Nurhan: Red Eye Devil Game
(Tiada kena mengena dengan cerita Syah Hakimi)
Aku menatap pusara dia yang masih merah tanahnya. Setiap kali itu aku mula rasa sayu. Kesal, marah dan sedih. Semua perasaan itu bergabung. Aku sebagai abang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pelindung. Abang sepatutnya melindungi adik perempuannya. Aku memandang ke arah Abah yang menunggu aku di dalam kereta. Abah tak mampu menatap pusara dia. Abah tak sanggup, baru saja abah menapak ke pusara dia. Kaki abah mula longlai. Kali pertama aku melihat air mata jantan abah mengalir deras. Abah menangis teresak-esak. Mama pula masih berada di hospital, tekanan darah tinggi mula menyerang apabila berita kematian dia yang tragis sampai ke telinga mama.
“Lina, kenapa buat macam ni dik?” Aku berbisik.
…………..
Aku menapak ke arah jendela lalu tangan membuka tirai yang tertutup. Moga cahaya mentari dan pengaliran udara melalui jendela boleh menghilangkan bau hapak di dalam rumah ini. Seperti biasa aku datang seorang diri. Abah masih belum mampu untuk memijak kaki ke rumah adik dan aku menegah kakak untuk sertai. Tidak mahu kejadian sama berulang. Kerana sepupu perempuan aku, yang paling rapat dengan Lina pernah mengikut sekali. Tapi tiba-tiba dia kerasukan. Menjerit dan menangis serta mencederakan diri sendiri. Aku fikir rumah ini perlu di bersihkan secara rohani.
Rumah ini terlalu banyak merakam peristiwa gelap Lina. Aku tanpa sebarang anugerah sixth sense pun boleh rasa akan aura kesuraman. Rumah flat tingkat 4 itu tidak lah besar mana. Cuma ada dua bilik tidur. Ruang dapur juga kecil saja. Aku masuk ke dalam bilik tidur Lina. Segalanya kemas. Tiada usikan. Namun dari tubir mataku, ada susuk tubuh Lina yang sedang duduk di hujung katil. Susuk itu kaku tapi menangis mendayu. Diam cuma memandang ke dinding. Tidak beberapa lama dia menghilang. Aku yang terketar-ketar kerana terkejut dengan penampakkan tadi, mula menapak pula ke bilik sebelah. Namun bilik itu terkunci. Puas mencari namun gagal di temui. Akhirnya aku pulang dengan rasa hampa. Bilik berkunci itu adalah tempat mayat Lina di jumpai. Jika tidak silap, pihak polis sendiri telah memulangkan ke semua kunci rumah itu. Aku sendiri yang menyimpan kunci tersebut. Anehnya kunci bilik itu tiada bersama gugusan kunci rumah ini.
Jam 10 malam. Aku baring di katil. Hanya itu kerja aku sejak pemergian Lina. Terperap di dalam bilik. Aku redha dia pergi. Namun tak mampu terima dengan cara dia pergi. Bunuh diri bukan cara yang baik untuk mati. Mengapa Lina tekad mengambil nyawanya sendiri? Itu yang menjadi tanda tanya. Tidak nampak sebarang perubahan sikap yang aneh. Lina orangnya ceria. Andai ada masalah pasti aku orang pertama yang tahu. Jika dulu, jam 10 malam. Keluarga kami masih riuh rendah. Kini ianya sepi. Penghuninya hanya terperap di dalam kamar sendiri. Kedengaran suara abah mengaji. Lama aku menghayati suara abah yang sayu, hingga terlelap.
Aku terjaga tiba-tiba. Terkejut kerana seperti ada orang sedang menggoncang kaki aku sebentar tadi. Sentuhannya sangat sejuk, seperti ais batu. Aku bangun dari perbaringan. Memandang sekeliling. Tiada sesiapa, cuma aku sendiri. Telinga aku tiba-tiba saja menangkap bunyi asing yang datang dari arah bilik Lina. Bunyi seperti seseorang sedang mengalihkan barang. Jam di meja sudah hampir 3 pagi. Kedengaran suara wanita sedang membebel dalam bahasa yang tidak di fahami. Sekali dengar seperti suara arwah Lina. Aku mula keluar daripada bilik. Entah datang mana keberanian ini untuk mencari pemilik suara.
Bebelan tanpa di ketahui ertinya. Bebelan suara Lina yang bercampur suara wanita tua. Melalui lubang pintu, kelihatan bilik arwah bercahaya. Ada seseorang di dalam. Tanpa berfikir panjang, aku memulas tombol pintu. Aneh lampu langsung tak terpasang. Di atas kerusi duduknya susuk tubuh yang aku kenali, dia mengenakan baju tidur kegemaran arwah Lina. Duduk di sudut gelap tanpa dapat aku melihat wajahnya. Yang pasti rambutnya kerinting tidak terurus. Bau busuk meloyakan anak tekak mula menyerang deria pernafasan. Susuk tubuh itu duduk diam sejak tadi, mula mengangkat tangan kanan. Jari telunjuk di hala pula ke arah katil. Lalu menghilang.
Jantung berdegup laju. Jari jemari kesejukan. Tidak sangka aku baru sahaja berhadapan dengan makhluk dari alam satu lagi. Mujur dia tidak bertindak ganas. Aku membuka lampu lalu terus menapak ke arah katil arwah. Aku selak cadar dan sarung bantal. Andai jumpa sesuatu. Tiba-tiba kedengaran bunyi aneh dari bawah katil. Aku beranikan diri untuk melihat apa yang ada di bawah katil tersebut. Kelihatan cuma hanya ada satu kotak kasut. Aku mencapai kotak tersebut untuk melihat isinya. Ada sebuah handphonedi dalam. Beratus mesej masuk semuanya dari nombor yang tidak di ketahui. Aneh nombornya berkepala dengan tiga angka 9 (999-*****). Aku membaca salah satu mesej.
‘Tahniah Lina. Anda Berjaya melaksanakan tugas anda. Kini anda menjadi salah seorang ahli Red Eye. Selamat datang ke neraka untuk ahli baru.’
Aku menutup kembali mesej tersebut. Aku membawa Handphone milik Lina bersama. Banyak lagi aku perlu tahu. Apa itu Red Eye? Lama juga aku termenung menatap Handphone milik Lina. Namun mataku kian berat. Hingga aku terlelap semula sambil memegang Handphone Lina.
Malam itu aku bertemu Lina. Wajahnya muram. Cuma satu sahaja pesannya.
“Abang jangan cari puncanya.”
Aku tidak faham dengan setiap petanda yang ditunjukkan. Mimpi Lina melarang aku mencari punca kematian dan kemunculan lembaga yang membantu aku mencari penunjuk. Tiga hari aku mencari kunci bilik itu tetapi gagal di temui. Tiada siapa tahu di mana kunci itu di sorokan. Kali ini aku tekad. Aku masuk ke dalam rumah arwah Lina sambil membawa kapak. Biar aku robohkan pintu ini. Ya usaha aku berjaya. Sebaik sahaja pintu di buka ada bau busuk seolah bangkai mula menerobos hidung. Aku tidak hiraukan kewujudan bau itu. Terus sahaja masuk.
Kelihatan kesan percikan darah di dinding masih ada. Di tilam juga masih ada kesan darah kering. Pelik, aku sudah mengupah beberapa orang pekerja untuk membersihkan bilik ini. Tapi mengapa masih ada benda-benda ini? Untuk seketika aku terpaku. Membayangkan bagaimana seksanya arwah saat dia memaksa rohnya keluar daripada jasad. Menggelupur sakit hingga darah memercik ke dinding. Lina mengelar leher sendiri. Kedua lengannya ada kesan luka torehan berbentuk mata, manakala ada kawasan kecil sebesar bola golf di atas kepala sebelah kanannya tiada rambut. Lina mencabut rambutnya hingga tertanggal.
Kedengaran ada bunyi derap kaki di ruang tamu. Suara bebelan yang sama kini kembali. Aku melangkah laju keluar daripada bilik. Mana tahu jelmaan itu mahu memberi petunjuk baru. Lembaga yang sama kini berdiri di ruang tamu, membelakangi aku. Tangannya menyikat rambutnya yang berserabut. Kedengaran seperti orang memberus lantai. Sementara bebelan tadi bertukar dengan tangisan. Tangannya yang menyikat rambutnya yang kasar lagi serabut mula menarik rambutnya dengan ganas. Hingga tertanggal rambut bersama kulit kepala. Sambil menangis dia mengulang perbuatan yang sama.
“Lina kau mati terseksa, malah kau seksa perasaan mak ayah. Kenapa kau buat benda bodoh macam ni?” Soal aku.
Sebaik sahaja soalan itu terpacul daripada mulut aku, susuk tubuh itu menghilang. Kini hanya tinggal aku di dalam kesuraman rumah arwah. Aku melangkah ke arah meja belajar. Di atasnya ada beberapa keeping kertas yang terkena percikan darah. Aku ambil salah satu kertas tersebut. Ada beberapa kertas menulis perkataan Red Eye Devil Game.
Jam 11 malam. Aku duduk di atas katil bersama kertas yang aku ambil dari rumah Lina. Aku cuba membuat sedikit pembacaan mengenai Game ini. Ternyata sudah banyak nyawa yang terkorban. Semuanya mati kerana membunuh diri. Lina terlalu taksub dengan benda ini. Semua tugasan yang di berikan oleh admin Game ini menggalakkan pemain mencederakan diri sendiri dan hinggalah tugasan terakhir pemain harus mengambil gambar mereka sebelum membunuh diri dengan cara menggelar leher. Aku hairan bagaimana Lina yang bijak hanya ikut sahaja semua tugasan yang di berikan tanpa berfikir panjang. Jelas ianya tiada faedah.
Bunyi berdenting dari dalam laci. Rupanya ada panggilan dari handphone milik Lina. Nombor aneh memanggil. Aku berkira-kira untuk angkat dan kesudahannya aku mendengar suara wanita dari dalam talian. Suara persis Lina.
“Mahu menyahut cabaran Red Eye Devil Game?” Soal suara itu dalam bahasa inggeris.
Dua hari kemudian.
Aku terbaring lemah di dalam wad. Tangan kanan aku dibalut. Ada kakak dan abah di sisi. Masing-masing memandang aku. Malam itu masih lagi segar dalam ingatan. Mujur suara mengaji ayah berjaya menyedarkan aku yang bergelut keseorangan di dalam bilik. Rupanya tanpa aku sedar aku mengikut sahaja arahan suara itu yang mahu aku mengelar lengan sendiri. Selepas keluar daripada hospital, terus keluarga membawa aku berubat dengan beberapa ustaz. Takut, aku pula mengikut langkah adik.
Dengan jumlah angka kematian yang tinggi di sebabkan permainan berhantu ini, kerajaan telah melaksanakan sekatan. Semua laman web yang menyebar permainan ini di tutup serta merta. Dunia moden, dunia yang menghampiri penghujung, maka tak hairan sang iblis mengambil pendekatan baru untuk merosakkan anak Adam. Doa aku moga roh adik di ampunkan Allah.
Cerita ini tiada kena mengena dengan hidup atau yang mati. Cuma idea cerita ini daripada permainan sebenar yang pernah meragut banyak nyawa. Tugasannya lebih kurang sama, menggalakkan orang membunuh diri. Cuma dalangnya siapa? Manusia berhati iblis? Atau sang iblis sendiri?
Awas iblis banyak permainannya. Selagi belum kiamat, selagi itu dia tidak berputus asa. Selalulah ingat tuhan, moga jiwamu terjaga.
Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit
blue whale game
Boleh google bagi siapa yg tak tau. Byk negara mengharamkan game ni. Bahaya sbb penyudahnya perlu bunuh diri sebagai kejayaan.
Kalau baca psal game yg btul tu memg pelik sbb mcm mana pemain sngup sahut cabaran yg mmbahayakn nyawa. Memag keja bdoh..tp pelik..
Dalangnya di tgkap, memang byk nyawa trkorban bunuh dri..hati2 la smua jgn membuta tuli main game..
sama mcm blue whale game..msalahny a
pa motif drg cipta game yg mcm ni??
yang terjebak permainan ni semua budak budak. yg aku tahu sekali kau dah daftar tak boleh patah balik nanti admin tu attack family kau so nak x nak kau kena laksanakan semua tugas yang diberi… yg aku baca lah sebelum ni sampai sanggup terjun banggunan nak selesaikan semua tugasan. kira mcm game bahaya yg membawa maut lah.
Huuuu..takot
blue whale game? iols x penah dgr.
nt nk google.
kejinya org yg buat game ni