Aku diperkenalkan kepada ‘FIKSYEN SHASHA’ (FS) oleh adik lelakiku. Baharu beberapa hari yang lepas. Katanya dia tahu aku pasti suka dengan FS. Sememangnya kami adik-beradik gemar melayan cerita-cerita seram dan sudah semestinya juga menonton kisah-kisah seram yang betul-betul seram, bukannya seram kelakar yang dibuat-buat.
Kisah yang bakal aku paparkan ini bukanlah berkenaan dengan pengalamanku sendiri tapi ianya pengalaman ayahku sewaktu kami adik-beradik masih lagi kecil dan masih lagi bersekolah rendah. Walaupun aku ada juga pengalaman tersendiri sewaktu kecil (menurut ayah kemungkinan sewaktu kecil ‘hijab’ku terbuka. Dah tua-tua begini semuanya tiada lagi). Sewaktu aku kecil aku boleh melihat ‘makhlus halus’ yang melintas di depan mata.
Dipendekkan cerita (takut melalut hingga ke sudah), lebih baik aku teruskan dengan cerita seram seperti yang dilalui oleh ayah dan arwah adiknya yang ku panggil Pak Cik Din. Sebelum itu aku ingin mengucapkan terima kasih kepada FS kerana sudi berkongsi ceritaku ini dengan pembaca-pembaca di luar sana. Walaupun mungkin tidaklah seseram mana kerana definisi seram itu sendiri berlainan mengikut pandangan masing-masing seseorang individu itu.
Memang aktiviti orang kampung sudah semestinya memancing, tahan pukat, menjala ikan dan sebagainya aktiviti yang bersangkutan dengan sungai. Almaklumlah peristiwa inipun berlaku lebih kurang 32 tahun yang lepas. Ketika itu aku pun masih bersekolah di dalam Darjah 2. Takkanlah pula ayah dan Pak Cik nak melayan Facebook pula kan? Tinggal di kampung, aktivitinya sudah pasti bertemankan alam semulajadi.
Sudah menjadi kegilaan ayah dan Pak Cik Din memancing di kala petang menuju ke waktu malam. Seingat aku mereka pernah bergerak ke destinasi memancing selepas maghrib. Senang cakap, mereka pergi memancing sesuka hati tanpa ada waktu-waktu khas atau tertentu. Aku tidak pasti ketika kejadian, mereka memang sudah lewat pergi memancing ataupun mereka pergi seawal petang tetapi terus sambung hingga ke malam (wallahua’lam bissawab).
Mereka sememang duo yang paling akrab sementelah pula mereka adik-beradik kandung. Berkongsi citarasa dan minat yang sama. Kedua-duanya juga boleh mengubati orang (sesiapa yang ada mengalami sakit barah (semua jenis barah), batu karang dan pelbagai sakit kronik yang lain boleh PM tepi). Siap promo pula. Ok, mari kita teruskan perjalanan cerita mereka.
Setelah masing-masing menunjukkan kehebatan masing-masing dalam arena pemancingan ikan, tanpa mereka sedar, selain tangkapan ikan yang agak memuaskan, hari juga telah larut malam (di sini anda boleh bayangkan betapa ekstremnya hobi memancing mereka hinggakan tidak sedar waktu telah bertukar dari siang ke malam). Ayah saya kemudiannya bersuara, “Din, dah lewat ni. Aku rasa baik kita baliklah”. Pak Cik Din membalas, “ Mu tunggu sat. Aku nak gi sebelah sana. Ikan aku tak banyak lagi ni.” Untuk pengetahuan pembaca, aku berasal dari kampung di Kedah yang rata-ratanya menggunakan loghat Pattani di dalam perbualan harian. Tidak terkecuali ayah dan Pak Cik aku.
Seketika kemudian, Pak Cik Din ghaib dari penglihatan ayahku. Maknanya mereka berpisah tempat memancing. Agak lama mereka berpisah, ayahku tidak sedap hati dan cuba memanggil adiknya, “Din! Din!”. “Yaaaaaa!”, sepatah sahutan Pak Cik Din dari jauh. “Jomlah balik! Hari dah nak hujan ni!”, kata ayahku. “Haaaaaa! Tunggu sat!”, Pak Cik Din menyahut. Anehnya semakin lama semakin jauh bunyi suara Pak Cik Din. Ayahku semakin tak keruan dan jauh di sudut hatinya ada sesuatu yang cuba menguji tahap keberanian dan kesabaran mereka.
Ayahku masih bertahan selama beberapa ketika hinggakan dia rasa meremang di segenap ceruk badannya. Mungkin merinding dan sebagainya. Kita sendiri boleh tahu jika suasana seram muncul berhampiran kedudukan kita. Semua orang ada deria itu. Ayahku cuba panggil lagi dan cuba menjejaki kedudukan Pak Cik Din tapi malangnya semakin dia memanggil, sahutan balasan semakin lama semakin jauh.
Ayah makin merinding dan dia dapat rasakan ada sesuatu yang cuba membawanya jauh dari lokasi asalnya. Tanpa sedar dia sudah bergerak agak jauh dari tempat asalnya memancing tadi. Nasib menyebelahi ayahku kerana dia masih boleh berfirikiran waras dan tidak terlalu mengikut suara-suara yang bersahutan tadi. Ayahku mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah. “Lagi aku panggil, lagi jauh mu jawab Din”, gerutu ayahku di dalam hati.
Dalam perjalanan pulang pun ayah terpaksa melalui jalan tanah perkuburan (rumah kami memang berdekatan dengan kawasan perkuburan). Bayangkan betapa lajunya ayahku berlari untuk sampai ke rumah arwah nenekku. Aku tak pasti berapa kilometer dan berapa lama masa perjalanan dari lokasi memancing ke rumah arwah nenek, tapi yang pastinya ayahku memang lelaki sejati dan berani. Kalau aku mahunya pengsan terus di tempat kejadian. Pembaca boleh agak apa yang berlaku sebaliknya? Tiada apa-apa yang berlaku dalam perjalanan ayah tetapi… jeng jeng jeng!
Setibanya di rumah, ayah ternampak Pak Cik Din sedang lahap menghirup kopi panas sambal mencicah biskut mayat (biskut kering) dan memandang ayahku dengan wajah tercengang. Selamba dia menegur ayahku, “laaaaa….aku ingat mu dah balik rumah. Aku panggil2 mu tak sahut! Aku balik dah lama aihhh. Hujan lebat sangat!”. “Molek sangatlah tu Din. Yang aku dok bersembang tadi bukan denganmu lah kiranya”, ayahku terus beristighfar sakan. Rupa-rupanya Pak Cik Din sudah lama balik. Rupa-rupanya juga yang bersama dia tadi cumalah jelmaan Pak Cik Din semata-mata. Cuba pembaca semua bayangkan, kalaulah ayahku terus mengikut jejak sahutan suara tadi, sampai ke manakah ‘mereka’ bawa ayahku waktu itu agaknya. Astaghfirullah hal adzhim. Nau’zubillahi min zalik. Wallahua’lam bissawab.
Kini Pak Cik Din pun sudah tiada lagi. Meninggal beberapa tahun yang lepas kerana menderita penyakit bengkak hati. Al-Fatihah buat arwah pak cik kesayanganku. Apa-apa pun, apa yang perlu kita lakukan jika menghadapi waktu-waktu berhadapan dengan makhluk halus hanyalah terus membaca ayat-ayat suci al-quran. Dan istighfar banyak-banyak. Mereka ada di mana-mana. Bagaimana cara kita menghadapi merekalah yang paling penting. Kalau mudah lemah semangat maka mudahlah mereka menakluki kita. Semoga kita semua dipelihara Allah Taala dari segala malapetaka. Aamiin. Allahumma aamiin.
Na Ghazali
02.02.17
Khamis.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Jalan cerita ok…