#Maya: Pengakhiran Sebuah Misteri

Tik, tik, tik..bunyi titisan air hujan rembes jatuh ke bumbung rumah Nek Su. Termenung dia keseorangan di tepian jendela bertemankan sebuah kerusi malas yang serba usang. Menantikan seribu jawapan dan harapan dari seorang insan yang bernama anak. Air hujan mula membasahi ruang laman rumahnya, ‘kiokk kokk kokk..’ bunyi riuh dari arah reban ayam milik Nek Su telah meleraikan lamunannya, dilemparkan pandanganya ke arah reban, ‘Ya Allah..air dah naik’, lalu beliau segera mengasingkan barang yang berharga untuk diselamatkan. Pengalaman banjir sudah menjadi kebiasaannya sejak dari dahulu lagi, lantas di keluarkan ayam-ayam belaannya dan meletakkan di tempat yang lebih selamat. ‘Nekk Suuu, mari naik sampan saya yang tak seberapa ni haa..’, laung Pak Mat yang mendayung sampan uzur miliknya ke arah halaman rumah Nek Su. ‘Terima kasih ya matt, biarlah uzur pon sampan kita ni matt, asalkan kita masih sayangg dia, tak macam kita ni matt, makin uzur makin kurang orang sayang..’, ujar Nek Su, terketar-ketar menaiki perahu Pak Mat.

Assalamualaikum WBT buat para pembaca. Dekat setahun rasanya tak update rentetan cerita Maya disini. Maaf tahun 2017, merupakan tahun paling mencabar bagi aku. Mungkin ramai yang sudah lupa slot cerita Maya di Fiksyen Syasha, jom recall kembali cerita pertama aku iaitu Aku Rindukan Maya. Rasanya ada enam cerita yang sudah aku karang di sini seperti Aku Masih Bernyawa, Misteri Diana, Jin Herisha, Puaka Sang Tua dan Aku Seorang Event Manager. Alhamdulillah di atas rahmat Allah SWT, aku masih bernafas untuk mengarang slot terakhir buat pedoman anda semua.

Bismillahirahmanirrahim pembuka bicara, setiap pertemuan pasti ada perpisahan, setiap yang hidup pasti akan m**i, seperti cerita aku ini. Zahirnya masih bernyawa, batinnya bagaikan padi yang ditenggelamkan bah. Setelah mengharungi onak dan duri yang berlaku dalam hidupku ini, aku buat keputusan untuk berhijrah ke tempat yang lebih jauh, tempat yang aku mungkin tidak bertemu dengan sesiapa yang aku kenal, tempat yang boleh aku bermuhasabah diri, dan tempat yang mungkin boleh mengubati masa lampauku ini. Aku pernah dicemuh orang, dikatakan gila dan orang kata aku sudah mula-mula menunjukkan sifat tidak siuman apabila ketakutan menguasai diriku. Aku masih boleh bersabar tatkala kawan-kawanku sudah mula memulaukan aku, masing-masing sudah ada kehidupan sendiri, dah berkahwin, sedangkan aku masih tercari-cari jalan pulang.

Mak dan ayahku merestui pemergianku ke suatu daerah yang jauh dari tempat asalku iaitu di Long Wat, Sarawak. Aku membuat permohonan untuk dipindahkan kerjaya aku sebagai seorang guru ke daerah Borneo, Malaysia. Alhamdulillah, di atas berkat kesabaranku dan pengalamanku bekerja di Kementerian Pendidikan suatu masa dahulu membuka peluang untuk aku mencurahkan bakti kepada golongan anak muda dengan menjadi seorang guru di sebuah sekolah di daerah Putrajaya pada bulan Februari tahun ini. Tanggal 26 Jun, permohonan aku untuk dipindahkan ke sebuah sekolah di daerah Sarawak diluluskan. Termenung aku sendirian mengenangkan masa depan ku disana nanti. ‘Ahh, pedulikan, yang penting aku dapat sibukkan diri aku dengan aktiviti-aktiviti yang bakal aku jalankan disana nanti..’, ujarku sendirian. Perjalanan yang mengambil masa yang agak panjang disebabkan kurangnya kemudahan awam di kawasan perkampungan disini, meletihkan aku, sepanjang perjalanan aku ditemani oleh Pak Ishak selaku pemandu kereta 4X4 yang dihantar oleh PPD kawasan tersebut. Banyak cerita dan pengalaman yang aku cungkil dari beliau tentang kehidupan di Long Wat yang dihuni oleh 70 peratus suku kaum Dayak. Mengikut populasi yang aku dapat dari pihak kementerian, terdapat lebih kurang 20 peratus sahaja yang menganuti agama islam.

Perjalanan menaiki 4X4 mengambil masa dalam 15 jam, sebelum aku tiba di destinasi. Perjalanan yang redup dikelilingi hutan tebal membuatkan aku tenang dan berfikir mengenai kekuasaan Allah SWT. Jam tepat menunjukkan pukul 6 petang, aku sampai di suatu perkampungan terpencil, dikelilingi oleh segerombolan manusia yang terkesima memandangku. Terdapat lebih kurang beberapa buah rumah panjang yang dihuni oleh isi kampung tersebut. ‘Selamat datang cikgu!’, ujar seseorang yang sudah lewat usianya. Terdapat beberapa dialek yang aku kurang faham dan aku telah terjemahkan disini. Orang tua tersebut merupakan Tok Batin kampung tersebut, yang menggelarkan dirinya Tok Meh. Aku ditempatkan disebuah rumah batu yang agak kecil, sesuai untuk aku yang bujang ini. Rumahku agak jauh dengan rumah-rumah yang lain, cuma aku ditemani oleh sebuah rumah usang yang aku tidak tahu status isi rumah tersebut. Aku masih berbaki seminggu untuk aku memulakan tugasku sebagai guru di kawasan tersebut. Aku membuka jendela rumahku, ‘Ada orang rasanya jiran sebelah aku ni, tingkap tak tutup pon, pagar kecik pon tak dikunci’, getus hati kecilku ini.

Aku keluar berjalan keliling kampung dengan hasrat untuk berkenal-kenalan dengan warga kampung disini. Alhamdulillah mereka semua baik-baik belaka, ada yang menjamu aku dengan ubi panas dicicah dengan gula nibong dan disajikan Bersama kopi pekat. Aku minta tolong dari Tok Meh untuk tunjukkan aku jalan ke sekolah yang bakal aku tempuh seminggu lagi. Sekolah tersebut agak berdekatan dengan Sungai Apoh, ‘Cikgu kalau nak ke sungai mesti bawa orang kampung sekali yaa, sini tempatnya agak keras sedikit..’, ujar Tok Meh. ‘Tok, sungai ni banyak ikan tak? Saya suka memancing..’, ujarku. ‘Kalau kamu berani, sini banyak udang, nanti Tok Meh bawak kamu memancing yaa..’, balasnya. Girang hatiku, dapat juga melepaskan gian aku memancing. Hari sudah semakin senja, aku mulai pulang ke rumah, aku perhatikan ada plastik merah tergantung di pagar rumahku. ‘Aik, ada nasi lauk ikan sepat, siapa ya bagi?’, getus sendirian. Antara dilema, kalau tak makan membazir pula, tapi kalau makan, takut-takut ada orang nak perkena kita. Aku berjalan perlahan ke rumah jiranku itu, ‘Assalamualaikummm..’, laungku dari luar pagar. ‘Ahh, mungkin bukan orang islam agaknya’, rungut hatiku. Aku masuk ke ruang halaman rumah yang agak sederhana besar, aku ketuk pintu dapurnya.

‘Uhukk, uhukk..’, bunyi batuk kedengaran dan derapan kaki menghala ke pintu dapur. Kelihatan seorang perempuan tua, sudah menjangkau usia memandangku dengan senyuman. ‘Maaf Nek dekat depan, dah lama ke berdiri dekat sini?’, ujarnya dengan senyuman yang manis. ‘Baru je Nek, Nek ke yang letak nasi dekat pagar rumah saya?, ujarku. ‘Ya cuu, nekk tunggu kamu datang rumah Nek, Nek tak kuat sangat nak berjalan’, balasnya, membuatkan aku tersipu malu. Aku sanggup berjalan serata kampung, tetapi tak singgah langsung ke rumah jiran sendiri. ‘Maafkan saya Nek..Saya ingatkan tak ada penghuni, terima kasih banyak-banyak Nek bagi nasi ni, sedap ni air tangan orang lama’, balasku mengambil hati. Beliau menggelarkan dirinya sebagai Nek Su, beragama islam. Aku berlalu pulang ke rumah dengan seribu senyuman kerana kurang sedikit rasa takut dikawasan baru kerana ada jiran, ditambah pula beragama islam.

Aku sudah mula lupa akan peristiwa hitamku yang lalu, nama Maya pon tidak lagi bermain di benak fikiranku. Aku sudah mula menjalankan tugasku sebagai seorang guru di kawasan yang agak terpencil ini. Aku mengajar murid-murid darjah 1 hingga 3, dengan bilangan pelajar lingkungan 15 ke 25 orang satu darjah. Jumlah bilangan guru di sekolah tersebut juga sedikit, iaitu 6 orang guru bersama seorang staff pentadbiran. Keenam-enam orang orang guru tersebut sudah pun berkahwin, rata-ratanya orang dari daerah situ juga, terdapat dua orang guru lelaki yang berasal dari semenanjung Malaysia. Alhamdulillah mereka semua baik dan banyak memberi tunjuk ajar bagi orang baru macam aku ini, karenah pelajar yang serba daif juga aku titik beratkan. Berjalan ke sekolah dengan hanya berselipar jepun, baju sekolah kongsi adik beradik, aku cuba jadi guru yang open minded. Aku tidak marah kepada mereka yang tak mampu nak beli baju dan peralatan belajar, yang penting mereka ada hati nak belajar, itu yang paling penting.

Dalam ramai-ramai pelajar mata aku sering tertumpu pada seorang budak ni, namanya Mawar, rupanya comel, tetapi tidak suka bercampur dengan rakan sekelasnya. Dia sering sahaja termenung, memandang keluar jendela seperti memikirkan sesuatu. ‘Mawarr, pandang sinii, cikgu tengah ajar ni’, laungku di depan kelas. Dia membuat muka acuh tak acuh terhadap apa yang ingin dipelajarinya. Selesai sesi persekolah aku memangilnya, ‘Mawar kenapa tak bagi perhatian semasa belajar? Cikgu nak Mawar tekun belajar, macam kawan-kawan Mawar, Mawar nak kan kerja besar, nak belanja mak ayah Mawar jalan-jalan’, ujarku kepada Mawar. Matanya mula berkaca, ‘Uishh, aku ada silap cakap ke?’, getus aku sendiri. ‘Kenapa Mawar nangis? Cikgu tak marah Mawar, Cuma cikgu harap Mawar boleh belajar sungguh-sungguh, cikgu nak anak-anak murid cikgu semua berjaya cermerlang termasuklah Mawar’, tambahku. ‘Mawar tak ada Ayah, Mawar tak ada Ibu, buat apa Mawar belajar rajin-rajin’, air matanya mula berjurai ke pipi, aku mulai rasa bersalah. Aku memeluknya.

Pagi sabtu, hujan turun renyai-renyai, aku bersandar di tiang rumah, memandang ke halaman. Akalku melayang ke tempat yang lain, memikirkan kisah silamku, umurku yang kian lanjut, tetapi masih belum ketemu jodoh. Air hujan mulai naik kawasan parkir rumahku, ‘Alamak nak banjir ke?’, getus hatiku. Segera aku mengalihkan barang-barangku ke tempat yang lebih tinggi. ‘Pakk Mattt sinii sinii..’, aku melaung memanggil Pak Mat yang sudah siap sedia di atas sampan menuju ke arah aku. ‘Mari naik sampan aku ni Rin, sini memang kerap banjir kalau hujan tak berhenti 2 hari, kampung kita dekat dengan sungai, kau kena biasakan diri’, ujarnya. Aku ambil barang yang penting dan segera melompat ke atas sampan milik Pak Mat. ‘Nekk Suuu, mari naik sampan saya yang tak seberapa ni haa..’, laung Pak Mat yang mendayung sampan uzur miliknya ke arah halaman rumah Nek Su pula. ‘Terima kasih ya matt, biarlah uzur pon sampan kita ni matt, asalkan kita masih sayangg dia, tak macam kita ni matt, makin uzur makin kurang orang sayang..’, ujar Nek Su, seraya aku terfikir tentang mak dan ayahku dirumah.

Kami dibawa ke suatu bangsal yang agak besar, berbumbungkan atap rumbia, disuatu kawasan yang agak tinggi sedikit. Segala keperluan makanan dan minuman sudah siap tersedia, orang-orang kampung bekerjasama memasak dan menghulurkan bantuan. Kagum aku seketika. Hujan yang tadinya renyai, kian lebat, beserta angin ribut yang agak kuat menerbangkan serpihan-serpihan atap rumbia bangsal tersebut. Keadaan cuaca yang agak gelap seakan waktu senja mempayungi sekitar daerah Long Wat. Beberapa orang kampung, membuat suatu ritual yang dipanggil Tiwah, dikatakan untuk menghantar jiwa dan roh manusia ke langit yang ketujuh, kemungkinan besar seperti apa yang dikatakan mereka, tuhan menurunkan ribut disebabkan roh si m**i belum diselesaikan dengan sempurna. Aku menjadi sedikit terkejut, ‘Cuu, dulu ritual seperti ini lagi dasyat, mereka m*******l kepala manusia untuk dijadikan korban, tetapi sekarang mereka menggantikan kepala burung-burung, terutamanya kepala burung enggang untuk dijadikan korban’, ujar Nek Su. Oleh sebab itu banyak tengkorak digantungkan di rumah panjang mereka, khusus bagi menghalau roh jahat. Waallahualam, situasi ini menjadi pengalaman yang baru dalam hidup aku.

Dalam suasana yang agak kelam kabut tersebut, anak mataku terpandang ke arah Mawar. Dia tersenyum memandangku, seraya aku berjalan ke arahnya, dia hilang dalam kepadatan umat manusia. Sekali lagi aku dikejutkan, ‘Mawarr..Mawarr..buat apa kesana tu?’, laung aku, melihat Mawar sudah keluar dari bangsal dan berdiri dibawah pohon ara yang sebesar sepemeluk itu. Mawar tesenyum melihat gelagatku, dan secara tidak sedar aku mengejarnya keluar dari bangsal, dia mula berlari-lari anak. Dia hilang. ‘Mawarrr…Mawarrr!’, laungku, aku toleh ke belakang untuk meminta bantuan penduduk kampung, ..bangsal pun turut hilang. ‘Ahh, apa dah jadi ni?’, aku panik keseorangan. ‘Pssssttttt….pssssstttt..’, bunyi berdesir di atas kepalaku. ‘Allah…’, seekor ular sawa yang sebesar pemeluk pohon ara, membelit dirinya di atas pohon tersebut. Kaki aku seakan tak bermaya, kebas, nak berlari tapi tidak boleh, aku menangis. Aku pengsan~

Aku tersedar dari pengsan. Di sebelahku ada Tok Meh, dan seorang yang aku tidak kenali. ‘Kamu ikut dia siapa suruh? Orang suruh duduk dekat bangsal, banyak semangat jahat dekat luar sana’, ujarnya garang. Aku masih dalam keadaan tidak mengerti, apa yang jadi sebenarnya. ‘Tok, tadi saya nampak anak murid saya, Mawar, main-main kat luar bangsal, itu sebab saya kejar dia’, aku menerangkan ke Tok Meh dan Tok Li. ‘Mana ada orang nama Mawar dalam kampung ni? Kamu biar betul, khayalan kamu sahaja’, tegasnya, aku perasan muka Tok Meh sedikit berlainan apabila aku sebut nama Mawar. Aku bangun, masih di bangsal, aku duduk menggulung rokok daun kepunyaan Tok Meh, ‘Tok, Mawar tu anak yatim, tok penghulu disini, tak kan tok tak kenal?’, ujarku ingin mencungkil sesuatu. Tok pandang ke arah luar bangsal, tidak menjawab pertanyaanku. ‘Mawar tu cucu kami, dah 5 tahun dia meninggal, lemas di dalam sungai Apoh, mak dan ayahnya pula, tidak boleh terima hakikat, anak tunggalnya telah pergi, lalu mereka turut m******h diri di sungai yang sama’, balas Nek Sendi yang dari tadi memerhatikan kami, isteri kepada Tok Meh. ‘Nek, biar betul, sepanjang berbulan saya mengajar, dia ada di dalam kelas saya, turut belajar bersama’, balasku. ‘Orang disini banyak kali terserempak dengannya, barangkali roh nya tidak tenteram, dia pernah juga pulang ke rumah, dengan keadaan basah kuyup’, ujar Nek Sendi lemah. ‘Sudahlah yang pergi tidak akan kembali lagi’, sampuk Tok Meh.

Keadaan cuaca sudah mulai reda, seluruh isi kampung mulai pulang ke rumah dan bergotong-royong membersihkan sisa-sisa bah yang tinggal. Aku masih keadaan keliru tentang Mawar. ‘Em, mungkin dia nak kacau orang baru kot’, getus hatiku. Nek Su kelihatan melambai-lambai tangannya, aku hampiri dia, ‘Kenapa Nek Su? Ada apa-apa saya boleh tolong?’, ujarku. ‘Tolong Nek Su kemas-kemas sedikit boleh?’, balasnya. Aku menolong Nek Su yang sudah kian lanjut usianya mengemaskan rumah, aku terpandang gambar di dinding, ‘Wah ramainya anak cucu Nek Su yaa?’, selorohku. ‘Ramai tapi..hurm, dah bertahun-tahun tak muncul jenguk kita dekat sini’, rengek Nek Su. Aku berdiam diri, mungkin kalau ditanya lebih-lebih Nek Su akan terasa hati. Nek Su datang membawa secawan kopi dan cucur, ‘Makanlah Rin, ini jelah yang ada dekat rumah ni’, ujarnya. Aku menjamah sambil mataku meliar melihat perhiasan di dalam rumah Nek Su. ‘Ini barang-barang lama Nek Su, semua kepunyaan arwah suami Nek Su ke?’, ujar ku. Terdapat gading gajah, tepak sireh usang, keris lama dan pelbagai lagi yang mempunyai khazanah dan ceritanya yang tersendiri. ‘Arwah suami Nek selalu ubati orang kampung ni dulu, dia pandai ilmu batin, tapi orang kampung tak suka..’, keluhnya. Arwah suami Nek Su dah meninggal lebih kurang 17 tahun dahulu. ‘Orang kampung cakap suami Nek ada ilmu jahat, banyak menyusahkan orang kampung, dusun diorang tak berbuah salahkan suami Nek, anak mereka dirasuk salahkan suami Nek, hurm..’, Nek Su termenung seketika.

8 September 2017, jumaat malam, sedang leka aku menonton telivisyen, aku dikejutkan dengan sahutan memanggil nama aku. ‘Rinn..Rinnn’, bunyi laungan di luar rumah. ‘Iyaa..kejapp!’, lantas aku membuka pintu. Tiada siapa diluar. ‘Kriittt krekkk..’ bunyi gesekan sesuatu di pintu dapur. ‘Ish, ada benda nak main-main nih’, aku terus pasang ayat-ayat suci al-quran di telefon bimbitku. ‘Drappp..drapp..drappp’, bunyi seakan derapan orang berjalan di atas bumbung rumah sewaku ini. Aku membekukan diri, zappp, rumah aku bergelap tiada eletrik, Telefon aku turut m**i. ‘Ahh sudahh, tak kan elektrik tak ada telefon pakai bateri pon m**i’, monolog ku sendiri. Aku capai bantal peluk panjangku dalam kesamaran gelita, aku peluk kuat-kuat. ‘Janganlah kacau akuuu pergiii..’, mengomel aku sendiri, terkumat-kamit aku cuba melancarkan bacaan ayat kursi yang tidak semena-mena bacaannya terabur. Tiba-tiba bantal panjang yang aku peluk, bergerak-gerak macam cacing kepanasan, berganjak aku kebelakang menyaksikan fenomena pelik itu. Zuppp, bantal itu berdiri tegak didepanku dalam kesamaran malam aku lihat wajahnya. Aku terus pengsan, tak tahu kenapa aku tidak sekuat dulu, mungkin jiwaku masih lemah.

Aku sedar pagi keesokannya, tubuhku terdapat beberapa lebam unggu. Aku diamkan perkara ini dari sesiapa, malas nak bercerita nanti makin parah pula. Aku menjalankan tugas harianku sebagai guru, ada juga kadang-kadang nampak kelibat Mawar, tersenyum comel, tetapi aku tidak melayan, biarlah dia, nak belajar juga. Aku berjalan kaki malas pulang ke rumah petang tersebut, tiba-tiba mataku terpandang sesuatu, yang tidak asing bagiku, aku nampak kelibat Maya di celahan orang kampung yang sedang sibuk memasak sempena kenduri malam ini. Aku tarik nafas, mukaku pucat lesi ‘Tak akan lah dia, mungkin muka seakan dia kot’, monologku sendirian. Seusai aku mandi, ‘Assalamualaikum..Cuu..Nek Su nii’, suara laungan dari luar rumah. Meluru aku aku keluar, ‘Ada apa Nek Su?’, balasku. ‘Mari kita ke rumah si Lan tuu, kan ada kenduri’, pelawanya. ‘Baiklah, masuklah dulu, saya nak bersiap kejap’, ujarku, sambil pintu dibuka. Seusai aku bersiap, ‘Aik, Nekk Su, oooh Nek Su..mana pulak pergi orang tua ni?’, ujarku. Aku keluar dari rumah. Kosong. Aku bergerak ke arah rumah Nek Su, dan laung memanggilnya. Keluar Nek Su ke muka pintu. ‘Aik, kenapa Nek Su balik ke rumah? Tak tunggu je dekat rumah saya tadi?’, ujarku. Kelihatan muka Nek Su yang terkejut. ‘Bila masa pulak aku pergi rumah kau, aku baru selesai mengaji ni’, balasnya. Serta-merta aku teringat dengan keadaan Nek Su yang agak uzur, manakan dia larat nak berjalan kaki pergi ke kenduri dekat sekilometer itu.

‘Hahaaa..haaaa..’, bunyi hilaian kedengaran di kawasan hutan balik bukit sana. Melompat aku masuk ke dalam rumah Nek Su. ‘Dahh tak perlu takut, dia makhluk Allah juga’, ujar Nek Su. ‘Nekk, saya nak tumpang rumah nenek sementara, takutlah nekk, tiba-tiba dia muncul depan mata nanti, naya saya’, selorohku panjang. ‘Bukan kau kata nak pergi kenduri ke?’, balasnya. ‘Dah terbantut nek…tukk…tukk..tukk’, bunyi ketukan dari pintu hadapan rumah Nek Su. ‘Ish, siapa tu nekk? Tak perlu lah bukak’, ujarku ketakutan. ‘Meh aku nak tanya dia nak apa’, ngomel Nek Su. Aku masih di dapur, takut untuk ke depan. Tukkk…Tukkk, bunyi pintu di dapur pulak, aku senyap. Tukkkkk…tukkk, ketukan semakin kuat. Aku berlari ke ruang hadapan, aku terdengar bualan Nek Su. ‘Janganlah kacau lagi, aku dah bagi apa kau nak, jangan cuba-cuba kau kacau cucu aku sebelah rumah tu, kalau aku dapat tahu siap kau’, ujar Nek Su. Aku melihat dari tepi celahan langsir. Allah..kelihatan kepala perempuan, berambut kerinting panjang, tidak mempunyai badan, dan darahnya mengalir dari bawah leher. Aku senyap. ‘Haahaa..haahaa’, dia ketawa. Kelihatan Nek Su tutup semula pintu. Aku senyap membisu, tak tahu nak tanya apa pada Nek Su.

Apa yang kau lihat dan apa yang kau dengar tak semestinya sama dengan apa yang engkau faham. ‘Dia kata kau ada penjaga, betul ke? Penjaga kau kuat’, ujar Nek Su dengan mata yang agak tajam. ‘Apa Nek Su cakap ni, saya tak faham, penjaga apa?’, balasku. ‘Kau ada membela ke Rin? ditanyakan kembali. ‘Saya tak ada penjaga dan saya juga tidak membela, Nek Su yang membela, kenapa Nek Su buat macam ni, kan salah dari sudut agama, ini semua khurafat’, tempikku. ‘Itu bukan aku punya, aku sendiri tak nak benda tu, tapi sudah 15 tahun dia mundar-mandir di kawasan rumah aku’, balasnya. ‘Kalau bukan Nek Su punya, kenapa tak halau? Kenapa Nek cakap dah bagi apa yang dia nak? Apa yang dia nak?’ ujarku untuk mendapatkan kepastian. ‘Hurmm..engkau tak akan faham, baliklah kerumah, dah tak ada apa-apa untuk ditakuti, takutlah hanya pada Allah’, balasnya dan terus berlalu ke dapur.

Malam tersebut aku tidak dapat tidur memikirkan apa yang aku nampak tadi, termasuk juga dengan kelibat Maya di kampung tengah. ‘Kenapa benda tu kata aku ada penjaga? Em aku tak pernah membela…Maya! Maya.. mungkin belaan Maya yang sering kacau aku ikut aku kesini..ahhh, kusut!’, teriak aku dalam hati. Aku bangun keesokan harinya, aku bingkas mandi, kelihatan lantai bilik airku basah, dan berus gigi ku seperti ada bendalir. ‘Ahh, busuknya, celaka punya hantu, sudah-sudahlah tu’, aku memberanikan diri teriak dalam rumah. Aku keluar dari rumah dan menghala ke rumah Pak Lan, ingin memohon maaf tak dapat hadir ke kenduri rumahnya semalam. ‘Alang-alang aku dah berhajat nak sedekahkan sedikit duit untuk pengantin baru, pergi jela rumah Pak Lan’, getusku dalam hati. ‘Pak Lan, maaf ya tak dapat nak pergi ke rumah semalam, ada hal sedikit dengan Nek Su, ini ada sedikit sumbangan dari saya’, ujarku. Kelihatan muka Pak Lan sedikit berkerut. ‘Kau ada hal apa dengan Nek Su? Semalam elok je dia datang kenduri aku, dia datang sekali dengan cucu dari KL nya, namanya Maya’, balas Pak Lan. Tersentap aku seketika. Dengan siapa aku berjumpa semalam? Kenapa nama cucu Nek Su Maya? Kenapa aku tak pernah perasan ada orang datang ke rumah Nek Su, walhal kami berjiran sahaja? ‘Uish, kau ni kenapa? Kena sampuk ka?’ ujar Pak Lan.

‘Aku kena dapatkan kepastian! Siapa dekat rumah Nek Su tu, betul ke cucunya?’, segera aku berjalan pulang. ‘Assalamualaikum..Nek kata abang baru pindah 4 bulan disini, abang dari Kl ya?’. Aku terpaku di pintu kecil rumah Nek Su. Mukanya ada iras Maya, walaupun Maya meninggal dalam umur 9 ke 10 tahun, air wajahnya membayangi hidup aku. Maka, aku yakin, mukanya ada iras dengan Maya. ‘Abang..abang…err..Nek Su ada?’, ujarku. ‘Nek Su tak ada, pergi berkebun di belakang sana’, ditunjukkannya di belakang rumah. Manakan mungkin Nek Su yang uzur itu boleh pergi berkebun. ‘Tak apalah, kemudianlah abang jumpa Nek Su’, dan aku terus berlalu masuk ke dalam rumah. Aku beristifar, ujian Allah SWT nak bagi.

Pagi isnin, 16 Oktober 2017, aku bersiap-siap ingin ke sekolah. ‘Assalamualaikum, nak pergi kerja ke?’, aku disapa oleh Maya. ‘Eh Maya, ya nak pergi kerja, Maya cuti berapa lama?, ujarku berbahasa basi. ‘Em, ikutkan sampai bila-bila pon Maya tak nak balik, nak duduk sini jaga nenek, kenal rapat dengan abang’, dia tersipu-sipu malu. ‘Mak dan ayah tak balik sekali ke?’, balasku. Perubahan dari riak wajahnya dia pandang mataku dengan tajam, ‘Diorang dah m**i kena b***h’, balasnya ringkas dan terus berlalu pergi. ‘Serammm weii, matilanakk, apesal dia pandang aku macam tu, aku ada silap cakap ke?, monologku dalam hati. Seminggu sejak Maya pulang ke kampung, aku langsung tidak pernah terserempak dengan Nek Su, aku mulai jadi pelik, apa dah jadi dengan orang tua tu, aku nak melawat nanti, ada anak dara pulak, nanti orang kampung ingat aku nak menggatal. ‘Ahh, peninglah macamni..’, mengomel aku sendiri. Aku memberanikan diri mengintai di jendela, kelihatan Maya duduk di serambi memandang tepat ke rumah aku. ‘Uish, psycho nya dia nih..’, monologku sendiri.

Sesi pengambilan rekod keputusan dan kehadiran pelajar akan berjalan hari ini. Aku berasa agak teruja kerana prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak muridku amat memberansangkan sekali. Aku mengamalkan konsep LINUS iaitu Literasi dan Numerasi yang aku kuasai semasa menguruskan program untuk para guru di kementerian dahulu. Para pelajar nampaknya lebih berminat dengan bahan sokongan pelajar yang dibekalkan kepada mereka. Sesi reportcard berjalan agak lancar, semua ibu bapa hadir bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap pelajaran anak mereka. Datang sepasang ibu dan ayah, mukanya agak pucat, tersenyum, ‘Boleh saya tahu pakcik dan makcik merupakan ibu bapa kepada pelajar bernama apa?’, ujarku tersenyum. ‘Mawar..’, balasnya ringkas. Aku terkedu tetapi masih boleh control. ‘Alamak, Mawar mana ada ambil periksa haritu’, getusku sendiri, dalam masa yang sama aku buat-buat macam mencari nama Mawar. ‘Aikk? Ada nama Mawar? Dah siap bertanda pulak tuh’, aku terkejut. ‘Em, anak pakcik dan makcik ni, sangat cemerlang dalam pelajarannya, dia anak yang pintar dan comel, pakcik dan makcik boleh bawak balik reportcard ini ya’, balasku dengan agak gugup. Mereka kelihatan tersenyum dan terus berlalu pergi. ‘Fuhhh..jantung macam nak pecah rasanya’, mataku tertumpu di jendela, kelihatan Mawar tersenyum, dan aku membalas senyumannya.

Aku pulang ke rumah, aku terserempak dengan Pak Ishak, ‘Assalamualaikum pak, lama tak nampak, sibuk sangat lah tu ya?’, ujarku. ‘Biasalah Rin, bila kerja dengan PPD ni, kejap kesana, kejap kesini, daerah yang aku jaga ni besar, sekolah antara sekolah jauh pulak tu’, balasnya. ‘Aku dengar kau berkawan rapat dengan Nek Su ya?, ujarnya. ‘Rapat tu tak lah, tapi dia kan jiran saya, mestilah kena ambil tahu’, balasku kembali. ‘Jaga-jaga ya Rin, banyak yang kau kena tahu pasal dia tu, orang kampung banyak dah terkena’, rungut Pak Ishak. ‘Isk Pak Ishak ni, tak baiknya cakap macam tu, dia mengaji, solat, baik hati, tak kan lah buat jahat dengan orang kampung ni, kisah arwah suami dia tu dulu biarlah tinggal sejarah’, balasku sedikit geram. ‘Dia cakap apa pasal arwah suami dia tu dulu? Kalau kau nak tahu, dia sendirilah yang b***h suami dia, dia meroyan lepas tu tak nak mengaku, habis orang kampung dituduhnya, sedangkan pisau kat tangan dia’, balas Pak Ishak. Aku termenung sejenak, ‘Biar betul, mungkin dia menyaksikan orang lain yang b***h suami dia, hurrmm.. waallahualam lah Pak Ishak, bagi saya senang je, selagi dia tak buat apa-apa yang tak elok dekat saya, saya hormat dia sebagai orang tua, dan jiran saya, tapii..Pak Ishak tahu apa-apa tentang cucu dia nama Maya tak?, pertanyaanku panjang. ‘Setahu aku dia ada anak-anak cucu yang ramai, tapi ada seorang anak yang paling lama duduk dengan dia di rumah itu sebelum kes arwah ayahnya d*****r, yang anaknya itu Nek Su paling sayang, tapi tragedi pembunuhan tu buatkan mereka tak percaya dengan mak mereka sendiri, sebab Nek Su amalkan ilmu hitam’, penerangan panjang lebar. Aku terkedu seketika, ‘Em, tak apalah Pak Ishak, terima kasih banyak-banyak bagi peringatan tu, assalamualaikum..’, aku berlalu pergi dalam keadaan penuh tanda tanya.

‘Sebab itu ke banyak yang menyerupai Nek Su? Sebab dia membela ke? Tapi kenapa dia menafikan belaanya itu, kenapa aku rasa dia tak salah, haih…’, perkara ini membelenggu hidupku. ‘Eh Nekk.. lama tak nampak Nek dekat rumah? Mana Nek menghilang’, selorohku. ‘Ada je dekat rumah tu, engkau yang tak nak jenguk Nek Su, bila dah tua ni semua orang tak sudi nak tengok’, balasnya. ‘Eh mana ada Nek, saya bukan tak nak datang, tapi cucu Nek kan ada, perempuan pulak tu, segan saya nak jenguk, takut orang kampung mengata nanti’, balasku bersahaja. ‘Aku pon tak tahu kenapa dia datang, sejak dia lahir aku sendiri tak pernah tengok wajah dia, tiba-tiba datang mengaku cucu aku pulak, bila ditanya nama ayahnya, betul pulak anak aku, aku tahu anak aku tu dulu pernah tipu aku, dia dah berkahwin senyap-senyap tanpa pengetahuan aku, tapi aku langsung tak tahu menahu tentang cucu aku tu’, balasnya. ‘Anak Nek berapa orang semuanya?’, balasku ingin tahu. ‘Banyak, 7 orang semuanya, tapi yang paling lama jaga aku yang bongsu, Ramli namanya, tapi sejak…hurm..entahlah Rin, kalau kau tahu sejarah kampung ni, engkau pon tak sudi nak berjiran dengan nek nih’, balasnya mengeluh Panjang. ‘Em, tak mengapalah Nek, apa yang berlalu ketentuan tuhan kan? Semua pasti ada hikmahnya, kalau salah mereka akan dihukum kelak, kalau betul waallualam, Allah maha mengetahui’, spontan aku berkata. ‘Em, apa yang betul? Apa yang salah?’, ditanya ringkas. ‘Err, tak ada apa-apalah Nek, kalau Nek buat Sepat berlada lagi, kongsi lah sikit, sedap air tangan Nek, teringat mak kat sana’, balasku. ‘Insyaallah…’.

Nama Ramli itu seakan biasa kedengaran. Aku baring menghadap kipas yang berputar perlahan-lahan. Aku mulai mengantuk dan tertidur. ‘Aku akan balas dendam atas apa yang kau dah buat pada aku dulu perlahan-lahan, biar engkau rasa siksanya aku mengharapkan engkau pulang ke sisi aku’, aku tersedar dari mimpi. Bulu romaku naik, ‘Kalau lah betul Maya cucu Nek Su tu Maya yang sebenar, ehh tak mungkin lah, orang kampung dah kata Maya dah m**i, tapi mereka tak pernah pula tunjuk aku kubur Maya..tapi ada seseorang pernah mengaku dia adik kepada maya, dia pun sudah m**i, haih keliru aku nih’, monologku sendiri. ‘Abangg..abangg Rin’, panggilan dari luar. Kelihatan Maya di depan pintuku. ‘Ada apa Maya?’, balasku. ‘Abang, ada tak kerja kosong dekat sekolah abang, rasa bosanlah duduk dekat sini tak buat apa-apa?’, balasnya manja. ‘Em, setakat ni tak ada lah Maya, lagipun pelajar yang ada pon tak begitu ramai, apa kata Maya buat kerja kampung ke? Pergi cuba tanya kedai makan Mak Long kat depan tu?’, aku memberikan pendapat. ‘Kalau jadi isteri abang, tak perlulah Maya kerja kan, boleh jaga makan minum abang’, balasnya manja. Seram aku aku tengok wajah mengada-ngada Maya. ‘Em Maya cakap apa nih, abang dah ada tunang dah dekat semenanjung sana, mungkin tahun depan abang menikah’, aku cuba menipu. ‘Em, abang mana ada tunang, siapa je nak kat abang kan, abang kan tak ada kawan’, dia mencelah. Aku terdiam, macam mana dia tahu aku tipu. ‘Em, abang masuk dulu lah ya Maya, tak elok orang pandang, nanti Maya cubalah buat kerja kampung ya’, aku habiskan perbualan. ‘Hehe, baiklah bang, abang takut ya Maya jadi isteri abang’, dia terus menutup pintu.

Suatu hari aku keluar memancing di gigi air Sungai Apoh, aku pergi bersama Pak Mat. Aku ingin cuba kemahiran memancing aku di semenanjung untuk dipraktikkan disini. Dengan berbekalkan umpan udang hidup dan pumpun, aku cuba menduga isi sungai tersebut. Kami memancing di tebing yang agak tinggi kerana khuatir akan serangan dari sang bedal. Kata orang, tempat banyak udang, banyaklah buaya. Pak Mat hanya menggunakan umpan roti disalut dengan pes strawberi bersama buah rambai. Selang 10 minit sahaja, Pak Mat Berjaya naikkan ikan patin beranggaran berat sekilogram. ‘Wah, orang lama ya’, ujar aku berseloroh. Selang 15 minit aku juga Berjaya naikkan ikan belida. ‘Wah cantik jugak port memancing dekat sini ya Pak Mat, lubuk ikan, tak adalah bangau je manjang’, aku berseloroh. Masa sudah kian senja, aku dengan Pak Mat leka memancing, ‘Kita habiskan umpan baru kita balik ya’, ujarnya. Aku mengiyakan sahaja sebab rod aku sering melengkuk-lengkuk di makan umpan. Azan maghrib berkumandang, aku segera turun ke gigi air untuk mengambil wudhuk bersama-sama Pak Mat, dalam masa yang sama berhati-hati jikalau ternampak kelibat sang bedal. Di rakaat yang terakhir kami berjemaah di bawah pohon rambai, drag rod pancing aku berbunyi. ‘Tretttttt….’, panjang bunyinya, menandakan ada ikan memakan umpan. Seusai aku solat, segera aku pergi melihat rod aku, tetapi alangkah terkejutnya aku melihat batang rod aku bukan menghala ke sungai, tetapi menghala ke arah hutan. Drag mesin masih berbunyi ibarat macam ada orang sedang menarik mata kail aku jauh ke dalam hutan. Kami tergamam menyaksikan perkara tersebut, ‘P****g talii..p****g tali’, ujar Pak Mat, segera aku memutuskan tali, kedengaran bunyi merengus di dalam hutan. ‘Dahh..kemas, kemass, ada orang tak bagi kita memancing disini’, ujar Pak Mat, segera aku berkemas dan masuk ke dalam Hilux milik Pak Mat.

‘Tukk..tukk..tukk’, cermin kereta berbunyi, kelihatan Maya di luar kereta, aku buka sedikit cermin tingkap kereta. ‘Maya nak tumpang boleh?’, ujarnya. Aku pandang muka Pak Mat, Pak Mat pandang muka aku. Pintu belakang dikuak, dan Maya pon masuk ke dalam. ‘Maya buat apa dekat sini senja-senja nih?’, ujar aku. ‘Maya seronok tengok abang dan pakcik memancing’, suaranya manja. ‘Tak kan lah adik ada dekat sini dari petang tadi? Dah dekat 5 jam kami memancing, tak nampak kelibat adik pon?’, ujar Pak Mat. ‘Hehe..Maya ada je dekat dengan korang tadi, Mayalah yang tarik pancing Rin tadi’, balasnya seraya mengilai. ‘Allahuakhbar!’, teriak Pak Mat, keluar kau dari kereta aku nih’, getus Pak Mat. Aku toleh Maya sudah tiada. Kami segera bergerak balik, lubuk yang kami pancing agak jauh ke dalam sedikit dari perkampungan Long Wat. Sepanjang perjalanan kami senyap seribu bahasa. Pak Mat berhentikan Hiluxnya dibahu jalan. ‘Jom makan dulu, tak elok terus balik rumah lepas apa dah jadi, takut benda tu mengikut’, ujarnya. Aku turuti sahaja, masih tergamam dengan apa yang baru lepas jadi. ‘Kau kenal siapa budak perempuan tu tadi?’, Pak Mat bersuara. ‘Kenal Pak Mat, dia cucu Nek Su’, balasku pendek. ‘Cucu Nek Su? Sejak bila cucu dia balik? Cucu yang mana, anak siapa?’, bertalu-talu soalan ditanyakan oleh Pak Mat. ‘Em, Nek Su cakap cucu kepada anaknya yang bongsu, namanya Ramli’, balas aku bersahaja. Pak Mat senyap seketika.

‘Kesian si Ramli, dah lah kehilangan ayah, selang beberapa tahun dia pula meninggal, kata penduduk setempat, rumahnya dibakar’, ujar Pak Mat. Aku terdiam, ‘Ya Allah, Pak Ramliii, memang nama ayah si Maya namanya pak cik Ramli’, aku baru teringat. Korang semua boleh rujuk slot cerita ‘Aku Rindukan Maya’ dulu. ‘Kiranya, arwah suami Nek Su, meninggal 20 tahun yang dulu, bermakna tahun 1997, umur aku, 7 tahun, aku sempat kenal Maya baru 2 tahun, tahun 2000, Pak Ramli meninggal, ahhh makin berbelitlah masalah ni..’, aku mengeluh sendiri. ‘Eh kau dah kenapa, berangan ke?’ tegur Pak Mat. ‘Pak Mat, boleh ke orang yang dah m**i hidup balik, nak kacau orang yang pernah hancurkan hidup dia?’, ujarku tanpa berfikir panjang. ‘Em, kau merepek apa ni Rin? Orang dah m**i mana boleh hidup balik, ini bukan filem melayu, yang tinggal hanyalah Qorin dia sahaja’, penerangan dari Pak Mat. ‘Engkau dah lama ke kenal Maya ni?’, Pak Mat meneka. ‘Eh tak adalah Pak Mat, saya tanya je, hehe’, aku cuba sorokkan rahsia bertahun-tahun ini. ‘Tapi aku peliklah, suami Nek Su m**i secara misteri, badannya bagai di ratah binatang buas, penuh cakaran, tetapi Nek Su yang dipersalahkan kerana pisau ada ditangan Nek Su..Ermm..Ramli pula m**i selang 3 tahun selepas kematian ayahnya, matinya juga cukup misteri, rumahnya terbakar, jasad yang rentung dijumpai hanya 2 orang, iaitu Ramli dan isterinya, jasad anaknya dikatakan oleh orang kampung sudah hancur ketika api menjilat rumah tu, tiba-tiba nama Maya ni muncul dan mengaku sebagai anak Ramli, iaitu orang yang kita sangkakan dah lama m**i, kau tak rasa pelik ke Rin?’, ujar Pak Mat Panjang lebar. Aku duduk terkaku. ‘Kenapa permohonan aku nak pindah ke Sarawak jadi mudah? Kenapa banyak-banyak sekolah dekat Sarawak ni, Long Wat yang aku dapat? Kenapa rumah sewa aku sebelah dengan rumah nenek Maya? Adakah ini semua kebetulan, atau sudah dirancang oleh Maya?’, otak aku rasa tenat nak hadam semua ni.

Aku selamat sampai ke rumah, aku mandi dan mengaji al-quran bagi menguatkan kekuatan rohani aku kembali. Malam tersebut aku rasa kosong dan tenang. Pada hari berikutnya aku pergi ke sekolah seperti biasa. Aku terserempak dengan Cikgu Razi, merupakan cikgu senior di daerah sini. ‘Awal datang harini cikgu’, tegurnya. ‘Ya cikgu, nak persiapkan bahan-bahan ABB, alat bantu belajar untuk murid-murid’, ujarku. ‘Cikgu, saya nak tanya sesuatu, sebelum ni guru-guru disini memang 7 orang ke?’ ujarku. ‘Ya, sebelum kamu masuk, kami memang bertujuh, tapi nak jadi cerita bulan april tahun ni, salah seorang guru terpaksa dipindahkan ke daerah yang lain disebabkan tak tahan dikacau oleh makhluk halus di rumah sewanya tu, maka kami berenamlah terpaksa berhempas pulas, sebelum kedatangan cikgu disini’, ujar Cikgu Razi Panjang lebar. ‘Dia dikacau? Rumah sewanya tu dimana cikgu’, ujarku. ‘Alaa, yang dekat hujung kampung tu, ada pokok pisang banyak-banyak, sebelah rumah bomoh Su’, terangnya. Aku terbuai seketika. ‘Ish, tak kan lah Nek Su cikgu cakap bomoh pula? Rumah yang cikgu maksudkan tu merupakan rumah sewa yang saya tinggal sekarang, bomoh yang cikgu maksudkan pon silap, saya panggil dia Nek Su, baik orangnya, bukan bomoh pon’, balasku. ‘Em, saya dari daerah lain, tapi rata-rata orang tempat kami cakap dia bomoh bidan, kadang-kadang boleh menyerupai penanggal, dan jalan merata mencari janin bayi baru lahir’, balasnya. Terbeliak mata aku seketika, terus aku terbayang penanggal yang datang ke rumah Nek Su 2 bulan yang lalu. ‘Kenapa rata-rata orang cakap Nek Su jahat, sedangkan aku dan Pak Mat sahaja nampak Nek Su orang yang baik’, aku berkata dalam hati. ‘Rumah sewa yang cikgu duduk tu merupakan milik anak kepada bomoh bidan tu, dengarnya dia tinggal kat Kuala Lumpur’, tambahnya, buat aku jadi berganda keliru.

Aku cuba merungkaikan misteri Maya ini, aku membuat suatu kronologi, aku kenal maya pada tahun 1997, darjah 1, Maya masuk pertengahan tahun, aku buat hal dengan Maya pada tahun 1998, iaitu pada penghujung tahun, aku pindah ke kajang pada 30 Disember 1998, dan keluarga Maya dilaporkan ditimpa musibah pada tahun 2000, bermakna aku dan Maya berumur 10 tahun, masa tu umur Pak Ramli dalam lingkungan 50-an, dia merupakan anak yang bongsu, maka berapakah umur Nek Su sekarang jika betullah apa yang dikatakan dia mempunyai anak seramai 7 orang? Sekarang umur aku dan Maya ialah 27 tahun, maka sudah 17 tahun kematian Pak Ramli. Jadi segala masalah yang terjadi dalam hidup aku ni sepanjang 17 tahun adalah angkara Maya? Maya masih hidup? Siapa selamatkan Maya. ‘Ahh, tak boleh jadi ni, aku kena pergi selesaikan masalah ni juga’, aku terus berlalu pergi ke rumah Nek Su. ‘Assalamualaikumm.. Nek Suu..Mayaaa..’, aku memanggil. Sunyi, pintu terbuka, tetapi tiada sahutan. Aku kuak pintu dapur perlahan-lahan, ‘Nekk Suuu…ohh Nek Su’, aku masih menyeru nama Nek Su. Tiba-tiba aku terbau kemenyan kuat. Ada satu bilik yang aku agak musykil, kenapa bilik ni ada digantung tengkorak, sebelum ini aku tidak pernah perasan pula. Aku kuak pintu perlahan-lahan kelihatan asap kemenyan memenuhi ruang bilik, kelihatan tepak Kemenyan bersama keris dan limau di atas lantai. ‘Abang cari Maya ke?’, Maya menyapa dari arah belakang. ‘Ehh maaf abang laung dari depan tadi panggil Nek Su dengan Maya tapi tak menyahut, tu abang masuk takut-takut ada apa-apa buruk terjadi’, balasku. ‘Nek tak ada, keluar ke kebun, Maya ada lah..kenapa bang’, melentok manja Maya, tangannya membelai pipiku. Aku kebelakang, ‘Eh Maya, janganlah macamni, tak eloklah kita berdua sahaja, abang keluar dulu’, aku terus bergegas keluar. Maya tarik tangan aku. ‘Eh dulu abang suka bermanja dengan Maya, kenapa sekarang malu? Maya rindu abang, sampai hati abang tinggalkan Maya dengan kawan-kawan abang yang tak berguna tu!’, cekaman tangannya semakin kuat.

‘Allahuakhbarrr!’, aku bertempek lalu terus keluar dari rumah tersebut. ‘Kau nak apa Maya, tak cukup ke kau siksa aku 17 tahunn!! Bukan sekejap, tapi 17 tahun, kau nak apa lagi?’, ujar aku berkeadaan marah. ’17 tahun abang apalah sangat kalau nak dibandingkan kezaliman abang pada Maya, Maya hilang ayah, hilang mak, Maya dapat tahu Maya anak luar nikah, abang pakai Maya, abang serahkan kawan-kawan abang merosakkan lagi Maya, abang ingat cukup ke 17 tahun tu abang merana?? Sampai abang m**i, abang akan jadi milik Maya!’, suara Maya seakan serak, matanya merah’. ‘Macam mana Maya masih hidup? Sedangkan Maya dah m**i terbakar?’, balasku. ‘Hahaha, abang Rin ohh abang..abang fikir Maya boleh ke terima yang Maya ni anak luar nikah? Maya tak sanggup nak tengok muka orang tua bodoh yang sangup buat benda terkutuk demi memuaskan nafsu sendiri!! Hehe, macam kita dahulu, abang lupa, umur baru setahun jagung, abang berani pegang Maya, kita lupa diri sebab nafsu, SEBAB ITU AKU BAKAR MAK BAPAK AKU, AKU B***H KAWAN-KAWAN KAU!’, laung Maya. ‘Mana Nek Su? Apa Maya dah buat dekat dia? Dia tak bersalah pon’, ujar aku lemah. Aku jadi lemah mendengar dosa-dosa aku yang lantang diulang kembali oleh Maya. ‘Hahaha, nenek yang kau sayang sangat tu merupakan orang yang paling aku benci sekali, aku sorokkan dia ditempat yang kau tak akan tahu, kesian orang tua tu jadi kambing hitam aku, aku buat biar orang kampung benci dia, sedangkan yang sering muncul dan kacau penduduk kampung sini ialah saka aku sendiri, hahahaha!’, Maya berdekah ketawa. ‘Kau kejam Maya, kalau kau bencikan aku sekalipun, janganlah sampai menghukum orang yang tak bersalah, jadi kau reka cerita pasal adik kandung kau, soal diari, betul??’, ujarku. Keadaan cuaca menjadi gelap seperti mahu hujan, aku masih berdiri di halaman rumah Nek Su. ‘Mana kauu sorokkan Nek Su, Maya, bagitahu akuu!’, aku mulai marah.

‘Hahaha, abang marah ke? Ya, semua yang terjadi merupakan helah aku sahaja, supaya kau dihantui oleh rasa bersalah kau, disebabkan kau aku dah terlanjur buat banyak dosa, yang aku rasa tuhan pon tak nak ampunkan dosa aku, hari ini sama ada kau nak m**i atau kau hidup dengan aku, hidup dengan aku!’, balasnya. ‘Faain ‘amanu bimisli maa’antum bihh…’, bergema dari arah belakang, seorang lelaki berjubah memakai serban berwarna putih. Diambilnya pasir dan dicampakkan ke arah Maya, ‘Arghhhh…celakalah kau wahai orang tuaa!’, Maya tertunduk ke lantai. Lelaki tersebut mengarahkan aku berundur, ‘Waaman ya’sillaha warasulluh…Allahuakhbar!’, lelaki tersebut menepuk ke tanah, seraya Maya terduduk bagai dipaku di lantai. ‘Abang..tolong Mayaa..’, panggilannya lemah. ‘Jangan mudah tertipu dengan hasutan syaitan..saya Ustaz Roslan, kawan kepada Ustaz Tarmizi yang pernah mengubati encik dahulu, memang rancangan saya untuk biarkan si syaitan ni menjerat encik ke sini terlebih dahulu, supaya saya boleh bersemuka dengan dia, kunci ada pada dia’, jelas Ustaz Roslan. Aku masih dibelenggu keliru. ‘Haha, kalau kau b***h aku orang tua, kau tak kan tahu dimana aku sorokkan nenek aku, hahahaha’, ujar Maya bongkak. ‘Aku memang tak boleh tahu, tapi Allah tahu, mungkin aku boleh paksa kau untuk mengaku, Kal la la’in lam yantahi lanas fa’am binnasiah…Jangan sesekali engkau berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti dari perbuatan terkutuk ini, nescaya Allah akan menyentap ubun-ubunmu, dan mengheretmu ke neraka! – Surah Al-Alaq’, keras Ustaz Roslan. Ilmu yang ada pada Ustaz Roslan bukan calang-calang, sedikitpun Maya tidak mampu bertindak. Tertiarap maya di atas lantai, air liurnya meleleh membasahi lantai, berpeluh, ‘Tolong akuu tolonggg, aku insaff, tolong akuuu, aku sorok nenek aku di kebun pisang belakang rumah, tapi bukan di alam ini, tolongg’, jeritan Maya.

‘Aku tidak akan membunuhmu wahai manusia, yang aku ingin binasakan ialah syaitan yang ada di dalam tubuhmu itu, Allahuakhbar!’, ribut kian mengganas, ranting-ranting dari pohon tua berterbangan, pasir-pasir berpusar. ‘Aku tak akan biarkan engkau menghasut anak adam dari terus terleka, dengan kalimah Allah, matilah engkau, Allahuakhbar!’, serta merta kilat menyambar terus ke sisi Maya. ‘Argggghhhhhhhh……..’, sunyi. Maya masih terlantar di lantai, orang kampung sudah mula membanjiri kawasan rumah Nek Su. ‘Ambil tali ikat dia di pokok itu, telefon polis, cepatt, kamu berdua ikut aku masuk ke dalam kebun belakang tu’, ujar Ustaz Roslan kepada aku dan 2 orang kampung. Aku rasakan nadi Maya, masih hidup. Selang beberapa minit, kelihatan 2 orang kampung tersebut membawa keluar seorang wanita yang sangat uzur rupanya. ‘Nek Su! Tapi kenapa seakan tua sangat, tidak seperti yang aku kenal sebelum ini’, mereka meletakkan Nek Su di tepi serambi. ‘Terima kasih ye Ustaz, maafkan nek, Rin..nek cuba nak larang kamu dari berkawan dengan Maya, tapi nenek tak boleh’, ujar Nek Su. ‘Sebenarnya suami nenek telah mewasiatkan saka belaanya kepada cucu anak nenek, Ramli, jika Ramli sudah mempunyai zuriat masa depan nanti, Ramli merupakan anak kesayangan kami berdua, dari kecil sehingga dewasa dia menjaga kami, tidak pernah langgar perintah kami, tapi suatu hari, rahsianya ketahuan, dia bercinta dengan seorang gadis dari daerah yang lain, dan telah melahirkan anak luar nikahnya iaitu Maya, suami nenek geram lantas menghantar saka belaanya untuk membinasakan Maya dan juga emaknya, malangnya hasil daripada wasiat tersebut, perjanjian sudah dimaterai, iaitu, saka itu akan menjaga dan melindungi anak Ramli dari segala apa pun anasir luar walaupun diarah oleh suami nenek sendiri, inilah yang dikatakan senjata makan tuan, saka itu sendiri yang telah menjahanamkan dan m******h suami nenek, orang kampung semua mengatakan nenek punca suami nenek d*****h, kerana kebetulan nenek ada disitu’, ulas Nek Su panjang lebar. ‘Ya, arwah suami nek dulu mengamalkan amalan ilmu hitam, nek dah pernah larang, tapi tak berkesan, anak-anak nek semua tak mengaku kami mak dan ayah mereka, haritu kamu ada tanya nek kan, apa yang nek dah bagi dekat saka tu, nek bagi dia kacau kamu sekali dan sedut d***h dari ib jari kamu, sebab itu kamu ada lebam-lebam kan, maafkan nek, maafkanlah Maya, dia jadi mangsa keadaan keluarga sendiri’, rayu Nek Su. ‘Maaf Nek, yang salah tetap salah, dia lakukan kesalahan dalam keadaan dia sedar, kami akan serahkan dia kepada polis, tapi insyaallah kami akan bantu ringankan hukuman dia’, ujar Ustaz Roslan.

Aku terduduk melihat situasi ini, jawapan kepada apa yang telah terjadi kepada aku 17 tahun yang lepas. Aku benar-benar menyesal atas apa yang telah terjadi terhadap Maya, aku rela menjadi suami Maya jika dia benar-benar sudah insaf, aku rasa inilah jalan terbaik untuk menebus kesalahan aku kembali. Maya sudah dihantar ke penjara Kajang, proses hukuman belum ditentukan, tempoh mahkamah akan mengambil masa yang agak panjang. Aku telah menghantar permohonan untuk ditukarkan semula ke semenanjung, itu jika pihak kementerian izinkan. Aku masih disini menabur bakti bagi anak watan Long Wat. Beginilah berakhirnya sandiwara dunia, maafkan aku jika terdapat ayat dan penggunaan bahasa yang salah. Insyaallah jika ada masa aku akan menulis kembali. Assalamualaikum.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 5]
Rin

43 thoughts on “#Maya: Pengakhiran Sebuah Misteri”

    • TO:MUHAMMAD ZAIRIN
      Cerita yang menarik dan dahsyat!Penggunaan ayat juga ringkas dan ini membuatkan jalan cerita mudah untuk difahami.Cerita Rin juga mampu menjangkau tahap keseraman yang maksimum!Namun, tahap mendapat serangan penyakit jantung sudah mencapai tahap yang lebih tinggi.Kalau ada kelapangan,sambunglah lagi ya?Berusaha.

      Reply
  1. hye rin..nice story..pengalaman betul ke?sbb aku x baca lagi cerita ko yg sebelum2 ni..
    nnt aku baca ya..pengalaman ko ni sgt dasyat..aku yg baca pun blh stress..ni kan plk ko yg hadap..semoga ko tabah ya..

    aku rate 9.3/10..cerita ko panjang & dan menarik..wpun pnjg tapi isi penuh tak meleret2..penulisan & cara penyampaian senang nak faham..kalo ade pengalaman lain sila la share..teruskan berkarya..

    Reply
  2. Lama sangat menanti. Alhamdullilah semuanya dah selesai. Semoga maya sihat dan bertaubat. Kerana dendam , rugi 17 tahun. Setiap yang berlaku ada hikmahNya ,byk pengajaran. 👍

    Reply
  3. hidup lg rupenye Maya tu…mati2 ingt die tu jelmaan…pape pon semoga hidup ko lps ni lebih aman dik…sian ko merana 17 tahun…semoga ko dieketemukan dgn org yg blh jg ko

    Reply
  4. cerita betul ke?aku dah baca semua cerita ko.betul ke umur ko 8 tahun dah pandai merogol maya?pastu boleh lak maya ni balas dendam dgn b***h semua kwn2 ko?,,setahu aku budak 8 tahun masih lagi beringus,kencing pon masih berterabur..yg aku rasa pelik,adik maya boleh lak tolong balasdendam kakak dia dan membomohkan dan menggoda bapak angkat dia..tolong lah explain kat aku..ni betul ke atau fantasi diri ko yg selalu keseorangan.

    Reply
    • aku rasa yg membalas dendam tu atas bantuan pendamping maya.
      bila maya marah, geram pendamping dia akan lorongkan idea untuk dia.

      Reply
  5. Ye lama Rin tak muncul disini. Alhamdulillah everything went well. Semoga perjalanan hidup Rin selepas kejadian ni bertambah tambah baik dan diberkati Allah.

    Reply
  6. Bila baca title”#Maya terus ingat dekat cerita Rin. Ada jugak pengakhirannye. Gigih baca semula nk recall part2 yang lepas. Banyak pengajaran dalam kisah ni. Semoga dipermudahkan segala urusan.

    Reply
  7. gigih cari cite pasal maya ni.
    aik bukan bapak fahmi ke yg b***h kawan2 rin tu?

    even cite berjela panjang.
    enjoy bace tiap tiap perenggan tu!

    btw ni mmang cite betul2 ke or sekadar fiksyen.
    still tk boleh nk hadam budak2 buat mcm tu.

    Reply
    • zaman saya darjah 2, time tu 1998, 8 tahun, sebaya Rin, memang kami dah tak berhingus. Plus time tu, ingat lagi, dengar budak2 laki cerita fantasi seks dan cerita lucah sesama diorang. Benda ni real.

      Time kami nak tukar baju PJ bawah meja cikgu, mostly budak laki akan ushar. So saya decide tukar kat toilet je, lebih aman.

      Kadang terfikir, zaman kita dulu dah advance. Kesian dengan anak-anak kita nanti. Apa pun, memang budak akan belajar dari apa yang dia lihat, akhlak mak ayah dan surrounding mereka.

      Doakanlah anak-anak kita dan juga rakan mereka. Agar sentiasa Allah hadirkan buat mereka, rakan rakan yang baik bertaqwa, mampu bawa mereka ke jalan Allah.

      Reply
  8. tak sengaja baca cerita dr rin ni.. goohle nk cr cerita fiksyen shasha yg lepas2.. tiba tertarik dgn cerita salah satu cerita yg rin buat. lepas tu bc lagi cerita2 rin yg lain.. memg best.. tp masa bc tu memg terkena tempias keseraman.. mcm kena ganggu ‘benda’ tu tp xlah teruk sangat. penah bc komen yg lain juga penah alami seperti saya. btw cerita rin memg best.. karang lah lagi cerita..

    Reply
  9. Wah… terbaek gilaaa….. (y) banyak pengajaran bleh dpt.. aku baru baca ja pastu daysat sgt terpaksa aku godek2 smua siri dr si rin.. tengkiu sudi share story.. pastu jadi apa la? Jd kahwin x dgn maya tu? Nnt klu ada sambungan share2 la lg..

    Reply
  10. Spe bole explain. Bukan ke yg bakar rumah tu bapak fahmi? Yg racun kwn2 rin bapak fahmi? Maya ad adik ke x? Kalau x sape plak maya jr yg b***h nabilah tu? Serius pening.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.