#nana-SIAPA CIKGU DAHLIA..?

Dari dalam kelas…..

Bising…! Bingit…! Begitulah keadaan kelas tingkatan 5 Ikhlas apabila ketiadaan guru. Sehingga ada guru yang hadir ke kelas mereka pening kepala melayan karenah pelajar didalamnya. Haifa dan Ainul ligat bersembang dengan pelbagai topik, dari kisah sejarah, matematik hinggalah gosip artis terkenal. Termasuklah beberapa orang pelajar lain dari setiap meja dikelas berbincang dengan topik masing-masing dan ada yang berbual sambil ketawa berdekah-dekah umpama menonton maharaja lawak.

Dari luar kelas……

Kelihatan ada sepasang kaki melangkah kemas menuju ke arah kelas tingkatan 5 Ikhlas. Cikgu Dahlia nama diberi. Berkebaya merah, berkain batik lepas, rambut disanggul rapi diselitkan dengan bunga cempaka disisi. Bersepatu tinggi berwarna merah, berjalan penuh lemah gemalai mengalahkan sang primadona. Lagak gaya seperti cikgu tahun 50an.

…………………………………………………

Cikgu Dahlia meletak beberapa buah buku dan beg tangan di meja. Kelas 5 Ikhlas yang sedari tadi bising dan riuh mulai sunyi sepi dengan kehadiran cikgu baru. Cikgu Dahlia memandang satu persatu wajah pelajarnya.

“Pelik ya…? Dari luar cikgu dah dengar suara kamu semua, bukan main lagi bising…! Masuk saja saya ke dalam kelas, terus senyap…!” Cikgu Dahlia bersuara sambil tersenyum lebar menampakkan baris-baris gigi.

Kesemua pelajar hanya diam. Tiada sebarang reaksi yang dipamerkan oleh mereka saat cikgu Dahlia melontarkan kata-kata permulaan. Mungkin kerana terkejut akan kedatangan cikgu baru ke dalam kelas mereka. Ini kerana mereka langsung tidak dimaklumkan akan kehadiran cikgu baru ke dalam kelas mereka. Kalau ada pun cikgu yang sedia ada di sekolah tersebut. Dan yang membuatkan mereka bertambah terkejut lagi, cara pemakaian cikgu Dahlia yang persis ratu kebaya zaman 50an.

Haifa mula mencebik dan bermonolog didalam hati… “Macam lawa sangat…, dah macam Normadiah pulak, hihihi….” sambil ketawa sinis.

Sepantas itu juga cikgu Dahlia memandang tepat ke anak mata Haifa sambil tersenyum meleret. Terkejut Haifa dipandang begitu.

“Biar betul cikgu ni, dia dengar ke apa yang aku cakap tadi…?” Haifa sedikit kaget namun sedaya mungkin Haifa tidak menunjukkan reaksi spontannya itu.

Lalu cikgu Dahlia melangkah ke hadapan seraya berkata.
“Nama cikgu…., Dahlia. Hari ni…, hari pertama cikgu mengajar di sekolah ini. Jadi cikgu minta kerjasama dari kamu semua, dengar kata-kata yang cikgu, jangan buat bising dan yang penting… jangan cuba-cuba nak MELAWAN, faham…..” Sambil memandang serius di setiap wajah-wajah pelajar dikelasnya.

“FAHAM CIKGUUUU……..!!!!!” Serentak suara pelajar 5 Ikhlas bersuara.

“Cikgu ada terdengar guru kelas kamu, cikgu Haryati mengalami keguguran sebab terlalu tertekan dengan perangai kamu yang tidak mendengar cakap, suka buat bising dan suka sangat melawan. Sehingga kebanyakkan guru-guru lain tidak mahu mengambil alih untuk jadi guru kelas didalam kelas 5 Ikhlas ni. Betul ke….?”

Haifa dan Ainul berpandangan sesama sendiri.
“Takkanlah sebab kitorang bising, sampaikan cikgu Haryati keguguran Cikgu, mungkin kebetulan kut. Janganlah sebab Cikgu Haryati keguguran, kami pulak dipersalahkan. Semua tu kan dah takdir, dah takde rezeki. Nak buat macam mana”, Haifa bersuara bersahaja sambil tersenyum sinis kepada cikgu Dahlia. Ada sedikit tanda ketidakpuasan pada hatinya. Seraya itu juga terdengar ketawa kecil dari beberapa orang pelajar yang seakan “menyokong” tindakan Haifa itu.

Namun, Cikgu Dahlia tidak cepat melatah, dia tetap tersenyum. Tersenyum seakan terhibur dengan kata-kata “nakal” dari Haifa, seorang pelajar yang terkenal dengan sifat nakal dan banyak mulut.
“Baiklah, hari ni saya taknak mengajar dulu. Apakata hari ni kita main satu permainan. Nak tak….?” Cikgu Dahlia memberi pendapat sambil mengerling tajam ke arah Haifa.

“Nak…!”
“Nak…!”
“Nak cikgu…..!!”
“Nakk…..!!”
Serentak itu juga para pelajar bersetuju dengan usul yang diberikan oleh cikgu Dahlia.

“Wowww….! Teruja sungguh kamu semua ya….”
Cikgu Dahlia mula tersenyum.

“Kalau permainan macam budak tadika, lebih baik tak payah cikgu”, Haifa menyampuk lagi.

“Tidak. Ini bukan permainan budak-budak. Permainan ni tidak perlukan barang atau keluar dari kelas. Kamu hanya duduk didalam kelas sahaja. Kamu hanya perlu pejamkan mata dan mendengar setiap apa yang cikgu katakan. Apabila kamu mendengar suara cikgu , kamu perlu bayangkan seolah-olah kamu berada ditempat yang cikgu akan ceritakan nanti. Anggaplah ini seperti cikgu sedang hipnosis kamu. Baiklah, cikgu harap kamu semua faham. Apa kata kita namakan permainan ni……., SELAMATKAN AKU……”
Cikgu Dahlia memberi penjelasan malah memberi tajuk sekali.

“Hipnosis…? Duduk kat sini….?”, Ainul inginkan kepastian sambil menunding ke arah kerusi yang didudukinya.

“Ya, hipnosis. Hanya duduk dikerusi kamu saja. Dengar dan cuba berada ditempat itu. Ingat….!! Jangan sesekali buka mata kamu. Buka apabila cikgu sebut perkataan SEGERA!!! Senang bukan…? Jadi kamu semua sudah bersedia…..?”

Mereka mengangguk.

“Sekarang saya nak kamu pejamkan mata. Tarik nafas dalam-dalam kemudian hembus dengan perlahan……”

Kesemua pelajar mengikut apa yang disuruh Cikgu Dahlia.

“Jangan buka mata selagi cikgu tak suruh. Kosongkan fikiran kamu, kosongkan fikiran kamu sekosong kosongnya. Lupakan seketika apa yang telah kamu alami. Kisah hari ini, kisah semalam, kisah kelmarin…. dan segala kisah yang pernah kamu alami…..”

Sambil menutup mata, mereka kelihatan tekun mendengar dan menghayati setiap baris ayat yang keluar dari mulut cikgu Dahlia. Kelihatan seakan mereka sudah masuk ke dalam hipnosis itu.

Ketika ini keadaan didalam kelas menjadi sunyi, cikgu Dahlia berasa tenang dengan suasana itu. Lalu cikgu Dahlia mula bersuara dengan lontaran suara yang tidak terlalu kuat tetapi cukup untuk membuat kesemua pelajar mendengar suaranya.

“Sekarang….. kamu berada disatu lorong kecil. Laluannya sungguh sempit, dikiri kanan terdapat lalang-lalang separas betis kamu dan hanya kamu seorang sahaja berada dilaluan yang sempit itu. Kemudian, kamu berjalan perlahan-lahan, merentas laluan kecil itu. Tiba-tiba, didepan kamu terdapat sebuah rumah batu satu tingkat ala colonial, berdindingkan warna putih yang kini sudah kusam warnanya kerana diselaputi dengan lumut dan debu. Pintunya yang berwarna hitam diperbuat daripada kayu yang hampir reput. Namun, rumah itu kelihatan uzur kerana dimamah mentari. Lantas kamu terus berjalan menuju ke rumah itu. Lalu kamu terus membuka pintu itu tanpa memberi salam. Daun pintu terbuka perlahan, selangkah kaki kamu masuk ke dalam rumah, sudah terhidang bauan hanyir seakan bau d***h kering disetiap ceruk ruang tamu rumah itu. Kaki kamu melangkah lebih ke dalam lagi. Suasana didalam rumah kelihatan samar-samar dan hanya dibantu cahaya dari luar rumah….”

Cikgu Dahlia terdiam seketika sambil memerhati raut wajah para pelajar di hadapannya. Masing-masing tetap setia dengan mata terpejam tanpa ada sebarang reaksi dan ekpresi. Hanya diam dan terpaku di tempat duduk masing-masing. Kemungkinan sedang berada di dalam situasi yang sedang cikgu Dahlia ceritakan. Sebenarnya cikgu Dahlia cuba untuk mengawal minda separa sedar mereka tanpa mereka sedari.

“Kini kamu begitu teruja menyelusuri setiap ceruk di dalam rumah itu. Cuba kamu pusing kekiri terdapat ada ruang meja makan yang kosong dan paling pula ke kanan, terdapat ada tiga pintu bilik dihadapan kamu. Pintu bilik pertama….. berwarna biru, pintu bilik kedua….. berwarna kuning dan pintu bilik ketiga….. berwarna merah. Kini kamu akan masuk ketiga-tiga bilik tersebut……”

“Pintu bilik pertama kamu buka…….”
Kali ini cikgu Dahlia diam seketika sambil melirik ke arah jam dinding yang terletak di dinding belakang. Apabila sudah cukup dalam kiraan satu minit, cikgu Dahlia…..

“Kini kamu buka pula pintu bilik kedua……”
Seperti tadi juga cikgu Dahlia menunggu dalam kiraan satu minit sambil melihat jam dinding yang terletak di belakang kelas.

“Akhir sekali, pintu ketiga kamu buka……”
Kali ini cikgu Dahlia menunggu sedikit lama, lebih kurang dalam dua minit……

Cikgu Dahlia tersenyum. Memandang wajah pelajar dihadapannya yang sedang terpejam.
“Sekarang kamu keluar dari bilik ketiga…..
Dan…. terus keluar dari rumah itu dengan…….. SEGERA…..!!!!”

Kesemua pelajar membuka mata mereka apabila cikgu Dahlia menyebut perkataan SEGERA.

……………………………………………………..

Namun ada sesuatu yang sedang berlaku…..
“Cikgu!! Kenapa dengan Haifa cikgu? Dia masih lagi tak buka matanya cikgu!”, Ainul panik melihat sahabat baiknya yang masih lagi tidak membuka mata. Jelas kelihatan peluh membasahi wajahnya. Haifa seakan dalam ketakutan, seperti sedang melihat sesuatu yang menakutkan didepan matanya.
Tiba-tiba, Haifa mula terjerit-jerit dan meronta-ronta ditempat duduknya.

“AAAAARRRHHHH……!!!! PERGI….!!! PERGI….!!! PERGI….!!!!!”

Pelajar di dalam kelas yang melihat keadaan Haifa yang seperti dalam kerasukan, mula panik lalu segera bangun dan berlari ke tepi dinding dan penjuru dinding.
Kemudian Haifa terus bangun dan meronta-ronta sambil kedua tangannya mendepang ke sana ke sini, lantas menjerit minta diri lepaskan.

“Lepaskan aku…!!! Lepaskan aku…!!! Tolongggg…!!! Tolongggg…….!!!!”

Tiba-tiba dengan tidak sengaja ada dua lagi pelajar perempuan juga turut meronta-ronta dan menjerit seperti keadaan Haifa. Ketika itu,didalam kelas 5 Ikhlas sangat kelam kabut. Ada yang lari keluar kelas dan ada yang masih bertahan tinggal didalam kelas, untuk menolong rakan-rakan mereka yang sedang dalam kerasukan. Mujur ada guru dari kelas sebelah datang untuk melihat keadaan.

“Kenapa ni…!! Kenapa diorang menjerit….!!”
Cikgu Zaidah dari kelas sebelah bertanya cemas sambil merangkul tubuh Haifa yang keletihan. Manakala dua lagi pelajar perempuan telah ditenangkan oleh pelajar yang lain.

“Ainul, awak tolong panggil Ustaz Meor dan ustazah Azizah, cepat….!!” Cikgu Zaidah memberi arahan.

……………………………………………………………

Keadaan di dalam kelas 5 Ikhlas sudah seperti biasa, tiada lagi suara terjerit-jerit dan suasana kelam kabut. Kesemua pelajar kini sedang berada didalam surau sekolah, atas arahan ustaz Meor. Haifa dan dua lagi pelajar kembali tenang namun masih dalam keadaan lemah. Tiada lagi terpancar riak ketakutan diwajah mereka.

“Alhamdulillah. Kamu bertiga dah ok…?” ustazah Azizah bertanyakan keadaan mereka.
Lalu menghulurkan tiga gelas air yang telah di baca surah oleh ustaz Meor kepada mereka bertiga agar lebih tenang.

Haifa dan dua lagi pelajar mengangguk.
“Saya dah ok ustazah….” ringkas jawapan yang diberi oleh Haifa dek kerana kepenatan akibat dari rontaannya yang terlalu kuat.

“Boleh ustaz nak tahu kenapa boleh jadi macam tu?”, Ustaz Meor inginkan jawapan.

“Ini sebab cikgu baru tulah, nak hipnosis kitorang!”, Ainul menunjukkan ketidakpuasan hatinya.

“Cikgu baru….? Ustazah, sekolah kita ada cikgu baru datang ke…?” Ustaz Meor berasa pelik.

“Mana ada ustaz. Pengetua tak cakap apa-apa pun…? Kalau ada, mesti cikgu Borhan akan beritahu…..”

“Ada ustaz, nama dia cikgu Dahlia. Dia pakai kebaya merah dan kain batik lepas. Rambutnya disanggul siap ada bunga warna putih lagi…!! Tak percaya, tanya diorang…..” Ainul tetap dengan jawapannya sambil menunding ke arah Haifa dan pelajar yang lain.

“Tapi, ustazah ustaz pasti, tidak ada cikgu baru yang masuk ke sekolah kita”, ustazah Azizah cuba meyakinkan Ainul.

“Apa yang cikgu Dahlia cuba hipnosis kamu?”, Ustaz Meor bertanya lanjut.

“Dia suruh kitorang masuk sebuah rumah ala colonial. Kat dalam rumah tu ada tiga bilik. Saya pun cubalah bayangkan, masuk bilik pertama…, saya bayangkan bilik mak ayah saya. Masuk bilik kedua…, saya bayangkan bilik kakak saya dan masuk bilik ketiga…., saya bayangkanlah bilik saya. Hahaha, itu je. Takdelah saya ambik serius sangat. Nanti takut kena marah dengan cikgu tu, muka dia lain macam sangat!!”, Ainul mula menjelaskan kejadian mereka di hipnosis separa sedar.

Ini juga turut diakui oleh pelajar yang lain, kebanyakan jawapan dari mereka, ketiga-tiga bilik adalah “kosong”. Tidak ada apa yang mereka ingin cuba bayangkan. Ada antara mereka cuba untuk masuk di dalam hipnosis itu, tetapi tetap tidak dapat hendak mengosongkan fikiran seperti yang di pinta cikgu Dahlia. Lagi dicuba, lagi pelbagai benda yang mereka fikirkan.

Kemudian Haifa mencelah……
“Tapi….., saya rasa…. Saya dah masuk ke dalam hipnosis tu. Bila saya masuk bilik pertama, ada seekor bangkai kucing yang sudah m**i. Terbaring ditengah-tengah bilik yang kosong, tiada katil ataupun perabut yang lain. Baunya sungguh busuk…!! Lepas tu saya terus keluar, sebab tak tahan dengan bau bangkai kucing tu…!! Kemudian saya masuk bilik kedua, saya lihat ada tiga ekor bangkai burung gagak pula yang tergantung ditingkap kaca tetapi kurang bau busuknya. Lepastu saya masuk bilik ketiga, bukak saja pintu bilik….. Terus saya ternampak ada seorang perempuan muda sedang menyisir rambutnya yang panjang dihadapan cermin antik….” Haifa membuka cerita pengalamannya termasuk didalam hipnosis cikgu Dahlia.

“Rambut dia sungguh panjang. Dia memakai baju kebaya merah dan kain batik lepas macam yang Cikgu Dahlia pakai. Saya fikir mesti perempuan ni cantik. Tiba-tiba, dia terus menoleh ke arah saya. Muka dia, saling tak tumpah macam cikgu Dahlia. Lepas tu dia terus senyum pada saya. Masa tu saya okey lagi, yang tak okey nya masa dia toleh je pada saya kepala dia terus terangkat naik ke atas…!! Badan masih kat bawah…!! Terkejut saya…!! Kepala cikgu Dahlia tercabut dengan rambut panjang dia tu, nak datang kat saya…!! Itu yang saya suruh PERGI..!! PERGI..!! PERGI…!!
Lepas tu tangan dia terus jadi panjang nak pegang saya. Lepas tu saya menjerit…., LEPASKAN AKU…!! LEPASKAN AKU…!! Bila dia taknak lepaskan saya, itu yang saya mintak TOLONG…..”

Panjang lebar penerangan dari Haifa menceritakan saat dia dihipnosis.

“Yang kamu berdua pulak kenapa menjerit, kamu nampak apa?” ustazah Azizah bertanya kepada dua pelajar yang turut terkena tempias dari Haifa.

“Saya nampak cikgu Dahlia tersenyum kat saya masa Haifa tengah menjerit-jerit, lepas tu kepala dia tercabut keluar dari badan dan terus melayang nak datang kat saya….”

“Saya pun nampak macam tu jugak, tapi bukan kepala yang nak datang kat saya…, tapi badan dia yang datang kat saya macam nak peluk saya….” cerita daripada dua pelajar tersebut yang masih dalam ketakutan.

Ustaz Meor beristighfar, terkejut dia mendengar cerita dari pelajar terbabit. Patutlah semasa dia cuba berlari hendak menuju ke kelas 5 Ikhlas, sepanjang laluan itu sehingga ke dalam kelas dia terbau sesuatu yang busuk. Kerana itulah dia menyuruh kesemua pelajar pergi ke surau agar tidak berlaku lagi kejadian yang tidak diingini.

“Itulah lain kali, bising lagi. Kan dah ada
” benda” yang marah. Dia dah datang sakat kamu semua”, Terpacul cikgu Zaidah memberi peringatan.

“Cikgu Zaidah, itu semua kerja syaitan. Lagipun dah lama sekolah ni tidak diganggu, kali ni dia buat balik…” Ustaz Meor berasa kerisauan.

Ustaz Meor berdiri menghampiri tingkap melihat suasana diluar surau. Dikepalanya mula memikirkan sesuatu…..,
“SIAPA CIKGU DAHLIA….?”

Penulis bukan pilihan,

#nana

.

Nana
Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 4.5]

11 comments

  1. Cikgu Dahlia aku x pernah dengar…Tapi cerita Cikgu Suraya da banyak kali aku baca dah…
    Kamu kenal siapa Cikgu Suraya??kahkahkah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.