Suatu hari nan damai, masuk je ke kedai, saya nampak budak-budak pembantu kedai tengah rancak membawang. Siapa lagi kalau bukan Dya dan Ati. Ada seorang lagi yang bernama Eka pun tumpang sekaki. Pada mulanya saya ingat diaorang dok gossip-gossip pasal artis, rupa-rupanya tengah bercerita tentang gangguan yang baru diaorang alami sehari dua lepas.
Bila diaorang nampak je saya masuk, macam tak sabar-sabar diaorang nak cerita kepada saya apa yang berlaku. Mula-mula Ati yang bukak mulut.
“Kelmarin waktu saya tengah solat, penyangkut baju yang kat dinding tiba-tiba jatuh. Biasa mana pernah jatuh walaupun kipas siling pasang pada speed 5. Saya buat tak tau jelah… tapi dalam hati rasa nak berenti solat dan lari masa tu jugak… hahahaha…”
Semua bantai gelak walaupun dah meremang segala bulu diaorang bila dengar cerita dari Ati.
Pastu Eka pula sambung bercerita.
“Saya pun sama. Waktu tengah solat jugak, cuma bukan hanger yang jatuh, tapi besi rak tiba-tiba bergegar dan berlaga. Tak mungkin angin kipas yang gerakkan besi-besi tu. Selama ni pun pasang kipas tak pernah pulak besi tu bergegar.”
Sebenarnya ada satu bilik stor tu yang kami kemas, jadi ada ruang yang agak selesa untuk kami solat. Dalam bilik tu ada stok barang lama, fail-fail lama dan rak-rak besi yang tak digunakan yang diceraikan supaya kami boleh susun dan tak makan banyak ruang. Rak besi tu la yang berlaga sewaktu Eka tengah solat tu.
Habis cerita Eka, giliran Dya pulak bercerita.
“Dalam beberapa hari lepas ada sorang makcik masuk kedai ni. Dia cari sorang staff yang badan chubby-chubby… katanya masa dia masuk beli barang beberapa hari sebelum tu, dia nampak ada benda berdiri di sebelah staff tu. Makcik tu kata staff tu ada saka, jadi dia nak buanglah saka tu. Saya rasa orang yang dia maksudkan tu Ati lah kot… sebab dalam ramai-ramai satff sini, saya dan Ati je yang badan chubby. Ati lak takde kat kedai masa tu… hahaha…”
Dalam hati saya dah membebel masa tu… suka hati ko je ye makcik dok tuduh2 orang ada saka. Pastu rajin plak nak ubat-ubatkan orang macam tu je. Biasanya pesakit yang cari perawat… tapi ni dah terbalik.
Lepas mendengar luahan perasaan ketiga-tiga orang tu saya macam biasalah pegi ke meja kerja saya… tempat paling aman dalam dunia… buka laptop dan buat kerja yang mana patut dulu. Dah penat mata dan kepala hotak buat kerja baru saya berenti sekejap dan cuba cari jawapan kepada misteri-misteri nusantara yang baru budak-budak ni citer tadi.
Disebabkan sebelum ni dah agak banyak kes yang saya alami, kebanyakannya bila saya dengar je masalah yang diceritakan pada saya, saya dah boleh agak apa yang berlaku dan setan-setan tu datang dari mana walaupun masa tu saya belum tarik dan soal siasat setan-setan tu lagi.
Banyak je kes yang saya tak tarik pun setan-setan tu, tapi terus tibai dan halau je. Tarik pun bila keadaan memerlukan je, tapi kali ni saya sendiri confuse, setan mana pula yang kacau diaorang dalam bilik stor? Orang hantar ke? Ke ada kena mengena dengan makcik tu? Atau kebetulan je setan tu ada kat kedai lepas makcik tu masuk beli barang kat kedai?
Oleh sebab dah biol kepala hotak saya dok pikir pasal makcik dan setan yang kacau budak-budak ni, tapi masih tak dapat juga nak agak apa yang sebenarnya berlaku… saya ambil keputusan untuk tarik juga setan tu kali ni. Nak tarik makcik tak boleh la.. nanti dia report pulis, tak pasal-pasal pula saya masuk lokap.
“Hah.. kau buat apa dalam kedai aku?” Tanya saya sebaik sahaja setan tu hadir.
“Alaa.. aku saja nak tumpang berteduh.”
“Kau dari mana tadi? Kau ada tuan tak?”
“Aku dari luar tadi… merayau-rayau. Takde tuan.”
“Ooo.. aku ingat ada orang hantar kau macam setan yang dulu. Nasib baik aku tak belasah kau tadi.”
“Tak.. aku takde tuan.”
“Kau kata nak tumpang sini… abis tu yang kau pergi usik budak-budak ni apasal? Kau tak boleh dok diam-diam je ke?”
“Aku boringlah…”
“Macam-macam lah kau ni. Aku rasa yang makcik tu nampak dok sebelah Ati hari tu mesti kau kan?”
“Ya.”
“Macam mana makcik tu boleh nampak kau?”
“Sebab dia pun ada setan.”
“Ooo.. aku dah agak.”
Dah habis soal siasat… saya syahadahkan dia dan dia keluar dari kedai. Malas saya nak tanya banyak pasal makcik tu. Yang penting saya tau setan tu takde sapa yang hantar, sekadar singgah tumpang berteduh. Saya bukan kisah pun dia nak tumpang berteduh, tapi dikacaunya pula budak-budak ni. Dah setan tu setan la juga, memang susah nak hilangkan naluri kesetanan dia tu.
Saya bagitau budak-budak ni hasil soal siasat saya. Eka yang masih dikira baru bekerja kat kedai macam agak terkejut bila dengar. Dari situlah saya tahu rupanya Eka ni jenis yang percaya dan berminat dalam hal-hal mistik.
Diringkaskan cerita, tak lama selepas tu Eka belajar rawatan dengan saya, menjadikan dia satu-satunya perempuan yang saya kongsikan ilmu saya ini. Ada beberapa orang lagi yang dah agak lama belajar dengan saya semuanya lelaki.
Tak lama lepas itu juga baru terbongkar yang rupa-rupanya Eka pun ada saka keturunan. Nanti saya akan kisahkan bagaimana saka dia boleh kantoi. Permisi dulu. Terima kasih.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit