Karya oleh : Mehmet U’mar AbdulAziz
Disunting Oleh : Defend&Dee Edot @ Arkib Angker Negara
Tubuh Niza diraih dalam pelukan. Tidak mampu ditahan, manik-manik jernih jatuh berguguran di pipi Ibu Hafiz. Sungguh hatinya sebak mengenangkan arwah anaknya, Hafiz dan juga kasihan melihatkan keadaan Niza.
Seperti yang telah ditetapkan Pecipta Yang Maha Agong, bila dan dimanakah ajal hambanya. Begitu lah juga takdir yang telah tercipta buat pemuda bernama Hafiz.
Petang itu sesudah Zuhur, upacara pengebumian dilakukan. Bacaan talkin dari Ustaz Maliki membuatkan para jiwa-jiwa yang masih mempunyai roh, bergetar serta mengalirkan air mata keinsafan.
“Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam.
Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan m**i dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.
Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.
Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa.
Melainkan zat Allah Taala, Dialah Tuhan yang Maha Besar berkuasa menghukum manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadhrat Allah Taala.
Wahai Hafiz Bin Siti Izzati(ibu kepada Hafiz). Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.
Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri akhirat, kamu telah mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.
Ingatlah wahai Hafiz Bin Siti Izzati. Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nangkir, maka janganlah berasa gentar dan takut.
janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.
Ketahuilah wahai Hafiz Bin Siti Izzati, bahawasanya Mungkar dan Nangkir itu hamba Allah Taala.
Sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.
Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak, dan janganlah bergopoh-gapah.
Biarlah tenang dan berhati-hati, hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku,
Malahan solat lima waktu,
Puasa di bulan Ramadhan,
Mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku,
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
Bahkan dari masa hidup hingga aku m**i.
Aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah”.
Wahai Hafiz Bin Siti Izzati tetapkanlah hatimu, Inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.
Insaflah wahai Hafiz Bin Siti Izzati. Bahawasanya m**i ini adalah benar. Soalan malaikat Mungkar dan Nangkir di dalam kubur ini adalah benar. Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar. Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar.
Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar. Minum di kolam air nabi adalah benar. Ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.
Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah, dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu.
Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini.
Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.
Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.
Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalin walhamdulillahi rabbil alamin.
Setiap yang bernafas, pasti akan m**i – Kullu nafsin za iqatul maut”
Alhamdulillah, semuanya selesai dengan izin Allah swt.
“Selamat tinggal Hafiz” – Niza.
==================================
Rumah Sewa.
“Niza, gambar siapa tu? Ehhh, kenapa awak menangis ni Niza?”. Tersentak Niza. Teguran dari Alisha membuatkan lamunannya terhenti. Niza menyeka air matanya.
“Sebenarnya awak, ini gambar bakal tunang saya. Nama dia Hafiz. ”
“Ohhh. Korang dah berpisah ke? Mana dia sekarang?”
“Ya, kamu dah berpisah Alisha. Berpisah m**i”
“Maksud awak?”
“Dia dah meninggal awak. Terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas hantar saya pulang ke rumah malam tu.”
“Allah. Innalillahiwainnailaihirojiun. Maaf Niza. Saya tak berniat buat awak bersedih dengan pertanyaan saya.”
Hati siapa yang tidak tersentuh. Mendengarkan perkhabaran dari Niza akan kehilangan kekasihnya buat jiwa Alisha hiba.
Niza menunduk, membuang pandang.
“Bersabar la banyak-banyak Niza. Allah lebih sayangkan bakal tunang awak tu. Perbanyakan doa buat arwah ye. Semoga rohnya di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman”.
“Insyaallah. Terima kasih Alisha.”
Alisha memeluk erat tubuh Niza.
“Alisha. Awak percaya tak kalau saya katakan bahawa kematian Hafiz angkara dendam.”
“Dendam? Maksud awak?”
“Adam!”
“Adam? Siapa dia Niza? Apa kena mengena dia dengan kematian Hafiz?
“Selepas selesai upacara pengebumian Hafiz, saya ingat lagi apa yang jadi malam tu…”
==================================
Bacaan tahlil bergema dirumah keluarga Hafiz. Sungguh, suasana pilu buat ahli keluarga arwah dan juga rakan-rakanya tidak dapat dibendung. Apa tah lagi buat kekasih hati iaitu Niza.
Secara tiba-tiba…
Pup!!
Lampu kalimantang di seluruh rumah terpadam serentak. Kesemua tetamu dan ahli keluarga terpinga-pinga. Ada juga yang terjerit kerana terperanjat dengan situasi tiba-tiba itu.
Niza meraba-raba, mencari telefon bimbitnya di dalam tas tangan. Jelas kelihatan, lampu dari skrin telefon bimbitnya menyala serta bergetar tidak henti.
“Ting..ting..tingg..”
Berderu bunyi nada notifikasi memandakan ada mesej dari aplikasi Whatsapp meluru masuk.
“Siapa pula yang whatsapp aku tanpa henti ni?” Getus hati Niza.
Kotak mesej aplikasi whatsapp diketik. Terbeliak mata Niza seolah-olah melihat hantu. 10 gambar yang dikirimkan oleh pengirim, membuatkan tangan Niza spontan menggigil.
Kesedihan dan amarah bersatu. Kesemua gambar tersebut ditilik satu persatu. Setiap satunya menunjukkan setiap sudut yang berbeza, sebuah kereta terbalik di bahu jalan. Kereta Hafiz!!
Allah! Setiap gambar itu ada tubuh Hafiz yang cedera parah dan tersepit dalam kereta. Ada gambar yang diambil , sengaja diletakkan ibu jari pengirim mengisyaratkan ‘bagus’ di sebelah wajah Hafiz. Ya Allah, apa maksud dia?
“Tingg….”
“Puas hati aku! Ini lah balasannya buat sesiapa yang cuba merampas hak aku! Dan orang yang menyakiti hati aku juga layak diberi balasan! Kau!! Tunggu giliran kau pula lepas ni. Hahahaha!”
Adam?
“Mamaaaaaaa!!!!!”
Jeritan nyaring Niza di ruang tamu secara tiba-tiba, membuatkan suasana menjadi kelam kabut. Ada yang melatah, ada pula yang sampai lari ke luar rumah.
“Eh, dik kenapa jerit-jerit panggil mama macam ni? Ada apa?”. Perbuatan Niza ditegur oleh mamanya penuh hairan.
“Mama..tengok ni ada orang gila hantar gambar Hafiz kemalangan”.
Dihulurnya telefon bimbit ke tangan mamanya. Mamanya menyambut, menilik paparan skrin yang ditunjuk Niza.
“Ermm. Tak ada apa-apa pun dik? Mana gambarnya?”.
Niza pelik. Diambil kembali telefon bimbit miliknya dari tangan mama. Paparan skrin disentuh. Sekejap kebawah. Kembali ke atas. Dahinya berkerut. Tiada? Gambar dan mesej itu tiada!
Niza termangu. Mustahil boleh hilang sekelip mata. Dia yakin benar dengan apa yang dilihat matanya sebentar tadi.
“Tak ada kan? Dik, semua itu hanya mainan perasaan kamu je. Jangan ikutkan hati.” Mama Niza sepenuh hati menyakinkan anaknya itu.
“Izzati, biar anak kamu berehat dulu. Mari aku bawak Niza masuk ke bilik aku sementara tunggu letrik ada semula.” Ibu arwah Hafiz memberi cadang.
Di dalam bilik…
“Niza, kamu rehat dulu ya.” – Ibu arwah Hafiz.
“Dik, nanti kalau abah ajak balik mama panggil kamu ya. Dah, jangan fikir apa-pa pun. Rehat je.”
Niza angguk.
Niza termenung. Memikirkan semula beberapa kejadian pelik yang mengganggunya sejak beberapa hari lalu.
“Apa yang sebenarnya jadi kat aku ni? Bisikan, WhatsApp dan gambar tu apa makna semuanya? Tapi kenapa boleh hilang pulak. Peliknyalah!”
Tak habis fikir, Niza bercelaru.
11.00 malam..
Alhamdulillah majlis bacaan tahlil dapat dilaksanakan walaupun diadakan dalam keadaan gelap, ditemani dengan cahaya lilin. Syukur juga, elektrik kembali ada saat sejam kemudian.
“Niza. Bangun sayang, abah kamu ajak balik dah ni. Nanti lewat sampai kerumah pula.” Mamai. Terkebil-kebil mata Niza saat dikejutkan oleh mamanya.
Setelah berpamitan, Niza dan kedua orang tuanya beredar. Meninggalkan rumah keluarga arwah Hafiz. Sebak dan hiba mula bertandang. Kereta yang dipandu abah, meninggalkan perkarangan rumah.
Dalam perjalanan pulang. Sedang asyik Niza memandang ke luar tingkap, secara tiba-tiba…..
Bum!!!!!
Ada sesuatu bagaikan terjatuh dan menhempap bumbung kereta. Jelas bunyinya.
“Abah, bunyi apa tu!” Tanya Niza.
“Niza, jangan tegur apa-apa. Baca ayat kursi dan ayat 9 Surah Yassin.” Pesan Abah Niza.
Bibir Mama dan Abah Niza terkumat kamit membaca surah-surah lazim, berzikir sambil memohon agar perjalanan mereka dilindungi Allah.
Entah kenapa Niza bagaikan terawang-awang. Satu surah pun tidak dapat dibaca sempurna. Dia cuba, tetapi pembacaannya tersekat-sekat, terganggu. Telinganya berdesing.
Tiba-tiba, Niza mendapat bisikan.
“Niza, aku tak akan pernah melupakan janji yang pernah kau lafazkan. Aku akan terus bersama walau di mana pun kau berada.”
Niza menekap kedua belah telinganya, rapat. Kemudian, dia tidak sedarkan diri….
“Awak pengsan Niza?”
“Ya Alisha. Saya pengsan. Dan dalam tidak sedar itulah saya mendapat mimpi.”
“Mimpi? Awak mimpi apa Niza?”
“Macam ni mimpinya….”
Di hadapan rumah.
“Abang, kenapa muka tu pucat? Abang okay ke tak ni? Abang boleh ke tak nak drive ni?”- Soal Niza.
Hafiz cuma mengangguk. Dia menghadiahkan senyuman buat Niza.
“Sayang jangan risau, Abang okaylah. Abang balik dulu ya sayang. Fah sampai rumah nanti abang WhatsApp ya.”
“Baik lah bang”.
Di dalam kereta, saat Hafiz memandu pulang ke rumahnya.
“Aduhh. Kenapa aku rasa tak sedap hati je ni?.”
Hafiz melirik. Jam yang bertempat di dashboard kereta tertera tepat jam 12 tengah malam. Dia menelan liur. Kegusaran menyinggah di hati tanpa diketahui asbabnya.
Dia meneruskan jua perjalanan. Sedang leka dia memandu, matanya tersorot memandang sesuatu di bahu jalan. Ini bukan lembu ni, tapi macam orang! Monolognya dalam hati.
“Eh. Siapa pulalah yang berjalan kaki sorang-sorang tengah malam buta ni?.”
Dengan limpahan cahaya lampu kereta miliknya, pandangan Hafiz sedikit jelas. Orang yang dia nampak itu berfizikalkan seorang lelaki.
Lelaki yang dia nampak itu tiba-tiba menoleh, seraya melambai-lambai tangan mohon ditumpangkan.
“Arghh. Tak kuasa la aku nak berhenti tumpangkan orang tengah-tengah malam buta ni. Silap-silap haribulan, penyangak. Naya je.”
Hafiz hanya meneruskan sahaja pemanduannya hingga dia betul-betul melepasi keberadaan lelaki itu.
Lelaki itu memandang Hafiz tepat. Dia tersenyum, mengejek. Pelik! Ke, dia ni gila?
“Aikk, sempat lagi mamat ni senyum?”
Arghh. Lantaklah. Hafiz , meneruskan pemanduannya. Dalam tidak semena-mena…
“Seronok ya kau setan ambil hak aku?”.
Hafiz tersentap! Bulu tengkuknya meremang teruk. Bisikan itu sangat jelas. Dan, suara bisikan itu meninggi seperti marah padanya! Dia mencuri lihat cermin pandang belakang. Hasilnya, memang tiada kelibat sesiapa di belakangnya.
“Arghh biar betul aku ni? Entah-entah, aku silap dengar tak?”
Jujur. Hafiz sebenarnya sedikit gentar. Cuma dia berbahasa basi, memujuk hati.
“Arghh, baik aku call Niza buat teman aku memandu.”
Hafiz, mencapai telefon bimbitnya. Pendengar telinga disambungkan ke soket bahagian atas telefon bimbitnya. Nombor Niza dari log dail pantas sedia ada, ditekan.
“Bip…bipbip…bip..bipbip”
Tak jawab? Hafiz cuba lagi. Beberapa kali. Tetap tidak berjawab.
“Ehh. Takkan dah tidur?”
Malas mahu mendail lagi, Hafiz meneruskan perjalannya. Ralit dia memandu, tiba-tiba dia mendengar ketukan dari cermin tingkap di sebelahnya.
Terkejut. Lalu, Hafiz menoleh.
“Allahhuakbarr!!!.”
Hafiz melaung takbir. Lelaki yang mahu menumpangnya awal tadi yang mengetuk. Hafiz kaget. Mana mungkin! Akibat terperanjat, Hafiz hilang pertimbangan. Stering kereta tidak dikawal dengan baik lalu pemanduannya hilang kawalan.
Keretanya terbabas lalau merempuh pembahu jalan. Kereta Hafiz terbalik dan berpusing beberapa kali sebelum terhumban di dalam longkang. Itu adalah detik terakhir sebelum Hafz bergelar mayat.
==================================
“Saya nampak dengan jelas. Wajah lelaki yang mengetuk cermin tingkap kereta Hafiz adalah wajah Adam.”
“Allah. Biar betul Niza?”
“Macam tak masuk akal kan? Tapi sumpah Alisha, saya kenal sangat dengan wajah tu.”
“Entahlah. Saya pun tak tahu nak kata apa. Mimpi kan? Boleh jadi mainan syaitan. Sudahlah Niza. Awak jangan bersedih. Awk jangan fikirkan lagi hali ini. Awak simpan dulu kotak ni, kemudian sajalah awak kemas. Awak rehat dulu ya.” Pujuk Alisha.
“Baiklah. Saya pun rasa tak sedap badan. Saya masuk bilik nak rehat dulu ya.”
“Baiklah. Nanti malam, kita makan sama-sama ya.”
Niza senyum sebelum tubuhnya hilang masuk ke bilik. Dia menhempaskan badannya diatas katil. Beberapa ketika, matanya terpejam. Lena.
===================================
“Awak, sebenarnya saya dah lama perhatikan awak sejak dari tingkatan 4 lagi. Cuma, saya takut nak menyatakan perasaan saya pada awak.”
“Huhu. Adam, awak ingat saya tak perasan ke yang awak selalu perhatikan saya? Saya tahulah awak suka saya!”
“Habis tu kenapa awak macam layan tak layan saya je? Saya ingat awak dah ada boyfriend.”
“Taklah. Cuma saya nak fokus dalam pelajaran. Masa tu kan kita nak dekat SPM.”
“Jadi, sekarang macam mana? Kita pun dah selesai perolehi keputusan. Maknanya, awak dah boleh terima cinta saya?” Tanya Adam.
“Boleh. Tapi, awak kena tunggu saya capai cita-cita saya dulu. Kemudian, awak boleh anggap yang saya ni kekasih awak. Boleh?”
“Cita-cita? Maksud awak?”
“Saya nak sambung belajar. Saya nak jadi jururawat awak.”
“Baiklah, kalau itu kata awak. Saya setuju. Saya akan pegang janji awak dan akan setia menanti awak. Saya harap, awak tak mungkir janji.”
“Baiklah Adam, saya janji.”
“Dasar pembohong!”
“Betina penipu!!”
Niza terperanjat. Latar suasana kini berubah. Mereka bukan lagi di kawasan sekolah dimana mereka mengambil keputusan peperiksaan. Kini, merea berdua berada di tempat kejadian Hafiz kemalangan!
“Adam! Tolong selamatkan Hafiz. Dia tersepit tu! Tolonglah. Saya merayu.”
“Apa! Tolong Hafiz? Hahhaha. Kau gila? Atau kau bebal! Hafiz fah m**i Niza. Di bangsat tu dah m**i! Puas hati aku!!”
“Celaka kau Adam!! Tak guna punya jantan!!”
=================================
“Niza! Bangun. Kenapa awak terjerit-jerit ni?.”
Kelopak matanya dibuka. Tepukan tangan Alisha dibahu, menyedarkannya. Matanya memberat.
“Alisha. Saya mimpi Adam!”
“Awak mimpi Adam?”
“Ya. Kami berada di sekolah dan kemudian Adam bawa saya ke tempat kemalangan Hafiz. Tak habis-habis Adam menyatakan yang dia puas hati bila Hafiz m**i. Katanya, itu balasan saya akibat memungkiri janji.”
“Niza. Saya rasa, ada baiknya awak berjumpa perawat islam. Mungkin mereka boleh bantu awak. Saya rasa tak sedap hatilah.”
“Perawat islam?”
“Iya Niza. Saya takut, awak ni kena sihir.”
“Sihir? Alisha. Bila awak sebut pasal perawat islam, baru saya teringatan sesuatu.”
“Apa dia Niza?”
“Selepas pengebumian arwah, saya ada bertemu dengan seorang lelaki tua ni.”
“Apa katanya?”
==================================
“Assalammualaikum nak, boleh pakcik tahu siapa nama anak?”.
Langkah Niza terhenti. Wajah lelaki tua di hadapannya dipandang.
“Waalaikumusalam pakcik. Ermmm. Nama saya Aniza. Panggil Niza sahaja. Maaf, pakcik ni siapa?” Tanya Niza.
“Ohh. Nama pakcik Ariff. Maaf, pakcik tak punya niat buruk. Sebenarnya, pakcik dari awal tadi perhatikan kamu. Jadinya, pakcik tegur kamu nak.”
Niza hanya diam. Lelaki tua ini terlalu asing baginya. Mereka tidak pernah kenal. Tetapi, Niza pelik bilamana pakcik ini menyatakan bahawa dia sudah lama perhatikan aku. Kenapa?
“Nak. Beginilah. Ini nombor telefon Pakcik. Jika ada sesuatu yang kamu rasa luar biasa atau kurang enak berlaku kepada kamu, cepat-cepat hubungi pakcik ya. Insyaallah, pakcik akan cuba bantu mana yang termampu.”
Kertas kecil yang tertera 10 angka telefon bimbit bertukar tangan.
“Ermm. Pakcik, saya kurang faham maksud pakcik.”
“Beginilah nak. Pakcik rasa ada baiknya kamu balik dan berehat dahulu. Bila kamu dah bersedia, telefon pakcik. Nanti akam pakcik berikan alamat rumah pakcik. Bawalah ibu ayah anak. Disana nanti, akan pakcik ceritakan satu persatu apa yang pakcik nampak tentang kamu.”
Bingung. Namun Niza hanya mengangguk. Mereka berpamitan membawa haluan masing-masing.
===================================
“Jadi, awak dah hubungi pakcik tu ke Niza?”
“Belum Alisha. Saya tak hubungi pun dia lagi. Awak rasa saya perlu buat ke?”
“Perlu. Sebab hati saya kuat mengatakan yang pakcik tu ada sesuatu yang mahu disampaikan.”
Diam. Niza diam membisu.
“Niza, ada baiknya awak call pakcik tu cepat. Sekarang ke.”
“Ermmm. Saya rasa nanti dululah Alisha. Saya belum sedia lagi.”
“Tapi Niza…”
“Alisha.. Bagi saya masa. Semua perkara ni merunsingkan saya. Saya pun tak tahu niat sebenar pakcik tu. Saya tak kenal dia pun. Nanti-nantilah Alisha.”
“Baiklah Niza kalau itu kata awak. Saya harap awak hati-hati ya.”
==================================
Bermulanya syif malam.
Seperti biasa permulaan syif, setiap ketua jururawat akan memberikan keterangan kepada staff jururawat. Antaranya, pass over dari syif sebelumnya supaya setiap pesakit dalam wad terus diberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan.
Bagi Niza ketika ini, kata-kata dan arahan dari Kak Dee seolah-olah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Otaknya tepu. Dia langsung tidak mampu menghadam. Rasa dirinya terawang-awang.
hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
best
#cumel
ok best…niza2…adeh…kol je la pak cik tu
niza oh niza.. jgn degil kol la pak cik tuh drpada terus dihantui..
betul tuuuu
…4/5…..