Sekali lagi jutaan terima kasih kepada admins yang dikasihi kerana sudi memaparkan kisah-kisah seram hamba sebelum ni. InsyaAllah aku tengah rajin menaip sekarang. Idea pun melimpah -limpah seiring dengan kenangan lalu yang tiba-tiba timbul balik dalam kepala. Kepada khalayak FS, moga anda sejahtera selalu. Sebenarnya, kisah-kisah ni dah lama aku karang dan simpan. Tapi tak tahu nak cerita kat siapa atau nak post ke mana. Jadi setelah bertemu cinta pandang pertama dengan admins FS ni, aku ambil keputusan untuk berkongsi di sini. So …enjoy the story ya.
Ini kisah yang berlaku masa aku dah berkerja di sebuah depo kontena yang terletak di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Tak silap aku tahun 2001. Masa tu company aku ni antara syarikat besar juga la. Orang tanya kerja apa? Kembang kempis hidung aku bagitau nama company. Padahal kerja kuli je pun. Tugas aku kat sini adalah memantau pergerakan kontena keluar masuk ke depo setiap hari. Ada kontena yang masuk via road dan ada yang datang via rail. Kerja sini ada 3 shift. Pagi, petang dan malam. Kerja pagi syok, hang happy pi awai balik awai. Kerja petang pun syok. Banyak masa kosong siap boleh main ping pong tiap petang. Kerja malam lagi syok, boss tadak, boleh karoke, boleh main gym, boleh keluar masuk ikut suka hati. Asalkan kerja hang jalan elok tadak sangkut…hang buat la apa pun. Supervisor pun sama naik juga perangai dengan anak buah. Tapi kerja malam juga sangat tak syok, bila partner hang call bagitau .. “bro…aku MC malam ni..” Bila dapat panggilan macam tu mood syok hang langsung melayang ke langit malam yang hitam.
Sebab, bila partner tak datang ertinya hang kena stay seorang diri dalam depo yang seluas 10 padang bola, dipenuhi timbunan kontena dan dikelilingi hutan bakau. Satu lagi, bila kena pi seal kontena kat railway hang kena pi sorang. Nu kat belakang depo nuuuu…tempat jin bertendang baq hang.
Pada suatu night shift malam minggu, partner aku call bagitau dia MC. Dejey sungguh. Bagitau last minit pula memang takda replacement la. Kena pula malam minggu mana ada member nak ganti. Keadaan depo malam tu sunyi sepi. Apa bunyi karoke ke forklift ke apa pun takda. Trailer pun takmau masuk depo. Melangut la aku sorang-sorang dalam kabin 40kaki yang bertingkapkan kaca dari hujung kiri ke hujung kanan. Bila duduk dalam kabin tu hang boleh nampak segala macam yang berlaku kat luar. Waktu siang orang luar tak nampak hang kat dalam sebab tinted. Bila malam, hang boleh nampak luar, yang kat luar pun boleh nampak kat dalam.
Jam di dinding tepat terpacak pada pukul 1 pagi. Aku sumpah tak boleh tidur walaupun lampu dah tutup. Cahaya lampu luar masih terang menyimbah ke dalam kabin. Sunyi dan hening.
‘Krrrriiinngggg……krriiinnnnggg’ tersentap aku dengan bunyi telefon tengah malam buta ni. Ganggangnya ku angkat dan letak di telinga.
“Edi, loko on the way. Tolong final check up semua kontena. 20units 38teus. Check wagon lock dengan seal sekali” Kedengaran suara Sham, staff KTMB dari corong telefon.
Ini yang aku tak gemar. Jam 1 pagi kena pi ke railway untuk pre departure. Bukan tak pernah buat. Tapi tiap kali buat job ni dok berdebar tu lah. Jadi aku tabahkan hati dan capai kunci motosikal. Di pinggang aku terselit torchlight jenama Dolphin yang sebesar alam tu.
Tiba di railway side, aku tongkatkan moto tapi enjin tak tutup. Biar bising sikit takda la nak seriau gigi sangat. Aku perhati keliling kot-kot ada kehadiran staff KTMB boleh juga jadi peneman. Tobat la takda. Depa pun kalau malam takdanya nak pergi rail side tu tanpa sebab. Aku biarkan motor aku dengan enjin hidup dan terus buat pemeriksaan wagon. Satu persatu aku check dari wagon 1, 2,3 hingga wagon 4. Hampa tau tak wagon tu apa? Pernah tengok keretapi bawa kontena kan? Itulah wagon. Dia memang khas untuk bawa kontena sahaja. Kalau bawa penumpang pakai makan asap la sepanjang jalan. Takda dinding takda kerusi. Dia ada lantai ja. Tiba di wagon 4 aku terpaksa panjat naik sebab ada kontena laden(berisi) yang belum seal. Sedang terbongkok-bongkok pasang seal aku pasang telinga….sunyi. Aku jengoi kepala tengok motor aku kat belakang. Enjin m**i siot. Patut la sunyi.
Dah siap seal aku pun turun dapatkan motor dan ubah ke depan sikit bagi dekat dengan aku, dan enjin aku biarkan on lagi. Aku teruskan tugas tadi hingga ke wagon ke 9. Tengah check lock, enjin motor aku m**i lagi sekali. Ah..sudah! Takkan tuning low? Lagi sekali aku menapak ke motor dan start enjin bawa pula ke depan. Kali ni aku lajak terus dan parking dekat dengan wagon ke 13. Nanti aku patah balik jalan kaki je ke wagon 10. Lepas park motor dengan enjin hidup aku pun jalan patah balik, baru 10 langkah enjin motor padam. Dalam hati aku dah berasa macam nak lari balik tidur celah ketiak mak. Tapi masih berfikiran waras dan positif. Aku biarkan je motor tu m**i di situ dan terus jalan ke wagon 10. Sambung lagi tugas aku ke wagon seterusnya hinggalah ke wagon 17, motor aku dah kembali tertinggal di belakang dan masih berbaki 3 wagon untuk aku selesaikan. Kemon bro you can do it. Peluh dah mula merembes di badan. Malam tu panas. Angin pun takda.
Tiba di wagon 18, sekali lagi aku kena naik ke atas untuk seal. Ada kontena yang belum terkunci dengan baik. Aku pun naik, buka lock dan tutup balik pintu dengan kuat.. ‘gedegaaaaaanng’ bunyinya memecah keheningan malam
Serentak dengan itu aku dengar bunyi… ‘creeeettt…creeeettt….vrrrroooommmmm’
Otomatik kepala aku berpaling ke motor. Allahu….lahanat mana start motor aku ni woiiiii??? Tadi hang nak tutup sangat ni nak start pula. Waktu ni dada aku dah berombak sakan. Berasa seluruh urat d***h mengembang dan berkumpul di leher. Telan air liur pun tak lepas.
Lampu motor aku terang menyuluh pada wagon nombor 13. Aku punya cuak hampa jangan tanya nuh. Kalau boleh nak buat-buat pengsan kat situ juga tapi kalau aku pengsan sekarang confirm esok pagi baru orang jumpa aku. Tak guna la berlakon kalau kena dok situ sorang-sorang sampai ke cerah. Macam mana nak buat ni??
Lantas, aku ambil keputusan untuk buat bodo. Sebab mau takmau aku kena setle lagi 2 wagon. Kalau tak setle esok pagi kena himbau dengan boss pula. Jadi dengan langkah bodo jugalah aku menuju ke wagon 19 dan 20. Dah siap lock yang aku sendiri tak pasti ok ke tak..terus aku gerak menuju ke motor yang masih hidup. Takda pilihan lain dah. Takkan nak berlari balik ke kabin? Jauh kot. Lagi macam-macam dok tunggu tengah jalan mau cirit aku dalam seluar.
Maka melangkahlah aku menuju ke motor Yamaha Sport tahun 1996 tu dengan lutut penuh goyangan. Baru beberapa langkah, aku perasan sesuatu di bawah wagon 13, wagon yang lampu motor aku tengah suluh dari tadi. Di antara wagon 12 dan 13, di atas batu railway ada sepasang kaki manusia seolah-seolah sedang tidur meniarap melintang atas besi landasan. Nampak kaki ja yang kotor dan kurus tak berapa putih tak berapa hitam. Pucat barangkali. Aku terkesima dan terpaku sekejap. Kaki aku sendiri berasa macam dipasung ke tanah. Mata aku terus memandang kaki tu dengan penuh yakin bahawa aku dah kena game malam ni. Cilakak betoi. Bulu roma aku….jangan kata bulu roma, habis semua bulu di badan pakat terpacak beramai-ramai. Ini bukan main-main dah. Bukan imaginasi, ini real. Kaki tu masih diam di situ seolah-olah menunggu aku datang.
Aku gerak selangkah ke belakang, bersedia untuk lari pecut jurus tak jejak tanah kalau ada apa-apa kejutan dari kaki tu. Ya…memang dia nak dajeykan aku malam ni. Lepas aku langkah selangkah, kaki tu bagai ditarik ke bawah wagon dan hilang dari pandangan. Aku masih kena gam kat tanah. Dalam hati cuba bertenang dan segala lipatan ayat-ayat suci mula terbentang di depan mata. Dari Al-Fatihah hingga Ruqyah semua aku tibai. Pesan-pesan ayah mula timbul di benak kepala.
“Toksah jadi jantan kalau takut hantu setan..” Padu…makan dalam bhaaaii…
Tiba-tiba dari bawah wagon aku dengar benda terseret berlaga dengan batu batuan landasan. Laju macam ditarik ke depan dan ke belakang. Entah dari mana datang kekuatan, aku tunduk ke bawah dan jenguk apa yang berlaku. Sekujur tubuh bersalut kain putih lusuh sedang berenang renang bawah wagon tapi laju. Macam berenang dalam swimming pool. Kejap dia ke depan kejap dia ke belakang. Wajahnya aku tak nampak sebab dipaling kearah sana. Lampu dolphin aku jelas menerangi pentas aquatic mak lampir yang sedang membuat persembahan di bawah wagon.
Hampa pernah tak rasa macam ni? Dari perasaan takut sangat tiba-tiba bertukar jadi berani sangat. Itu yang berlaku kat aku. Tanpa cakap banyak, torchlight dolphin tu aku punggai ke bawah wagon.
“WOI B**I….BALIK LA WOIIIII….AKU NAK BUAT KERJA LA PELAAAAAQQQQQ!!!”
Itu yang terpacul keluar dari mulut aku dengan lantang. Takda dah nak jampi-jampi doa-doa bagai. Terus aku babikan dia tang tu jugak. Kurang ajaq…bedebah punya jin…mangkuk ayun…nohorrommm habis semua keluar tanpa skrip. Aku tak peduli dah masa tu. Kalau dia keluar memang aku tumbuk tang muka bagi lutut kat perut. Kurang asam betoi buat main time orang berkerja. Pi la main tang lain. Hilang terus rasa takut aku. Dada jadi kembang dan kepala jadi besar. Aku berdiri terpacak tunggu dia keluar. Lampu dolphin aku dah padam….dan enjin motor aku pun padam sama serentak. Aku geram sangat dah masa tu. Aku tunggu je apa dia nak buat pula lepas ni. Memang aku dah ready ni. Koboi pun koboi lah. Bukan nak cakap besar tapi rasa takut aku dah hilang 200%. Aku bayangkan dia macam perampas marka aku masa sekolah dulu ja. Makan kaki la hang satgi.
Lepas beberapa minit tunggu, mak lampir tu tak keluar. Suasana jadi sepi kembali. Hening dan bayu malam memuput lembut ke wajah aku yang berkeringat umpama The Rock yang baru belasah The Undertaker. Aku melangkah ke motor dan tiba-tiba bunyi pagar landasan dibuka. Aku pusing belakang nak tengok menatang apa pulak daaaaaahh dok mai nih! Dari jauh nampak kelibat lampu torchlight dan 2 orang memakai reflector vest masuk ke landasan diikuti sebuah lampu yang besar macam spotlight. Locomotive engine dah sampai untuk tarik wagon keluar. Fuhhhh…. Aku menarik nafas lega bagai baru sudah lari full marathon. Macam nak nangis pun ada. Punya la terharu nampak makhluk manusia.
Setelah berbicara sebentar dengan staff KTMB berkenaan tugas, aku start motor dan balik ke kabin. Aku hempaskan pintu kabin dan duduk berteleku di atas kerusi. Otak aku kembali memutar drama seram yang berlaku tadi. Begitu begini begitu begini aku berfikir. Macam nak cari kerja lain pun ada. Ini bukan pertama kali terjadi kat aku. Staff lain yang kena teruk-teruk pun ada. Jam di dinding dah menunjukkan pukul 3.35 pagi. Masih berbaki 3 jam untuk aku tamatkan shift ini. Perlahan-lahan aku tundukkan kepala mengenang si mak lampir tadi….dan mata aku terpaku pada seluar jeans jenama Dapper yang dah 2 tahun tak bertukar baru. Apasal basah sangat ni?? Hareeeyyy….aku terkencing dalam seluar…sial punya mak mak lampir!
Sekian.
hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
hahahahha…. cerita menarik dari takut sangt trust berani giler. tp tak tahan la bile baca ending dye… best!!!
kental brader ni…sergah sebelum kena sergah..memang petua lama ni..
best..makcik suka…kamu memang berani..kalau makcik dah pengsan dah….
nanti cerita lagi yaaa…
Cara hang ceghita memg sempoi abis utara style sgt.hahaha…
cerita seram tapi cara hang cerita memang lawak.
boleh jadi sumber inspirasi untuk yang takut hantu.
Lol!!!!
hahahahha lama saya tak gelak berdekah mcm ni bila baca crita hantu. Dlm seram, terselit lawak, dalam lawak terselit debar..Dlm masa yg sama geram dan berani bersatu. Cerita lah lg ya penglaman2 yg lain semasa mncari rezeki.Semoga Allah mmberkati setiap keringat tuan dan masa yang tuan korbankan utk kerja malam mcm tu.
Hang b**i kan dia.. Sib baik dia x b**i kan hang balik… Kot die jwb nnti, hang la b**i, siang hang pakai tpt ni, tgh mlm pn hang nk pkai jugak. Bg can la aku nk main berenang kuak kentang plak.. 😂
Aku saspek time hang jerkah mak lampir tu dan² hang terkencing kot😂 sambung lg pengalaman yg lain keh. best👍
Teman respek betul kt miker…mmg kental bro…biasalah cr rezeki…betul tu caranya…mmg bila kita dh takut…mcm2 boleh jd…jgn ckp lah…sekalipon pak imam…kalo dh sorang2 mcm miker kt situ pakkal terkencing lah…ajer handal…terus miker babikan jer…terbaik…teman suka citer ni
Seram melampau. Berderau d***h bila nampak “kaki” tu. Terbaik cerita
sempoi cerita hang. depo kontena tu memang banyak cerita seram. kawan aku pun ada cerita. dia keja situ jugak. aku selalu fikir macam mana boleh jadi seram sebab depo tu duduk dalam pekan. mungkin benda2 tu semua ikut sekali dgn kontena tu kot yang mai dari merata tempat. ikut wagon pun boleh jadi. cerita la lagii kalau ada cerita seram.
Terima kasih semua yang meletakkan komen. InsyaAllah kisah lain akan menyusul 🙂
“umpama The Rock yang baru belasah The Undertaker”
Hahahaha..tak menahan ayat ko Bro.
Terima kasih kongsi cerita.
Ada kelapangan kongsilah lagi 🙂
siap berenang tu hahahahaha
best nakkkk laggiiii
hahaha terbaik cite hang. seram lawak sempoiii
“mata aku terpaku pada seluar jeans jenama Dapper yang dah 2 tahun tak bertukar baru. Apasal basah sangat ni?? Hareeeyyy….aku terkencing dalam seluar…sial punya mak mak lampir!” hareyyyy hahahahahaah xD berdekah hhahaahaa
Hahahaha. Terima kasih share cerita…
Jenama Dapper? cer tukar jenama Dryper plak. Confirm tak hancing.
hahhaah lawak la weh. cerita la lagi tuan tanah kedaung!
Nice story…semua unsur ada… jgn lupa cerita lg kisah seram yg lain yea…
Kahkahkahkah. Patut la depa tak muncul. Bau hancing ghopanya.
hahahahaahhaha. loqlaq hang ni
YaAllah aku pon nak terkencing dlm suar baca cter ko ni wei!!!….HAHAHAHAHAHAHA…cter ko mmg padu beb pastu cara ko menulis walaupon sempoi tp mmg ade daya penarik nak org bagi baca smpai habis tanpa skip…seram tu ye tp kelakar dia x bole bwk bincang,nasib x de emoji gelak aku nak boh kat sini…kkkkkkkkk
Thorrbaik.. thumbs up
Mula ii cuak do baca.last ii senyum sorang ii.😂kalau aku x de nye nk tegur ii laru terus hahaha.
best baca cerita hang, ayat sempoi, gaya penceritaan tak boring baca, aku bagi rate 5 bintang kat hang!