyian. Bunyi pertama yang aku dengar adalah bunyi mesin jahit. Ya, bunyi mesin jahit di bilik bersebelahan dapur. Memang jelas aku dapat dengar bunyi itu. Tetapi, siapakah yang sedang menggunakan mesin jahit tersebut sedangkan tiada sesiapa dirumah melainkan aku dan seorang kawan aku yang pada waktu itu sedang mandi di bilik air tingkat atas! Aku mula rasa takut sebenarnya namun aku belum mahu beredar dari situ. Aku meneruskan kerja memasak aku. Tidak lama kemudian aku terdengar bunyi pintu yang ditutup dan dibuka berulang kali. Bunyi tersebut masih datang dari bilik yang sama. Tetapi yang memusykilkan adalah pada waktu itu langsung tiada angin kerana aku langsung tiada menghidupkan kipas dan bilik itu terletak sedikit di ceruk dimana langsung tiada tingkap disitu. Aku malas mahu melayan bunyi-bunyi itu lalu aku meneruskan masakan.
Aku ada bercerita tentang kejadian-kejadian yang aku alami pada housemates aku yang lain. Ternyata perkara-perkara itu bukan hanya terjadi pada aku bahkan mereka juga pernah merasainya. Ada di antara mereka yang terdengar bunyi bayi menangis di luar pintu dapur pada pukul dua pagi. Cuma masing-masing tak berani buka mulut.
Perkara ini tidak terhenti disitu. Kejadian kemuncak terjadi apabila berlaku sedikit perselisihan faham melibatkan 3 orang daripada kami yang tinggal didalam bilik ‘keras’ tersebut. Pada waktu itu jam sudah menunjukkan pukul satu pagi. Salah seorang daripada tiga orang tersebut bertindak mengambil pisau dan mengugut untuk membunuh diri. Kami sangat terkejut. Aku memang tak tahu nak buat apa pada waktu itu melainkan hanya menangis. Mujurlah salah seorang daripada kami sedikit berani merampas pisau berkenaan. Tidak dinafikan, sebelum kejadian itu kami memang sentiasa rasa tak senang duduk. Kami terasa ingin marah antara satu sama lain tanpa sebab yang munasabah.
Keesokannya, kami merasakan bahawa kami perlu berbuat sesuatu. Jadi kami mula melalukan solat berjemaah dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran pada setiap malam. Waktu ini baru nak ingat tuhan hahaha. Alhamdulillah sejak itu keadaan dirumah kembali tenang dan gangguan-gangguan seperti bunyi dan kelibat juga sudah berkurangan. Jujur aku katakan, sebelum ini memang didalam rumah ini ramai yang meninggalkan solat. Membaca Al-Quran jauh sekali, mungkin dalam sebulan 2 atau 3 kali sahaja. Jadi tidak mustahillah ‘benda-benda’ itu suka mengganggu.
Maaflah andai cerita aku kurang menarik dan sekiranya ada ayat-ayat aku yang mengguris perasaan pembaca. Aku baru nak berjinak-jinak dengan bidang penulisan dan cerita aku ini bukanlah cerita rekaan semata-mata.
-Ana-

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

14 thoughts on “Lupa Tuhan”

  1. itulah maksudnya lupa tuhan ya huhu. kita memang selalu terlepas pandang benda2 macam ni. dah kena kacau ke apa baru ingat nak solat padahal solat tu tiang agama. cuma faz pening sikit perenggan yang dicampur aduk terus sampaikan faz terlepas pandang dan terpaksa cari balik ayat yang faz terlepas pandang. apapun good job

    Reply

Leave a Comment