Nek Jah

Assalamu’alaikum semua pembaca FS. Nama aku Ana. Aku merupakan seorang guru yang bertugas di selatan tanah air. Kisah ini berlaku ketika aku bertugas di Malaysia Timur, dan mengiringi anak-anak murid ke satu program di Semenanjung.

Kami bertandang ke salah sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor untuk sama-sama menjalankan satu program Kem Kebudayaan. Anak-anak murid aku yang ikut serta ketika itu ada lebih kurang 21 orang dan hanya 5 orang lelaki. Kami menginap di asrama sekolah tersebut. Aku dan guru-guru pengiring lain ditempatkan di bilik rawatan asrama perempuan manakala murid-murid perempuan ditempatkan di salah sebuah dorm di situ. Lelaki pula diletakkan di bilik rawatan asrama lelaki. Masa mula-mula menginap di situ agak ‘cuak’ juga aku dengan keadaan asrama. Aku juga merupakan bekas penghuni asrama, jadi aku tahu banyak makhluk yang ingin menumpang tidur di asrama begini. Tapi aku kuatkan hati juga walaupun hakikatnya memang penakut. Malam pertama aku menginap di situ tiada apa yang berlaku. Alhamdulillah.

Esoknya aku terjaga oleh selawat dan zikir oleh penghuni asrama perempuan itu. Sekolah ini merupakan sekolah agama, jadi itu memang perkara rutin dilakukan setiap hari. Semasa kami bersarapan, aku bertanya anak-anak murid perempuan bagaimana mereka malam tadi. Mereka berpandang-pandangan antara satu sama lain. Salah seorang daripada mereka, Nad memulakan cerita.

“Semalam kami kena ganggu, cikgu.”

“Ganggu macam mana?” soalku. Dalam hati mula la berdebar-debar. Tak kena kat cikgu, anak murid pula jadi mangsa.

“Kitorang semalam berborak-borak sampai jauh malam. Rasanya dah sampai pukul 1 pagi masa tu. Tiba-tiba terdengar bunyi pintu loker kena hempas. Terus kitorang naik atas katil, tido.”

Aku cuma tergelak. Padan la muka korang, siapa suruh berborak sampai jauh malam. Tapi Nad meneruskan cerita.

“Masa saya nak tido tu saya dengar orang lompat dari satu katil ke satu katil, cikgu. Mana ada orang lain dalam dorm tu, kitorang je yang ada. Takkan yang lain-lain nak melompat-lompat pulak!”

Aku bertanya pada yang lain-lain, ada tak mereka buat kerja pelik nak melompat-lompat atas katil. Mereka menafikan, malah ada juga yang dah pun dibuai mimpi ketika itu. Tapi yang masih belum tidur mengakui terdengar bunyi yang sama. Mereka juga merungut, ‘kan sekolah agama ni, kenapa ada juga gangguan’.

“Alah, ‘benda’ tu nak uji awak je. Orang baru katakan… korang pun tah solat tah tidak,” aku menempelak. Beberapa orang cuma tersengih.

Kami meneruskan program di sekolah tanpa ada apa-apa insiden. Namun, selepas program petang itu beberapa orang murid perempuan datang mengadu.

“Cikgu, budak-budak lelaki sekolah takutkan kitorang. Diorang cerita pasal Nek Jah,” adu mereka.
Dah siapa pulak Nek Jah ni, tertanya-tanya aku.

“Siapa Nek Jah tu?”

“Nek Jah tu kira resident ghost kat sini la cikgu. Memang ada je dia kat sini. Selalu kalau yang kacau tu Nek Jah la!”

“Dah, awak semua jangan duk fikir-fikir pasal Nek Jah la, pasal orang main lompat-lompat la. Kita datang sini nak buat benda baik, Insya Allah tak ada apa-apa.” Aku memberi kata-kata semangat kepada mereka walaupun pada hakikatnya aku sendiri dah kerisauan. Aku bertanya kepada rakanku, guru sekolah itu tentang Nek Jah. Dia cuma ketawa.

“Haah, ada budak-budak ni cerita pasal Nek Jah. Tapi aku tak pernah jumpa la Na. Taknak aku jumpa!” katanya sambil ketawa.

Malam itu hampir-hampir saja aku berjaga semalaman disebabkan teringat Nek Jah. Jangan la kau munculkan diri depan aku. Namun, Alhamdulillah kami di bilik rawatan dapat tidur tanpa gangguan.
Keesokan pagi salah seorang murid perempuan yang kupanggil Mira membuka cerita.

“Cikgu, semalam saya nampak kat tandas, cikgu.”

“Awak nampak apa?”

“Malam tadi saya nak pergi tandas. Ada satu tandas tu pintu tertutup. Sekali tu saya tengok kat lubang lantai tandas, ada kepala dengan rambut panjang kat situ. Rambut dia ikut air mengalir. Muka menakutkan, cikgu,” ceritanya dengan wajah whatever.

Untuk pengetahuan semua, pintu tandas asrama ini jenis yang agak tinggi dari lantai. Ada ‘longkang’ kecil untuk saliran dan ada lubang air antara dinding tandas dengan tandas sebelah.

“Habis tu awak buat apa?”

“Dah tandas tu ada orang, saya pergi la masuk tandas lain!”, selamba dia menjawab. Dah kenapa la kau ni budak… kalau cikgu kau ni, dah lama jatuh pengsan kat lantai tu. Tapi sebenarnya aku kagum juga dengan keberanian dia. Kalau yang lain mungkin histeria dah malam tadi.

Esoknya kami ke sebuah pusat membeli belah untuk bershopping sebelum pulang menaiki komuter. Waktu itu sudah melepasi Maghrib. Dari stesen komuter, kami menaiki beberapa buah teksi untuk pulang ke asrama. Teksi yang aku naiki merupakan teksi ketiga. Sesampainya di kawasan sekolah, aku menyuruh pemandu teksi menghantar kami sehingga ke depan asrama perempua di bahagian belakang. Malas nak jalan kaki sebenarnya. Teksi-teksi lain tak ku nampak ketika sampai di asrama. Maknanya mungkin mereka berhenti di bahagian hadapan blok-blok asrama itu. Aku menunggu murid-murid lain sampai di bangku depan asrama. Lama kutunggu tapi anak-anak murid perempuan masih belum sampai. Ah, sudah. Mana pulak budak-budak ni.

Tiba-tiba aku ternampak Mira berlari-lari mendapatkan aku. Wajahnya cemas. “Cikgu! Cikgu! Tak tau kenapa Nor tu! Tiba-tiba dia jadi pelik!”

Aku hairan, pelik macam mana tu?

“Tak tau, cikgu. Tiba-tiba dia menangis-nangis tapi kami tak tau kenapa. Dia taknak cakap apa-apa, menangis je!”

Aku bergegas mencari Nor. Dia dan murid-murid lain berada di kawasan asrama lelaki. Bila terjumpa aku tengok dia masih menangis teresak-esak tetapi tak mahu bercakap apa-apa. Aku cuma memeluknya sambil beristighfar. Aku rasa dia bagai kena gangguan tetapi disebabkan aku pula period, dan dalam keadaan badan yang kotor serta penat ini aku juga ada risiko histeria (aku memang selalu histeria / mengamuk disebabkan saka dalam badan), aku melepaskan Nor dan berdiri di tepi.

Kemudian aku memanggil salah seorang murid lelaki asrama itu dan memintanya memanggil seorang guru atau ustaz yang ketika itu baru habis berjemaah di surau asrama. Bergegas ustaz datang ke tempat kami berkumpul. Bila dia melihat keadaan Nor, dia menyuruh kami pulang ke asrama dan solat berjemaah di surau asrama perempuan. Aku mengarahkan murid-murid perempuan membawa Nor ke sana. Bilik rawatan tempat kami menginap itu bersebelahan dengan surau asrama perempuan. Selepas mereka solat, mereka datang ke bilik kami. Aku lihat Nor sudah semakin tenang, tetapi masih tak mahu bercakap apa-apa. Kusuruh saja mereka pulang ke dorm.

Mira pula duduk berbual bersama-sama kami. Aku bertanya kepadanya, sebenarnya apa yang terjadi? Bukan ke dia bersama-sama Nor dalam satu teksi tadi. Akhirnya dia membuka cerita.

Selepas turun dari teksi, dia bersama-sama Nor dan seorang murid lelaki, Mizi, berjalan pulang melalui gajah menyusu. Mereka ternampak ada seekor kucing di situ dan Nor yang sukakan kucing berhenti seketika untuk bermain-main dengan kucing itu. Namun kucing itu tiba-tiba menjadi marah dan mendengus. Pelik dengan keadaan itu, mereka biarkan kucing tersebut dan berbual bertiga.
Tiba-tiba dari jauh mereka dengar budak-budak asrama lelaki menjerit “Nek Jah! Nek Jah!”.
Mira berasa pelik dengan jeritan tersebut, tetapi teruskan berbual dengan Nor dan Mizi. Namun perbualan mereka terhenti apabila Mira ternampak seorang perempuan berkelubung muncul di sebelah Mizi yang masih rancak bercerita.

Mukanya kurang jelas tetapi badan perempuan itu cuma separuh sahaja sehingga pinggang. Mira memandang Nor dan melihat muka Nor berubah. Bermakna Nor juga nampak sesuatu. Nor terus berpaling berjalan laju-laju tanpa sepatah kata, dan mula menangis. Mira terus berlari mengikut Nor meninggalkan Mizi yang termangu-mangu. Mereka berdua terus berjalan laju-laju memasuki blok asrama. Mizi pula berlari-lari mengikut mereka sambil bertanya “Kenapa ni? Kenapa ni?” Memang dia tak nampak apa-apa walaupun Mira lihat jelas perempuan berkelubung itu di sisinya. Setibanya di blok asrama, Mira membisikkan kepada Mizi apa yang berlaku. Pucat lesi muka Mizi mendengarnya. Nor pula masih teresak-esak. Ketika itu Mira nampak aku menunggu di bangku lalu dia berlari mendapatkan aku.

Aku akhirnya menyuruh Mira pulang ke dorm dan sama-sama dengan yang lain menenangkan Nor. Aku rasa Mira ni memang seorang yang kuat semangat dan berani. Kalau tidak masakan dia masih boleh bercerita dengan tenang. Tambahan pula malam sebelum itu dia terjumpa kepala di tandas. Kalau aku, memang dah lama aku ajak cikgu balik naik flight malam itu juga! Esoknya Mira bercerita kepadaku, bila dia tanya Nor, makhluk yang dilihat oleh Nor berlainan daripada yang Mira sendiri nampak, walapun muncul di tempat yang sama, iaitu di sebelah Mizi. Bagaimana rupa makhluk tersebut? Undescribable. Itu jawapan Nor. Dan sehingga kini kami tidak tahu apa yang telah dia nampak.

Petang itu anak-anak muridku beriadah di padang asrama. Aku pula menguruskan perihal program mereka di dalam bilik. Tiba-tiba pintu bilikku diketuk dan dua orang muridku masuk. Mereka teragak-agak seketika sebelum berkata, “Cikgu, tadi masa kami main kat padang, tiba-tiba saya tengok muka Nor berubah jadi pucat lesi dan dia pandang pada satu arah je.”

“Habis tu, Nor kat mana sekarang?” soalku. Risau pula aku dengan keadaan Nor. Sementelah kami berada jauh dari keluarganya sekarang.

“Kitorang bawak dia masuk surau. Sekarang ni ada dalam surau, kitorang mengaji sikit-sikit.”

“Dia ok tak?” soalku lagi. Mereka menjawab rasa-rasanya dah ok sikit.

Alhamdulillah, kataku. Aku berharap tiada lagi insiden pelik selepas ini. Mereka ada sehari lagi di asrama ini.

Akhirnya program kami berakhir dengan lancar dan kami pulang ke Borneo dengan selamat. Bimbang juga aku bila keadaan ini terjadi sebab aku mengiringi anak-anak murid sekaligus bertanggungjawab atas keselamatan mereka. Pada aku perkara-perkara ini memang benda biasa terjadi di asrama tapi anak-anak muridku kebanyakannya tidak pernah tinggal di asrama dan agak excited sikit bila dapat tidur beramai-ramai di dalam satu dorm. Mungkin keterujaan mereka menyebabkan Nek Jah juga teruja untuk mengusik.

Murid-murid di sekolah berasrama penuh yang aku ceritakan ini, tentu ‘kenal’ dengan Nek Jah. Nek Jah dah melawat anda ke belum? Sekian kisah aku kali ini. Wassalam.

6 thoughts on “Nek Jah”

  1. Beraninya si Mira tu. Nampak kepala pon masih lagi pergi tandas sebelah. Kalau aku dah tak boleh tido malam dah.

    Reply

Leave a Comment