Karya oleh : Mehmet U’mar AbdulAziz
Disunting Oleh : Defend&Dee Edot @ Arkib Angker Negara
Syif malam pada minggu pertama bakal bermula. Entah kenapa, hati Niza mulai diserang gundah gulana. Perasaan tidak tenteram ini mula dirasainya sejak dia mula bertugas di Hospital Pakar yang terletak di sebuah daerah, bahagian tengah negeri jelapang padi.
Sejak dia mula menjejakkan kakinya di hospital baru ini, dia merasakan seperti dirinya sering sahaja diperhatikan. Rasa takut mula bertandang. Paranoid? Entahlah. Tetapi, kesan trauma dari peristiwa yang pernah menimpa dirinya 9 bulan lalu ketika bertugas di hospital di Ipoh kembali menjengah. Dia tidak betah.
Niza ditempatkan di wad 4 khusus untuk pesakit kanak kanak. Dia bertugas bersama rakan-rakan sejawatnya seramai 3 orang. Mereka ialah Puan Ain,Cik Liza dan Cik Ayu . Mereka berempat berada dibawah seliaan Ketua Jururawat, iaitu Puan Dyana atau lebih mesra disapa Kak Dee .
Bagi Niza, rakan-rakan baharunya ini begitu mudah didekati ,mesra dan juga sangat memahami. Mereka tidak lokek ilmu malah tidak jemu memberi tunjuk ajar kepadanya. Walhal, dia sudah punya sedikit pengalaman sebelum ini, namun dia masih diterapkan ilmu untuk menangani suasana serta mengawal emosi ketika menghadapi karenah pesakit serta perihal waris pesakit.
Cuti 2 hari selepas selesai syif pagi, dimanfaatkan Niza untuk mengemas sepenuhnya baki barang-barang pindahan dari rumah lama. Sedang ralit Niza mengangkat sebuah kotak ke ruang tamu, tidak semena-mena jatuh melayang sesuatu dari timbunan barang diatas kotak ke atas lantai.
Kotak ditangan diletakkan ke bawah. Diamatinya perlahan. Dia mencapai sesuatu yang terjatuh sebentar tadi. Ya, ia sekeping gambar seorang lelaki yang sangat dikenalinya.
Malah, Niza pernah mencintai lelaki tersebut. Kepingan gambar itu direnung kejap lalu diterbalikkan untuk melihat sesuatu dibelakangnya. Ayat dari tulisan tangan si dia masih kekal dakwatnya. Bait-bait kata itu dibaca sekilas…
“Abang akan sentiasa bersama sayang walaupun dimana pun sayang berada…”
Fikiran Niza mula terganggu. Tanpa dipaksa, kotak memorinya dicuit lamunan memori 3 bulan lalu….
Cafe Hotel di Bandaraya Ipoh, Perak.
Suasana di Restoran mewah yang terletak di lobi hotel begitu damai dan menenangkan. Kelihatan beberapa pasangan lain sedang ralit melayan bual. Sesekali terdengar halus suara mereka tertawa sopan.
Meja makan yang dihiasi lilin dan jambakan bunga, menaikkan lagi suasana romantik. Menambah hangatnya gelora cinta. Hafiz merenungku dengan matanya yang redup. Ini adalah saatnya. Aku perlu bersuara…
“Abang. Sayang tahu abang sayangkan sayang. Perasaan sayang terhadap abang pun sama, cuma…ermmm…”
Kata-kata Niza yang terhenti menggamit rasa ingin tahu di hati Hafiz. Dia mula berteka teki lantas diajukan pertanyaan.
“Ermm..Cuma apa sayang? Kenapa? Ada sesuatu yang mahu sayang katakan?”
“Abang. Sebenarnya, sayang mahu hubungan kita jadi lebih serius. Bila abang nak masuk meminang?”
“Ermm…..” Hafiz sedikit mengeluh.
“Abang, umur sayang makin meningkat. Dah masuk 27 tahun. Abang tahukan sayang lebih tua 5 tahun dari abang. Sayang tak nak jadi andartu. Sayang tak nak tunggu lama lagi. Lagipun maka ayah sayang dah banyak kali tanya hal kita.”
“Sayang. Kita kan dah bincang hal ni. Macam yang abang pernah cakap, abang akan cuba bahagiakan sayang dengan apa cara sekali pun. Cuma buat masa sekarang ni abang belum mampu.”
“Maksud abang?”
“Duit simpanan abang masih belum cukup. Abang tengah kerja keras sekarang ni. Insyaallah, lagi 2 atau 3 bulan lagi abang akan masuk meminang sayang.”
“Hurmmm…”
Niza mengeluh halus. Sebu hatinya untuk membalas. Bukannya apa, jawapan yang diberi Hafiz begitu klise. Itu sahajalah yang diulang-ulang sedari dulu. Sama. Tiada perubahan. Niza merasakan dirinya tidak ubah seperti perigi mencari timba. Cukup!
Diam Niza merisaukan Hafiz. Merajukkah dia? Monolog Hafiz dalam hati.
“Sayang marah abang ke?”
“Tak. Ermmm, jom balik. Dah lewat. Sayang letih, nak rehat.”
Hafiz melirik jam di pergelangan tangan. Masih awal lagi, baru jam 9 malam. Arghh, memang sah Niza merajuk. Ingin sahaja dia bertanya kenapa Niza terburu-terburu hendak pulang.
Suasana senyap tanpa bicara ketika perjalanan pulang. Hanya alunan lagu dari radio, memecah kesunyian. Aduh, tak boleh jadi ni. Susah hantinya jika Niza terus-terusan diam.
“Sayang okay ke?”
Diam. Kaku. Niza langsung tidak menjawab pertanyaan Hafiz. Dia membuang pandang ke tingkap sebelah kiri. Suasana pekat malam di luar sana lebih menggamit jiwanya ketika itu.
Hatinya bungkam. Masakan Hafiz tidak faham? Perlukah dia bertanya samada aku okay atau tidak? Jujur, saat ini dia sendiri tidak tahu apakah penghujunh bahi kisah cinta mereka.
Tiba-tiba..
“ALLAHUAKHBAR!!!” Jeritan Hafiz melaungkan takbir, mengejutkan lamunan Niza.
“Ya Allah, Kenapa ni bang?”
“Sayang. Jangan tengok depan! Baca Ayat Qursi. Jangan berhenti. Pejam mata! Jangan buka selagi anang tak suruh. Cepat!!”
Tanpa membantah, Niza mengangguk. Suruhan Hafiz diturutkan sahaja.
Jelas di pendengaran, Niza menangkap suara Hafiz yang sedang galak mengalunkan ayat-ayat Kalamullah. Maka, lebih ketat lagi kelopak matanya dipejam. Entah kenapa, bulu romanya ikut merinding.
Setelah beberapa ketika melepasi kawasan Jirat Cina, Hafiz mengarahkan Niza untuk membuka matanya.
“Ehh. Abang ni dah kenapa sampai berpeluh-peluh ni? Abang nampak apa tadi?” – tanya Niza.
“Jangan cakap hal ni sekarang. Tunggu abang sampai rumah, nanti kita whatsapp.”
Niza mengangguk faham. Dia yakin, Hafiz pasti nampak sesuatu! Lantas, Hafiz memasang cd bacaan Al-Quran. Mereka berdua, diam.
Jam 10.45 malam. Mereka tiba di rumah Niza.
“Abang boleh drive balik tak ni?”- Soal Niza.
Hafiz mengangguk perlahan. Dia menghadiahkan sebaris senyuman buat Niza.
“Abang balik dulu ya sayang. Tunggu abang whatsapp.”
“Baik lah bang. Hati-hati ya.”
Niza menghantar pemergian Hafiz dengan lambaian. Beberapa saat berlalu, kereta Hafiz hilang dari pandangan. Spontan, Niza mengusap dadanya perlahan.
“Arghh… Kenapa aku rasa berat hati ya?”
Ehh, kenapa ramai sangat orang dekat rumah Hafiz? Dari jauh, aku menangkap kelibat ibu Hafiz. Lantas, aku mendekatinya.
“Makcik, kenapa ramai-ramai tetamu ni? Makcik ada buat kenduri ke? Kenapa Hafiz tak beritahu saya ?”
Ibu Hafiz tidak membalas jawab. Hanya renungan diberikan. Matanya sayu berkaca.
“Dingg..dinggg…dinggg”
Niza tersedar dari lena. Dia melirik jam di dinding. Tepat pukul 12. Allah. Aku terlena. Sempat lagi aku bermimpi Ibu Hafiz. Pelik! Lantas, Niza mencapai telefon bimbitnya. Dia terpempan!
“Allah. Banyaknya missed call Hafiz. Kenapalah aku tak sedar!”
“Tingg!!”
Nada notifikasi dari aplikasi WhatsApp menandakan ada mesej yang masuk.
“Ehh, nombor siapa pula ni?”
Kotak konversasi dibuka.
“Hahahaha puas hati aku! Kalau aku tak dapat kau, orang lain pun tak boleh dapat kau!!”
Nah, usai Niza membaca isi kandungan mesej tersebut dia lantas mengurut dadanya. Dia tertanya-tanya, siapa yang hantar mesej ni? Apa maksud kata-katanya?
“Tingg”
Sekali lagi, nada notifikasi berbunyi. Niza mulai gusar. Nombor yang sama! Dalam takut-takut, Niza tetap membuka kotak konversasi.
“Kau mimpi kan tadi? Ibu Hafiz tak beritahu itu kenduri apa? Hahahhaahahha. Takkan kau tak boleh agak itu kenduri apa? Mungkin ada yang mampus barangkali? Hahahahhaha!! Ini padah yang harus kau terima Niza! Kau tolak cinta aku demi jantan keparat tu. Sekarang, kau terimalah habuannya. Kematian dia! Hahahahhah!”
Allah!! Telefon bimbit dalam genggamannya terlepas jatuh ke lantai. Niza semakin resah. Tidak sedar, dia mulai menggigil. Renek peluh mula terbit didahinya.
“Aku bermimpi ke?”
Pantas, Niza menampar-nampar pipi mulusnya. Arghh. Terasa sedikit perit. Dia seakan tersedar. Ternyata, ini bukan mimpi. Ini bukan mimpi! Kenapa dengan Hafiz? Arghhh, tak mungkin!
Soalnya, siapa yang hantar mesej ni!? Adakah……
2 minggu sebelum pertemuan aku dan Hafiz di Restoran Hotel.
Hospital Ipoh
“Misi boleh saya tumpang tanya. Tandas kat mana?” Tanya pemuda itu.
“Ohhh. Encik jalan terus dan belok ke kiri dah boleh nampak.”
“Terima kasih Niza!”
“Ehhh. Awak ni bukan ke….. Haaa, Adam! Awak Adam kan?”
Pemuda itu senyum, lantas mengangguk mengiyakan tekaanku.
“Awak masih ingat saya? Tak sangka.. Saya ingatkan, saya saja yang….”
“Yang apa Adam?”
“Takda apalah. Ehh, tahniah awak!”
“Tahniah? Untuk apa?”
“Jururawat. Cita-cita awak dari dulu kan nak jadi jururawat. Saya tumpang gembira sebab hajat awak tercapai.”
“Ehh, seriuslah? Awak ingat lagi ya! Tak sangka. Thanks Adam.”
Aku senyum. Adam juga turut senyum.
“Adam, saya minta maaf ya. Saya tengah kerja ni. Awak bagi jelah nombor telefon awak, nanti saya WhatsApp”
Adam cuma senyum mengejek. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya seraya berkata.
“Tak apalah Niza. Tak perlu. Saya yakin, lepas ni kita pasti akan berjumpa lagi. Dah, awak pergi la buat kerja dulu ya, saya ada urusan. ”
“Erkkk. Adam! Awak masih marahkan saya ke?”
“Bye Niza!”
Aku diam. Marah ke dia pada aku? Tapi kisah tu dah lama berlalu. 10 tahun. Tak mungkin dia masih ingat lagi? Arghhh. Mungkin aku saja yang berprasangka bukan-bukan. Biarlah.
Niza menyambung pekerjaannya yang terganggu dek kerana sapaan Adam sebentar tadi. Tiba-tiba….
“Tingg..”
Nada notifikasi dari aplikasi WhatsApp. Nombor yang tidak dikenali?
“Saya bangga awak dapat menyarung seragam jururawat. Awak nampak cantik dalam sut putih.”
Ehh.Siapa ni? Takkan Adam?
“Tinggg!”
“10 tahun berlalu. Saya masih berpegang pada janji. Saya harap awak pun begitu.”
Adam!!
“Awak, awak doakan saya ya. Kalau saya berjaya capai cita-cita saya jadi jururawat satu hari nanti, saya janji saya akan jadi suri hati awak. Saya akan terima cinta awak.” – Awak masih ingat kata-kata awak Niza? Janji awak pada saya dulu. Sehingga ke hari ini, saya masih setia menuntut janji ini ditunaikan. ”
Niza terpempan. Rasa debar mula bertandang. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Mencari-cari kelibat Adam. Mungkin sahaja dia masih disini.
Adam menuntut janji? Arghh. Mana mungkin. Itu cerita lama. Aku juga masih terlalu muda ketika itu. Hafiz! Ya, sekarang aku sudah ada Hafiz. Tak mungkin aku boleh menerima Adam. Titik!
Tapi, macam mana Adam boleh ada nombor aku? Pelik. Aku baru je tukar nombor baru. Kalaulah telefon aku tak hilang. Banyak nombor kawan-kawan aku lesap. Celaka orang yang curi telefon aku tu.
Tapi Adam? Arghhh… abaikan jelah dia.
“Tingg!!”
Telefon bimbit yang terdampar di atas lantai dipandang kejap. Dia buntu. Hatinya resah. Memikirkan siapa bedebah yang sedang permainkan dia dengan mesej-mesej yang berbaur ugutan itu. Namun, jiwanya turut resah memgenangkan Hafiz. Pantas, telefonnya diambil. Ada mesej baru yang masuk!
“Kau mungkir janji! Kau permainkan aku! kau takkan tenang! Kau tunggulah padahnya.”
“Siapa kau??” Aku membalasnya.
“Janji kau 10 tahun dulu Niza! ”
“Adam?”
“Hahahhaha!!!”
Niza tidak senang duduk. Tangannya menggeletar. Kini dia tahu, mesej itu datangnya dari Adam. Terus mengingatkan dia pada Hafiz. Dengan pantas, dia mendail nombor Hafiz!
Tuutt..tutt..tuutt..tuutt.
Tuutt..tutt..tuutt..tuutt.
Klik. Talian bersambung. Aku sedikit lega.
“Hello. Abang kat mana? Abang tak apa-apa ke?”
“Hello!”
Aku mengerut dahi. Ini bukan suara Hafiz!
“Siapa ni?”
“Maaf. Cik ni ahli keluarga Encik Hafiz Bin Latif ke?”
“Bukan. Saya bakal tunang dia. Awak ni siapa? Kenapa awak yang jawab panggilan saya. Mana Hafiz?”
“Saya ASP Mehmet Khan bercakap. Nama Cik siapa?”
“Sa..sa..ya Niza.” – Gagap aku.
“Memandangkan Cik bakal tunang kepada Encik Hafiz dan kami belum lagi dapat menghubungi keluarga beliau, jadi saya akan maklumkan sahaja pada Cik. Sebenarnya Encik Hafiz terlibat dalam satu kemalangan sebentar tadi. Mohon Cik Niza hadir ke Hospital Ipoh untuk pengecaman mayat.”
“Mayat? Apa maksud Encik?”
“Dukacita saya maklumkan, bahawa Encik Hafiz telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian. Diharap Cik Niza dapat bersabar. Saya akan tunggu kehadiran Cik di Hospital Ipoh.”
“Allah!! Tak mungkin! Tak mungkin Abang Hafiz dah takda! Abang! Abang!!!!”
Tukk!
Tukkkk!!
Tukkkkkkk!!!
“Niza! Hang pasai apa duk jerit-jerit ni oi. Hang okay ka dak? ” – Nila, rakan serumahnya bertanya dari luar pintu bilik. Tangannya masih kekal mengetuk daun pintu tanpa henti.
“Niza bukak pintu ni, hang kenapa? Awat duk jerit-jerit nama pakwe hang tu? ” – Kali ini Hajah pula yang bersuara.
Dalam tangisan yang menggugu, Niza gagahkan dirinya untuk bangkit . Dengan langkah yang longlai, Niza mendekati daun pintu. Tombol dipulas perlahan. Wajahnya yang sugul terjengul di muka pintu. Tanpa dapat ditahan-tahan, Niza mengongoi teresak-esak.
“Ya Allah babe! Awat dengan hang ni?” – Hajah memaut dan mengusap lembut kedua belah lengan Niza.
“Niza , bagitau kami pelan-pelan apa dah jadi sebenarnya. Jangan buat kami risau.” Nila mendekati Niza. Dia mengusap-usap belakang tubuh Niza. Cuba menenangkan sahabatnya itu.
“Tadi aku call Hafiz. Yang jawab panggilan aku bukan Hafiz tapi anggota polis. Dia bagitau Hafiz dah takda. Hafiz dah meninggal! Dia accident! Sekarang dia ada kat Hospital Ipoh.”
“Allahhuakbar. Innalillahiwainnailaihirojiun. Sabaq Niza.” Mereka berpelukan. Terbit rasa simpati yang menggunung dihati Nila dan Hajah buat Niza.
“Jom, kita pi Hospital. Kami teman kau ya.”
Niza yang masih tersedu – sedan menahan tangisan, mengangguk setuju.
Dalam perjalanan mereka ke Hospital Ipoh.
“Sabar la Niza. Hang istighfar banyak-banyak. Sedekahkan Al-Fatihah untuk Hafiz ya. Maaf, aku tak boleh nak potong dah ni. Tak tau kenapa jalan jem teruk pulak malam ni. Sabar ye Niza” – Hajah cuba memujuk sahabatnya. Manakala, Nila tidak lekang dari terus menggenggam tangan Niza.
Niza yang sedang melayan kesedihannya, merenung cermin dihadapannya. Tiba-tiba, bundar matanya melihatkan sesuatu!
“Hajah. Berhentiiii!!! ”
“Awat Niza?” – Soal Hajah dan Nila serentak.
“Itu kat depan tu! Kereta Hafiz! Kereta Hafiz! Nila, buka pintu. Aku nak turun!”
Sungguh, jeritan Niza membuatkan kedua-dua sahabatnya terpempan. Masing-masing terjenguk-jenguk memerhatikan kereta yang remuk akibat kemalangan di hadapan. Betul ke kereta Hafiz?
Hajah memberi signal ke kiri lantas berhenti di bahu jalan. Niza, terkocoh-kocoh menarik punat di pintu. Dia meloloskan diri – berlari laju ke arah tempat kemalangan. Hajah dan Nila, turut mempercepatkan langkah mereka mengejar Niza.
Dalam keadaan kelam kabut, Niza cuba memasuki tempat kemalangan dimana ia adalah tempat larangan bagi orang awam. Keberadaannya disitu menggamit perhatian seorang anggota polis yang bertugas.
“Maaf Cik. Cik tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan ini. Ini kawasan larangan. Sila beredar.”
“Encik, izinkan saya masuk. Mangsa adalah kekasih saya! Tolong saya Encik. Saya merayu.” encik tolong lah biarkan saya tengok dia encik tolong lah”.
“Maaf. Cik memang tak boleh masuk. Ini kawasan kemalangan. Pihak bomba sedang giat mengeluarkan mangsa. Jika benar, Cik ada hubungan dengan mangsa sila beri kerjasama.”
“Encik, tolonglah…. Saya nak tengok dia.”
“Tak boleh Cik. ”
“Ada apa ni konstabel?” Pertanyaan seorang lelaki yang tiba-tiba mendekati.
“Tuan. Cik ini mengatakan bahawa mangsa kemalangan adalah kekasih beliau. Dia mohon untuk masuk, tetapi saya tak benarkan.”
“Tak mengapa. Biar saya uruskan.”
“Baik Tuan.” Anggota polis berpangkat Konstabel itu berlalu pergi.
“Kamu ni Niza ke??”
“Ya.. Saya Niza. Err…macam mana Encik tahu?”
“Saya ASP Mehmet Khan. Saya yang menjawab panggilan kamu dari telefon mangsa. Begini, sudah saya beritahu Cik awal tadi untuk terus sahaja ke hospital bukan?”
“Ya. Tapi…”
“Cik, buat masa ni biarkan anggota bomba melakukan tugas mereka terlebih dahulu. Mayat mangsa akan kami bawa ke Hospital Ipoh. Cik tunggu saja di sana ya. Saya berharap agar Cok Niza banyakkan bersabar.” Ujar ASP Mehmet Khan.
Dalam perasaan hiba yang memberat hati, Niza terpaksa akur. Namun, dia tidak dapat membendung kesedihan yang melanda. Jiwanya rapuh. Dia merasakan seolah-olah semua ini bagaikan mimpi.Dia terusan menangis disitu. Bahunya terhinggut-hinggut.
Dalam tidak semena-mena…
“Nizaa…seronok rasa kehilangan?”
Niza pempan. Suara itu terlalu dekat, jelas di pendengarannya. Dia menoleh kiri dan kanan mencari-cari empunya suara.
“Kau rasakan apa yang aku rasa Niza… hahahah!”
“Celaka! Siapa kau ha? Pergi!!! Jangan ganggu aku!!”
Jeritan Niza menggamit perhatian mereka yang berada disitu. Hajah dan Nila berlari mendapatkan Niza yang bagikan kesurupan.
“Hahahahaha…Itu lah balasan buat orang yang memungkiri janji!!”
“Pergiiiii!!!!!” Niza menjerit sambil menekup ke dua belah telinganya.
“Niza, sabar. Jangan macam ni.” – Hajah
“Arghhhhhh!!!!” Niza menjerit sebelum dia rebah.
Niza membuka kelopak matanya. Dia memegang kepalanya yang terasa sakit. Memandang sekeliling. Gelap dan kosong. Mencari-cari kelibat Hajah dan Nila. Tiada.
“Aku kat mana ni? Mana pergi semua orang?”
“Hajah!!”
“Nila!!”
Niza kaget. Tempat itu terlalu asing baginya. Sunyi. Dia membundarkan mata, memandang sekeliling. Ralit. Dan tiba-tiba, matanya seperti menangkap satu sosok tubuh yang berdiri tidak jauh darinya. Sosok itu berjalan perlahan, menuju ke arahnya.
“Siapa tu?”
“Hajah kah tu? Nila ke?”
Diam, tiada jawapan. Namun, sosok itu semakin hampir mendekat. Dan wajahnya, makin jelas. Niza terkesima. Dia seakan tidak percaya apa yang terlihat dihadapannya.
“Abang?”
“Abang tak apa-apa ke?”
“Tadi Niza nampak abang kemalangan.”
“Abang. Kenapa diam? Jawablah Niza bang.”
Hanya pandangan sayu yang terzahir dari pemilik wajah dihadapan Niza. Tidak bersuara apatah lagi mahu membalas segala pertanyaannya.
Tidak lama selepas itu. Sosok Hafiz makin menghilang ibarat kabus ditiup angin. Niza termengkelan. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang terzahir di hafapan matanya.
“Abang!! Jangan tinggal sayang bang!”
“Abang!!!”
“Jangan tinggal Niza bang. Niza tak mahu kehilangan abang!”
Hilang. Tubuh Hafiz hilang sekelip mata. Niza meraung, memanggil-manggil kekasih hatinya. Dia terjelopok, jatuh ke atas tanah tempat dia berdiri.
“Niza! Niza!! Awak dengar saya tak?”.
Dalam kelam, bagai terdengar namanya dipqnggil berkali-kali. Berat kepalanya. Terpisat-pisat, dia membuka kelopak mata.
Dia memerhati sekeliling. Wajah seorang lelaki yang tidak dikenalinya berada di sisi. Mata Niza tertancap pada tag nama yang terpasang kemas di dada baju lelaki itu. Dr. Freddy? Aku di hospitalkah?
“Kenapa dengan saya doktor?”
“Mana kawan saya Hajah? Nila?”
“Doktor. Mana Abang Hafiz? Panggilkan dia doktor! Tadi dia ada datang jumpa saya.”
“Cik Niza. Saya rasa awak patut berehat dahulu. Jangan bebankan otak awak memikirkan hal-hal lain. Diri awak sendiri wajib awak ambil tahu terlebih dahulu.”
“Tapi doktor…”
“Awak rehat dulu. Nanti saya akan datang lawat awak lagi. Ohh, kawan-kawan awak ada diluar. Nanti, akan saya maklumkan pada mereka yang awak sudah sedar. Saya pergi dulu. Rehat ya.”
Niza mengangguk lemah. Patuh dalam keterpaksaan. Tubir matanya kembali berat. Panas dek airmata yang mula terbit.
Keesokan hari, jam 9.00 pagi.
“Makcik, jenazah akan dikebumikan hari ini kan? Kalau di izinkan boleh tak kita tunggu Niza.”
“Insyaallah Hajah. Cuma, kalau terlalu lama makcik rasa tak boleh. Tak elok melambat-lambatkan pengebumian. Kasihan arwah.”
Perbualan dari pemilik-pemilik suara itu, menyinggah di telinga Niza. Spontan, dia membuka kelopak matanya perlahan.
“Makcik…Niza minta maaf.”
Dalam suara terketar-ketar, matanya berkaca. Menyedari di hadapannya adalah ibu kepada Hafiz, Nila dan juga Hajah.
Malah, berdiri di sebelah kirinya adalah mama dan abahnya sendiri.
“Alhamdulillah. Adik dah sedar. Risau mama tengok adik macam ni. Adik kena kuat. Adik kena redha dengan ketentuan illahi.” Pujuk mamanya.
“Betul kata mama kamu Niza. Kita sama-sama kena redha. Allah lebih menyayangi Hafiz. Insyaallah, selepas zuhur nanti arwah akan dikebumikan.” Tenang wajah Ibu Hafiz. Walhal, dia kehilangan anak lelakinya. Kental sungguh hati ibu ini.
hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
wow
#cumel
bertabahla niza…jahat btol adam
Erm. … niza
SEDIHNYA..
Mehmet Umar,thanks a lot for the post.Really thank you! Much obliged.
kalau saya nii,memang dah lama saya cerita terus dekat mak and mak kekasih.tetntang benda benda pelik yg jadi tu