#Naja : Gangguan Jin Banglo dan Penunggu Bahu

Assalamualaikum semua. Ini kali pertama aku menulis di page Fiksyen Shasha. Namaku Naja (semua nama dalam cerita ini bukan nama sebenar). Lelaki dan berumur 30an. Sangat berminat dengan dunia mistik dan boleh tahan penakut juga orangnya. Aku tak dikurniakan mata menembusi hijab alam ghaib Cuma mudah terasa jika benda benda halus ada berdekatan memang meremang bulu tengkuk dan cuping telinga terasa panas.

Oleh kerana terlampau banyak baca Majalah Mastika dan suka mendengar cerita-cerita hantu dari mulut orang, otakku selalu berfikir diluar kawalan dan terbayang-bayang takutnya jika terjumpa penampakan. Alhamdulillah sampai sekarang tak pernah aku diuji dengan penampakkan makhluk halus didepan mata. Cuma kisahku ini lebih kepada gangguan pada fizikal badan. Teruskan membaca kisahku ini.

Lebih kurang 8 tahun lepas aku sangat minat dengan kamera digital. Rajin mengambil gambar dan juga banyak mengambil upah untuk majlis perkahwinan. Di masa lapang selalu lah juga pergi outing. Zaman-zaman website fotopages dan flickr. Semua orang pun berangan nak jadi jurugambar tersohor jadi banyaklah sesi outing photographer dibuat saban minggu. Yang minat ambil gambar model siap diupah model cantik bergambar distudio atau outdoor location. Sampai terbaring, terkangkang posing photographer untuk dapatkan shot cantik. Ada juga yang sukakan landscape, sunrise dan sunset, macro (gambar flora dan fauna secara dekat), sukan dan acara. Aku belum ada pengkhususan sangat masa tu, ada peluang aku akan join sekali.

Aku travel ke satu bandar dalam semenanjung ni untuk berjumpa kawan yang juga photographer yang boleh tahan tinggi tahap seninya, Salim (bukan nama sebenar). Sebenarnya dah banyak kali aku travel ke tempat Salim untuk sama-sama outing ambil gambar. Cuma kali ini lah episode gangguan keatasku bermula. Salim pickup aku di hotel penginapanku awal pagi dan kami pergi breakfast. Setel sarapan kami pun ke lokasi pertama. Sebuah rumah banglo tinggal buruk dan kosong di simpang 4 kecil. Kereta banyak lalu lalang di kawasan ini. Kiranya tak sunyi sangat dan bukanlah kawasan terpencil. Salim park kereta diluar kawan banglo dan kami masuk melalui celah pagar yang koyak.

Pergerakan Salim sangat pantas masuk melalui ruang dapur. Aku tergesa-gesa mengikutnya dan masuk sahaja ke dalam ruang dalam rumah aku terus termasuk ke dalam sebuah bilik yang gelap dan sunyi. Terpaku dan terkejut selama beberapa saat baru otakku dapat register bahawa aku dah silap termasuk dalam salah satu bilik. Aku pusing belakang dan baru nampak Salim ada di ruang tamu. Kaca tingkap kebanyakannya sudah pecah. Pintu utama berlubang. Tangga naik ke atas hanya ada separuh sahaja (separuh lagi dari batu nampaknya masih utuh). Rumput tumbuh meliar dan dalam rumah penuh dengan genting bumbung pecah.

Tujuan kami outing hari itu adalah untuk test off camera flash trigger yang baru dibeli. Ambil gambar dengan teknik ini boleh mendapatkan efek yang sangat dramatik. Flash dipegang dengan tangan kiri menghala ke subjek dan tangan kanan pegang kamera sambil shutter ditekan. Salim jadi modelnya duduk di tangga dan aku ambil giliran ambil gambar. Entah apa sebabnya gambar yang diambil semua tak menjadi. Walaupun flash dihalakan tepat ke arah Salim, gambar yang keluar di lcd kameraku gelap. Didalam gambar bahagian atas dari kepala salim cerah dan badannya semua gelap. Berkali-kali aku ubah setting tetapi hasilnya tetap sama. Cuba korang ambil torch light dan suluh ke arah muka dan badan seseorang yang sedang duduk dari jarak 2 meter. Mesti cerah menerangi badan subjek kan?

Sekarang cuba minta seseorang pegang kotak dan tutup di tengah-tengah antara punca cahaya dan subjek. Korang akan nampak ditengah-tengah tu gelap, atas dan bawah cerah seperti biasa.
Punya lah bodoh kami masa tu tak suspek apa-apa pun. Salim pula ganti tempat aku dan hasilnya tetap sama. Gambar tetap gelap di bahagian tengah . Mulutku yang tak ada insurans pula berkata “Gambar tak jadi la bro, macam ada benda block antara flash dengan subjek”. Salim ajak aku shoot diluar pulak. Alhamdulillah tak ada gambar gelap dah banyak gambar-gambar cun dapat dihasilkan. Salim sanggup panjat pokok besar dilaman rumah, bergambar di bangsal dan posing ala-ala rockers di tingkap klasik

Sepanjang hari tersebut kami teruskan dengan shoot di tempat-tempat lain. Menjelang petang aku terasa penat dan lenguh. Aku minta Salim hantar balik ke hotel. Nasib baik aircond sejuk dan tilam hotelku empuk. Malam tu aku tertidur sambil menonton movie di laptopku. Bergolek-golek aku sambil menahan kesakitan dibahu. Sedar-sedar dah pagi dan sakit makin menjadi-jadi. Tangan kiriku tak dapat diangkat. Salim sampai ke hotelku dan membantuku membuka baju (Pergelangan tangan dan jari sahaja yang mampu diangkat siku dan bahu rasa berat yang tersangat). Terkejut besar Salim bila bajuku dibuka sebab di belakang badanku ada kesan merah seperti dicakar. 3 line panjang dan merah. Macam kena cakar Wolverine pulak.

Aku dah mula cuak. Ni bukan sakit biasa-biasa. Salim bawa aku pergi berjumpa seorang tua yang dikatakan pandai mengubat. Ayah Su. Disuruhnya aku minum air jampi dan sambil gelak dia kata “Awak masuk rumah orang ni. Tak apa Ayah Su dah halau Insya Allah dia dah tak ikut dah“. Sakit di bahuku ambil masa beberapa hari baru baik Tamat kisah di bandar G. Tak ku sangka sudah ada laluan yang memudahkan makhluk halus menumpang dibadanku.

Fast forward beberapa tahun pula. Aku sudah berkahwin dan tinggal dirumah sewa di bandar S dengan isteriku. Masih mengambil upah mengambil gambar perkahwinan dan juga acara-acara korporat. Aku bangun awal pada pagi hari itu sebab ada mesyuarat dengan client awal pagi dan tengah harinya aku akan cover staff outing satu syarikat client ku. Mereka akan release steam dengan bermain go kart. Rutin biasa bangun pagi aku ke tandas untuk melepas dan mandi. Keluar sahaja dari tandas aku menekan pinggang sebab terasa sakit tapi sebab nak cepat aku tak ambil pusing sangat.

Siap solat subuh aku capai kunci motor dan meredah kesejukan pagi ke mesyuarat client. Semasa mesyuarat aku tak boleh fokus sebab sakit bahu dan belakang sampai aku terbongkok-bongkok dan terpaksa cover line dengan bersandar siku di meja mesyuarat. Habis mesyuarat dalam jam 9 aku cepat-cepat minta diri. Aku pergi ke arah motor tapi tak mampu nak balik. Aku terbaring di bangku berdekatan. Sakit makin kuat berdenyut-denyut. Aku call isteri minta ambil aku.Dalam fikiran job tengahari nanti lagi penting dari sakit aku.

Isteriku Hani datang dengan membawa peralatan kameraku. Aku suruh dia drive terus ke lokasi go kart. Pembantuku Jimmy akan jumpa terus di sana. Walaupun dalam kesakitan aku gagahkan juga shoot guna lens telephoto. Jimmy aku arahkan shoot candid moments dan angle-angle yang aku tak mampu pergi. Alhamdulillah sekitar jam 4 selesai shoot dan kami kemas-kemas. Kak Lina yang uruskan acara untuk syarikat perasan aku dalam kesakitan walaupun aku cover line tak mahu orang tahu. “Kenapa ni dik?”. “Salah tidur kut kak, nanti karang saya pergi berurut”.

Selepas maghrib Hani membawaku pergi berjumpa Tok ki yang pandai mengurut. Masuk aja bilik rawatan Tok ki menggeleng kepala. “Ni ada yang menumpang ni. Masa kau buang air pagi tadi dia terkejut kot, tu yang dia karate badan kau pastu dia tumpang duduk atas bahu”. Barulah flashback apa yang terjadi sepanjang hari tu macam terbayang-bayang depan mataku. Baru perasan sakitnya lain macam. Susah sangat nak jalan tegak, bahu rasa berat pinggang sakit. Tak terfikir langsung sakit yang kuderitai sebab entity paranormal bukan sakit bahu biasa. Siapa pernah tengok cerita Thailang Shutter pasal photographer yang terbongkok-bongkok sakit bahu macam tu lah aku. Benda menumpang atas bahu kita je yang tak nampak.

Tok ki suruh tukar kain pelikat dan berbaring. Diurutnya aku bercampur nikmat dan azab. “Ni aku dah halau bendanya”. Diambil pula cawan plastik dan beberapa lagi benda untuk bekam angin. Biasanya bekam d***h kan? Bekam angin ni kata Tok Ki sebab badanku banyak sangat angin. Urat berselirat dan rasa perut kembung. Kertas dibakar di mulut cawan dan ditekap ke belakang badan. Mula rasa panas nyaman tetapi lepas 5 minit mula terasa ngilu dan pedih pulak. Tok ki cabut satu-satu cawan dari belakang badanku bunyi yang keluar macam bunyi kentut 6 harakat. Punyalah kuat dan bertalu talu sebab dibekamkan 6 cawan kat badanku ini. Ingatkan azab dah habis rupanya tu baru first half. Tok ki kata buat lagi satu round sebab angin banyak sangat dalam badan. Alhamdulillah malam tu dapat tidur nyenyak walaupun kesan sakit di bahu dan pinggang masih terasa.

Bila aku baca cerita-cerita orang lain mungkinlah badanku ini dah ada laluan makhluk halus sejak dikacau yang kali pertama. Sebelum tu tak ada benda-benda ni main kasar. Kena tindih waktu tidur masa di kolej kediaman university habis ganas pun. Insya Allah lain kali aku cerita yang lain pulak dimana gangguan fizikal ini naik lagi satu level. Tak pernah aku minta dan aku pun tak ada pergi tempat-tempat lama cuma makhluk halus ni ada dimana-mana hatta di rumah sendiri. Apa pun kena rajin baca ayat Kursi dan bagi salam bila balik rumah walaupun tak ada orang. Wallahua’lam.

.

Naja
Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

3 comments

  1. Nk tnya cmna nk comtact tok ki..sbb bdn mber teman pon byk angin.ktanya angin pasang..tu nk suruh dye cbe kaedah perubatan tok ki

  2. Tok Ki dah meninggal 2 tahun lepas. Rasanya ada je tukang urut lain yg boleh buat bekam angin macam arwah. Boleh try google.

    Oh ya, petua utk org banyak angin (saya belajar sebab mmg family belah mak ada masalah ni) — jangan minum air batu yg sejuk
    – jgn makan sayur terung, kacang panjang, petai, jering, pisang emas (ni paling bahaya)
    – jangan tidur atas lantai sejuk ( tiles atau marble)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.