Nurhan: Mambang Kuning Waktu Dia Mencari Makan

Mambang Kuning Waktu Dia Mencari Makan

Dulu pantang orang tua-tua, melarang anak-anak, bahkan orang dewasa masih bermain dan bekerja di luar rumah tatkala sang senja menjelma. Jika ditanya kepada orang Melayu, mereka percaya bahawa senja itu adalah masa jin dan syaitan keluar umpama sebanyak kekatu. Maka tingkap dan pintu rumah turut di tutup. Manakala binatang ternakan juga turut disimpan ke dalam bangsal atau di bawah bumbung. Tidak dibiarkan berkeliaran di luar seperti di siang hari.

Matahari kian tenggelam di hujung bukit nun jauh mata memandang. Cahaya jingga bercampur ungu makin lama kian menghiasi dada senja. Tetapi andai ada yang perasan ada hari tertentu, ada cahaya jingga yang terlalu terang, manakala cahaya ungu lambat untuk kelihatan di dada langit. Kata orang tua-tua itulah mambang kuning dan hari itu senjanya bukan seperti biasa. Cahaya jingga daripada sang matahari berbeza daripada hari lain.

Din terbongkok-bongkok di bawah rumah. Mencari Jagat, si ayam serama jantan kesayangannya yang tidak pulang. Sayangnya kepada ayam serama bagai anak sendiri. Sudah beberapa kali isterinya memanggil dia masuk sahaja ke dalam rumah kerana senja sudah tiba. Tapi dia masih degil, selagi tidak jumpa si Jagat, dia tidak akan tenang. Sesekali dua orang anaknya yang masih kecil, turut memanggilnya masuk. Namun tidak di endahnya.

“Jagat, Jagat..” Din memanggil sambil membunyikan suara ayam.

“Din, engkau masuklah dulu, usah kau cari si Jagat itu. Tahulah dia menjaga diri. Mambang kuning hari ini, Din..” Tok siak jiran sekampung sempat menegurnya supaya lekas masuk ke dalam rumah.

Din cuma diam sambil melambai tangan ke arah Tok siak. Dia mesti mencari Jagat dahulu. Lagipun dia tidak percaya sama mambang kuning. Tiada apa-apa akan berlaku. Lalu teruslah, lelaki itu mencari ayamnya. Merata-rata dia pergi. Di belakang rumah, di bawah rumah dan di reban ayam. Masih juga tidak jumpa.

Destinasi terakhir Din ialah di kebun yang berada tidak jauh dari rumah. Ketika itu keadaan terlalu sunyi. Tiada langsung bunyi. Cuma sesekali kedengaran bunyi Din memijak ranting kayu. Din sedar, dia seolah-olah berada di alam lain. Cahaya jingga makin lama makin pekat. Membuat kulit di tubuhnya kelihatan seolah-olah berwarna jingga dek bias cahaya senja itu.

Dari atas langit kedengaran seperti bunyi angin berpusing-berpusing bersiulan. Serentak bulu roma Din meremang. Din memandang ke langit, ada bayang hitam dari atas langit memanjang hingga menyentuh ke tanah. Serentak kaki Din kejang. Dia terjatuh. Mata Din membuntang memandang ke arah bayang hitam yang kian menghampirinya, tak terdaya untuk dia melarikan diri.

“Ya Allah, ya Allah..”
Bayang hitam sudah hampir. Sedepa sahaja jaraknya.

Seraya perut Din bagai di pulas. Teramat sakit. Buih serentak keluar daripada mulutnya. Din kekejangan seolah terkena sawan. Hidup matinya kini di tangan tuhan. Jelmaan hitam yang tidak dapat di hurai bagaimana bentuknya kian menghampiri. Sesekali seperti lidah seekor lembu.

“Allahuakbar, Allahuakbar..”
Suara seseorang melaungkan kalimah suci. Tangan tua Tok Siak memaut tubuh Din. Isterinya berlari mendapatkan Din yang tidak sedarkan diri. Jelmaan itu sudah pun hilang.

Keesokan harinya. Rumah Din di penuhi jiran sekampung yang datang melawatnya. Mujur ada Tok Siak datang membantu. Jika tidak mungkin sudah teruk dia dimamah mambang kuning.

“Itu lah, orang tua-tua sudah bilang, kalau sudah senja itu jangan kau keluar dari rumah. Kan arwah atuk sudah cerita sama kita, kau sudah lupakah Din?”, Kak Minah membebel.

Din teringat kembali cerita arwah atuknya dulu.

Bahawa saat menghampiri waktu maghrib, ada ketika muncul mambang kuning. Itu bermakna, tibalah masa bagi sang iblis yang duduk di atas langit akan menjelir lidahnya yang hitam turun ke tanah mencari makanan. Itu adalah perjanjiannya dengan tuhan. Dia meminta supaya di benarkan untuk menjelirkan lidah pada waktu tertentu sahaja, dan permintaannya di tunaikan. Cucu Adam yang degil masih mahu merayau di saat itu akan menjadi mangsanya.

Jelmaan, Iblis Si Capek Dan Si Buta

Berpuluh tahun dahulunya.

Luas terbentang sawah di hadapan mata, pemandangan kuning keemasan. Ketika ini adalah musim menuai padi. Halimah berbaju kedah dan berkain batik, ketika ini dia berusia sekitar 15 tahun. Tapi sudah rajin menolong ibunya membuat kerja di sawah padi. Halimah mengelap peluh di dahi. Lalu melangut ke atas. Awan kelabu berarak di dada langit. Sarat mengandung air hujan yang bila-bila sahaja bakal turun ke bumi. Halimah lalu naik ke atas batas bendang. Apabila menoleh ke kanan, Halimah tergamam. Tiba-tiba sahaja muncul dua orang lelaki yang melintasi Halimah. Salah seorang berkepala botak dan berjalan capek sedang menuntun seorang lagi lelaki yang buta. Seram pula melihat kedua belah matanya yang cuma tinggal mata putih sahaja, tanpa anak mata hitam. Keduanya kelihatan keletihan, tetapi sedaya upaya melangkah selaju mungkin ke seberang sana yang terdapat Pokok Sena sebesar dua depa orang dewasa.

“Limah, apa kau tengokkan tu? Mari sini tolong mak. Cepat habis, cepatlah kita pulang.” Ujar mak yang masih berada di dalam sawah.

“Ya mak, baik..” Jawab Halimah.

Tidak lama selepas itu, muncul pula seorang pemuda berbaju Melayu serba hitam dan bertanjak juga kainnya hitam. Berselempang kain pelekat di dada, berjalan gagah tanpa kasut. Seperti pahlawan zaman panglima Hang Tuah. Wajahnya nampak tegas tetapi masih ada manisnya. Pemuda itu berhenti berdekatan mereka yang masih gigih menuai padi di sawah. Dia berdiri di atas batas.

“Assalamualaikum, mak cik..” Suaranya memberi salam.

“Waalaikumussalam, anak muda.” Jawab mak.

“Mak cik..maafkan saya andai bicara saya ini bakal mengguris hati. Tetapi adalah baiknya mak cik dan anak mak cik ini pulang sahaja. Hari sudah mau hujan. Bahaya”, Ujar pemuda itu dengan tegas.

Halimah dan maknya terdiam, memandang sesama sendiri. Ibu mengelap peluh di wajah dengan lengan baju. Kemudian mengangguk faham. Pemuda itu terus sahaja melangkah ke arah yang sama seperti kedua pemuda aneh tadi.

“Marilah Limah, benar juga katanya tadi. Guruh surah berdentum di langit, pokok-pokok hujan sudah mula mau turun. Mak sudah tidak sedap hati.”

Mak menarik Halimah naik ke atas. Bergegaslah mereka melangkah pulang. Tidak berapa lama kemudian, tanah yang mereka pijak bergegar, bunyi tempikan meriam petir mampu mencabut anak telinga keluar. Jantung mampu berhenti, kerana terkejut. Kelihatan ada cahaya merah milik petir yang menyambar di kawasan pokok besar di seberang sana. Ada asap kelabu pekat memenuhi ruang udara di sana. Terketar-ketar mereka melangkah pulang kerana terkejut dengan kejadian yang baru sahaja berlaku.

Keesokan mereka berdua pergi melihat. Pokok Sena yang besar sudah terbakar di panah petir. Biasalah andai ada pokok di panah petir. Tetapi siapa 3 orang lelaki yang mereka lihat semalam? Siapa pula si capik dan si buta itu? Manusia atau iblis? Siapa pula pemuda berbaju hitam itu? Malaikat atau jin islam yang memerangi jin kafir? Ianya misteri sehingga sekarang, nenek aku tetap akan ingat kejadian ini sehingga dia sudah tua.

Isteri Saleh Pontianak

56 tahun dahulu

Saleh memandang ke arah anaknya yang sudah tidur. Umurnya baru sahaja 7 hari. Isterinya pula baru sahaja meninggal selepas melahirkan Puteri. Wajah Saleh sayu, masih merasai kehilangan isteri tercinta dan mengenang nasib anaknya kelak yang dibesarkan tanpa ibu.

Mad Abu tiba di perkarangan rumah kayu mewah bersama basikal tuanya, sambil membunyikan loceng. Lagaknya kalut.

“Saleh, Saleh. Assalamualaikum. Saleh oo Saleh.. Assalamualaikum..” Laung Mad Abu sambil mengendap melalui tingkap.

Saleh muncul sambil meletak jari telunjuknya di bibir. Tidak mahu Puteri terjaga.

“Walaikumusalam, ada apa engkau ke mari abang Abu?”, Soal Saleh

“Waduh Saleh, engkau masih tenang di sini. Apa, engkau tidak tahukah hal yang sedang terjadi sekarang? Sampai ke kampung sebelah berita ini tersebar, Saleh. Waduh kasihan aku kepada engkau.” Ujar Mad Abu.

“Hal? Hal apa pula abang Abu. Saya ini kematian isteri, sibuklah sedikit mengurus Puteri saya itu.”

Mad Abu menggeleng kepala.

“Saleh, baik engkau lekas ke kubur arwah Zubaidah, kubur isteri engkau meletup kelmarin. Masih berasap hingga sekarang. Hal Puteri tu, engkau kasilah isteri aku menjaganya..” Ujar Mad Abu.

Setibanya di tapak perkuburan.

Ada beberapa orang kampung datang berkumpul melihat kejadian itu. Golongan wanita turut datang, masing-masing berhimpit, berpegang tangan kerana takut. Meremang bulu roma. Tok imam dan penghulu kampung turut sama ada, mereka menunggu ketibaan Saleh sejak dari tadi selepas Mad Abu menawarkan diri memanggilnya.

“Astaghfirullah..” Mata Saleh terbuntang.

Kelihatan lubang sebesar buah kelapa tua di atas kubur isterinya, masih mengelurkan asap. Kata orang kampung, lubang itu meletup dan bunyinya seperti meriam buluh dan ia mengeluarkan asap. Benarkah orang m**i bersalin akan bertukar menjadi Pontianak dan kini jelmaan Zubaidah telah keluar melalui lubang itu?

“Saleh kita kambus sahaja lubang ini. Aku memanggil kau untuk kau maklum keadaan yang terjadi. Insya Allah tidak ada apa-apa, Jangan engkau risau. Semua ini muslihat syaitan. Roh Zubaidah sudah ada dalam tangan Allah, tidak akan bertukar menjadi apa-apa pun.” Tok imam bersuara.

Saleh mengangguk sahaja. Diam mendengar cakap-cakap daripada mulut yang jahat. Ada sahaja cerita rekaan mereka. Berbisik sesama sendiri. Patutlah pak imam pernah berkata, bahawa para wanita masuk neraka kerana kejahatan mulut mereka. Begitulah, lidah tak bertulang.

Malam itu

Selepas isyak, Saleh mendodoi anaknya yang tiba-tiba meragam. Selepas sejam dia cuba memujuk, namun si anaknya masih lagi menangis. Tatkala itu angin kuat menderu datang. Rumah kayu lama, biasalah. Selalunya di syiling, atasnya ada lubang udara, tidak sepenuhnya di tutup. Melalui situ lah angin kuat itu masuk tiba-tiba.

Anaknya memandang ke atas, seraya berhenti menangis sambil tersenyum. Maka tergerak hati Saleh untuk memandang ke atas.

“Allah, Allah…” Ucap Saleh.

Kelihatan seorang wanita berpakaian putih, rambutnya di lepaskan dan wajah mirip Zubaidah, sedang bertenggek di atas alang rumah sambil tersenyum dan kemudian menghilangkan diri. Anaknya pula terus sahaja diam, tidak lagi meragam selepas melihat jelmaan ibunya sebentar tadi. Dada Saleh masih berdebar. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Mulai malam itu, sudah banyak penduduk kampung bertemu dengan jelmaan isteri Saleh. Mad Abu juga sempat merasa ditumpang oleh jelmaan Zubaidah ketika dia pulang dari surau kampung dan ada juga mendengar hilaiannya di Pokok Ara.

Ketika Saleh sedang menunaikan solat Asar. Ada seorang wanita duduk melihatnya di tepi tingkap rumah. Selesai sahaja Saleh memberi salam, wanita itu menghilangkan diri. Tiba-tiba hati Saleh berdebar-debar. Lalu Saleh menuju ke bilik sebelah di mana anaknya tidur, terperanjat Saleh tatkala itu kelihatan jelmaan isterinya itu sedang mendodoi anaknya di dalam buaian. Wanita itu tersenyum ke arahnya, lalu bangun mendekati Saleh.

“Abang.. saja saya singgah ke sini, mau melihat anak kita ini. Jaga anak kita baik-baik ya abang. Saya pergi dulu.”

Lantas jelmaan isterinya terbang keluar melalui tingkap sambil mengilai lalu menghilangkan diri. Selepas hari itu tiada lagi kedengaran mengenai gangguan jelmaan Zubaidah. Siapa wanita itu? Mungkin juga kerja jin yang menyamar sebagai Zubaidah dan yang pasti setiap roh anak adam yang meninggal sudah menjadi urusan Allah, tidak lagi pulang dunia.

Saleh teringat akan kata Tok Penghulu.
“Saleh, kau tak usahlah bersedih. Zubaidah tidak akan menjelma menjadi Pontianak. Itu cuma jelmaan jin sahaja. Sudah kita tahu, wanita meninggal kerana melahirkan anak, matinya m**i syahid. Kau tahukan ganjaran m**i syahid? Maka sang anak-anak syaitan ada yang iri dengan wanita m**i bersalin, lalu sengaja mereka menjelma menjadi jelmaan wanita itu, salah satu niat mereka untuk mencemarkan nama wanita itu. Tak usah kau peduli cakap orang kampung yang tidak enak. Insya Allah lama-alam diamlah mereka.”

Assalamualaikum. Cerita ini tiada kena mengena dengan cerita Syah Hakimi. Cuma sambungan daripada cerita dongeng nenek dan pengalaman nenek aku. Harap terhibur dan maaf andai langsung tidak seram dan tidak gah seperti cerita daripada penulis lain, sekadar untuk hiburan. Pasal mambang kuning tu aku nak jelas pun tak berapa pandai. Benar ke tak, aku tak tau. Yang aku tahu senja memang waktu para keturunan jin dan syaitan keluar. Macam mana rupa mambang kuning? Erm.. nenek aku cakap, masa senja ada ketika tu, ada cahaya jingga dan kuning terang, yang lain dari yang lain, jarang berlaku cuma ada masa sahaja dia muncul. Aku pernah perasan tapi tak pastilah betul ka tak tu mambang kuning macam nenek ada cerita. Cerita ni jiran nenek pun pernah cerita, aku pasang telinga mendengar sahaja. Hal Zubaidah bukan nama sebenar, kata nenek pernah terjadi di satu kampung ketika nenek dan atuk merantau di negeri orang. Apa pun jangan marah sekadar dongeng dan cerita dari pengalam seorang nenek. Salah silap saya minta maaf. Okey sekian..

List cerita dongeng nenek sebelum ni

Hantu Langut

Hantu Pak Tonggek

Hantu Pak Aji Makan hidung

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 4.5]
Nurhan

15 thoughts on “Nurhan: Mambang Kuning Waktu Dia Mencari Makan”

    • Maaf sya pun x tahu. Cuma dgr apa yg nenek sy cerita sahaja. Cuma apa yg saya tahu syaitan suka keluar waktu senja. Ada hadis cerita pasal ni. Sahih ke tak saya tak pandai menilai.
      Kata nenek
      Iblis itu meminta izin menjelir lidahnya turun ke dunia manusia untuk sepintas lalu, siapa yang berada di laluannya akan jdi habuannya. Jika perkara ini tidak benar maka ia cuma dongeng.

      Reply
    • Ada tgh dok tulis smbungannya.. insya Allah siap saya post di fs. Cuma bila pk balik lama2 mcm x sesuai aja saya dok post cerita bersiri tu di fs. Buat org trtunggu.

      Reply
  1. cerita rekaan tapi best. Besa lain org lain taste.
    Tapi aku lagi suka cerita Syah Hakimi.
    Yang mambang kuning tu, aku pernah gak dgr mak kawan aku crita. Entah betul ke tidak, pengajarannyakalau dh senja balik lah rumah xyah nak merayau lagi.
    syaitan suka benda antara panas dan sejuk..antara waktu beralih malam dan siang.

    Reply
  2. Versi opah saya pulak mambang kuning muncul sebab tuan puteri tengah menyidai kain lampin waktu senja,puteri tu pulak tak pastilah puteri manusia atau puteri jin

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.