Misteri Bangunan Hujung Tasik

Sepuluh tahun yang lalu, aku diterima bekerja sebagai pembantu di sebuah kiosk percetakan dan alat tulis yang terletak di sebuah blok bangunan akademik yang baru siap dibina. Bangunan itu terletak di ceruk paling hujung universiti, berhadapan dengan sebuah tasik buatan yang tenang tetapi menyimpan seribu misteri Tasik Kelam.

Sebagai pekerja tunggal buat sementara waktu, tugas aku hanya menyusun stok dan mengemas kedai. Bangunan itu masih lengang hanya kedai aku dan sebuah kafeteria di hujung blok yang sudah beroperasi. Yang lain semuanya pintu berkunci dan berhabuk.

Setiap kali waktu Zohor, aku akan naik ke tingkat satu untuk bersolat di sebuah bilik kecil yang dijadikan surau sementara. Kehadiran makcik-makcik pembersih (cleaner) yang mesra membuatkan aku rasa selamat. Namun, rasa selamat itu tidak bertahan lama.

Masuk hari keempat, majikan aku, Encik Bakri, meminta aku tinggal lebih masa sehingga lewat malam untuk membantu dia dan seorang teknisi, Slamet, memasang mesin-mesin pencetak besar.

“Maya, dah Maghrib ni. Pergi solat dulu kat atas, lepas tu kita sambung sikit lagi sebelum balik,” kata Encik Bakri.

Aku naik ke tingkat atas sendirian. Suasana koridor sangat gelap, hanya bergantung pada cahaya lampu jalan dari jauh yang menembusi tingkap kaca. Sebaik sahaja aku mula mengangkat takbir, tiba-tiba kedengaran bunyi “PANG! PANG! PANG!” bunyi tepukan tangan yang sangat kuat pada dinding luar surau.

Aku kaku. Dalam hati, aku fikir mungkin Slamet sedang bergurau atau ada pekerja kontrak yang masih belum pulang. Namun, tepukan itu berirama, seolah-olah mengejek bacaan solatku. Sebaik sahaja aku memberi salam, bunyi itu hilang serta-merta.

Apabila aku turun ke bawah, aku bertanya kepada Slamet, “Lama ke abang buat kerja kat dinding luar tadi?”

Slamet pelik. “Eh, dari tadi abang kat dalam kedai ni dengan bos. Mana ada kami keluar.”

Aku terdiam. Di tapak parkir, hanya ada dua buah kenderaan kereta aku dan kereta Encik Bakri. Blok itu kosong. Jadi, siapa yang menepuk dinding di tingkat atas tadi?

Beberapa bulan kemudian, aku ditemani rakan setugas baru, Kak Shila. Kami terpaksa bekerja sehingga jam 7:30 malam kerana musim peperiksaan pelajar bermula. Kedai sangat sibuk dengan urusan fotostat nota kuliah.

Sedang kami sibuk membungkus kertas, tiba-tiba dari tingkat atas kedengaran bunyi “SREEEEEEET…”

Bunyi kerusi kayu ditarik dan diseret dengan kasar di atas lantai simen. Ia bukan sekali, tetapi berkali-kali seolah-olah ada sekumpulan orang sedang menyusun bilik darjah.

Wajah Kak Shila yang tadinya ceria terus berubah pucat. “Maya, kemas barang sekarang. Jangan tanya kenapa, kita balik terus.”

Semasa kami berjalan menuju ke kereta, Kak Shila menyuruh aku memandang ke tingkap tingkat satu. Bangunan itu gelap gelita. Tiada lampu yang menyala, dan pintu jeruji besi utama ke tingkat atas sudah pun dikunci mangga oleh pak guard sejak jam 6 petang tadi. Mustahil ada manusia di atas.

Keesokan paginya, seorang makcik cleaner bernama Mak Som singgah di kedai kami. Sambil memegang penyapu, dia berbisik, “Maya, Shila… kalau dah pukul 6.30 tu, baliklah. Jangan tunggu lama-sama. Tempat ni ‘tuan’ dia belum pindah lagi. Dulu masa buat bangunan ni, macam-macam benda dijumpai tertanam kat tepi tasik tu.”

Rupanya, gangguan itu sudah biasa bagi staf pembersihan. Mereka sering melihat kelibat wanita berdiri di tepi tasik memandang ke arah bangunan, dan kadangkala terdengar suara orang ketawa di dalam tandas yang berkunci.

Kini, tahun 2025, bangunan itu mungkin sudah riuh dengan suara pelajar. Namun, setiap kali aku teringat bunyi seretan kerusi dan tepukan di dinding itu, bulu roma aku masih meremang. Kadangkala, bila aku melalui kedai fotostat di mana-mana sahaja, aku seolah-olah terdengar suara halus berbisik di telinga…

“Nak print berapa keping ni? Satu sepuluh sen… sepuluh sen…”

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.