#nana-BUNIAN, BAJANG DAN KAKAK POCONG

Assalamualaikum….dari Nana untuk admin dan sahabat-sahabat FS.Sebelum Nana teruskan siri penceritaan kisah abah Nana… Nana tulis senarai tajuk dahulu,sekurang-kurangnya sesiapa yang baru baca kisah yang Nana tulis ni,atau orang yang baru mengenal FS ni. Boleh juga baca siri yang lepas.

1)DIEKORI PONTIANAK
2)BERTEMU BUKU DENGAN RUAS
3)SANGGUPKAH ENGKAU
4)#nana-PONTIANAK DAN LANGSUIR (baru Nana terkial-kial nak buat hashtag)

Kisah yang ingin Nana ceritakan ini juga berdasarkan kisah benar melalui pengalaman abah sepanjang hidupnya. Ada tiga kisah yang Nana hendak ceritakan.Jadi.Nana minta maaflah andai cerita Nana ni terlalu skema sangat dan kalau boleh Nana tidak mahu terikut-ikut penulisan orang lain yang lebih sempoi. Jadi biarlah Nana dengan gaya penulisan Nana yang seperti sekarang. Baca untuk seronok-seronok dan menghayati pengalaman orang lain, betul tak…? Okey…Sekarang Nana akan mulakan cerita yang pertama, dan ini kisahnya…..

KISAH SATU-BUNIAN..

Abah meletakkan serunai wak-wak (masa ni abah tak guna radio lagi) dan beberapa perkakas lain kedalam beg sandang untuk dibawa pada malam nanti. Tujuannya untuk pergi mendekut burung wak-wak selepas isyak. Sebenarnya kelmarin Mak Usu(adik emak) ada singgah kerumah, diberitahu hajat tekaknya pada emak, bahawa dia mengidam hendak makan daging burung wak-wak.

Katanya…”Kalau dapat makan sekali pun jadilah,buat masak goreng cili api…sedap kak.” Kecur tekak mak buyung membayangkan keenakan daging burung wak-wak sambil merenung wajah emak seakan meminta simpati.

Lalu kehendak mak usu itu segera emak khabarkan kepada abah.Abah mengerut dahi. “Hmmm…”Kedengaran helaan nafas abah yang panjang. “Takde benda lain ke nak di ngidamkan,burung wak-wak juga naknya….” Sambung abah lagi.

“Tapi……Izah (mak usu) teringin nak makan wak-wak, dah tujuh bulan dia ngandung, baru sekarang dia mengidam, tak dapat banyak sikit pun jadilah katanya….”

“Memang la boleh…..tapi abang tak janji boleh dapat banyak ke tidak,sebab nak pasang jaring lagi. Kat sini takde, kalau nak pergi pun, nun..kat jauh kedalam sana…”Sambil abah menunjukkan jari telunjuknya kedepan.

“Fauzi nanti temankan abang,nanti abang suruhlah dia apa-apa yang patut.”Emak tidak mahu mengalah.

“Hmm…yelah…” Dalam keterpaksaan abah mengalah, bukan tidak mahu tapi sebab abah keletihan bekerja, malamnya pergi mendekut burung lagi, tapi mujur keesokan harinya abah cuti. Emak hanya diam membisu, tidak mahu terus mendesak. Asalkan abah setuju, itu sudah cukup baginya. Mak usu pun berjanji bahawa suaminya (pak usu Fauzi) akan sedia menemani abah malam nanti, walaupun dia tidak ada pengalaman mendekut burung tersebut.

Seperti yang sudah dijanjikan, jam sudah mengenjak ke pukul 9.00 malam. Pak usu mula menghidupkan engine kereta, sementara abah sedang duduk ditangga sambil memakai kasut.

“Assalamualaikum… “Suara Mail jiran selang dua buah rumah datang memberi salam. ” Waalaikumsallam…” Salam Mail abah sambut.

“Tepat masanya aku sampai. Tunggu apa lagi jomlah..” Mail bersuara, sambil membuka pintu kereta.

“Yelah…cepat pergi, cepat balik ye dak..” Abah bingkas bangun lalu menuju kekereta. Sengaja abah mengajak si Mail sebab dia juga mempunyai pengalaman mendekut wak-wak bersama abah, sekurang-kurangnya tidaklah abah ‘bersendirian’ memasang jaring, membunyikan serunai wak-wak atau menangkap wak-wak nanti memandangkan pak usu Fauzi sememangnya zero dalam hal-hal tersebut.

Sukar hendak mengajar kalau dalam suasana gelap gelita. Abah kata nak tangkap wak-wak ni perlu bulan gelap, kalau masa bulan terang susah nak tangkap, sebab burung wak-wak nampak jaring yang sudah dipasang. Lagipun abah memang suka tangkap wak-wak bahagian atas (hutan kecil/kebun/berbukit), dari wak-wak bahagian bawah (kawasan rumah/paya/sawah).

Sebab wak-wak bahagian atas boleh dapat banyak sebab dia terbang sekawan dalam sepuluh ekor atau lebih, berbanding wak-wak bahagian bawah hanya suka berdua-duaan dengan pasangan saja. Kereta pak usu meluncur laju meredah kepekatan malam menuju ke destinasi yang telah dirancang. Sampai sahaja tempat yang dituju, dengan tanpa membuang masa abah, pak usu dan Mail pantas berjalan kearah hutan kecil yang akan dipasang jaring nanti.Jauh juga mereka bertiga meredah hutan kecil dari tempat pak usu memakir keretanya.

“Itu..kat…situ…sesuai kita pasang…jaring….” Mail menunjuk kearah tempat tersebut, sehingga tersekat-sekat dia bersuara dek kerana termengah-mengah sambil menunduk mencari ruang untuk dadanya normal bernafas. Justeru kerana itulah sukarnya untuk dia berjalan dalam kegelapan malam itu dan mengikut laluan denai sehingga adakala kakinya tersadung dengan akar-akar pokok yang berselirat ditanah.Usai memasang jaring….

“Kita duduk kat balik rumput tinggi tu.” Sambil berjalan abah menuju ke arah lalang yang merimbum tinggi itu,sambil diikuti pak usu dan Mail. Maka duduklah mereka bertiga dicelahan lalang tersebut, seakan menyorok dari serangan musuh lagaknya. Lama juga mereka berkeadaan begitu, berkemungkinan dalam setengah jam. Sehingga kedengaran sedikit keluhan dari mulut pak usu.

“Lama lagi ke…? Penatlah duduk sini lama-lama….” Rungut pak usu. Mail menjeling tajam.

“Ada tak biras ko bagi tahu,lama sikit nak kena tunggu. Kena sabar la sikit….” Balas Mail sambil membunyikan serunai wak-wak. Lantas jari jemari Mail seakan menari-nari mengikut alunan tiupan bibir Mail.

WAK…WAK….WAK….,sepi. WAK…WAK….WAK… Mail menyambung meniup serunai. Sepi lagi. Masih tiada tanda-tanda kelibat wak-wak akan muncul.

WAK….WAK….WAK….Mail masih tidak berputus asa. Kemudian dengan pantas abah menunjuk isyarat diam pada Mail.

“Shhhuuu….” Mail memandang abah dengan penuh tanda tanya. Dah ada ke burungnya..? Itu persoalan yang keluar dari benak Mail, tapi pak usu hanya diam membisu.
Abah cuba untuk mengamati suasana samar malam dihadapannya. Perasaan abah pada malam itu amat berlainan sekali, tidak seperti malam yang selalu abah pergi mendekut. Mungkin disebabkan ini kawasan yang berlainan bukan tempat yang selalu abah pergi.

Tapi memang berlainan sekali malam itu,kedinginan cuaca dan tiupan angin yang dingin terasa sehingga ketulang sum-sum. Tiba-tiba telinga abah tertacap pada satu bunyi, yang sedari tadi perlahan bunyinya, kemudian makin lama semakin jelas pula bunyinya.Kerana itulah abah menyuruh Mail diam disebabkan abah mahu mengamati bunyi apakah itu.

Nyanyian cengkerik,unggas dan katak yang bersahut-sahutan sejak dari tadi mulai tenggelam, yang didengari hanya bunyi orang sedang menyapu dihalaman rumah menggunakan penyapu lidi. YA….memang itulah bunyinya,bunyi orang sedang MENYAPU DIDALAM HUTAN..!!??

Masakan tidak. Walaupun hutan kecil tetapi keadaan tetap sunyi, sudah pastilah bunyi orang sedang menyapu bergema diruang udara dimalam yang sunyi itu. Bergerak-gerak cuping telinga abah cuba untuk mengamati bunyi orang sedang menyapu halaman sambil memerhatikan sekeliling dari arah manakah ia datang.Dengan perlahan Abah memejamkan mata lalu abah cuba untuk memusatkan pendengarannya.

Dalam sepuluh minit abah berkeadaan begitu. Mail dan pak usu yang sejak dari tadi mendiam, ralit memandang kelakuan abah.

Kemudian saat abah membuka matanya, tiba-tiba….abah ternampak samar-samar satu ‘perkampungan’ yang tiba-tiba muncul dihadapannya, seakan sedang melihat layar panggung wayang. Antara abah dan ‘perkampungan’ itu hanya lima meter sahaja jaraknya, terlalu hampir. Pak usu dan Mail hanya terdiam dan hampir melopong mulut mereka berdua apabila melihat satu ‘perkampungan’ asing yang entah bila munculnya. Sedangkan sewaktu tiba dan sehingga dari tadi hanya hutan sahaja kelihatan,depan belakang, kiri kanan, hutan sahaja.

Walaupun gelap keadaan disitu masih boleh nampak disebabkan cahaya torch light yang dibawa mereka. Mustahil mereka tidak perasaan akan ‘perkampungan’ tersebut. Kalau ada pun pasti ada cahaya lampu yang keluar dari celahan daun pintu dan tingkap.

Dan…perlu diingatkan ini bukan meraga sukma. Ia muncul secara tiba-tiba didepan abah. Nampak jelas ada kanak-kanak berlari sambil bermain bersama kawan-kawan. Ada seorang perempuan sedang leka menyapu sampah dihalaman rumah, ada beberapa orang lelaki dewasa sedang bersembang dan ketawa seperti ada cerita lawak gayanya. Namun ‘mereka’ yang diperkampungan itu yang sedari tadi sedang asyik dengan ‘kehidupan’ mereka tidak menyedari bahawa ada orang lain (abah, pak usu dan Mail) sedang memerhatikan tingkah laku mereka.

Mail dan Pak Usu berpeluh-peluh menahan takut, cuba untuk mengawal emosi diri. Pak usu sedang rungsing dan otaknya ligat memikirkan apakah yang sedang dilihatnya itu? Adakah dia sedang bermimpi? Seumur hidupnya tidak pernah dia melihat keadaan seperti itu. Apabila dilihat seperti ada dua dimensi, seakan ada pintu gerbang untuk kealam lain.

Dimana….kedudukan dia, abah dan Mail berada sekarang, GELAP GELITA…, manakala di ‘perkampungan’itu TERANG BENDERANG seakan waktu mereka masih lagi siang. Tetapi mereka yang berada di ‘perkampungan’ itu masih lagi leka melakukan aktiviti seperti biasa. Ada beberapa buah rumah kampung yang kelihatan, pakaian mereka pun seperti kita juga ,cuma ia seakan diera 50an atau 60an ala-ala P RAMLEE masa kurus, S ROOMAI NOR dan SIPUT SERAWAK,i baratnya begitulah kata abah padaku.

Abah memang ada terdengar mereka bercakap, tetapi abah langsung tidak faham akan butiran ayat yang keluar dari mulut mereka. Abah, Pak Usu dan Mail masih tidak berganjak duduk disebalik lalang, cuma hati abah berbolak-balik samaada mahu bangun pergi dan pulang sahaja atau tetap menunggu. Tetapi bila dikenangkan ada mak buyung yang mengidam, hatinya yang meronta-ronta untuk pulang terpaksa ditahannya. Mungkin disebabkan abah sudah ‘tahu’ apakah mahkluk yang sedang dilihatnya dan kerana itu jugalah abah tidak mahu berganjak dari kawasan itu, sebab bukan selalu dapat lihat dengan mata kepala sendiri ‘perkampungan BUNIAN’, asalkan kita tidak menggangggu mereka itu sudah cukup baik, FIKIR abah.

Tetapi….,baru sahaja abah MEMIKIRKAN perkara itu, tiba-tiba…..

“ASSALAMUALAIKUMMMM………!!!!”

Abah tersentak kerana terkejut mendengar suara dari seorang lelaki. Manakala Pak usu dan Mail sudah tentulah paling terperanjat dan tersedak air liur sehingga mengeletar kepala lutut mereka apabila mendengar ada orang memberi salam dalam gelap. Tetapi menurut kata abah lagi selepas sahaja ‘orang’ itu memberi salam terus ‘perkampungan’ yang abah lihat tadi HILANG….GHAIB…!!

Suasana didepannya dari tadi terang, hingar-bingar mendengar keriuhan kanak-kanak bermain, seorang perempuan menyapu di halaman rumah yang tak sudah-sudah, suara orang bersembang dan ketawa…terus LENYAP….!! Keadaan menjadi sunyi semula. Tetapi abah tetap menjawab salam ‘orang’ itu.

“WAALAIKUMSALLAMMM…….”

Menoleh sahaja abah, terlihat seorang lelaki tua, dengan rambut yang beruban ,berjanggut yang memutih hingga ke paras dada, berjubah putih serta berserban sedang senyum pada abah. Dan ini antara perbualan abah dan orang tua misteri itu…

Orang tua- “Buat apa kat sini?”

Abah- “Sebenarnya kami tengah mendekut burung wak-wak.untuk orang mengandung, dia mengidam nak makan wak-wak, kalau boleh tak dapat banyak sikit pun jadilah. Tapi…rasanya dah lama kami tunggu kat sini, tak muncul-muncul pulak burungnya…”

Orang tua- “Yang awak tengok tadi tu kampung saya, yang menyapu tadi tu isteri saya dan yang budak-budak main tu…, salah seorangnya cucu saya dan yang lain tu semua orang-orang kampung saya…..”

Abah- “Saya minta maaflah kalau saya dah masuk salah tempat,langsung takde niat nak ceroboh tempat orang…”

Orang tua- “Tak apa.. sebenarnya saya dah perati anak bertiga ni sejak dari tadi lagi. Semasa…..kamu semua tengah pasang jaring lagi tapi kalau nak wak-wak, selepas saya pergi ni ada sekumpulan wak-wak pertama akan muncul dari arah sana. Ambillah tapi….   ambik yang itu sahaja, kemudian kamu boleh balik. Jangan ambik kumpulan wak-wak yang kedua pulak,itu untuk ‘kawan’ sana nak makan….ini amaran bukan cadangan…faham….!!!”

Abah- “Saya faham.. Terima kasih ye…”

Orang tua- “sama-sama…”

Kemudian berlalulah orang tua misteri itu dan terus lenyap dari pandangan abah. Abah mula ligat berfikir….

KAWAN…? Siapa pula KAWAN yang hendak makan burung wak-wak tu?Maka….memang benarlah kata orang tua misteri itu, tidak semena-mena datang sekumpulan wak-wak dalam sepuluh atau lebih dari arah bukit yang ditunjuk orang tua tadi. Pak usu dan Mail pun dengan tanpa berlengah terus mengutip wak-wak yang mengelupur dek tersangkut dijaring. Untuk tidak membuang masa abah terus mengajak pak usu dan Mail pulang.

Sebab sejak orang tua itu mengatakan ada ‘KAWAN’ dikawasan itu,hati abah mula rasa tidak sedap. Jam sudah menunjukkan ke angka 1pagi. Berjalanlah abah bersama Pak Usu dan Mail menuju kekereta. Kesemua burung wak-wak itu disimpan didalam bakul jarang yang diperbuat daripada buluh agar burung itu tidak m**i. Masuk sahaja mereka kedalam perut kereta, dengan pantas pak usu terus menghidupkan engine kereta, namun engine tidak dapat dihidupkan, dia mencuba lagi… pun tidak berjaya.

Berkali kali pak usu cuba hendak menghidupkan engine kereta tetapi tetap juga tidak berhasil. Abah duduk disebelah pak usu, sambil menyuruh pak usu bertenang dan menyuruhnya membaca Alfatihah, Ayatul Qursi dan tiga Qul. Mail yang duduk dikerusi belakang berpeluh-peluh menahan ketakutan. Sesekali abah mengerling kecermin sisi disebelahnya. Pembaca semua nak tahu apa yang sedang dilihat abah didalam cermin sisi itu…?

Ada seekor HANTU RAYA yang sedang enak melahap daging burung wak-wak yang sudah terkulai sehingga ternampak akan d***h segar memancut-mancut keluar dari leher wak-wak itu. Seakan ‘Ia’ perasan akan abah yang sedang ralit melihatnya disebalik cermin dan seperti satu kepuasan apabila ‘Ia’ meratah dengan lahap daging wak-wak itu sambil mengekeh ketawa memandang abah.

HEH…HEH…HEH…HEH..!!!.(macam tulah kut bunyinya). Akhirnya berjaya juga engine kereta dihidupkan. Tapi sebelum kereta bergerak sempat juga abah mengambil segenggam tanah dibekas tempat kaki dimana abah memijak. Kemudian sampai disatu tempat yang sunyi dan lengang terus abah membaca beberapa p****g ayat lalu dihembus ketanah tersebut, lalu terus dilemparkan tanah keudara mengikut arah angin.T akut HANTU RAYA tu mengikut pulang.

Dalam masa yang sama, abah terlihat kelibat ‘Ia’ cuba mengikut sambil bergayut diatas pokok seakan monyet. Seraya abah melemparkan segenggam tanah keudara, terdengar tempikan suara yang nyaring disebalik pokok ditepi jalanraya yang lengang itu.

WOOOOOO……….Melolong-lolong ‘Ia’ menempik kuat, seperti dalam kesakitan. Kemudian abah ternampak sepasang mata yang merah menyala disebalik pokok itu, namun mata yang bulat dan semerah biji saga itu mulai hilang dari pandangan sedikit demi sedikit sejerus sahaja abah melemparkan tanah diudara. Alhamdullillah……

Akhirnya perjalanan sampai kerumah pun selamat dan keesokannya dapatlah mak usu makan daging burung wak-wak,walaupun dia tidak tahu apa yang sudah ditempuh oleh suaminya(pak usu),abah dan Mail demi mengikut kehendaknya….

KISAH DUA-BAJANG…..

Kisah ini berlaku dalam tahun 2003, ketika ini kami baru berpindah dari Shah Alam ke Meru (tempat tinggal sekarang). Kiranya perumahan baru yang kami duduki sudah ramai yang duduk, dari fasa satu sehinggalah fasa dua. Rumah kami difasa satu, dilorong 1.

Kejadian yang berlaku itu terjadi sebuah rumah di fasa dua, dilorong 6. Pada malam kejadian, aku, abah dan emak terdengar bunyi bising dari luar rumah. Apabila aku cuba mengintai disebalik langsir sliding door, aku ternampak beberapa orang jiran terkocoh-kocoh berlari menghala ke lorong 6.

Pelik…? Aku bermonolog dalam hati,kerana itulah yang sedang aku fikirkan saat itu.

“Kenapa…?” Abah bertanya secara tiba-tiba.

“Entah…” Ringkas jawapan yang ku beri sambil mengangkat bahu. Tapi apabila dilihat seperti kes berat pula yang berlaku. Kemudian emak menghampiri abah seraya berkata.

“Cubalah pergi tengokkan, mana tahu ada benda serius ke…?”

“Yang seriuslah malas nak masuk campur, biarlah situ…!”Balas abah.

” Ha….tu tengok, Pian pun pergi tengok…, mesti penting tu…..”Sambil emak menunjuk-nunjuk kearah cik Pian yang berlari-lari anak dijalan. Lalu..,sempat abah memanggil cik Pian (jiran selang dua buah rumah kami).

“Kenapa Pian…?Apa yang berlaku..?”
“Bang Jai…kat lorong enam ada dua laki bini bergaduh…!” Cin Pian menjawab persoalan yang bersarang dihati kami seraya tadi.

“Laki bini yang bergaduh…,habis tu kenapa pulak korang yang macam tak betul je larinya…?” Abah tergelak kecil.

“Tak…. la bang Jai….,ini gaduh lain macam…, sampai laki dia… hempas bini dia kat lantai..!!Boleh jadi kes polis tuh..!!”Bulat mata cik Pian menerangkan kedudukan yang sebenar.

” Ye keee….,serius tu..! Jom, jom,aku pun nak tengok…!”Menderu abah berjalan beriringan dengan cik Pian menghala ke lorong 6.

Ini cerita dari abah,sebab aku dan emak dilarang pergi.
Sampai sahaja abah dirumah tersebut, dari luar rumah terlihat sudah ramai jiran tetangga berkerumun dihadapan pintu rumah itu. Cuba untuk melihat apa yang sedang berlaku. Ketika itu ada abah terdengar dari belakang cakap-cakap jiran disitu bahawa si suami tiba -tiba mengamuk, terjerit-jerit ketika waktu senja tadi.

Isterinya cuba memujuk, kemungkinan suaminya hadapi tekanan bekerja. Tetapi lain pula yang jadi, secara tiba-tiba isterinya ditampar dan perutnya ditumbuk bertalu-talu. Isterinya cuba berlari keluar dari rumah sambil memimpin tangan dua orang anaknya, namun….tidak sempat dia hendak berbuat demikian kerana suaminya terlebih dahulu menarik rambutnya yang panjang sehingga tersungkur isteri dan anak-anaknya ke lantai.

Terus tanpa belas kasihan perut isterinya dipijak-pijak, mujur dua anaknya sempat bangun dan lari keluar menjerit meminta bantuan jiran. Itu serba sedikit kronologi kes yang berlaku.

Berbalik pada apa yang abah sudah lihat, ada dua orang perempuan sedang duduk sebelah-menyebelah si isteri sambil mengesat d***h yang keluar dari bibir dan hidung. Ternampak ada bengkak dan lebam dibibir dan mata. Anak-anaknya sudah tentulah dalam ketakutan kerana ia berlaku didepan mata mereka, trauma mungkin. Manakala si suami sudah di ikat dengan tali dibadannya oleh jiran ditiang depan rumah.

Abah berdiri dicelahan orang ramai yang berkerumun disitu. Dari jauh abah memerhati sambil membaca beberapa p****g ayat rukyah untuk pendinding diri kemudian abah membaca beberapa ayat lalu dihembus dari jauh tanpa di sedari oleh orang-orang yang berdiri disebelah abah.

Dengan tanpa disangka,lelaki yang telah diikat itu memandang tepat kemuka abah..!! Terperanjat abah dia boleh merenung abah dengan pandangan yang tajam sebegitu. Bukan niat abah hendak menunjuk pandai, cuma ingin memastikan samaada dia gila ke, memang panas baran ke orangnya atau ada ‘benda’ lain dalam badannya.

Tetapi apabila dia merenung dengan pandangan yang sebegitu pada abah,seolah-olah telah mengetahui sesuatu, selepas abah menghembus ayat dari jauh kearahnya, memang SAH…ada BENDA lain dalam badannya. Memang benarlah apa yang abah fikirkan sebaik sahaja sampai kerumah lelaki itu. Dia telah dikuasai sesuatu tetapi dia tidak dapat nak mengawal ‘benda asing’ yang telah mengawal tubuhnya.

Memandangkan abah masih baru diperumahan itu dan masih belum mengenali antara satu sama lain, kalau boleh abah tidak mahulah terus meluru pergi mengubat orang tanpa meminta izin dari tuan punya badan atau keluarganya. Nanti dikatakan menunjuk pandai pula. Kemudian polis tiba, kerana sudah ada jiran yang telah menghubungi polis.

Setelah selesai mendengar penjelasan beberapa orang jiran disitu, dua orang polis cuba untuk menahan si suami itu tadi, tetapi dihalang oleh isterinya.Dia mengatakan bahawa dia tidak apa-apa, cuma suaminya tidak sedar sewaktu memukulnya. Menangis-nangis isterinya menghalang polis dari menahan suaminya. Akhirnya dua orang polis tersebut tidak dapat membawa suaminya kebalai kerana telah dihalang oleh isterinya.

Dengan itu polis terpaksa menganggap kes itu sebagai masalah rumahtangga. Tetapi polis sempat menasihati jiran-jiran disitu, jikalau ternampak atau terdengar berlaku lagi perkara seumpama tadi,segera lapor pada pihak polis. Jangan tidak-tidak, kalau lambat mungkin akan membahayakan nyawa isteri serta anak-anaknya walaupun dia dalam keadaan tidak sedar.

Pulang sahaja abah kerumah,abah pun menceritakan pada emak dan aku tentang kejadian tadi. Jam sudah mengenjak kepukul 12 malam. Abah masuk bilik untuk tidur kerana esoknya abah hendak bekerja. Nak dijadikan cerita…., malam itu abah bermimpi didatangi satu makhluk yang sungguh menakutkan rupanya.Dia datang menghampiri abah,maka berlaku perbualan antara abah dan makhluk tersebut.

Makhluk- “KENAPA KAU DATANG KACAU AKU…HAHHHH…!!?”

Abah- “AKU TAK KACAU KAU…BILA MASA AKU KACAU KAU..!!?”

Makhluk- “KAU KACAU AKU…SAAT AKU TENGAH BUAT KERJA….KAU TAK INGAT KE..!!?”

Abah- “KAU DUDUK KAT BADAN DIA,KAU PUKUL BINI DIA..DAH TENTU AKU NAK TENGOK SIAPA YANG ADA DALAM BADAN DIA….!!!”

Mahkluk- “KAU TAK KENAL AKU KE…!!?”

Abah- “DAH TENTU AKU KENAL KAU…KAU SYAITAN…!!!”

Makhluk- “AKU…BAJANGGG……!!!HA HA HA…AKU NAK DIA JADI TUAN AKUUU……!!!”

Abah- “NYAH…KAU DARI SINI SYAITAN… KAU DATANG LAGI DALAM MIMPI AKU….. ATAU KAU KACAU ANAK BINI AKU…..AKU B***H…KAU….!!!!”

Terus abah terjaga dari tidurnya dalam keadaan termengah-mengah dan berpeluh.Sumpah…!Saat ini berdebar-debar dada abah,sungguh kuat degupan jantung bila teringatkan mimpi tadi. Sungguh abah tidak sangka, berani dia datang dalam mimpi, datang hendak mengganggu tidurnya.Tetapi abah sendiri tidak tahu apa untung nasib lelaki itu,samaada terima siBAJANG itu jadi pemdampingnya atau tidak. Ini kerana sebulan selepas itu,s uami isteri itu berpindah….

KISAH TIGA-POCONG BETINA….

Masa ni aku belum lahir lagi,abah pun baru berkahwin dengan emak dalam 6 atau 7 bulan. Tetapi masa ni abah dan emak menyewa rumah di Padang Jawa dan ketika itu abah baru bekerja di sebuah kilang di seksyen 15 Shah Alam sehingga dia pencen (lama tu nak bertahan)dan ketika ini, Shah Alam sedang pesat membangun.Pada malam kejadian…, abah terpaksa pulang lewat kerana overtime.Jadi abah terpaksa mengayuh basikal dari seksyen 15 hingga ke Padang Jawa (ya..,abah mengayuh basikal demi mencari sesuap nasi untuk dia dan emak), masa ni abah belum mampu nak beli sebiji motosikal ditambah pula baru nak hidup berkeluarga.

Kalau hendak diikutkan memang jauh tetapi apa boleh buat sudah rezekinya bekerja disitu dan hati kena kental kalau nak mencari rezeki, kata abah pada ku. Dalam perjalanan dari Shah Alam ke Padang Jawa abah perlu tempuh satu landasan keretapi (landasan lama,belum ada komuter lagi), turun dari kawasan Seksyen 16 terus ke landasan keretapi Padang Jawa, disitu abah mengayuh basikal secara perlahan sebab ada batu-batuan dan kayu landasan yang melintang-lintang dan sebenarnya…, abah aku mengayuh basikal atas landasan bukan diluar landasan.

Kata abah…,sebab hendak cepat sampai,ada satu jalan pintas disebelah kanan landasan. Kemudian sedang leka abah mengayuh basikal diatas landasan sehingga bergegar-gegar basikal, tiba-tiba..abah terasa basikalnya seperti melayang, seakan ternaik sedikit..!!Cuba kalian bayangkan dalam kita mengayuh basikal diatas landasan yang dipenuhi batu dan kayu melintang,pasti ada gegaran,bukan?

Tetapi basikal yang abah kayuh itu seakan terapung, tanpa perlu abah bersusah payah hendak mengayuhnya. Tetapi pasti ada sesuatu bukan? Sebaik sahaja abah menoleh kebelakang,terperanjat abah ada seekor pocong…,

POCONG BETINA pulak tu..!!! Ini kali pertama aku mendengar pocong betina selalunya pocong jantan. Kenapa abah mengatakan pocong betina, sebab…diatas kepalanya memang ada punjut yang berikat tu, manakala dikain bawahnya tidak berikat langsung tetapi berkibar-kibar sahaja kain bawahnya apabila ditiup angin macam perempuan pakai telekung,lebih kurang begitulah.

Dia hanya berdiri statik sambil memegang tempat duduk belakang. Itu yang membuat basikal abah pun terapung melayang sekali. Tidaklah tinggi terapungnya,adalah dalam tiga inci…, jelas abahlah. Terfikir juga abah,bukan ke pocong melompat-lompat atau tergolek-golek dijalan ? Jelas abah lagi..,saat itu kalau toreh muka dengan pisau pun pasti tidak ada d***h yang keluar.

Mahu tidak pucat mukanya, lihat sahaja muka pocong betina tu memang boleh termuntah oren agaknya. Buruk betul wajahnya, sudahlah hitam rentung macam kulit terbakar,dengan baunya yang tidak enak terhidang didepan mata dan rongga hidung dan matanya yang kosong itu seakan tengah ‘merenung’abah. Jadi terpaksalah abah ‘melayan’ makwe warak ni berbual-bual.

“OO…KAK POCONG…, KAU DAH KENAPA PEGANG BASIKAL AKU…AKU NAK BALIK NI. KALAU KAU PEGANG BASIKAL AKU, TAK PASAL-PASAL AKU TERBAWAK KAU BALIK SEKALI….CEMBURU PULAK BINI AKU…”

Senyap sahaja,tiada jawapan….dan kak pocong itu akhirnya melepaskan basikal yang dikayuh abah sehingga terhentak kebawah, nasib baik tidak jatuh diatas landasan dan lebih parah lagi nasib baik tidak ada keretapi yang lalu.

Sempat abah mengerling kearah kakak pocong yang sedang melayang-layang menuju kebukit diseksyen 16, lalu terus ghaib dari pandangan mata. Akhirnya sampai juga abah kerumah dengan jayanya, walaupun masih lagi terbayang-bayang mata kosong kakak pocong yang rompong itu…

Alhamdullillah. Sampai sini yang termampu aku tuliskan dan itu adalah sedikit perkongsian cerita tentang abah.Kalau sampai seru lagi aku akan kongsikan kisah yang lain pula. Harap korang boleh terima dengan cara dan gaya penulisan aku ini dan terimalah seadanya. Terima kasih kerana sudi membaca SEKIAN.

Aku insan biasa,
NANA

NANA

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

12 thoughts on “#nana-BUNIAN, BAJANG DAN KAKAK POCONG”

  1. kipidap nana….kalau ada story lagi….pestime gak dengar rupanya pocong ada jantan ada betina pulak….cite bunian tu mmg best baca ….

    Reply
  2. “OO…KAK POCONG…, KAU DAH KENAPA PEGANG BASIKAL AKU…AKU NAK BALIK NI. KALAU KAU PEGANG BASIKAL AKU, TAK PASAL-PASAL AKU TERBAWAK KAU BALIK SEKALI….CEMBURU PULAK BINI AKU…”

    Part ni memang tak leh blah. hahahaha.

    Reply
  3. ohh nana….ohh nana yang comel …aduhai …..
    nana ohhh nana……
    keep it up ..terus kan menulis lagi …
    akak follow semua cerita kau dikkk …

    Reply
  4. Tulisan nana mengingatkan saya kepada almarhum tok awang ngah, penulis kisah-kisah misteri di awal dan pertengahan tahun 1980an. Gaya penulisan banyak persamaan, kisah yang disampaikan juga mempunyai persamaan, seperti tiada kebetulan. Punya pertalian d***h kah dgn tok awang ngah? Atau orang yang sama…? …tak mungkin

    Reply
  5. assalamualaikum. sy nk cari seseorang yg pandai buka hijab atau yg tau cara2
    nk bg nampak makluk di alam lain.. tujuan sy supaya sy boleh biasa tgk makluk tu dan sedikit sebanyak boleh melindungi keluarga kecil sy dari gangguan makluk halus tu nanti.
    – kalau dok kt area perak utara lg baguih

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.