Assalamualaikum dan selamat sejahtera pembaca semua. Terima kasih kepada admin jika kisah ini disiarkan. Kisah ini merupakan pengalaman sendiri. Mungkin tidak terlalu seram tetapi sekadar tatapan para pembaca. Aku Hanna, 22 tahun tinggal di Gombak bersama parents aku. Kisah ini bermula sewaktu aku berada di Tingkatan 4.
Masuk Tingkatan 1, semua muka ‘innocent’. Muka budak hingusan hahaha. Mula berkenalan dengan kawan baru, sesuaikan diri dengan budaya baru. Senang cerita semuanya bergerak seperti biasa. Sehinggalah aku berada di Tingkatan 4. Time kelas bermula, kawan aku dan aku excited untuk memilih unit uniform, kelab dan persatuan. Penat fikir mana satu nak pilih. Tetiba kawan aku ajak aku masuk Kelab Persatuan Seni Silat Gayong. Tak silap aku kelab ini baru dibuka semula setahun yang lalu. Aku ini memang jenis yang lasak dan kasar, juga memang mempunyai minat dalam seni mempertahankan diri sehingga berangan nak belajar kungfu dengan Jet Li hehehe. Alang-alang kawan aku dah ajak, aku pun dengan penuh excitednya bawa kawan aku untuk register menjadi ahli silat. Dalam fikiran aku satu je, if aku masuk silat ini, boleh belasah orang jahat and untuk lindungi diri aku. Sambil itu aku dah berangan belasah orang jahat menggunakan teknik yang akan aku belajar nanti. Hahahah nampak sangat fikiran budak-budaknya walaupun dah Tingkatan 4.
Masuk untuk menjadi ahli perlu membuat pembayaran sebanyak RM 35. Jenuh aku nak memujuk permata hati yakni ibuku untuk membuat pembayaran tersebut. Pada awalnya ibuku tidak bersetuju aku menjadi ahli silat. Bukan apa, ibuku takut jika aku tetiba diganggu oleh ‘makhluk Allah’ yang tak dapat dilihat oleh mata kasar. Setelah 30 minit memujuk hati ibuku dan menyatakan bahawa silat ini hanya daripada fizikal sahaja, akhirnya ibuku bersetuju walaupun dengan hati yang berat. Well said yang firasat hati ibu itu kuat. Disinilah bermula segalanya.
Setiap hari Sabtu pagi, kelab PSSGM akan melakukan latihan untuk ahli yang baru masuk. Kami belajar teknik asas tumbukan, seni pancung dayung, teknik kekuda dan sebagainya. Kebiasaannya untuk ahli yang baru masuk akan diberikan bengkung hitam. Mula-mula latihan kami akan melakukan adat buka gelanggang. Adat ini disertai dengan bacaan ayat Kursi, 3 qul serta doa supaya dijauhkan daripada gangguan yang nampak dan tidak nampak. Juga apabila selepas latihan, adat itu dilakukan dengan bacaan yang sama. Selepas beberapa kali latihan, cikgu silat kami memberitahu akan ada pertandingan Pencak Silat di Gombak setia. Time itu semangat ingin bersilat berkobar-kobar, maka aku pun menyertai pertandingan itu. Aku dan kawanku tiga orang perempuan memasuki pertandingan Masal Puteri. Bagi yang tidak tahu, boleh search En. Google hehe.
Kebiasaannya kami akan melakukan latihan selepas habis waktu sekolah dan juga waktu malam bertempat di dewan terbuka sekolah. Tiap kali latihan, aku selalu merasakan satu aura yang kuat. Lagi-lagi bila latihan itu diringi dengan muzik gamelan. Muncul semangat ingin bersilat yang terlalu kuat sehingga kawan aku kata wajah aku nampak lain tiap kali latihan. Tapi aku taknak terlalu ambil kisah tentang itu dan menganggapnya perkara biasa (sedapkan hati sendiri). Tinggal dua minggu berbaki sebelum pertandingan, cikgu silatku melakukan latihan intensif bertempat di sekolah (dirahsiakan bagi tujuan keselamatan) selama tiga hari dua malam. Selepas habis waktu sekolah, cikgu silatku ambil kami semua dekat surau sekolah selepas waktu maghrib. Sebelum bertolak, aku berasa tidak sedap badan, kepala pening dan mual. Badan rasa lemah sangat sampai aku jalan terbongkok. Kawan aku Lina (nama samaran) yang risau akan kesihatan aku lalu membelikan panadol sepapan apabila sampai stesen minyak. Time itu tak tahu kenapa aku terasa sangat tersentuh dan moody sangat-sangat sampai menangis. Semasa dalam perjalanan tetiba aku terasa ditampar atau macam satu tempikan di depan muka aku yang terus membuat aku menggigil satu badan. Tahap menggigilnya itu memang tak boleh bawa bincang seolah-olah aku berada dalam keadaan suhu negatif lapan belas celcius sampai bibir dan badanku terketar-ketar. Sejuk terasa badan sehingga ke tulang-belulang yang ada. Di dalam kelam kabut badanku ketika itu aku dapat merasakan kehadiran ‘dia’ yang mencuba untuk masuk ke dalam tubuh badanku. Terpacul ayat kursi dan lafaz tahmid Lailahaillah untuk mengurangkan rasa sejuk dan menghalang ‘benda’ itu daripada masuk. Kawanku Lina cuba menenangkan aku dan menyelimutkan aku dengan jaket.
Setibanya tempat yang dituju, aku tidak dapat berjalan. Badanku terasa lemah dan kakiku tidak mempunyai kudrat untuk mengangkat apatah lagi untuk berjalan. Kawan aku dua orang memapah aku untuk dibawa ke surau, sedang diriku dipapah mataku melihat kearah dewan sekolah itu. Terdapat beberapa ahli daripada sekolah lain yang turut serta latihan ini. Kedengaran muzik dan alunan gamelan bergema sehingga ke luar dewan. Aku disapa dengan perasaan aneh dan rasa seperti dipanggil-panggil untuk menari sedangkan aku tak pandai menari haha. Semasa itu mindaku kosong, aku tidak dapat berfikir apa yang berlaku sebenarnya dalam kereta tadi. Kenapa aku menggigil? Kenapa benda tu nak masuk badan aku? Jiwa dan hati aku kosong. Cikgu silat aku meminta aku berehat sebelum memulakan latihan. Tetapi aku teringin bersilat dan mendengar muzik itu. Selepas beberapa minit aku ambil keputusan untuk melakukan latihan malam itu juga. Aku meyakinkan cikgu dan kawanku bahawa aku okay dan boleh bersilat. Semasa latihan, aku terasa dikawal oleh sesuatu. Mindaku separuh sedar. Aku terasa yang diri ini bukan aku. Aku berlatih dengan agresif. Ulang banyak kali langkah demi langkah. Muzik gamelan aku hayati dengan tekun sambil bersilat.
Esoknya aku bangun tidur seperti biasa. Seolah tidak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi tiap kali latihan aku terasa seperti hilang kawalan. Pening dan rasa ingin pengsan. Aku tidak dapat teruskan latihan. Cikgu aku rasa kemungkinan aku tidak dapat menyertai pertandingan ini disebabkan keadaan aku. Hal ini telah menjatuhkan semangat kawan aku yang lain untuk bertanding dalam Masal Puteri. Aku cuba untuk teruskan latihan tetapi perasaan itu masih ada. Jika mahu mencari pengganti agak terlambat memandangkan pertandingan hanya berbaki seminggu lebih. Aku kuatkan diri aku dan teruskan latihan walaupun perasaan itu datang.
Tiada perkara pelik yang berlaku sepanjang aku berada di situ melainkan diri aku yang asyik terasa ingin pengsan apabila latihan. Alhamdulillah aku dapat teruskan pertandingan tetapi gagal mendapat pingat. Aku menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan ibu ayahku kerana bimbang mereka risau. Sejak daripada kejadian itu aku kerap bermimpi ular hitam yang membelit, anjing hitam yang mengejar dan menerkam, ditikam objek yang tajam, jatuh dari tempat tinggi dan kerap kena tindih semasa tidur, juga mimpi berada di kawasan perkuburan. Tapi aku bersyukur kerana hijabku tidak terbuka. Cuma aku dapat merasakan kehadiran ‘dia’. Semasa di sekolah juga aku turut diganggu, menggigil sama macam aku mula-mula kena. Kekadang aku terasa ingin menjerit sekuat hati, membayangkan perkara-perkara ngeri yang tak masuk dek akal. Aku tahan sendiri hanya melindungi diri dengan ayat al Quran. Pelajaran aku terganggu dan mata bengkak sebab tidak cukup tidur. Selalu nampak kelibat hitam semasa ditindih dan dalam keadaan jaga. Kesakitan ini aku tahan sehinggalah aku berjaya menduduki SPM. Kawan aku kata ayahnya ada seorang kawan yang memang ada ilmu dalam alam mistik ini. Lalu dia meminta pakcik itu untuk scan badan aku dari jauh. Katanya ada en lompat yang ingin mendampingiku. Mendengar itu saja berjaya membuat aku lemah lutut dan meremang satu badan. Tetapi syukur Alhamdulillah gangguan itu berkurangan.
Aku fikir sampai situ sahaja gangguan itu memandangkan gangguan itu berkurang mungkin disebabkan aku mengamalkan bacaan al Quran dan ayat pendinding diri. Jadi aku tak terfikir untuk berubat. Oh ya aku tidak lagi aktif bersilat selepas pertandingan itu disebabkan keadaan aku yang hampir hilang kawalan tiap kali nak bersilat. Selepas habis SPM, aku melanjutkan pelajaran aku dengan mengambil STPM memandangkan aku tak mahu terbeban dengan hutan ptptn. At least kalau masuk Tingkatan 6 kos pembelajaran tidak memakan jumlah yang besar. Diri aku masih lagi dihimpit dengan mimpi ngeri dan gangguan ketika tidur. Kena tindih ketika tidur itu menjadi perkara lali bagi aku tapi masih mampu membuat aku lemah. Aku memulakan persekolahan Tingkatan 6 dengan tanpa masalah. Menjalani kehidupan seperti biasa.
Sampai satu tahap aku mendapat satu mimpi. Dalam mimpi itu aku memakai baju yang sama aku pakai masa tidur malam itu. Aku melihat seorang perempuan bertudung, muda orangnya. Kulit putih dan bersih. Aku menemuinya dalam satu bangunan. Dalam bangunan itu hanya ada aku dan dia. Dia berjalan menuju kearah aku sambil tersenyum. Dia lihat aku dan memberikan aku sesuatu, nak tahu barang apa yang dia bagi? Keris warna putih yang sederhana kecil. Aku terkejut lalu aku menanyakan kepada dia. “Untuk apa ini?” Dia pun menjawab “Suatu hari nanti kau akan tahu juga..” Part yang buatkan aku rasa nak hantuk kepala dekat dinding bila aku terima pemberian itu lalu menyimpannya dalam kocek dalam mimpi itu. Lalu dia pun hilang seperti kabus selepas memberikan aku keris. Aku terjaga daripada tidur. Bila mengingat mimpi tersebut, laju tangan aku memeriksa dalam kocek untuk melihat betul ke keris itu ada, nasib baik keris itu tak ada. Kalau ada, tak ke haru dan kelamnya hidup aku. Tetapi aku pernah mendengar ceramah Ustaz Sharhan Shafiee bahawa jika kita bermimpi seseorang memberikan sesuatu barang atau bungkusan dan kita menerimanya, kemungkinan sihir telah masuk dalam badan. Aku takut dan risau. Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan. Ibu dan ayah aku masih belum mengetahui kejadian yang menimpa aku dalam masa setahun lalu. Aku hanya mampu berdoa agar sentiasa dalam lindunganNya dan dijauhkan daripada kejahatan makhluk ciptaannya.
InshaAllah aku akan menyambung coretanku yang tidak seberapa ini di lain hari. Coretan seterusnya aku akan menceritakan tentang macam mana kehidupan aku selepas mendapat mimpi tersebut, penerimaan keluarga aku bahawa aku diganggu dan pengalaman dirawat dengan para perawat darussyifa’. Ujian ini membuatkan aku lebih mendekati Pencipta. Tiada daya dan kuasa melainkan dengan pertolongan Allah. Aku mohon maaf jika cerita ini kurang menarik dan membosankan.
Salam sayang,
Hanna
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com
baik rujuk kpd yg pakar dlm hal ni. sbb awak dah amik keris tu dlm mimpi..
aku pun selalu mimpi haiwan2 hitam, susu kan baby, jaga & banyak lagi berkaitan baby. sampai satu tahap mimpi ada nenek mintak aku jagakan baby ni, dan aku terima baby tersebut.
Penulisan yang bagus. Senang faham.
Hanna sambung la lagi…. Moga sentiasa dilindungi Allah.
Maaf..tahmid tu Alhamdulillah..klau lailahailla allah tu tahlil namanya..😂