#Nana- Apa Tu?

Assalamualaikum…

Kali ni aku nak ceritakan satu kisah benar yang pernah terjadi ketika aku masih di sekolah menengah. Satu peristiwa yang tidaklah terlalu seram. Tapi sangatlah mendebarkan pada aku ataupun sesiapa yang berada di situasi yang berlaku pada malam itu. Bolehlah…

Kejadian tu berlaku pada hari raya pertama dan ia berlaku di kampung aku iaitu di Sabak Bernam. Tapi kisah ni bukan aku seorang saja yang mengalaminya, tapi ada empat orang. Iaitu pakcik-pakcik aku dan seorang makcik aku. Pakcik Man, pakcik Usop, pakcik Zali dan mak usu aku. Sebab adik-beradik abah aku ada 18 orang dan abah aku anak nombor 2. Jadi, tiga orang bapak saudara aku dan mak saudara aku tu kiranya adik-adik abah aku yang paling bawah sekalilah. Umur kami pun lebih kurang, kecuali pakcik Man, dia dah bekerja ketika itu. Tapi hubungan kami anak-beranak memang rapat. Sudah macam member pulak!

Kejadian yang berlaku tu berlangsung pada waktu malam. Ketika itu jam sudah menunjukkan ke angka 11.00 malam atau mungkin lebih. Walaupun ketika itu waktu malam semakin nak menampakkan tuanya, tapi suasana pada malam itu belum lagi tua. Di area rumah arwah opah boleh dikatakan masih lagi meriah. Hari raya, mestilah meriah. Dengan kehadiran saudara-mara dan juga jiran-jiran dari sebelah kiri dan sebelah kanan rumah arwah opah. Fuh, memang tak menang tangan! Tak menang tangan sebab banyak sangat terima duit raya!

Tapi, pakcik Man aku seorang ni dia tak puas nak beraya lagi! Katanya, dah lama tak jumpa kawan lama. Teringin nak pergi rumah kawannya tu, walaupun esok masih lagi boleh pergi beraya! Jadi, dia ada rancangan nak bawa kami berempat pergi beraya dekat rumah kawan dia yang tak berapa jauh sangat tu. Adalah dalam lapan ratus meter jaraknya. Kami pun dengan berat hati, pergilah ke rumah kawan pakcik Man yang tak berapa jauh tu dengan hanya berjalan kaki sahaja. Dekat situ, rumah memang dekat-dekat tapi yang membuatkan kami cuak ditambah pula seriau tu, di bahagian kiri berhadapan dengan rumah-rumah kampung masih lagi terdapat hutan-hutan. Pokok-pokok pun boleh tahan besarnya. Ditambah pula dengan semak samun separas peha orang dewasa dan juga belukar, memang menambahkan mood seram ketika itu.

Perjalanan pergi masih ok lagi, masing-masing boleh bergelak ketawa, sambil-sambil tanya duit raya siapa paling banyak! Nama saja bapak dan mak saudara, tapi kalau pasal duit, masing-masing tak nak mengalah! Aku yang anak saudara ni juga yang kena mengalah, walaupun duit raya yang aku dapat lagi banyak dari diorang! Kah kah kah! Padan muka!

Sebaik sampai dekat rumah kawan pakcik Man tu, macam biasalah, tuan rumah hidangkan minuman dan kuih raya. Dalam pada tu, kami yang tak ada kena mengena dengan perbualan pakcik Man dan kawannya tu, (almaklumlah sudah lama tak jumpa sebab pakcik Man kerja di luar kawasan) terpaksalah kami bawa diri melayan program di televisyen yang tersedia. Sambil-sambil mengunyah kerepek dan biskut raya yang beraneka jenis dan warna.

Namun, dalam sedang pakcik Man dan kawan baiknya tu sedang leka bersembang sampai tak ingat dunia, rupa-rupanya jam sudah pun hampir ke pukul 2.00 pagi! Kau rasa?

Pakcik Usop pun tegurlah abangnya tu.

“Bang, dah nak pukul 2.00 pagi ni. Tak nak balik ke?”

“Korang baliklah dulu. Aku belum nak balik lagi!”

Pakcik Usop dah garu kepala! Pelik dengan perangai abangnya tu! Jam dah pukul 2.00 pagi pun masih tak ingat nak balik!

Jadi kami berempat putus untuk pulang saja. Biar pakcik Man tu balik sorang-sorang! Padan dengan muka dia! Lagipun kami berempat, apa nak ditakutkan? Bukannya jauh sangat pun. Dekat je, apa ada hal!

Usai bersalam dan menerima angpau dari tuan rumah, dengan bahagianya kami berempat pun baliklah dengan berjalan kaki di laluan yang sama. Jadi, waktu nak balik tu keadaannya tak sama macam pergi tadi. Suasana masih lagi happening. Jadi, jam sudah pukul dua lebih, tentulah ramai yang ketiduran sebab keletihan. Maklumlah kampung, sunyinya keadaan dan masa itu lain macam sikit! Kalau korang pernahlah baca karya aku yang bertajuk JENAZAH SIAPAKAH ITU, pasti korang akan faham maksud aku. Walaupun itu kisah lama. Tapi bekas dan tapak kawasan tu masih lagi mendatangkan cuak!

Sedang kami berjalan sambil menghirup udara segar ditambah dengan suasana dingin, tiba-tiba dalam beberapa meter je lagi nak sampai rumah opah. Kami berempat terdengar bunyi sesuatu sedang berjalan di sebalik semak samun di dalam hutan tu! Bunyi seperti daun kering atas tanah dipijak-pijak. Berulang-ulang bunyinya.

Kami mulai cuak! Masing-masing berpandangan sesama sendiri! Kau pandang aku, aku pandang dia, dia pandang dia! Fuh! Berpeluh juga masa tu, menahan takut punya pasal! Sikit lagi nak sampai rumah. Tapi bila dah takut, rumah yang hampir sekangkang tapir tu pun dah macam berkilo-kilometer rasanya!

Mahu tak mahu, perjalanan harus diteruskan. Aku dan mak usu dah berpegangan tangan sambil berjalan. Jalan pun makin lama dah semakin laju, mengalahkan acara pejalan kaki sukan olimpik! Itu baru dengar bunyi dah takut, belum lagi dia menampilkan diri sambil ‘beramah mesra’!

Sebaik saja sampai simpang nak masuk ke halaman rumah opah, bunyi berjalan dalam hutan tu makin lama semakin kuat derapannya! Tiba-tiba kami boleh pulak terpandang! Iyalah, sebab kami nak tahu bunyi apa tu. Sebaik kami toleh ke arah hutan tu, kami ternampak ada satu pergerakkan dalam hutan! Walaupun gelap tapi masih boleh nampak, sebab ada bantuan dari cahaya bulan! Cahaya semulajadi…

Dia bukan saja bergerak tapi bergoyang-goyang! Ya, nampak macam bergoyang walaupun dalam keadaan samar-samar. Lagi kami tengok, lagi best pulak dia bergoyang! Gila! Apa jadahnya bergoyang? Dalam hutan pulak tu! Makin lama semakin dekat, akhirnya kelihatan sesuatu yang sedang kami lihat tu! Ada kelibat putih sedang berjalan perlahan-lahan sambil bergoyang-goyang. Ya, kelibat putih!

Kami pun apalagi, buka langkah seribulah. Terpaksa ikut jalan shortcut! Walaupun jalan shortcut tu tak diiktiraf oleh jabatan kerja raya! Kah kah kah! Maksudnya, terpaksa kami redah parit yang airnya separas betis. Bukannya jernih, kotor! Bertempiaran kami berlari sebab nampak kelibat putih tu punya pasal! Bergoyang-goyang pulak tu dalam hutan!

Pintu rumah pun pakcik aku tendang je, dah malas nak sopan-sopan sangat. Sampai terkejut orang-orang dalam rumah tu! Kami pun apalagi ceritalah kejadian mistik lagi menyeramkan tu. Bukan simpati yang kami dapat, tapi jadi bahan gelak pulak! Semuanya sebab baju raya, kain raya dan seluar raya yang kami pakai dah kebasahan dek terkena air parit atau lebih tepat lagi, air longkang! Kan dah mendapat! Padan muka kitorang!

Esoknya dalam pukul 8.00 pagi, pagi-pagi lagi kami berempat dah keluar rumah. Semuanya sebab nak tahu dan nak cari bukti kejadian, apa benda kelibat putih yang kitorang lihat sambil berjalan bergoyang-goyang dengan penuh bergaya tu!

Sebaik kami sampai di kawasan tu, terkejut tenuk kitorang! Rupa-rupanya ada seekor lembu jantan warna putih sedang diikat pada sebatang pokok kat dalam hutan tu tanpa rasa bersalah! Sebenarnya tak adalah dalam sangat. Termenung pakcik aku sekejap perhatikan lembu tu! Aku betul-betul nak tergelak apabila tengok lembu jantan tu berjalan ke sana sini sambil goyang-goyangkan badan. Rupa-rupanya tak tahan kena gigit nyamuk. Kejam betul tuan lembu tu! Sebenarnya bukan lembu putih tu seekor, rupa-rupanya ada dua lagi member dia sedang diikat berhampiran dekat kawasan tu juga. Kitorang nampak dia seekor malam tu, sebab dia je yang putih, member lain warna hitam dan coklat.

Itulah kenangan seram tak berapa nak seram pada hari raya pertama ketika di kampung. Sekian..

27 thoughts on “#Nana- Apa Tu?”

  1. warna putih bergoyang? rupanya lembu.. Itu ertinya semalam lembu tu sedang menyaki nyaki nyakian laa sebab tu bergoyang.. apa lee tu pun tak tau ke…..

    Reply

Leave a Comment