Nurhan: Syah Hakimi (Misteri Marissa)

Nurhan: Syah Hakimi (Misteri Marissa)

Cerita sebelumnya

Misteri Rashidi – http://fiksyenshasha.com/nurhan-misteri-rashidi/
Syah yang aneh – http://fiksyenshasha.com/nurhan-syah-yang-aneh/
Syah Hakimi dan kebenaran Marissa – http://fiksyenshasha.com/nurhan-syah-hakimi-dan-kebenaran-marissa/

Malam ini keadaannya seperti biasa. Riuh rendah asrama lelaki yang di diami Hakimi. Biasalah malam masih muda, jam di meja baru 10 malam. Namun jantung Hakimi berdegup kencang. Perasaannya berdebar sejak petang tadi. Hakimi berzikir mengharap ketenangan, dengan menyebut nama Allah mampu menghilangkan segala rasa yang resah. Ada sesuatu bakal terjadi. Itulah apa yang di rasakan oleh nalurinya. Namun Tiba-tiba lampu terpadam. Seluruh blok asrama bergelap. Bunyi riuh-rendah suara penghuninya turut senyap, menghilang terus. Hakimi membuka pintu bilik, gelap gelita dan sunyi sepi. Seolah-olah dia berada di tempat lain, dengan bunyi dengung membingitkan telinga. Dengan bismillah Hakimi melangkah keluar. Mencari suis utama. Mungkin ada tendangan elektrik yang menyebabkan seluruh blok asrama blackout.

Depannya gelap, pemandangan yang cuma hitam, mujur ada cahaya kelam seperti cahaya lampu tidur membantunya untuk melihat jalan di depan. Dari mana punca cahaya itu, tidak dapat di ketahui. Irama senandung yang sayu sentiasa menemani dirinya yang keseorangan, melangkah tanpa arah. Terlalu sunyi tempat ini. Hanya kedengaran angin yang bertiup manja membelai tubuh yang mula kedinginan kerana kehadiran kabus-kabus nipis membawa hawa sejuk. Hakimi terus melangkah mengikut irama senandung. Tak ubah seperti mimpi yang pernah bertandang sebelum ini. Aura kegelapan bersalut sunyi dan sedih memenuhi segenap ruang. Mulutnya tidak lekang membaca ayat Al-Quran.

‘Ya Allah, daku mohon perlindungan dan petunjuk mu.’ Bisik suara hati Hakimi.
Langkah Hakimi terhenti. Kedengaran esakan di belakangnya. Terlalu mendayu, seolah sengaja dibuat begitu. Dia berkira-kira mahu menoleh atau tidak. Bau colok berselang seli bau hanyir hinggap ke rongga hidung. Hakimi menarik nafas dalam-dalam, semoga ada kekuatan untuk dirinya. Lalu Hakimi menoleh. Selaju angin susuk tubuh hitam itu terbang menghilang di arah sisi kiri, bersama ketawa kecil.

“Hakimi..” Halus suara memanggil dari arah hadapan.

“Siapa kau?” Soal Hakimi dengan tenang.

Soalan itu di jawab dengan ketawa. Di hadapannya ada susuk tubuh hitam yang terapung, wajahnya yang terlindung kegelapan. Di bawah jubahnya seperti kain koyak yang di carik, meliuk-lentuk di tiup angin. Rambutnya lurus seperti rambut di rebonding.

“Siapa kau?” Soal Hakimi, kali ini nadanya sedikit tegas.

Sekali lagi susuk tubuh itu ketawa.

“Marissssaa..” Jawabnya perlahan dalam intonasi berbisik.

“Apa yang kau nak?” Soal Hakimi

“Segenap keturunan Mustafa.” Jawab Marissa.

Ada tangan berkuku hitam mula menjalar memegang wajah Hakimi. Bau colok berselang seli bau hanyir lebih kuat berbanding tadi.

“Untuk apa? Keturunan aku tidak berhutang atau mengikat perjanjian dengan kau.” Hakimi tegas.

“Ada..ada…adaaaa..” Suara lembut seperti bisikan makin kuat bergema dengan nada geram lalu menghilang.

Hakimi kembali di alam nyata. Automatik lampu yang terpadam bernyala semula. Blok asrama kembali hidup dengan suara riuh rendah penghuninya. Berkali-kali Hakimi mengucap istighfar. Tadinya dia mimpi, halusinasi atau benar? Lalu Hakimi masuk semua ke bilik dengan perasaan keliru. Penuh tanda tanya.

“Dia dendam kah?” Bisik Hakimi kepada dirinya. Terbayang wajah umi dan walid serta adik-beradik yang berada jauh di sana. Moga Allah melindungi mereka sentiasa.

Selepas 2 jam.

Ketika ini jam sudah 1 pagi. Badrul masih lagi duduk di hadapan meja belajar. Manakala Zul sudah nyenyak tidur. Sesekali dia menguap menahan rasa mengantuk. Padan muka untuk orang sepertinya yang suka laksana kerja di akhir masa, terpaksa menahan mata yang kian berat. Badrul menggaru badannya yang miang, adakalanya lehernya di rasakan seperti ada rambut panjang berjuntai. Dia mengeluh penat, rasanya otaknya terlalu berkarat di kala ini. Tidak mampu berfikir, tugasan tergantung buat sementara. Dia menarik laci, terpandang sekotak rokok.

Di hujung blok, berdekatan tangga. Badrul menghembus asap ke udara dengan harapan rasa mengantuknya hilang dan berupaya berfikir dengan bernas. Bulan di langit tidak kelihatan. Terlindung sang awan yang mendung. Angin bertiup, kadangkala kuat dan kadangkala lembut. Tanda mahu hujan. Tiba-tiba ada rasa kebas mula menjalar dari lengan kiri hingga ke hujung jari. Bulu roma mula merinding. Badrul sudah mula rasa tidak sedap hati. Dia mula melangkah laju menuju ke arah bilik Hakimi dan Syah. Namun seperti tahu rancangan Badrul, rasa kebas itu menjalar laju ke kaki. Badrul jatuh, hampir saja wajahnya tersembam ke lantai. Kedinginan misteri pula muncul seolah-olah merebak ke seluruh tubuh. Terketar-ketar Badrul. Matanya pedih dan cekang. Tekaknya seperti ada bebola berjalan masuk. Dalam hati cuma menyebut nama Allah.

“Ya Allah selamatkan aku.”

Pandangannya gelap.

Ada ketukan bertalu. Hakimi bangun sambil menggosok matanya. Sebaik pintu di buka kelihatan tubuh kaku Badrul tanpa kerlipan mata yang sedang berdiri di hadapan pintu biliknya. Tajam memandang dengan senyuman sinis. Aura hitam menyelubungi mereka. Badrul seolah-olah kejang, tangannya berpusing ke belakang, kepalanya menyenget. Kornea hitam sipi-sipi kelihatan, sebahagian penuh sudah naik ke atas.

“Ada pesanan untuk mu.” Suara Badrul berubah kecil, seolah-olah tersekat di dalam kerongkong.

“Astaghfirullah..” Ucap Hakimi

“Aku boleh musnah semua teman rapat mu dengan kehendak ku, jika kau mahu mereka selamat..kau dan seluruh keturunan Mustafa yang lain harus merelakan dia.” Ujar Badrul

“Siapa kau?” Soal Hakimi dengan nada tegas.

“Suruhan Marissa..” Jawab Badrul

“Dengan nama Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat yang tiada sesuatu pun yang serupa dengannya dan dialah Allah dengan segala sesuatu itu maha mengetahui…….” Hakim menekup mulut Badrul, lalu tangannya menggenggam dan menarik sesuatu yang tidak kelihatan.
Badrul mula memuntahkan segala isi perutnya. Sebaik makhluk itu keluar dari tubuhnya melalui mulut. Tubuh Badrul lalu lemah longlai seolah tiada tulang, hampir saja rebah ke lantai. Mujur Hakimi sempat memaut membawa Badrul masuk ke dalam bilik. Badrul di baringkan di atas katil milik Syah. Syah pula tiada kerana tidur di rumah sewa rakan kelasnya. Keliru, risau akan keselamatan teman-temannya. Segalanya bercampur baur.

Selepas kelas Hakimi mengemas pakaiannya ke dalam beg travel. Syah cuma memerhati. Baru sebentar tadi Hakimi menceritakan tentang kejadian semalam. Badrul juga sudah pulang ke rumah untuk memulihkan semangatnya.

“Hakimi aku ikut kau..boleh?” Syah bersuara

“Ish tak payah la, esok kau ada kelas kan. Tak elok ponteng kelas.” Ujar Hakimi

“Habis kau pun ponteng kelas..” Syah

“Aku susah hati.” Balas Hakimi tersengih

“Ah! Tak pe, esok aku kelas satu je. Tak de benda penting pun esok.”

Hakimi tersenyum mengangguk, namun senyuman itu tidak mampu menutup riak wajahnya yang terkandung seribu rasa.

Kepulangan Hakimi dan Syah di sambut mesra oleh keluarga Hakimi. Umi yang berusia 50 an sempat memasak nasi tomato untuk Hakimi dan tetamu mereka. Keramahan keluarga Hakimi membuatkan Syah rasa selesa. Sesekali dia memandang 3 ekor harimau yang bersantai di luar pagar. Rumah ini ada pendindingnya.

Malam itu, selepas solat isyak, Hakimi menceritakan semua perkara yang terjadi, mengenai kehadiran wanita misteri yang menggelar dirinya Marissa. Walid mengangguk mendengar cerita anaknya, namun tiada riak terkejut.

“Kami tahu, dia pun ada datang sini hari tu. Bila maghrib dia akan berdiri kat luar pagar tu.” Ujar adik Hakimi sambil menyapu bulu roma nya yang rasa meremang. Teringat kejadian beberapa minggu lepas. Susuk tubuh wanita berjubah hitam yang carik-carik di bahagian bawah. Kulitnya pucat kebiruan. Kaku berdiri di luar pagar. Menunggu masa penghuni rumah itu keluar.

“Kadang-kadang perempuan baju hitam, kadang-kadang tu yang datang bajunya putih .” Ujar umi.

“Esok walid panggil ustaz. Benda ni bukan benda biasa, ada bawa sihir.” Ujar Walid

“Tapi Marissa kan koma kat hospital.” Hakimi bersuara.

Walid cuma diam. Tiada jawapan.

Hakimi memandang Syah yang enak tidur. Untunglah Syah, di mana saja dia berada dia boleh lelapkan mata. Betul-betul raja tidur. Mata Hakimi masih segar. Lansung tiada rasa mengantuk. Waktu ini seluruh penghuni rumah sudah lena di buai mimpi. Cuma jam 5 pagi nanti walid dan umi bangun untuk solat malam sebelum masuknya waktu subuh. Tergerak hatinya bangun, memandang ke luar tingkap bilik. Kabus nipis berlegar di luar pagar rumah. Hakimi memasang telinga. Sayup-sayup suara esakan. Di sebalik kegelapan malam, kelihatan ada wanita berjubah hitam, rambutnya beralun ditiup angin. Terapung-apung.

Dari jauh. Mata wanita itu tajam memandangnya. Tepat saling berpandangan. Benar kata adik, kulitnya pucat kebiruan. Hakimi tiba-tiba di selubungi rasa sayu dan sedih. Perasaan yang aneh mula menjalar ke dalam hati, cuba mengawal emosi. Mujurlah dia cepat-cepat istighfar, perasaan itu mula menghilang.

“Hakimi..”

Hakimi menoleh ke belakang dengan perasaan terkejut. Syah muncul tiba-tiba.

“Ya Allah.. terkejut aku.” Ujar Hakimi dalam nada berbisik sambil menghela nafasnya.
Syah turut memandang ke luar tingkap. Mendengus kasar.

“Istighfar Syah..” Hakimi menepuk bahu Syah, takut Syah lupa diri. Teringat kejadian Syah mengamuk di kampung Badrul ketika cuti semester lepas.

Bersama esakan itu, kedengaran bunyi rantai bersama dengusan kasar muncul dari luar. Esakan itu menghilang diganti dengan hilaian. Bunyi ngauman pula muncul bersama jasad berbelang hitam. Tiga ekor harimau muncul menuju ke arah wanita berjubah hitam. Di sangka ada pertarungan bakal berlaku, namun wanita itu mengalah lalu menghilang di telan kegelapan malam.

Selepas solat Jumaat Ustaz Lutfi terus datang ke rumah mereka. Ustaz Lutfi lah yang pernah menjadi guru kepada arwah Hafiz iaitu abang Hakimi. Banyak ilmu perubatan islam Hafiz belajar daripada Ustaz Lutfi dan Ustaz itu lah yang membantu mereka sekeluarga merawat abang Hafiz yang sakit terkena sihir.

“Keluarga abang Mustafa semuanya selamat, Alhamdulillah. Benda tu tak boleh nak ganggu. Sebab dengan izin Allah pendinding tu masih kuat. Tapi apa pun benda ni tetap kena selesaikan. Dia tunggu masa kita lemah ja, dia akan serang. Bila keluar rumah, amalkan amalan pendinding. Supaya dia tak boleh datang dekat.”

“Dia cakap dia Marissa..” Ujar Hakimi

Ustaz Lutfi diam.

“Syaitan jangan percaya sangat. Penuh helah. Hakimi kamu kena kuat luar dan dalam. Selalulah solat tahajud.”

“Ni benda sama yang serang arwah Hafiz dulu?” Soal Umi

“Tak, ini yang lain.” Balas Ustaz Lutfi.

Ustaz Lutfi memandang Syah. Mata anak muda itu lebam seperti panda, namun masih segak dan manis senyuman. Budak itu baginya ada sejarah luar biasa. Sebelum meminta diri, sempat Ustaz Lutfi memesan sesuatu kepada Syah.

“Adik..selalu dekatkan diri dengan Allah. Hidup mu penuh liku. Ada yang sedang melihat mu dari jauh. Per siapkan diri dengan iman, yakin kepada Allah. Hidup ini memang tak sunyi dengan ujian.” Ustaz Lutfi menepuk bahu Syah sebelum masuk ke dalam keretanya.

“Ayah.. apa yang arwah abang dah buat dekat Kak Rissa, sampai benda tu berdendam sangat?” Tanya Hakimi sambil melabuh punggungnya ke sofa.

Ayah dan umi saling memandang.

Tiga tahun lalu..

Andai melangut ke langit, kelihatan sekumpulan bangau terbang pulang ke sarang. Lagi satu jam, senja bakal menjelang. Gadis sunti, rambut separas pinggang duduk mencangkung. Sepasang mata bundar, namun berurat merah liar mencari sesuatu di kawasan semak. Baju kurung putih berbunga kuning sudah comot dengan debu dan tanah. Bintik-bintik peluh mula menitis. Hatinya sedikit geram, sang tikus makhluk perosak tidak kelihatan. Dia memandang ke arah rumah jirannya. Kebetulan ada seekor kucing gebu duduk bersantai. Hatinya girang. Mungkin kucing itu boleh membantunya.

Selepas beberapa lama.

Di kala ini mentari merah mula terbenam di ufuk barat. Senja mula mengambil alih waktu petang. Dari jauh sebuah rumah teres bercat hijau riuh rendah dengan jeritan wanita yang dalam ketakutan. Di hadapan pintu rumah berdiri seorang gadis yang berlumuran darah di tangan. Di tangan kanan memegang bangkai kucing yang masih basah dengan darah. Perutnya hancur di rodok pisau tumpul. Di tangan kirinya masih terpegang pisau yang di saluti darah.

“Rissa… apa kamu dah buat ni.. apa jadi dengan kucing Mak cik Da?” Soal mama.

Dengan wajah tanpa rasa bersalah, Rissa menghulur bangkai kucing itu ke mama. Manakala kakaknya menjerit takut. Rissa tersenyum, sambil menjilat darah di tangan. Riak wajahnya polos.

“Apik..Apik..” Kakak menjerit memanggil adik lelakinya yang sedang mandi di bilik air.

Mama cuba merapatkan diri ke arah Rissa. Sebaik sahaja pisau di tangan Rissa di jatuhkan ke lantai.

“Mama..gendut ni degil. Rissa suruh dia cari tikus, dia malas. Sebab tu Rissa gantikan je si gendut ni dengan tikus. Padan muka dia..tu la degil sangat.” Rissa masih memegang bangkai kucing sambil menghulur ke arah kakak.

Apik yang keluar daripada bilik air, tergamam. Sudah seperti babak di dalam filem thriller. Lantas dengan hanya bertuala, Apik melangkah laju je arah kak Rissa, lalu mengambil bangkai kucing dari tangan kak ngah (Rissa).

Kakak dan mama kemudian membawa Rissa masuk ke dalam bilik air. Mereka memandikan dia, supaya hilang bau hanyir darah kucing. Antara takut dan sayang, perasaan mereka bercampur baur. Boleh jadi Rissa mampu bertindak lebih dari itu. Mujur Rissa tidak mengamuk hari ini. Mudah di pujuk. Sambil memandikan Rissa, mama menangis. Hati ibunya sedih dengan nasib Rissa. Rissa semakin bertindak di luar norma manusia normal. Segalanya berpunca dengan tekanan di tinggalkan tunang 2 tahun lalu, dan kemudian Rissa menjinakkan diri dengan najis dadah. Kerana dadah lah Rissa hilang kewarasan. Dadah, nikmatnya memukau si penagih, namun dia memakan diri. Jika tidak gila, mungkin mati overdose atau mati kerana jangkitan HIV. Mati tanpa sempat mengucap dan bertaubat, apakah itu para penagih mahukan?

Di dalam bilik Rissa penuh dengan bangkai cicak dan kupu-kupu yang di lekatkan di cardboard yang tergantung di dinding. Ada juga di simpan di dalam kotak-kotak kecil. Setiap kali mama dan kakak membuang bangkai tersebut, pasti Rissa mengamuk teruk. Pernah kakak di masukkan ke dalam wad, terluka di bahagian kepala angkara Rissa. Mama dan Apik pula lebam-lebam di tubuh, tidak terkira banyaknya. Namun mereka masih setia menyayangi Marissa.

Rissa duduk di atas katil sambil menghayun kaki. Dia memintal rambutnya yang panjang. Mata meliar mencari serangga atau cicak di syiling, jika terjumpa, maka nasib binatang itulah bakal menjadi salah satu koleksi galeri Rissa. Angin menderu masuk ke dalam bilik. Rissa tersengih tiba-tiba, matanya tepat memandang ke dinding. Ada bayang-bayang hitam berbentuk wanita. Terapung-apung.

“Kau sudah minum darah binatang itu?” Suara bisikan.

Rissa mengangguk sambil tersenyum. Tangan tidak pernah lelah memintal rambut.

“Bagus..lepas ni aku nak kau minum darah manusia, ingat aku nak yang muda.”

“Macam mana? Nanti manusia tu mati lah.” Rissa bersuara.

“Manusia tu mati dia akan ke syurga, kau bantu dia masuk syurga, kan bagus tu. Kalau kau nak cantik, dicintai, kaya dan sentiasa muda, kau kena ikut cakap aku. Hanya aku tahu caranya. Ingat minum darah tu ketika waktu di antara siang dan malam dan seru namaku Marissa” suara berbisik.
“Hehehe..nama kite sama kan..hehehe..”

“Aku adalah kau, aku adalah aku..” Suara bisikan bersama ketawa.

Rissa mengangguk setuju. Tak sabar dia untuk mendapat apa yang di katakan oleh sang syaitan sebentar tadi. Cantik, awet muda, kaya dan semua orang memujanya. Ah! Memang seronok. Boleh juga dia membalas dendam terhadap abang Ismail, tunangnya.

Pada tengah malam, bahang panas, luar dari kebiasaan membuatkan mama tidak dapat tidur. Matanya masih segar, sambil tangan kanan ligat mengipas dengan kipas kecil. Ketika dia cuba berbaring, ada saja yang tidak kena. Mengiring ke kanan pun tidak selesa, ubah ke kiri pun sama. Suara nyayian Rissa agak mengganggu. Apa jenis lagu yang di nyanyikan nya, mama sendiri tidak tahu. Adakala sayu benar, adakala irama seolah-olah irama jawa. Mama turun dari katil, lalu membuka pintu bilik. Kecil saja bukaannya. Kerana mama tidak mahu Rissa sedar bahawa mama sedang mengintai.

Bilik mama dan Rissa bertentangan. Mudah untuk mama melihat keadaan di dalam bilik Rissa. Tambah pula Rissa membuka pintu. Tetapi bilik itu gelap gelita. Rissa tidak membuka sebarang lampu. Cuma ada sedikit cahaya luar membantu mama melihat. Ligat anaknya menari tarian lama yang aneh. Liuk lentuk jari jemari Rissa. Lemah lembut tubuh Rissa bergerak mengikut senandung daripada bibir sendiri. Sambil bersenandung, sambil menyanyi.

Habis saja menari, Rissa duduk berhadapan cermin sambil menyisir rambutnya yang panjang. Rissa masih bersenandung. Sambil melihat wajahnya di cermin. Dia tersenyum. Jantung mama berdegup kencang, seolah-olah baru habis berlari keliling padang. Tangan mama sejuk dan mengigil. Pada pantulan cermin, ada wajah orang lain di belakang Rissa. Seakan bayang-bayang hitam. Bayang itu kemudian menghilang. Dan kemudian muncul pula di dinding ruang tamu. Seperti terapung di udara. Kemudian bayang-bayang itu seperti turun tanpa menjejak lantai, terkedek-kedek berjalan ke arah dapur. Lutut mama mula rasa longgar. Cepat-cepat mama menutup pintu dan mengunci dari dalam. Badan mama menggeletar sambil menangis takut. Kedengaran suara Rissa mengekek seronok. Mungkinkah ada jin yang cuba mengambil kesempatan di atas ketidakwarasan anaknya? Atau cuma sekadar kesilapan matanya yang menilai?

Selepas beberapa hari.

Pisau yang di ambil dari dapur di sorokan di bawah tilam. Sebaik senja mula menjelma, Rissa merenung pisau itu. Kemudian dia masuk ke dalam bilik kakak. Duduk di birai katil merenung tajam ke arah kakak yang tidur.

Mama yang sudah memakai telekung keluar daripada biliknya. Dia menggeleng kepala melihat anak-anaknya. Apik enak menghisap rokok di ruang tamu. Si kakak masih enak tidur. Si Rissa dengan kerenah anehnya.

“Ya Allah, dah nak masuk maghrib. Kakak bangun, tak baik tidur senja-senja ni. Rissa sayang, mari sini ikut mama, kita solat.”

“Kejap mama, nanti dah azan kakak bangun la.” Ujar kakak

Rissa mengikuti mama masuk ke dalam bilik. Pisau di simpan di dalam baju. Kakak pula masih menggeliat lalu tidur kembali. Kemudian selepas 15 minit Rissa keluar semula masuk ke dalam bilik kakak. Tidak tahan mendengar mama berzikir. Rasa panas hatinya. Serabut.

Tidak berapa lama kemudian, kedengaran jeritan kakak mengejutkan mama dan Apik yang sedang mandi di dalam bilik air.
“Mama…..tolonggg..mama..” Kakak menjerit keras
Mama dan Apik berlari masuk ke dalam bilik kakak. Apik dengan sabun masih tersisa di badan. Mama pula masih bertelekung melihat kakak sedang bergelut dengan Rissa.

Kudrat tua dan kudrat seorang lelaki masih belum mampu menghalang keganasan Rissa, dengan satu tolakan, mama dan Apik terjatuh. Mujurlah kakak menahan dengan bantalnya. Lengannya saja sudah terluka di toreh pisau. Sakitnya berdenyut-denyut. Rissa sempat menjilat sisa darah. Mampukah kakak bertahan sedangkan tenaga Rissa terlalu kuat? Mama berlari keluar untuk meminta pertolongan. Mujur jiran selang sebelah rumah, Haji Usop sedang menghidupkan motosikalnya kerana mahu ke masjid.

Terkocoh-kocoh Haji Usop dan beberapa orang jiran datang membantu. Mulut Haji Usop terkumat kamit membaca ayat suci Al Quran lalu meniup ke arah Rissa. Sementara Apik dan 4 orang jirannya memegang Rissa yang meronta dan menjerit. Jeritannya bergema pada waktu senja, naik ceracak bulu roma yang mendengar.
Kemudian Rissa berhenti meronta. Nafasnya kasar. Lalu ketawa. Sebahagian rambut menutup sebelah wajahnya. Namun suara ketawa itu seperti ada dua suara, ianya seolah bergema di dalam peti suara Rissa.

“Itu saja?” Rissa menyoal dengan sisa ketawa.

“Wahai syaitan di laknat Allah, siapa engkau. Apa tujuan kau ganggu dia.?” Soal Haji Usop.

Rissa membalas dengan ketawa mengejek.

“Rissa sayang..kenapa nak lukakan kakak? Itu kan kakak Rissa.” Soal mama lembut.

“Rissa nak tolong kakak masuk syurga..” Rissa ketawa sambil memandang kakaknya.
Tanpa banyak bicara, Pak Haji Usop membaca sesuatu dan menghembuskan ke dalam genggaman tangan kanan. Lalu menepuk di belakang tubuh Rissa. Rissa terkulai layu di sisi Apik.

“Asom..setakat ini saja aku boleh tolong. Kau kena bawa anak dara kau ni berubat. Aku tak mampu nak pulihkan dia. Setakat orang tersampuk biasa boleh lah. Benda ni dah lama dengan Rissa. Selain bawa Rissa merawat dengan doktor, kamu cuba lah bawa dia merawat dengan perubatan islam.”

“Saya tak tahu nak bawa dia ke mana Pak cik.” Ujar mama sambil mengesat air mata.
“Aku kenal sorang anak muda Hafiz namanya..dia mengubat orang terkena gangguan jin tanpa bayaran, minta pen dan kertas, aku kasi alamatnya..”

Keesokan hari.

Kereta mereka tiba di hadapan di sebuah rumah dua tingkat. Cantik dan tenang melihat landskap yang di hiasi pelbagai jenis tumbuhan hijau. Mereka memberi salam. Jika tak salah, inilah tempat mengikut alamat yang di beri oleh Pak Haji Usop.

Beberapa minit kemudian, salam mereka di sambut. Mama memandang Rissa yang lena di dalam kereta. Masih belum hilang penat tubuh tuanya kerana cuba menghalang Rissa yang meronta mahu keluar daripada kereta, sepanjang perjalanan tadi. Apabila hampir sampai, Rissa mula tidak sedarkan diri pula.

Wanita seusia mama keluar daripada rumah. Wajahnya bersih, manis senyuman. Tenang melihat wajah wanita itu. Mama membalas senyuman dan mereka saling bersalaman. Kemudian muncul lelaki seusia wanita itu, mungkin itulah Mustafa suaminya, dan lelaki muda kulit hitam manis itu pula adalah Hafiz.

Sebelum menjemput empat beranak itu masuk, Hafiz membaca sesuatu. Tiba-tiba suasana bertukar kecoh, tatkala Rissa bangun dan cuba memboloskan diri. Mujurlah Pak cik Mustafa, Apik dan kakak sempat menahan.

Di dalam bilik khas. Pak cik Mustafa sempat mengunci pintu sebagai langkah keselamatan, supaya Rissa tidak dapat melarikan diri. Tinggallah mereka berenam di dalam. Kedengaran nafas Rissa yang kasar. Bau badannya kejap busuk seperti bangkai dan kejap berbau colok.

Hafiz duduk di hadapan Rissa. Wajah anak muda itu tenang, seperti ayah dan ibunya. Hati mama juga rasa tenang menatap wajah mereka. Mungkin inilah antara satu ganjaran kepada orang-orang yang baik hati serta ikhlas beriman kepada Allah. Di dunia lagi Allah sudah memberi ketenangan kepada hati lalu terpancar ke wajah.

Rissa kemudian ketawa sambil badannya di gerakan ke kiri dan kanan. Matanya merah terbuka luas, tajam memandang sekeliling dan kemudian memandang ke arah mama sambil tersenyum.
“Mama..mama dah pandai ye sekarang? Dah pandai bawa orang ke tempat macam ni. Mama nak jadi macam si gendut tu ke?” Ucap Rissa sambil ketawa mengekek.

Hafiz memegang kepala Rissa. Kemudian membaca sesuatu. Rissa cuba berlari ke arah pintu. Namun Apik dan Pak cik Mustafa awal-awal lagi sudah berjaga.

“Nak keluar..nak keluar..pannaaas..aku tak suka tempat ni…” Rissa memekup telinga dan menarik rambutnya.

“Kalau kau tak nak sakit, mari sini..” Arah Hafiz.

Rissa kemudian mengikut saja arahan Hafiz. Duduk sambil menunduk kerana takut.

“Wahai jin yang mendiami dalam tubuh ini, kenapa kau ganggu gadis ini?”

“Aku suruhan dia..aku di suruh menghuni tubuh ini”

“Siapa dia..?”

Rissa seperti dalam ketakutan, tangan kanannya memicit jari tangan kiri. Sambil mata menjeling ke luar.

“Kau takut sama dia?” Soal Hafiz

Rissa mengangguk.

“Siapa dia bagimu?”

“Dia..dia ada di luar.. dia Marissa, tuanku yang maha hebat lagi licik, dia boleh buat kau sakit dan menderita.” Nada suara bangga.

“Maksud mu Marissa adalah tubuh yang kau huni ini?” Soal Hafiz

“Tidak..tidak..tapi mereka bakal menjadi satu..” Jawab Rissa sambil ketawa kecil.

“Panggil dia ke mari, cakap kepada dia, aku menjemputnya berjumpa dengan ku.” Ucap Hafiz.
Serta merta Rissa jatuh terkulai. Mujur kakak sempat menahan kepalanya daripada jatuh terkena lantai.

Angin menderu masuk. Bau hanyir lebih kuat berbanding bau tadi. Sekelip mata Rissa bangun. Kini mata menjadi hitam keseluruhannya. Tajam memandang Hafiz.

“Adakah kau Marissa? Tuan kepada makhluk tadi?”

“Ya anak muda, dengarlah bicara ku..Di sini aku ingin kau tahu, adalah lebih baik engkau tidak masuk campur urusan ku dan jiwa ini.”Suara Rissa berbisik.

“Apa urusan kau dengan manusia ini?”

“Dia dan aku adalah satu..Aku adalah Marissa. Jiwa ini telah menerima ku, dia menyerahkan jiwanya kepadaku. Kau anak muda, dan sesiapa pun tiada daya untuk menghalang”

“Wahai makhluk Allah, aku mahu kau keluar daripada tubuh ini, atau engkau aku bunuh dengan izin Allah.”

Rissa tersenyum, ketawa terkekek namun perlahan.

“Engkau mencabarku? Ketahuilah anak muda. Ilmu mu tidak mampu menandingi ku. Usia ku sudah 300 tahun, lebih tua daripada dirimu. Aku adalah dari keturunan Ummu Sibyan …yang mampu membinasakan hidup kaum adam dengan kehendakku. Aku mampu mengawal anak adam lelaki dan perempuan, mampu berkokok seperti ayam dan menyalak seperti anjing, mampu memecahkan batu bata dengan suara ku, aku meresap masuk ke dalam orang perempuan lalu mengenakan penyakit dengan ekor ku. Engkau anak muda, lebih baik menjaga urusan mu saja. Jika tidak seluruh keluargamu aku hancurkan. Takutlah kepada kebinasaan yang aku bawa.” Suaranya bernada riak.

“Bersamaku ada Allah, tidak ada gentar dihatiku. Ilmu Allah dan kekuasaannya melebihi makhluk yang di cipta oleh nya. Siapalah kita tanpa Allah. Aku tidak akan takut, Allah ada dengan ku.” Balas Hafiz.

Rissa diam menunduk. Mulutnya melafazkan kata-kata aneh dalam bahasa asing. Sekali dengar seperti arab dan sekali dengar seperti bahasa lain. Dalam masa beberapa minit, angin kencang mula bertiup di luar rumah. Hampir saja pokok-pokok di sekitar rumah Pak Cik Mustafa menyembah bumi. Umi dan anak-anaknya yang lain kalut menutup pintu dan jendela rumah.

Rissa tersenyum sinis.

“Anak muda, telah ku seru sihir hitam ku, jika tetap kau berdegil memisahkan ku dengan gadis ini. Marissa dan aku adalah satu. Dia adalah aku dan aku adalah dia. Mulai saat ini akan mengalir lah segala jenis penyakit masuk ke dalam rumah mu. Sungguh aku benci manusia sepertimu.”

Kulitnya dan bibir mungil Rissa berubah kebiruan. Rissa bangun duduk mencangkung. Tatkala itu kedengaran pula jeritan dari luar bilik. Adik perempuan Hafiz pula di rasuk. Pak cik Mustafa keluar seketika, meninggalkan Hafiz yang sedang berlawan dengan syaitan laknatullah secara batin.

Pemandangan di luar tingkap seolah-olah sudah menghampiri senja Walau jam masih 3 petang dan langit tiada kelibat sekawan awan mendung. Angin yang tadinya ganas, sudah menghilang. Namun suasananya sunyi, tiada sedikit pun kedengaran bunyi kicauan burung. Andai melihat dengan mata tanpa berhijab, dapatlah penghuninya melihat kehadiran dua ekor jin betina yang menampakkan diri seperti puntianak. Seekor berbaju putih yang carik-carik, lidahnya panjang dan tajam di hujung, seolah lidah milik ular. Manakala seekor lagi matanya panjang, dagunya runcing dan kulit kebiruan serta kakinya tirus seperti belalang, sedang melekat di tubuh adik Hafiz yang kerasukan.

Keadaan di luar bilik kedengaran riuh-rendah. Namun Hafiz masih tenang. Kedengaran ayahnya melaungkan azan di luar. Rissa yang masih khusyuk melafaz mantera mula tidak keruan. Tiba-tiba Rissa mula bertindak ganas. Dia berlari ke arah Hafiz mahu mencekik dan pantas sahaja pemuda itu mengelak. Hafiz lalu memegang kepala Rissa, sementara kakak, Apik dan mama membantu menahan Rissa daripada melarikan diri. Hafiz seolah-olah cuba menarik sesuatu keluar daripada mulut Rissa sambil membaca ayat-ayat Al-Quran.

Rissa berpaling ke arah mama dengan pandangan sayu. Sakit rasanya tubuh ini. Terlalu panas, bagai di salai di atas api yang membara. Telinga terlalu pedih umpama ribuan jarum mencucuk masuk. Dia terlalu lemah, letih rasanya. Air liur menitik keluar, menahan seksa.

“Mama.. mama..” Sayu suara Rissa memanggil.

Mama mengesat air mata. Hati sang ibu bagai di palu.

“Mama.. tolong Rissa mama. Sakit mama..sakit..” Esakan Rissa.

Mama melangkah ke arah Rissa. Cuba memeluk tubuh anaknya. Mengharap kasih sayang seorang ibu sedikit sebanyak mampu meredakan seksaan sakit di tubuh Rissa. Namun sepantas kilat, leher mama di tarik dan di cekik. Wajah mama kebiruan, tersekat nafas. Umpama nyawa sudah berada di kerongkong.

“Ya Allah, andai ini pengakhiran ku, aku ampunkan dosa anak-anakku.” Bisik hati mama.
“Manusia sialan, berhenti dengan mantera bodoh mu atau aku bunuh orang tua ini..” Suara garau Rissa bertempik.

Dua orang adik lelaki Hafiz masuk membantu kakak dan Apik meleraikan tangan Rissa di leher mama. Hafiz pula mendekatkan wajahnya ke telinga Rissa, lalu mengalunkan azan beberapa kali sehingga tubuh Rissa terkulai layu di riba mama yang turut pengsan. Masing-masing duduk menyandar di dinding, kerana kepenatan. Selepas beberapa minit mama sedarkan diri. Rissa pula masih terbaring lemah. Banyak tenaganya digunakan ketika tubuhnya di kawal oleh syaitan durjana sebentar tadi.

“Mak cik Asom, rawatan untuk Cik Rissa perlu di lanjutkan lagi. Rissa dan makhluk itu dah sebati.”

“Macam mana boleh begitu sekali Hafiz? Benda tu saka keturunan ke?”

“Hubungan makhluk itu dengan Rissa menjadi kuat disebabkan darah haiwan yang Rissa pernah minum sebelum ni. Bukan setakat darah kucing yang mak cik cerita sebentar tadi. Tapi tanpa pengetahuan mak cik dah banyak kali Rissa buat begitu. Benda ni bukan saka keturunan. Tapi dia datang mengambil kesempatan atas keadaan emosi dan mental anak mak cik yang tak menentu. Sesungguhnya jin dan syaitan akan temui cara untuk sesatkan manusia.” Ujar Hafiz

“Ya Allah, Hafiz tolonglah anak mak cik ni. Wang bayaran nanti mak cik cuba usaha carikan. Kasihan anak mak cik ni. Dia belajar rajin, anak yang baik, cuma tersalah langkah.” Mata mama bergenang. Menatap wajah Rissa yang cengkung. Sempat jua mengenang nasib dirinya yang sudah tiada tempat bergantung. Suaminya sudah meninggal dunia 3 tahun lalu. Rissa harapan keluarga mereka, gadis itulah satu-satunya yang berjaya memiliki segulung ijazah. Anak harapan keluarga.

“Insya Allah saya cuba usahakan mak cik. Bayaran usah lah mak cik bimbang. Saya niat untuk membantu mak cik sedaya saya.”

Hafiz mula meminta diri untuk solat asar. Hanya tinggal Pak cik Mustafa dan seorang anak lelakinya yang memantau keadaan. Bersedia untuk sebarang keadaan.

Pak cik Mustafa menyerah sebotol air, lalu meminta mama memberi Rissa minum, sebaik sahaja melihat gadis itu sudah mula sedarkan diri. Namun Rissa menyemburnya ke luar tepat terkena wajah mama. Habis air di dalam botol namun tidak satu pun berjaya di telan oleh Rissa. Rissa meludah sehingga kering air liur di dalam mulut. Sengaja di ludahnya ke arah Pak cik Mustafa sambil ketawa berdekah-berdekah.

“Ingat manusia, budak ini adalah aku dan aku adalah dia. Kami adalah satu. Bersatu dalam darah korban mantera hitam ku. Kamu semua tak akan dapat memisahkan aku dengan dia. Ingat itu..” Ujar Marissa yang masih lagi kerasukan lalu kembali rebah. Tatkala itu ada angin menderu melintasi Pak Mustafa lalu keluar melalui jendela.

…..

Hakimi memandang wajah ayah tanpa berkelip. Ketika arwah abang Hafiz merawat Rissa, Hakimi tiada bersama keluarganya kerana tinggal di asrama. Perkenalan Hakimi dengan kak Rissa tatkala gadis itu sudah pun sembuh dan menjadi tunangan abang Hafiz dan juga mengganti setiausaha ayah yang cuti bersalin. Tidak banyak mereka bualkan ketika awal pertemuan antara kak Rissa dan Hakimi.

“Selepas enam bulan, Kak Rissa kembali sakit. Makhluk tu cuba merasuk fikiran Rissa agar hilang keyakinannya kepada Hafiz. Malam kejadian kalau kamu masih ingat, kita sekeluarga bercuti di Pulau Pinang, rumah mak lang kamu. Masa itu tanpa pengetahuan kita dan abang Hafiz, Rissa mengekori gerak geri abang Hafiz. Terjadinya pertengkaran antara mereka, lalu berlakulah kejadian tak di ingini hingga meragut nyawa abang kamu, dan Rissa yang masih selamat pula koma.” Ujar ayah tenang.

“Astaqfirullah alazim..banyak benda yang Hakim tak tahu rupanya ayah.” Hakimi meraut wajahnya.

“Dia berdendam dengan keluarga kita agaknya.” Ujar ayah
“Anak-anak, abang.. jomlah kita.. Asar dah nak masuk, kita berjemaah ya..” Umi muncul menepuk bahu Hakimi.

Hakimi tersenyum memandang Syah yang menguap. Mujurlah Syah sudi menemaninya pulang. Makin korek sejarah Marissa, makin berat pula rasa dada. Mereka berhadapan dengan makhluk yang bukan calang-calang, malah licik. Hati Hakimi risau akan keselamatan keluarganya. Namun dalam segala hal, jangan belakangkan Allah. Dia yakin, Allah maha berkuasa yang akan selalu melindungi keluarganya. Jika Marissa dikatakan kuat.. Maka pencipta Marissa lebih kuat, iaitu Allah. Sempat Hakimi memandang ke luar. Telinganya yang tak berhijab mampu mendengar raungan makhluk itu, yang geram tidak dapat masuk ke dalam rumah.

Assalamualaikum.. kisah ini sambungan daripada kisah Syah Hakimi dan kebenaran Marissa. Panggil ku Nurhan. Cuma penulis hingusan. Yang sabar menunggu, sorry lambat post cerita. Terima kasih kerana sabar, terima kasih kepada yang komen positive dan menegur. Akan cuba baiki lagi penulisan ini. Sekali lagi maaf cerita ini sekadar cerita fiksyen. Cuma watak Syah sahaja, berdasarkan orang yang aku pernah kenal. pernah tulis cerita Hantu Pak Aji Makan Hidung, Hantu Pak Tonggek dan Hantu Langut. Sekian.. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Tunggu next cerita..

21 thoughts on “Nurhan: Syah Hakimi (Misteri Marissa)”

  1. Adakah Apik adik Rissa dan Apik kwan Hakimi yg aniaya Hakimi tu adalah org yg sama? Kalau ya, aku fahamlah kenapa Apik nk aniaya Hakimi pula.. Cuma Rashidi aku tak faham apa kaitan dia..mgkin pnulis akan jwab next cerita. Cuma aku rindu cerita persahabtn antara syah, hakimi, zul dan badrul. Dasyat nau marissa tu ya..huhu..sambung lagi okey..selamat hari raya Nurhan.

    Reply
  2. Bila fikir balik, mmg pelik kan? Si Syah tu selalu sangat tidur tapi mata lebam mcm org tak cucuk tidur. Nasib senyuman manisss.. Heh.

    Reply
    • Sebab Syah orgnya tak pernah ckup tidur wlau berapa lama pun dia tidur..Syah yang Aneh.. =) insyaallah saya smbug lagi.

      Reply
  3. Lama tunggu.. lama juga x baca cerita2 kt fs. dpt je email update sambungan cerita ni terus buka fs..
    Teruskn berkarya..

    Reply
  4. Harap sangat dapat follow cerita ni sampai habis .. Nama nama watak mostly mcm ada kena mngena dgn orang sekeliling saya .. Apa pun goodjob buat penulis sebab jalan cerita ni best sangat ..

    Reply

Leave a Comment