Tanggal 30 Ogos.
“Alia, jadi ke rancangan kita malam ni?” tanya Kinah.
Siti dan Huda saling berpandangan mendengar pertanyaan itu.
“Jadi la, wei! Korang takut ke? Kata tak percaya?” balas Alia garang.
“Kitaorang ikut je. Nak jugak tengok dengan mata kepala sendiri kalau betul” balas Siti. Huda masih diam dan mengangguk sahaja.
“Okay, kira jadi la kan. Selepas light off, korang pura-pura tidur. Dalam setengah jam, kita gilir-gilir keluar. Takut ada yang perasan. Eh, jangan lupa bawak buku surah Yasin” arah Alia.
(Eh, dalam berani, terselit juga rasa takut rupanya. Buku surah Yasin angkut juga, cis… Buang karan budak-budak ni.)
“Okay!” serentak ketiga-tiga kawan baik Alia menjawab.
“Jom makan” ajak Huda sambil membuka langkah untuk berlari.
Maka, berkejaranlah mereka menuju ke dewan makan bersama ratusan pelajar yang lain.
Siang berundur, malam menjelma.
“Aku nak tutup lampu dah ni. Cepat! Cepat! Settle apa patut. 1! 2! 3!” jerit Lia si ketua dorm Zenith.
Pap! Lampu terpadam.
“Eh, cikgu pesan jangan sesiapa keluar selepas pukul 12 malam. Semua mesti berada di atas katil masing-masing. Aku rasa semua tahu dah kenapa” sambung si Lia dalam kegelapan.
Alia, Kinah, Siti dan Huda tersenyum dalam kegelapan sambil turut baring di katil masing-masing. Pura-pura penat dan terus tidur.
Selepas 30 minit berlalu, Alia bangun. “Tandas jap” kata Alia pada teman sebelah katil, Syaza, dengan harapan temannya tidak syak apa-apa dan menyambung tidur.
“Cepat sikit, dah nak pukul 12 malam” balas Syaza sambil menarik selimut menutupi mukanya.
“Cun! Harap-harap dia tak sedar aku keluar lama” kata Alia sendirian melihat Syaza diselubungi selimut.
Alia membuka pintu dorm perlahan-lahan, dan membiarkan pintu sedikit terbuka. Mudah untuk rakan komplot keluar juga tanpa mengejutkan sesiapa dengan bunyi pintu dibuka dan ditutup berulang kali.
Akhirnya, mereka berempat telah berjaya keluar dan berkumpul di bawah tangga bangunan asrama yang sedikit tersorok daripada pandangan rakan-rakan, warden dan penyelia asrama.
Di situ juga agak gelap kerana tiada lampu dipasang berdekatan.
Semua begitu teruja untuk memulakan rancangan mereka.
Masing-masing mendakap kemas buku surah Yasin di dada yang dijadikan sebagai penguat semangat.
Perancangan ini semuanya bermula apabila mereka terdengar satu kisah yang diceritakan daripada senior kepada junior. Malah, semakin menarik apabila warden turut memberi arahan yang tidak membenarkan sesiapa meninggalkan dorm pada malam 31 Ogos. Selepas detik 12 malam. Mereka tidak percaya dan ingin membuktikan semua kisah itu tidak benar. Dongeng semata-mata.
Alia, Kinah, Siti dan Huda mula bergerak ke arah bangunan akademik. Jarak bangunan akademik dan asrama tidaklah terlalu jauh.
Terbongkok-bongkok mereka berempat berjalan bagi mengelakkan tingkap dorm agar pergerakan mereka tidak dikesan oleh orang lain yang mungkin masih belum melelapkan mata. Mata mereka liar memerhati sekeliling, khuatir bertembung dengan Pak Abu, pengawal keselamatan.
Akhirnya, mereka tiba di tempat yang dituju. Mereka menyorok di sebalik rimbunan pokok bunga raya berhampiran kolam di kawasan bangunan akademik.
Detik 12 malam, 31 Ogos… Merupakan satu malam yang dielakkan ramai orang daripada berkeliaran di sekitar sekolah pada setiap tahun. Malam itu begitu juga, kelibat warden, penyelia, pengawal keselamatan, dan pelajar nakal yang selalunya berkeliaran di persekiran sekolah selepas light off langsung tidak kelihatan.
Alia dan rakan-rakannya tiba-tiba berasa seram sejuk. Meremang satu badan. Namun, mereka tetapkan hati untuk terus menunggu sehingga detik 12 malam. Buku surah Yasin semakin kemas dipegang. Tapak tangan mereka berpeluh-peluh. Entah mengapa. Mereka juga merancang untuk terus balik andai benar telahan mereka cerita turun temurun itu cerita dongeng semata-mata.
Mereka tidak bercakap antara satu sama lain. Hanya duduk mencangkung diam-diam di celahan pokok bunga raya.
Tiba-tiba, muncul kabus berwarna putih di tengah padang berhampiran bangunan akademik.
Huda menepuk Kinah. Mata Kinah terarah kepada jari telunjuk Huda. Alia dan Siti juga sama berpaling. Tekun mereka melihat kabus putih yang entah datang daripada mana. Mereka masih merasakan itu mungkin fenomena alam biasa.
Kemudian, muncul beberapa pasang kaki disebalik kabus putih itu. Berkasut askar. Setakat itu sahaja penampakannya.
Makin lama, semakin banyak. Kaki-kaki itu mula berkawad. Kiri kanan. Kiri kanan.
“Aaaa!” Siti, tanpa sengaja, menjerit akibat terkejut dan ketakutan yang amat sangat. Yang lain juga ketakutan, namun memendam sahaja suara mereka bimbang didengari askar-askar ghaib itu.
Kawad kaki berhenti serentak dengan jeritan Siti.
Mereka berempat tersentak melihat kaki-kaki itu tiba-tiba berhenti.
“Woi, diaorg tahu kita ada kat sini. Jom, jom lari!” kata Alia selaku ketua kumpulan. Tambahan pula, ini idea Alia.
“Satu, dua, tiga, lari!”
Bertempiaran mereka berempat lari.
Malangnya, pintu dorm dikunci daripada dalam. Tidak berlengah mereka mengetuk pintu dorm kuat-kuat sambil memanggil si Lia. “Lia, buka pintu. Lia! Lia! Cepat la…” jerit mereka berempat.
Kedudukan katil Lia paling dekat dengan pintu dorm, itulah sebabnya Lia yang dipanggil. Berpisat-pisat Lia bangun dan membuka pintu. “Woi, korang daripada mana ni?” marah Lia.
Huda tidak kisah untuk menjawab pertanyaan Lia. Lia ditolaknya, lantas mereka berempat terus masuk dan dengan pantas Huda mengunci pintu dorm.
“Balik ke katil Lia. Sekarang!” kata Huda.
Mereka berempat pantas menaiki katil masing-masing dan terus menutup muka mereka dengan harapan kaki-kaki askar tadi tidak mengekori mereka.
Mereka silap.
Tap! Tap! Tap! Keras bunyi kasut berlari-lari serentak menuju ke arah dorm mereka. Dan, bunyi ini terpecah kepada kiri dan kanan dorm. Mereka dikepung. Bunyi kasut-kasut askar ini sangat kuat. Sangat bising. Seperti ratusan askar berada di luar dorm mereka pada waktu itu.
Bukan Alia, Siti, Huda dan Kinah sahaja mendengar. Hampir satu dorm terbangun, temangu-mangu dan saling berpandangan.
Lia memandang mereka berempat, minta penjelasan. Nak tak nak, dalam kebingitan di luar dorm dan ketakutan yang amat sangat, mereka bercerita secara ringkas sambil dikerumuni pelajar yang lain.
Usai sahaja bercerita, mereka terdengar kaki-kaki askar ini bergerak ke tingkat atas dan berkawad di atas dorm mereka. Sedangkan dorm di tingkat atas juga berpenghuni. Apa jadi pada penghuni dorm atas?
Kini, semua yang terjaga berada dalam ketakutan. Ada yang berpelukan. Ada yang menyorok di dalam selimut. Ada yang menangis. Keadaan dorm sungguh huru-hara. Mujur tiada yang histeria. Ada juga yang terus lena diulit mimpi indah.
Entah berapa lama mereka dalam ketakutan, tiba-tiba semua bunyi kaki yang berlari itu hilang. Suasana kembali senyap dan tenang.
Semua merasa lega dan akhirnya, tertidur keletihan berperang dengan emosi dan perasaan takut.
(Padan muka.)
p/s: Diolah mengikut imaginasi penulis berdasarkan cerita benar. Cerita ini terbongkar apabila keeesokannya, salah seorang pelajar dorm Zenith bertanya kepada pelajar dorm atas samada mereka ada buat apa-apa selepas pukul 12 malam sebab ada bunyi sangat bising macam berlari. Pelajar dorm atas menjawab, TIADA. Maka, terbongkarlah kisah pelajar berempat yang mencabar kesahihan cerita yang dianggap dongeng itu.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit