Misteri Wan

Salam FS. Sekali lagi aku ingin berkongsi kisah aku bersama warga FS. Sebelum ni beberapa kisah aku dah dikongsikan di FS (Gangguan di pedalaman UK, Cik putih penunggu kampung, Pengalaman seram menetap di ipoh – cerita rumah kosong). Kali ni, pengalaman aku lebih kepada misteri dan tiada penampakan yang pelik. Cuma banyak timbul persoalan semasa kejadian ni berlaku.

Kisah kali ni berkaitan pengalaman aku dan keluarga semasa menumpang di rumah wan (datuk lelaki). Rumah wan ni seperti rumah lama yang lain. Tingkat atas diperbuat daripada kayu dan tingkat bawah pula separuh kayu dan bata. Tingkap rumah di tingkat bawah semua jenis nako kecuali satu tingkap di dapur yang jenis pintu dua tu. Manakala tingkap di tingkat atas jenis tingkap pintu kayu yang typical old malay house gitu. Ada sebab kenapa aku details skit bab tingkap ni. Nanti korang tau la sebabnya.

Kami menumpang di rumah wan sementara menunggu rumah kami siap dibina Tak jauh pun dari rumah wan, sebelah rumah je. Masa mula-mula menetap di rumah tu, tok masih ada dan wan pun masih sihat walaupun dah umur lebih 80 tahun. Cuma penyakit nyanyuk tu yang kekadang tak boleh dielakkan.

Lepas tok meninggal, penyakit nyanyuk wan makin teruk walaupun secara fizikalnya dia masih sihat dan kuat buat kerja. Kami layankan je la (walapun ada masanya aku fobia nak masak telur yang dia kutip daripada reban ayam kat rumah tu sebab dia pi amik telur yang dah lama diramkan oleh ayam tu. Tinggal nak menetas je pun. Bayangkan bila nak pecahkan telur, yang keluar tu anak ayam yang separuh terbentuk. Menjerit gak la aku time tu). Hinggalah satu masa, wan tak dapat lagi berjalan selepas terjatuh ketika membuat kerja dia (dia suka menebas rumput/lalang). Terlantarlah dia di katil yang kami tempatkan di tingkat bawah bagi memudahkan dia ke tandas (dia tak nak pakai pampers).

Bila time siang, memang mak aku dan kami adik beradik la yang mengangkat dia pi bilik air. Berat jugak la wan aku ni walaupun badan takde la berisi sangat pun. Time malam, abah plak take over. Begitulah rutin kami sekeluarga (adik-beradik abah duduk jauh). Tapi selepas seketika, wan mula berperangai pelik. Kalau time makan, memang jumlah yang dia makan tu boleh buat aku geleng kepala sebab orang yang sihat pun tak makan banyak macam tu.

Dah la gelojoh semacam. Bab dia suka cakap sorang-sorang tu kami abaikan je la sebab anggap sebahagian daripada nyanyuk dia je. Tapi tu kira ok lagi. Tak berapa misteri sangat. Yang misterinya bila wan yang dah tak boleh berjalan boleh hilang daripada rumah.

Sepertimana details rumah yang aku cerita tadi, tingkap dan pintu rumah sentiasa dipastikan berkunci sebelum kami semua masuk tidur. Tapi bila kami bangun pagi dan tengok wan tiada di katil dia. Macam mana dia keluar daripada rumah tu dengan semua tingkap dan pintu masih berkunci rapat dari dalam? Dah la dia memang dah tak boleh berjalan. Pertama kali hilang, kami jenuh mencari dia dalam rumah. Tak terlintas langsung dia boleh keluar dari rumah dengan keadaan semua pintu dan tingkap berkunci dari dalam.

Tetiba ada orang kampung datang rumah maklum ada orang jumpa wan di dalam longkang besar yang terletak 2km dari rumah kami. Masa dijumpai tu, wan memang terbaring je dalam longkang (nasib takde air) sebab dia sememangnya tak boleh berjalan. Susah payah la kami semua mengangkat dia keluar dari longkang dan pulang ke rumah. Bila ditanya macam mana dia keluar dan pergi ke tempat tu, wan berkeras dia tak pi mana-mana – “dah tak boleh nak berjalan, aku nak pi mana?!!!”.

Aku mula rasa tak sedap hati sebab bagi aku benda ni dah semakin pelik. Semenjak tu, abah mula tidur di tingkat bawah, berhampiran dengan wan bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. Namun benda yang sama tetap berulang. Kali ni wan hilang agak lama. Sehinggakan ada orang kampung turut sama terlibat mencari wan. Akhirnya wan dijumpai di dalam perdu pokok buluh yang secara logiknya tak mungkin dia boleh pi sendiri dalam keadaan dia tak boleh berjalan tanpa ada kecederaan langsung (abah yang pakai selipar pun beberapa kali tercucuk duri buluh) dan perdu pokok buluh tu perlu ditebang dulu sebelum wan boleh dikeluarkan (korang pikir la sendiri macam mana dia masuk kalo nak keluar pun tak boleh sebab batang pokok buluh yang besar tu rapat-rapat je kat perdu pokok buluh.

Dan beberapa tahun kemudian, adik aku pulak disorok dalam perdu pokok buluh tu time maghrib). Bila ditanya, jawapan yang sama la kami dapat. Wan tetap berkeras kata dia tak pi mana-mana. Selepas kejadian tu, mak dan abah mula mencari punca kejadian pelik ni berlaku. Bukan nak buruk sangka pada keturunan sendiri, tapi bila dikenangkan perangai dan kejadian pelik yang berlaku, kami sekeluarga (tidak termasuk adik-beradik abah yang lain. Diorang tak berapa hendak ambil kisah tentang wan) mula terfikir wan ada membela or something. Mak dan abah terjumpa beberapa kitab lama yang agak pelik dan diorang membawa kitab tersebut untuk dirujuk kepada orang-orang tertentu (aku tak tau siapa) tapi sehingga penyudah, kitab-kitab tersebut kekal misteri dan hilang begitu sahaja.

Kami sekeluarga kemudian berpindah masuk ke rumah baru. Wan masih berkeras untuk tinggal di rumahnya sendiri. Jadi kami telah membuat giliran agar wan tidak tinggal berseorangan di rumah tu. Sewaktu kami adik beradik ke sekolah, mak akan ke rumah wan untuk membersihkan rumah dan menjaga wan. Selepas kami balik, kami pula akan bergilir tengok wan yang kebiasaannya akan tidur sahaja di waktu petang. Malam pula, abah akan tidur di sana. Selepas kami pindah, kejadian wan hilang dari rumah tidak lagi berulang tapi setiap kali ke rumah wan (terutamanya di waktu lewat petang), aku mula rasa tak sedap hati.

Terasa ada yang memerhatikan aku apabila aku mula melangkah masuk ke rumah tu. Tapi aku kuatkan hati, buat tak tau je sewaktu menghantar makanan pada wan. Hinggalah satu hari, perasaan diperhatikan tu begitu teruk. Aura rumah tu terasa begitu ‘berat’ hingga aku tak mampu nak melangkah masuk ke dalam rumah. Baru sahaja berdiri di depan pintu rumah, aku dah menggigil satu badan. Rasa macam nak menangis, nak lari semua ada time tu. Paling teruk bila terasa ada sesuatu sedang memerhatikan aku dari atas alang rumah. Akhirnya, aku letak sahaja talam berisi makanan tu di depan pintu dan berlari balik ke rumah.

Aku maklumkan pada mak yang aku tak boleh tunggu wan sehingga dia habis makan seperti selalu. Aku rasa tak sedap hati sungguh. Mak pula pergi ke rumah tu untuk tengok wan tapi tak lama kemudian, dia juga balik ke rumah. Rupanya, mak pun rasa yang sama. Katanya, biarlah abah je yang pergi tengok nanti. Akhirnya, abah jugak lah yang kena teman wan dari petang hingga esok paginya. Petang esoknya bila aku ke rumah wan untuk hantar makanan, everything back to normal as it can be. Takde dah rasa nak lari, menangis macam semalam.

Akhirnya selepas setahun tak boleh berjalan, wan pun menghembuskan nafas terakhirnya. Dia pergi dengan aman. Takde perkara yang pelik berlaku ketika urusan pengkebumiannya walaupun ada anggapan awal yang wan ni membela. Cuma sepupu aku suka menyakat yang wan akan balik malam tu sehingga aku takut nak tidur sorang-sorang.

Sehingga kini, aku tak tau apa yang sebenarnya berlaku sehingga menyebabkan orang yang tak boleh berjalan pun boleh hilang dari rumah dan apa yang menyebabkan aura rumah wan terasa tidak begitu ‘selamat’ kerana usaha abah untuk mencari orang yang pandai membantu dalam hal ini tidak dipersetujui oleh adik-beradik yang lain. Pakcik aku kata biar dia sendiri yang selesaikan. Hingga kini, semua masih rahsia.

kaklong

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

1 thought on “Misteri Wan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.