Hi assalamualaikum semua. Sebelum ni, aku pernah menceritakan pengalaman seram yang dialami oleh tok (nenek) aku semasa aku masih bayi. Hari ni aku akan berkongsi tentang pengalaman mak aku pula. Kejadian ini berlaku di asrama pelajar semasa mak masih muda dan sedang melanjutkan pengajian di sebuah institusi awam di Selangor. Sarah (bukan nama sebenar) dalam cerita ini merujuk kepada mak aku. Tanpa berlengah lagi, marilah aku mulakan.
Pada satu malam yang hening, sedang sedap tidur diulit mimpi, tiba-tiba Sarah tersedar daripada tidur sebab rasa nak membuang air kecil. Dia tengok jam, pukul 2 pagi ketika itu.
“Adoi, tengah malam buta macam ni juga la nak terkencing.” Dia bermonolog sendiri.
Nak pergi ke tandas seorang diri, Sarah rasa agak seram sebab asrama sangat sunyi waktu itu. Nak kejutkan roommate untuk tolong temankan, rasa macam bersalah pula sebab semuanya tidur nyenyak, siap ada yang berdengkur lagi.
Mula-mula, Sarah memberanikan diri untuk ke tandas seorang diri. Dia pulas tombol pintu dan jenguk ke luar bilik. Nampaknya lampu koridor berkelip-kelip seperti hidup segan, m**i tak mahu. Tandas pula terletak di hujung sekali. Keadaan jadi bertambah seram apabila salah satu lampu koridor tiba-tiba m**i terus.
Dia tutup semula pintu bilik dan berpaling ke arah roommates yang sedang tidur.
“Mana satu aku nak kejut ni?” Sarah bermonolog lagi sambil berfikir untuk kejutkan siapa yang bakal menjadi penemannya untuk ke tandas.
Sarah mendekati seorang roommate-nya, Maria (bukan nama sebenar) sebab dia yang paling akrab dengan Sarah. Lalu ditepuk perlahan bahu rakannya itu.
“Maria, teman aku pi toilet jap. Nak kencing la.” Walaupun ditepuk berkali-kali, Maria masih tidak mahu bangun. Selepas itu dia cuba untuk kejutkan roommates yang lain. Walaubagaimanapun, semua tidak mahu bangun daripada tidur. Dia mengeluh sendiri. Disebabkan sudah tidak boleh tahan kencing, dia redha dan bertekad ke tandas seorang diri.
“Insha allah, takde apa lah.” Sarah cuba untuk menyedapkan hati agar rasa takut berkurang.
Sarah pulas tombol pintu semula dan keluar daripada bilik. Sambil berjalan ke tandas, dia tidak pandang langsung ke arah kiri atau kanan kerana risau takut ternampak apa-apa yang pelik. Entah kenapa, suasana malam itu terasa amatlah sunyi dan lengang seolah-olah tiada sesiapa dalam bangunan asrama tersebut, padahal semua bilik ada pelajar-pelajar lain.
Semasa hampir sampai ke pintu tandas, Sarah terdengar bunyi loceng gelang kaki “ching” “ching” (yang macam orang pakai semasa tarian tradisional India tu) dari arah belakangnya. Bunyi loceng itu jelas tapi kedengaran agak jauh. Dia sudah mula cuak tetapi teruskan juga masuk ke dalam tandas sebab memang tak tahan dah masa itu.
Sarah tekan suis lampu dan terus meluru ke kubikel tandas untuk melepaskan hajatnya. Setelah selesai, dia keluar daripada kubikel. Tiba-tiba bulu romanya naik meremang…
Sarah hampir menjerit apabila ternampak satu sosok perempuan sedang bercangkung di pintu utama tandas, sambil membelakanginya. Tetapi dia rasa lega apabila sedar yang perempuan tersebut adalah roommate-nya, Maria. Dia cam baju tidur warna hijau si Maria dengan rambutnya mengurai panjang tidak diikat.
“Oi Maria! Terkejut aku. Tiba-tiba je masuk toilet.” Sarah membebel sambil berjalan ke sinki untuk membasuh tangan.
“Kau kenapa cangkung situ? Nak berak ke?” Sarah bertanya kepada Maria. Walaubagaimanapun, Maria tidak memberikan sebarang reaksi, toleh ke arah dia pun tidak.
“Oi Maria. Aku cakap dengan kau ni.” Sarah sedikit geram kerana pertanyaan dia tidak diendahkan. Masa itu, Sarah sudah mula rasa aneh dengan keadaan Maria.
“Weh Maria.” Sarah memanggil Maria lagi sekali.
Tiba-tiba si Maria bangun berdiri dan berjalan ke hujung tandas, masih lagi membelakangi Sarah. Maria seolah-olah tidak mahu menunjukkan mukanya kepada Sarah. Sarah hanya memerhatikan gerak geri rakannya itu daripada sinki dengan penuh tanda tanya. Sebaik sahaja sampai di betul-betul hujung tandas, Maria berhenti dan perlahan-lahan memusingkan badannya ke arah Sarah…
Sarah terkejut beruk apabila nampak ekspresi muka Maria yang menyeramkan. Senyuman lebar Maria sungguh menakutkan dengan matanya yang semua putih tanpa hitam dan kulitnya pucat lesi hampir kebiruan, sambil pandang tepat ke muka Sarah. Masa itu, Sarah bersangkakan yang Maria sudah dirasuk dan dia tak tahu nak buat apa. Nak lari tetapi badan jadi kaku. Nak baca ayat al-quran tetapi otak terus jadi blank. Nak laungkan azan tetapi rasa macam tak sesuai sebab berada dalam tandas. (Nak tergelak bila dengar mak aku cerita part azan tu hahaha)
Maria yang masih tersenyum ngeri itu mula menggoyangkan badannya ke kiri dan kanan. Dan masa itu juga, Sarah dengar bunyi loceng gelang kaki dengan cukup jelas dan kuat dalam tandas tersebut. Maria yang sedang menggoyangkan badan itu tiba-tiba bertukar ke posisi merangkak di atas lantai sambil mendengus.
“Ahh sudah..” Sarah bercakap dalam hatinya.
Tiba-tiba… Maria mula merangkak laju ke arah Sarah.
Apa lagi, Sarah berdesup lari keluar tandas sepantas kilat. Semasa sedang lari daripada Maria, Sarah dengar jelas bunyi loceng gelang kaki dari arah belakang yang sedang mengejarnya. Sarah langsung tak toleh belakang dan mempercepatkan langkahnya.
Sampai sahaja di depan bilik, Sarah tolak pintu, masuk dalam dan terus hempas tutup pintu. Dia bernafas tercungap-cungap dan terus terduduk di atas lantai depan pintu. Tak pernah Sarah lari selaju itu seumur hidupnya.
“Kau kenapa hempas pintu?” Ada suara menegur Sarah.
Suara itu datang daripada Maria yang sedang duduk di atas katil sambil menggosok matanya.
“Arghhh!” Sarah terus menjerit kerana beranggapan bahawa Maria yang mengejarnya tadi berjaya masuk ke dalam bilik.
Disebabkan oleh jeritan Sarah, semua roommates yang tidur tadi terus bangun serta merta.
“Weh relaks relaks. Kenapa kau jerit ni?” Maria bingkas bangun daripada katil untuk menenangkan Sarah.
“Keluar kau setan daripada badan kawan aku!” Sarah bersuara lantang sambil mengelak daripada Maria.
“Kau okay tak ni? Kau nampak hantu ke?” Salah seorang roommate yang lain bertanya kepada Sarah.
Apabila dengar perkataan hantu, Sarah macam sedar akan sesuatu. Dia diam seketika untuk menenangkan diri. Dia perhatikan semua roommates dia dan akhir sekali ke arah Maria.
“Tadi kau pi toilet kan Maria?” Sarah bertanya Maria
“Mana ada. Aku baru bangun ni lepas kau hempas pintu tadi.” Maria menjawab.
Ketika itu barulah Sarah sedar perempuan yang mengejarnya tadi bukanlah Maria tetapi merupakan makhluk lain. Sarah terus menceritakan peristiwa tadi kepada mereka semua. Rupa-rupanya hantu pakai gelang kaki tu memang popular di kalangan pelajar blok asrama tersebut.
Pelajar-pelajar lain yang mengalami pengalaman mistik di blok asrama sebelum ini memang pernah dengan bunyi gelang kaki yang sama. Walaubagaimanapun, mereka tak pernah nampak rupa sebenar makhluk tersebut. Ini merupakan kali pertama makhluk tersebut menampakkan diri dengan merupa seperti orang lain. Dah la merupa seperti Maria, siap kejar lagi. Memang Sarah demam 2 hari lepas peristiwa itu.
Sampai sekarang, kalau mak aku dengar bunyi gelang kaki, dia akan jadi cuak kerana teringat akan peristiwa lalu. Dengar cerita, kisah hantu gelang kaki tu masih agak popular di institut tersebut sampai ke hari ini. Sekian daripada aku, semoga berjumpa lagi di lain hari. Ciao~
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit