Panggilan Telefon Misteri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat admin FS dan semua pembaca FS. Terlebih dahulu aku ingin berterima kasih yang tidak terhingga kepada admin FS kerana telah menyiarkan 4 kisahku sebelum ini. Kisahku & Irly, Adik Bongsuku “Amira”, Jelmaan Berbaju Kuning dan “3 Kisah Misteri”. Aku memakai nama-nama samaran seperti Adel, Zahra dan Nadea sebelum ini. Semua kisahku itu benar dan bukan rekaan semata-mata. Begitu juga dengan kisah yang akan aku ceritakan ini, sememangnya kisah-kisah tersebut benar-benar berlaku di dalam hidupku. Terima kasih kepada yang menyukai dan yang memberi komen. Aku sangat-sangat menghargainya. Baiklah, aku mulakan dengan cerita aku di rumah sewaku sewaktu aku praktikal di Melaka.

Kisah ini berlaku ketika aku hendak memulakan praktikalku di sebuah kilang komputer di Cheng, Melaka. Aku dan 2 orang lagi kawanku menyewa sebuah rumah teres setingkat yang mempunyai 3 bilik dan 2 bilik air. Sebenarnya rumah tersebut telah disewa terlebih dahulu oleh seorang kawanku dan seorang kakak yang juga merupakan rakan sekerja kawanku itu. Mereka juga merupakan pekerja kilang komputer di mana aku praktikal selama 6 bulan. Aku merupakan orang ketiga yang menghuni rumah sewa tersebut. Kiranya, sebelum ini, mereka berdua sahaja yang menyewa di rumah itu.

Berkebetulan pula, aku memerlukan rumah sewa dan sama pula dengan tempat kerja mereka. Jadi, sedang eloklah aku menyewa di situ. Bolehlah aku pergi praktikal sekali dengan mereka pergi kerja. Nasib baik jugalah, mereka kerja waktu normal dan bukannya syif walaupun mereka kerja di bahagian production. Baiklah, aku ceritakan keadaan rumah sewaku ini. Keadaan rumah ini agak usang. Dinding simen agak terlalu lama, ada pecah-pecah sikit di beberapa tempat di dinding luar dan di dalam rumah. Nampak sangat rumah ini dibina dalam sekitar awal tahun 1970-an. Aku pun belum lahir kot, sewaktu rumah ini siap dibina dan mula diduduki. Keadaan sedikit semak-samun di luar rumah menambahkan lagi keseraman bila melihat rumah ini dari luar. Grill tingkap sudah berkarat di sana-sini.

Di bahagian dalam rumah pula, dinding berwarna cream yang sudah lusuh di sana-sini dinding. Kipas di bahagian ruang tamu pula, apabila dipasang walaupun nombor 5, tetapi bergerak lebih lambat dari nombor 1. Oleh sebab itu, kami pasang kipas berdiri sahaja bagi menggantikan kipas siling. Bilik yang kosong ketika itu, hanyalah bilik tengah sahaja. Bilik tengah nie tiada tingkap. Jadi, kalau tidur di dalam bilik, agak lemas sedikitlah kerana terasa seperti tidak bernyawa sebab tidak boleh nampak bahagian luar rumah. Siling bilik tengah agak tinggi berbanding bilik hadapan dan bilik belakang. Jadi, aku hanya meletakkan barang-barangku sahaja di dalam bilik ini dan tidur di ruang tamu bersama-sama kawanku. Sebelum ini pun, bilik ini dijadikan bilik simpan barang-barang mereka berdua. Kiranya macam bilik stor diorang berdualah pendek cerita, hehe.

Aku memulakan praktikalku dan pergi-balik berjalan kaki sahaja walaupun jarak tempat praktikal jauh jugalah kalau berjalan kaki. Adalah dalam setengah jam aku berjalan, sebab aku berjalan agak laju juga. Kadang-kadang kalau aku bernasib baik, adalah kawan-kawan yang free menumpangkan aku balik dengan kenderaan mereka. Aku tidak menggunakan perkhidmatan bas kilang sebab bas kilang itu khas untuk para pekerja kilang sahaja. Jadi, dua orang kawan-kawan serumahku itu menaiki bas. Akupun tak paksa mereka jalan kaki bersamaku sebab faham keadaan mereka yang sangat penat kerja seharian di bahagian production line.

Setelah dua minggu aku pratikal, aku sudah mula terbiasa berjalan kaki dengan heels ku, kurung moden dan beg tangan. Zaman aku praktikal nie, jarang berlaku kes ragut tetapi aku sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang aku berjalan kaki pergi dan balik praktikal. Alhamdulillah, aku terpelihara dari kes ragut atau perkara-perkara yang tidak diingini. Sedar tak sedar, sudah 5 bulan aku praktikal di kilang ini. Aku berehat-rehat di dalam bilikku setelah sampai ke rumah sewaku pada suatu petang. Pintu bilik aku tutup sebab mahukan privasi. Aku berbaring dan tidak sedar aku tertidur di dalam gelap. Aku tak on pun suis lampu. Yela, masa aku sampai rumah, hari masih siang.

Bila aku terjaga, aku terperasan cahaya lampu dari luar bilikku melalui bawah pintuku. Aku seakan malas hendak bangun lalu aku tertidur lagi. Tiba-tiba, aku terasa diriku ditindih setelah beberapa minit mungkin, aku terlelap itu. Aku cuba bangun tetapi tidak berjaya. Di dalam keadaan lemah itu, aku seakan lupa membaca segala ayat-ayat Al-Quran atau apa-apa doa. Akhirnya aku pasrah sehinggalah “benda” yang menindih itu hilang dengan sendirinya. Aku cepat-cepat on suis lampu bilikku dan buka pintu bilik aku. Aku mencuci mukaku dan menjengah kawan-kawanku tetapi hampa. Mereka semua tiada di rumah. Bila aku call handphone masing-masing, kebetulan tidak berangkat. Huhu, berseoranganlah aku di rumah malam nie.

Kebetulan pula hari itu merupakan hari jumaat. Esok sabtu. Tentulah masing-masing keluar dengan teman lelaki masing-masing. Hampeh betul. Aku jugakla sorang-sorang. Apa aku hendak buat nie??? Mati kutu aku dibuatnya. Aku menggumam seorang diri. Tiba-tiba aku rasa takut sebab berseorangan di rumah. Di dalam kebosanan melanda, aku keluar rumah. Mengambil angin malam sekitar luar rumah. Hendak keluar memang tiada kawan-kawan lain yang tinggal berdekatan. Aku pun mula mendail nombor telefon penyeliaku.

Penyeliaku ini lelaki. Aku sekadar mahu bercakap telefon sahaja bagi mengurangkan rasa takutku berseorangan di rumah. Jiran-jiran di sekitar rumah sewaku ini tidak ramah dan tidak bercampur dengan orang sekeliling. Penyeliaku itu mengajak aku keluar tetapi aku keberatan pula kerana bimbang menjadi fitnah pula. Yela, aku perempuan, dia lelaki. Takut jugalah jadi apa-apa nanti. Yela, malam-malam kan, aku tak beranilah keluar dengan lelaki bukan muhrim. Di dalam keserabutan dan ketakutan itu, tiba-tiba telefon rumah berbunyi. Aku mengakhiri perbualan dengan penyeliaku bagi memberi laluan untukku menjawab panggilan telefon rumah. Sebaik sahaja aku mengangkat telefon, kedengaran suara lelaki yang tidak aku kenali berbunyi begini :

Lelaki Misteri : Hello. Assalamualaikum.
Aku : Waalaikumussalam.
Lelaki Misteri : Tak takut ke tinggal sorang-sorang di rumah tu?
Aku : Mana awak tahu saya sorang-sorang? Saya dengan kawan-kawan sayalah. ( Aku berbohong. )
Lelaki Misteri : Saya tahulah awak sorang-sorang. Rumah tu berhantu tau. Sebenarnya, rumah tu…

Aku terus meletakkan telefon kerana tidak mahu mendengar kata-kata lelaki tersebut. Tetapi tiba-tiba telefon berbunyi lagi.

Lelaki Misteri : Jangan letak telefon. Saya tahu awak takut. Sebenarnya rumah tu ada orang pernah mati bunuh diri kat kipas siling di ruang tamu rumah tu…

Papppp, aku meletakkan gagang telefon dengan kasar dan telefon berbunyi lagi. Aku terus tidak angkat dah telefon tersebut. Aku terus berlari hingga luar pagar rumah dan terus call penyelia aku. Aku suruh dia datang ke rumahku dengan segera dan teman aku di luar rumah sehingga kawan serumahku balik dari dating. Aku memang betul-betul ketakutan ketika itu. Dalam lebih kurang 5 minit, penyeliaku sampai. Huh, lega rasa hatiku. Akupun ceritalah tentang panggilan telefon tersebut dan tidak lama kemudian, kawanku balik. Akupun berterima kasih kepada penyeliaku dan menceritakan semua apa yang terjadi sebentar tadi kepada kawanku itu dan dia pun terkejut.

Kami tidak pasti siapa yang call sebab menurut kawanku itu, hanya teman lelakinya sahaja yang tahu nombor telefon tersebut. Dan mereka keluar dating tadi. Lagipun aku memang tak kongsi pun telefon rumah dengan kawanku sebab aku tidak mahu ada komitmen bayar bil telefon rumah memandangkan aku ada handphone sendiri. Kakak yang sama-sama menyewa rumah sewa ini pun telah berpindah ke rumah lain sebulan lepas iaitu bulan keempat aku tinggal di sini. Dia pun dah tak kongsi telefon rumah dan baik orangnya. Mustahillah dia suruh sesiapa buat panggilan tersebut. Aku ada juga bertanya pada seorang penduduk asal taman perumahan ini, dia pun kurang jelas mengenai sejarah rumah tersebut. Cuma katanya rumah yang kami sewa nie agak lamalah juga tidak diduduki sebelum kawan-kawanku menyewa di sini.

Tetapi kita boleh agaklah, bila rumah terbiar dan lama tidak dihuni, maka adalah makhluk Allah yang lain menghuni kan. Sehingga kini aku tertanya-tanya status rumah itu. Adakah benar seperti yang didakwa lelaki misteri yang membuat panggilan telefon itu? Ada orang mati bunuh diri dengan menggantung diri di kipas tersebut? Patutlah kipas itu bergerak terlalu perlahan…Ada logiknya di situ. Kipas itu mempunyai sejarah berdarah. Hatiku tiba-tiba seram bila kembali mengimbau kisah itu.
Sekian, secebis kisah semasa praktikalku. Terima kasih kerana sudi membacanya.

Adel Zahra Nadea ( Nama Samaran )

11 comments

    1. Kaaannnn…
      Bukan ssh pn nk.dptkan no fon umah…
      Call je telekom mtk no…
      Seb baik die soh penyelia tu tggu teman dpn umh jer…
      Kot ikot g memane bahaya tuh…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.