Masak Di Dapur

Salam semua pembaca FS. Aku RYTCI yang pernah berkongsi sebelum ini mengenai kisah “Sesat di Midvalley“, maafkan kalau penulisan aku tak sebaik mana sebab itu kali pertama aku menulis di dalam FS. Ada yang bertanya cukup ke minyak kereta 4 jam berpusing dalam parking Midvalley tanpa henti. Biar aku jelaskan, kisah yang aku ceritakan adalah benar dari A-Z, bab minyak pula aku memang tak sedar dia habis ke tak. Sebab aku memang tak cek minyak lepas kejadian tu (berapa lama da).

Kejadian tu seolah-olah macam kau disorok atau dighaibkan sesuatu dalam 1 tempoh masa, sebab aku perasan ada rasa terpinga-pinga selepas keluar dari parking. Mungkin aku tak bergerak pun atau mungkin betul-betul aku bergerak selama 4 jam. Semestinya aku berhenti dulu selepas keluar tu sebab aku baru sesat hampir 4 jam kot dengan keadaan yang aku sendiri tak faham. Masa aku keluar lebih kurang 6 pagi. Nasib ada brother Melayu yang boleh aku tanya. Wallahualam, memang aku tak tahu nak jawab persoalan korang yang lain. InsyaAllah kalau ada rezeki untuk korang alami, mungkin akan lebih faham situasi aku (hehe ,doa tu).

Hari tu ada jugak aku google kisah2 misteri kat Midvalley. Rupanya banyak woi lagi2 kat kawasan parking bawah. Ada yang kene tumpang naik motor, ada yang menjelma jadi staff, macam2lah. Jadi kita muhasabah diri, Allah maha berkuasa, takde apa yang lebih berkuasa dariNya, InsyaAllah. Oleh kerana sambutan menggalakkan (macam MLM pulak) aku nak ceritakan satu kisah, tapi terus terang aku maklumkan ye, bukan aku yang alami perkara ni. Tapi terjadi pada ibu aku sendiri. Kisah ni dia kerap cerita kalau kami adik beradik cuba tanya, “Ibu penah jumpa hantu tak?”.

So macam kisah seram rasmi dalam family aku. Jadi aku harap korang sudi membaca dan sama-sama kongsi pendapat. Baiklah, kisah ni terjadi pada ibu aku sekitar 1970an ke 80an kalau tak silap aku. Adik beradik ibu aku 4 orang semua perempuan (ibu anak bongsu). Kisah ni bermula apabila nenek aku (mak pada ibu aku, takkan tak paham kan) mahu ke rumah saudaranya tak jauh dari rumah. Jadi nenek aku nak menziarah saudaranya sebab lama tak jumpa katanya. Jadi bersiaplah semua untuk kesana, kecuali ibu aku.

Kata ibu aku, dia nak tunggu kepulangan ayahnya yang akan balik ke rumah petang tu dari pelabuhan (datuk aku merupakan tukang masak dalam kapal kargo). Nenek aku memaksa tapi ibu tetap berkeras kerana datuk telah berjanji membelikan sesuatu. Jadi ibu aku kira kes tak sabar la ni (biasalah budak-budak kan). Jadi nenek aku mengalah dan pergi bersama 3 orang adik beradiknya yang lain (sebab tak jauh mana). Nenek berpesan berkali-kali supaya rumah dikunci dan tidak keluar ke mana-mana hingga mereka pulang lewat petang nanti. Ibu akur dan gembira dengan keputusan nenek untuk meninggalkannya di rumah.

Selesai nenek dan kakaknya bergerak keluar dan hilang dari pandangan, ibu mengunci semua pintu rumah dan membuka peti televisyen. Almaklumlah nenek takde kan? Pada zaman ni kat kampung ada 3 rumah je yang ada peti televisyen sebab masa tu semua orang susah tak macam sekarang. Kebetulan nenek aku cikgu sekolah, maka agak berduit jugaklah ketika itu. Ibuku melayan siaran sambil berbaring hingga kira-kira jam 4 petang. Kat sini bermulanya perkara aneh yang ibu masih gagal merungkai hingga sekarang.

Secara tiba-tiba nenek melintas di ruang tamu tempat ibuku sedang berbaring menonton peti televisyennya. Ibuku yang terkejut lantas bangun dan bertanya nenek yang sedang ke dapur, “Mak balik dah? Awalnya”. Nenek ku pula menyahut ringkas, “dah”. Ibuku menyambung semula tontonan siarannya. Sambil menonton dia mendengar bunyi ketukan, bunyi-bunyi yang biasa kita dengar di dapur. Sangkaan ibu nenek sedang memasak sesuatu. Maklumlah datuk akan balik setelah 2-3 bulan berlayar, mesti nenek masak sesuatu yang istimewa.

Ibu mula perasan yang adik beradiknya takde kat rumah, mungkin masih di rumah saudaranya bermain dengan sepupu yang lain sangka ibu. Ibu bangun dan menuju ke dapur untuk membuat lawatan lagak YB melihat apa yang bakal dimasak nenek. Rupanya nenek sedang membersihkan ayam hutan di singki. Ada 5-6 ekor, banyak betul. Mungkin ada saudara mara nak datang sekali malam ni. Ibu meneka mungkin nenek nak masak ayam masak merah kesukaan datukku, tapi datuk tak gemar ayam hutan kerana liat. Mungkin nenek saja membeli dengan jiran hujung yang gemar berburu ayam hutan.

Tapi ibu sedikit hairan, kerana semasa nenekku berjalan di ruang tamu, tiada apa dibawanya. Ibuku bertanya, “bila mak beli? Tak nampak pun mak beli apa-apa”. Nenekku hanya tersenyum sinis dan menjawab lembut, “Kawan mak bagi tadi ikut pintu dapur”. Ibu menggaru kepala kehairanan sejak bila kawan nenekku datang? Dia tak dengar bunyi apa-apa selain bunyi memasak di dapur. Padahal kalau nak datang semestinya kena ikut pintu depan kerana rumah jiran semua di depan rumah. Bahagian tepi dan belakang adalah kebun datukku. Ibu terdiam dan berhenti bertanya soalan pada nenek lalu pergi semula menonton tepi televisyen di ruang tamu

Tak lama kemudian, nenek melintas lagi di ruang tamu tempat ibu menonton peti televisyen dan menuju ke biliknya. Ibuku masih tak menghiraukannya dan terus menonton siarannya. Tamat siarannya, ibu terasa rumah sunyi tanpa sebarang bunyi dan ibu bosan berseorangan, lalu ibu menuju ke bilik nenekku. Ternyata nenek sedang duduk ditepi katil dan tersenyum pada ibu, seolah-olah menanti kehadirannya. Ibu bertanya mengenai kakaknya yang lain. Nenek memberitahu petang nanti mereka akan pulang bersama. Nenek menceritakan bagaimana jauhnya pulang dari rumah saudaranya.

Ibu merasa hairan kenapa nenek mengatakan rumah saudaranya jauh, padahal menaiki bas tidaklah jauh mana melainkan berjalan kaki. Nenek terus bercerita sambil menangis teresak-esak hingga basah katil dengan air mata nenek. Kenapa dengan nenek ni, tiba-tiba pelik sangat. Mak yang kurang senang dengan tingkah laku nenek meminat izin untuk keluar bermain. Nenek mengangguk sambil berkata, ”Main sekejap je, nanti ikut mak balik”. Ibu mengganguk lemah dan kehairanan. Jarang benar nenek mengizinkan keluar tanpa solat asar dan mengaji terlebih dahulu, lebih aneh mahu balik ke mana?

Tak memikirkan apa-apa, ibu laju berjalan menuju ke pintu rumah untuk keluar bermain-main diluar. Tiba-tiba sesuatu yang pelik apabila selak pintu rumah berkunci. Selalunya nenek tak mengunci selak pintu rumah di siang hari kalau ada orang di rumah sebab selak pintu tinggi dan ibu dan kakaknya perlu memanjat dengan sesuatu untuk membukanya. Tak perlu nenek datang membuka pintu kalau ada di dapur atau sedang tidur, ibu terus membuka pintu dan bermain di luar berseorangan bermain bersama kucing di depan rumah. Anak jiran lain tak kelihatan pula.

Tak berapa lama kemudian, semasa leka ibu bermain, terdengar suara-suara yang biasa dikenalinya. Suara kakak-kakaknya, seronok ibu melihat kakaknya turun satu demi satu dari bas yang berhenti di hadapan jalan memasuki rumah. Ibu mengandaikan emak saudaranya juga ada dan yang paling penting sepupunya turut ikut bersama-sama menghantar adik beradiknya yang lain dari rumahnya. ”Patutlah mak masak banyak dan bolehlah bermain beramai-ramai, pasti seronok”, kata ibu di dalam hati kegirangan.

Habis kakak-kakaknya turun dari bas, muncul pula susuk tubuh terakhir turun dari bas. Bas terus bergerak bererti tiada penumpang yang lain turun. Ibu kenal betul bentuk tubuh tersebut. Itu adalah nenek yang dikenalinya sejak lahir, mustahil tak kenal mak sendiri kan? Ibu ternganga kehairanan. Habis siapa di dalam rumah sibuk memasak, bersembang dengan ibu tadi? Semua soalan bercampur-baur antara seram dan kehairanan. Berlari ibu menuju ke “nenek” yang baru berjalan masuk bersama-sama kakaknya ke jalan rumah. Nenek pula tanpa cakap banyak terus memarahi ibuku yang degil bermain diluar (warisan zaman ke zaman, haha) berseorangan padahal sudah dipesan duduk rumah dan jangan keluar.

Tersedu-sedu ibuku yang dimarahi menceritakan apa yang terjadi satu persatu. Nenekku walaupun masih marah terus masuk ke rumah dan memeriksa bilik dan dapur. Ternyata dapur berselerak dan dipenuhi bau hanyir seperti bau ikan disiang, begitu juga bilik nenekku. Ibu pula menjadi murung dan tak boleh diusik seharian oleh kakak-kakaknya kerana dia akan menangis ketakutan, macam trauma la senang citer. Mana tak trauma teringat “nenek” yang 1 lagi senyum dan bersembang dengan dia, padahal tak tau siapa yang menjelma.

Tak lama terdengar salam dari datukku yang baru sampai ke rumah menaiki motorsikalnya. Lantas nenekku menceritakan segalanya-galanya pada datuk. Datuk menceritakan semula kisah tersebut beberapa hari kemudian, ibu kemungkinan diganggu orang bunian, tapi itu cuma sangkaan datuk sahaja. Kawasan kampung rumah nenek memang berasal dari kawasan hutan yang diteroka beberapa generasi sebelum datuk, mungkin dari situ wujudnya berbagai makhluk Allah yang kita tidak nampak. Entahlah, Wallahualam. Tamat kisah misteri ibu aku yang sering dia ceritakan.

Sekarang aku masih lagi pulang ke rumah nenekku apabila raya dan cuti panjang, maklumlah Beruas bukannya dekat, dan mak ayah agak sibuk dengan menguruskan adik-adik yang masih bersekolah. Tapi kadangkala apabila malam, terdengar bunyi kompang serta bunyi orang bercakap dalam kumpulan yang ramai sayup-sayup. Mulanya aku anggap itu bunyi yang dibawa angin dan anggap kisah bunian dan segala bagai kisah alam ghaib hanya cerita karut hinggalah kisah “sesat di Midvalley” terjadi betul2 kat aku. Alfatihah buat arwah nenek dan datuk yang telah lama meninggalkan kami, dua insan ini sering aku rindukan ketika memijak rumah warisan ini. Sekian – RYTCI

6 comments

  1. RYTCI…
    Kisah kau ni, memang makan dalam.
    Start daripada “Sesat di Midvalley”, sampailah yang ni, boleh bikin perasaan nak campak lappy dan dan tu gak, sebab diri ni terasa ada kisah penceritaan ko ni nak…
    Seram sejuk plak baca FS malam-malam buta gini. Gulp!
    #janganlupasharelagiya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *