Mimpi Dalam Mimpi

Assalamualaikum warga FS. Pertama sekali aku nak ucapkan terima kasih kepada admin sebab post cerita aku sebelum ni yang bertajuk Hitam. Berdasarkan komen-komen yang aku dapat maka tercetuslah ilham untuk buat cerita bertajuk Mimpi Dalam Mimpi. Ada yang tanya kenapa aku tak pasang ruqyah ketika tidur, kenapa tak bagitahu parents tentang diganggu. Jawapannya adalah sebab aku tak pernah ada pengalaman diganggu jadi aku tak percaya yang makhluk halus ni akan mengganggu aku sebab aku pun tak ganggu dia.

Dan aku selalu positif berpendapat benda-benda yang terjadi tu cuma perasaan aku. Aku pernah sekali jer mengadu dekat ibu tapi ibu bagitahu yang kena tindih tu benda biasa sebab ibu pun selalu kena. Hmm biasa ke? Cerita yang aku karang ni merupakan pengalaman aku sendiri yang terjadi sepanjang aku tinggal di kolej kediaman salah sebuah universiti di semenanjung. Cerita kali ni agak panjang.

Kejadian pertama adalah sewaktu di awal semester. Bilik yang aku tinggal tu merupakan bilik untuk 2 students. Katil roommate aku berada di sebelah kanan katil aku. Suatu malam dalam pukul 2.30 pagi lepas aku selesai kemas laptop dan buku-buku atas meja aku terus baring atas katil dan selimutkan badan aku. Roommate aku dah selamat ke alam mimpi. Tapi malang tak sampai seminit lepas aku baring dan berpaling ke arah kiri tiba-tiba aku terdengar suara yang halus memanggil nama aku berkali-kali dari belakang aku. Dalam posisi aku baring tu, aku memang tak dapat nampak roommate aku.

Memang suara roommate aku tu lembut dan halus pun tapi bulu roma aku terus meremang masa terdengar dan aku tiba-tiba rasa takut untuk menyahut. Lagipun masa aku berjaga lewat tu taknak pulak dia panggil jadi kenapa sekarang tiba-tiba nak panggil? Tak sampai seminit panggilan tu berakhir tapi aku jenis yang nak jugak tahu ape benda yang panggil aku tu dan perlahan-perlahan aku pusing ke kanan.

Jantung berdegup punya laju tak payah cakap lah sebab aku takut ternampak benda lain kan. Tapi aku cuma nampak roommate aku tidur siap menghadap dinding lagi. Turn aku pulak panggil nama dia. Tak berjawab. Aku fikir positif yang mungkin dia tak dengar dan dah tidur. Tapi keesokan harinya bila aku tanya dia cakap bukan dia dan dia takkan pernah terjaga dalam waktu macam tu. Habis tu siapa?

Banyak lagi pengalaman aku dekat kolej macam pintu diketuk sewaktu mandi, ditindih dengan benda hitam dan sebagainya. Tapi nanti panjang sangat dan main point aku nak ceritakan pasal mimpi dalam mimpi.

Pada suatu malam, aku terbangun dari tidur di kolej aku dan terdengar keadaan riuh rendah di luar pintu rumah. Aku lihat ramai student perempuan dan lelaki berdiri di depan pintu rumah aku sambil berbincang tentang sesuatu. Bila aku datang dan bertanya kepada mereka, seorang lelaki menyuruh aku pandang ke luar pintu rumah. Aku menghalakan pandangan aku ke situ dan ternampak satu makhluk berbaju putih dan berambut hitam panjang semakin dekat untuk masuk ke rumah. Makhluk bermuka hitam tu terbang melayang-layang ke arah aku seolah-seolah sangat berminat dengan aku. Aku terus menjerit dan keadaan menjadi kelam kabut.

Tiba-tiba aku tersedar lagi dari tidur. Ya, itu cuma mimpi semata-mata tapi perasaan takut menghantui aku dan aku terus keluar dari bilik mencari housemate aku yang lain. Entah kenapa masa tu roommate aku langsung tak ada. Sampai di depan salah satu bilik housemate aku, aku terus muntah tanpa sebab apabila melihat salah seorang dari mereka. Dia berpakaian serba putih. Dan tiba-tiba ramai lagi yang keluar dari bilik mereka masing-masing berpakaian serba putih dengan rambut panjang terurai ibarat mimpi aku sebentar tadi. Mereka semua berjalan menuju ke arah aku dan aku mula syak yang mereka itu bukan manusia. Aku melangkah ke belakang perlahan-perlahan dan dalam ketakutan aku cuba membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

Akhirnya lagi sekali aku terbangun dari tidur. Ya, itu pun cuma mimpi. Dan yang paling aku tak sangka bila aku betul-betul bangun dari mimpi tu aku sebenarnya sedang berada di rumah keluarga aku. Sedang tidur di rumah. Dan kejadian tu adalah pada waktu petang dan bukannya malam. Pada waktu tu aku berseorangan di rumah dan tertidur. Selepas bangun aku tiba-tiba jadi sangat marah kepada benda yang menggangu aku tu. Kenapa nak jugak bawak aku balik ke kolej tu padahal aku tengah berada di rumah.

Balik ke kolej aku terus mengazankan di setiap penjuru bilik walaupun dulu aku dan housemate aku dah pernah buat kepada rumah yang kami duduk tu. Gangguan itu tak pernah hilang mungkin kerana mereka penghuni lebih awal di situ. Aku akan sentiasa diganggu jika aku tertidur tanpa membaca Al-Fatihah, ayat 3 Qul dan ayat kursi. Oh ya, aku seorang saja yang diganggu di rumah tu.

Mungkin kerana aku pernah diganggu sewaktu dulu jadi lubang-lubang yang telah ada memudahkan makhluk halus yang lain untuk mengganggu aku? Nak kata penakut aku seorang yang sangat berfikiran positif walaupun dah sah-sah itu satu gangguan. Hahah. Mungkin kerana tu jugak aku berjaya survive bertahun-tahun walaupun diganggu kerana aku tak terlalu yakin yang benda-benda halus ini yang mengganggu aku. Wallahualam. Tapi normal ke aku selalu bermimpi dalam mimpi ni?

3 thoughts on “Mimpi Dalam Mimpi”

Leave a Comment