#nana- Assalamualaikum kepada admin FS dan sahabat-sahabat FS dan selamat sejahtera kepada yang sahabat-sahabat yang bukan beragama islam. Semoga kita semua sihat-sihat hendaknya dan di sentiasa dibawah rahmatNya, Aamiin…
Memandangkan kita di hari baik dan bulan baik, ada satu cerita yang ingin Nana hendak ceritakan. Sengaja Nana hantar entry ini, yang tidak terlampau seram sehingga ada yang cuba menjenguk ke bawah katil. Ianya bukanlah kisah seram, tetapi lebih kepada misteri dan ia sekadar perkongsian cerita khusus untuk sahabat-sahabat fs diluar sana. Berdasarkan kejadian sebenar yang pernah diceritakan seorang kakak kepada Nana beberapa lama dahulu. Ia berlaku dalam sekitar penghujung tahun 90an, dan ada sedikit penambahan sos perisa dan tiram untuk melancarkan jalan cerita. Jadi selamat membaca….
………………………………………………………
8.30 pm…
Suhaila melirik jam ditangan. Laju dia mempercepatkan langkahannya. Sesekali ditoleh kebelakang melihat deretan kereta yang bergerak laju ditengah jalan raya. Dimalam itu Suhaila hanya berjalan sendirian sambil menyusuri semak dibahu jalan, ini membuatkan dirinya terasa gerun apabila melihat kelajuan kenderaan pada malam itu. Dan memaksa untuknya berjalan hampir ketepi di bahu jalan, sehingga membuatkan dirinya hampir terjatuh dek kerana kakinya tersadung terpijakkan batu kerikil yang sedia ada memenuhi di bahu jalan.
“Lajunya kereta….”Gumam Suhaila, sambil menoleh melihat ke arah kereta yang bergerak laju umpama F1 di jalanan.
Suhaila terpaksa keluar berjalan kaki pada malam itu untuk ke pondok telefon. Memandangkan dirumahnya tiada telefon, jadi terpaksalah dia meredah juga dikepekatan malam itu. Berjalan sendirian menyusuri bahu jalan berhampiran pekan. Dia perlu beritahu pada sahabat baiknya Azlina, kerana kemungkinan keesokan harinya dia tidak dapat hadir kesekolah kerana perlu menjaga neneknya dihospital. Memandangkan ibunya hanya tukang masak dikantin sekolah dan ada tanggungjawab lain iaitu menjaga dua lagi adiknya yang masih kecil dan seorang lagi perlu untuk dihantar ke sekolah. Ibunya hanyalah ibu tunggal yang kematian suami. Jadi Suhaila perlu bersama-sama dengan ibunya menggalas tanggungjawab.
Adakalanya ada juga Suhaila terfikir, kalaulah arwah ayahnya masih ada dan kalaulah arwah ayahnya tidak terkena canser kolon sudah tentulah perjalanan hidupnya tidak sesukar seperti yang dilaluinya sekarang. Dia akui ajal dan maut ditangan Allah, siapalah dia untuk menidakkannya. Tetapi didalam masa yang sama dia juga berasa kasihan pada ibunya yang terpaksa melakukan pelbagai kerja demi menyambung kelangsungan hidup mereka sekeluarga. Sementalah juga ibunya perlu menjaga nenek sebelah arwah ayahnya yang sedang uzur.
Disebabkan keuzuran dan darah tinggi yang naik mendadak, neneknya terpaksa ditahan di wad dan orang yang paling sesuai untuk menjaga neneknya adalah dirinya sendiri. Suhaila memaksakan diri untuk tidak hadir kesekolah demi menjaga neneknya di hospital. Kerana itulah dia perlu segera kepondok telefon untuk menghubungi Azlina, kawan sekelas merangkap sahabat baiknya. Hanya Azlina sahaja yang boleh membantunya untuk sampaikan pesanannya kepada cikgu Norlida akan ketidakhadirannya kesekolah pada keesokan harinya dan kemungkinan terpaksa dianjakkan dalam beberapa hari lagi. Justeru itu juga ia adalah tahun yang penting untuknya menghadapi peperiksaan SPM.
……………………………………………………
Dirumah Azlina….
Azlina membelek-belek buku sekolah yang tersimpan kemas di rak buku. Ditangan kirinya tergenggam erat buku teks yang akan diletakkan didalam beg sekolah. Memandangkan esok waktu persekolahan jadual waktu pembelajaran perlu di ikuti,kalau tidak alamat beratlah beg sekolahnya. Tat kala ini ada perasaan tidak enak yang sedang melanda dirinya,dia sendiri tidak pasti kenapa. Namun ditahannya sedalam mungkin.
“Kenapa malam ini hati aku rasa tidak sedap…? Peliklah, selalu tak ada pun….”
Azlina melirik kearah jam di dinding, sudah mengenjak ke pukul 9.15 malam. Kembali duduk di kerusi sambil menyiapkan saki baki kerja sekolah. Tiba-tiba….
KRING…..KRING…..KRING……KRING……
Bergema bunyi telefon disetiap ruang dan ceruk rumah teres setingkat yang di diami Azlina sekeluarga. Kelihatan Anggun adik Azlina yang baru darjah dua datang menghampirinya.
“Along….,ada call…”
“Siapa….?”
“Kak Su….”
Azlina bingkas bangun mendapatkan telefon yang terletak ditengah ruang tamu.
“Hello….”
Senyap…. Langsung tidak kedengaran suara dan hembusan nafas dihujung talian. Azlina menekap betul-betul ganggang telefon ditelinganya.
“Hello…….”
Azlina masih tidak berpuas hati.
“Su…! Kau ke tu…!? Kau ni..,janganlah main-main….!!”
Sepi lagi………
“SUHAILA….!!!” Azlina terpaksa meninggikan suara walaupun hakikatnya dia terpaksa.
Tiba-tiba….., terdengar tangisan sayu dihujung talian. Azlina cuba mengamati suara itu dan memastikan suara siapakah yang sedang menangis didalam kesedihan.
“Su….,kau nangis ke..? Aku minta maaflah kalau aku tertengking kau tadi. Habis tu dah kau tak nak cakap….,terpaksalah aku tinggikan suara. Aku minta maaf ye…”
Selepas Azlina berkata begitu, semakin jelas kedengaran tangisan sayu itu.
“Ina……, boleh tak kau cakap dengan cikgu Norlida, yang aku tak dapat datang esok…” Teresak-esak kedengaran Suhaila bersuara menahan tangis dihujung talian.
“Ha….,ada pun suara engkau Su. Aku ingat kau dah taknak cakap lagi. Kau nak pergi mana..?”
“Aku nak temankan nenek aku kat hospital. Mungkin lama kut aku tak datang sekolah.”
“Tak apalah. Nanti aku cakapkan kat cikgu esok. Tapi aku nak tanya, kenapa kau nangis tadi…? Sebab aku tengking kau tadi ke…?”
“Tak adalah. Aku sedih je. Takut tak dapat jumpa kau lagi lepas ni…”
Azlina menggaru kepala yang tidak gatal.
“Apa yang kau merepek ni…? Bila-bila masa kita boleh jumpalah. Nanti aku jenguk nenek kau sekali kat hospital nanti. Jangan risaulah….”
“Nanti…kau doakanlah aku ye Ina…”
Azlina semakin pelik dengan ayat-ayat yang keluar dari mulut Suhaila. Betul ke kawan aku ni…? Azlina bermonolog.
“Yelah,nanti aku doakan kau dan nenek kau sekali supaya cepat sembuh, ok…. Puas hati. Kau pun doakan untuk aku juga,supaya bertemu jodoh…!! Ha ha ha….”
Sempat Azlina bergurau sambil ketawa sehingga memecah suasana diruang tamu rumahnya.
“Ok..ok…,aku gurau je tadi. Sekolah pun tak habis, nak bertemu jodoh konon…”
Tetapi dihujung talian langsung tidak kedengaran suara Suhaila sedang ketawa. Sepi sahaja sedari tadi. Azlina cuba untuk berdiam dan mendengar secara senyap di telinganya. Cuba untuk mendengar suara Suhaila dicorong telefon.Sepi seperti tadi.
“Suhaila………” Azlina cuba memanggil.
“Emm……”
Azlina berasa sedikit lega mendengar suara Suhaila semula.
“Nampaknya aku ketawa seoranglah tadi..? Kenapa kau senyap je, risau pulak aku…!”
Dicorong telefon kembali senyap….,tiada jawapan. Azlina semakin keliru. Difikirannya mula memikirkan yang bukan-bukan. Suhaila kah itu….?
“Suhaila………..”
“Emmm……….” Hanya kedengaran itu sahaja. Kemudian…, Tuttttttt……………….
Azlina terkejut talian telefon terputus begitu sahaja. Ganggang telefon diletak perlahan. Pelbagai persoalan yang berlegar-legar dimindanya. Kenapa malam itu lain benar Suhaila bercakap dengannya.
Jam menginjak ke pukul 10.30 malam, sambil berbaring Azlina memandang ke siling, sesekali terlihat pula kipas di siling yang sedang ligat berpusing. Azlina masih lagi memikirkan hal tadi. Kemungkinan dia tertekan agaknya…., Azlina bermonolog sendirian.
TOK…TOK…TOK… Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Segera Azlina bangun,lalu memulas tombol pintu.
“Kenapa mak….?” Terlihat wajah emaknya yang kelihatan berwajah sugul.
“Dah tidur ke…?” Tepat anak mata emaknya memandang kewajah Azlina sambil mengusap-ngusap rambutnya.
“Belum…, kenapa mak…?” Azlina pelik melihat kelakuan emaknya. Dan secara tiba-tiba terus emaknya memeluk erat tubuhnya sehingga berjujuran air mata emaknya bagai tidak dapat dibendung lagi. Azlina semakin tidak mengerti, tadi Suhaila berkelakuan pelik dan sekarang emaknya pula.
“Kak long…,mak harap kak long tabah ye..? Suhaila dah takde, dia… dah meninggal….”
Bagai halilintar Azlina mendengar ayat itu. MENINGGAL.
“Meninggal….?”
“Ya….dia dah meninggal dunia. Baru je tadi ibunya ada call. Masa dalam perjalanan nak pergi ke pondok telefon, dia dirempuh kereta dari belakang. Ibunya cakap dia nak telefon Kak long…”
Kali ini Azlina benar-benar tidak dapat membuat riaksi yang bagaimana. Menangis kah….?
“Mak, tadi mak cakap dia kemalangan semasa dalam perjalanan ke pondok telefon. Habis tu,dengan siapa Kak long bersembang tadi..?”
“Entahlah…, sebab ibunya dapat tahu ada kereta rempuh dari berlakang. Terus dia melambung di tengah jalan, lepastu ada kereta lain tak sempat nak elak dah langgar dia kat situ jugak. Tak jauh dari pondok telefon yang dia nak pergi tu la….?”
Mendengar sahaja penjelasan dari emaknya, terus Azlina terduduk dan menangis semahu-mahunya.
“Tapi….,baru je Kak long cakap dengan dia. Dalam pukul 9.30 malam. Tak percaya tanya adik,dia yang angkat fon dulu…”
Emaknya mengerutkan dahi.
“9.30 malam…? Tapi…ibunya cakap ada saksi yang nampak. Menurut kata saksi tu, Suhaila tak sampai lagi kat pondok telefon tu. Kemalangan tu pun berlaku dalam anggaran pukul 8.45 malam. Tadi pun ibunya telefon kat hospital. Sekarang Arwah Suhaila ada dibilik mayat…”
“Mak….,Kak long nak tengok dia buat kali terakhir. Kita pergi hospital…!” Bercucuran air mata membasahi pipinya,memohon dan merayu meminta untuk dibawa ke hospital untuk menatap wajah sahabat baiknya buat kali terakhir.
“Kak long…,hanya ahli keluarga sahaja yang dibenarkan melihat jenazahnya. Tak apa malam ni kita pergi rumah dia. Kita tunggu dia kat sana, kita temankan adik-adiknya…”
Emaknya cuba mententeramkan Azlina sambil menyapu lembut air mata yang membasah dipipi anak sulungnya itu.
…………………………………………………….
Sejak dari malam tadi sampai sahaja di rumah Suhaila, Azlina menanti dengan penuh setia akan ketibaan jenazah sahabat baiknya. Sehinggalah ke tanah kuburan saat ini. Azlina hanya melihat dari jauh jenazah Suhaila diturunkan dari liang lahad hinggalah saat dia di talqinkan. Ramai sanak saudara,jiran tetangga dan sahabat handai sama ada satu kelas atau satu sekolah hadir di hari pengkebumian Suhaila. Kemudian Cikgu Norlida mula menghampirinya.
“Dia anak murid yang baik,sahabat yang baik,anak yang baik,cucu yang baik. Sebab itu ramai yang menangisi pemergiannya.”
Azlina tersenyum hambar kearah cikgu Norlida.
“Ya….,dia sahabat yang paling baik. Hari tu dia ada beritahu yang dia rindu sangat dengan ayahnya,teringin nak jumpa lagi dengan arwah ayahnya walaupun sekali. Nampaknya Allah benar-benar sudah makbulkan doanya….”
Cikgu Norlida cuba menahan sebak,sesekali dia menyeka air mata dari mengalir.
“Azlina cuba tengok, ibunya, neneknya dan adik-adiknya. Kalau kita berasa sedih akan kehilangannya, apatah lagi dengan mereka. Paling terkesan tentulah ibunya, sudahlah kematian suami. Kini,anak kesayangan pula. Anak yang ibunya harapkan untuk membantunya bila sudah bekerja nanti,hm…..” Cikgu Norlida mengeluh panjang.
Azlina hanya mendengar sayu. Kali ini dia tidak mampu untuk berkata-kata. Biarlah saat ini dia berdiam. Saat ini berdiam adalah lebih baik. Teringin dia hendak menceritakan perihal malam tadi. Tetapi….,adakah yang percaya. Kalau dia beritahu sekalipun bahawa malam tadi Suhaila ada bercakap dengannya ditelefon pasti tidak ada sesiapa yang akan mempercayainya. Saksi yang ada pun hanya adiknya sahaja, Anggun.
Azlina menyirami air mawar ke atas kuburan Suhaila. Dihabiskan saki-baki air dan bunga mawar yang mewangi didalam jag. Semakin berkurangan orang di tanah perkuburan. Tidak lama kemudian, usai segala urusan jenazah Suhaila, Azlina memeluk erat ibu Suhaila. Kedua-duanya menangisi kepergian insan tersayang,seorang anak yang ingin menjadi kebanggaan keluarga dan seorang sahabat yang sentiasa ada di saat susah dan senang. Kemudian ibu Suhaila menyapu air mata yang kian mengalir lebat dipipi Azlina.
“Malam tadi tak sempat dia nak bercakap dengan kamu. Alangkah bagusnya kalau dia sempat bercakap dengan kamu….” Luahan rasa terkilan mula terbit dihati ibunya.
Azlina memandang tepat kemata ibu Suhaila.
“Makcik yang suruh dia telefon kamu,sebab dia tak dapat hadir ke sekolah hari ini. Sebab nak jaga neneknya dihospital. Tapi…..,tak sangka pula dia betul-betul tak kan dapat hadir kesekolah lagi….” Kedengaran perasaan bersalah yang keluar dari bibir ibunya.
Kemudian Azlina berjalan beriringan dengan emak dan ibu Suhaila sambil ibu Suhaila menolak wheel chair yang diduduk oleh nenek Suhaila sambil berlalu meninggalkan kubur yang didiami arwah Suhaila. Mujur pagi itu juga neneknya dibenarkan keluar dari hospital. Itupun kerana doktor yang merawat neneknya bersimpati akan kematian Suhaila.
Suasana pagi itu sungguh hening, angin mula bertiup lembut, menyapu dingin disetiap ruangan kulit. Sesekali terhidu bauan bunga cempaka dipersekitaran tanah perkuburan itu, wangi dan mendamaikan. Azlina melangkah lemah. Azlina menoleh lagi di pusara Suhaila, entah kali yang keberapa. Memandang sayu dikejauhan. Disaat ini hatinya mula memikirkan sesuatu. Memikirkan saat malam kejadian itu…
Kalau Suhaila sudah “pergi” saat dia sedang melangkah kepondok telefon untuk menghubunginya, jadi dengan siapa pula dia sedang bercakap di telefon pada malam itu, termasuklah adiknya Anggun. Dan siapa pula yang sedang menangis tersedu-sedu dihujung talian dan siapa pula yang meminta Azlina mendoakan dirinya. DOA….?
Kini barulah Azlina mengerti kenapa Suhaila meminta Azlina untuk mendoakannya.
“Baiklah sahabat,aku akan sentiasa mendoakan kesejahteraan mu disana,semoga kau tenang SAHABAT…..”
Saat ini ada manik-manik jernih mula berguguran dikelopak matanya…
-tamat-
p/s- Dikesempatan ini Nana ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada sahabat-sahabat FS andai ada komen-komen Nana selama ni yang menyinggung perasaan atau ada yang terasa hati. Maaf…., itu bukanlah niat ku. Hanya sekadar bergurau Dan menyakat penulis sahaja. Termasuklah kalau ada cerita-cerita yang Nana hantar tak best ke,layankan je lah ye. Dan akhir kata, Nana ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN untuk admin FS dan sahabat semua. Sayang korang ketat-ketat.
Penulis bukan pilihan,
#nana
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
apa yang kau merepek ni?
Merepek??? Engkau tu yang merepek..!!!
zaha meroyan, tak dapat bukak hijab
Best
Sedih ?
sedih nyee
sedeh cerita nie.