Makhluk Berbulu Hitam

Assalamualaikum kepada semua pembaca Fiksyen Shasha. Sebelum ni aku cuma seorang pembaca tetapi kali ni aku menulis untuk bagi orang pula baca. Sebelum tu, aku minta maaf awal-awal seandainya bahasa yang aku gunakan agak huru hara sedikit dan tidak teratur. Al-maklum baru pertama kali menulis kisah begini.

Okay, dipendekkan cerita, aku ingin menceritakan kisah tentang pengalaman yang aku sendiri lalui. Masa tu aku sedang menuntut di salah sebuah Politeknik di Sarawak.

Nama aku Dahlia (bukan nama sebenar). Berumur 20 tahun. Mengambil jurusan Kejuruteraan Elektrik. Aku ada kawan rapat yang sama jurusan denganku iaitu Jacline, Nazrah dan Amalina (bukan juga nama sebenar). kami semua berasal dari Sarawak cuma berlainan Daerah. Kami rapat bagaikan adik-beradik. Belajar bersama, makan bersama, pergi kelas bersama, lepak bersama dan buat apa-apa aktiviti pun bersama. Kami juga mempunyai kawan rapat lelaki yang sama jurusan dengan kami iaitu Ricky dan Valentine (bukan nama sebenar) dan kedua-duanya berasal dari Sabah.

Apabila masuk semester kedua kami menuntu disana, kami menjadi semakin akrab sampaikan kami bercadang untuk buat “study group” bersama memandangkan tidak lama lagi Ujian Semester akan menjelang tiba. Dan kebetulan pada waktu itu,pihak Politeknik memberi cuti 1 minggu untuk persiapan sebelum ujian. Kiranya untuk “study week” la tu. Kami pun plan untuk balik kerumah Nazrah memandangkan rumah Nazrah yang paling berhampiran dengan Politeknik.

Sebelum kami balik kerumah Nazrah, kami singgah di salah satu pantai dimana tempat setiap tahun akan di adakan satu acara suku kaum di situ. Tujuan kami singgah adalah untuk piknik dan hanya untuk bersantai-santai sahaja dan lepak untuk release tension sahaja. Kami menyanyi bersama, tangkap gambar untuk kenangan, gosip-gosip untuk perempuan. Menjelang Maghrib, kami pun berkemas-kemas untuk pulang kerumah.

Apabila tiba dirumah Nazrah, kami disambut oleh 2 orang makcik Nazrah. Kedua-duanya sangat peramah orangnya. Oh ya,sebelum terlupa Nazrah adalah anak angkat. Dia diangkat oleh makcik dan pakciknya sendiri. Walaupun begitu, aku merasakan Nazrah adalah orang yang sangat beruntung kerana memiliki keluarga angkat yang sangat sayang padanya.

Berbalik kepada cerita, aku menunggu giliran Jacline dan Amalina yang sedang mandi. Mereka berdua mandi bersama kerana kedua-duanya penakut. Jarak antara bilik tidur Nazrah dan bilik mandi rumah Nazrah juga agak jauh kebelakang. Jadi, tak hairanlah kalau mereka berdua mandi bersama. Setelah kedua-dua mereka selesai mandi, kini tiba pula giliranku. Aku ni nak dikatakan berani sangat, taklah. Penakut pun tak. Bak kata orang, sedang-sedang.

Dalam pada aku tengah syok mandi, tiba-tiba mata aku tertumpu pada satu pergerakan yang berada di celah-celah lubang bawah pintu bilik mandi tersebut. Korang tahu kan pintu bilik mandi rumah kampung macam mana. Berkayu dan ada ruang atas dan bawah. Aku ternampak satu kelibat tangan besar berwarna hitam yang berbulu dan bukan seperti tangan manusia biasa. Tangan tersebut seakan-akan ingin mengintaiku mandi dari celah bawah pintu. Aku terkedu berdiri kaku di sinki bilik mandi. Ingin menjerit tak dapat, lutut bergegar, rasa seram sejuk. Hanya Tuhan ja yang tahu betapa takutnya aku pada masa tu. Dan rasa menyesal pula tidak mandi bersama si Jacline dan Amalina tadi rungutku.

Setelah beberapa minit berada di situasi tersebut, aku memberanikan diri untuk menyiram tangan besar berbulu hitam tersebut dengan air. Sedang aku menoleh ketempat lain, aku tidak menyedari kelibat tangan itu telah hilang tetapi aku sedikitpun tidak mendengar bunyi tapak kaki atau bunyi seakan-akan ada orang dibahagian dapur rumah tersebut. Aku memberanikan diri menjenguk keluar untuk memastikan sama ada, ada orang ataupun tidak. Manalah tahu kawan-kawanku ingin mengenakan aku. Tetapi,hampa kerana tiada siapapun yang berada dibahagian dapur waktu itu.

Aku teruskan mandi dengan sepantas yang mungkin. Antara sempat atau tidak aku bershampoo rambut dan badan oleh kerana terlalu takut. Setelah selesai, aku berlari masuk kebilik tidur Nazrah. Nazrah, Jacline dan Amalina yang kebetulan berada didalam bilik ketika itu pelik melihat tingkah laku ku. Lalu, Nazrah bertanya.

“Kau kenapa Lia? Pucat semacam je muka kau?’

Aku cuma berdiam diri duduk dibucu katil.

“Lia !!..kau kenapa ni?muka kau pucat sangat ni?”

Nazrah bertanya lagi. Kali ini dia nampak risau dengan keadaanku. Aku mula bersuara ketar.

“Aku nak tanya korang. ada tak siapa-siapa antara korang pergi ke dapur masa aku tengah mandi tadi?”kataku.

“Rasanya tak ada sebab kami bertiga tunggu kau dalam bilik ni je dari tadi. Kenapa?’kata Nazrah.

“Ricky dan Valentine pula? dorang ada pergi dapur masa aku tengah mandi?Mak cik Pak cik kau?”soalku lagi.

“Dorang tengok TV kat ruang tamu depan sementara tunggu kau mandi. Mak cik aku ada dalam bilik dia. Pak cik aku pulak belum balik kerja lagi. Kau kenapa ni Lia? Cuba kau cerita.”suara Nazrah agak tegas pula kali ni sebab aku belum memberikan jawapan untuk soalan nya.

Lalu aku pun menceritakan kepada mereka bertiga tentang apa yang berlaku kepadaku tadi. Semua pun buat muka terkejut dan meremang bulu roma mendengar ceritaku. Setelah itu, Nazrah keluar mendapatkan Mak cik nya dan menceritakan kepada mak cik nya tentang apa yang berlaku pada diriku sebentar tadi. Mak Cik nya pun terus bersuara.

“Itulah korang. Lepak sampai balik malam-malam(maghrib) dari tempat macam tu.”

Kami terdiam. Rasa menyesal pun dah tak guna sebab perkara dah pun terjadi. kami meminta maaf kepada Mak cik Nazrah dan berjanji tak berbuat lagi.

Malam tu, kami menonton TV seperti biasa. Tiba-tiba aku pengsan dan tidak sedarkan diri. Menurut kawanku, mereka cemas lalu membacakan ayat dan bacaan dari agama masing-masing ke telingaku. Dan aku tersedar terus bagaikan dirasuk sesuatu sambil menunjuk sesuatu yang berada di atas almari. Mereka menahanku. Aku menangis, aku ketawa,aku menjeling mereka. Mereka takut melihat keadaanku seperti itu sampaikan tangan kawan-kawanku, aku gengam sekuat hati sampai mereka mengatakan sakit yg teramat. Nazrah terus memanggil Mak cik dan Pakciknya yang berada di dalam bilik untuk melihat keadaan ku. Setelah beberapa minit, aku masih seperti dirasuk sesuatu, pak cik Nazrah buat keputusan untuk memanggil seorang Pakcik yang pandai mengubat orang untuk mengubatiku.

Setelah satu jam lebih menunggu, Pakcik tersebut pun sampai. Setelah diberitahu apa yang telah terjadi kepadaku, Pakcik tersebut mengangguk dan menyuruh kawan-kawanku untuk mengangkat aku ke depan pintu utama. Aku duduk di tengah-tengah pintu utama tersebut. Pakcik tersebut memegang kepalaku dan menyuruh Nazrah mengambil air sebaldi untuk memandikan aku di pintu tersebut (untuk apa pada ketika itu aku pun tidak pasti.mungkin itu salah satu cara Pakcik tersebut mengubati pesakitnya). Lalu Pakcik tersebut membaca kalimat Al-Quran sambil memandikanku. Semasa proses tersebut, tiba-tiba sahaja angin kuat dan pokok-pokok yang berada diluar rumah tersebut bergoyang. Dan pada masa yang sama aku masih memberontak histeria. Pakcik tersebut menyuruh kawan-kawanku untuk memegangku. Setelah beberapa minit kemudian, aku pengsan. Segala angin kuat dan pokok yang bergoyang tadi berhenti dengan serta merta.

Setelah itu, aku di angkat ke bahagian tengah rumah untuk ditukarkan baju basah akibat dimandikan tadi. Menurut Nazrah, Pakcik tersebut mengatakan dia tahu keberadaan kami sebelum sampai kerumah siang tadi. Pakcik tersebut memberitahu kepada kami bahawa ada salah seorang di antara kami telah menganggu tempat permainan makhluk yang kita tak dapat lihat dengan mata kasar, sama ada terpijak, terduduk atau apa-apalah. Dan oleh sebab itu, mungkin aku yang terkena. Jam di dinding menunjukkan jam 1 pagi. Pakcik tersebut menyuruhku berehat dan pergi berubat kerumahnya keesokkan pagi untuk sesi perubatan selanjutnya.

Keesokkan pagi nya, ibubapa ku kerumah Nazrah setelah dikhabarkan tentang keadaanku. Dan merekalah yang akan membawa aku berubat ke rumah pakcik tersebut. Rumah pakcik tersebut tidaklah terlalu jauh dari jalan besar ke kampung seberang. Jadi agak senanglah untuk kami menjejaki rumahnya.

Sesampai dirumahnya, kami disambut baik dan sesi perubatan pun bermula. Aku disuruh duduk melunjur kaki di atas sejadah dan mengadap kiblat sambil menutup mata. Sambil itu pakcik tersebut meneruskan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Dalam beberapa minit selepas itu, aku merasakan ada yang menyentuh bahuku dan aku membuka mata. Aku terkejut melihat seorang lelaki tua berjubah putih dan berjanggut berdiri dihadapanku. Aku melihat sekeliling, tiada kelibat pakcik, ibubapa dan kawan-kawanku. Lelaki tua itu memberitahuku supaya perbanyakkan bersujud kepada Allah SWT, jangan tinggalkan solat, banyak mengaji dan berzikir kerana aku telah tersasar dan jauh dari-NYA. Dia menasihatiku untuk dekat kepada Allah Swt. Kerana mungkin aku terlalu obses dengan hal duniawi. Ya Allah, sungguh aku khilaf.

Sekali lagi aku terkejut, ada yang memegang bahuku dan aku merasakan ada percikan air ke mukaku. Aku membuka mata, aku melihat pakcik, ibubapa dan kawan-kawanku berada disekelilingku. Lalu pakcik tersebut menyuruhku meminum air yang telah dibacakan yassin.

Setelah sesi perubatan itu selesai, kami meminta diri untuk pulang. Ibu bapaku menghantar aku kembali kerumah Nazrah kerana barang-barangku masih berada disana. Sebelum pulang, ibubapaku menasihati aku dan kawan-kawanku supaya menjaga diri ditempat orang. Dan itu juga sebagai pengajaran kepada kami supaya menjaga tingkah laku apabila berada dimana-mana yang bukan tempat kita.

Cuti semester sudahpun berlalu, kami pulang ke politeknik. Aku masih menjaga solatku kerana aku tidak mahu perkara yang sama berulang lagi dan aku tidak mahu membuat ibu bapaku risau. Aku menjalani hari-hariku seperti biasa.

Itu saja kisah dariku. Maaf andai kata tidak terlalu menyeramkan kerana aku cuma menceritakan pengalamanku sahaja. Terima kasih kerana sudi membaca. Sekian.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment